Rencana: Industri Kraftangan

Kraf Untuk Gaya Hidup Masyarakat Malaysia

Bahagian pertama siri rencana kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan

Oleh Rohana Mustaffa

KUALA LUMPUR, 23 Mac 2009(Bernama) — “Saya di rumah tak pakai kain batik sarung,” pengakuan yang biasa didengar daripada kaum wanita kini bila disuakan batik sarung untuk dibeli.

Kalau dibeli pun atas alasan untuk simpanan bagi tetamu atau kegunaan di kampung atau dipakai semasa berpantang selepas bersalin, sedangkan dulunya batik sarung dijadikan pakaian harian kebanyakan wanita.

Pelbagai motif batik pada kain sarung memang cantik-cantik belaka, hari ini wanita yang memakai kebaya masih ada yang memadankannya dengan pelbagai corak batik sarung.

Tetapi apa yang mahu dikembangkan Kraftangan Malaysia, agensi yang bertanggungjawab membangunkan industri kraf negara, ialah memperluas penggunaan batik sarung ke dalam bermacam-macam bentuk cendera mata, hiasan dalaman seperti kusyen dan hamparan meja di rumah, hotel dan restoran.

Kraftangan Malaysia mengambil contoh kegunaan batik sarung ini dalam penekanan terhadap usaha mempelbagai penggunaan kraf melalui kreativiti penghasilannya, pembaharuan rekaan dan peningkatan kualiti supaya diterima dalam kalangan masyarakat sebagai gaya hidup dengan menjadikan kraf tempatan sebagai kegunaan harian mereka.

“Kraf & Gaya Hidup” ini dijadikan tema Hari Kraf 2009 yang dilancarkan minggu lepas dan akan berakhir 30 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Usaha yang sama juga diambil dalam mempelbagai kegunaan kain sarung songket dan tenun serta mempermodenkannya dari segi bentuk dan rupa, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia, Shahruddin Mohd Nor.

TAHUN KE-7 BAWA KELAINAN

Beliau berkata Hari Kraf untuk tahun ke-7 ini cuba membawa kelainan dengan tema itu bagi memperluas skop penggunaan kraf sebagai gaya hidup di rumah, pejabat, hotel, restoran, taman dan sebagainya.

Kalaulah banyak badan korporat menggunakan kraf sebagai barang cendera mata atau hadiah korporat mereka, hotel menggunakan kraf untuk landskap dan hiasan dalaman, rumah dilengkapi dengan kusyen dan langsir batik dan rak hiasan penuh dengan kraf tempatan, pejabat diperindah dengan hamparan meja dan hiasan kraf, maka tujuan untuk menjadikan kraf sebagai gaya hidup Malaysia ini akan berjaya.

“Kami cuba memperluas kegunaan batik sarung ini, umpamanya untuk mengekalkan warisan dan memperbaharui minat terhadapnya,” katanya dalam temu bual dengan Bernama sempena Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf di sini.

Disebabkan itu juga pameran dan jualan kraf ini setiap tahun akan memperkenal produk baru seperti tahun ini, hiasan kristal dari Langkawi diketengahkan, begitu juga beberapa teknologi baru pembuatan kraf, rekaan serta corak dan motif baru pada produk yang sedia ada. Kraf antik dari Sabah dan Sarawak turut diperbaharui bentuk dan kualitinya dan diperkembang motif dan corak rekaannya.

Beliau berkata Kraftangan Malaysia menggunakan khidmat pereka dalaman untuk membantu usahawan menghasilkan pelbagai produk kristal menggunakan teknologi khusus, membimbing dan memberi khidmat nasihat rekaan kepada usahawan berkenaan dan membantu promosi untuk memperluas pasarannya.

R&D DIBERI PENEKANAN UNTUK PRODUK BERMUTU

Teknologi kraf yang diperkenal ialah dengan bantuan agensi seperti Mardi, Sirim dan universiti seperti UiTM dan UTM.

Teknologi baru penting untuk meningkatkan mutu kraf negara, pengeluaran, penggunaan, bentuk dan keberkesanan kos, katanya.

