Struktur Kehakiman Malaysia

Istanah Keadilan/Palace Of Justice

Istanah Keadilan/Palace Of Justice

Stuktur Mahkamah Malaysia

Stuktur Mahkamah Malaysia

“Kenaikan pangkat hakim-hakim, jika sistem sedemikian wujud, hendaklah diasaskan kepada
faktor-faktor objektif, khususnya, kebolehan, integriti dan pengalaman.”
—Terjemahan dari Klausa 13 Prinsip-Prinsip Asas Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Kebebasan Kehakiman yang dalam bahasa asalnya berbunyi—

“Kesaksamaan adalah perlu bagi perlaksanaan jawatan kehakiman secara sempurna. Ianya terpakai bukan hanya bagi keputusan itu sendiri tetapi juga kepada proses-proses bagaimana keputusan itu dibuat.” “Seseorang hakim hendaklah melaksanakan kewajipan-kewajipan kehakimannya tanpa memihak, berat sebelah atau prejudis.”

“Integriti adalah perlu bagi perlaksanaan jawatan kehakiman secara sempurna.”

“Ketatasusilaan, dan penzahiran ketatasusilaan, adalah perlu bagi perlaksanaan kesemua aktiviti-aktiviti seseorang hakim.”
–Terjemahan dari Prinsip-Prinsip Bangalore Mengenai Tatalaku Kehakiman yang dalam bahasa asalnya berbunyi–

MAHKAMAH ATASAN

Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Tertinggi

Mahkamah Persekutuan merupakan otoriti kehakiman yang tertinggi sekali di Malaysia. Ianya ditubuhkan di bawah Perkara 121(2) Perlembagaan Persekutuan. Keputusannya mengikat semua mahkamah.

Sebelum 1hb. Januari 1985, sistem mahkamah atasan di Malaysia adalah sistem tiga peringkat iaitu–

Majlis Privy

Mahkamah Agung

Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo

Majlis Privy merupakan mahkamah rayuan tertinggi bagi Malaysia sehingga 31hb. Disember 1984. Pada 1hb. Januari 1985, semua rayuan dari Malaysia ke Majlis Privy telah dimansuhkan. Bagi menggantikannya, Mahkamah Agung Malaysia ditubuhkan menjadikannya mahkamah rayuan terakhir di negara ini. Pemansuhan rayuan ke Majlis Privy telah mengakibatkan perubahan sistem tiga peringkat mahkamah atasan kepada sistem dua peringkat iaitu Mahkamah Agung dan dua (2) Mahkamah Tinggi.

Pada 1994, perubahan yang ketara berlaku kepada Badan Kehakiman apabila Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan. Melalui pindaan tersebut, Mahkamah Rayuan telah ditubuhkan. Mahkamah Agung dinamakan semula sebagai Mahkamah Persekutuan. Oleh yang demikian sistem tiga peringkat mahkamah atasan dihidupkan semula.

Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan, jawatan tersebut dikenali dalam Bahasa Inggerisnya sebagai “Lord President”.

Ahli-Ahli

Mengikut Perkara 122(1) Perlembagaan Persekutuan Mahkamah Persekutuan hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, kedua-dua Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan tujuh hakim lain.

Pelantikan Hakim-Hakim

Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan lain-lain hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Sebelum mengemukakan nasihatnya, Perdana Menteri hendaklah, kecuali bagi pelantikan Ketua Hakim Negara berunding dengan Ketua Hakim Negara.

Pelantikan Hakim-Hakim Tambahan

Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan membolehkan Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Ketua Hakim Negara, melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan
kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan. Pelantikan ini boleh dibuat bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh
masa yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Komposisi

Setiap prosiding Mahkamah Persekutuan hendaklah, mengikut seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 didengar dan dilupuskan oleh tiga hakim atau lebih yang bilangannya hendaklah ganjil dan sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Hakim Negara. Semasa ketiadaan Ketua Hakim Negara, ahli mahkamah yang kanan sekali hendaklah mempengerusikan persidangan itu. Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Ketua Hakim Negara boleh menamakan seorang hakim Mahkamah Rayuan selain daripada Presiden Mahkamah Rayuan untuk bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sekiranya beliau berpendapat, demi kepentingan keadilan, ianya perlu.

