Category Archives: KERAJAAN PERSEKUTUAN

Kenegaraan: Majlis Tanah Negara

1 Dis 2010
Mesyuarat Ke-66 Majlis Tanah Negara di bangunan Parlimen

MTN dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Mesyuarat itu membincangkan lima kertas pertimbangan dan dua kertas makluman yang menyentuh mengenai pentadbiran, pengurusan tanah dan penyelarasan dasar penggunaan tanah negara.

Semua kerajaan negeri kini boleh memperbaharui tempoh pegangan baru tidak melebihi 99 tahun kepada mana-mana pemilik tanah berstatus pajakan. Pemilik yang bercadang memohon pembaharuan atau perlanjutan tempoh pegangan pajakan sedia ada sebelum tarikh luput, kecuali tanah itu diperlukan kerajaan untuk tujuan awam.

Hukuman maksimum denda RM1 juta dan penjara tidak kurang lima tahun tetapi tidak lebih 20 tahun akan dikenakan terhadap pembalak haram apabila Akta Perhutanan Negara 1984 dipinda, tahun depan.

Mesyuarat MTN juga bersetuju meminda Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) bagi memantapkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perhutanan dalam usaha membanteras pembalakan haram dan kesalahan hutan.

Kenegaraan: Juru Audit Negara/Ketua Audit Negara

Tan Sri Dato' Setia Ambrin bin Buang, Ketua Audit Negara Malaysia Dilantik oleh YDPA atas nasihat PM selepas berunding dengan MRR


LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2009: Prestasi keseluruhan bertambah baik berbanding pada 2008

KUALA LUMPUR 25-10-2010
Sepuluh kementerian dan empat jabatan kerajaan mencapai tahap cemerlang dalam prestasi pengurusan kewangan pada 2009 dengan memperoleh 90 markah ke atas berbanding dengan hanya empat kementerian dan dua jabatan, tahun sebelumnya.

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2009, yang dikeluarkan semalam, kementerian yang dinilai cemerlang ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Kementerian lain ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Jabatan yang mendapat markah cemerlang pula ialah Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Sementara itu, 15 kementerian dinilai sebagai baik dalam prestasi pengurusan kewangan 2009 dengan memperoleh markah antara 80 dan 89, manakala 36 jabatan/agensi memperoleh 70 hingga 79 markah.

Tiga jabatan memperoleh tahap memuaskan dalam pengurusan kewangan dengan markah antara 60 dan 70 bagi tahun 2009.
Pada keseluruhannya, prestasi pengurusan kewangan di peringkat kementerian dan jabatan bagi 2009 bertambah baik berbanding 2008, kata laporan itu.

Semakan audit selanjutnyake atas 25 kementerian mendapati secara umumnya, tiga daripada enam kawalan utama ada pada tahap cemerlang iaitu Kawalan Pengurusan, Perbelanjaan dan Terimaan manakala Kawalan Bajet, Pengurusan dan Akaun Amanah/ Kumpulan Wang Amanah dan Deposit serta Pengurusan Aset dan Stor didapati pada tahap baik.

Bagi 44 jabatan pula, lima kawalan utama kecuali Pengurusan Aset dan Stor mendapat tahap baik. Pengurusan Aset dan Stor hanya mencapai tahap memuaskan.

Laporan Audit itu turut mengesyorkan beberapa cadangan untuk memantapkan lagi prestasi pengurusan kewangan termasuk Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan mengambil tindakan membetulkan dan mencegah terhadap kelemahan dibangkitkan Jabatan Audit Negara dan mempertingkatkan pembabitan pegawai pengawal dan ketua jabatan secara ‘hands-on’ dalam perkara ini.

Ia juga mengesyorkan tindakan surcaj atau tatatertib dikenakan terhadap mereka yang gagal memungut hasil atau membuat bayaran yang tidak teratur

Kenegaraan: Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri

12-10-2010
Perdana Menteri pengerusikan mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mempengerusikan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-110.

Mesyuarat itu di Pejabat Perdana Menteri itu bermula jam 10 pagi dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Mesyuarat itu bertujuan menyelaras pentadbiran antara negeri-negeri selain membincangkan isu-isu berbangkit.

