Category Archives: KEHAKIMAN

Kehakiman: Dakwaan kes rasuah

Peguam Negara: berkuasa budi bicara mendakwa seseorang di mahkamah selepas meneliti kertas siasatan Polis, SPRM dan sebagainya.

6-12-2010
SHAH ALAM: Beberapa saksi yang dijangka memberikan keterangan dalam perbicaraan kes bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, diletakkan dalam program perlindungan penuh untuk saksi.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani berkata, sekurang-kurangnya 15 hingga 16 saksi termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dipanggil memberikan keterangan dalam kes itu.

Disoal berhubung siasatan kes itu yang mengambil masa agak lama, Abdul Gani berkata, ia disebabkan pihaknya perlu memastikan taksiran nilai harga tanah, rumah dan hiasan dalaman rumah itu terlebih dulu.

“Membeli rumah dengan harga yang murah tidak menjadikan ia sebagai satu kesalahan kerana sesiapapun mungkin boleh membelinya dengan murah.

“Bagaimanapun, kita kena pergi balik (siasat) pada asasnya, kaedah transaksi itu dilakukan,” katanya pada sidang akhbar di sini selepas prosiding tuduhan terhadap Mohamad Khir selesai. Abdul Gani berkata, kejadian itu sudah lama berlaku dan memerlukan masa untuk menyiasat siapakah pembeli pertama rumah atau tanah itu sebelum ia dipindahmilik kepada Mohamad Khir.

Selain itu, Abdul Gani turut berterima kasih dan berpuas hati terhadap pihak SPRM kerana melakukan siasatan dengan baik dan telus.

Bagaimana kes ini dibawa kemahkamah?
Laporan dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuat siasatan dan hantar (laporan) kepada (pejabat) Peguam Negara. Peguam Negara berpendapat ada kes atau bukti cukup untuk mendakwanya,maka kes dibawa ke mahkamah.

Dato Sri Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Dr Khir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shamsuddin turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh. Pihak Pendakwa raya diketuai Peguam Negara sendiri, Peguan Cara dan Penolong Pendakwa Raya yang lain. Kes ini akan dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Mohamad Khir dan Shamsuddin masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM750,000 dengan seorang penjamin.

Kenegaraan: Prosedur Dakwaan Kes Jenayah

PUTRAJAYA, 29 Julai 2010
Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas.

Dr Ling, 67, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002.

Beliau yang juga bekas Presiden MCA kelihatan tenang ketika pertuduhan berkenaan dibacakan kepadanya yang diterjemah dalam Bahasa Inggeris.

Hakim Suzana Hussin membenarkan bekas presiden MCA itu diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Sept ini, pada pukul 8.30 pagi untuk sebutan semula kes.

Dr Ling, yang berbaju belang biru putih dibebaskan selepas membayar ikat jamin itu.

Mengikut pertuduhan utama, Dr Ling dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah itu mengikut terma-terma yang dipersetujui di antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang.

Terma-terma berkenaan ialah

– luas tanah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki pesegi;

– kadar pembelian tahan adalah sebanyak RM25 satu kaki pesegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456,000.00;

– tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah “bayaran tertangguh” selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (berjumlah RM720,014,600.00).

Dr Ling dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah tersebut mengikut terma-terma itu dan dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kadar kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Oleh demikian, beliau dituduh dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tahan tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Menurut pertuduhan itu, penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa beliau (Dr. Ling) boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia, yang kepentingannya di dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu, beliau terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi.

Bagi pertuduhan utama, Dr Ling dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sampai tujuh tahun, dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, Dr Ling dituduh menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sewaktu ditanya jurubahasa itu sama ada beliau faham pertuduhan itu dan sama ada beliau mengaku bersalah atau minta bicara terhadap pertuduhan itu, Dr Ling menjawab beliau faham pertuduhan itu dan “mengaku tidak bersalah”.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata pertuduhan yang dihadapi Dr Ling merupakan kesalahan yang boleh dijamin dan adalah tidak perlu bagi Dr Ling untuk menyerahkan dokumen perjalanan.

Peguam bela Datuk R.R.Sethu tidak membantah terhadap jumlah jaminan itu.

Beliau memohon kepada mahkamah “untuk tempoh sebulan bagi tarikh sebutan kerana menurutnya Dr Ling pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebelum ini.

Turut dalam pasukan pendakwaan ialah Ketua Unit Pendakwaan Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad dan timbalan pendakwa raya Manoj Kurup.

Dr Ling yang tidak digari, sampai di perkarangan mahkamah pada pukul 4.36 petang dengan kereta Honda Accord berwarna biru. Beliau diiringi isterinya Toh Puan Ena Ling dan keluarga terdekatnya serta beberapa anggota polis.

Beliau kemudiannya memasuki Mahkamah Sesyen pada 4.45 petang dan terus duduk di dalam kandang tertuduh. Prosiding mahkamah berjalan selama setengah jam bermula 4.55 petang.

Sewaktu Dr Ling keluar dari kaunter jaminan, seorang pemberita sempat bertanyakan beliau sama ada beliau mahu bercakap apa-apa, Dr Ling cuma menggelengkan kepalanya.