Persidangan

Mahkamah ini bersidang pada masa dan tempat yang ditentukan oleh Ketua Hakim Negara dari masa ke semasa. Pada kebiasaannya Mahkamah Persekutuan bersidang di Palace of Justice, Putrajaya. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan juga bersidang secara litar di bandar-bandar utama seperti di Pulau Pinang, Ipoh, Kota Bharu, Johor Bahru, Alor Setar, Kuantan, Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu (seksyen 75 Akta Mahkamah Kehakiman, 1964).

Bidangkuasa

Mengikut Perkara 121(2) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidangkuasa–

(a) untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya;

(b) asal atau runding sebagaimana yang ditentukan mengikut Perkara 128 dan 130 ; dan

(c) lain-lain seperti yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

Rayuan Jenayah

Mahkamah Persekutuan boleh, menurut seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mendengar dan menentukan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes-kes
jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di dalam bidangkuasa asalnya.

Rayuan Sivil

Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memperuntukkan bahawa rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan boleh dibuat ke Mahkamah Persekutuan dengan kebenaran Mahkamah Persekutuan. Kebenaran itu boleh diberi jika–

(a) keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah mengenai apa-apa kausa atau perkara sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di dalam menjalankan bidangkuasa asalnya dan ianya melibatkan persoalan prinsip umum yang diputuskan bagi kali pertama atau sesuatu persoalan penting yang memerlukan penghujahan lanjut dan keputusan Mahkamah Persekutuan di atasnya akan memberi manafaat awam; atau

(b) keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah mengenai kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan termasuklah kesahihan mana-mana undang-undang bertulis berhubung peruntukan Perlembagaan itu.

(seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

Asal

Hanya Mahkamah Persekutuan sahaja mempunyai bidangkuasa eksklusif untuk memutuskan–

(a) apa-apa persoalan samada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Negeri itu adalah tidak sah atas alasan bahawa badan itu membuat peruntukan berhubung sesuatu perkara yang mana Parlimen ataupun Dewan Negeri mengikut mana-mana yang berkenaan tidak ada kuasa untuk membuat undangundang; dan

(b) pertikaian atas apa-apa persoalan lain antara Negeri dengan Negeri atau antara Persekutuan dengan manamana Negeri.

(Perkara 128(1) Perlembagaan Persekutuan).

Rujukan

Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan–

“Tanpa menjejaskan apa-apa bidangkuasa rayuan Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu mahkamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidangkuasa (tertakluk kepada mana-mana kaedah mahkamah yang mengawalselia penjalanan bidang kuasa itu) untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu”.

Nasihat

Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan menyatakan–

“Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka”.

MAHKAMAH KHAS

Perlembagaan

Mahkamah Khas ditubuhkan di bawah Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan bagi membicarakan apa-apa tindakan sivil atau jenayah yang dimulakan oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja mana-mana negeri. Bagaimanapun, Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiada apa-apa tindakan sivil atau jenayah boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesebuah negeri berhubung apa-apa perlakuan atau tinggalan yang dilakukan olehnya di dalam kapasiti dirinya melainkan dengan izin Peguam Negara sendiri.

Ahli-Ahli

Perkara 182(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Khas hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Negara yang akan mempengerusikannya, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan dua orang lain yang memegang atau yang pernah memegang jawatan hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Bidangkuasa

Perkara 182(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Khas mempunyai bidangkuasa eksklusif bagi membicarakan semua kesalahan yang dilakukan dalam Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesebuah negeri tanpa mengambil kira di mana kausa tindakan itu berlaku.

