Mahkamah Koroner: Inkues Teoh Beng Hock 2009

Mahkamah Benarkan Mayat Teoh Beng Hock Digali Semula

SHAH ALAM, 4 Nov 2009 — Mahkamah koroner di sini, Rabu membenarkan mayat mendiang Teoh Beng Hock, yang telah dikebumikan lebih tiga bulan lalu, digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Koroner Azmil Muntapha Abas juga memerintahkan supaya bedah siasat kedua itu dikendalikan oleh seorang pegawai perubatan dengan kehadiran empat pakar forensik lain iaitu Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand dan seorang lagi yang akan dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun butiran terperinci mengenai proses bedah siasat itu, termasuk bila dan di mana ia akan dilakukan, hanya akan ditentukan oleh mahkamah Isnin depan.

Koroner Azmil Muntapha membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan keluarga Teoh untuk menggali semula mayat mendiang bagi menentukan punca sebenar kematian setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor itu, yang ditemui mati selepas jatuh dari bangunan Plaza Masalam di sini, Julai lalu.

Permohonan itu dibuat berikutan keterangan Dr Pornthip di mahkamah yang mendakwa terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera.

Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi SPRM menarik perhatian mahkamah bahawa Dr Pornthip tidak berkelayakan daripada segi undang-undang di Malaysia untuk mengendalikan proses bedah siasat terhadap mayat Teoh.

“Ini kerana pakar forensik Thailand itu menerima kelulusan perubatannya dari universiti yang tidak diiktiraf di bawah senarai 250 universiti perubatan dalam Jadual Kedua akta tersebut,” katanya.

Peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, memohon mahkamah supaya membenarkan Dr Pornthip menghadiri proses bedah siasat itu dan membuat pemerhatian bagi membolehkannya menyediakan laporan forensik.

“Kami juga memohon supaya Dr Pornthip dibenarkan untuk memberi keterangan sekali lagi ke mahkamah ini dan membentangkan hasil laporan forensiknya.

“Kami merasakan pendapat Dr Pornthip adalah amat relevan dalam prosiding inkues ini bagi membantu mahkamah membuat penemuan mengenai sebab-sebab kematian mendiang dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematiannya,” kata peguam itu yang turut memaklumkan bahawa Dr Pornthip sedia menghadiri bedah siasat bermula 14 Nov depan.

Gobind juga berkata koroner mempunyai bidang kuasa untuk melantik seorang pegawai perubatan bagi menjalankan bedah siasat ke atas mayat Teoh.

Beliau juga tidak membantah sekiranya bedah siasat itu dihadiri oleh Dr Khairul Azman dan Dr Prashant, yang telah menjalankan autopsi ke atas mayat Teoh sebelum ini, serta seorang pakar forensik bebas yang dilantik SPRM.

Peguam Tan Hock Chuan, mewakili kerajaan Malaysia serta peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi kerajaan negeri Selangor, tidak membantah permohonan itu.

“Kami bersetuju bahawa keluarga si mati berhak untuk mengetahui punca sebenar kematian Teoh dan apa yang berlaku pada 16 Julai lalu.

“Kesemua pihak (peguam) dalam prosiding inkues ini bersetuju untuk membantu koroner dalam hal ini dan kami juga bersetuju bahawa doktor-doktor terbabit dibenarkan untuk menghadiri bedah siasat Teoh,” kata Tan.

Pada 16 Julai, Teoh, setiausaha politik kepada anggota EXCO Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri di pejabat SPRM yang terletak di bangunan yang sama.

Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor.

Inkues Teoh Beng Hock: Tiada ujian kesan kadar adrenalin

5/8/2009

Pengawal keselamatan saksi pertama beri keterangan

SHAH ALAM: Saksi pertama inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock, Siti Zabedah Yahya, berkata beliau terlihat seorang lelaki terbaring di koridor tingkat lima Plaza Masalam ketika berehat.

