Karangan: Air dan Krisis Air

Soalan STPM 1999 soalan 3
Krisis air telah melanda sebahagian besar negara terutama di kawasan Lembah Kelang. Adalah didapati bahawa kemarau panjang yang dibawa oleh El Nino bukanlah satu-satunya sebab yang mencetuskan krisis tersebut.
Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor lain yang telah menyebabkan berlakunya krisis itu dan bagaimanakah pula untuk menanganinya?

Padah Krisis Air Sejagat
Air bukan sahaja anugerah kehidupan yang paling hebat tetapi juga sumber penting kehidupan. Tarikh 22 Mac ialah Hari Air Sedunia dan tema yang dipilih untuk 2010 ialah Air Bersih Untuk Dunia Yang Sihat.

Ini ialah bahagian pertama daripada dua bahagian yang mengupas tentang pentingnya sumber ini terus dipelihara serta pelbagai isu yang mengancam sumber air, di peringkat global juga dalam negara.

Air amat penting untuk kehidupan manusia, malahan lebih penting daripada makanan. Tubuh manusia dikatakan boleh bertahan berminggu-minggu tanpa makanan tetapi ia tidak boleh bertahan lebih daripada tiga hari tanpa air.

Dalam banyak hal, air juga menjadi penyumbang besar kepada pembangunan mapan tetapi kesejahteraannya berterusan disanggah dan dianiayai.

Salah urus dan sifat haloba manusia mencetus padah kekurangan air serta pencemaran. Natijahnya, seluruh dunia kini berdepan dengan krisis air.

Pada 1992, syor untuk satu hari antarabangsa bagi mengiktiraf kepentingan air dibuat pada Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCED).

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi tindak balas positif dengan mengisytiharkan 22 Mac 1993 sebagai Hari Air Sedunia yang pertama.

Satu tema akan diperakui untuk setiap tahun Hari Air Sedunia diraikan, memberi fokus kepada isu-isu tertentu berkaitan dengan air.

Untuk 2010, fokus teras perayaan ialah kualiti air, justeru tema yang dipilih ‘Air Bersih Untuk Dunia Yang Sihat.’

SITUASI AIR

Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), jumlah isi padu air di atas muka bumi ialah kira-kira 1.4 bilion kilometer padu (km3). Isi padu sumber air tawar sekitar 35 juta km3, atau kira-kira 2.5 peratus daripada keseluruhan jumlah isi padu air.

Daripada jumlah sumber air tawar, sekitar 24 juta km3 atau 70 peratus ialah dalam bentuk ais serta litupan salji kekal di kawasan pergunungan, rantau Antartik dan Artik.

Kira-kira 30 peratus daripada sumber air tawar dunia tersimpan di dalam perut bumi dalam bentuk air bawah tanah (cekungan air bawah tanah tohor dan dalam sehingga 2,000 meter, lembapan tanah, air paya dan tanah beku).

Ini menjadikan kesemuanya kira-kira 97 peratus dari keseluruhan jumlah air tawar yang berpotensi untuk kegunaan manusia.

Menurut UNEP, suara alam sekitar dalam sistem PBB, tasik air tawar serta sungai mengandungi anggaran 105,000 km3 atau 0.3 peratus daripada sumber air tawar dunia.

Jumlah bekalan air tawar untuk sistem ekologi dan manusia ialah kira-kira 200,000 km3, di mana ia kurang daripada 1 peratus daripada semua sumber air tawar.

UNEP, diasaskan pada Jun 1972 berperanan menyelia aktiviti alam sekitar PBB dengan membantu negara-negara sedang membangun melaksanakan dasar-dasar kemapanan alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mantap di dunia.

AIR SERTA KEGUNAANNYA

Menurut World Water Assessment Programme (WWAP), kira-kira 70 peratus air tawar digunakan untuk pengairan, sekitar 22 peratus untuk industri dan kira-kira lapan peratus untuk kegunaan domestik.

Ia juga menyatakan penduduk dunia berjumlah enam bilion orang menggunakan 54 peratus daripada semua sumber air tawar yang terdapat di dalam sungai, tasik dan sumber air bawah tanah.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), penggunaan air semakin melonjak lebih daripada dua kali ganda kadar kenaikan penduduk dalam tempoh abad yang lalu.

Berdasarkan laporan ke-empat Tinjauan Alam Sekitar Global: penilaian pembangunan untuk alam sekitar atau ringkasnya GEO-4, pengambilan air dari sumber bumi dijangka meningkat 50 peratus menjelang 2023 di negara-negara sedang membangun, dan 18 peratus di negara-negara maju.