Sebagai tambahan kepada bidangkuasa tersebut, Mahkamah Khas hendaklah juga mempunyai bidangkuasa dan kausa yang sama sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang persekutuan kepada mana-mana mahkamah rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Prosiding

Prosidur (termasuk prosiding pendengaran tertutup) di dalam kes-kes sivil dan jenayah dan undang-undang berhubung keterangan dan bukti dalam prosiding sivil dan jenayah, amalan dan prosidur yang terpakai dalam apa-apa prosiding di mana-mana mahkamah rendah, Mahkamah Tinggi dan di Mahkamah Persekutuan hendaklah terpakai dalam mana-mana prosiding di Mahkamah Khas.

Prosiding Mahkamah Khas hendaklah diputuskan menurut pendapat majoriti ahli-ahli.

Keputusannya Muktamad

Keputusan Mahkamah Khas adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Persidangan

Mahkamah Khas bersidang di Mahkamah Persekutuan yang terletak di Palace of Justice, Putrajaya, Wilayah Persekutuan pada tarikh-tarikh dan masa yang ditetapkan oleh Ketua Hakim Negara.

MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA

Mahkamah Rayuan telah ditubuhkan pada tahun 1994. Ianya mempunyai bidangkuasa–

(a) untuk memutuskan rayuan-rayuan terhadap keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya; dan

(b) yang lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.

(Perkara 121(1B) Perlembagaan Persekutuan).

Mulai 1 Januari 2002, bilangan hakim Mahkamah ini telah ditambah kepada 15 orang melalui perintah Yang di-Pertuan Agong (Perkara 122A(1) Perlembagaan Persekutuan).

Ahli-Ahli

Mengikut Perkara 122A(1) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Rayuan hendaklah terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan dan lima belas hakim Mahkamah Rayuan.

Pelantikan Hakim-Hakim

Perkara 122B(2) dan (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Presiden Mahkamah Rayuan dan hakim-hakim Mahkamah Rayuan hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Sebelum Perdana Menteri mengemukakan nasihatnya beliau hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Komposisi

Prosiding di Mahkamah Rayuan adalah didengar dan dilupuskan oleh panel tiga hakim atau lebih yang bilangannya hendaklah ganjil dan sebagaimana yang ditentukan oleh Presiden Mahkamah Rayuan (seksyen 38 Akta Mahkamah Kehakiman 1964). Di bawah Perkara 122A(2) Perlembagaan Persekutuan, seorang hakim Mahkamah Tinggi juga boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah Rayuan jika Presiden Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian. Hakim itu hendaklah dinamakan bagi maksud itu oleh Presiden selepas berunding dengan Hakim Besar Mahkamah Tinggi berkenaan.

Persidangan

Mahkamah Rayuan pada kebiasaannya bersidang di Palace of Justice Putrajaya, Wilayah Persekutuan. Walaubagaimanapun, Presiden boleh mengarahkan supaya rayuan didengar pada bila-bila masa dan dimana-mana tempat di Malaysia (seksyen 39 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

Mahkamah Muktamad

Mahkamah Rayuan adalah mahkamah muktamad bagi perkara-perkara yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di bawah bidangkuasa rayuannya atau penyemakannya (seksyen 87 dan seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

Bidangkuasa

Jenayah

Mahkamah Rayuan mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan menentukan sebarang rayuan jenayah terhadap manamana keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi–

(a) semasa melaksanakan bidangkuasa asalnya; dan

(b) semasa melaksanakan bidangkuasa rayuan atau penyemakannya mengenai apa-apa perkara jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

Walaubagaimanapun, sekiranya rayuan itu adalah terhadap mana-mana keputusan Mahkamah Tinggi semasa melaksanakan bidangkuasa rayuan atau penyemakannya mengenai apa-apa perkara jenayah yang berasal dari Mahkamah Majistret, kebenaran Mahkamah Rayuan hendaklah diperolehi dan rayuan itu hendaklah dihadkan kepada persoalan undang-undang yang telah timbul dalam rayuan atau semakan itu dan penentuan Mahkamah Tinggi atas persoalan itu telah mencorakkan keputusan rayuan atau penyemakan itu (seksyen 50(1) dan (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

