APEC: KERJASAMA EKONOMI ASIA PASIFIK

Persefahaman Apec bukan cakap kosongOleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my
Kerjasama ekonomi mampu makmurkan pertumbuhan serantau

16 Nov hingga 20 Nov 2009, tumpuan dunia sudah pasti ke Singapura yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2009. Kehadiran pemimpin daripada 21 negara anggota forum itu dilihat penting kerana laporan yang disiarkan kumpulan ekonomi itu kelmarin menyebut eksport anggota Apec adalah 2.8 kali ganda serta import 1.9 kali ganda antara negara anggota berbanding dengan negara bukan anggota Apec.

Menurut laporan itu juga, daripada 1989 hingga 2007, pertumbuhan ekonomi negara anggota Apec adalah sekitar 6.1 peratus, iaitu lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi dunia sekitar 5.8 peratus. Dalam tempoh sama itu juga, jumlah keseluruhan eksport Apec meningkat AS$6.2 trilion (RM21.7 trilion), iaitu purata peningkatan sebanyak 9.5 peratus setahun.

Dunia sudah pasti mengakui bahawa kerjasama ekonomi membabitkan negara anggota Apec yang turut dianggotai kuasa besar ekonomi dunia, jelas memberikan kemakmuran kepada rantau ini. Amerika Syarikat, China, Jepun, Taiwan, Korea Selatan, Singapura serta Hong Kong adalah antara kuasa besar ekonomi dunia dan sudah pasti ia jelas memberikan keuntungan kepada negara membangun yang turut menjadi anggota Apec.

Sudah pasti, Malaysia antara negara anggota asal kerjasama ini, yang ditubuhkan pada 1989 mendapat banyak manfaat bagi membangunkan ekonomi dan perdagangan negara dengan memperoleh pelbagai maklumat dan maklum balas daripada negara maju.

Bagaimanapun, ramai penganalisis ekonomi dan politik yang berhimpun di Pusat Konvensyen Suntec City, Singapura, turut berpendapat isu ekonomi bukan tumpuan utama pemimpin besar dunia, walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu.

Kehadiran julung kali Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Asia Tenggara dengan tujuh daripada 10 negara ahli Asean turut menjadi anggota Apec jelas mencuri perhatian. Obama pasti tahu bahawa betapa pentingnya kestabilan rantau Asia Tenggara kepada iklim ekonomi dunia kerana ia mampu mengubah senario ekonomi dunia, selain pelaburan besar syarikat negara itu ke rantau ini.

Justeru, walaupun masih belum ada pengumuman rasmi, Obama dijangka mengadakan pertemuan dengan semua tujuh pemimpin Asean termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Malah, Perdana Menteri yang tiba ke Singapura hari ini, mempunyai jadual ketat dengan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa Ketua Kerajaan anggota Apec.

Antara yang sudah mengesahkan pertemuan dengan Najib adalah Presiden Russia, Dmitry Medvedev; Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd; Presiden Chile, Michelle Bachelet Jeria serta Presiden Vietnam, Nguyen Minh Triet. Malaysia sememangnya dihormati dalam bidang ekonomi dunia walaupun, perdagangan serta ekonomi negara masih jauh jika dibandingkan dengan Hong Kong, Taiwan atau negara jiran, Singapura tetapi kesungguhan negara dalam membangunkan ekonomi amat dipuji masyarakat perniagaan dunia.

Ramai antara mereka yang masih tidak lupa bagaimana Malaysia mengambil pendekatan yang dilihat amat radikal bagi menghadapi krisis kewangan dunia antara tahun 1997 dan 1998 apabila menambat nilai ringgit kepada dolar Amerika. Pendekatan radikal dalam melindungi ekonomi negara diteruskan lagi tahun lalu, apabila Perdana Menteri mengumumkan dua Pakej Rangsangan Ekonomi yang membabitkan perbelanjaan hampir RM100 bilion.

Semua ini, membuktikan betapa Malaysia amat komited dalam melindungi ekonomi domestik selain meneruskan pelbagai pembaharuan dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI). Dasar liberalisasi beberapa sektor perniagaan dan perkhidmatan yang diumumkan baru-baru ini, jelas disambut baik masyarakat perniagaan antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak FDI mengalir masuk ke Malaysia.

Apa yang pasti, Apec 2009 bukan saja pentas untuk Malaysia mempelajari dan membangunkan ekonomi negara tetapi juga ruang terbaik bagi negara membangun seperti Peru, Filipina dan Mexico mempelajari pengalaman negara untuk meningkatkan perdagangan mereka walaupun pada saat tidak menentu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dipetik sebagai berkata, Malaysia akan menggunakan pentas Apec untuk menghuraikan penstrukturan semula ekonominya dalam transformasi pertumbuhan domestik. Beliau yang dijemput untuk membentangkan kertas kerja mengenai kejayaan Malaysia melaksanakan beberapa langkah ekonomi bukan konvensional bagi mengurangkan kemerosotan ekonomi global terhadap negara.

Apa yang pasti, Sidang Kemuncak Apec 2009 di Singapura ini, juga sebenarnya medan terbaik negara mempromosikan Koridor Pembangunan Ekonomi, Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada 2006. Iskandar Malaysia seluas 2,200 kilometer persegi, dua kali ganda luas daripada Singapura kini, sudah mampu menarik pelaburan asing dan domestik berjumlah hampir RM46 bilion.

Projek mega itu, yang mengambil masa 25 tahun untuk siap sepenuhnya, adalah impian Malaysia untuk mewujudkan satu kawasan pembangunan ekonomi metropolis setaraf yang ditawarkan di Hong Kong dan Shenzhen, China serta Singapura. Komitmen kerajaan memajukan Iskandar Malaysia terbukti apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama negara, Khazanah Nasional Bhd diberikan tanggungjawab untuk menarik FDI ke kawasan berkenaan.

Sebagai Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Najib sudah pasti akan menggunakan kesempatan itu, sebagai ‘jurujual’ utama negara bagi menarik pelabur asing atau lebih tepat masyarakat perniagaan dalam negara anggota Apec, melabur di Iskandar Malaysia.

Sudah pasti Apec 2009 akan menjadi wadah terbaik bagi ketua kerajaan dan masyarakat perniagaan dunia untuk meneroka peluang baru bagi meningkatkan tahap ekonomi dan perdagangan negara atau syarikat masing-masing.

Segala omongan dan dakwaan bahawa Apec adalah sidang untuk ‘bercakap kosong’ tanpa sebarang tindakan konkrit diambil bagi membantu mengurangkan jurang kekayaan antara negara maju dan membangun seharusnya ditangkis dengan satu deklarasi pemimpin negara anggota yang jitu, sejajar temanya tahun ini, ‘Mengekalkan Pertumbuhan, Menghubungkan Rantau’.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s