GEO-4 ialah laporan komprehensif serta berwibawa PBB mengenai alam sekitar, pembangunan dan kesejahteraan manusia.

Berdasarkan Laporan Pembangunan Manusia 2006 Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), lebih 1.4 bilion orang pada masa ini tinggal di lembangan sungai di mana penggunaan air mengatasi paras penjanaan semula air minimum, mengakibatkan pengeringan sungai dan penyusutan air bawah tanah.

KRISIS AIR SEJAGAT

Statistik FAO menunjukkan, menjelang 2025, 1.8 bilion orang akan tinggal di negara-negara atau kawasan dengan kekurangan air yang mutlak, dan dua pertiga daripada penduduk dunia akan berdepan dengan keadaan hidup yang banyak tekanan.

Mengikut kajian WWAP, setiap orang memerlukan antara 20 hingga 50 liter air bersih yang selamat sehari untuk menjamin keperluan asas minuman, memasak dan pencucian.

Namun demikian, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada seorang bagi setiap 6 orang di seluruh dunia (kira-kira 894 juta) tidak mempunyai akses kepada jumlah air bersih itu.

Di peringkat global, cirit-birit ialah punca menyebabkan penyakit dan kematian akibat kekurangan akses kepada kemudahan sanitasi serta bekalan air yang tidak mencukupi bagi kebersihan di samping air minuman yang tidak selamat.

Malahan hari ini 2.5 bilion orang, termasuk hampir satu bilion kanak-kanak, tinggal tanpa sanitasi asas. Setiap 20 saat seorang kanak-kanak maut akibat keadaan sanitasi yang menyedihkan. Angka itu ialah 1.5 juta kematian yang boleh dielakkan setiap tahun.

Perangkaan berkenaan diperoleh daripada Water Supply and Sanitation Collaborative Council (WSSCC), organisasi antarabangsa dengan sekretariat berpejabat di Geneva, Switzerland.

KRISIS BERTERUSAN

Menurut WSSCC, di bahagian Sub-Sahara Afrika, merawat cirit-birit melibatkan 12 peratus daripada bajet kesihatan. Pada hari biasa, pesakit yang menderita penyakit berkait dengan kotoran najis memenuhi lebih separuh daripada katil hospital.

Kajian yang dibuat oleh WWAP mendapati, dua juta tan sisa manusia dibuang ke dalam saliran air setiap hari. Di negara sedang membangun, 70 peratus sisa industri dibuang tanpa dirawat ke dalam air di mana ia mencemar sumber air yang boleh digunakan.

Hasil penemuan ini senada dengan kajian GEO-4 iaitu jangkaan peningkatan penggunaan baja untuk pengeluaran makanan serta limpahan air sisa dalam tempoh tiga dekad akan datang akan menaikkan kandungan nitrogen di dalam sungai antara 10-20 peratus ke sistem ekologi pesisiran pantai.

Menurut WWAP separuh daripada kawasan paya air tawar dunia pupus sejak 1900.

Ia juga menganggarkan bahawa antara 1991 dan 2000, lebih 665,000 orang terkorban dalam 2,557 bencana alam di mana 90 peratus ialah kejadian yang berkait dengan air.

IMPAK KRISIS

Keperluan air minuman harian setiap orang ialah antara 2 hingga 4 liter, tetapi untuk menghasilkan makanan harian untuk seorang memerlukan antara 2,000 hingga 5,000 liter air.

Menurut FAO, sebanyak 1,000 hingga 3,000 liter air diperlukan untuk menghasilkan hanya sekilo beras dan 13,000 hingga 15,000 liter air bagi mengeluarkan sekilo daging lembu di mana haiwan ini diberi makan bijirin.

Agensi PBB itu menganggarkan pada 2007, jumlah orang yang mengalami kekurangan khasiat makanan seluruh dunia ialah 923 juta.

Dari tempoh itu hingga 2050, FAO melaporkan air dunia perlu menanggung sistem pertanian yang akan memberi makan serta menjana mata pencarian untuk tambahan 2.7 bilion orang.

Dari segi tanah di bawah pengairan di dunia, FAO menganggarkan ia sekitar 277 juta hektar, iaitu kira-kira 20 peratus daripada semua kawasan pertanian. Pertanian yang bergantung kepada air hujan juga diamalkan iaitu hampir 80 peratus daripada tanah suaitani.

Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim meramalkan hasil tuaian daripada pertanian yang bergantung kepada sumber air hujan akan menurun sebanyak 50 peratus menjelang 2020.