Dalam hal ini Kraftangan Malaysia menekankan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan produk kraf Malaysia bermutu, harganya kompetitif, bahan mentah dipelbagai, penghasilannya kemas dan bentuk serta rekaannya berinovasi dan kreatif.

Projek R&D ini turut diadakan dengan kerjasama universiti, umpamanya fabrik batik kini boleh menggunakan pewarna semula jadi daripada tumbuhan seperti serai, kunyit dan cili dan yang terbaru pewarna daripada bakteria yang dikultur.

“Kami juga melihat dari segi usaha menghasilkan kraf daripada bahan buangan dan ini dijadikan satu cabaran kami bekerjasama dengan pihak yang ada kepakaran dalam memartabatkan industri kraf tempatan,” katanya.

Usaha R&D ini juga ditekankan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada perasmian Hari Kraf 19 Mac lepas.

Beliau membayangkan kemungkinan meningkatkan peruntukan untuk R&D supaya kraf Malaysia yang sudah mula diterima di luar negara tidak ketinggalan dari segi kuantiti dan kualiti produknya, reka bentuk dan penerimaan penggunaannya.

“Kraf kita sudah diterima di gedung terkemuka Harrods, London dan sejak promosi sebulannya bermula 25 Feb lalu dan setakat 18 Mac, jualan yang direkodkan sebanyak RM631,000. Produk terlaris ialah batik,” katanya.

Kraftangan Malaysia membawa 410 jenis rekaan terbaik kraf oleh 66 usahawan yang melibatkan 3,173 unit produk untuk dipromosi di gedung itu yang menerima kunjungan purata 1.2 juta orang sebulan.

Maka Malaysia kini perlu memberi tumpuan menghasilkan produk yang berkualiti, kemas, rekaan yang menarik dan memenuhi cita rasa pembeli antarabangsa kerana ada perancangan untuk membawa kraf negara ke gedung-gedung terkemuka lain di bandar-bandar utama dunia.

Shafie berkata bagi kraf eksklusif seperti batik lukis tangan, apa yang diharap dan digalakkan ialah lebih ramai rakyat Malaysia yang terlibat supaya penghasilan batik yang mendapat sambutan di luar negara dapat diperbanyak dan Malaysia tidak gagal memenuhi permintaan pembeli.

Pembeli tidak akan merungut harga yang mahal jika kualiti dan produk yang dibeli halus buatannya, kemas penghasilannya dan menarik rekaan dan bentuknya, kata Shaharuddin, tambahan pula, cita rasa dan gaya hidup masyarakat Malaysia yang meningkat kini cenderung mengutamakan pembelian produk yang berkualiti.

Disebabkan itu kelainan akan sentiasa dicari menerusi R&D dan kreativiti melalui latihan yang diberi kepada penuntut di Institut Kraf Negara misalnya dan institut pengajian tinggi yang menawarkan kursus seni reka.

PENDEDAHAN KEPADA PENGUSAHA KRAF

Kraftangan Malaysia juga cuba membawa pengusaha kraf menyertai rombongan ke luar negara untuk promosi kraf tempatan seperti di bandar raya Hong Kong, Frankfurt, Brimingham, Dubai, Singapura dan Tokyo bagi mendedahkan mereka kepada produk kraf antarabangsa, menjalin usaha sama dan memperluas pasaran produk mereka.

Abdul Rahim Yusof, umpamanya, eksekutif pemasaran East Art Enterprise Nusantara Pewter, mengikut rombongan promosi kraf ke Frankfurt pada Februari lalu dan apa yang dilaluinya menyebabkan beliau kagum dengan betapa besarnya pasaran kraf di luar negara dan bagaimana peluang itu beliau manfaatkan untuk menjalin kerjasama perniagaan.

Katanya seorang pengusaha dari Arab Saudi berminat untuk menempah kotak mengisi al-Quran daripadanya sekurang-kurangnya 1,000 unit daripada satu corak rekaan dan seorang ejen jualan dari Jerman sedia mengadakan rundingan lanjut semasa Hari Kraf ini untuk membeli produk krafnya.