Siti Zabedah yang juga pengawal keselamatan itu berkata, pada masa itu beliau tidak pasti sama ada lelaki yang dilihat itu sedang tidur atau sudah mati.

“Saya melontarkan skru meja ke arah lembaga berkenaan untuk mengejutnya tetapi lelaki itu tidak terjaga,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Koroner di sini, pagi tadi.

AH ALAM: Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) milik dua lelaki terakhir yang menyerahkan sampel mereka minggu lalu kepada polis bagi membantu siasatan kematian Teoh Beng Hock, tiada padanan dengan sampel DNA dua lelaki misteri di bahagian belakang pakaian dan tali pinggang mendiang.

Peguam pemerhati bagi keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, berkata kedua-dua individu itu Lee Wye Wing, 50, dan Tan Boon Wah, 39, sudah memberikan sampel DNA mereka.

Pada hari pertama inkues minggu lalu, peguam Tan Hock Chuan yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya, memberitahu Mahkamah Koroner beliau dimaklumkan pegawai penyiasat terdapat dua individu yang enggan memberikan sampel DNA mereka.

 

Terdahulu, Tan memaklumkan kepada Mahkamah Koroner, laporan DNA kedua sudah siap dan salinannya diserahkan kepada peguam pemerhati, pagi semalam.

Tan berkata, sebanyak 157 calitan sampel DNA diambil daripada 157 individu untuk dianalisis.

“Untuk makluman mahkamah, 157 individu ini termasuk sampel daripada kesemua kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, anggota dan pegawai polis yang terbabit dalam siasatan kes kematian Teoh, kakitangan Jabatan Forensik yang terbabit, ahli kimia dan individu lain,” katanya.

6/8/2009

news@bharian.com.my

Tidak ada racun, dadah dalam badan Teoh: Saksi

SHAH ALAM: Seorang ahli kimia mengakui tiada ujian untuk mengesan peningkatan kadar enzim adrenalin dalam badan Teoh Beng Hock dilakukan bagi menentukan sama ada beliau berada dalam keadaan cemas atau tertekan sebelum kematiannya, Mahkamah Koroner di sini semalam, diberitahu.

Saksi ketujuh, Zaraiha Awang, 42, berkata beliau hanya melakukan ujian toksikologi bagi mengesan kehadiran alkohol dan dadah biasa saja daripada empat sampel Teoh seperti yang diminta pihak polis.
Zaraiha berkata, ujian toksikologi dilakukan bagi mengetahui sama ada terdapat kesan racun atau sebarang bahan berbahaya ke atas sampel biologi sama ada pada haiwan ataupun manusia.

Katanya, hasil ujian dilakukan terhadap dua sampel darah, air kencing dan kandungan cecair perut Teoh menunjukkan tiada kesan alkohol atau dadah biasa ditemui dalam badannya, yang membuktikan beliau bukanlah mati akibat diracun, mabuk ataupun berada di bawah pengaruh dadah.

Menjawab soalan peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, Zaraiha bersetuju jika seseorang dalam keadaan cemas atau tertekan ketika jatuh dari bangunan tinggi, ia menyebabkan tahap kandungan adrenalin dalam badan meningkat.

18-8-2010

SHAH ALAM: Pakar Patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand memberitahu Mahkamah Koroner di sini semalam, setiausaha politik, Teoh Beng Hock tidak membunuh diri.

Beliau berpendapat selepas meneliti autopsi kedua mayat Teoh. selain tidak membunuh diri, bedah siasat juga tidak menunjukkan bahawa Teoh dipukul atau diseksa sebelum ditemui mati.
Daripada kecederaan yang beliau alami, tidak ada bukti keterangan forensik untuk menyokong mengenai dakwaan (dipukul atau diseksa), katanya ketika menyambung semula keterangannya semalam selepas ditangguhkan hujung tahun lalu kerana gagal hadir selepas mendakwa menerima ancaman keselamatan.

