PM Dato Sri Najib: Berikrar Minimumkan Kesan Kenaikan Kos Sara Hidup Pada Tahun Baharu 2014

Penyataan PM Dato Sri Najib melalui blog beliau: Berikrar Minimumkan Kesan Kenaikan Kos Sara Hidup Pada Tahun Baharu 2014
Kerajaan akan menambah baik program-program kerajaan supaya kesan terhadap pendapatan isi rumah tidak terlalu ketara.

Kerajaan akan melaksanakan beberapa mekanisme untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik dan bayaran tol dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) akan mengemukakan idea baharu untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Setelah mengumumkan 11 langkah untuk mengurangkan perbelanjaan sektor awam, kerajaan akan cuba memastikan kadar kenaikan adalah adil.

Sebagai contoh, kenaikan harga petrol dan tarif elektrik akan memberi kesan kepada kuasa membeli rakyat, namun, walaupun ada peningkatan, kerajaan masih memberi subsidi petrol dan bil elektrik.

Mengenai cadangan kenaikan cukai taksiran di Kuala Lumpur, setelah mendengar keluhan rakyat, kadar cukai dikurangkan sehingga dua peratus dan rebat tambahan diberi kepada pemilik hartanah yang tidak berkeupayaan, pesara serta pemilik-penghuni. Kerajaan tidak akan melaksanakan kenaikan kos tanpa memberi bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

Seramai 7.9 juta isi rumah yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan, layak memohon BR1M baharu (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Kerajaan juga akan membuka Kedai-Kedai 1Malaysia baharu untuk membantu mengurangkan kenaikan harga barangan harian serta Klinik 1Malaysia baharu untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan pada kos berpatutan.

Pada tahun 2014, kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM42 bilion untuk subsidi – hampir sama dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pembangunan.

Mengenai langkah merasionalkan subsidi, kerajaan memperkenalkan langkah pemotongan kos untuk mengurangkan perbelanjaan.

Kerajaan juga mengulangi komitmen untuk menangani rasuah, mengurangkan pembaziran kerajaan dan meningkatkan perolehan; meletakkan semua tender kerajaan di atas talian agar ia menjadi lebih telus, dan berusaha untuk lebih merealisasi nilai aset kerajaan.

Perdana Menteri bertekad untuk melakukan perkara yang tepat untuk negara dan rakyat kerana hanya dengan bertindak secara bertanggungjawab mulai sekarang, kerajaan akan dapat mengukuhkan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang agar manfaatnya dapat dirasai dengan lebih meluas.

Dengan merasionalisasikan subsidi, negara akan dapat mengukuhkan kedudukan fiskalnya serta membolehkan kerajaan memberi fokus terhadap perbelanjaan bagi projek pembangunan, termasuk kesihatan dan pendidikan, di samping bergerak ke arah mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020.

Dengan mengambil langkah yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih kukuh, Kerajaan bukan sahaja melindungi negara daripada krisis kewangan, tetapi juga mewujudkan peluang dan pekerjaan baharu.

Banyak pihak akan lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat-syarikat Malaysia, membina kilang-kilang di Malaysia dan memulakan perniagaan-perniagaan baharu. Ini seterusnya akan memacu pembangunan ekonomi, membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang.

Najib berkata apabila bermulanya tahun 2014, kerajaan perlu terus membina asas bagi kejayaan berterusan Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi lebih kukuh dan sebuah negara lebih bersatu-padu.

Untuk menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, kadangkala kerajaan perlu mengambil keputusan sukar, lagi tidak popular. Kepimpinan bermaksud melihat sesuatu dalam jangka masa panjang, melakukan apa yang betul dan bukan apa yang popular.

Kerajaan tidak akan mempersetujui sebarang pemotongan subsidi atau kenaikan kadar dengan sewenang-wenangnya kerana program subsidi telah memberi banyak manfaat kepada rakyat sejak sekian lama. Tetapi, seiring dengan pertumbuhan populasi dan pembangunan negara, program subsidi tidak lagi mapan dan kini, tiba masanya untuk kita melangkah ke hadapan.

Kerajaan perlu merasionalkan subsidi dan menyasarkan pemberian kepada golongan yang benar-benar memerlukannya. Komitmen kerajaan terhadap perbelanjaan pembangunan juga telah berkembang, dan kerajaan perlu mengurus kedudukan fiskal untuk menjamin kestabilan ekonomi negara.

Krisis kewangan baru-baru ini menunjukkan betapa seriusnya kesan dan akibatnya kepada negara yang kewangan mereka tidak dibina berdasarkan asas yang kukuh dan apabila pelabur serta agensi mendapati negara berkenaan tidak mampu membayar hutang mereka, kos pinjaman akan naik mendadak sehingga berada di luar kawalan.

Tanpa wujudnya akses kepada kredit, sesebuah negara dan rakyatnya akan menanggung implikasi besar. Sebagai contohnya lebih separuh daripada golongan muda di beberapa negara Eropah kini tidak mempunyai pekerjaan.

Di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN), Malaysia telah berkembang dengan pesat; pendapatan per kapita meningkat sehingga 49 peratus dalam tempoh empat tahun lepas. Kerajaan terpaksa mengambil keputusan yang sukar agar kos pinjaman kekal rendah dan keyakinan pelabur terus kukuh. Kedua-dua faktor ini genting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus kukuh dan berkembang.

Rakyat harus menerima hakikat bahawa kita perlu melaksanakan perubahan demi memastikan kewangan kita kekal terkawal.

Malaysia perlu meneguhkan lagi komitmennya terhadap kewujudan bersama secara aman dan perlu berusaha lebih aktif untuk mengukuhkan perpaduan kerana kestabilan dan kemajuan negara bergantung padanya. Malaysia sudah cukup matang untuk mengharungi debat-debat yang getir. Perpecahan antara kita akan berakhir dengan masa, di mana kita boleh sama-sama melihat negara kita terus membangun dan menjadi dewasa, kita juga akan melihat bahawa mereka yang tidak sependapat dengan kita kekal menjadi jiran-jiran, rakan-rakan sekerja dan sahabat-sahabat kita.

Sebab itulah, Majlis Perundingan Perpaduan Negara diwujudkan. Majlis ini akan melaporkan kepada Jemaah Menteri segala cadangan yang boleh dilakukan untuk merapatkan lagi rakyat Malaysia. Keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan wujudnya keamanan, kestabilan dan kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung pada faktor-faktor ini.

Membina semula perpaduan negara dan menggalakkan debat umum yang berlandaskan rasa hormat, menjadi sebahagian besar daripada rancangan ini.

Najib percaya 2014 akan membawa lebih banyak peluang, manakala ekonomi Malaysia, yang telah mengharungi ribut krisis kewangan dunia, diramal berkembang sebanyak 5.5 peratus.
Dengan pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia, akan menyaksikan usaha lebih bersepadu untuk menarik pelancong-pelancong asing ke negara kita yang indah ini. Perniagaan baharu akan dibuka dan pelaburan baharu akan direalisasikan.

Namun, di sebalik angka-angka ini, kerajaan sedar bahawa ada ramai yang bimbang tentang 2014, bimbang dalam usaha kami untuk mengimbangi belanjawan negara, belanjawan isi rumah akan menghadapi tekanan.

Kerajaan faham dan bersimpati dengan kebimbangan ini. Rakyat yang rajin bekerja akan merasakan kesan kenaikan kos. Dan ketika media kita dipenuhi angka-angka defisit dan peningkatan harga, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa 2014 hanya bakal membawa keperitan semata.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s