Merdeka! apa maksudnya?

Menghayati ungkapan ‘Tanah tumpahnya darahku’
Columnists
Written by Jayanath Appudurai
Wednesday, 26 August 2009 23:35

Agenda para politikus adalah untuk jangka masa pendek dan bukan untuk mencapai kestabilan dan kemajuan masyarakat untuk jangka masa panjang.

Menjelang 52 tahun kemerdekaan, kini banyak kenyataan dikeluarkan oleh pelbagai pihak mengenai semangat patriotisme. Apakah sebenarnya identiti dan semangat negara yang dimaksudkan?

Pembinaan semangat dan identiti kenegaraan adalah satu proses sosialisasi yang berterusan dimana setiap warga yang bermastautin di satu jajahan tertentu :-

* Mempelajari untuk menjadi warga yang taat setia;
* Mengenalpasti diri sebagai sebahagian komuniti yang organik;
* Merasai dan mempunyai satu semangat kekitaan; dan
* Mendukung serta menyertai sepenuhnya dalam pencapaian identiti dan masa depan yang berkongsi.

Pada dasarnya, Pemerintahan Negara [the State] mempunyai tanggungjawab utama bagi:-

* Memimpin dan menyediakan suasana dan persekitaran yang jitu untuk setiap warga melalui proses sosialisasi tersebut supaya semangat dan identiti kenegaraan dapat ditanam dan dipupuk;
* Memastikan ruang dan mekanisme demokratik wujud bagi rakyat untuk menyelesaikan konflik dalam masyarakat yang timbul supaya kestabilan sistem tadbir urus [governance] tidak terjejas.

Evolusi identiti nasional

Pada abad 19 dan awal 20, memang benar negara kita bermula sebagai satu masyarakat majmuk atau ‘plural society’ seperti yang didefinasikan oleh pakar sejarah, J.S.Furnivall. Iaitu, satu masyarakat yang mengandungi beberapa suku kaum yang menduduki jajahan atau wilayah tanah yang sama, tanpa mempamerkan satu semangat kenegaraan atau identiti bersama.

Akan tetapi selepas Perang Dunia Kedua, melalui perjuangan kemerdekaan masyarakat kita mula mempamerkan tanda tanda mewujud semangat kenegaraan. Atas kebijaksanaan dan pandangan jauh pengasas negara [the founding fathers] kami telah menjadi satu negara yang bertauliah pada 31 Ogos 1957.

Malaya dan selepasnya Malaysia diwujudkan berdasarkan satu keahlian yang dipersetujui dan diterima bersama, dan bukan berasaskan sesuatu keturunan, budaya atau agama yang sama.

Asas keahlian tersebut ialah Perlembagaan Persekutuan yang termaktub hak dan kewajiban setiap warga serta persefahaman untuk senantiasa menghormati serta meraikan kepelbagaian masyarakat kita.

Maka, negara kita mencapai kemerdekaan berasaskan perkongsian di antara semua kaum dan perjuangan sepakat bagi memupuk satu identiti dan semangat Malaysia yang tulen dan unik .

Sejak 1950-an, pengasas negara memegang teguh kepada satu kata sepakat yang tersurat untuk memupuk satu identiti nasional yang berkongsi bersama.

Pendek kata, membina satu identiti berdasarkan ketaatsetiaan kepada raja dan negara yang menitikberatkan landasan Negara iaitu, “Bersekutu Bertambah Mutu”

Selepas Peristiwa Mei 1969, prinsip ini diulangi sekali lagi dalam pengguballan Rukunegara. Ianya melambangkan satu pengesahan untuk terus mencapai matlamat pembinaan identiti negara berasaskan kepercayaan dan prinsip-prinsip murni yang dipersetujui.

Di peringkat sistem politik pula, Barisan Nasional digubal sebagai satu mekanisme untuk mengurus dan menyelesaikan konflik dalam masyarakat kita. Sebenarnya Barsian Nasional adalah berasaskan formula Perikatan yang digunapakai sejak perjuangan kemerdekaan, iaitu untuk memupuk keharmonian di antara kaum serta memfokus kepada pembinaan semangat kenegaraan yang unik.

Pada masa itu fokus memupuk perpaduan negara dan integrasi politik adalah berdasarkan satu pendekatan inklusif [inclusive model] ke arah pencapaian semangat kenegaraan.

Walaubagaimanapun, nyata bahawa rekahan [fissures] dalam sistem tadbir urus mula timbul pada pertengahan dekad 1980-an.