Sivil

Mahkamah Rayuan mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan menentukan rayuan-rayuan daripada mana-mana penghakiman atau perintah mana-mana Mahkamah Tinggi dalam mana-mana kausa atau perkara sivil, samada dibuat dalam menjalankan bidangkuasa asal atau rayuannya, tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis yang mengawalselia terma-terma dan syarat-syarat bagaimana rayuan-rayuan sedemikian hendaklah dibawa (seksyen 67 Akta Mahkamah Kehakiman 1964). Sungguhpun demikian rayuan tidak boleh dibuat dalam mana-mana hal berikut–

(a) jumlah atau nilai hal perkara dalam tuntutan itu kurang daripada RM250,000 kecuali dengan kebenaran Mahkamah;

(b) penghakiman atau perintah itu dibuat dengan persetujuan pihak-pihak;

(c) penghakiman atau perintah itu berhubung dengan kos sahaja; dan

(d) di mana penghakiman atau perintah Mahkamah Tinggi itu adalah muktamad mengikut mana-mana undangundang bertulis.

Rayuan tidak boleh dibuat terhadap sesuatu keputusan yang dibuat secara terus oleh seseorang Hakim dalam Kamar atas sesuatu saman interplider, jika fakta-fakta tidak dipertikaikan, kecuali dengan kebenaran Mahkamah (seksyen 68 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

Pengkhususan Panel

Memandangkan rayuan di Mahkamah Rayuan semakin meningkat setiap tahun, jumlah persidangan Mahkamah Rayuan juga telah ditambah. Bagi mempercepatkan pelupusan rayuan-rayuan tersebut, panel-panel khusus telah ditubuhkan. Panel-panel itu adalah seperti berikut–

• Panel Jenayah
• Panel Dagang
• Panel Sivil
• Panel Interlokutori
• Panel Kebenaran Merayu
• Panel Writ-writ prerogatif.

Pejabat Pendaftaran

Pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan terletak di Palace of Justice, Putrajaya, Wilayah Persekutuan. Pejabat itu diketuai oleh Pendaftar dan dibantu oleh beberapa Timbalan Pendaftar serta Penolong Kanan Pendaftar. Semua rayuan daripada Mahkamah Tinggi difailkan di Mahkamah Tinggi yang berkenaan tetapi rayuan tersebut didaftarkan di Pejabat
Pendaftaran di Palace of Justice Putrajaya.

MAHKAMAH-MAHKAMAH TINGGI

Mahkamah-Mahkamah Tinggi ditubuhkan di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Di Malaysia terdapat dua Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidangkuasa dan taraf yang setara, iaitu Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak. Mahkamah Tinggi Malaya terdiri daripada seorang Hakim Besar dan empat puluh tujuh orang hakim manakala Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak terdiri daripada seorang Hakim Besar dan sepuluh orang hakim (Perkara 121(1) dan 122AA(1) Perlembagaan Persekutuan).

Pelantikan Hakim-Hakim

Hakim-hakim dilantik di bawah Perkara 122B(2) dan (4) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Sebelum Perdana Menteri memberikan nasihatnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara dan Hakim Besar yang berkenaan.

Seseorang adalah layak dilantik sebagai hakim mana-mana Mahkamah Tinggi jika dia seorang warganegara dan bagi tempoh sepuluh tahun sebelum pelantikannya dia telah menjadi peguam bela bagi mahkamah itu atau menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri.

Pelantikan pesuruhjaya kehakiman diperuntukkan di bawah Perkara 122AB Perlembagaan Persekutuan. Seseorang pesuruhjaya kehakiman yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara hendaklah mempunyai kuasa yang sama dan menikmati kekebalan yang sama seolah-olah dia adalah seorang hakim Mahkamah Tinggi.