Dalam keterangannya tahun lalu, Pornthip berkata, beliau berpendapat 80 peratus punca kematian akibat dicekik dan didera, manakala 20 peratus lagi bunuh diri sehingga mahkamah membenarkan mayat Teoh digali untuk dibedah siasat kali kedua.

Disoal peguam pemerhati Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar berhubung anggaran peratusan itu, Dr Pornthip menukar pandangannya dengan tidak mengekalkan pendapat Teoh mati akibat dibunuh.

Selepas bedah siasat kedua, saya tidak dapat mengekalkan peratusan itu. Lebih-lebih lagi, saya sendiri tidak berada di tempat kejadian (ketika penemuan mayat Teoh) dan hanya menganggarkannya berdasarkan penemuan pakar patologi forensik serta gambar yang dirakam.

Ketika membuat anggaran itu sebelum ini, saya perlu meyakinkan Koroner untuk membenarkan bedah siasat kedua dijalankan. Bagaimanapun, saya masih mengekalkan pendapat si mati mengalami kecederaan sebelum jatuh dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika jatuh, katanya.
Dr Pornthip juga berkata, kesan lebam pada leher Teoh bukan akibat dijerut atau dicekik, sebaliknya berlaku sebelum dia jatuh yang mungkin disebabkan hentakan kuat objek tumpul.

Katanya, ia juga mungkin disebabkan seseorang meletakkan sesuatu pada leher Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu.

Disoal peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, Dr Pornthip berkata berdasarkan pengalaman siasatan di lokasi kejadian jenayah dan ahli sains forensik, sebarang nota yang ditemui mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cap telapak tangan dengan segera dan dihantar untuk ujian analisis tulisan kerana ia adalah protokol.

Katanya, nota sedemikian tidak memberi kesan terhadap siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi dan beliau lebih gemar bergantung kepada bukti lebih saintifik. Dr Pornthip selesai memberikan keterangannya semalam dan terus kembali ke negaranya selepas itu.

Inkues di hadapan Koroner Azmil Munthapa bersambung 1 September 2010.

Keputusan Mahkamah Kononer pada 5 Jan 2011
Inkues: Beng Hock tidak dibunuh
Selepas 18 bulan Teoh Beng Hock ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Mahkamah Koroner di sini hari ini mengesahkan Setiausaha Politik kepada seorang Exco Selangor itu menemui ajal bukan akibat dibunuh.

Koroner Azmil Muntapha Abas semasa membacakan keputusan bagi inkues menyiasat kematian Beng Hock turut menolak kemungkinan lelaki itu membunuh diri atau wujudnya tindakan pihak ketiga dalam kes tersebut.
“Berdasarkan alasan-alasan yang diberi, rumusan saya bagi inkues ini adalah diputuskan sebagai open verdict (keputusan atau penghakiman terbuka),” katanya.

Dalam keputusan bertulis setebal 20 muka surat yang dibacakan selama 40 minit, Azmil menolak telahan bahawa Beng Hock menemui ajal kerana membunuh diri berikutan terdapat beberapa isu yang masih menjadi tanda tanya.

Ia membabitkan nota misteri yang dijumpai di dalam beg sandang milik Beng Hock yang gagal disahkan milik lelaki itu selain tiada contoh tulisan tangan diperoleh untuk perbandingan.
Jelas beliau, keterangan pakar tulisan tangan juga secara umumnya sering dipertikaikan terutama apabila ia membabitkan karakter huruf Cina.
“Saya kesal kerana tiada pakar psikiatri forensik membuat penilaian dan laporan berhubung keadaan minda Beng Hock atau nota misteri tersebut.

