Rencana: Kenapa Pelajar Lelaki Semakin Pupus Di Universiti

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2008 (Bernama) — Fenomena penurunan jumlah pelajar lelaki di universiti dibangkitkan lagi.

Statistik kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009. Kenapa pelajar lelaki semakin pupus di universiti?

Fenomena ini meresahkan banyak pihak termasuk pakar dalam dasar kepimpinan Prof Madya Dr Azahari Ismail yang ditemubual Bernama di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dr Azahari berkata fenomena kekurangan pelajar lelaki di universiti adalah isu kompleks yang berpunca daripada faktor berkait, secara langung dan tidak langsung, yang perlu diteliti secara mendalam kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada negara dan masyarakat.

Beliau berkata fenomena kepupusan itu akan memberi implikasi besar kepada agama, sosio-ekonomi dan psikologi masyarakat, khususnya institusi keluarga, kerana lazimnya lelaki adalah ketua keluarga.

“Terima atau tidak, kejayaan seseorang itu bergantung kepada pendidikan, jadi kalau bakal-bakal bapa ini tiada pendidikan bermakna institusi keluarga akan hancur.

“Ini akan menyumbang kepada masalah lain seperti fenomena “bapa kelam” iaitu bapa yang tidak berperanan. Sudahlah isteri pandai daripada dia, nak cakap banyak tak boleh dan dalam sesetengah kes itu, gaji bini lebih banyak. Bapa ini ‘powerless and meaningless’ (tak ada kuasa, tak berperanan),” katanya.

Dalam mengupas isu itu, Dr Azahari mengaitkan kurikulum sistem pendidikan negara yang secara tidak langsung menyerap sistem pendidikan moden barat yang lebih kondusif kepada pelajar wanita sebagai faktor menyumbang kepada fenomena kepupusan pelajar lelaki di universiti itu.

Beliau berkata sehingga tahun 1800, sistem pendidikan barat moden dicipta bagi memenuhi keperluan masyarakat yang dikuasai lelaki pada ketika itu sehingga berlakunya pergerakan mendapatkan hak sama rata untuk wanita di Amerika di mana pakar-pakar akademik perempuan mencari jalan mengimbangi gender dalam pendidikan.

Bermula daripada itu, sistem pendidikan telah diubah secara menyeluruh daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran, kandungan kurikulum dan penilaian supaya lebih kondusif untuk membantu pelajar perempuan.

“Pada 1974, saya telah bercakap dengan Edna Saffy (President National Women Organisation Chapter South East America) yang memberitahu saya bahawa beliau menjalankan kempen untuk menggalakkan professor (di Amerika) terutama di fakulti pendidikan untuk mengubah kurikulum ke arah itu.

“Ini penting kerana pemikiran pada waktu itu ialah pasca hippie dan anti perang yang secara tidak langsung mengubah haluan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata kurikulum itu telah berjaya memudahkan pelajar wanita berjaya dalam pengajian.

Dr Azahari, yang juga pengarah yang merangka program siswazah menganggur di negara ini pada 1986 berkata, pada ketika itu, keseimbangan antara pencapaian lelaki dan perempuan di Amerika tidak parah kerana nilai “judaeo-christian, frontier mentality dan individualism” masih kuat sekaligus mendesak lelaki untuk berusaha.

Berlainan dengan Malaysia, beliau berkata negara ini telah mengubah sistem pendidikan tanpa sedar (kerana kebanyakan ahli akademik sekitar 30-40 tahun lepas belajar di Amerika) sedangkan nilai tradisi tempatan tidak mantap menyebabkan ramai pelajar lelaki hilang jati diri.

“Ramai lelaki yang melalui proses ini hilang jati diri dan tidak bersungguh-sungguh. Sebab itu saya kata fenomena kepupusan itu parah dan Amerika sendiri mula merasa kesannya selepas 40 tahun,” katanya.

Dr Azahari berkata kajian yang beliau lakukan pada 1978/1979 menunjukkan kecenderungan budak lelaki untuk menjadi ‘pondan’ berasal daripada pengaruh guru dan majoriti guru di sekolah dan tadika adalah guru perempuan.

Kenyataan Dr Azhari itu disokong pensyarah komunikasi Ishak Abdul Hamid yang berkata budaya komunikasi guru perempuan yang lebih menggunakan kemahiran lisan juga mempengaruhi pencapaian pelajar lelaki di peringkat sekolah.

“Budaya komunikasi pelajar lelaki bergantung pergerakan atau penggunaan visual dan grafik dalam pembelajaran.

