Dasar Ekonomi: Program Transformasi Ekonomi

BAJET 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2010 menggariskan empat strategi utama untuk memacu ekonomi negara. Empat strategi terbabit ialah merancakkan pertumbuhan swasta; mempergiat pembangunan modal insan; menambah baik kualiti hidup; dan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Strategi yang digariskan itu adalah bertujuan memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berlaku secara mapan dan konsisten, iaitu pada kadar enam peratus. Strategi merancakkan pertumbuhan swasta membuktikan bahawa penglibatan sektor swasta sangat penting dalam menjana dan memacu ekonomi negara.

Kerajaan telah menetapkan sasaran pelaburan swasta perlu berkembang pada kadar 12.2 peratus (RM115 bilion) setahun. Justeru, menurut laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP): Hala Tuju Untuk Malaysia yang dikeluarkan pada 25 Oktober lalu mengiktiraf peranan sektor swasta dalam memudah pertumbuhan ekonomi menerusi ETP.

Menurut laporan ETP itu, risiko paling nyata ialah jika pertumbuhan 12.2 peratus dalam pelaburan swasta setiap tahun gagal dicapai. Jika ini berlaku ia akan turut menjejaskan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

RMK-10 adalah penentu atau kayu pengukur bagi negara mencapai misi nasional, iaitu Wawasan 2020. Pertumbuhan enam peratus ekonomi negara dalam tempoh RMK-10 tidak akan tercapai sekiranya sektor swasta gagal memainkan peranannya sebagai enjin utama menjana dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebelum berlakunya krisis ekonomi pada 1997/1998, sektor swasta dianggap sebagai “lokomotif ” utama menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang 30 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hari ini, kerajaan mahu memastikan peranan tersebut dipikul semula oleh sektor swasta. Sektor swasta penting untuk menjayakan ETP dan RMK-10 yang berhasrat menjadi negara sebagai negara berpendapatan tinggi.

Penekanan kerajaan terhadap pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dilihat mampu mendorong pelaburan sektor swasta yang menggalakkan. 12 bidang utama NKEA itu termasuklah: pertanian; perkhidmatan perniagaan; pendidikan; elektrik dan elektronik; perkhidmatan kewangan; penjagaan kesihatan; Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang; minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; kandungan komunikasi dan infrastruktur; pelancongan; dan, pemborongan dan peruncitan.

Sektor perkhidmatan kewangan dilihat antara bidang teras NKEA kerana peranannya yang penting bagi memperkukuh dan memastikan kesemua aspek industri atau perusahaan dapat kekal bertenaga dan maju serta dapat menyokong keperluan perniagaan dan pengguna dengan cekap dan berkesan.

NKEA adalah sebahagian daripada ETP yang akan menjadi jentera pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan lebih 3.3 juta peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Dijangkakan NKEA akan menjana pelaburan sebanyak RM1.3 trilion (AS$444 bilion) sepanjang tempoh RMK-10 . Daripada jumlah itu, 73 peratus pelaburan NKEA dijangka menerusi pelaburan langsung domestik dan selebihnya daripada pelaburan asing.

Dana sektor awam dijangka hanya menyumbang empat peratus untuk membantu menjayakan bidang NKEA terbabit. Kerajaan menyediakan beberapa mekanisme bagi membantu penglibatan aktif sektor swasta dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Misalnya, kerajaan mewujud dan melaksanakan perkongsian awam-swasta (PPP). PPP adalah pendekatan bagi menjayakan RMK-10.

Beberapa projek PPP telah pun di kenal pasti yang antaranya membabitkan projek pembinaan lebuh raya, projek pembangunan kesihatan, projek pembinaan pusat akademik perubatan, projek pembinaan loji jana kuasa kira padu gas 300 megawatt di Kimanis, Sabah, projek pembinaan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL dan projek pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buluh.

Selain itu, Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) diwujudkan di bawah RMK-10 yang berjumlah RM15 bilion akan dapat mengurangkan beban kerajaan dalam membiayai projek infrastruktur dan pembangunan ekonomi yang menelan kos yang besar. Untuk itu, sebuah dana khas diwujudkan di bawah Pasukan Petugas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah).

Ia bertujuan mempermudah PFI dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-10. Mana-mana projek swasta (projek PFI) yang tidak berdaya maju akan diubah menjadi lebih kompetitif dan berdaya maju dengan bantuan dana tersebut.

Langkah mewujudkan Pemudah adalah bertepatan dengan strategi keempat Bajet 2011, iaitu memantapkan sistem penyampaian awam sejajar dengan prinsip gagasan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Salah satu indeks atau petunjuk utama sesebuah negara maju ialah pembangunan modal insan. Justeru, strategi mempergiat pembangunan modal insan di bawah Bajet 2011 amat penting untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Peruntukan besar sebanyak RM29.3 bilion kepada sektor pendidikan negara membuktikan bahawa kerajaan amat mengutamakan pembangunan modal insan. Peruntukan itu adalah peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding peruntukan pendidikan di bawah Bajet 2010 iaitu RM25.5 bilion.

Keperluan terhadap modal insan yang berkualiti tinggi adalah selari dengan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah. Untuk menjayakan MBE maka kita memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta kreatif dan inovatif. Pelabur hari ini bukan sahaja melihat kepada faktor kos yang dapat dijimatkan tetapi juga melihat keupayaan dan kemahiran pekerja memacu operasi perniagaan mereka.

Justeru, mereka memerlukan pekerja yang berilmu, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif. Kemahiran komunikasi yang tinggi juga merupakan nilai tambah yang perlu ada pada modal insan kita, terutamanya yang melibatkan bidang-bidang profesional. Kita masih kekurangan dalam aspek ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s