Rencana: Masalah kenaikan harga barang keperluan

Cabaran Besar Menanti Majlis Harga Negara

4 Feb 2008
Penubuhan Majlis Harga Negara (MHN) dilihat sebagai satu lagi kesungguhan kerajaan untuk melindungi kepentingan masyarakat pengguna daripada terus-menerus menjadi mangsa manipulasi harga dan bekalan barangan.

Di bawah MHN, tiga inisiatif bakal diwujudkan iaitu Stok Penimbal Kebangsaan, Pusat Panggilan Kebangsaan dan Kumpulan Pakar.

Memandangkan Majlis ini dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri
Rakyat secara keseluruhannya mengharapkan ia dapat memberikan impak seperti yang diuar-uarkan ketika penubuhannya diumumkan pada 9 Januari lepas.

PERLU SOKONGAN UNDANG-UNDANG

Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Hamdan Adnan berpendapat MHN perlu disokong undang-undang untuk memastikan keberkesanannya.

Ketika diminta mengulas mengenai penubuhan MHN, beliau berpendapat, tanpa undang-undang, MHN tidak ada taring.

“Sekarang pun kita sebenarnya mempunyai banyak undang-undang (Akta Kawalan Harga 1946, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961) untuk melindungi kepentingan pengguna tetapi banyak juga kelemahannya selain tidak dikemaskinikan, ada yang sudah ketinggalan zaman,” katanya.

Beliau yang sudah terbabit dalam bidang kepenggunaan hampir 30 tahun turut menyarankan supaya undang-undang yang sedia ada itu dikaji semula.

“Kita tidak mahu rakyat menganggap penubuhan MHN ini sebagai gimik pilihan raya atau hanya sekadar penghias untuk pilihan raya. Rakyat kini menanggung keperitan kenaikan harga barangan. Kita tidak mahu ada pihak yang mempersendakan penubuhan Majlis ini,” jelas beliau.

Dr Hamdan turut menyarankan supaya mekanisme yang sedia wujud di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan digunakan sepenuhnya.

“Jika pun ada kelemahan, ia boleh diperbaiki atau diperbetulkan,” tambah beliau.

PENENTUAN HARGA

Harga barangan yang melonjak setiap kali musim perayaan atau apabila berlaku kekurangan bekalan sama ada tidak dapat dielakkan atau disengajakan merupakan antara krisis genting yang perlu ditangani segera.

“Justeru, cabaran paling besar bagi MHN ialah bagaimana hendak menetapkan harga. Bagaimana hendak meramalkan perilaku pengguna di masa akan datang, maknanya MHN perlu tahu berapa jumlah produk yang akan menjadi permintaan.

“Bagaimana hendak meramal keadaan pasaran dunia dan bila hendak menaikkan harga,” ini adalah di antara soalan yang dilontar Dr Gairuzazmi M Ghani, penolong profesor, Jabatan Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Secara peribadi, beliau berpendapat kerajaan tidak perlu mengawal harga.

“Mengawal harga adalah satu bentuk subsidi. Banyak lagi cara untuk memberi subsidi dengan sasaran terus kepada pengguna yang memerlukan.

“Secara amnya, langkah mengawal harga memberi subsidi kepada semua orang sama ada orang itu memerlukan atau tidak. Kupon atau baucer boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan subsidi. Bukannya setiap orang perlu membayar dengan harga yang murah,” jelas Dr Gairuzazmi.

MENJADI LANGKAH AWAL

Fomca pula berharap penubuhan MHN boleh menjadi langkah awal kepada penubuhan sebuah Suruhanjaya Harga.

“Kenaikan perbelanjaan sara hidup akibat peningkatan harga keperluan harian seperti makanan, pengangkutan dan perkhidmatan kesihatan memberi impak ke atas kehidupan rakyat.

“Untuk mengatasi kesan buruk daripada kenaikan harga, Fomca merasa amat kritikal untuk diwujudkan Suruhanjaya Harga di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebagai agensi pusat menyelaras, memantau dan mengawal harga barangan serta perkhidmatan di negara ini,” kata Presiden Fomca, Datuk N. Marimuthu.

Suruhanjaya Harga itu, katanya boleh ditubuhkan di bawah undang-undang yang sedia ada seperti Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan atau Akta Perlindungan Pengguna.

Bagaimanapun, tegasnya, Suruhanjaya tersebut mestilah tidak tertakluk kepada kuasa mutlak mana-mana Kementerian bagi memastikan ia dapat melaksanakan tujuan penubuhannya secara rasional, objektif dan keputusannya tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

BADAN MENGAWAL HARGA

Menurut beliau, badan mengawal harga seperti Suruhanjaya Harga yang dicadangkan itu sudah wujud di banyak negara.

Tambahnya, negara maju seperti United Kingdom dan Australia mempunyai badan regulatori harga, Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Bebas untuk Harga dan Regulatori.

“Di negara membangun seperti Kenya dan Jamaica, ada badan kawal selia harga seperti Suruhanjaya Monopoli dan Harga serta Suruhanjaya Perniagaan Adil yang telah wujud lebih sedekad untuk memastikan perkhidmatan utiliti awam berada pada tahap yang berpatutan.