Kenegaraan: Pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri

Nota:
YDPA melantik Perdana Menteri ikut kuasa budi bicara baginda.
YDPA melantik menteri dan timbalan menteri mengikut nasihat PM.
Menteri dan Timbalan Menteri mestilah ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.(kerana mereka mesti hadir di Parlimen untuk menjawab soalan tentang kementerian masing-masing)

1-6-2010
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari Selasa mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung dilantik sebagai menteri penuh.

Beliau juga melantik dua Anggota Parlimen dan empat senator sebagai Timbalan Menteri yang baru.

Chor dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Seri Kong Cho Ha yang kini menjadi Menteri Pengangkutan, jawatan yang sebelum ini disandang oleh Ong.

Dalam pemilihan MCA pada Mac lepas, Ong gagal mempertahankan jawatan presiden setelah tewas kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Turut digugurkan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Wee Jeck Seng.

Najib turut mengumumkan pelantikan dua anggota Parlimen sebagai Timbalan Menteri iaitu anggota Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem (Timbalan Menteri Luar) dan Anggota Parlimen Labis Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), yang juga anak kepada Dr Chua.

Empat senator turut dilantik sebagai Timbalan Menteri yang baru iaitu bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk G. Palanivel (Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi); Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Datuk Maglin Dennis D’Cruz, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Progresif Rakyat (PPP) sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; dan Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Rombakan kali ini juga menyaksikan empat timbalan menteri bertukar portfolio.

Mereka ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim yang bertukar menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat (Timbalan Menteri Pengangkutan); Timbalan Menteri Luar Datuk Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Baginda pada hari Jumaat ini, 4 Jun pada pukul 3.30 petang di Istana Negara.

Najib berkata pelantikan mereka telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan.

Katanya Seri Paduka Baginda juga telah memperkenankan pelantikan Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Senator Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa mulai hari ini (1 Jun 2010).

Mereka akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam tempoh terdekat.

Kenegaraan: Pemecatan Menteri

Latar belakang:
Menteri dilantik oleh YDPA ikut nasihat PM
YDPA berkuasa memecat seseorang menteri mengikut nasihat PM.

Pemecatan Anwar Daripada Kabinet Pada 1998 Sah : Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA, 8 Mac 2o1o(Bernama) — Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan 11 tahun lepas adalah sah di sisi undang-undang, kata Mahkamah Persekutuan.

Panel terdiri Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara mengetepikan rayuan terakhir Anwar untuk mendapatkan perintah bahawa pemecatannya daripada jawatan kabinet pada 2 Sept 1998 melanggar Perlembagaan.

Hakim Alauddin berkata Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk memecat anggota kabinetnya.

Katanya Yang di-Pertuan Agong selaku raja berperlembagaan, dikehendaki bertindak selaras dengan nasihat Perdana Menteri.

Sebelum ini Anwar gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang masing-masingnya memutuskan bahawa Dr Mahathir mempunyai kuasa memecat anggota kabinetnya dan telah bertindak mengikut Perlembagaan dengan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pemecatan itu.

Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia ditubuh, umum PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb 2010— Jemaah Menteri bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang akan memainkan peranan penting bagi menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian program pembangunan belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianggotai oleh 12 kementerian yang berkaitan, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan dan kehendak semasa, tetapi juga bagi menentukan generasi muda lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi negara di masa depan.

“Selain dari itu, jawatankuasa ini juga akan mempelopori pelbagai usaha bagi membentuk generasi muda hari ini sebagai generasi pewaris negara yang memainkan peranan penting meneruskan kesinambungan dan agenda pembinaan negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan makmur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Najib berkata jawatankuasa itu akan dapat menyumbang pelbagai pembaharuan kepada usaha membangunkan dan memberi manfaat kepada generasi muda iaitu mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun yang sekarang berjumlah 11.4 juta orang.

“Antara pembaharuan yang akan diberi tumpuan ialah mekanisme Pengurusan Pembangunan Belia, Pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007,” katanya.

