Kenegaraan: DUN: hilang kelayakan ADUN

19-2-2011

ADUN yang mempertikaikan keputusan Speaker di Mahkamah Tinggi


Mahkamah Tinggi memutuskan ADUN Selangor Badrul Hisham Abdullah (gambar) kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang. Hakim Datuk Zaleha Yusof ketika membuat keputusan itu turut memerintahkan Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim membayar kos RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kekosongan kerusi terbabit.

Beliau membuat keputusan itu di dalam kamar selepas mendengar hujah peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Badrul Hisham.

Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim bertegas beliau mempunyai kekebalan untuk mengisytiharkan kerusi itu kosong. Chang Khim pada sidang media selepas itu berkata, akan memfailkan permohonan mengetepikan keputusan itu dan menyifatkan keputusan hakim tidak adil kerana hak asasinya sebagai Speaker yang mempunyai kekebalan seperti dalam peruntukan Artikel 72, Perlembagaan Persekutuan dinafikan.

Sebelum itu, dalam hujahnya Mohd Hafarizam berkata, dakwaan Chang Kim bahawa kegagalan Badrul Hisham menghadiri sidang DUN selama enam bulan adalah tidak tepat.
Tempoh enam bulan itu sepatutnya dikira bermula 8 November 2010 dan bukannya pada 16 Julai seperti diumumkan DUN Selangor. Tiada sidang DUN pada 16 Julai.

Peguam yang mewakili Chang Khim, Tommy Thomas bagaimanapun, gagal hadir di mahkamah untuk pendengaran kes, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Kamaluddin Md Said. Pada 19 Januari lalu, Chang Khim mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang selepas mendapati Badrul Hisham tidak menghadiri sidang DUN enam bulan, bermula 16 Julai 2010 hingga 16 Januari lalu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 69 Perlembagaan Negeri yang memperuntukkan pengisytiharan kekosongan kerusi jika ADUN tidak hadir sidang DUN selama enam bulan.

Berikutan itu, Badrul Hisham mencabar penggugurannya di mahkamah bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau masih wakil rakyat sah kawasan itu.

Sementara itu, Chang Khim berkata, mahkamah tidak sepatutnya meneruskan pendengaran berkenaan tanpa kehadiran peguamnya, Tommy Thomas, yang berada di Johor Bahru kerana terpaksa menghadiri satu perbicaraan yang sudah dijadualkan sejak berbulan lalu.

Pada 10 Februari lalu Chang Khim, melalui Tetuan Tommy Thomas, memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman terhadapnya difailkan Badrul Hisham, dengan alasan beliau mempunyai imuniti, berdasarkan peruntukan Artikel 72, Perlembagaan Persekutuan.

Ditanya mengenai kedudukan Badrul Hisham ketika ini selepas keputusan mahkamah itu, Chang Khim berkata, beliau masih berpegang kepada keputusan dan deklarasinya sebelum ini bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang sudah kosong.

Apabila ditanya mengenai kedudukan Badrul Hisham sama ada akan dibenarkan menghadiri Sidang DUN pada 28 Mac depan, Chang Khim berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan berikutan beliau akan memfailkan permohonan dan berkemungkinan boleh mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Badrul Hisham yang ditemui pemberita selepas kesnya selesai petang semalam, bersyukur dengan keputusan berkenaan dan menganggapnya hadiah untuk rakyat Pelabuhan Klang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s