Mahkamah telah bersidang selama setengah jam bermula pada pukul 4.55 petang.

Selepas itu, Dr Ling telah dibawa ke kaunter jaminan yang terletak di tingkat bawah bangunan mahkamah itu. Beliau dilihat keluar dari kaunter itu pada pukul 5.30 petang.

Kenegaraan: Mahkamah Sesyen dan hukuman rotan mandatori

“Perogol Bersiri” Dihukum Penjara 50 Tahun Dan 24 Sebatan

MELAKA, 19 Mei 2010

Seorang peniaga kecil yang digelar “perogol bersiri” oleh polis dihukum penjara 50 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari selepas mengaku bersalah terhadap 15 tuduhan iaitu enam kes rogol, dua kes percubaan merogol, satu kes seks luar tabii dan enam tuduhan merompak sejak Mei 2007 sehingga November tahun lepas.

Rashidi Omar,29, dari Durian Tunggal dekat sini, mengaku bersalah di hadapan Hakim Zaharah Hussain setelah dibacakan pertuduhan dan fakta kes dalam prosiding mahkamah yang berlangsung dari pagi sehingga keputusan hakim dibacakan kira-kira 5 petang.

Pendakwaan kes yang dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin dan Haslida Ismail telah menarik perhatian orang ramai yang memenuhi semua tempat duduk dalam mahkamah.

Mengikut fakta kes, kesalahan pertama dilakukan Rashidi ialah merogol seorang kanak-kanak berusia 7 tahun 10 bulan pada 24 Mei 2007 di Ladang Kelapa Sawit Hailam Estate di Jasin dan kesalahan terakhir pada 21 Nov 2009 sebelum ditangkap polis 1 Dis 2009.

Bagi kes rogol, Rashidi yang memberitahu mahkamah pekerjaan terakhirnya sebagai penjual putu piring di sebuah pasar raya di Jalan Bachang di sini, secara keseluruhannya melakukan satu kes pada 2007, dua kes pada 2008 dan enam kes sepanjang tahun lepas.

Bagi pertuduhan kes rogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan manakala bagi pertuduhan merompak mengikut Seksyen 392 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Antara pertuduhan dihadapi Rashidi ialah merogol remaja berusia 15 tahun 11 bulan di Ladang Kelapa Sawit Hainan Estate, Cheng, merogol seorang gadis dan merompak telefon bimbit Nokia N-Gage milik mangsa di kebun kelapa sawit belakang perumahan Taman Seri Sutera, Alor Gajah pada 31 Mac 2008.

Dia juga dituduh merogol seorang wanita berusia 44 tahun di Ladang Kelapa Sawit Tong Bee, Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah serta merompak komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai mangsa sebanyak RM200 pada 7 Jun 2009.

Pada 7 Okt 2009, dia dituduh merogol seorang wanita berusia 35 tahun dan melakukan seks luar tabii iaitu memasukkan zakarnya ke dalam mulut mangsa di sebuah butik di Tanjung Minyak.

Bagi kesemua kes, Rashidi telah menggunakan motosikal dan memperdaya mangsa untuk mengikut beliau ke suatu tempat yang sunyi sebelum merogol dan merompak mangsa dengan mengacukan pisau kecil ke atas mangsa.

Ketika diberi peluang untuk merayu kepada mahkamah sebelum dijatuhi hukuman, Rashidi berkata dia telah menginsafi perbuatannya dan meminta maaf kepada semua mangsa.

“Saya sepatutnya menjadi contoh kepada kedua-dua adik saya tetapi apa yang saya lakukan adalah sebaliknya,” katanya.

Hakim Zaharah menasihatinya supaya mengotakan kata-katanya bahawa telah benar-benar insaf.

Kenegaraan: Ketua Agama Islam di Negeri tidak Bersultan


Agong Serah Pentauliahan Kepada 13 Hakim Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2010
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyerahkan pentauliahan kepada 13 Hakim Mahkamah Syariah bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka di Istana Negara di sini.

Tiga daripada mereka menerima pentauliahan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah iaitu Ketua Hakim Syarie Tan Sri Ibrahim Lembut dan Datuk Muhamad Asri Abdullah bagi Pulau Pinang manakala Datuk Md Yusup Che Teh bagi Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Sementara dua daripada mereka menerima pentauliahan sebagai Ketua Hakim Syarie iaitu Datuk Mohamad Abdullah bagi Wilayah Persekutuan dan Datuk Yusof Musa bagi Pulau Pinang.

Mereka yang menerima pentauliahan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ialah Mohd Shukor Sabudin, Mohd Radzi Abd Latif dan Mohd Amran Mat Zain bagi Wilayah Persekutuan, Nassir Abd Aziz bagi Putrajaya, Ibrahim Deris bagi Labuan, Adam Tumiran dan Jaidi Ahmad bagi Pulau Pinang dan Mohd Asri Tahir bagi Melaka.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Hakim Syarie Melaka Datuk Mahamad Ibrahim dan Pengarah Kanan (Kehakiman) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Mukhyuddin Ibrahim.

Nota Tambahan:

YDPA ialah ketua agama Islam negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Ketua 4 negeri ini ialah Yang Dipertua Negeri. YDPN bukan ketua agama Islam negeri masing-masing.

Pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi & Pesuruhjaya Kehakiman

Pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi & Pesuruhjaya Kehakiman

11-05-2010
PUTRAJAYA: Seorang Pesuruhjaya Kehakiman hari ini, disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi manakala tiga orang dilantik Pesuruhjaya Kehakiman.

Datuk Hinshawati Shariff, 55, yang dilantik Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah Pesuruhjaya Kehakiman sejak 2007.
Tiga yang dilantik Pesuruhjaya Kehakiman ialah Ketua Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara, See Mee Chun; Hakim Kanan Mahkamah Sesyen Shah Alam, M Gunalan dan Pengarah Mahkamah-Mahkamah Negeri, di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang, Rosilah Yop.

Kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan dan taat setia hakim di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi di Istana Kehakiman di sini. Pelantikan kesemua mereka berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan mereka adalah dengan perkenan Yang di Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara mengikut Perkara 122AB (1) Perlembagaan Persekutuan.

See, 51, yang berasal dari Kuantan, Pahang, memperoleh Sarjana Undang-Undang dari University of London, United Kingdom dan mula berkhidmat dengan kerajaan pada 1983.
See, sebelum ini, pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-Undang di beberapa kementerian, hakim Mahkamah Sesyen, Ketua Unit Timbangtara dan Timbalan Pesuruhjaya Penyemak dan Pembaharuan Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara.

Gunalan, 52, sebelum ini pernah memegang jawatan Majistret, hakim Mahkamah Sesyen dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Agung.

Sementara itu, Rosilah, 52, pernah menyandang jawatan antaranya sebagai Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang.

Kenegaraan: Mahkamah Khas(Raja-Raja)


Kes ditangguh: Peguam yang mewakili pihak Sultan Kelantan Dato’ Cumaraswamy dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani meninggalkan Mahkamah Khas di Putrajaya.

Mahkamah Khas Raja-Raja mendengar permohonan habeas corpus untuk “membebaskan” Sultan Kelantan.

PUTRAJAYA: 11-05-2010
The Special Court could not hear a application habeas corpus to “free” the Sultan of Kelantan as its panel was short of one judge.

The Ruler’s lawyer Gobind Singh Deo told newsmen that Attorney-General Tan Sri Abdul Gani Patail had argued that the Special Court should consist of five judges, pointing out that only four had sat to hear the application yesterday.

Article 182 (1) of the Federal Cons­titution states that there must be a Chief Justice of the Federal Court (chair­man), the Chief Judges of the High Courts, and two other persons, who hold or have held office as judge of the Federal Court or High Court, appointed by the Conference of Ru­­lers.

However, the panel yesterday comprised only Chief Justice Tun Zaki Tun Azmi (chairman); Chief Judge of Malaya Justice Arifin Zakaria; Federal Court judge Justice Zulkefli Ahmad Makinuddin and High Court Justice Linton Albert.

While it was understood that the Chief Judge of Sabah and Sarawak Justice Richard Malanjum was overseas, it could not be confirmed whether Justice Linton was on the panel in Justice Malanjum’s place or was one of two judges appointed by the Confe­rence of Rulers.

It was also not confirmed if Justice Zulkefli was appointed by the Rulers.

Gobind said that during the proceedings held in camera, the panel suggested that the issue over the number of judges be sorted out before the court proceeded to hear the merits of the application.

“It appears that there is a shortage of one judge,” he told reporters outside the courtroom. “So, the court has to make an arrangement for another judge to sit in the panel for arguments to be heard.

“This is disappointing. You have a Special Court but insufficient judges. As a result, the case cannot proceed. The law requires five judges. We do not have jurisdiction,” he added.

Gobind said the matter was ad­­journed to also enable the A-G to file an affidavit-in-reply over the application.

“We ask for the affidavit-in-reply to be filed as we have got a live issue before this court. I think the issue is not only a matter of public interest but of national interest and international concern. This must be resolved. In order to do that, the A-G asked for time to do so,” Gobind added.

Gobind said while the hearing was held in closed proceedings the decision would be delivered in open court.

Datuk Param Cumaraswamy, also acting for the Ruler, said the A-G had given an assurance that Sultan Ismail Petra Tengku Yahya Petra was free to go to Singapore for his medical treatment.

Lawyer Sunil Abraham held a watching brief for the Kelantan Regent.

The application was filed on Friday to “free” the Sultan from being held at the Hospital Universiti Sains Malaysia in Kelantan so that he could get medical treatment outside the state.

The writ is supported by an affidavit by the Sultan’s third son,Tengku Te­­meng­­gong of Kelantan – Tengku Mu­­ham­mad Fakhry Petra.

In the writ, the Ruler, who was discharged from the hospital on Sunday, was named as an applicant.

The Kelantan police chief, Inspector-General of Police, the hospital’s director, Health Ministry director-general and Federal Government were named as respondents.

Nota tambahan
MAHKAMAH KHAS (RAJA-RAJA)

LATAR PENUBUHAN
Sebelum 23-3-1993, Perlembagaan Bahagian 14, perkara 181(2) berbunyi: “Tiada apa-apa pembicaraan boleh dibawa dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja bagi sesuatu negeri atas sifat dirinya sendiri”.
Parlimen telah meminda perlembagaan untuk memindahkan kekebalan raja-raja dan mewujudkan Mahkamah Khas untuk perbicaraan kes yang melibatkan Raja-Raja Melayu.