Kebetulan kraf Abdul Rahim, berupa bingkai hiasan dinding bermotifkan batik dan metal, adalah antara kraf yang dipilih untuk ke Harrods Knightsbridge dan Abdul Rahim benar-benar berharap sekiranya menerima tempahan, beliau akan membeli mesin tambahan.

Buat masa ini, dengan mesin yang ada, beliau boleh menghasilkan kira-kira 200 hiasan dinding itu sebulan.

Shahruddin menegaskan bahawa kelemahan Malaysia ialah ia kekurangan pengusaha kraf yang aktif kerana hasil kajian daripada lebih 22 juta rakyat Malaysia, hanya 6,167 yang terlibat dalam industri kraf. Inilah yang cuba dipertingkat selain usaha memelihara warisan kraf negara, meningkatkan mutu dan mempelbagai produk kraf serta memperluas pasarannya.

“Saya kira melalui usaha giat Kraftangan Malaysia dalam mempromosi kraf negara dan usaha bersepadu dengan institut pengajian lain untuk melahirkan pengusaha kraf melalui pelbagai latihan dan kursus, peningkatan ini tidak mustahil.

“Tambahan pula jika penekanan terus diberi bahawa kraf merupakan bidang mata pencarian yang lumayan, terutama ia kini semakin diterima di peringkat antarabangsa, bermula dengan gedung Harrods,” katanya.

HARI KRAF KEBANGSAAN

Hari Kraf Kebangsaan tahun ini disertai 400 pengusaha kraf tekstil, hasil rimba, seramik dan logam, fesyen, kristal dan kaca, yang meningkat jumlahnya berbanding tahun lepas dan mereka terlibat dalam mempromosi, mempamer, membuat demonstrasi dan menjual terus produk kraf mereka kepada pengunjung tempatan dan pembeli antarabangsa.

Bayangkan seluruh kawasan Kompleks Kraf seluas 3.8 hektar itu dipenuhi dengan gerai, khemah dan pelbagai aktiviti, pameran dan demonstrasi kraf untuk dilawati pengunjung.

Seramai 31 pembeli atau pedagang kraf dari 15 negara turut dijemput ke pameran ini. Mereka mengambil bahagian dalam aktiviti perjumpaan pembeli dengan 65 usahawan kraf tempatan yang akan memperkenal dan menawarkan produk mereka untuk pasaran eksport.

Usahawan kraf Malaysia juga berpeluang mempelajari dan mendalami kemahiran teknik pembuatan kraf ukiran kayu dan batu daripada tenaga pakar dari Uzbekistan, China, Thailand dan Indonesia.

Sesi apresiasi kraf juga diadakan bagi yang pelajar, usahawan dan peminat kraf yang mahu mengikuti seminar sepanjang promosi kraf ini yang terbahagi kepada tajuk “Kraf Dalam Fesyen dan Busana”, “Kraf Bagi Keperluan Hiasan Dalaman”, “Kraf Sebagai Aksesori”, “Kraf Sebagai Hadiah dan Cendera mata”, “Kraf Dalam Landskap” dan “Kraf Untuk Kelengkapan Rumah dan Pejabat”.

Seramai 14 Adiguru Kraf, iaitu mereka yang dilantik Kraftangan Malaysia untuk memperturun ilmu pembuatan kraf kepada generasi muda turut dijemput dan diberi pengiktarafan pada Hari Kraf ini atas jasa mereka memulih dan memelihara kraf warisan yang semakin dilupakan.

Ilmu membuat tenunan (sambitan) Sabah, pasu Iban, jebak puyuh, wau dan songket Sarawak misalnya, diwarisi oleh generasi Pandian Sulaiman, Andak anak Lembang, Shafie Jusoh, Che Mud Che Awang dan Dayang Norsalam Pengiran Persih.

Rata-rata warga emas ini sudah mewarisi seni kraf sejak zaman kanak-kanak lagi.

Kraftangan Malaysia memberi mereka beberapa insentif seperti elaun bulanan insurans dan wang ganjaran untuk perkhidmatan mereka.

Tidak ketinggalan pada Hari Kraf ini ialah persembahan kesenian dan permainan rakyat dan kaunter khidmat usahawan juga dibuka untuk pengunjung yang berminat menceburi industri ini.