Persidangan

Mahkamah-Mahkamah Tinggi bersidang pada masa dan tempat sepertimana yang ditentukan oleh Hakim-Hakim Besar (seksyen 19 dan 21 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).
Bidangkuasa

Jenayah

Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan semua kesalahan yang dilakukan–

(a) dalam bidangkuasa tempatannya;

(b) di laut lepas di atas mana-mana kapal atau di atas manamana pesawat udara yang didaftarkan di Malaysia;

(c) oleh seseorang warganegara atau seseorang pemastautin tetap di laut lepas di atas mana-mana kapal atau di atas mana-mana pesawat udara;

(d) oleh seseorang di laut lepas jika kesalahan itu adalah kesalahan pelanunan mengikut undang-undang antarabangsa; dan

(e) kesalahan di bawah Bab 6 Kanun Keseksaan dan kesalahan berbentuk luar wilayah.

(Seksyen 22 Akta Mahkamah Kehakiman 1964)

Mahkamah Tinggi boleh menjatuhkan apa-apa hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang (seksyen 22(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964). Kes-kes yang melibatkan hukuman mati dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Walau bagaimanapun di dalam hal keadaan yang khas, kes-kes yang tidak melibatkan hukuman mati boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas permohonan oleh Pendakwa Raya (seksyen 418A Kanun Acara Jenayah).

Sivil

Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan semua prosiding di mana–

(a) kausa tindakannya berbangkit;

(b) defendan atau salah seorang daripada beberapa orang defendan bermastautin atau ada tempat urusannya;

(c) fakta-fakta atas mana prosiding itu diasaskan wujud atau dikatakan telah berlaku; atau

(d) sesuatu tanah yang keempunyaannya dipertikaikan terletak;

dalam bidangkuasa tempatan Mahkamah itu dan, walau apa-apa juapun yang terkandung dalam seksyen 23 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, dalam mana-mana kes di mana semua pihak bersetuju secara bertulis, dalam bidangkuasa tempatan Mahkamah Tinggi yang lain.

Mahkamah-Mahkamah Tinggi juga mempunyai bidangkuasa spesifik termasuk–

(a) bidangkuasa di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan perceraian, kausa hal-ehwal suami isteri, kebankrapan atau syarikat;

(b) bidangkuasa dan kuasa yang sama berhubungan dengan perkara-perkara admiralti seperti yang ada pada Mahkamah Keadilan Tinggi di England di bawah Akta Mahkamah Agung 1981 bagi United Kingdom;

(c) bidangkuasa untuk melantik dan mengawal penjaga budak-budak dan pada amnya atas diri dan harta budakbudak;

(d) bidangkuasa untuk melantik dan mengawal penjaga dan pengawas diri dan estet orang terencat akal, orang sakit otak dan tak sempurna akal; dan

(e) bidangkuasa untuk memberi probet bagi wasiat dan testamen dan surat kuasa mentadbir bagi harta pusaka si mati yang meninggalkan harta di dalam bidangkuasa wilayah Mahkamah itu dan untuk menukar atau membatalkan pemberian tersebut

(Seksyen 24 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

Rayuan

Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mendengar rayuan daripada mahkamah-mahkamah rendah. Walau bagaimanapun tidak semua keputusan mahkamah rendah boleh dirayu ke Mahkamah Tinggi. Tiada rayuan boleh dibuat ke Mahkamah Tinggi daripada keputusan mahkamah rendah dalam apa-apa kausa atau perkara sivil jika amaun yang dipertikaikan atau nilai hal perkaranya adalah sepuluh ribu ringgit atau kurang, kecuali atas soal undang-undang (seksyen-seksyen 26-29 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

Kuasa Penyemakan

Mahkamah Tinggi boleh menjalankan kuasa-kuasa penyemakan berkenaan dengan prosiding dan perkara-perkara jenayah di mahkamah rendah mengikut mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa berhubungan dengan prosedur jenayah. Mahkamah Tinggi boleh meminta dan memeriksa rekod sesuatu prosiding sivil yang diadakan di hadapan mana-mana mahkamah rendah bagi maksud memuaskan hatinya bahawa sesuatu keputusan yang telah direkodkan atau diluluskan adalah betul, sah di sisi undang-undang atau patut dan bahawa sesuatu prosiding mahkamah rendah itu adalah menurut peraturan (seksyen-seksyen 31 dan 32 Akta Mahkamah Kehakiman 1964).