Akibat perubahan iklim, agensi PBB itu menjangkakan salji dan ais banjaran Himalaya, yang menyumbang sejumlah besar air untuk pertanian di Asia dijangka merosot sebanyak 20 peratus menjelang 2030.

Katanya pengairan dan saliran menaikkan hasil tuaian kebanyakan tanaman sebanyak 100 hingga 400 peratus, dan pertanian yang membabitkan pengairan menyumbang 40 peratus kepada pengeluaran makanan dunia.

Bagaimanapun, amalan perparitan dan pengairan yang lemah menyebabkan berlakunya air tersumbat dan kemasinan tanah (salinisation), melibatkan kira-kira 10 peratus tanah dunia yang digunakan untuk pertanian.

AIR SEMAKIN BERKURANGAN

Climate Institute (CI), pertubuhan bukan bersifat keuntungan yang berpejabat di Washington mengenal pasti empat faktor utama, iaitu pertumbuhan penduduk, peningkatan urbanisasi, penggunaan air yang tinggi, pencemaran dan perubahan iklim yang menyebabkan kekurangan air.

Menurut Institut itu, penduduk dunia pada abad lepas meningkat tiga kali ganda dan dijangkakan meningkat daripada jumlah 6.5 bilion sekarang kepada 8.9 bilion pada 2050.

Dalam tempoh 20 tahun akan datang, jumlah penduduk di bandar-bandar di Asia juga dijangkakan akan bertambah seramai satu bilion orang.

Penggunaan air juga dijangka meningkat selaras dengan kepesatan kemajuan serta pembangunan seluruh dunia.

Sumber air tawar juga dijangka merosot akibat perubahan iklim yang tenat dengan impak bukan sahaja ke atas kualiti air tetapi juga sistem ekologi akuatik dan air bawah tanah.

Beberapa bahagian selatan China dilaporkan baru-baru ini mengalami kemarau yang paling buruk dalam tempoh beberapa dekad ini. Ini menyebabkan berjuta-juta penduduk tidak mempunyai bekalan air yang cukup dan banyak kawasan perladangan menjadi terlalu kering untuk dicucuk tanam.

Malah sesetengah penganalisis meramalkan air akan menjadi faktor penting mencetuskan konflik dan pertikaian pada masa depan akibat kekurangan air yang melampau memandangkan banyak negara berkongsi lembangan sungai serta sumber air yang lain.

Sebagai komponen utama organisma hidupan, air yang berkualiti baik ialah perkara asasi untuk kegunaan manusia.

Ia juga amat diperlukan untuk menampung kegunaan pelbagai aktiviti ekonomi serta sistem ekologi yang kita diami.

Kualiti air juga ditentukan oleh faktor fizikal, kimia dan biologikal memandangkan air ialah pelarut sejagat, yang bermakna ia boleh melarut pelbagai bahan.

Sehubungan dengan itu, kualiti air bergantung kepada bahan yang dilepaskan ke dalam alam sekitar termasuk ke air permukaan dan air bawah tanah.

Perlu juga diingat bahawa air selepas digunakan lazimnya akan kembali ke sistem hidrologikal dan alam sekitar akan menanggung impak buruk jika air ini dibiarkan tanpa dirawat.

KEADAAN DI MALAYSIA

Di Malaysia, bilangan penduduk yang semakin bertambah serta kemajuan dan perkembangan pesat kegiatan ekonomi menjadikan permintaan air semakin meningkat.

Keadaan ini mendorong pelbagai pihak mencari alternatif bagi memastikan bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan negara.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah untuk mengekstrak air bawah tanah dengan sebuah projek disyorkan di Daerah Batang Padang, Perak.

S. Piarapakaran, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) bertegas masih banyak cara untuk menguruskan keperluan air negara terutama di sekitar Lembah Klang.

Di Malaysia, katanya, sumber air permukaan (terutama sungai) dilaporkan lebih banyak berbanding air bawah tanah, dengan memetik perangkaan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

“Jumlah sumber air permukaan di Malaysia ialah 566 km2 berbanding 64 km2 sumber air bawah tanah.

Ini jelas menunjukkan Malaysia perlu memberi perhatian kepada pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air permukaan,” beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

PELIHARA SUMBER AIR

Antara langkah yang boleh diambil ialah untuk memelihara sumber air. Ia adalah komitmen semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan tanggungjawab bersama menggunakan air secara lestari dan memulihara sumber air permukaan.

Pemeliharaan sumber air termasuk melindungi sumber air mentah, pengurusan sungai yang lebih cekap, memastikan keperluan air flora dan fauna terjamin di samping mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap.