Selain pelaksanaan menyeluruh terhadap semua dasar pembangunan belia, beliau berkata usaha juga akan dilakukan bagi meningkatkan penyelarasan dan kerjasama antara agensi berkaitan belia.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan terus membantu golongan belia untuk menikmati kemajuan negara, memperkukuhkan semangat patriotisme, membudayakan pemikiran gagasan 1Malaysia dan 1Belia.

Juga membangunkan semangat keusahawanan, melahirkan belia bebas jenayah dan sama-sama meningkatkan peranan belia dalam isu keamanan dan ketahanan nasional serta memperjuangkan nilai sejagat, katanya.

Beliau berkata menerusi jawatankuasa ini, fungsi dan peranan antara agensi kerajaan yang terlibat dalam pembangunan belia akan dapat diselaraskan semula, sekaligus akan memastikan bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam bidang pembangunan belia dapat dicapai oleh kerajaan sebelum tahun 2012.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi cadangan kepada penubuhan jawatankuasa ini terutama daripada kepimpinan belia pelbagai peringkat, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN),” katanya.

Beliau berkata selain itu, sumbangan idea dan pemikiran bernas ahli-ahli jawatankuasa Kabinet itu akan mewujudkan era baru pengurusan negara dalam pembangunan belia dengan perubahan besar yang melibatkan aspek tanggungjawab, sistem dan perluasan peranan bidang pembangunan tersebut.

“Kerajaan yakin golongan belia akan menikmati manfaat dan pembangunan yang lebih meluas,” katanya. — Bernama

KABINET KERAJAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA setakat FEB 2010

Sila rujuk link berikut
http://www.bharian.com.my/klikkhas/kabinet/2009

Ketua Audit Negara/Juruaudit Negara


-Ketua Audit Negara dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan MRR.
-Ketua Audit Negara seperti para Hakim, Pengerusi Suruhanjaya dan Peguam Negara boleh dipecat oleh YDPA
melalui satu Tribunal Diraja.
-Tugas utama adalah mengaudit perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
– Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Parlimen.
– Sebarang kelemahan atau penyelewengan didedahkan dan tindakan selanjutnya akan diambil oleh badan
eksekutif Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(MACC).

PUTRAJAYA, 22 Okt 2009 — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau kecewa dengan perbelanjaan melampau dan penyelewengan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan berjanji akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah.

“Apa yang penting daripada laporan itu ialah sama ada kita akan bertindak atau tidak. Mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan,” kata Perdana Menteri ketika menjawab soalan pada taklimat media mengenai bajet di Kementerian Kewangan.

Najib berkata sebagai sebahagian daripada amalan kerajaan yang baik, kerajaan perlu memberi penghargaan kepada mereka yang menunjukkan prestasi baik tetapi bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Katanya beliau yakin keadaan akan menjadi lebih baik dengan adanya Petunjuk Prestasi Utama dan Bidang Keberhasilan Utama yang diumumkan awal tahun ini untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Baru-baru ini, Najib melantik bekas pengarah urusan Penerbangan Malaysia Datuk Seri Idris Jala sebagai menteri yang mengetuai sebuah unit memantau Petunjuk Prestasi Utama.

Pembentangan Bajet 2010 oleh YAB PM di Parlimen

Bajet 2010 Batu Loncatan Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi – Najib

KUALA LUMPUR, 23 Okt 2009 — Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat membentangkan Bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Najib dalam bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri yang bertemakan 1Malaysia, Kemakmuran Bersama memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan 2010 ini merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan jumlah peruntukan belanjawan 2009 sebanyak RM215.7 bilion, katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat.

Najib berkata dalam strategi bagi memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta, mempergiat penyelidikan pembangunan dan pengkomersilan, memanfaatkan sepenuhnya bidang khusus, memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa industri kecil dan sederhana, membangunkan teknologi hijau dan menggalakkan industri kreatif.

Bagi strategi kedua iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Katanya dalam strategi ketiga pula, kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam.

