Kenegaraan: ASEAN & Dasar Luar Negara

YAB Dato Sri NAJIB disambut Lee sebelum mengadakan perbincangan di Singapura

24-5-2010 Singapura

Malaysia, Singapura sepakat tubuh syarikat usaha sama; KL setuju pindah Stesen Tanjong Pagar ke Woodlands

ISU tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik ini yang tertangguh hampir 20 tahun hingga menjadi ‘duri dalam daging’ dalam hubungan Malaysia-Singapura, berakhir semalam apabila kedua-dua negara mencapai persetujuan bersejarah menubuhkan syarikat usaha sama dikenali M-S Pte Ltd bagi memajukan kawasan berkenaan.

Berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam pertemuan sejam antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong, di sebuah hotel di sini, Stesen KTMB di Tanjong Pagar akan dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011. Tanah KTMB seluas 217 hektar di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands serta tiga lot di Bukit Timah, pula akan diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan. Penyerahan tanah itu akan berkuat kuasa apabila KTMB mengosongkan stesen Tanjong Pagar. Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan kedua-dua pemimpin itu, M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan sebelum 31 Disember ini, membabitkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang memegang 60 peratus kepentingan, manakala Temasek Holdings Limited – cabang pelaburan Kerajaan Singapura, memegang 40 peratus ekuiti.

Kenyataan berkenaan juga menjelaskan tanah dimajukan itu boleh ditukar, berdasarkan nilai masing-masing, dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor di sini.

Bagaimanapun, perincian mengenai kaedah pembangunan dan nilai tanah terbabit serta struktur penubuhan dan pengurusan M-S Ptd Ltd akan dikemukakan oleh Lee dalam pertemuan dengan Najib dalam lawatannya ke Kuala Lumpur dalam tempoh sebulan lagi.

Pertemuan kelak juga akan menyentuh soal pembangunan sistem transit laju (RTS) menghubungkan Tanjung Puteri, Johor dengan stesen di Woodlands yang dijadual beroperasi pada 2018. Ini sekali gus menyaksikan stesen KTMB di Woodlands dipindahkan ke Johor menjelang tempoh berkenaan.
Persetujuan lain ialah:

Malaysia juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Singapura setuju membantu urusan pemindahan ke Woodlands dan memastikan perkhidmatan bas menghubungkan stesen KTMB di situ ke Stesen MRT untuk kemudahan penumpang.

Menubuhkan pasukan pelaksana bersama yang akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura; dan

Memulihara bangunan terminal penumpang stesen kereta api Tanjong Pagar kerana ia mempunyai nilai sejarah dan akan menjadi daya tarikan kepada projek pembangunan yang dicadangkan di tapak itu. Bangunan stesen kereta api Bukit Timah di Blackmore Drive juga mungkin dipulihara.

Dalam sidang media bersama, Najib berkata, keputusan yang dicapai dalam perbincangan itu melakar sejarah baru dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Kita tidak mahu isu bersama yang tertunggak menghalang usaha mempertingkat dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Hari ini (semalam) agak bersejarah sebab kita sekarang nampak penyelesaian kepada isu tertunggak yang berlarutan hampir 20 tahun,” katanya.

Lee pula berkata, beliau dan Najib melalui perbincangan yang sangat berhasil membabitkan skop yang luas dan memberi fokus mengenai usaha mempertingkatkan lagi hubungan dua hala sejajar perkembangan di Asia mahupun global yang memerlukan kedua-dua negara bekerjasama.

“Ini memerlukan kita menyelesaikan isu yang tergantung sekian lama dan ini membolehkan kita terus mara serta menikmati manfaat bersama,” katanya.

Terdahulu, Najib dan Lee turut mengetuai perbincangan delegasi kedua-dua negara sebelum menyertai jamuan tengah hari.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Kiat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s