RUGI KALAU TIDAK DATANG

Dengan segala tarikan dan kemudahan bas khas ulang alik untuk pengunjung ke Kompleks Kraf ini, pengunjung Hari Kraf meningkat saban tahun dari 16,803 orang pada 2003 kepada 116,415 orang tahun 2007.

Pada 2008 Kraftangan Malaysia akhirnya berjaya menarik pengunjung “berkualiti” kerana jumlah jualan meningkat kepada RM7.53juta (berbanding RM6.39 juta pada 2007) walaupun jumlah pelawat ialah 56,136 orang.

Shahruddin berkata pada tahun ini Kraftangan Malaysia membuat sasaran jualan lebih RM8 juta dan beliau yakin jumlah itu boleh dicapai kerana Hari Kraf semakin dinanti-nantikan orang ramai.

Jadi bagi mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke Kompleks Kraf, beliau mengalu-alukan mereka: “Rugi kalau tidak datang…” katanya.

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Seorang pelajar Malaysia di London pernah bertanyakan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, apakah pasaran domestik sudah cukup diterokai kraf Malaysia, lalu mahu melebarkan sayap ke luar negara.

Soalan ini susulan Kraftangan Malaysia melakukan promosi selama sebulan kraf terbaik Malaysia di gedung ternama Harrods di Knightsbridge, London yang berakhir hujan bulan ini.

Jawab Shafie; usaha promosi itu ibarat Petronas mencari gali minyak di negara lain, yang ternyata hasilnya menguntungkan.

Bagaimanapun hakikatnya aktiviti promosi di dalam dan luar negara oleh Kraftangan Malaysia untuk meningkatkan jualan kraf sudah menampakkan kejayaan, dengan pencapaian jualan kraf di peringkat domestik meningkat 66 peratus (RM8.49 juta) pada 2007 kepada RM14,14 juta pada 2008.

Aktiviti promosi di luar negara meningkat sebanyak 197 peratus daripada RM5.3 juta pada 2007 kepada RM15.8 juta pada 2008.

Semasa merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 19 Mac lepas, Shafie berkata promosi kraf di Harrods yang bertemakan “Malaysian Craft at Its Best” merekodkan hasil jualan setakat 18 Mac, sebanyak RM631,000 dan perkembangan positif itu membuatkan Kabinet merestui promosi sedemikian diteruskan setiap tahun.

Kata beliau, langkah berikutnya ialah membawa produk kraf negara ke gedung-gedung ternama di bandar besar lain sebelum sebuah pusat perdagangan dibuka di luar negara untuk memudahkan penyimpanan dan pengedaran kraf ke tempat-tempat berkenaan.

TIGA PERKARA

Shafie mencadangkan tiga perkara yang patut diberi penekanan oleh Kraftangan Malaysia, agensi di bawah kementerian, dalam mengusahakan pelebaran pasaran kraf tempatan, iaitu pertama, memperbanyak aktiviti pemadanan perniagaan dalam kalangan usahawan kraf tempatan dengan pemborong dan pengedar kraf ternama antarabangsa.

Ini landasan terbaik untuk memperkenal produk baru mereka, mendapatkan maklum balas permintaan pasaran terkini dan memastikan mereka berupaya membekalkan produk yang mencukupi di pasaran.

Kedua, menitik beratkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana usaha penambahbaikan produk, inovasi, peningkatan kualiti dan kepelbagaian produk amat penting untuk kraf negara bersaing di pasaran.

Ketiga, Malaysia perlu memberi penekanan kepada pembangunan usahawan kraf – melengkapkan diri mereka dengan ilmu ciptaan, proses dan teknik baru yang boleh mengurangkan kos pengeluaran, selok-belok pengurusan perniagaan dan pemasaran produk serta teknik menghasilkan kepelbagaian bentuk dan rekaan produk.

“Kita masih jauh ketinggalan dari segi pengeluaran dan pengenalan produk kraf kita di pasaran antarabangsa, maka usaha ini akan dipergiat, dan promosi di Harrods boleh dijadikan penanda aras,” katanya.