Menurutnya dalam langkah pertama ke arah meningkatkan pelaburan swasta, kerajaan akan menyediakan persekitaran mesra pelanggan, meningkatkan pelaburan swasta, pelaksanaan inisiatif penswastaan, meningkatkan inisiatif projek awam-swasta dan mempergiatkan kemasukan pelaburan asing.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya pembangunan bidang khusus pula, kerajaan akan merancakkan industri pelancongan, memantapkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan mempergiatkan industri halal, tambahnya.

Juga di bawah strategi memacu ekonomi berpendapatan tinggi, Najib berkata kerajaan akan memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, pembangunan industri hijau yakni menggalakkan pembangunan bangunan hijau, dan menggalakkan industri kreatif.

Perdana Menteri berkata bagi mencapai strategi kedua iaitu pembangunan holistik dan mapan, langkah pertama membabitkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang akan ditingkatkan manakala akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan akan diperluaskan.

Seterusnya, kata Najib, kerajaan akan menjaga kebajikan golongan pelajar, menggilap kemahiran tenaga kerja, mempergiatkan program Permata, dan memperkasa institusi pengajian tinggi awam.

Bagi langkah kedua strategi itu , kerajaan juga akan memantapkan sistem perbankan dan kewangan dengan cara mencergaskan pasaran saham, memajukan lagi sistem kewangan Islam, memperluaskan program mikro kredit Ar Rahnu. Najib berkata di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM42.2 bilion adalah bagi emolumen dan RM20.8 bilion bagi Perkhidmatan dan Bekalan.

Sebanyak RM73.9 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap manakala sejumlah RM524 juta disediakan bagi pembelian aset dan baki RM800 juta untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak RM25.4 bilion disediakan bagi menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

Perdana Menteri berkata sejumlah RM20.3 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Sebanyak RM3.7 bilion diperuntukkan untuk pembangunan sektor keselamatan, RM1.8 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka. (133) Najib berkata kutipan hasil kerajaan Persekutuan bagi tahun 2010 dijangka berkurangan 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2009.

Bagaimanapun, katanya defisit kerajaan Persekutuan bagi tahun 2010 dijangka lebih baik pada paras 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 7.4 peratus pada tahun 2009.

Perdana Menteri berkata walaupun bajet 2010 merupakan bajet terakhir bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ia amat penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Najib berkata sejak menerajui kerajaan kira-kira enam bulan lepas, beliau telah mengambil langkah-langkah bagi merangsangkan ekonomi negara demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Merujuk kepada Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau berkata ia adalah berteraskan nilai-nilai murni berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Maksudnya, dalam apa jua yang dilakukan, kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu setiap langkah diambil memerlukan pengorbanan dan kerjasama padu daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengambil pendekatan baru berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi bagi melonjakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

“Langkah ini akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Pada penghujung ucapannya yang mengambil masa lebih dua jam, Najib menggesa seluruh rakyat supaya bersama-sama dalam usaha membentuk satu cita untuk Malaysia tercinta.

“Bersama api semangat Bagan Pinang yang masih bergejolak dan membakar sukma, bersama harapan yang marak lagi menyala, marilah kita membuat satu transformasi besar-besaran seraya menjulang Malaysia tercinta ini ke persadanya,” katanya merujuk kepada kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kerusi negeri Bagan Pinang 11 Okt lepas.

“Sesungguhnya, inilah bajet yang menelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Sesungguhnya inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat.

“Bulatkanlah tekad, tetapkanlah hasrat, menjunjung gagasan 1Malaysia, segala yang mustahil kan pasti menjadi nyata. 1Malaysia, Kemakmuran Bersama,” kata beliau mengakhiri ucapan disambut gemuruh tepukan meja oleh penyokong-penyokong kerajaan di dalam dewan.

Penerangan:
– Parlimen yang berkuasa meluluskan bajet yang dibentang oleh Menteri Kewangan.
– Kelulusan bajet 2010 mesti melalui Bacaan Pertama, Kelulusan Bacaan Kedua dan Kelulusan Bacaan Ketiga
Dewan Rakyat.
– Dewan Negara tidak ada kuasa menyekat rang undang-undang kewangan. Jadi, Dewan Negara hanya boleh
menangguh kelulusan bajet 2010 selama tidak lebih daripada 30 hari.
– Bajet itu dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan Persekutuan.
– Juruaudit Negara akan mengaudit perbelanjaan bajet itu.