Keanggotaan disidangi 5 hakim: Ketua Hakim Negara, Presiden Mah Rayuan, Hakim Besar Malaya Hakim Besar Sabah dan Sarawak, dua orang hakim atau bekas hakim pilihan Majlis Raja-Raja

Bidang Kuasa
* membicarakan kes YDPA dan Raja tentang kes sivil dan
jenayah atas sifat peribadi mereka.
* bidang kuasa sama dengan Mahkamah Persekutuan.
* keputusan mahkamah muktamad.

Prosedur Perbicaraan
• Sebarang dakwaan terhadap YDPA dan Raja-raja mesti melalui
kebenaran Peguam Negara.
• YDPA dan Raja henti menjalankan tugasnya ketika perbicaraan kes
jenayah berlangsung.
• Jika dipenjara oleh Mahkamah Khas satu hari atau lebih, mestilah
turun daripada takhta kerajaan.
• Tidak boleh mengampun diri sendiri. Hanya boleh diampun oleh MRR
dengan syarat pendapat Peguam Negara harus diambil kira.
( Permaisuri dan anak raja dibicara di mahkamah biasa)

Kehakiman:Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)

Tribunal Bukan Sahaja Membela, Malah Pulihkan Harga Diri Pengguna

KOTA BAHARU, 4 Mac 2010
Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bukan sahaja membela pengguna malah memulihkan semula semangat jati diri pengguna yang pernah menjadi mangsa peniaga tidak bertanggungjawab.

Mungkin tidak ramai yang melihat apa kesannya kepada mentaliti pengguna, tetapi pengalaman seorang lelaki, Ng Chai Seng, 56, yang ditipu oleh sebuah syarikat elektrik melalui tawaran cabutan bertuah sejak setahun lepas dengan nilai RM2,960 menyebabkan beliau merasakan dirinya tiada harga diri dan maruahnya tercalar.

Ng yang merupakan seorang penjual baja perladangan berkata walaupun dirinya seorang yang berduit tetapi hakikat apabila duitnya dirampas sebanyak RM2,960 di depan matanya telah memberikan tekanan kerana sakit hati akibat ketidakupayaan dirinya menjaga wang sendiri.

“Bayangkan apabila duit kita diambil depan mata, dengan mudahnya menipu kita dengan kata-kata manis, kita pula tidak dapat buat apa-apa sebab terikat dengan perjanjian jual beli, tetapi barang yang kita harapkan tidak sampai.

“Saya ada duit dan jumlah itu bukanlah sebesar mana, tetapi ini duit saya, saya cari dengan jasad, keringat dan otak saya. Mereka boleh ambil macam itu saja. Sebagai seorang lelaki terasa seperti jatuh maruah saya kalau kawan-kawan saya tahu. Mana saya hendak letak muka saya,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

TERUJA DENGAN KATA-KATA

Ng merasakan rendahnya maruah kerana telah diperbodohkan peniaga terbabit dan menceritakan pengalamannya bahawa kata-kata dan pujukan peniaga kedai elektrik yang terletak di sebuah pasaraya di bandar ini mampu memperdaya sesiapa pun tidak kira golongan berpangkat atau kurang berkemampuan.

“Pada 5 Nov tahun lepas saya ke sebuah pasaraya di bandar ini dan kemudian seorang penjual syarikat elektrik di dalam pasaraya itu mengajak saya ke kedai mereka untuk membuat satu cabutan bertuah.

“Peniaga itu berkata saya begitu bertuah kerana berjaya memenangi tiga barangan elektrik hanya dengan harga RM2,999 sahaja berbanding harga asal yang bernilai hampir RM10,000. Mempercayai kata-kata peniaga itu saya kemudian mengeluarkan kad kredit dan membeli barangan terbabit.

“Bagaimanapun peniaga itu kemudian berkata sekiranya saya membeli satu lagi barangan elektrik yang ditawarkan pada harga RM2,960, maka saya akan mendapat tiga lagi hadiah barangan elektrik secara percuma,” katanya.

Beliau berkata, teruja mendengar kata-kata peniaga itu beliau kemudian mengeluarkan sekali lagi kad kreditnya dan membeli barangan terbabit.

LAPORAN KE MAHKAMAH TRIBUNAL TUNTUTAN

Menurutnya, pada hari terbabit peniaga itu kemudian hanya memberinya enam barangan elektrik yang dibeli termasuk yang diperoleh secara percuma dan mengatakan satu lagi barangan elektrik yang berharga RM2,960 yang dibelinya akan dihantar pada bulan Disember kerana kehabisan stok.

Bagaimanapun katanya, hampir tiga bulan menunggu, barangan yang dijanjikan tidak juga tiba sedangkan setiap bulan beliau terpaksa membayar harga barangan terbabit.

“Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, saya ke Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia(TTPM) Kota Baharu untuk membuat laporan pada 10 Jan lepas,” katanya.

