Karangan: Isu Orang Pelarian

Contoh tajuk karangan:
Bincangkan punca tercetusnya masalah orang pelarian di sesebuah negara dan sarankan langkah-langkah mengatasi masalah ini.

Orang Pelarian: Kehidupan Penuh Ketidaktentuan
Baru-baru ini wakil Bernama Melati Mohd Ariff menemu bual Alan Vernon, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia di mana beliau menyentuh beberapa isu berhubung pelarian dan mereka yang ingin mendapatkan suaka politik
Berikut ialah rencananya:

Malaysia sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang dalam soal pelarian.

Siapa yang dapat melupakan isu pelarian Vietnam ‘orang bot’ yang mendarat dengan begitu ramainya di negara ini, mencari perlindungan daripada pemerintahan Komunis sebaik berakhirnya Perang Vietnam pada April 1975.

Kira-kira 250,000 pelarian Vietnam diproses di khemah pelarian di Pulau Bidong (sebuah pulau kecil di Terengganu) sebelum kebanyakan mereka diterima negara ketiga termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis, New Zealand, Sweden, Finland, Denmark dan Norway.

Kira-kira 9,000 pelarian Vietnam kembali ke Vietnam dengan bantuan UNHCR.

Malahan selepas khemah Pulau Bidong ditutup pada Oktober 1991, Malaysia masih menjadi tumpuan serta tempat perlindungan untuk pelarian daripada beberapa negara lain sehingga ke hari ini.

“Pelarian ialah masalah sejagat. Berdasarkan statistik, hampir setiap negara terjejas dengan pelarian dan Malaysia tidak terkecuali.

“Ia akan berterusan sebagai satu masalah tetapi lebih mudah menanganinya jika semua negara bekerjasama.

“Negara terbesar yang menghasilkan pelarian yang memberi kesan kepada Malaysia pada masa ini ialah Myanmar dan fenomena ini berlarutan lebih 10 hingga 15 tahun,” Alan Vernon, 56, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bukit Petaling di sini baru-baru ini.

UNHCR memulakan operasi di Malaysia pada 1975 di mana pada peringkat awalnya untuk menangani masalah pelarian Vietnam. Ia juga membantu kerajaan Malaysia dalam menerima dan menempatkan semula lebih 50,000 orang Islam Filipina yang lari dari Mindanao ke Sabah pada 1970-an dan 1980-an.

UNHCR juga membantu kerajaan dalam menempatkan semula beberapa ribu orang Islam Cham dari Kampuchea pada tahun 1980-an dan beberapa ratus pelarian Bosnia pada 1990-an.

STATISTIK PELARIAN

Menurut Vernon, terdapat kira-kira 50 juta pelarian di seluruh dunia.

Di Malaysia, terdapat sekitar 88,100 pelarian dan mereka yang ingin mendapatkan suaka politik berdaftar dengan pejabat UNHCR sehingga penghujung Mei 2010. Mereka ini diberi kad UNHCR sebagai tanda pengenalan diri.

Daripada jumlah itu, 81,600 ialah dari Myanmar terdiri daripada kira-kira 38,900 suku kaum Chin, 18,900 Rohingya, 6,400 orang Muslim Myanmar, 3,800 Mon, 3,600 Kachin dan selebihnya minoriti etnik lain dari Myanmar.

“Lebih ramai lagi pergi ke Thailand dan negara itu berkemungkinan mempunyai empat hingga lima juta pelarian dari Myanmar memandangkan kedua-dua negara berkongsi sempadan.

“Untuk datang ke Malaysia, mereka perlu mengharungi pelbagai pahit getir. Mereka juga datang ke negara ini kerana mereka tahu mereka boleh hidup di sini, jika tidak, sudah tentu mereka tidak akan berbuat demikian.

“Jadi saya fikir Malaysia adalah mangsa kepada kejayaannya. Jika ekonomi negara ini teruk, mungkin rakyat negara ini juga akan menjadi pelarian,” kata Vernon.

Seramai 6,600 pelarian dan mereka yang mencari suaka politik lain ialah dari negara seperti Sri Lanka (3,500 pelarian), Somali (930), Iraq (580) Afghanistan (530) dan Palestin (200).

Dari segi jantina, 70 peratus pelarian dan mereka yang mencari suaka politik ialah lelaki sementara 30 peratus perempuan.

