Kertas 2 Pengajian Am, Jabatan Pelajaran Sabah 2008

JABATAN PELAJARAN SABAH

SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM)

Arahan kepada calon:

Jawab enam soalan. Pilih satu soalan daripada tiap-tiap Bahagian A, B, D, dan E dan
dua soalan dalam Bahagian C.

Gunakan lembaran kertas yang berlainan bagi tiap-tiap bahagian.

Markah untuk tiap-tiap soalan diberikan dalam tanda kurung [ ].

NOTA

Bersama dengan kertas soalan ini anda harus menerima kertas graf. Jika tidak,
sila minta daripada pengawas peperiksaan.

Kertas soalan ini terdiri daripada 09 halaman bercetak.
Jabatan Pelajaran Negeri Sabah
Bahagian A

Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah ini, dan tulis karangan yang panjangnya antara 250 hingga 300 patah perkataan. [ 25 ]

1. Pembangunan modal insan telah dicetuskan oleh Y.A.B Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) merupakan intipati penting dalam pembangunan negara. Oleh itu, penambahbaikan sistem pendidikan merupakan salah satu langkah yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk merealisasikan matlamat tersebut. Bincangkan.

2. Kenaikan harga pelbagai jenis barangan secara drastik akhir-akhir ini menuntut kebijaksanaan pengguna dalam berbelanja. Pada masa yang sama, pihak kerajaan perlu mengambil langkah yang berkesan agar hak pengguna sentiasa terpelihara. Jelaskan.

Bahagian B

Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah ini, dan tulis karangan yang panjangnya antara 250 hingga 300 patah perkataan. [ 25 ]

3. Akuakultur menyumbangkan kira-kira 20 peratus daripada jumlah tangkapan ikan di
Malaysia. Salah satu kepentingan akuakultur ialah membekalkan sumber protein.
Sehubungan itu, pelbagai langkah perlu dijalankan untuk meningkatkan sektor ini.
Jelaskan pernyataan di atas.

4. Biodiversiti penting kepada semua hidupan yang ada di bumi ini. Justeru, pelbagai pendekatan yang proaktif perlu diambil untuk mengekalkan keseimbangannya. Bincangkan.

Bahagian C

Jawab dua soalan dalam bahagian ini . Pilih satu daripada soalan 5 (a) atau 5 (b) dan satu daripada soalan 6 (a) atau 6 (b). [ 20 ]

5 (a) Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan portal khas jawatan kosong untuk orang kurang upaya (OKU) bagi memudahkan golongan tersebut mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran mereka.Timbalan Menterinya, Datuk Noraini Ahmad menyeru pihak-pihak berkenaan khususnya sektor swasta tampil membantu kerajaan dalam memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada golongan ini.

( Dipetik daripada Utusan Malaysia, 17 Mei 2008)

i. Apakah kepentingan portal khas jawatan kosong Orang Kurang Upaya (OKU)
diwujudkan?

ii. Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan langkah-
langkah yang boleh dijalankan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan
sosioekonomi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Atau

(b) Sambutan Citrawarna Malaysia 2007 selama sebulan yang berakhir pada 22 Jun 2007 menawarkan pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan kaum-kaum di Malaysia. Di setiap negeri, pelbagai persembahan kebudayaan dijalankan untuk menarik kedatangan pelancong dan menimbulkan semangat kebanggaan dan patriotik dalam kalangan masyarakat tentang kekayaan budaya bangsa.

(Dipetik dan diubahsuai daripada Berita Harian, 15 Jun 2007)

i. Mengapakah sambutan Citrawarna Malaysia 2007 diadakan?

ii. Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan kepentingan sambutan Citrawarna Malaysia kepada negara.

6 (a) Jualan makanan organik sedang mengalami peningkatan, terutama untuk memenuhi keperluan kumpulan pengguna yang mengutamakan makanan untuk kesihatan, cintakan alam sekitar dan kebajikan hidupan semulajadi. Insiden merebaknya penyakit berbahaya seperti penyakit kuku dan mulut dan ‘mad cow’, pencemaran di dalam penggunaan racun makhluk perosak serta penghasilan makanan menggunakan organisma terubahalih (GMO), menyebabkan pengguna memberi perhatian kepada makanan yang dihasilkan secara semulajadi.

( Dipetik dan diubah suai daripada Laporan FAMA, 2006 )

i. Mengapakah makanan organik semakin mendapat tempat dalam kalangan
masyarakat?

ii. Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan kebaikan
makanan organik.

