Sidang Kemuncak ASEAN, Thailand 2009

Komuniti Asean berorientasi rakyat menjelang 2015
cha-An, Thailand

ASEAN perlu menjadi sebuah pertubuhan serantau yang berorientasikan rakyat dan pelaksanaan jika ia mahu cita-cita mewujudkan Komuniti Asean menjelang 2015 menjadi kenyataan.

Perdana Menteri Thailand yang juga Pengerusi Asean, Abhisit Vejjajiva, ketika merasmikan Sidang Kemuncak Asean Ke-15 dan sidang kemuncak berkaitan di sini, semalam, berkata bagi melahirkan Komuniti Asean – iaitu berlandaskan komuniti pelaksanaan, komuniti berhubung kait dan komuniti untuk rakyat, semua negara anggota secara bersama perlu menggariskan wawasan dan matlamat yang jelas ke arah 2015 dan selanjutnya.

“Dengan mengambil kira cabaran dan perubahan yang berlaku di rantau ini dan sekitar, kita (ketua negara dan kerajaan Asean) perlu berusaha keras dengan semangat kerjasama dan kesatuan menjadikan Komuniti Asean satu realiti.

“Sebagai komuniti pelaksanaan, Asean mesti bersepakat menghadapi dan menentang sebarang bentuk ancaman terhadap rantau kita atau rakyat kita sama ada dari dalam dan luar negara.

“Kita tidak ada banyak masa, jadi untuk menghadapinya kita mesti memperkukuhkan struktur institusi, supaya sesuatu keputusan membabitkan kepentingan bersama dapat dibuat cepat dan serentak,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean Ke-15 dan semua sidang kemuncak berkaitan termasuk Asean+1, Asean+3, Sidang Asia Timur dirasmikan serentak di Hotel Dusit Thani di sini, tanpa sebarang gangguan keselamatan selepas kumpulan baju merah yang pro bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, malam kelmarin memutuskan tidak akan mengadakan tunjuk perasaan atau menghalang perjalanan persidangan itu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, tiba malam tadi.

Abhisit berkata, beliau mengimpikan, sebagai komuniti yang berhubung kait, Asean akan menjadi rantau di mana barang dan manusia, termasuk pelaburan boleh bergerak melepasi sempadan negara tanpa banyak halangan, selain hubungan darat, udara dan laut.

“Sebagai komuniti untuk rakyat, Asean akan menggalakkan capaian secara saksama bagi peluang pembangunan sumber manusia, selain kebebasan dan hak asasi manusia. Asean ditubuhkan untuk meningkatkan kehidupan rakyat, jadi marilah kita sama-sama bekerja ke arah itu.

“Sama ada Asean relevan atau tidak pada masa depan akan ditentukan berdasarkan keupayaan kita menyelesaikan semua masalah rakyat, dengan mempersiapkan mereka menghadapi dunia yang semakin mencabar. Asean mestilah menjadi simbol harapan dan nilai rakyat kita,” katanya.

Isu-isu libatkan Malaysia:
HUA HIN (Thailand): Sepuluh negara anggota Asean menyambung kembali rundingan tahunan dengan empat rakan dialog utamanya di sini hari ini, dengan memberi tumpuan kepada pelbagai mekanisma untuk meningkatkan hubungan, meningkatkan perdagangan serantau dan kerjasama kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyertai rakan sejawatannya dari lain-lain negara Asean untuk Retreat Pemimpin Asean di Hotel Dusit Thani.

Najib juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun yang baru Yukio Hatoyama dan Presiden Bank Pembangunan Asia Haruhiko Kuroda.

Perdana Menteri Thailand yang juga tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-15 Abhisit Vejjajiva mengetuai lain-lain pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak ke-12 Asean China, untuk berbincang dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao.

Menurut para pegawai yang berkaitan, fokus mesyuarat dengan negara yang memiliki pembangunan ekonomi terpantas dunia dan rakan dagang yang penting itu, bertumpu kepada penubuhan Dana Asean-China Untuk Kerjasama Pelaburan, dan Kredit Komersial; di mana China bersetuju untuk memberi sumbangan US$10 bilion (US$1 = RM3.38) dan US$15 bilion masing-masing kepada inisiatif itu.

Pemimpin itu juga akan menandatangani tiga Memorandum Persefahaman mengenai penubuhan Pusat Asean-China, MoU mengenai Pengukuhan Kerjasama dalam bidang Standard, Peraturan Teknikal dan Penilaian Penyesuaian, serta MoU mengenai Kerjasama Bidang Harta Intelek.

Pemimpin-pemimpin Asean itu kemudiannya akan berpeluang menemui Yukio yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Jepun buat pertama kali, di mana beliau dijangka memberi penerangan lebih lanjut mengenai rancangannya kepada negara-negara di Asia Timur untuk menubuhkan Komuniti Asia Timur.

Mesyuarat dengan Korea Selatan dijangka akan menyentuh mengenai kerjasama sserantau, antara lain berhubung inisiatif ”Low Carbon Green Growth”.

Sidang Kemuncak ke-tujuh Asia-India pula berlangsung dua bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Barang-barang Dagangan, yang membawa kepada semakan semula sasaran perdagangan dua hala kepada US$70 bilion pada tahun 2011.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s