Ng berkata, dengan bantuan tribunal itu beliau berusaha menuntut kembali wangnya yang berjumlah RM2,960 meskipun mendapat tentangan hebat daripada syarikat elektrik berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, nasib menyebelahinya apabila pada 11 Feb lepas, syarikat terbabit akur dan membayar kembali wang yang dituntutnya itu.

BANYAK KES DISELESAIKAN

“Mungkin bagi saya soal harga bukan yang sebenarnya menjadi keutamaan tetapi bagaimana jika yang terkena itu adalah mereka yang susah, yang benar-benar mengharapkan dapat memperoleh barangan yang dijanjikan dan menggunakan pula wang simpanan yang ada, bukankah tindakan syarikat itu sangat menganiaya,” katanya.

Beliau yang tampil bagi memberi kesedaran kepada pengguna lain agar tidak terus tertipu dengan helah syarikat elektrik itu turut meminta pengguna memanfaatkan sepenuhnya kewujudan Mahkamah Tribunal Tuntutan bagi mendapatkan pembelaan sekiranya menghadapi masalah sepertinya.

“Terima kasih kepada Mahkamah Tuntutan Tribunal, saya sangat menghargainya dan mula menyedari kepentingan tribunal itu, jika tidak pasti ramai yang terus tertipu dan kerugian,” katanya.

Pengerusi Majlis Tribunal Pengguna Rungit Singh berkata, sepanjang tahun lepas sebanyak 6,491 kes tuntutan pengguna difailkan di seluruh negara termasuk 566 kes yang belum diselesaikan.

“Perkembangan ini menunjukkan jumlah kes yang dapat diselesaikan sebanyak 87.2 peratus,” katanya, yang juga Presiden mahkamah TTPM.

Dalam perkembangan berkaitan, Rungit berkata, Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna cawangan Kelantan memfailkan 201 kes tuntutan pengguna dan 21 kes masih belum dapat diselesaikan.

Kenegaraan: Pemecatan Menteri

Latar belakang:
Menteri dilantik oleh YDPA ikut nasihat PM
YDPA berkuasa memecat seseorang menteri mengikut nasihat PM.

Pemecatan Anwar Daripada Kabinet Pada 1998 Sah : Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA, 8 Mac 2o1o(Bernama) — Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan 11 tahun lepas adalah sah di sisi undang-undang, kata Mahkamah Persekutuan.

Panel terdiri Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara mengetepikan rayuan terakhir Anwar untuk mendapatkan perintah bahawa pemecatannya daripada jawatan kabinet pada 2 Sept 1998 melanggar Perlembagaan.

Hakim Alauddin berkata Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk memecat anggota kabinetnya.

Katanya Yang di-Pertuan Agong selaku raja berperlembagaan, dikehendaki bertindak selaras dengan nasihat Perdana Menteri.

Sebelum ini Anwar gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang masing-masingnya memutuskan bahawa Dr Mahathir mempunyai kuasa memecat anggota kabinetnya dan telah bertindak mengikut Perlembagaan dengan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pemecatan itu.

Kenegaraan: Kehakiman dan DUN

Latar belakang kenegaraan:
Pemecatan MB/PM
melalui satu usul tidak percaya di DUN atau DR
MB/PM yang hilang sokongan majoriti DUN/DR boleh memohon kepada Raja/YDPA untuk membubarkan DUN/DR masing-masing.
Namun kuasa bubar DUN/DR adalah kuasa budi bicara Sultan/YDPA

9-2-2010 Istana Keadilan

Mahkamah Persekutuan putus pelantikan Menteri Besar ikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak setahun lalu adalah sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak (UTNP).

Keputusan muktamad yang tidak boleh dirayu itu dibacakan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Allauddin Mohd Sheriff; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin; Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdul Hamid Embong.

Mahkamah sebulat suara mendapati Zambry mendapat sokongan 31 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mahkamah tertinggi di negara ini juga mendapati tidak ada sebarang peruntukan mengikut Perkara 16 (6) undang-undang tubuh yang mensyaratkan undi tidak percaya perlu diadakan terhadap Menteri Besar Perak melalui pengundian dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bukti mengenai kehilangan kepercayaan terhadap Menteri Besar boleh diambil daripada sumber lain yang ada. Kami berpendapat, sumber itu termasuk pengakuan menteri besar itu sendiri atau representasi yang dibuat Adun bahawa menteri besar berkenaan tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota dewan,” kata Arifin.

Sebaik keputusan selesai dibacakan, peguam Zambry, Datuk Cecil Abraham memberitahu mahkamah anak guamnya tidak mahu menuntut kos mahkamah kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan umum.

Dalam penghakiman setebal 41 halaman itu, Arifin berkata, mahkamah mendapati mengikut Perkara 16 (6) UTNP, Mohammad Nizar yang sudah kehilangan sokongan majoriti diwajibkan meletak jawatan bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Oleh itu, kami bersetuju dengan Zambry bahawa keengganan Mohammad Nizar meletak jawatan seperti titah Sultan Perak bercanggah dengan peruntukan Perkara 16 (6). Mohammad Nizar tidak boleh terus memimpin kerajaan selepas kehilangan sokongan majoriti. Jika dibenarkan beliau terus menjadi Menteri Besar, ia bercanggah dengan prinsip asas demokrasi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Mohammad Nizar masih mempunyai ruang untuk membawa undi tidak percaya terhadap Zambry di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau mengemukakan representasi kepada Sultan jika beliau yakin Menteri Besar itu sudah kehilangan sokongan majoriti Adun.

