Rencana: Meningkatkan mutu filem Malaysia

Membawa Filem Malaysia Ke Persada Dunia

Oleh Kamarul Irwan Alias

KOTA KINABALU, 24 Ogos (Bernama) — Filem aksi Thailand, “Ong Bak” bukan asing di Thailand, malah turut dikenali di serata dunia.

Filem yang memenangi anugerah Filem Aksi Asia di Festival Filem Asia di Deauville, Perancis itu turut tercalon sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Catalonia, Sepanyol.

Kesan meluas filem itu juga telah mengiktiraf pelakonnya, Tony Jaa dan negaranya di peringkat antarabangsa.

Ong Bak bukanlah satu filem yang sarat dengan falsafah tetapi ia mampu memenangi hati penonton menerusi plot filem yang amat ringkas dan aksi pertempuran dengan gaya seni mempertahankan diri yang unik di Thailand dikenali sebagai Muay Thai.

Tidak hairanlah filem-filem Tony seterusnya seperti Tom Yum Goong dan terbaru, Ong Bak 2 juga mampu menarik ramai penonton ke pawagam.

Sebagai negara jiran, kita tumpang berbangga dengan kejayaan Ong Bak, malah kita juga gembira dengan filem “Shutter”, sebuah lagi karya anak tempatan negara gajah putih itu yang berjaya menembusi pasaran luar sehingga ke Brazil.

Mungkin perkembangan ini mencetuskan semangat dalam industri filem negara justeru, penganjuran Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) baru-baru ini mengambil tema “Filem Malaysia ke Persada Dunia”.

SINIS

Namun bagaimana filem-filem di Malaysia mampu untuk mencapai ke tahap persada dunia apabila kebanyakannya dilihat tidak dapat menarik penonton tempatan sendiri untuk menontonnya?

Adakah tema festival filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan kerajaan Negeri Sabah itu umpama bermimpi di siang hari.

Mungkin laporan oleh panel juri terhadap 26 penyertaan filem cereka di FFM22 itu boleh memberi gambaran akan tahap industri filem ketika ini.

Panel juri yang diketuai Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin menyatakan pada umumnya filem-filem yang dipersembahkan memperlihatkan keupayaan karyawan meningkatkan tahap dari sudut lakonan dan teknikal tetapi tidak dari segi cerita dan idea asli.

Ia juga menyebut, walaupun tema FFM22 ialah “Filem Malaysia ke Persada Dunia”, namun filem-filem yang dipersembah mengandungi jalan cerita dan lawak jenaka yang tidak universal dan sukar difahami oleh penonton antarabangsa.

Panel juri juga berhadapan dengan beberapa filem yang tidak meninggalkan kesan yang baik, yang mempersenda institusi negara dan ada pula yang mencampur adukkan agama, kepercayaan dengan perbuatan khurafat yang mengelirukan para penonton.

Persoalannya, bagaimana sesuatu karya itu boleh berada di persada dunia?

1 FILEM 1 BINTANG

Menurut Lorna Tee, Pengarah Urusan Irresistible Films, sebuah produksi filem berpusat di Hong Kong, industri perfileman Malaysia memerlukan satu fenomena seperti Ong Bak.

Anak Malaysia yang juga penerbit filem termasuk “The Beautiful Washing Machine”, “Rain Dogs” dan “Before We Fall In Love Again” itu berkata industri perfileman negara memerlukan lonjakan melalui satu filem atau satu bintang gah yang secara tidak langsung membantu filem-filem lain menerima perhatian dunia.

Katanya filem itu perlu mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri sehingga mampu membuatkan penonton ke pawagam.

“Tidak dinafikan kita mempunyai beberapa filem yang baik termasuk karya (allahyarham) Yasmin Ahmad yang memenangi anugerah di peringkat antarabangsa, namun ini bukan filemnya (yang menjadi fenomena),” katanya dalam Simposium Festival Filem di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

Selain itu katanya, kelahiran pelakon lelaki atau wanita yang mempunyai nama di peringkat antarabangsa sudah pasti menarik lebih ramai audien.

Korea Selatan menurutnya, berjaya memasarkan filem-filem negara itu dengan bantuan jenama barisan aktor kacaknya seperti Bae Yong-Joon dan Won Bin di peringkat antarabangsa.

“Kita mempunyai ramai pelakon lelaki kacak dan wanita jelita, namun mereka sekadar terkenal di negara sendiri,” kata graduan University of Surrey, England itu.

Justeru Lorna berkata, bidang pengurusan artis di negara ini perlu di pertingkat sekaligus mampu membawa bakat negara ini ke pasaran antarabangsa.