“Di Singapura, wujud Suruhanjaya Persaingan dan Akta Amalan Perniagaan Adil untuk memastikan harga dan mutu barangan serta perkhidmatan pengguna berpatutan,” jelas Marimuthu.

Beliau menekankan bahawa Suruhanjaya Harga akan menggalakkan kecekapan ekonomi Malaysia serta melindungi kepentingan pengguna negara ini melalui kawalan ke atas amalan anti-saingan serta tindakan dominasi pasaran.

STOK PENIMBAL KEBANGSAAN

Inisiatif menubuhkan Stok Penimbal Kebangsaan pula dilihat sebagai jalan keluar kepada krisis kekurangan bekalan barangan keperluan pengguna.

Petrol dan minyak masak adalah antara barangan yang dikatakan akan dimasukkan dalam senarai Stok Penimbal Kebangsaan ini.

Secara umumnya, bekalan barangan keperluan harian bergantung kepada pengeluar atau pengimport. Bagi barangan yang diimport seperti tepung, sebahagian daripada sayur-sayuran dan hasil tangkapan laut, bekalan tempatan sudah pasti terjejas apabila berlaku masalah di negara sumber.

“Dengan adanya stok penimbal ini, apabila berlaku kekurangan, kerajaan dapat mengeluarkan bekalan daripada stok penimbal bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi. Ini dapat menstabilkan harga,” demikian pandangan Marimuthu.

Beliau turut menyenaraikan barangan yang perlu dimasukkan ke dalam stok penimbal adalah barang keperluan asas dan kegunaan harian antaranya tepung, gula, minyak masak, beras, garam, ayam dan daging.

PERLU MAKLUMAT

Bagi barang yang tidak tahan lama, kata Marimuthu, bekalan stok penimbal perlu berdasarkan maklumat bekalan daripada agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

“Sekiranya didapati pada masa-masa tertentu akan wujud kekurangan bekalan, kerajaan telah membuat persiapan untuk memastikan bekalan ayam dan daging telah ada dalam stok penimbal,” jelasnya.

Dalam hal ini, sudah tentunya kerjasama pelbagai agensi diperlukan bagi membekalkan maklumat bekalan barang keperluan asas dengan kadar yang konsisten dan tepat.

Badan yang menyelenggarakan Stok Penimbal Kebangsaan ini juga perlu sentiasa peka tentang keadaan semasa dan akan datang bagi memastikan bekalan barang keperluan harian sentiasa mencukupi.

LAGI CADANGAN UNTUK STOK PENIMBAL

Marimuthu berpendapat, kerajaan juga perlu mewujudkan sistem amaran tentang bekalan barang keperluan pengguna.

“Sekiranya didapati bekalan barang keperluan harian tertentu akan mengalami kekurangan kerana faktor cuaca, peperangan, peningkatan harga bahan mentah di peringkat antarabangsa, maka amaran awal perlu dimaklumkan kepada badan yang menyelenggara stok penimbal.

“Ini adalah penting supada badan berkenaan dapat menyimpan barang keperluan dengan jumlah yang mencukupi sehingga masalah tersebut selesai,” kata Marimuthu.

Bagi Setiausaha Agong Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Maamor Osman, beliau berharap pihak yang mengendalikan Stok Penimbal Kebangsaan ini akan mengambilkira isu kehalalan sumber dan tempat penyimpanan produk.

Beliau yang turut menyokong penubuhan Suruhanjaya Harga berkata Dasar Stok Penimbal Kebangsaan juga perlu memberi keutamaan kepada golongan rakyat yang susah.

“Sebahagian daripada stok penimbal ini juga perlu disalurkan kepada rakyat bukan sahaja apabila berlaku bencana alam tetapi diagihkan kepada mereka yang susah,” tambahnya.

SEJAUH MANA BERKESAN STOK PENIMBAL

Persoalannya sekarang ialah apakah stok penimbal dapat menyelesaikan isu kenaikan harga barangan?

Menurut Dr Gairuzazmi, stok penimbal mungkin dapat mengurangkan harga untuk jangka masa pendek tetapi mungkin tidak untuk jangka masa panjang.

“Sebagai contoh, kerajaan mempunyai stok minyak masak. Apabila berlaku kekurangan, kerajaan boleh menambah bekalan. Jika harga dijangka meningkat secara tak menentu, stok penimbal tidak akan membantu.

“Sekiranya MHN dapat meramalkan permintaan dengan baik, pada pandangan saya tidak perlu ada stok penimbal. Tambahan jika kerajaan boleh memaksa pengeluar menambah pengeluaran serta merta, tidak perlu juga timbul keperluan mengadakan stok penimbal. Sekiranya pengeluar tidak mampu berbuat demikian, maka perlulah diwujudkan stok penimbal ini,” jelasnya.

Walau apa pun cabaran yang bakal dihadapi MHN, komitmen serta kerjasama semua pihak sudah tentu diperlukan bagi memastikan MHN dapat lebih bertindak seperti yang diharap-harapkan.

Mungkin juga terlalu awal untuk membuat penilaian sejauh mana keberkesanannya Majlis ini namun yang pasti masyarakat pengguna negara ini menaruh harapan besar supaya MHN akhirnya dapat melindungi kepentingan mereka!

– BERNAMA

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s