Pengkhususan

Mahkamah-mahkamah di Malaysia sedang menuju ke arah pengkhususan. Langkah ini tercetus daripada hasrat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang awam
dalam memberi keadilan secara saksama, cepat dan berkesan. Di bandar-bandar utama di mana terdapat dua atau lebih hakim-hakim Mahkamah Tinggi, pengkhususan telah pun dilaksanakan. Pengkhususan bererti hakim-hakim mendengar kes-kes spesifik sama ada membicarakan kes-kes sivil atau kes-kes jenayah sahaja.

Pengkhususan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, pengkhususan dilakukan dengan membahagikan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kepada Bahagian Jenayah, Sivil, Dagang, Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas dan Mahkamah Keluarga.

(i) Bahagian Jenayah

Bahagian Jenayah mendengar kes-kes di dalam bidangkuasa asalnya dan rayuan-rayuan jenayah daripada mahkamah rendah.

(ii) Bahagian Sivil

Bahagian Sivil mendengar antara lainnya, halang tebus, tort dan kes-kes kontrak bagi perkhidmatan.

(iii) Bahagian Dagang

Bahagian Dagang mendengar antara lainnya, admiralti, insurans, penggulungan syarikat, agensi, urusan bank, harta intelektual dan kes-kes di bawah Akta Relif Spesifik. Terdapat pengkhususan lanjut di Bahagian Dagang, di mana semua kes Perbankan Islam (Muamalat) didengar oleh hakim di Bahagian ini yang juga mendengar kes-kes perdagangan.

(iv) Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas

Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas mendengar rayuanrayuan daripada mahkamah-mahkamah rendah, kes-kes di bawah Akta Profesyen Undang-Undang 1976 dan kajian semula kehakiman bagi tindakan pentadbiran dan di bawah Akta-Akta yang spesifik.

(v) Bahagian Keluarga

Dahulunya Mahkamah Keluarga adalah sebahagian daripada Bahagian Sivil. Kini ianya adalah suatu Bahagian tersendiri dan mendengar kes-kes di bawah Akta Pembaharuan Undang-Undang

(Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Timbalan Pendaftar dan Penolong Kanan Pendaftar

Hakim Mahkamah Tinggi dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendaftar dan Penolong-Penolong Kanan Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 10 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 oleh Yang di-Pertuan Agong di atas syor Ketua Hakim Negara. Timbalan Pendaftar dan Penolong Kanan Pendaftar mendengar perkara71 perkara interlokutori di dalam Kamar. Selain daripada mendengar kes, mereka juga membuat penyelidikan untuk hakim. Mereka juga melaksanakan tugas-tugas pentadbiran seperti menyelia Pejabat Pendaftaran mahkamah masing-masing.

MAHKAMAH-MAHKAMAH RENDAH

Mahkamah Sesyen

Mahkamah Sesyen mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kedua-dua kes sivil dan jenayah. Pada masa ini, terdapat lapan puluh tujuh hakim Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia.

Pelantikan

Hakim Mahkamah Sesyen dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Hakim Besar yang berkenaan (seksyen 59 Akta Mahkamah Rendah 1948).

Mahkamah Rendah terdiri daripada Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah untuk Kanak-Kanak. Kes-kes di Mahkamah Sesyen dibicarakan oleh hakim Mahkamah Sesyen, manakala kes-kes Mahkamah Majistret dan Mahkamah untuk Kanak-Kanak dibicarakan oleh majistret.