Sentimen perkauman

Persaingan sengit untuk sumber kekayaan telah mengakibatkan timbulnya tuntutan berasaskan kumpulan suku kaum. Sentimen suku kaum ditonjolkan bagi menggembleng sokongan di arena politik.

Persaingan ini dinampak ketara apabila golongan tertentu dalam parti-parti komponen Barisan Nasional mula mengabaikan prinsip musyawarah dalam bertanding untuk menguasai kekayaan dan kepentingan puak-puak dalaman.

Sebenarnya dalam dekad 80-an asas perjuangan kemerdekaan telah dilupakan dan diabaikan.

Pada 1990, satu langkah khusus telah diambil bagi menyuarakan keperluan untuk membina satu Bangsa Malaysia menjelang tahun 2020. Walhal demikian tiada bukti kukuh bahawa pemerintahan negara telah mengambil langkah-langkah jitu ke arah merealisasikan matlamat tersebut.

Perkembangan politik berasaskan kepentingan suku kaum masih diteruskan dalam dekad 90-an tanpa mengambil kira pengumuman untuk mewujud satu Bangsa Malaysia yang dihasratkan.
Isu dan cabaran semasa

Kini dalam abad 21, Malaysia kita menghadapi pelbagai isu dan cabaran ketara yang sebenarnya telah menjejaskan proses pembinaan semangat patriotisme dan perpaduan negara. Secara am, tanggapan umum masyarakat ialah:

• Politik berasaskan kaum dan para ahli politik yang asyik menggunakan sentimen perkaumanan telah menghalang proses pembinaan semangat kenegaraan;

• Pemimpin negara dianggap sebagai tidak jujur dalam mendukung prinsip asas yang dihormati oleh pengasas negara dalam membina perpaduan dan identiti negara;

• Pemerintahan negara telah lupa akan amanah untuk memimpin dan memandu kewujudan identiti Bangsa Malaysia; dan

• Institusi institusi negara telah gagal mengamalkan prinsip-prinsip asas perkhidmatan awam untuk menunaikan tanggungjawab secara berkecuali, adil dan profesional.

Pendek kata, pemerintah telah gagal mengurus proses pembinaan semangat kenegaraan dengan ikhlas dan bijaksana.

Masyarakat kini menghadapi cabaran akibat polarisasi berasaskan perkaumanan dan agama. Tanda-tanda rasisme mula dinampak dan ini adalah sangat membimbangkan.

Adakah matlamat memupuk satu negara bersatu dan harmonis yang diidamkan oleh pengasas negara dan termaktub dalam perlembagaan dan Rukunegara telah dilupakan?

Rakyat perlu mengambil inisiatif

Pembinaan semangat dan identiti negara adalah satu perjalanan bukan satu destinasi.

Ianya tidak boleh dtinggalkan kepada takdir!

Setiap generasi warga harus melalui proses sosialisasi supaya dapat merasai semangat kenegaraan dalam hati dan naluri mereka.

Kini para politikus adalah lebih tertumpu kepada mempertahankan kuasa sedia ada, atau sedang mengejar merampaskan kuasa. Agenda mereka adalah untuk jangka masa pendek dan bukan untuk mencapai kestabilan dan kemajuan masyarakat di jangka masa panjang.

Masa telah sampai untuk rakyat sendiri mengambil langkah langkah sewajarnya bagi balik ke pangkal jalan.

Kita harus beriktibar untuk berfikir serta bertindak sebagai warganegara Malaysia.

Kita juga harus bangkit melangkaui batasan politik serta unsur unsur etnik dan agama yang asyik digunakan oleh para politikus untuk memecahbelahkan masyarakat.

Inilah kesempatan bagi kita rakyat jelata mengutus pesanan kepada para politikus bahawa kita tidak akan terperangkap lagi dengan permainan mereka.

Masa depan generasi muda Bangsa Malaysia adalah tergantung kepada usaha murni dan jitu ini.

Dalam menyertai perayaan ulang tahun ke-52 adalah diharapkan bahawa setiap warga akan memperbaharui tekad dan azam serta komitmen kepada asal usul kelahiran tanah air yang tercinta kita.

Tanamlah kesedaran dalam keluarga, komuniti dan masyarakat bahawa Malaysia ialah sebuah negara di mana rakyatnya terikat oleh sejarah dan warisan yang dikongsi, dan lebih lebih lagi satu masa depan yang sama.

Janganlah membiarkan ‘tanah tumpahnya darahku’ menjadi satu kata-kata kosong sahaja!

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-52

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s