Menurut Piarapakaran, pemeliharaan sumber air ialah satu langkah bijak berbanding melabur berjuta-juta Ringgit untuk membina prasarana baru seperti empangan, tadahan, loji perawatan serta sistem rangkaian pengagihan.

Langkah-langkah berkenaan, baginya lebih menjimatkan kos dari segi ketersediaan air mentah.

“Dalam jangka masa panjang, cara ini lebih ekonomik. Kita juga perlu ingat air permukaan akan memberi impak langsung kepada air bawah tanah. Kesudahannya jika air bawah tanah menjadi tidak sesuai untuk digunakan, apa pilihan kita selepas itu? “tanya Piarapakaran.

ELAK CEMARI SUNGAI

Beliau turut menekankan bahawa mengurus air permukaan yang sebahagian besarnya sungai, amat penting memandangkan ia menyumbang kepada hampir 95 peratus sumber air mentah untuk kegunaan.

Malangnya usaha untuk melindungi sumber-sumber ini di Malaysia masih lagi tidak mencukupi. Ini menyebabkan semakin banyak kegiatan mencemari sungai oleh industri termasuk di sungai-sungai yang berkongsi sempadan.

“Sebagai contoh Sungai Labu iaitu kombinasi Sungai Batang Nilai dan Sungai Batang Labu yang terdedah kepada pencemaran dari industri, kegiatan komersial dan tangki septik individu.

“Tahukah masyarakat bahawa sungai ini adalah sumber air mentah di Selangor untuk Loji Perawatan Air Salak Tinggi. Hak manusia untuk mendapatkan air berkualiti baik adalah hak asasi sejagat dan tidak terbatas oleh sempadan negeri atau negara, “tegasnya.

Kerajaan Negeri, kata Piarapakaran, perlu menjamin kualiti air mentah bagi memastikan kos perawatan yang setimpal.

Jika kualiti air menurun, jelasnya, ia akan menjadikan kos perawatan lebih tinggi yang bermakna tarif air yang tinggi kepada pengguna.

MENGURUS AIR TANPA HASIL (NRW)

Air Tanpa Hasil (NRW) boleh dikategorikan kehilangan dalam pengeluaran untuk setiap industri pembekal air.

Menurut Water Industry Guide 2008, nilai NRW boleh mencapai setinggi 60 peratus untuk negeri dan 37 peratus ialah purata NRW peringkat kebangsaan bagi keseluruhan industri bekalan air di Malaysia.

Kerugian NRW mencecah hampir RM 1.5 bilion berdasarkan statistik purata tariff serta kegunaan untuk industri dan pengguna domestik.

Mengulas lebih lanjut tentang NRW, Piarapakaran memberitahu bahawa secara umumnya ia masih menjadi faktor utama menyumbang kepada kerugian pendapatan bagi industri bekalan air.

Persatuan Air Antarabangsa (IWA) mendefinisikan NRW kepada tiga komponen iaitu Penggunaan Dengan Kebenaran Tidak Dibil (UAC) yang merujuk kepada air yang digunakan untuk memadamkan api atau pengagihan air percuma atau yang disediakan untuk institusi keagamaan.

Komponen kedua ialah Kehilangan Langsung, yang merujuk kepada penggunaan air tanpa kebenaran serta pemeteran yang tidak tepat termasuk penyambungan haram.

NRW juga merujuk kepada kerugian sebenar akibat kebocoran daripada pemindahan atau pengedaran utama di samping kebocoran dan limpahan daripada simpanan utiliti.

Piarapakaran menggesa pihak kerajaan dan syarikat pembekal air mengambil langkah yang diperlukan untuk menangani isu NRW.

Pengurangan NRW, katanya bermakna lebih banyak permintaan air boleh dipenuhi tanpa perlu membuat pelaburan baru termasuk cadangan projek mengekstrak air bawah tanah di Daerah Batang Padang, Perak.

MUSIM KEMARAU YANG PANJANG

Laporan media baru-baru ini menunjukkan bagaimana empangan, sungai dan tali air mula menjadi kering kontang di Johor dan di negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia serta Sabah.

Keadaan yang mencemaskan ini dikaitkan dengan fenomena El Nino di mana suhu laut di bahagian Lautan Pasifik berhampiran Khatulistiwa menjadi lebih panas daripada biasa.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan ini dijangka berlarutan sehingga April untuk Semenanjung Malaysia sementara di Sabah ia dijangka berpanjangan hingga Mei.