Persidangan

Mahkamah bersidang setiap hari kecuali hari cuti am.

Bidangkuasa

Jenayah

Mahkamah Sesyen mempunyai bidangkuasa membicarakan semua kesalahan melainkan kesalahan yang melibatkan hukuman mati dan boleh menjatuhkan sebarang hukuman termasuk hukuman penjara seumur hidup kecuali hukuman mati (seksyen-seksyen 63 dan 64 Akta Mahkamah Rendah 1948).

Sivil

Mahkamah Sesyen mempunyai–

(a) bidangkuasa tidak terhad untuk membicarakan semua tindakan dan tuntutan berbentuk sivil terhadap kes-kes kemalangan kenderaan bermotor, tuan tanah dan penyewa dan distres; dan

(b) bidangkuasa membicarakan lain-lain tindakan dan tuntutan berbentuk sivil di mana perkara dipertikai tidak melebihi RM 250,000.00.

(Seksyen 65 Akta Mahkamah Rendah 1948).

Mahkamah Majistret

Mahkamah Majistret mempunyai bidangkuasa membicarakan kedua-dua kes sivil dan jenayah. Kes-kes di Mahkamah Majistret dibicarakan oleh seorang majistret. Pada masa ini terdapat sejumlah seratus lima puluh satu majistret di seluruh negara. Pelantikan Di dalam dan untuk Wilayah Persekutuan, majistret adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Hakim Besar. Di negeri-negeri lain majistret adalah dilantik oleh Pihak Berkuasa
Negeri atas syor Hakim Besar berkenaan

(seksyen 78 Akta Mahkamah Rendah 1948).

Persidangan

Mahkamah bersidang setiap hari kecuali hari cuti am.

Bidangkuasa

Jenayah

Majistret Kelas Satu mempunyai bidangkuasa membicarakan semua kesalahan yang mana hukuman maksimanya tidak melebihi 10 tahun penjara atau dengan denda sahaja (seksyen
85 Akta Mahkamah Rendah 1948).

Sivil
Majistret Kelas Satu mempunyai bidangkuasa mendengar semua tindakan dan tuntutan berbentuk sivil di mana perkara yang dipertikaikan atau nilai perkaranya adalah tidak melebihi RM 25,000.00 (seksyen 90 Akta Mahkamah Rendah 1948).

Mahkamah Untuk Kanak-Kanak

Mahkamah untuk Kanak-Kanak ditubuhkan di bawah Akta Kanak- Kanak 2001. Seksyen 2 Akta berkenaan mendefinisikan “Kanak-Kanak” sebagai orang yang di bawah umur 18 tahun, dan berhubung dengan prosiding jenayah, bererti seseorang yang telah mencapai umur sepuluh tahun.

Komposisi

Mahkamah ini terdiri daripada seorang majistret dan, jika keadaan kes memerlukan, dibantu oleh dua orang penasihat (seksyen 11(2) Akta Kanak-Kanak 2001).

Persidangan

Tiada sesiapa pun boleh hadir dalam mana-mana prosiding di mahkamah ini kecuali ahli-ahli dan pegawai-pegawai mahkamah dan kanak-kanak yang terlibat dalam pendengaran termasuk ibubapa atau penjaga mereka (seksyen 12 Akta Kanak-Kanak 2001).

Hukuman atau Perintah

Jika seseorang kanak-kanak itu didapati bersalah terhadap sesuatu kesalahan, kanak-kanak itu hendaklah tidak dipenjarakan, tetapi antara lain, boleh samada dihantar ke sekolah-sekolah diluluskan atau dilepaskan atas jaminan. Bagi kesalahan yang membawa hukuman mati kanak-kanak berkenaan hendaklah ditahan di penjara di atas keperkenanan
Raja (seksyen-seksyen 91-97 Akta Kanak-Kanak 2001).

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s