Karangan: Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (National Broadband Initiative NBI)

“Jalur lebar” bakal menjadi ungkapan popular di kalangan rakyat Malaysia apabila Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (National Broadband Initiative NBI) dilaksanakan sepenuhnya.

Menerusi slogan nama “Jalur Lebar Untuk Semua”, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), yang menerajui inisiatif berani itu, akan memastikan semua rakyat Malaysia, sama ada di pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman, mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

Pada taklimat khas untuk para editor Bernama mengenai Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan baru-baru ini, Pengerusi MCMC Tan Sri Khalid Ramli berkata NBI bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang berpengetahuan dan melangkah ke ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Kami mahu meluaskan usaha kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada orang ramai, termasuk mereka yang tinggal di kampung,” katanya.

Menerusi inisiatif itu, Suruhanjaya, yang diletakkan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, menetapkan sasaran perkhidmatan jalur lebar menembusi 50 peratus atau bersamaan 3.2 juta rumah menjelang 2010. Ia akan menyumbang satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan 135,000 peluang pekerjaan baharu tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan yang baharu selain perkhidmatan runcit Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi generasi akan datang (HSBB) Telekom Malaysia di Dataran Merdeka Rabu.

HSBB kebangsaan bernilai RM11.3 bilion yang merupakan projek perdana NBI, merupakan perjanjian usaha sama awam-swasta antara Telekom Malaysia dan kerajaan bagi membangunkan perkhidmatan dan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi generasi akan datang untuk negara.

NBI membahagikan negara kepada tiga zon. Zon satu melibatkan kawasan ekonomi berimpak tinggi seperti kawasan tengah Lembah Klang dan Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor. Zon Dua membabitkan kawasan bandar dan separa bandar yang lain manakala Zon Tiga melibatkan kawasan luar bandar.

Telekom Malaysia akan menawarkan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dengan akses 10 Mbps di zon ini. Penduduk di Zon satu juga akan mendapat akses kepada penyelesaian jalur lebar kompetitif yang lain.

Empat kawasan awal yang akan diliputi perkhidmatan TM HSBB ialah Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

Pelan NBI membabitkan inisiatif swasta untuk menawarkan jalur lebar ke kawasan Zon Dua. Penawarkan jalur lebar di Zon Tiga akan memerlukan campur tangan MCMC menggunakan dana Peruntukan Perkhidmatan Sejagat (USP).

Peruntukan jalur lebar di kawasan berkenaan termasuk Telefoni Asas (menerusi rangkaian tetap dan mudah alih), Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti (CBL) dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (CBC).

Liputan selular di kawasan berkenaan akan diperluas dengan membina lebih banyak menara komunikasi yang dibiayai oleh USP bagi membolehkan operator selular meluaskan liputan masing-masing kepada 97 peratus penduduk menjelang 2011.

Khalid berkata jalur lebar akan mewujudkan peluang dan pasaran untuk pembangunan aplikasi dan kandungan. Pada masa ini, industri kandungan di Malaysia dianggarkan bernilai RM7 bilion, katanya.

“Orang ramai kini lebih menyedari mengenai perkembangan teknologi maklumat dan saya yakin, lebih ramai akan melanggan perkhidmatan jalur lebar,” katanya.

MCMC tidak bersendirian dalam memacu penembusan jalur lebar di negara ini. Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan, juga meningkatkan usaha untuk meningkatkan Internet dalam bidang kuasa masing-masing.

Pada masa ini, terdapat 16.9 juta pengguna Internet di negara ini, 30.4 juta pelanggan telefon selular dan 7.4 juta langganan selular generasi ketiga dan 1.8 juta isi rumah yang memiliki komputer.

Pada pelancaran esok, Perdana Menteri dijangka mengumumkan penggunaan lebih banyak dana untuk meningkatkan penggunaan jalur lebar di kawasan luar bandar.

Beliau juga dijangka membuat beberapa pengumuman penting berkaitan industri telekomunikasi, terutama jalur lebar berkelajuan tinggi.

NBI: Rangsangan Kuat Kepada Ekonomi, Kata Peserta Industri ICT

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2010 — Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) akan menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam ekonomi baru dan ketersediaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti jalur lebar akan menjadi penyumbang besar kepada ekonomi, kata Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd, Dr. Yeah Kim Leng.

Beliau berkata negara-negara seperti United Kingdom dan Australia telahpun melabur dalam inisiatif sedemikian.

Malaysia ialah pengadaptasi awal inisiatif itu dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dari segi daya saing dan inovasi dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, kata beliau kepada Bernama di sini.

NBI dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu malam.

Yeah berkata sementara inisiatif Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB) di bawah NBI diperkenalkan di empat kawasan iaitu Taman Tun Dr Ismail, Shah Alam, Subang Jaya dan Bangsar ekoran populasi dan tahap perindustriannya yang tinggi tetapi lambat laun perlunya ia diperkenalkan di seluruh negara.

“Sebaik sahaja kita mempunyai infrastruktur asas, perlunya kandungan untuk menyediakan perkhidmatan dan kandungan yang lebih baik,” tambah beliau.

Yeah berkata inisiatif ini akan turut menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan yang meluas.

