Kehakiman: Pelantikan Ketua Hakim Negara

Ketua Hakim Negara : Tan Sri Arifin Zakaria

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September 2011.

Beliau menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan. Pelantikan terbabit diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengikut Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal.

Selain itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pula dilantik sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin dan semua pelantikan berkuat kuasa 12 September 2011.

Persaraan awal Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Presiden Mahkamah Rayuan, pada umur 65 tahun mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kini berurusan dengan Istana Negara bagi menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia untuk hakim berkenaan.

14-9-2011
Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Arifin Zakaria berjanji akan menitik-beratkan kualiti penghakiman dan mengutamakan keadilan tanpa sebarang kompromi.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Hakim Negara ke-13 di sini Rabu, Arifin berkata integriti dan kebebasan badan kehakiman perlu sentiasa dipertahankan, kerana badan itu merupakan benteng terakhir bagi rakyat mendapat keadilan.

“Dalam hubungan ini juga, setiap lapisan masyarakat hendaklah diberi akses yang tidak terhad kepada keadilan tanpa sebarang halangan,” katanya.

Beliau mengingatkan warga kerja badan kehakiman bahawa tugas utama mereka ialah melaksanakan keadilan di antara pihak-pihak yang bertelagah dan keputusan perlu dibuat dengan adil dan saksama, tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun.

Arifin yang menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang bersara wajib minggu lepas, berkata adalah menjadi misinya selaku tunggak badan kehakiman yang baru beserta rakan-rakan untuk meneruskan kecemerlangan yang dicapai oleh badan itu

Untuk tujuan itu, beliau berkata pembaharuan-pembaharuan sedia ada akan diteruskan dan dimantapkan lagi di samping memperkenalkan pendekatan baru bagi meningkatkan sistem penyampaian dan pelaksanaan keadilan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau menggariskan empat langkah baru iaitu menjadikan mediasi sebagai satu komponen teras di dalam sistem kehakiman di samping memantapkan lagi kecekapan hakim dan pegawai-pegawai dalam mengendalikan mediasi.

Langkah kedua, beliau mencadangkan penubuhan badan yang bertanggungjawab melatih hakim dan pegawai kerana pada masa ini latihan hanya dibuat secara ad-hoc dan tidak terancang dan juga pembentukan badan yang bertanggungjawab melantik hakim-hakim di bawah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dengan kerjasama pejabat ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan.

Yang ketiga, katanya ialah Kaedah-kaedah Mahkamah Yang Digabungkan iaitu kaedah baru yang akan meringkaskan dan mempermudahkan lagi prosedur sivil di mahkamah yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata langkah terakhir ialah kenaikan bidang kuasa sivil mahkamah rendah iaitu Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret menerusi pindaan Akta Mahkamah Rendah 1948, yang sedang menunggu kelulusan kerajaan.

Arifin berkata pelantikannya adalah suatu amanah yang berat bagi dirinya di mana kecemerlangan badan kehakiman yang wujud pada hari ini akan menjadi tanda aras kepadanya dan berharap beliau dapat sekurang-kurangnya mengekalkan tahap kecemerlangan yang ada sekarang.

Katanya untuk merealisasikan matlamat itu, beliau memerlukan sokongan jitu dan padu daripada segenap pihak termasuk para hakim dan pegawai kehakiman, Jabatan Peguam Negara, peguam dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Sambil menyifatkan keluarganya adalah amat penting kepadanya, beliau turut merakamkan rasa terhutang budi yang tidak ternilai kepada seluruh keluarganya terutama ibu dan bapanya, isteri dan anak-anaknya di atas sokongan mereka.

Arifin berkata ini adalah kali keenam beliau mengangkat sumpah jawatan sepanjang beliau menjawat jawatan Hakim.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya sumpah yang dibuat oleh seseorang Hakim. Ia sentiasa diperbaharui setiap kali dilantik ke jawatan baru. Tetapi sumpah saya kali ini sedikit berbeza dari segi kandungan dan juga cara ia dilakukan,” katanya.

Arifin berkata jika diteliti, Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan, sumpah jawatan Ketua Hakim Negara berbeza sedikit dengan sumpah jawatan Hakim-Hakim yang lain dan keduanya sumpah jawatan Ketua Hakim Negara hendaklah dilafazkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Apa yang penting bagi saya tekankan di sini ialah saya berjanji dengan sepenuh jiwa raga saya, saya akan mempertahankan sumpah saya itu sepanjang masa, walau dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya.

Selain itu beliau juga berjanji akan memberikan yang terbaik dalam menerajui badan itu seperti yang diamanahkan kepadanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Zaki kerana telah melaksanakan pembaharuan dalam badan kehakiman sehingga mencapai satu tanda aras yang cemerlang untuk beliau ikuti.

“Saya akan cuba mengikut jejak langkah beliau seberapa terdaya oleh saya. Mudah-mudahan saya tidak akan mengecewakan beliau,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s