Katanya syarikat pengurusan bukan hanya perlu berurusan dengan pemain industri tempatan sahaja, malah seharusnya bekerjasama dengan produser antarabangsa untuk memasarkan pelakon tempatan.

FILEM SEBAGAI PERNIAGAAN

Filem juga tidak seharusnya dilihat sebagai hasil seni semata-mata malah ia merupakan satu bidang perniagaan berskala besar.

Mengikut statistik FINAS, jumlah kutipan kasar keseluruhan filem-filem tempatan pada tahun lepas mencecah RM43.24 juta dan ia dijangka meningkat kepada RM50 juta menjelang akhir tahun ini.

Peningkatan ini berkait rapat dengan kenaikan ketara bilangan penonton filem pada tahun lepas iaitu 5.29 juta penonton berbanding 3.68 juta orang pada tahun sebelumnya selain bilangan pawagam yang turut meningkat dengan 91 pawagam serta 453 skrin pada 2008 berbanding 76 pawagam (353 skrin) pada 2007.

Berdasarkan statistik itu, pasaran dalam negara sememangnya cukup berpotensi bagi pembikin filem tempatan meraih keuntungan, apatah lagi pasaran antarabangsa khususnya benua Asia yang menjanjikan kutipan wang lebih besar dan populariti lebih meluas.

Bagaimanapun, menembusi pasaran antarabangsa bukan mudah, beberapa cubaan pembikin filem tempatan untuk meraih tempat di Indonesia, negara serumpun, berakhir dengan kegagalan.

Justeru Lorna berkata pembikin filem perlu melakukan perubahan minda dengan bukan hanya memahami pasaran tempatan malah antarabangsa.

Katanya, mereka perlu mengutarakan persoalan mengenai sasaran audiens, realiti pasaran semasa perfileman antarabangsa, tenaga kerja dan bakat yang tersedia sebelum menentukan cerita, bahasa, bajet, pelakon dan strategi pemasaran bagi sesebuah filem itu.

INSENTIF

Lorna juga menggariskan beberapa insentif yang boleh dilakukan pihak kerajaan dalam membantu meningkatkan kualiti dan promosi filem tempatan termasuk rebet cukai terhadap syarikat korporat yang melabur di dalam sesebuah filem, perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan yang membenarkan rebet cukai dan pembiayaan bagi filem untuk tayangan antarabangsa.

“Bagaimanapun, jika terlalu bergantung kepada sokongan kerajaan, industri ini tidak akan mampu berdiri dengan sendiri,” tegasnya.

Ketua Pengarah FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim berkata kerajaan sebenarnya telah menawarkan pelbagai insentif kepada pembikin filem antaranya skim pinjaman filem cereka; dana pembangunan seni filem dan multimedia; skim wajib tayang; pulangan duti hiburan filem tempatan dan dana filem dokumentari turut disediakan bagi membantu meningkatkan industri perfileman negara.

Selain itu katanya, bantuan promosi dan pemasaran dilakukan melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang merangkumi pembiayaan 50 peratus kos pemasaran di peringkat antarabangsa selain bantuan tiket kapal terbang dan kos penginapan.

“Walaupun bantuan ini telah diuar-uarkan sejak tiga tahun lepas, tiada seorang pun yang mengambil peluang ini,” katanya.

PAPADOM

Umum telah mengetahui, “Papadom”, filem arahan Afdlin Shauki dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada FFM22 yang menutup tirainya pada 8 Ogos lepas.

Filem kekeluargaan yang mengisahkan kasih sayang seorang ayah sehingga terlalu mencampuri kehidupan anak perempuannya itu turut berjaya menobatkan Afdlin dan Liyana Jasmay sebagai Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.

Walaupun filem ini hanya akan berada di pawagam pada 8 Okt depan, penulis telah pun berkesempatan menyaksikan tayangannya sempena festival tersebut.

Filem ini mempunyai jalan penceritaan yang mudah, namun dikuatkan dengan komedi tipikal Afdlin yang mempersembah lawak lisan berbanding aksi atau watak bersifat kebodoh-bodohan.

Bagaimanapun, jika diwujudkan sedikit elemen kejutan dengan tidak mendedahkan terlalu awal tentang kenapa watak ayah lakonan Afdlin sendiri itu berkelakuan sedemikian, pasti membuatkan penonton akan lebih teruja.

Elemen muzik juga seharusnya lebih mantap agar babak dramatik dalam filem ini berupaya meninggalkan kesan mendalam.

Pada akhirnya, mendapatkan penonton tempatan untuk menyaksikan filem ini dilihat tidak begitu bermasalah, tetapi sejauh manakah filem terbaik ini mampu untuk ke peringkat lebih tinggi merupakan satu persoalan yang menarik.

— BERNAMA

One response to “Rencana: Meningkatkan mutu filem Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s