Karangan: ‘Pelancongan Perubatan’

Malaysia Perlu Imej ‘Destinasi Pelancongan Perubatan’

13 Jan 2010– Meskipun terdapat usaha untuk memaparkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan namun pihak perancang pelancongan masih belum dapat merumuskan satu pendekatan strategik ke arah mencapai matlamat itu.

Bidang pelancongan perubatan diketahui sememangnya mempunyai potensi perniagaan kepada institusi perubatan Malaysia seperti hospital, pusat penyelidikan perubatan, perkhidmatan perubatan pakar dan pengendali nutrisi makanan.

Semua ini adalah sebagai tambahan kepada peluang perniagaan untuk eksport peralatan perubatan dan seumpama.

Atas sifat komersial dan pelancongan perubatan itu, ramai pakar percaya bahawa satu usaha yang disertakan dengan penyelarasan yang baik dalam promosi perdagangan atau agensi promosi pelancongan – Matrade dan Pelancongan Malaysia- boleh menarik banyak ‘peluang’ yang seumpama.

Malaysia boleh mencontohi negara lain di Asia dalam mempromosi diri sebagai destinasi pelancongan perubatan.

Malahan, Asia dilihat sebagai pusat pertumbuhan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan, setelah dibayangi oleh ketidakmampuan untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan di negara maju terutama Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, apabila ditawarkan oleh beberapa negara di Asia yang memperkenalkan diri sebagai destinasi perkhidmatan “bayar kurang dapat lebih”.

DESTINASI UTAMA

Sejak sedekad lepas, Thailand dilihat sebagai destinasi utama di Asia Tenggara di mana orang luar tertarik untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan kos rendah.

Thailand menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan, daripada pembedahan jantung hinggalah kosmetik, pergigian dan malahan rawatan perubatan yang dianggap “bukan ortodoks” seperti perubatan Cina atau penyembuhan secara sumber semulajadi Ayurvedic.

Sememangnya dengan bertambahnya perjalanan antarabangsa dan kemudahan memperoleh maklumat sedia ada di internet sedikit sebanyak ia menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung yang ingin mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.

Menurut statistik oleh sumber di Thailand, kira-kira 1.4 juta pelawat ke Thailand mendapatkan rawatan perubatan pada 2007. Thailand memperoleh pendapatan $1 billion pada tahun itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Thailand, angka itu dijangka naik tiga kali ganda pada 2012.

Kajian oleh Deloitte Center for Health Solutions pada 2008 menunjukkan bahawa kira-kira enam juta rakyat Amerika dijangka mendapatkan rawatan kesihatan menjelang 2010. Jumlah yang sama besar dijangka oleh pengunjung dari Eropah dan negara maju lain seperti Jepun dan Australia.

KESATUAN EROPAH

Kesatuan Eropah menyumbang jumlah pengunjung terbanyak ke Thailand disusuli negara-negara Asia Barat dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Thailand mensasarkan China dan India, yang mempunyai penduduk kelas pertengahan yang lebih mencabar dan gemar membeli-belah di luar negara di samping mendapatkan rawatan kesihatan di destinasi yang dilawati.

Singapura, meskipun adalah destinasi yang mahal dan bersaiz kecil, telah dapat menarik lebih ramai pelancong India yang dalam kelas berbelanja besar berbanding negara lain Asia Tenggara.

“Singapura membuat keputusan bijak dari segi komersial apabila menyediakan kemudahan pemberian visa semasa ketibaan pelawat dari India,” kata Archie Lee, seorang pakar jantung di sebuah hospital di Singapura, yang sedang melawat New York dengan menyebut ia satu kempen promosi.

Bagaimanapun, Malaysia juga mempunyai potensi yang lebih untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan perubatan.

Menurut Persatuan Pelancongan Perubatan, Malaysia menerima kira-kira 370,000 pesakit sebagai pelancong perubatan, yang majoritinya dari Indonesia, Timur Tengah dan Australia.

PESAKIT LUAR

Dari 2001 hingga 2008, jumlah pesakit dari luar yang mendapatkan rawatan di Malaysia meningkat sebanyak tiga kali ganda dengan menjana pendapatan kira-kira RM$59 juta pada 2006.

Menurut Persatuan Hospital-hospital Swasta di Malaysia, jumlah pelancong perubatan akan meningkat kira-kira 30 peratus untuk sepanjang 2010.

Walaupun Malaysia mengamalkan pelancongan perubatan sejak beberapa tahun lepas, pelancongan perubatan negara itu tidak diiklan atau dipromosi secara meluas dan strategik.

Kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan tidak begitu diketahui di luar Asia Tenggara.

“Malaysia perlu dipasarkan sebagai destinasi pelancongan perubatan yang menarik. Ia mempunyai infrastruktur yang bagus serta tenaga profesional yang tidak kurang hebatnya untuk memberikan rawatan kelas pertama,” kata seorang doktor dari Amerika yang enggan namanya disebut.

Doktor tersebut yang bertugas di sebuah hospital di New Jersey, telah melawat Malaysia dan mengetahui bahawa negara itu berpotensi untuk menjadi destinasi pelancongan perubatan.

KEMENTERIAN KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia, dengan kerjasama hospital swasta, juga menggalakkan promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan.

Kementerian berkenaan telah memilih lebih 30 hospital swasta untuk menjadi pakar dalam penjagaan kesihatan antarabangsa di peringkat rantau dan antarabangsa.

Penekanan juga diberikan terhadap faktor jimatkan kos. Satu pembedahan jantung akan menelan belanja kira-kira AS$6,000 hingga AS$7,000 di Malaysia. Ini hanyalah sebahagian kecil daripada kos sebenar jika pembedahan dilakukan di Amerika Syarikat.

Kerajaan Malaysia juga menubuhkan satu unit pelancongan perubatan khas untuk memenuhi kehendak pesakit antarabangsa.

Walaupun inisiatif lain seperti pemberian visa perubatan untuk tempoh lama – dari 30 hari kepada enam bulan – kepada pesakit luar negara adalah satu cara yang baik untuk meningkatkan jumlah pengunjung, Malaysia masih perlu memperbanyakkan pejabat pelancongan dan perdagangan di luar negara.

Ini bagi memudahkan penyelarasan bukan sahaja di kalangan mereka malahan agensi luar di luar negara seperti syarikat insurans kesihatan dan kumpulan yang berkaitan untuk kepentingan pesakit.

Kunci kepada pertumbuhan pada masa hadapan ialah pemasaran yang strategik.

2 responses to “Karangan: ‘Pelancongan Perubatan’

  1. technical instituition **

    sy rse sesuai tjok ni:
    pelancongan kesihatan.

    Goay: important topic.

  2. Pingback: Pelancongan Perubatan: Karangan STPM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s