Atau

(b) Biasanya, pengurangan sumber dan pengurusan persekitaran ialah pendekatan terbaik yang dapat menyelesaikan masalah nyamuk untuk jangka masa panjang. Untuk mengawal vektor demam denggi atau demam denggi berdarah, penghapusan bekas-bekas yang dapat membiakkan Aedes didapati berkesan. Walau bagaimanapun, kerjasama orang ramai pada peringkat bukan epidemik biasanya kurang memuaskan.

(http://www.penerbit.usm.my)

i. Apakah kaedah yang terbaik untuk menyelesasikan masalah pembiakan nyamuk Aedes?

ii. Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, nyatakan punca-punca merebaknya penyakit demam denggi.

Bahagian D

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini. Jawapan hendaklah dibuat pada kertas graf. [15]

7. Berdasarkan petikan di bawah, lukis carta yang menunjukkan perbandingan guna tenaga mengikut sektor bagi tahun 2005 dan anggaran 2010.

Pembangunan modal insan menjadi teras utama pembangunan dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9). Justeru, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja. Menjelang tahun 2010 jumlah guna tenaga pelbagai sektor dianggarkan mencecah ke angka 14976.0 ribu orang. Jumlah ini dianggarkan melebihi jumlah guna tenaga pada tahun 2005 sebanyak 4081.2 ribu orang.

Amalan pertanian moden serta penggunaan teknologi baru telah menggalakkan pengeluaran sektor pertanian, perhutanan, ternakan dan perikanan secara komersil dan berskala besar. Penggunaan teknologi telah mengurangkan jumlah guna tenaga dalam sektor ini sebanyak 81.9 ribu orang pada tahun anggaran 2010 berbanding 1405.7 ribu orang pada tahun 2005. Sektor pembuatan yang merupakan nadi penggerak ekonomi negara pula dianggarkan mencatat guna tenaga sebanyak 3594.7 ribu orang pada tahun 2010. Sementara pada tahun 2005 pula, guna tenaga sektor ini sebanyak 3132.1 ribu orang.

Pelaksanaan pendidikan sepanjang hayat menyebabkan kerajaan perlu menambahkan infrastruktur di sekolah-sekolah kerajaan terutama sekolah luar bandar. Penambahan peruntukan dalam bidang pendidikan ini telah merancakkan lagi perkembangan sektor pembinaan. Guna tenaga dalam sektor pembinaan dianggarkan meningkat kepada 1501.3 ribu orang pada tahun 2010 berbanding hanya sebanyak 759.8 ribu orang pada tahun 2005.

Sektor perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran menjadi penyumbang guna tenaga yang agak besar bagi kedua-dua tahun tersebut. Pada tahun 2005 sumbangan sektor ini adalah sebanyak 1927.2 ribu orang. Perisytiharan Tahun Melawat Malaysia 2007 telah menyemarakkan lagi pengurusan sektor ini dalam bidang perkhidmatan perhotelan. Hal ini dibuktikan dengan anggaran penambahan guna tenaga kepada 2171.0 ribu orang menjelang tahun 2010.

Sektor pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi turut menyediakan peluang pekerjaan yang tinggi kepada tenaga kerja di negara ini. Perkembangan sektor ini telah menggalakkan peningkatan guna tenaga kepada 701.5 ribu orang pada tahun 2010. Manakala, pada tahun 2005 guna tenaga dalam sektor ini hanya sebanyak 631.2 ribu orang.

Ekonomi negara yang kukuh menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor kewangan, insuran, hartanah dan perniagaan. Sektor ini telah menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 732.3 ribu orang guna tenaga pada tahun 2005 dan dianggarkan terus meningkat kepada 826.8 ribu orang pada tahun 2010.

Kerajaan Malaysia amat prihatin dengan prestasi kakitangan awam dalam sektor perkhidmatan kerajaan. Sehubungan itu, pada tahun 2010 kerajaan telah mensasarkan peningkatan jumlah guna tenaga kaki tangan awam dianggarkan sebanyak 100 ribu orang pada tahun 2010 berbanding hanya 1052.8 ribu orang pada tahun 2005. Pertambahan ini bertujuan untuk meningkatkan kompetensi kakitangan awam. Selebihnya guna tenaga tertumpu kepada sektor-sektor lain di negara ini.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada, RMK9, 2006-2010,
Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri)

8. Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah ini, sediakan sebuah graf yang sesuai untuk menunjukkan perubahan indeks-indeks penting di Papan Pertama Bursa Malaysia bagi tempoh tahun 1999 hingga 2004.