Agensi Pusat di Jabatan perdana Menteri

JPA

JPA

ICU

ICU

AGENSI KERAJAAN

Konsep Agensi Pusat

Salah satu komponen kecil yang penting dalam jentera pentadbiran Kerajaan Malaysia ialah agensi-agensi kerajaan. Agensi-agensi ini terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu :

1. Agensi Pusat
2. Agensi Mengurus

Kebanyakan agensi kerajaan yang ada di negara kita terdiri daripada agensi mengurus. Agensi-agensi ini berperanan untuk melaksanakan perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab kerajaan bagi melaksanakan pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat. Untuk mempastikan agensi-agensi mengurus berjalan dengan licin dan cekap serta berkesan, maka agensi-agensi pusat bertanggungjawab menyediakan beberapa keperluan bagi mengawasi perjalan mereka.

Agensi-agensi pusat bertanggungjawab membantu, menyelaras dan mengawal perjalanan agensi-agensi mengurus. Tugas-tugas dan tanggungjawab berkenaan adalah seperti berikut :

1. menggubal dasar dan perancangan ekonomi negara

2. membekal 2 keperluan asas bagi agensi-agensi kerajaan iaitu perjawatan dan peruntukan kewangan

3. memberi perkhidmatan-perkhidmatan tertentu yang diperlukan oleh agensi-agensi mengurus

4. membentuk dasar dan perancangan mengenai 2 keperluan asas dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang diberikan kepada agensi-agensi mengurus

5. mempastikan supaya 2 keperluan asas, dasar dan perancangan yang ada digunakan atau dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh agensi-agensi mengurus

Penyelarasan dan kawalan yang dibuat oleh agensi-agensi pusat ke atas agensi-agensi mengurus dilaksanakan menerusi beberapa kaedah :

1. pemeriksaan anggaran belanjawan tahunan

2. pemeriksaan ke atas skim perkhidmatan, menambah atau menggredkan jawatan

3. pemeriksaan ke atas perancangan pembangunan ekonomi tahunan dan 5 tahun

4. menguatkuasa peraturan-peraturan kewangan dan perkhidmatan

5. menyelaras pembentukan dasar, program, projek dan pelaksanaannya

6. menganalisis maklumbalas mengenai pelaksanaan dasar, program dan projek-projek kerajaan bagi mengesan masalah

Jenis Agensi Pusat dan Peranannya

Dalam pentadbiran kerajaan terdapat 6 buah agensi pusat :

1. Jabatan Perkhidmatan Awam

Pada awalnya, tugas-tugas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dijalankan oleh Perbendaharaan. Pada tahun 1954, tugas-tugas ini dipindahkan menerusi penubuhan sebuah agensi baru, Pejabat Perjawatan Persekutuan. Selepas merdeka, pejabat ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan pada tahun 1970, ia menjadi Jabatan Perkhidmatan Awam.

JPA menumpukan perhatian ke atas pembentukan perkhidmatan-perkhidmatan awam yang terlatih dan pengambilan kakitangan awam yang mempunyai sikap dan kecenderungan untuk membimbing rakyat ke arah pembangunan.

JPA juga mempunyai peranan untuk merumus, merancang dan melaksanakan semua dasar kerajaan yang berkaitan dengan perkhidmatan awam, mempastikan ianya dianggotai oleh kakitangan yang cekap, dedikasi dan terlatih bagi memikul tanggungjawab dan melaksanakan semua dasar serta matlamat kerajaan. Bidang kuasa JPA meliputi semua proses pengurusan kakitangan yang bermula daripada pengambilan seseorang pegawai kerajaan sehingga bersara.