Kemelut politik Perak bermula apabila Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Adun Jelapang yang mewakili DAP, Hee Yit Foong mengisytiharkan keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu, Mohammad Nizar yang dilantik selepas kemenangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008, hilang jawatan selepas kejatuhan kerajaan pakatan itu pada 2 Februari 2008.

Sultan Perak kemudian melantik Zambry sebagai Menteri Besar dan Mohammad Nizar yang tidak puas hati mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi bahawa beliau Menteri Besar yang sah dan permohonan itu dibenarkan.

Arifin yang membaca penghakiman itu lebih sejam, berkata mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Rayuan mengentepikan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah adalah wajar.

“Kami bersetuju hakim perbicaraan gagal menimbang keterangan di depan beliau. Oleh itu, kegagalan hakim itu perlu diperbetulkan dan tindakan Mahkamah Rayuan adalah tepat,” katanya.

Selain itu, katanya, mahkamah mendapati keputusan Sultan Perak meminta Mohammad Nizar meletak jawatan selepas beliau kehilangan sokongan majoriti adalah berlandaskan kuasa istimewa yang diperuntukkan Perlembagaan Negeri kepada baginda.

Katanya, Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk perkenan atau menolak permohonan daripada Menteri Besar membubarkan DUN dan keputusan itu dibuat tanpa sebarang campur tangan Exco.

Dalam prosiding semalam, Mohammad Nizar diwakili peguam Philip Koh Tong Ngee; Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah; Cheng Poh Heng peguam pemerhati Malaysian Bar dan BN diwakili Datuk Hafarizam Harun.

Kenegaraan: Contoh Perbicaraan Mahkamah Tinggi

Kes Penasihat PKR ditudih meliwat 3/2/2010

Pelajar perlu tahu/faham:

Mahkamah: Mahkamah Tinggi

Hakim: Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pendakwa raya: Peguam Cara Negara(II) Datuk Mohd Yusof Zainal Abid
(Orang ketiga berkuasa di Jabatan peguam Negara selepas Peguam Negara dan Peguam Cara (I))
Peguam bela: Diketuai Karpal Singh ( juga merupakan ADR: jadi, ahli Dewan Rakyat boleh menjalankan bisnes dan profesion mereka.)

Tuduhan: Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan in camera(Tertutup): kerana hujah-hujah itu bersifat lucah. Pihak yang tidak releven termasuk orang awam mesti meningglkan mahkamah.

Tahap perbicaraan awal: Pihak pendakwa menanggung beban bukti. Kemukakan bukti agar wujud prima facie dalam kes ini.

Hari Pertama 3/2/2010
KUALA LUMPUR: Perbicaraan hari pertama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu marah apabila bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, menolak untuk mengadakan hubungan seks dengannya.

Reaksi Anwar itu didedahkan oleh Mohd Saiful dalam keterangannya hampir sejam sebelum prosiding ditangguhkan, kira-kira jam 5 petang selepas peguam tertuduh, Karpal Singh memohon mahkamah meneruskan perbicaraan secara tertutup.

Terdahulu, Mohd Saiful yang disoal Peguam Cara Negara Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, berkata kejadian itu berlaku pada 26 Jun 2008 di Unit 11-5-2, Desa Damansara Kondominium, Bukit Damansara di sini, selepas beliau diarahkan ke kondominium itu untuk berbincang mengenai jadual kerja Anwar dan menghantar beg hitam berisi dokumen.

Mohd Yusof: Apa buat dengan dokumen bila masuk?

Mohd Saiful: Selepas menyerahkan beg hitam berisi dokumen, kami berbincang jadual kerja dan tidak lama selepas itu beliau tanya satu soalan.

Mohd Yusof: Apa soalan?

Mohd Saiful: Dalam Bahasa Inggeris, Can I **** you today?

Mohd Yusof : Apa reaksi kamu?

Mohd Saiful :Saya merasa marah dan takut. Saya menolak pelawaan itu dan tidak mahu melakukannya. Beliau dengan nada marah berkata “What”?

Mohd Yusof :Selepas itu apa yang berlaku?

Mohd Saiful :Saya ulang perkataan yang sama, saya tidak sanggup melakukannya. Dia agak marah pada ketika itu dan saya takut. Kemudian dia arahkan saya ke bilik tidur utama. Saya ikut arahan dan pergi dulu.

Mohd Yusof :Dalam bilik itu apa yang berlaku?

Mohd Saiful :Anwar pergi ke hujung bilik untuk menutup langsir dan lampu, selepas itu dia arahkan saya membersihkan diri di dalam bilik air. Saya masuk ke bilik air dan membilas badan tetapi tidak mandi. Ketika itu saya membuka pakaian dan mengambil tuala, apabila keluar dari bilik air saya membawa kemeja dan gantung di tempat menggantung baju.

Mohd Yusof :Ketika kamu keluar dari bilik air, di mana Anwar berada?