Terdapat juga pelarian dan pencari suaka politik yang tidak berdaftar dan jumlah mereka dianggarkan sekitar 10,000 orang.

Untuk rekod, pelarian ialah mereka yang diiktiraf sebagai pelarian sementara pencari suaka politik ialah mereka yang datang ke pejabat UNHCR untuk menuntut taraf pelarian.

Pencari suaka politik akan ditemu bual dan kes mereka dikaji berdasarkan maklumat UNHCR mengenai negara mereka sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada mereka boleh diiktiraf sebagai pelarian.

TIDAK DI KHEMAH

Satu perkara yang elok tentang pelarian di Malaysia, seperti yang disuarakan Vernon ialah mereka tidak tinggal di dalam khemah.

Komuniti pelarian tinggal di kawasan perumahan kos rendah di seluruh negara, dan sering kali bilangan yang besar terpaksa berkongsi tinggal di dalam ruang yang sempit.

“Kadang kala orang berfikir khemah adalah penyelesaian yang baik untuk pelarian tetapi pada dasarnya tinggal di khemah pelarian akan menambahkan lebih banyak penderitaan.

“Lagi pun banyak isu jika diletakkan mereka di khemah, ramai nanti bergantung kepada bantuan, kebajikan dan penjagaan.

“Sering kali juga apabila khemah pelarian diwujudkan, ia akan berpanjangan berbanding situasi lain kerana khemah mempunyai kehidupan yang tersendiri,” jelas Vernon yang menyandang jawatan wakil UNHCR di Malaysia sejak November 2008.

Pembabitan Vernon dalam isu pelarian sebenarnya bermula sejak 1978 lagi ketika beliau mengajar di Amerika Syarikat.

Beliau menyertai UNHCR pada 1987 dan menyandang jawatan Pegawai Penempatan Semula Bersekutu di pejabat lapangan UNHCR, Kuala Terengganu (1987-1991). Sepanjang kariernya dengan UNHCR, beliau juga pernah ditempatkan di Sri Lanka dan Geneva.

Menurut Vernon, kerajaan Malaysia mengambil langkah positif dengan tidak menyekat pergerakan pelarian yang bererti mereka boleh berusaha untuk mencari nafkah bagi menyara keperluan kehidupan mereka.

PELARIAN DAN PENDATANG

Bagaimanapun, Vernon mahu rakyat Malaysia memahami bahawa pelarian bukan pendatang dan terdapat perbezaan yang amat ketara antara keduanya.

Pelarian, jelas beliau tidak memilih untuk meninggalkan tanah air mereka tetapi sebaliknya dipaksa berbuat demikian.

Menurut definisi UNHCR, pelarian ialah orang yang mempunyai ketakutan yang berasas akan ditindas atas sebab pendapat politik, etnik, agama atau keahlian dalam sesebuah kumpulan tertentu.

“Malaysia amat bertuah kerana tidak mempunyai situasi yang sedemikian. Malaysia belum menghasilkan pelarian. Pihak kami amat gembira dengan keadaan itu tetapi berharap rakyat negara ini mempunyai toleransi terhadap hakikat bahawa pelarian tidak membuat pilihan untuk datang ke negara ini.

“Mereka dipaksa meninggalkan kampung halaman mereka dan tidak boleh kembali sehingga keadaan di negara mereka pulih dan mereka tidak lagi berdepan dengan risiko dipenjara dan kemungkinan dibunuh.

“Ini berbanding pendatang yang membuat pilihan untuk meninggalkan negara mereka untuk peluang ekonomi atau pendidikan yang lebih baik,” tegas Vernon.

Sesetengah pihak menganggarkan terdapat tiga hingga empat juta pendatang di Malaysia dengan 50 peratusnya berada di negara ini secara sah.

CABARAN UMUM

Memandangkan masalah pelarian mungkin tidak selesai dalam masa terdekat, cabaran umum ialah untuk mencari jalan bagi memenuhi keperluan pelarian dan dalam masa yang sama melindungi kepentingan tuan rumah secara keseluruhan.

Sebagai rekod, Malaysia tidak memeterai Konvensyen 1951 berhubung kedudukan pelarian.

“Memang penting untuk menandatangani Konvensyen Pelarian tetapi jika sesebuah kerajaan itu tidak bersedia untuk berbuat demikian kita masih boleh mengadakan dasar serta prosedur dalam menangani isu pelarian.