Fungsi-fungsi JPA :

1. Melaksanakan polisi berkaitan dengan aspek-aspek perkhidmatan seperti perlantikan, kenaikan pangkat dan disiplin

2. Bersama-sama dengan Perbendaharaan mewujudkan jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam. JPA juga mengkaji semula struktur organisasi jabatan-jabatan kerajaan

3. Menyediakan skim gaji, elaun dan pencen. JPA membuat bayaran pencen kepada semua kakitangan awam kerajaan persekutuan dan negeri, badan-badan berkanun dan penguasa-penguasa tempatan

4. Menyimpan rekod-rekod mengenai setiap kakitangan kerajaan

5. Menyelesaikan segala ketidakpuasan kakitangan atau persatuan-persatuan mereka mengenai skim gaji, elaun dan pencen serta anomali-anomali yang timbul darinya menerusi meja rundingan

6. Menyediakan kemudahan latihan untuk kakitangan kerajaan menerusi Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan pemberian biasiswa

7. Mengisi jawatan-jawatan yang kosong bagi perkhidmatan-perkhidmatan gunasama

2. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Sejarah perkembangan INTAN bermula dalam tahun 1959. Ia bermula
dengan penubuhan Pusat Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan di Port Dickson yang bertujuan melengkapkan pegawai-pegawai kerajaan dengan pengetahuan dan kepakaran bagi menghadapi cabaran-cabaran pembangunan selepas kemerdekaan. Pada tahun1963, pusat ini berpindah ke kampus Jalan Ilmu, Petaling Jaya dan pada tahun 1972, ia dijadikan institut bersesuaian dengan peranannya yang semakin meluas. Hari ini, INTAN mempunyai kompleks bangunan dan kampus sendiri yang terletak di Bukit Kiara, Damansara.

INTAN bertanggungjawab menganjurkan berbagai kursus untuk semua kumpulan sektor awam samada kursus jangka panjang yang bertaraf diploma atau jangka pendek. INTAN juga bertindak sebagai agen perubahan dan pembangunan bagi mempastikan ide progresif diamalkan untuk memajukan dan membangunkan negara.
Di samping menganjurkan kursus-kursus, INTAN juga nenganjurkan pelbagai seminar, bengkel dan persidangan. INTAN juga menjalankan penyelidikan dan kajian dari semasa ke semasa bagi mempastikan keberkesanan kursus dan keperluan-keperluan lain.

3. Perbendaharaan

Peranan Perbendaharaan ialah merumus, merancang dan melaksanakan dasar-dasar kewangan dan belanjawan Kerajaan Persekutuan. Tugas-tugas ini dilaksanakan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan pembahagian pendapatan yang lebih seimbang selaras dengan dasar kerajaan menerusi Dasar Ekonomi Baru.

Perbendaharaan berfungsi seperti berikut :

1. Mengkaji kedudukan kewangan dan ekonomi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan-badan Berkanun

2. Mengkaji dan meninjau kemajuan ekonomi keseluruhan dan membuat unjuran bagi keseluruhan pembangunan ekonomi bagi penggubal-penggubal dasar

3. Mengkaji dan meramal permintaan dan penawaran serta aliran-aliran harga jangka pendek dan panjang berbagai barangan buatan Malaysia dan juga membuat anggaran hasil daripada barangan berkenaan.

4. Mengkaji kesan-kesan perkembangan dan pembaharuan sistem kewangan dan perkembangan pertukaran wang antarabangsa ke atas ekonomi negara ini

5. Menganalisis dasar-dasar perdagangan antarabangsa

6. Mengadakan dasar dan penyelarasan dalam perhubungan dengan institusi kewangan antarabangsa

3. Unit Perancang Ekonomi (EPU)

EPU merupakan sebuah agensi pusat yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Unit ini mempunyai peranan untuk merancang pembangunan ekonomi negara. Ia dibahagikan kepada 2 bahagian utama :

1. Bahagian Perancangan Sektoral
2. Bahagian Perancangan Makro

selain Seksyen Bantuan Luar dan Perkhidmatan Am yang memberi perkhidmatan pentadbiran serta kendalian urusan bantuan teknikal.