Beliau juga berkata yang penyedia kandungan boleh memanfaatkan kemudahan itu dan menambahbaik perkhidmatan mereka sementara pengguna pula akan mendapat faedah daripada perkhidmatan lebar jalur yang tinggi seperti Internet Protocol TV (IPTV).

Sementara itu, Symantec berkata dengan pelancaran perkhidmatan HSBB hari ini oleh Telekom Malaysia menerusi kerjasama dengan kerajaan, penggunaan pakai jalur lebar di Malaysia dijangka lebih pantas.

Ini bakal membolehkan kerjasama yang lebih baik di kalangan perniagaan dalam dan luar negara serta meningkatkan produktiviti dan mutu keseluruhan perkhidmatan ke atas Internet, katanya dalam kenyataan di sini.

Symantec juga berkata ia tidak sabar-sabar menantikan fasa akan datang penggunaan HSBB Telekom Malaysia yang akan menjangkaui lebih banyak komuniti di Malaysia seiring dengan peluasan liputannya.

Ini sudah pasti akan meningkatkan minat dalam ICT di kalangan warga Malaysia seperti penggunaan teknologi dalam kehidupan harian mereka dan di tempat kerja dan pada masa yang sama menyediakan akses yang lebih besar kepada pengetahuan web dunia, tambahnya.

Bagaimanapun, ia berkata sementara HSBB membawa banyak manfaat, meningkatnya penggunaan jalur lebar seluruh dunia akan turut melonjakkan aktiviti ruang siber yang berniat jahat, sekali gus menyaksikan risiko yang tinggi akan ancaman siber kepada pengguna.

Aktiviti berniat jahat biasanya menjejaskan komputer dengan saling hubung jalur lebar kerana mereka dilengkapkan dengan kapasiti lebar jalur yang lebih besar, saling hubung yang lebih stabil, kelajuan pemindahan yang lebih pantas dan dihubungkan 24/7.

Ini semuanya boleh menarik penyerang siber ekoran keupayaan dan kapasiti mereka untuk meningkatkan serangan, katanya.

Memandangkan keadaan ini, ia menggesa pengguna memastikan keselamatan dalam talian dan menerima pakai amalan terbaik bagi memastikan maklumat peribadi mereka selamat, di samping menikmati pengalaman baharu melalui HSBB.

Sementara itu, NetApp Malaysia memuji kerajaan Malaysia kerana melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Negara.

Ia merupakan pengumuman yang tepat pada masanya dan merupakan petanda baik bagi aspirasi negara ke arah ekonomi inovatif dan berpendapatan tinggi, kata Pengurus Negara NetApp Malaysia, Mano Govindaraju.

Beliau berkata Inisiatif Jalur Lebar Negara yang terdiri daripada pelancaran HSBB dan jalur lebar bagi orang awam (BBGP) bukan sahaja bertindak bagi merapatkan jurang digital dan menambah baik kehidupan ramai orang, malah juga membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta enterpris untuk menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran yang semakin global sifatnya.

Pelancaran NBI akan membuka laluan dan pasaran baharu bagi PKS yang masih belum memanfaatkan ICT sepenuhnya, kata beliau.

Janji untuk meningkatkan kemudahan mendapatkan perkhidmatan jalur lebar akan mendorong penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan mengadakan rangkaian perkhidmatan IT yang luas melalui ‘awan’ kepada PKS dan enterpris seluruh negara, katanya.

Axis Communications juga memuji pelancaran NBI dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

“Axis menanti-nanti pelancaran rangkaian seluruh negara HSBB Telekom Malaysia kerana kami percaya ini akan menghasilkan pemantauan yang lebih cekap melalui pengawasan video rangkaian digital, terutamanya dengan usaha kerajaan untuk menangani isu kadar jenayah yang semakin meningkat dan keselamatan orang ramai,” kata Pengurus Negara Axis Communications, Malaysia, Nafis Jasmani.

Pelaksanaan HSBB akan memacu anjakan teknologi yang berterusan daripada analog kepada video pengawasan rangkaian apabila semakin banyak standard dan teknologi baharu seperti pemampatan video H.264, kualiti imej HDTV dan ciri-ciri pengawasan video pintar mendapat permintaan, katanya.

Penggunaan HSBB akan menyediakan platform bagi aplikasi maju, jalur lebar tanpa wayar mudah alih dan perkhidmatan rangkaian, seperti panggilan video tanpa wayar kawasan luas dan data tanpa wayar jalur lebar.

Perkhidmatan data dan jalur lebar mudah alih di bawah NBI bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia dan ekonominya, malah juga medorong pemantauan cekap melalui pengawasan video rangkaian digital, katanya.

About these ads

3 responses to “Karangan: Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (National Broadband Initiative NBI)

  1. tx much. it helps in my teaching.

  2. pendidikan aliran teknik dan vokasional merupakan pendidikan asas dalam usaha untuk menyediakan tenaga kerja ke arah pembentukan sebuah negara industri. pendidikan ini amat penting untuk pembangunan individu dan negara kelak . huraikan kepentingan pendidikan aliran teknik dan vokasional di negara ini..

    sir , saya menghadapi masalah semasa nak jawab soalan ini..saya berharap saya mendapat tunjuk ajar dari cikgu..

  3. Pingback: Karangan Pengajian Am (PA) : Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan | Bumi Gemilang 感 恩 惜 福

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s