“Saya tidak fikir sebagai koroner saya layak membuat penilaian semata-mata berdasarkan andaian. Saya hanya boleh mengandaikan nota itu ditulis oleh Beng Hock tetapi saya tidak layak untuk mengatakan ia adalah nota bunuh diri,” katanya.
Beliau juga menolak kemungkinan mangsa dibunuh kerana tiada bukti kukuh wujudnya pihak ketiga seperti asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki yang tidak diketahui untuk dikaitkan dengan kesan kecederaan pada
leher mangsa.

Azmil bagaimanapun mengesahkan kesan kecederaan tersebut berlaku sebelum Beng Hock jatuh dari tingkat 14, Plaza Masalam pada hari dia ditemui mati.

“Selepas menilai keterangan Dr. Shahidan Md. Noor, Dr. Pornthip Rojanasunand dan Dr. Peter Venezis, saya dapati ada bukti yang mencukupi untuk mengesahkan ia adalah kecederaan sebelum jatuh.
“Bagaimanapun, saya juga mendapati tiada bukti mencukupi untuk mengesahkan melampaui keraguan munasabah bahawa kecederaan itu menjadi penyebab kematiannya,” kata beliau.

Azmil juga mendapati teori bahawa Beng Hock berada dalam keadaan tidak sedarkan diri semasa jatuh tidak konsisten dengan keterangan pakar-pakar patologi.

Katanya, Pornthip juga tidak memberi keterangan tentang kemungkinan mangsa tidak terjatuh dengan kaki mencecah tanah selain keterangan tentang kesan lekuk pada kasut yang konsisten dengan seseorang mencangkung di atas birai tingkap tidak dicabar.

“Merujuk kepada keterangan Dr. Prashant Naresh Samberkar, koyakan pada seluar konsisten dengan kecederaan akibat mangsa mendarat kaki dahulu semasa jatuh selain kecederaan lain yang konsisten dengan keadaan seseorang cuba menghalang.

“Tiada keterangan diberi untuk mengatakan posisi mencangkung di atas birai tingkap boleh dilakukan oleh seorang yang tidak sedarkan diri,” katanya lagi.

Berdasarkan keterangan pakar-pakar patologi, koroner turut mengesahkan Beng Hock meninggal dunia antara pukul 7.15 pagi dan 11.15 pagi, 16 Julai 2009.

Sementara sebab kematiannya pula ialah kecederaan berganda akibat jatuh dari tempat tinggi sebagaimana yang dipersetujui oleh kesemua pakar tersebut.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 lalu selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza tersebut.

Inkues bagi menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock bermula pada 29 Julai 2009 ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke SPRM untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Walaupun pada peringkat awal inkues dijangka selesai dalam tempoh sebulan, namun ia berlarutan selama 15 bulan tujuh hari dengan 37 saksi termasuk pakar patologi dari Thailand, Pornthip dipanggil memberi keterangan.

Berbeza dengan dua pakar patologi, Dr. Khairul Azman Ibrahim dan Prashant, Pornthip yang dilantik oleh kerajaan Selangor berpendapat Beng Hock mati dibunuh kerana kesan lebam yang ditemui pada leher.
Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan keluarga Beng Hock agar kuburnya digali dan mayatnya dibedah siasat untuk kali kedua oleh pakar patologi berbeza pada 22 November tahun lalu.
Dalam bedah siasat kedua itu, SPRM turut menghantar wakil, Venezis, pakar patologi dari United Kingdom yang kemudiannya memberi keterangan bahawa kecederaan Beng Hock menunjukkan lelaki itu sedar sepenuhnya pada masa kejadian.

Prosiding inkues itu dikendalikan oleh peguam yang dilantik oleh kerajaan, Tan Hock Chuan dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas serta peguam Justin Wee.
Sementara SPRM diwakili Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan suruhanjaya tersebut, Datuk Abdul Razak Musa.
Karpal Singh dan Gobind Singh Deo hadir sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Beng Hock, manakala Malik Imtiar Sarwar mewakili kerajaan Selangor
selain beberapa wakil dari Majlis Peguam Selangor.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s