Karangan: Ramaja lari dari rumah

KEHILANGAN remaja khususnya yang berusia bawah 18 tahun di negara ini merupakan suatu ‘konflik masyarakat’ yang kini pada tahap merisaukan. Ia perlu dibimbangi semua pihak kerana boleh berlaku kepada mana-mana keluarga.

Sejumlah 1,383 kanak-kanak dan remaja telah hilang sejak dua tahun lalu menunjukkan ia bukan angka yang sedikit malah boleh meningkat jika tiada tindakan sewajarnya diambil.

Setelah diperhalusi, pelbagai faktor boleh menyumbang kepada permasalahan ini termasuk keretakan institusi kekeluargaan dan kurangnya komunikasi antara keluarga yang menyebabkan remaja bersikap cuba mencari jalan keluar dengan lari dari rumah.Keretakan institusi kekeluargaan sebenarnya merupakan salah satu penyumbang mengapa remaja bawah umur melarikan diri dari rumah. Masalah seperti ibu atau bapa berkahwin lain di samping tertekan dengan hubungan yang semakin rapuh menyebabkan remaja kini mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah yang menimpa mereka. Kononnya mahu melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan ketua keluarga. Bagaimanapun, remaja itu sebenarnya tidak menyedari bahawa tindakan mereka melarikan diri dari rumah mengundang kepada permasalahan yang lebih besar.

Antaranya, mereka mudah terpengaruh dengan rakan-rakan, kekasih atau keluarga angkat baru yang berpotensi untuk terjebak dalam kancah jenayah seperti dadah, sumbang mahram dan rogol. Bagi kanak-kanak atau remaja perempuan, kebanyakannya berakhir dengan terjerumus dalam aktiviti seks bebas sama ada dengan abang angkat, teman lelaki atau rakan-rakan yang ditemui selepas lari dari rumah.

Remaja bawah umur yang berjaya diselamatkan itu akhirnya menyesali perbuatan mereka yang melarikan diri dari rumah tanpa berfikir panjang.

Berikut pengakuan tiga remaja yang pernah terlibat dalam kes lari dari rumah, namun tindakan mereka itu kemudian berakhir dengan keterlanjuran atau menjadi mangsa jenayah.
- KES 1: Lari sebab kecewa bapa berpoligami
SEORANG kanak-kanak berusia 12 tahun mendakwa tertekan akibat bapanya berpoligami dan menjadi punca dia melarikan diri tiga kali dalam tempoh setahun.
Menurut kanak-kanak dikenali sebagai Rania, rasa malu dan tertekan terhadap tindakan bapanya itu menyebabkan dia memilih jalan yang salah. Selepas ayahnya kahwin sekali lagi dengan seorang janda beranak tiga, Rania dan keluarga dicemuh, dihina orang kampung. Akibat tidak tahan cemuhan serta kecewa dengan tindakan ayahnya, dia mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Kali pertama dia lari ke rumah ibu saudara. Perasaan sedih semakin bertambah setelah keluarganya tidak berusaha mencarinya.

- KES 2: Tidak boleh terima hakikat sebagai anak angkat
SEORANG gadis berusia 16 tahun mendakwa dia melarikan diri dari rumah keluarganya sejak berusia 14 tahun selepas mendapat tahu dirinya merupakan anak angkat.
Dikenali sebagai Balkis, dia memberitahu, perkara itu diceritakan ibu angkatnya selepas ibu kandungnya disahkan menghidap penyakit HIV dan meninggal dunia.
Ibunya disahkan menghidap HIV selepas dijangkiti daripada ayahnya yang merupakan seorang penagih dadah tegar. Akibat masalah kesempitan wang, ibu kandung menyerahkannya yang masih bayi kepada sebuah keluarga angkat. Akibat kecewa status sebenar dirahsiakan selama 14 tahun, dia menjadi semakin liar dan bergaul bebas.Kemudian dia lari ke rumah teman lelaki sebelum terlanjur dengannya sehingga disahkan hamil anak luar nikah.

- KES 3: Terpengaruh dengan sikap terbuka ibu
SEORANG remaja berusia 15 tahun mendedahkan sikap ibunya yang terlalu membiarkan dan terbuka terhadap hubungan cintanya telah menyebabkan dia bebas. Menurut gadis sunti yang ingin dikenali sebagai X, kebebasan itu menyebabkannya lari dari rumah selain terjebak dengan seks bebas, rokok, arak dan dadah. Ibunya terlalu mempercayai teman lelaki saya yang dilihat memiliki personaliti sopan dan latar belakang sekolah agama sejak sekolah rendah. Cik X mula bercinta sejak masuk sekolah menengah dan ibu sangat terbuka mengenai hubungan mereka sehingga Cik X hanya dibenarkan keluar jika bersama teman lelaki. Selepas setahun percintaan dan terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya, Cik X mula ponteng sekolah untuk lari ke Johor Bahru. Di sana, dia tinggal bersama di rumah sewa teman lelaki untuk hidup bebas, keluar ke kelab malam untuk minum arak dan dadah.