Fungsi-fungsi Unit Perancang Ekonomi :

1. menyedia rancangan-rancangan pembangunan kebangsaan
5 tahun

2. memeriksa belanjawan pembangunan tahunan bersama-
sama dengan Perbendaharaan dan JPA

3. menganalisis kedudukan ekonomi negara dan antarabangsa
untuk dijadikan asas perancangan dan pembangunan ekonomi

4. mengurus bantuan kewangan dan teknik untuk negara
daripada kerajaan-kerajaan asing dan institusi antarabangsa

5. memberi khidmat nasihat kepada kerajaan dalam masalah-
masalah ekonomi negara

6. mengambil dayausaha bagi menjalankan penyelidikan ekonomi
dan sosial

7. menyelaras perlaksanaan berbagai-bagai projek pembangunan

EPU juga bertindak sebagai Urusetia kepada Majlis Perancang Negara (MPN), Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara (JPPN) dan Jawatankuasa Pelaburan Asing dan Panel Ekonomi.

4. Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU)

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) merupakan sebuah agensi pusat yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ditubuhkan pada tahun 1971. Disatukan dengan Unit Kemajuan Pentadbiran pada tahun 1972 dan dinamakan Bahagian Penyelarasan Pelaksanaan dan Kemajuan Pentadbiran. Peranan Kemajuan Pentadbiran kemudian dipindahkan kepada JPA dan unit ini wujud berasingan dan dinamakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

ICU berperanan untuk menentukan penyelarasan dan pelaksanaan dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Daru, Dasar Pandang Ke Timur dan Dasar Penswastaan serta projek-projek pembangunan di peringkat Persekutuan, negeri dan antara jabatan.

Bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, ICU mempunyai Pejabat Kemajuan Negeri. Di Sabah dan Sarawak pula terdapat Pejabat Pembangunan Negeri. Di samping itu terdapat Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera yang ditubuhkan di Pulau Pinang.

ICU bertanggungjawab mengesan, menganalisis dan menyelaras pelaksanaan rancangan pembangunan negara menerusi 5 program utama :

1. Program Membasmi Kemiskinan yang mempunyai matlamat
meninggikan pendapatan golongan miskin

2. Program menyusun semula masyarakat melalui penglibatan
bumiputera dalam bidang perdagangan dan perindustrian

3. Program infrastruktur untuk meneliti dan mengawasi segala
pembinaan bagi menambah, meninggikan taraf dan membaiki jalan-
jalan utama di Semenanjung Malaysia

4. Pembangunan sosial untuk mengendalikan program-program
sosial yang besar seperti program-program perumahan, kesihatan,
kebajikan masyarakat dan lain-lain
5. Pengesanan projek untuk mewujudkan sistem maklumat pengurusan dan menyelaras sistem komputer yang mengeluarkan maklumat mengenai perancangan dan program-program pembangunan

Unit Penyelarasan Pelaksanaan juga bertanggungjawab bagi perkara-perkara :

1. pengawalan perbadanan-perbadanan awam supaya menjalankan
kegiatan selaras dengan kehendak kerajaan

2. pembangunan masyarakat bagi mengesan dan mengemaskinikan
perkembangan projek-projek pembangunan masyarakat, rancangan
amalan makanan dan pemakanan dan Rancangan Buku Hijau

3. penyelarasan penyertaan Bimuputera dalam sektor perdagangan dan perindustrian iaitu memproses rayuan-rayuan daripada peniaga-peniaga Bumiputera dan menyelaraskan usaha-usaha Jawatankuasa Penyelarasan Bumiputera di negeri-negeri

ICU juga adalah urusetia kepada Majlis Tindakan Negara dan bertanggungjawab mengendalikan Bilik Gerakan Negara.