“Secara langsung, pengajaran secara lisan lebih membantu pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki yang memerlukan elemen bukan lisan dalam meningkatkan keupayaannya memahami sesuatu subjek,” katanya.

Dalam konteks itu, Dr Azahari menegaskan kurikulum yang lebih secocok dengan stail dan keperluan psikologi wanita serta sistem penilaian yang bersifat penilaian akademik (baru akhir-akhir ini diubah dengan memasukkan elemen kokurikulum) secara tidak langsung menyebabkan longgokan pelajar wanita.

“Bagaimanapun fakta bahawa ramai perempuan dalam universiti bukan masalah, atau gelaja tidak baik. Itulah satu rahmat besar sebab masa merdeka dulu berapa ramai perempuan belajar tetapi yang menjadi masalah ialah semakin pantas kadar kekurangan pelajar lelaki itu,” katanya.

Dalam konteks itu, Dr Azahari mencadangkan satu jawatankuasa kerja khas kebangsaan di peringkat kementerian dan universiti ditubuhkan untuk mengkaji dan mencari penyelasaian kepada fenomena kepupusan pelajar lelaki itu.

“Ini bukan perdebatan dalam usaha untuk membangunkan golongan wanita tapi apa yang penting usaha untuk memastikan pelajar lelaki tidak terus terpinggir dan memberikan implikasi negatif kepada negara,” katanya.

Selain faktor kurikulum pendidikan yang lebih kondusif kepada pelajar perempuan, Dr Azahari berkata faktor lain yang turut memainkan peranan ialah perubahan institusi keluarga kepada “keluarga nuklear” (keluarga yang hanya terdiri daripada bapa, ibu dan anak).

“Sebelum ini, ada datuk dalam keluarga yang memberikan pendidikan secara tak langsung melalui cerita-cerita teladan kepada cucunya ketika ibu atau bapa tiada di rumah kerana bekerja. Dengan sendiri jati diri anak lelaki itu kuat dan mereka tidak keliru,” katanya.

Beliau berkata faktor lain yang turut menyumbang kepada fenomena kepupusan itu ialah desakan ekonomi dan harapan masyarakat kepada anak lelaki yang bertanggungjawab memimpin keluarga (dengan bekerja dan mengorbankan pelajaran) sekiranya si bapa tiada atau meninggal dunia.

“Lebih parah kalau pelajar lelaki itu berasal daripada keluarga miskin. Daripada dia belajar dalam sistem yang memberikan kelebihan kepada wanita lebih baik dia bekerja untuk membantu keluarga keluarga,” katanya.

Hujah Dr Azahari itu disokong pelajar dari Iran, Katrin Shamshiri, yang berkata fenomena yang sama berlaku di negaranya ekoran tiada jaminan pekerjaan selepas belajar kepada golongan lelaki.

“Wanita kami belajar kerana mahu mendapatkan pengormatan dan prestij. Ini akan membolehkan kami memilih sendiri bakal suami,” kata Katrin yang sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di UPM.

Dr Azahari berkata persekitaran masyarakat bandar terutama yang tinggal di apartmen atau rumah kos rendah yang sempit memberikan suasana pendidikan yang tidak kondusif kepada anak-anak lelaki yang mempunyai “tenaga lebih” menyebabkan mereka keluar rumah dan lepak bersama kawan-kawan.

“Ketiadaan ruang belajar khusus dan rumah yang hanya mempunyai tiga bilik menyebabkan kebanyakan pelajar lelaki hilang minat untuk belajar kerana secara biologinya lelaki lebih aktif dan bertenaga daripada perempuan (perlu lebih ruang),” katanya sambil mencadangkan rumah kos rendah perlu mempunyai empat bilik — bilik ibu bapa, anak lelaki, anak perempuan dan tetamu (datuk atau nenek).

Beliau berkata mentaliti ibu bapa sekarang juga berubah kerana pendidikan tinggi belum tentu menjamin anak mereka dapat bekerja dan ini dibuktikan dengan bilangan graduan menganggur yang tinggi setiap tahun.

Dr Azahari mencadangkan semua guru dan pensyarah mendalami ilmu sosiologi dan psikologi.

“Nilai-nilai Islam harus dijadikan tunjang falsafah pendidikan. Pemikiran di universiti juga perlu diubah bahawa pendidikan bukan sekadar untuk mendapat kerja.

“Islam tidak pernah mendefinisi kepentingan belajar untuk mendapat kerja tetapi Islam mengajar menuntut ilmu itu adalah wajib. Kita sebenarnya telah mengecilkan konsep pendidikan bahawa belajar itu untuk mendapat kerja dan menjadi kaya,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s