“Keadaan porak-peranda dalam bentuk krisis air adalah sesuatu yang kita tidak ingin berlaku dalam kemarau yang berpanjangan ini. Ketika perubahan iklim akan terus menukar corak taburan hujan, kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kalau hendak diikutkan, pihak kami telah menasihatkan syarikat air untuk melaksanakan pelan kecemasan mereka. Ini penting bagi memastikan pengguna memberikan respons yang sewajarnya di samping membantu syarikat air menyelaras pelan itu jika situasi sebenar berlaku.

“Sehingga kini, kita masih melihat tindakan dibuat bila berlaku waktu kecemasan sahaja,” kata Piarapakaran yang jelas kecewa sambil menambah latihan kecemasan perlu dibuat secara berperingkat bagi semua pengguna.

Langkah sedemikian, katanya dapat membantu memperkemaspenyebaran maklumat, halangan komunikasi dan kesediaan pengguna sekiranya berlaku krisis air.

“Dalam krisis, jika pelan kecemasan dibuat dan catuan air dikenakan secara tiba-tiba ini sudah tentu akan memeranjatkan pengguna dan mewujudkan keadaan yang tidak menyenangkan. Berdasarkan kajian di lapangan, penduduk di Melaka akan mengalami trauma sekiranya paip mereka kekeringan. Ini ekoran musim kemarau paling teruk yang dialami beberapa tahun dahulu.

“WECAM baru-baru ini mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan pihak itu sedang mengkajinya. Pelan ini juga memerlukan maklum balas syarikat bekalan air untuk pelaksanaan yang lebih efektif,” tambahnya.

ANTARA SYOR

Piarapakaran yang juga Ketua Pegawai Operasi, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkongsi beberapa syor untuk menangani isu kekurangan air.

Melindungi semua kawasan tadahan air dan kawasan yang berpotensi dilihat sebagai langkah utama yang perlu dilaksanakan.

“Sekiranya kita terus melepaskan bahan toksik ke dalam sungai, kita tidak boleh mengubah keadaan ini apabila berlaku kecemasan.

Sebagai tambahan, rangkaian paip antara loji perawatan air untuk mewujudkan fungsi sistem grid perlu juga dimajukan.

“Ini serupa seperti grid bekalan elektrik. Apabila satu generator kuasa gagal berfungsi, yang lainnya boleh menstabilkan bekalan elektrik. Ini perlu dijadikan sebagai pelan jangka panjang untuk menangani krisis air,” jelas Piarapakaran.

Rangkaian paip yang tidak disepadukan, katanya, bukan penyelesaian yang berdaya maju, sambil menambah bahawa ini juga berkait rapat dengan perancangan loji perawatan.

Menurut beliau juga, loji perawatan air tidak sepatutnya berfungsi pada kapasisti maksimum kerana perlu ada simpanan untuk menampung kekurangan apabila berlaku krisis.

Simpanan itu boleh membantu penyaluran air ke kawasan yang dilanda krisis kekurangan air menerusi ‘sistem grid’ air yang dicadangkan.

JADI PENGGUNA CEKAP

Tidak dapat tidak, kedua-dua pengguna air industri dan domestik perlu memainkan peranan masing-masing untuk menjadi pengguna air yang lebih cekap.

Penggunaan air yang disyor bagi pengguna domestik seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah 165 liter/sehari/seorang.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia menggunakan lebih daripada 300 liter/sehari/seorang.

“Memang ada banyak langkah kecekapan penggunaan air yang boleh diamalkan setiap hari untuk mengurangkan penggunaan air. Kami di WECAM bersedia untuk membantu pengguna untuk menjadi pengguna air yang cekap.

“Sebagai tambahan, penggunaan air oleh pihak industri perlu juga lebih cekap.

Penggunaan air bagi setiap produk atau perkhidmatan boleh dijadikan pengukur untuk memastikan langkah penggunaan air yang cekap seperti proses bebas air, guna semula air atau kitar semula air boleh diamalkan.

“WECAM akan mengemukakan pelan yang lebih terperinci dan efektif kepada kerajaan Malaysia untuk pertimbangan dan pelaksanaan,” kata Piarapakaran.

About these ads

6 responses to “Karangan: Air dan Krisis Air

  1. memperbanyakkan lagi artikel tentang sumber air negara kita.Terima kasih,

  2. wah..btol2 fakta nie..trm ksih

  3. banyak fakta yg sy dpt di sini. boleh isi dalam karangan. terima kasih… :D

  4. Shafari Hj Johar

    Terima kasih. Karangan yang mapan. Kalah karangan saya.

  5. here got many facts abt tiz article……bt i tink sh0uld add some elobrationz t0o0o….tq.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s