Keadaan pasang surut pasaran di Bursa Malaysia ditunjukkan oleh beberapa indeks harga atau petunjuk utamanya. Gambaran prestasi indeks-indeks harga saham di Bursa Malaysia bagi tempoh 1999 hingga 2004 dapat diperincikan di bawah.

Petunjuk yang paling popular ialah indeks komposit. Secara purata, indeks komposit berada pada paras 900 mata pada tahun 1999, meningkat sebanyak 70 mata pada tahun berikutnya. Pada tahun 2001 indeks komposit mencecah ke paras 1250 mata dan terus meningkat sebanyak 47 mata lagi pada tahun berikutnya. Pada tahun 2003, indeks komposit mengalami kemerosotan sebanyak 341 mata dan terus merosot ke paras 890 mata pada tahun berikutnya.

Indeks emas pula menunjukkan pertambahan yang sederhana iaitu daripada paras purata 241 mata pada tahun 1999 meningkat ke paras 261 mata pada tahun 2000. Pada tahun 2001 dan 2002, indeks emas telah bertambah sebanyak 45 mata dan 37 mata masing-masing berbanding tahun sebelumnya. Pada tahun 2005 indeks emas telah merosot sebanyak 86 mata dan terus merosot menjadi 245 mata pada tahun 2004.

Indeks perindustrian pada tahun 2000 telah meningkat sebanyak 66 mata daripada 1216 mata yang dicatatkan pada tahun 1999. Pada tahun 2001 indeks perindustrian telah bertambah menjadi 1401 mata. Pada tahun 2002 indeks perindustrian telah meningkat sebanyak 246 mata. Pada tahun 2003 indeks perindustrian merosot sebanyak 165 mata tetapi meningkat semula sebanyak 34 mata pada tahun 2004.

Indeks kewangan pula telah bertambah sebanyak 80 mata pada tahun 2000 daripada paras 2100 mata pada tahun 1999. Indeks kewangan terus meningkat ke paras 2545 mata pada tahun 2001 dan terus meningkat sebanyak 300 mata pada tahun berikutnya. Pada tahun 2003 dan 2004, indeks kewangan mengalami kemerosotan yang berterusan sebanyak 145 mata dan 95 mata berbanding tahun sebelumnya.

Indeks harta juga mencapai puncaknya setakat ini pada tahun 2002 iaitu di paras 2640 mata. Pada tahun 1999, 2000, dan 2001 indeks harta telah mencapai paras 1600 mata, 1945 mata dan 2100 mata. Pada tahun 2003, indeks harta merosot sedikit menjadi 2460 mata dan meningkat semula menjadi 2550 mata pada tahun berikutnya.

Sementara itu, indeks perladangan mencatat nilai purata pada paras 3100 mata pada tahun 2002. Tahun-tahun sebelumnya adalah lebih rendah iaitu masing-masing 2200 mata, 2345 mata dan 2670 mata. Pada tahun 2003, nilai indeks perladangan berada pada paras 2965 mata dan terus merosot sebanyak 200 mata pada tahun berikutnya.

(Sumber : Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Rancangan Malaysia Kelapan, 2001-2005)

SULIT*
Bahagian E

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini. [15]

9 Berdasarkan jadual di bawah, nyatakan keadaan KDNK Malaysia dari tahun 2004 hingga 2007. Jelaskan mengapa wujudnya keadaan sedemikian.

Malaysia: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Mengikut Sektor dari Tahun 2004 hingga Tahun 2007

Sektor KDNK (%)
2004 2005 2006 2007
Pertanian 5.0 2.6 -0.4 1.6
Pembuatan 3.9 4.6 4.5 1.3
Perlombongan 9.8 -5.4 1.8 5.2
Pembinaan -1.5 -0.4 3.6 4.2
Perkhidmatan 6.8 5.7 3.8 8.7

(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan
daripada Laporan Ekonomi, 2004/2007)

10. Berdasarkan rajah di bawah, jelaskan faktor tarikan dan faktor tolakan yang mempengaruhi kedatangan buruh asing ke Malaysia.

Faktor-Faktor Mempengaruhi Kedatangan Buruh Asing

( Sumber : Dipetik dan diubah suai daripada ,
Federal Marshall Cavendah, Education, 2005.)

KERTAS SOALAN TAMAT

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s