Fahaman teks/karangan: Kesihatan mental

Masalah keresahan melampau atau ‘Obsessive Compulsive Disorder’ (OCD) boleh memberi impak negatif yang besar terhadap mereka yang mengalaminya.
disesuaikan daripada Bernama Jan 2012

SIMPTOM, PERASAAN, GELAGAT pesakit yang menghidapi masalah obsesif kompulsif (OCD) atau perasaan was-was ekstrem.

Simptom penyakit ini ialah melakukan gerakan berulang kali ketika membersih dan memeriksa, selain daripada keterlaluan atau ekstrem dalam memikirkan aspek seksual, keganasan atau aspek keagamaan.

Pesakit kerap merasakan dirinya tidak bersih sehinggakan mengambil masa berjam-jam lamanya bila berada di bilik mandi. Pesakit akan membasuh kedua-dua tangannya dan mandi berulang kali. Bukan itu sahaja, pesakit akan jalan mengundur bila mahu keluar dari bilik mandi. Lebih teruk lagi apabila keluar dari biliknya, pesakit akan memeriksa pintu biliknya sama ada telah berkunci dengan membuka serta menutup pintu dan memusingkan tombol pintu berulang kali. Banyak kali juga dia akan berpatah balik setelah melangkah hanya beberapa meter untuk memastikan pintu itu betul-betul dikunci. Tegasnya pesakit mempunyai perasaan serta kelakuan dan gelagat yang ekstrem.
Kelakuan yang berulang kali seperti membuka dan menutup pintu sebanyak 20 kali sebelum meninggalkan bilik adalah untuk melegakan keresahan serta pemikiran yang mengatakan pintu bilik itu mungkin belum dikunci. Tetapi ini membuang masa dan mendatangkan stres yang hebat. Kesan paranoid sebegini boleh membuat individu itu psikotik. Masalah ini memberi kesan terhadap rutin hidup seharian. OCD merupakan masalah berpunca dari otak, seperti keresahan serta ketakutan melampau atau juga kombinasi kedua-duanya sekali.

PERLU BANTUAN, PEMAHAMAN

Mula-mula pesakit OCD perlu memahami isu itu. Mereka perlu tahu masalah itu merupakan perasaan yang tidak boleh dikawal seolah-olah terpaksa mereka lakukan dan tidak dapat melepaskan diri dari perasaan ini dan melakukannya. Ini semua tanpa kawalan, seperti imej dan impuls otak yang berlaku tanpa henti berulang kali.

JENIS WAS-WAS

Terdapat beberapa kategori bagi mereka yang mempunyai masalah ini. Kategori pertama ialah mereka yang takut kotor dan akan membersih tangan dan badan berulang-kali.

Kumpulan kedua rasa terpaksa memeriksa pintu, dapur gas berulang kali bagi memastikan keselamatan dan menjauhi bahaya. Ada yang rasa bersalah atau berdosa dan merasakan mereka perlu lakukan sesuatu untuk mengelak daripada didenda atau dihukum. Ada juga yang rasa obsesi dengan cara mengatur barang atas meja dan rak atau mengatur perabot dan dekorasi di dalam rumah. Ada juga yang punya kepercayaan karut tentang sesuatu nombor, warna atau corak dan aturan.

Langkah:
Terapi terbaik bagi mereka yang mengalami OCD ialah terapi ‘kognitif-tingkahlaku’.
Terdapat juga ubat bagi menghilangkan kemurungan tetapi ubat sahaja jarang sekali berkesan mengurangkan simptom masalah ini.

PENDEDAHAN, RESPONS

Pendedahan serta menghalang respons berkisar kepada sumber yang menyebabkan obsesi itu. Individu itu akan dihalang daripada melakukan aktiviti kompulsif bagi meredakan keresahannya.
Contohnya, bagi seseorang yang kompulsif dalam membasuh tangan. Beliau akan disuruh menyentuh tombol atau pemegang pintu tandas awam dan kemudian dihalang daripada membasuh tangannya. Semasa orang itu dalam keresahan, desakan untuk membasuh tangan secara ‘ritual’ (berulang kali) akan beransur hilang. Melalui cara ini, individu itu akan belajar bahawa beliau tidak perlu melakukan ritual itu dan belajar mengawal perasaan obsesif dan tingkahlaku kompulsif.

Terapi kognitif pula memberi fokus terhadap pemikiran yang bahaya dan rasa tanggungjawab besar individu berkenaan. Ia mengajar cara memberi respons yang sihat dan efektif terhadap pemikiran obsesif tanpa perlu melakukan tingkah laku kompulsif.

LANGKAH MENGATASI SIMPTOM

Pesakit disedarkan bahawa pemikiran sebegitu adalah disebabkan OCD dan katakan pada dirinya bahawa ‘ia bukan sebenarnya saya, tetapi hanya OCD’ bagi mengingatkan tingkah laku itu adalah mesej-mesej palsu dan tidak bermakna yang dihantar otak”. Pesakit harus memberi fokus terhadap perkara lain walaupun hanya beberapa minit. Pesakit perlu berkata “saya mengalami gejala OCD dan perlu melakukan sesuatu yang lain.”

BANTUAN KELUARGA

OCD boleh mengganggu hidup sosial dan keluarga mereka yang mengalaminya.
Keluarga boleh membantu dalam memahaminya serta mengelakkan konflik daripada berlaku. Ahli keluarga boleh memberi motivasi serta sokongan terhadap individu yang menghidapi OCD.

Aktiviti riadah seperti melakukan joging, jalan kaki, mendengar muzik dan melayari Internet semata-mata untuk mengelakkan diri daripada tingkah laku kompulsif dan pemikiran obsesif.

Pesakit perlu melengah-lengahkan respons, lagi lama dilengahkan, semakin hilang desakan melakukan gerak kompulsif itu.

ELAK STRES
Sesuatu yang mendatangkan stres boleh mencetuskan atau memburukkan lagi episod OCD.
Pesakit dinasihatkan mengamalkan gaya hidup tanpa stres serta aktiviti yang mendatangkan relaks selain daripada mengamalkan senaman serta pemakanan yang secukupnya. Masa tidur dan rehat harus secukupnya, di samping menjauhi rokok, nikotin dan alkohol.

ELAK DARIPADA BERSENDIRIAN
Pesakit jangan bersendirian dalam mengalami masalah itu. Mereka perlu meminta bantuan, bercerita masalah kepada orang lain. Ada baiknya jika melibatkan diri dengan kumpulan sokongan dan berkongsi pengalaman. Elakkan daripada memberi komen-komen yang negatif. Mereka harus berinteraksi secara positif dalam lingkungan sosial dan anggap semuanya itu adalah satu perkara yang lucu, selanjutnya menceriakan diri sendiri.

2 responses to “Fahaman teks/karangan: Kesihatan mental

  1. Pingback: Rokok: Karangan / Esei Pengajian Am (PA) STPM

  2. Pingback: Kesihatan Mental: Karangan / Esei Pengajian Am (PA) STPM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s