PROMOSI KETEPI CARA KONVENSIONAL

Pengarah Bahagian Pembangunan dan Promosi Pemasaran Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa promosi di Harrods ialah usaha sulung agensi itu untuk berganjak daripada cara konvensional memperkenal kraf Malaysia di pasaran antarabangsa.

Sebelum ini kraf Malaysia dipromosi melalui pameran perdagangan dan penyertaan di gerai-gerai jualan pesta termasuk Minggu Malaysia di London yang telah diadakan tiga tahun.

Dengan berada di Harrods, usaha penjenamaan kraf Malaysia sudah berubah dan tempat jualannya tidak tertumpu di pasar malam dan tepi jalan lagi, kerana produk kraf negara telah diprofil dalam bentuk eksklusif, katanya.

Beliau berkata perancangan promosi ke Harrods sendiri dilakukan selama setahun dan memandangkan langkah ini sebagai batu loncatan untuk kraf negara menembusi pasaran besar antarabangsa, sebuah pasukan khas ditubuhkan terdiri daripada kumpulan bahagian rekaan, pemasaran dan pembangunan usahawan untuk mengumpulkan produk kraf terbaik.

EKSKLUSIVITI KRAF NEGARA

Semua kraf yang dibawa ke London itu dijual di bawah syarikat Karyaneka Sdn Bhd sebelum dijenamakan kepada Harrods, bermakna hak eksklusif rekaan diberikan kepada gedung itu.

Hak eksklusif ini bagaimanapun cuma pada corak, sedangkan kraf yang sama boleh dikeluarkan dengan rekaan motif berbeza untuk pasaran atau pasar raya lain pula.

“Eksklusiviti ini antara strategi promosi kraf yang berkesan dalam menempatkan kraf Malaysia di tahap tinggi di pasaran.

“Selepas ini saya anggap mudah untuk kraf Malaysia diperaga di gedung dan bandar besar lain kerana sudah ada jenama Harrods yang akan dikaitkan dengan standard dan kualiti yang tinggi,” katanya.

Kraftangan Malaysia dan Karyaneka memastikan usahawan yang terlibat dengan projek besar seperti di Harrods ini mempunyai keupayaan bukan hanya mengeluarkan prototaip produk tetapi mampu menghasilkan semula kraf yang dipesan dengan kekemasan dan kualiti yang terpelihara.

Apakah mungkin kraf Malaysia selepas ini lebih elok dijenamakan di bawah satu logo bagi usaha penjenamaan yang lebih efektif?

Bila diajukan soalan ini kepada Shafie, beliau berkata ia boleh difikirkan tetapi yang diutamakan kini ialah kualiti kraf dan kemampuan pengusaha memenuhi pesanan pembeli.

“Ini disebabkan kraf negara banyak daripada buatan tangan, dan walaupun rekaan dan corak eksklusif dihargai pembeli, kelemahan kita ialah untuk menghasilkan produk yang sama dalam jumlah yang banyak,” katanya.

GEDUNG BELI BELAH TEMPATAN

Berbalik kepada soalan pelajar di London itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia Shahruddin Mohd Nor bersetuju pasaran domestik terutama di gedung membeli belah tempatan patut juga diterokai dan Kraftangan Malaysia memang berusaha ke arah itu.

Kalau Harrods boleh memberi ruang, setakat ini rangkaian pasar raya Jusco memberi kerjasama bagi kraf negara dipromosi di situ begitu juga pasar raya Mydin.

Apa yang diharapkan gedung-gedung ternama lain mengiktiraf kraf tempatan dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya untuk dihargai dan dibeli pengguna.

Mengambil kesempatan daripada Hari Kraf Kebangsaan ini, kaunter khidmat usahawan disediakan bertujuan memberi pendedahan maklumat berkaitan perkhidmatan latihan dan sumber kewangan yang ditawarkan kepada pengusaha kraf dan pengunjung.

Beberapa bank terlibat seperti SME dan Bank Rakyat, Mara serta agensi seperti Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara.