Remaja, kanak-kanak lari satu tindakan survival – Kewaja
Tindakan remaja berusia bawah 18 tahun dan kanak-kanak yang lari dari rumah merupakan satu tindakan untuk kelangsungan kehidupan. Ia kesan perasaan memberontak, marah, kecewa, rasa tersisih dan terkongkong oleh keluarga mereka sendiri.
Pengasas Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (Kewaja), Yahaya Mohd. Yusof memberitahu, kesan perasaan itu menyebabkan mereka mewujudkan undang-undang sendiri sebagai satu cara untuk memuaskan diri. Undang-undang yang diwujudkan pada usia 12 hingga 18 tahun itu lebih untuk keseronokan, sebagai tempat mengadu dan mencuba perkara baru. Walaupun mereka menyedari ia di luar batas agama, perbuatan itu dianggap mampu mengalih perhatian terhadap rasa tidak puas hati dalam kehidupan keluarganya.Undang-undang itu wujud setelah tiada peraturan lain mengawal keseimbangan dan gaya hidupnya atau timbul rasa bantahan terhadap peraturan sedia ada.

Kebanyakan golongan yang lari dari rumah itu terdiri daripada golongan perempuan yang secara fitrahnya kurang matang. Mereka lemah dan mudah dipengaruhi melakukan perkara-perkara yang melampaui batas moral serta agama. Keadaan itu diburukkan lagi apabila kurangnya program media cetak dan elektronik yang mementingkan kemahiran sosial ibu bapa mendidik anak. Kurang kemahiran sosial di kalangan ibu bapa adalah seperti terlalu percaya pada anak, tiada pengawasan, pemantauan pergerakan mereka serta melepaskan tanggungjawab pada pihak lain.
Keluarga punca lari dari rumah

Ramai beranggapan kehilangan golongan remaja berusia bawah 18 tahun dan kanak-kanak yang sering dilaporkan menerusi media massa mempunyai kaitan dengan sindiket tertentu.
Namun kajian yang dijalankan Institut Sosial Malaysia (ISM) mendedahkan sebaliknya.
Mengejutkan apabila kajian itu mendapati punca golongan tersebut hilang adalah disebabkan faktor dalaman atau keluarga sendiri. Lebih malang, kira-kira 80 peratus keluarga tidak mengetahui kehilangan anak mereka itu atau menyedarinya tetapi tidak mengambil peduli.
Hasil kajian dinamakan Kenapa Remaja Lari pada 2006 itu diperoleh dengan mengambil lebih daripada 300 sampel kanak-kanak dan remaja. Pengarah ISM, Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din berkata, remaja dan kanak-kanak terbabit dikategorikan dalam kelompok disebut laissez faire.
Katanya, dalam kelompok itu, mereka mempunyai undang-undang sendiri manakala peraturan hidup ditentukan sendiri lantaran penjaga yang sibuk.
“Ini bermakna mereka (remaja dan kanak-kanak) memiliki ‘dunia dan budaya’ sendiri. Mereka bebas pulang rumah malah duduk dan tidur di rumah rakan.
“Mereka juga bebas melakukan apa sahaja aktiviti seperti di laman sosial Facebook, kafe siber, boling dan karaoke.
“Lebih malang ada mereka yang terjerumus ke kancah pelacuran dan seks songsang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau turut memberitahu, dalam kajian terbaru yang dijalankan pada 2009, ada di kalangan golongan itu melarikan diri dari rumah atas pelbagai faktor.
Katanya, paling tinggi disebabkan didera secara seksual iaitu seramai 740 orang yang dipercayai ada kaitan dengan seks songsang penjaga diikuti fizikal (460 orang).
“Seks songsang itu bermakna bapa cenderung mengadakan seks dengan darah daging sendiri atau kanak-kanak,” ujar beliau.
Katanya, punca-punca dera pula disebabkan perbalahan keluarga iaitu sebanyak 522 orang diikuti terlalu percaya kekasih (484 orang) dan kewangan (297 orang).
Tambah beliau, kajian juga merekodkan remaja dan kanak-kanak keturunan Melayu mencatatkan angka tertinggi hilang iaitu 1,979 orang diikuti India (379 orang) dan Cina (350 orang).
Mengenai kelompok masyarakat yang merekod kehilangan anak paling ramai hilang, Mohamed Fadzil berkata, golongan di pinggir bandar adalah tertinggi diikuti bandar dan kampung.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s