“Perkara ini belum ada lagi buat masa ini, dan ia adalah kesulitan besar bagi kami kerana tanpa dasar dan prosedur, semua perlu dibuat berdasarkan budi bicara. Ia juga tidak memberi panduan kepada semua peringkat kerajaan.

“Untuk itu perlu ada rangka kerja perundangan. Ini amat penting untuk memastikan pelarian dilindungi dan selamat sehingga sampai masanya mereka boleh pulang ke negara mereka. Sesetengah daripada mereka boleh ditempatkan semula di negara lain tetapi ia bukan penyelesaian untuk setiap pelarian,” tambahnya.

Vernon memberitahu Bernama bahawa jumlah tempat penempatan semula adalah kurang daripada bilangan pelarian yang ada di Malaysia.

Menurut beliau, pihaknya mengemukakan lebih daripada 10,000 pelarian untuk penempatan semula tahun lalu, tetapi mengulangi bahawa “ia bukan penyelesaian untuk semua orang. Penyelesaian terbaik untuk pelarian ialah pulang ke negara asal.”

MENGURUS ISU

Bercakap seterusnya mengenai pelarian, Vernon melahirkan rasa optimisnya bahawa kejayaan yang dicapai dengan orang bot Vietnam serta pelarian Acheh akan dapat diraih juga akhirnya.

“Ketika bot-bot Vietnam mula mendarat di Malaysia pada 1975 dan meningkat pada 1979, rasanya macam isu pelarian ini akan berterusan selama-lamanya. Namun pada 1991 ia selesai. Satu lagi contoh ialah pelarian Acheh dan selepas tsunami mereka semua pulang ke negara mereka,” katanya.

Menurut beliau, Myanmar ialah sebuah negara yang berkemungkinan mengeluarkan pelarian untuk beberapa ketika mendatang.

“Tahun ini ada proses pilihan raya dan masih banyak masalah di negara itu tetapi kami amat berharap secara berperingkat keadaan akan menjadi lebih baik,” tambahnya.

Secara realitinya, kata beliau, Malaysia perlu berfikir cara untuk menangani keadaan di Myanmar kerana Malaysia ialah sebahagian daripada Asean dan perlu mengambil kira perkara itu dalam dasar luarnya.

“Satu daripada cabaran untuk Malaysia dalam aspirasinya untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya menjelang 2020 ialah ia perlu mendukung tanggungjawab global dan satu daripadanya ialah membantu keadaan pelarian.

“Cara untuk melakukannya ialah secara rakan kongsi. UNHCR ada di sini. NGO dan komuniti antarabangsa yang lain boleh juga membantu dan saya rasa banyak ruang untuk menguruskan isu ini dengan cara yang lebih baik.

“Berdasarkan pengalaman saya, sekiranya kita menangani sesuatu masalah itu dan menguruskannya dengan cara yang bijak, kita tidak akan tertekan dengan angka,” kata Vernon.

Pelarian: Isu Sejagat Dan Kemanusiaan
Berada jauh di negara asing dan berdepan dengan masa depan yang tidak menentu, pelarian di Malaysia terpaksa bergelut dengan pelbagai cabaran untuk kelangsungan hidup.

“Mereka amat rajin, buat pelbagai jenis kerja dan mengambil apa sahaja peluang kerja yang datang kepada mereka. Ini menjadikan mereka calon terbaik untuk program penempatan semula,” Alan Vernon, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bukit Petaling, di sini baru-baru ini.

“Idea yang baik untuk membenarkan mereka bekerja secara sah. Ini menjimatkan wang memandangkan mereka sudah ada di negara ini. Pelarian mahu memberi sumbangan kepada negara ini dan membantu masyarakat di sini kerana mereka mempunyai tempat untuk tinggal.

“Bagaimanapun, mereka tidak mendapat peluang itu kerana mereka tidak boleh bekerja secara sah dan buat masa ini mereka tidak boleh mendapat permit kerja,” katanya mengulas sesetengah cadangan supaya membenarkan pelarian di Malaysia bekerja.

PELUANG EKONOMI

Dasar yang lebih baik, jelas Vernon, ialah dengan memindahkan pelarian di negara ini ke tempat lain supaya tidak bertumpu di satu-satu tempat sahaja.

“Sebahagian besar pelarian berada di Kuala Lumpur. Kami mahu sekali memindahkan mereka dan cara terbaik ialah peluang bekerja secara sah. Mereka boleh bekerja di sektor perladangan, pengilangan dan pembinaan.