PERJUMPAAN PEMBELI DAN PENGUSAHA

Kraftangan Malaysia juga menemukan 31 pedagang dari 15 buah negara dengan 65 pengusaha kraf tempatan pada sesi “Perjumpaan Pembeli”.

Pembeli dari United Kingdom, Emiriyah Arab Bersatu, Singapura, Jerman, Vietnam, India , Indonesia, Hong Kong, China, Kanada, Nigeria, Qatar, Mauritius, Perancis dan Arab Saudi ini diperkenalkan kepada produk keluaran Malaysia.

Ini satu lagi strategi promosi pemasaran yang dianggap berkesan kerana jalinan perniagaan yang terbina hari ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Ada di antara pembeli dan usahawan kraf Malaysia ini sudah bertemu sebelum ini di luar negara semasa misi promosi dan penyertaan Malaysia di dalam pameran kraf di sana.

Eksekutif Pemasaran East Art Enterprise Abdul Rahim Yusof, Februari lepas buat pertama kali menyertai sembilan lagi usahawan ke Frankfurt, Jerman pada sebuah pameran besar kraf di sana.

Selama seminggu di situ, beliau banyak belajar dan membuka mata bagaimana industri kraf dan peluang pemasarannya begitu luas sekali di luar negara dan sempena Hari Kraf ini, beliau meneruskan rundingan dengan ejen pembeli dari Jerman untuk menjual produk seperti set catur, gelas berkaki dan set meja makan.

Bagi Abdul Rahim, Kraftangan Malaysia banyak membantu memberikan maklumat promosi dan rekaan terbaik kraf, tetapi untuk jualan, beliau perlu kreatif dalam menjual produk dan mendapatkan peluang serta berunding dengan pembeli.

Beliau mahu mencontohi usahawan kraf asing, yang industri kraf mereka juga diwarisi turun temurun, yang mementingkan perancangan pengeluaran sekurang-kurangnya setahun bagi jualan sesuatu produk itu.

Abdul Rahim melihat pasaran kraf Malaysia terbuka luas dan selain mengharapkan dua produk krafnya mendapat tempahan dari Harrods selepas dipromosi selama sebulan, beliau berazam untuk memelihara kualiti dan mempelbagai produk krafnya.

KEPELBAGAIAN PRODUK KRAF DI PASARAN

Kepelbagaian produk kraf ini jugalah yang sedang diberi penekanan oleh Kraftangan Malaysia untuk melariskan produk kraf negara di pasaran, umpamanya daripada fabrik batik, bukan hanya akan terhasil pakaian, tetapi cendera mata, kusyen dan langsir, alas meja dan lapik pinggan. Daripada mengkuang pula bukan setakat bakul, tetapi juga kotak coklat atau gula-gula.

Dalam hal ini projek R&D diteruskan dengan pakar dari Jepun untuk membangunkan pengeluaran kraf baru berteraskan permintaan pasaran negara itu dan Eropah.

Shafie semasa menjelaskan usaha R&D itu, berkata sebanyak 89 rekaan baru telah diselia tenaga pakar Jepun itu, dan produk yang dihasilkan meliputi penambahbaikan rekaan dan menekankan kegunaannya yang lebih spesifik untuk pasaran antarabangsa.

Produk itu akan dibawa ke pasaran antarabangsa melalui penyertaan pengusaha dalam program promosi “Interior Lifestyle 2009″ di Jepun pada Jun dan misi perdagangan “Who’s Next” di Paris, Perancis pada September, katanya.

Kecilnya pasaran kraf di dalam negara tidak lagi akan menjadi kekangan setelah pintu untuk menembusi pasaran antarabangsa dibuka seluas-luasnya.

Siapa tahu, pelajar yang bertanyakan Shafie itu, yang sebelum ini katanya hanya nampak baju batik dipakai kakitangan kerajaan pada Khamis, akan turut berbangga kelak, bila melihat di mana jua batik dan kraf Malaysia digunakan masyarakat antarabangsa.

– BERNAMA

About these ads

One response to “Rencana: Industri Kraftangan

  1. karangan yang bagus dan lengkap….pelajar boleh membaca dan boleh membuat karangan dengan betul mengikut format…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s