Mohd Saiful :Dia berdiri di hujung penjuru katil dengan memakai tuala putih. Dia mengarahkan saya pergi kepadanya. Apabila saya pergi kepadanya, dia memeluk saya sambil berdiri.

Pada peringkat itu, Karpal memohon supaya perbicaraan dijalankan secara tertutup dan dibenarkan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Mohd Yusof pula menjelaskan pihak pendakwaan pihaknya tiada masalah jika perbicaraan itu dijalankan secara terbuka, tetapi menyerahkan kepada budi bicara mahkamah jika ia boleh memberikan keadilan.

Berikutan itu, Mohamad Zabidin menangguhkan prosiding dan memerintahkan perbicaraan itu dijalankan secara tertutup hari ini.

Dalam keterangannya sebelum itu, Mohd Saiful yang menjadi saksi pertama pendakwaan, berkata beliau pergi ke kondominium itu yang difahamkan dimiliki oleh seorang lelaki, Hasanuddin, dengan menaiki van Fiat merah dengan nombor pendaftaran WPK5925 kepunyaan bapa tunangnya.

Mohd Yusof :Ada kamu bawa apa-apa ke sana?

Mohd Saiful :Saya bawa dokumen yang perlu diserahkan kepada Anwar yang diberi oleh Ibrahim Yaakob dari pejabat. Saya tidak pasti apa dokumen itu, saya letakkan di dalam beg hitam.

Mohd Yusof :Ketika masuk ke kondominium itu ada pengawal tanya apa-apa?

Mohd Saiful :Ada. Saya tidak jawab hendak pergi ke mana tetapi saya kata “Mokhtar” (kata laluan untuk kondominium itu). Saya diberitahu untuk katakan itu oleh kakitangan pejabat PKR. Saya tak tanya kenapa, bila saya cakap pengawal terus beri laluan.

Mohd Yusof :Kemudian?

Mohd Saiful :Daripada tempat letak kereta saya naik lif ke B2 dan menuju ke blok sebelah. Selepas itu saya sampai ke satu pintu, ada interkom di sebelah kanan. Saya tekan Unit 11-5-2, ada suara lelaki kata “ya”, saya kata “Mokhtar” dan pintu pun terbuka. Saya kemudian naik lif ke Tingkat 5.

Mohd Yusof :Apabila keluar daripada lif, kamu ke unit kanan atau kiri?

Mohd Saiful :Saya menuju ke kanan, saya berselisih dengan seorang lelaki yang baru keluar daripada unit yang saya hendak pergi. Lelaki itu senyum kepada saya tetapi saya tidak kenal dia.

Mohd Yusof :Kemudian?

Mohd Saiful :Apabila sampai saya membuka pintu. Dalam unit itu saya melihat Anwar duduk di meja makan, saya duduk berhadapan dengan Anwar dan menyerahkan beg hitam itu kepadanya.

Pada permulaan prosiding, Mohd Saiful menjelaskan beliau hanya bekerja sebagai pembantu khas Anwar selama empat bulan dari awal Mac hingga 28 Jun 2008 kerana tidak rela dan tidak sanggup diliwat.

“Bagaimanapun dalam e-mel kepada Anwar, saya berikan alasan bahawa saya tidak berdisiplin, sering datang lewat ke pejabat dan dimarahi oleh beliau.

“Saya juga katakan bahawa saya tertekan kerana diberikan bilik, sedangkan saya kurang kelayakan berbanding pekerja lain dan saya nyatakan selagi saya menjadi pembantunya perkara itu akan menjadi isu,” katanya.

Hari Kedua 4/2/2010
KUALA LUMPUR, 4 Feb 2010
Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia telah pergi ke tiga buah hospital, termasuk dua hospital swasta, untuk membuat pemeriksaan.

Bekas pembantu Anwar itu berkata dia pada mulanya pergi ke Hospital Tawakal, Jalan Pahang, di sini untuk membuat pemeriksaan doktor, tetapi penyambut tetamu telah memberitahunya hospital itu beroperasi separuh hari dan tidak boleh membuat pemeriksaan.

Beliau kemudiannya pergi ke Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak, dan ketika itu beliau ditemani oleh bapa saudaranya bernama Tuah Mohd Ali, iaitu adik kepada arwah ibunya.

Mohd Saiful berkata di hospital itu, beliau telah berjumpa Dr Mohd Osman Abdul Hamid dan memberitahunya beliau sakit perut dan sakit di dubur.

“Dr Mohd Osman telah meminta saya untuk membuka seluar dan beliau telah memasukkan sesuatu pada dubur saya dan pada masa itu saya telah berterus terang kepadanya bahawa saya telah diliwat dan mahu membuat pemeriksaan,” jelas Mohd Saiful.

Mohd Saiful berkata Dr Mohd Osman terus memberhentikan pemeriksaan dan memintanya memakai seluar.

Ditanya Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden adakah beliau ada menanyakan mengapa pemeriksaan diberhentikan, Mohd Saiful berkata doktor berkenaan ada menjelaskan bahawa hospital itu tidak mempunyai kelengkapan membuat pemeriksaan forensik dan laporan perubatan hospital swasta tidak boleh digunakan di mahkamah nanti.