Menurut beliau, sesetengah pelarian mempunyai kemahiran yang amat baik serta jitu, dan begitu berguna sekali untuk majikan Malaysia.

Kawalan serta peraturan yang lebih baik terhadap keadaan pelarian, katanya terutama sekali dalam isu penggajian, akan mengelakkan berlakunya eksploitasi.

“Kita perlu bermula hari ini. Kita lihat sama ada kita boleh mencari jalan untuk menjadikan pelarian lebih berdikari dari segi pekerjaan supaya mereka tidak menjadi beban di mana ini akan hanya mencetuskan masalah sosial.

“Sekiranya ada pekerjaan mereka tidak akan terlibat dalam kegiatan haram. Pelarian telah menjejaskan Malaysia di masa lampau dan ia masih berlaku sehingga ke hari ini. Jumlah pelarian mungkin bertambah dan berkurangan tetapi lebih elok jika ada dasar dan sistem untuk menangani isu ini secara yang boleh dijangkakan dan menguruskannya dengan lebih teratur,” kata Vernon.

ANAK-ANAK DIUTAMAKAN

Terdapat kira-kira 19,000-pelarian kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang berdaftar dengan UNHCR.

Seramai 10,600 daripada kanak-kanak itu dalam usia bersekolah. Bagaimanapun dianggarkan kurang daripada separuh kanak-kanak pelarian yang sepatutnya menghadiri sekolah tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan sebarang bentuk pendidikan.

“Kanak-kanak perlu diberi pendidikan. Sekiranya mereka tidak mendapat pendidikan, ini akan merosakkan masa depan mereka dan boleh mencetuskan masalah sosial di kemudian hari.

“Kerajaan Malaysia telah menyatakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu untuk menyediakan pendidikan bagi anak-anak pelarian . Ini satu perkara yang baik,” kata Vernon.

Bagaimanapun, beliau memberitahu Bernama pihak NGO berkenaan menghadapi kesulitan kewangan serta sumber lain dalam menyediakan pendidikan yang diperlukan bagi anak-anak pelarian.

Oleh yang demikian, katanya komuniti pelarian sendiri mengambil daya usaha untuk mengatur program pendidikan untuk anak-anak mereka.

“Usaha kami lebih terarah untuk anak-anak berusia bagi sekolah rendah.

“Anak-anak yang tidak mendapat peluang pendidikan nescaya akan bergelut dengan masa depan yang lebih sukar dan akan menjadi masalah sosial.

“Jadi kami lebih suka mereka dididik supaya boleh menyumbang kepada komuniti mereka dan apabila mereka pulang ke negara mereka, bolehlah mereka menyumbang kepada masyarakat mereka. Ini juga sumbangan positif Malaysia kepada Myanmar, sebagai contoh,” jelas Vernon.

BUAT BANYAK LAGI

UNHCR berharap dapat bekerja lebih rapat lagi dengan kerajaan, NGO serta orang awam untuk memperbaiki kualiti dan peluang pendidikan bagi komuniti pelarian di negara ini.

“Memang ramai yang melakukan banyak perkara dan saya berpendapat dalam keadaan sekarang saya rasa setiap orang akan bersetuju bahawa dalam apa juga keadaan, kanak-kanak tidak harus menjadi mangsa.

“Mereka tidak memilih untuk datang ke Malaysia. Memang benar ibu bapa mereka yang membuat pilihan itu bukan anak-anak mereka, jadi saya kira kita perlu bekerjasama untuk memperbaiki keadaan untuk mereka.

“Dalam hal ini, semua ada peranan, baik kerajaan, NGO, sukarelawan dan juga Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Vernon dengan menambah, pelarian juga mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya.

INISIATIF UNHCR

Dari segi pendidikan untuk anak-anak, UNHCR telah membuat kemajuan dengan menarik lebih ramai kanak-kanak menghadiri sekolah. Daripada kira-kira 2,500 orang pada 2008, angka itu kini meningkat kepada sekitar 4,700.

UNHCR juga bekerja dengan rakan kongsi NGOnya untuk melatih tenaga pendidik dan sehingga kini berjaya melatih lebih 120 orang guru.

Agensi PBB ini juga menyediakan buku dan alat tulis serta bekalan sekolah yang lain di samping mendapatkan sokongan sukarelawan untuk sekolah.