5. Unit Pemodenan Tadbiran Malaysia (MAMPU)

MAMPU merupakan sebuah agensi pusat yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Bermula dengan khidmat perundingan untuk agensi-agensi Kerajaan pada tahun 1949 iaitu dengan penubuhan Bahagian Organisasi dan Metode/Kaedah di Perbendaharaan. Pada tahun 1967, khidmat ini diperluaskan dengan penubuhan Unit Kemajuan Pentadbiran di Jabatan Perdana Menteri. Ia kemudiannya dicantumkan sebagai Bahagian Penyelarasan, Pelaksanaan dan Kemajuan Pentadbiran tetapi tugas kemajuan pentadbiran dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1977, Unit Pemodenan Tadbiran Malaysia atau MAMPU ditubuhkan sebagai satu agensi khusus untuk menumpukan perhatian ke atas pemodenan tadbiran.

Secara am, MAMPU mempunyai peranan untuk memodenkan sistem pentadbiran kerajaan dan memberi perkhidmatan perundinan pengurusan kepada oranisasi kerajaan.
MAMPU mempunyai objektif-objektif seperti berikut :

1. mengukuhkan struktur pentadbiran dan perancangan tenaga
manusia dalam jentera pembangunan di peringkat Kerajaan
Persekutuan, Negeri dan tempatan

2. memperbaiki dan memodenkan sistem dan tatacara tadbiran
di peringkat operasi menerusi kajian-kajian sistem dan pengurusan khususnya untuk mempercepatkan proses pelaksanaan pembangunan

3. memperkenalkan teknik dan inovasi baru dalam jentera
pentadbiran kerajaan bagi meningkatkan keberkesanan sistem
pengurusan bahan atau sumber dan program-program di semua
peringkat kerajaan

4. memperkenalkan sistem yang lebih efektif dalam usaha ke arah
perancangan dan kemajuan tenaga manusia dapat dibuat untuk
pembangunan ekonomi

5. mengawal dan menyelaras pembelian serta penggunaan alat-alat
pemprosesan data automatik oleh agensi-agensi kerajaan

MAMPU juga mempunyai cawangan di Sabah dan Sarawak dan bertindak sebagai Urusetia kepada beberapa jawatankuasa seperti
Jawatankuasa Pemprosesan Data Negara dan Panel Etika Perkhidmatan Awam.

6. Unit Penyelidikan Sosio-ekonomi (SERU)

Ditubuhkan pada tahun1980. Merupakan percantuman 2 agensi penyelidikan iaitu Unit Penyelidikan Sosio-ekonomi dan Perancangan Am, dan Pusat Pengajian Pembangunan Malaysia. Percantuman ini merupakan suatu usaha ke arah mengembelingkan semua kepakaran penyelidikan sosio-ekonomi bagi memberi sumbangan yang lebih besar kepada proses pembangunan negara.

Secara umum unit ini berfungsi untuk menilai kesan dasar dan program-program pembangunan ke atas rakyat bagi maksud pembekalan maklumat yang dapat menyumbang kepada perancangan dan pelaksanaan program-program yang lebih efektif.

SERU mempunyai objektif-objektif berikut :

1. mengesan keperluan dan menjalankan penyelidikan impak sosio-
ekonomi terhadap usaha-usaha pembangunan negara bagi
kepentingan perancangan dan pelaksanaan yang lebih efektif

2. mengesan, menyelaras dan mengawal usaha-usaha penyelidikan
sosio-ekonomi daripada dalam dan luar negara oleh agensi-agensi
supaya hasil penyelidikan dapat memberi sumbangan terbaik kepada
proses pembangunan masyarakat dan negara

3. memberi bantuan tenaga dan kerjasama dalam penyelidikan sosio-
ekonomi kepada agensi-agensi lain dalam bidang penilaian, kesan
rancangan dan projek-projek yang telah, sedang atau yang akan
diselenggarakan

4. mewujudkan forum perbincangan mengenai masalah-masalah pembangunan sosio-ekonomi menerusi seminar-seminar, pengumpulan maklumat dan analisis di peringkat tempatan, kebangsaan dan juga di peringkat antarabangsa bagi kepentingan negara

Peranan penyelarasan penyelidikan unit ini adalah penting untuk mengelakkan usaha-usaha penyelidikan yang bertindih dan bagi mempastikan penyelidikan ditumpukan kepada perkara-perkara penting supaya ia memberi hasil yang terbaik seperti yang dirancangkan.