“Beliau seterusnya telah meminta saya mendapat rawatan di HKL (Hospital Kuala Lumpur). Saya ikut nasihatnya dan terus ke HKL. Pada mulanya saya tak tahu hendak ke mana, tapi secara logiknya saya pergi ke wad pesakit luar untuk mendaftar pukul 3 petang,” katanya.

Mohd Saiful, 24, ialah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula semalam di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada awal sesi pagi ini, Mohd Saiful memberi keterangan secara tertutup selama 30 minit sebelum hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan serta Anwar, Mohd Saiful dan Zambri Idrus, peguam pemerhati bagi pihak Mohd Saiful, meninggalkan mahkamah pada 11.43 pagi untuk melawat kondominium, tempat kesalahan itu didakwa dilakukan.

Apabila perbicaraan disambung secara terbuka pada petang ini, Mohd Saiful menyambung keterangannya di mana beliau menyatakan pergi ke tiga hospital itu untuk mendapat rawatan.

Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar, 63, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Mohd Saiful, yang berkot hitam dan berkemeja berwarna krim memberi keterangan dalam nada yang perlahan, berkata dia pergi ke HKL pada pukul 3 petang dan membuat pendaftaran di wad pesakit luar.

Menurut Mohd Saiful, pada mulanya dia berjumpa dengan seorang doktor perempuan, tetapi selepas memberitahu dia ‘segan’, seorang doktor lelaki yang dikenalinya sebagai Dr Daniel datang ke situ.

Mohd Saiful berkata Dr Daniel yang agak terkejut apabila dia menyatakan datang untuk membuat pemeriksaan kerana diliwat Anwar, memberikannya satu nota mengarahkan beliau pergi ke wad kecemasan di Unit Once Stop Critical Centre (OSCC).

Ketika ditanya Mohamed Yusof yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam pemeriksaan utama, Mohd Saiful berkata beliau tiba di wad kecemasan di OSCC setengah jam kemudian.

Mohd Saiful berkata apabila sampai di wad kecemasan, Dr Daniel tiba setengah jam selepas itu, diikuti seorang lagi doktor.

Beliau berkata Dr Daniel membuat pemeriksaan tekanan darah dan 10 minit kemudian meninggalkan wad berkenaan.

Mohd Saiful berkata pukul 4.30 petang, Dr Daniel datang semula kepadanya dan mencadangkan supaya dia membuat laporan polis kerana tanpanya, pemeriksaan tidak boleh dilakukan.

Mohd Saiful berkata dia memang bercadang untuk membuat laporan polis tetapi selepas membuat pemeriksaan.

Mohd Saiful berkata dua anggota polis kemudian datang ke wad itu membawa dua borang untuk membuat laporan polis, tetapi menyatakan dia tidak memanggil mereka datang ke situ.

Mohamed Yusof: Selepas itu ada atau tidak doktor datang periksa?

Mohd Saiful: Tidak ada

Mohamed Yusof: Ada tidak pemeriksaan dilakukan?

Mohd Saiful : Ada tapi malam pukul 9 malam.

Mohamed Yusof : Berapa orang doktor datang?

Mohd Saiful : Saya ingat satu doktor Cina, dua doktor lelaki Melayu, satu doktor perempuan mengandung dan beberapa jururawat.

Mohamed Yusof: Ada orang lain datang?

Mohd Saiful: Ada polis datang, tapi tak ingat masa itu. Tapi lepas kes ini saya ingat, dia pegawai penyiasat kes ini iaitu DSP Jude Pereira.

Mohamed Yusof: Bila doktor datang ada tanya soalan?

Mohd Saiful: Saya ceritakan dari awal saya diliwat. Mereka ingin buat pemeriksaan. Mereka tanya soalan adakah saya dicederakan, ada tanda-tanda di badan.

Terdahulu, Mohd Saiful ditunjukkan dengan rakaman kamera litar tertutup yang dirakamkan pada hari kejadian iaitu pada 26 Jun 2008 di kondominium itu.

Ketika ditunjukkan rakaman itu, Mohd Saiful mengesahkan bahawa gambar lelaki berkemeja putih yang memasuki lif dari aras P2, pukul 2.42 petang menuju ke tingkat lima di kondominium itu adalah beliau.

Mohamed Yusof: Lihat rakaman, jam 14.42, ada lelaki berkemeja putih masuk lif, itu gambar siapa?

Mohd Saiful: Ya, itu gambar saya.

Mohamed Yusof: Di mana itu?

Mohd Saiful: Dalam lif pertama di aras P2 menuju ke tingkat 5.

Pada ketika ini Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menegur Mohd Saiful yang bercakap perlahan.

Mohd Saiful juga mengesahkan gambar lelaki yang memasuki lif dari tingkat lima pukul 4.14 keluar menuju ke kereta berwana merah adalah beliau.

Mohd Saiful akan menyambung keterangannya esok pukul 9.30 pagi.

Mohamed Yusof memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan mempunyai lebih kurang 10 soalan lagi kepada Mohd Saiful.

Selepas prosiding, mahkamah dijangka melawat pejabat pengurusan di kondominum itu bagi membolehkan semua pihak melihat rakaman CCTV di bilik rakaman di pejabat pengurusan kondominium berkenaan.