“Semua ini adalah usaha untuk mewujudkan satu bentuk sistem sekolah bagi komuniti pelarian.

“Mereka tidak boleh pergi ke sekolah kerajaan dan kalau pun dibenarkan di mana saya fikir sesetengahnya mungkin mahu pergi, ramai yang lain mungkin tidak kerana masalah bahasa serta isu anak-anak yang sudah tercicir sekian lama,” jelas Vernon seraya berkata cabaran yang masih perlu diatasi ialah mencari satu program pendidikan yang sesuai untuk komuniti pelarian yang pelbagai etnik.

SEKOLAH KECIL

Terdapat kira-kira 60 buah sekolah komuniti pelarian yang diusahakan beberapa kumpulan pelarian di samping yang diuruskan UNHCR dan NGO.

Majoriti sekolah ini terletak bertaburan di sekitar Kuala Lumpur di mana terdapat komuniti pelarian.

Pelarian ini, menurut Vernon, enggan berpindah ke tempat lain kerana pelbagai halangan termasuk masalah kewangan dan pengangkutan.

“Sekolah pun bukanlah sekolah dalam erti yang sebenarnya. Sering kali ia hanyalah ruang pangsapuri, tetapi sekurang-kurangnya ada aktiviti pembelajaran.

“Mengenai sukatan pelajaran, kita cuba menggunakan sukatan pelajaran Malaysia tetapi mereka juga diajar pengajian kebudayaan dalam jangkaan mereka akan pulang ke negara asal.

“Pelajar juga belajar bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Subjek lain yang diajar ialah matematik, sains, sejarah dan pengajian sosial,” katanya.

BANTU UNTUK MENOLONG DIRI SENDIRI

UNHCR mempunyai pasukan untuk memperkasa komuniti pelarian supaya mereka mempunyai jawatankuasa kepimpinan yang boleh menjaga kebaikan komuniti masing-masing.

“Kita cuba bekerja dengan semua dan cuba menggalakkan mereka sebanyak mungkin tetapi saya perlu realistik dalam hal ini. Ada kumpulan yang lebih baik dari kumpulan yang lain.

“Ada kumpulan yang mudah membentuk kumpulan dan menjaga kepentingan mereka sementara yang lainnya terpaksa berhempas-pulas untuk berbuat demikian. Ada kumpulan yang memberi ruang untuk kaum wanita menyertai kepimpinan, ada yang tidak berapa bersetuju,” kata Vernon.

Beliau turut mengulas publisiti negatif mengenai pelarian yang disifatkan jumlahnya sebagai kecil.

“Kumpulan pelarian ini tidak mahu mencari susah kerana mereka tahu keadaan mereka yang serba-serbi payah dan mereka tidak boleh mendapat bantuan kerajaan mereka.

“Mereka juga tahu mereka hanya boleh mengadu kepada UNHCR dan pihak berkuasa Malaysia. Hidup mereka sudahlah susah dan mereka tahu risiko jika terlibat dalam kegiatan yang bukan-bukan.

“Jadi memang tidak ramai pelarian yang membuat kesalahan dan di negara ini ramai kaum pendatang dan ini sudah pasti mengundang banyak masalah sosial,” katanya.

TIDAK KEBAL UNDANG-UNDANG

Menurut Vernon UNHCR sentiasa berusaha untuk memastikan pelarian tidak terlibat dalam apa juga kesalahan.

Pekerja pembangunan komuniti UNHCR serta yang lain sering kali keluar untuk bercakap dengan pelarian dan menggalakkan mereka supaya mematuhi undang-undang.

“Pelarian tidak kebal undang-undang. Jika mereka melanggar undang-undang mereka boleh ditangkap dan dibicarakan seperti orang lain.

“Mempunyai kad UNHCR bukan boleh melindungi mereka. Pelarian mesti patuh kepada undang-undang dan perlu sedar kehadiran mereka di negara ini tidak boleh diambil ringan.

“Mereka seakan tetamu di negara ini dan perlu berkelakuan sebagai tetamu. Jangan bertindak yang boleh menyebabkan rakyat Malaysia merasa terancam dan tidak gembira dengan kehadiran mereka,” kata Vernon.

One response to “Karangan: Isu Orang Pelarian

  1. Thanx sir this is really valuable information.
    What is your opinion?.. do u think this could be a really hot topic that could come out?

    Goay:All topics are important

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s