Category Archives: STPM Penggal 1 (Bhg A) Malaysia Kekal Berdaulat

Datuk Seri Najib Tun Razak Angkat Sumpah Sebagai Perdana Menteri Di Istana Negara

6-5-2013 Isnin 4.00 petang.

Datuk Seri Najib Razak (left) is sworn in as prime minister before Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah at Istana Negara in Kuala Lumpur, May 6, 2013.

Datuk Seri Najib Razak (left) is sworn in as prime minister before Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah at Istana Negara in Kuala Lumpur, May 6, 2013.

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Balai Rong Seri, Istana Negara pada 4.07 petang.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Najib, 59, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengulangi sejarah apabila mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong sama, seperti mana allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kedua Malaysia pada 1970.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah memberi perkenan selaras dengan Fasal (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Najib dilantik sebagai perdana menteri.

Pada pilihan raya umum ke-13 semalam, Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Turut hadir ke istiadat itu ialah bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta para pemimpin parti komponen BN.

Berikut ialah keputusan pilihanraya umum ke-13 Malaysia
PRU 13 Parlimen

PRU ke-13 Dun

Pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik

Laporan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi oleh PM Malaysia, 19-3-2013

index

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 tahun 2012, menyaksikan peningkatan sebanyak 7.2 peratus setahun.
Peningkatan pendapatan isi rumah bandar meningkat pada kadar 6.6 peratus setahun daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 tahun lepas manakala bagi kawasan luar bandar, bertambah pada kadar 6.4 peratus iaitu daripada RM2,545 kepada RM3,080.

index 2
Peningkatan ketara ini dicapai hasil usaha kerajaan Persekutuan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil secara berterusan. Impaknya adalah ketara melalui peningkatan peluang ekonomi secara meluas yang berupaya bukan saja menjana peluang pekerjaan bahkan pembangunan perniagaan dan perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi.
Semua negeri mencatat peningkatan pendapatan isi rumah purata dengan Kuala Lumpur pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.9 peratus (daripada RM5,488 kepada RM8,586) diikuti Labuan 12 peratus (RM4,407 kepada RM6,317), Perlis 10.1 peratus (RM2,617 kepada RM3,538), Terengganu 9.1 peratus (RM3,017 kepada RM3,967) serta Negeri Sembilan (RM3,540 kepada RM4,540) dan Sabah (RM3,102 kepada RM4,013) yang masing-masing mencatat 8.6 peratus.
Dari segi etnik, kaum India mencatat peningkatan tertinggi iaitu 9 peratus (daripada RM3,999 kepada RM5,233) diikuti Cina 8 peratus (RM5,011 kepada RM6,366) dan bumiputera 6.9 peratus (RM3,624 kepada RM4,457).
PPIR 2012 juga menunjukkan pengagihan pendapatan dalam kalangan isi rumah keseluruhan bertambah baik dengan pengurangan Pekali Gini daripada 0.441 bagi 2009 kepada 0.431 pada tahun lepas, yang menyaksikan pengurangan di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing daripada 0.423 kepada 0.417 dan 0.407 kepada 0.382.
Insiden kemiskinan keseluruhan juga berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus tahun lepas dengan jumlah isi rumah miskin berkurangan sebanyak 52.7 peratus, iaitu daripada 228,400 kepada 108,000 dalam tempoh sama.
Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia ke-10 untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2 peratus pada 2015 telahpun tercapai tiga tahun lebih awal. Ini adalah hasil pertumbuhan pesat ekonomi negara serta keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan.
indeks 3

Pengurangan insiden kemiskinan adalah menyeluruh yang menyaksikan di kawasan bandar merosot daripada 1.7 peratus kepada 1 peratus manakala di luar bandar berkurangan daripada 8.4 peratus kepada 3.4 peratus.
Kadar kemiskinan bumiputera turun daripada 5.3 peratus kepada 2.2 peratus, Cina daripada 0.6 peratus kepada 0.3 peratus dan India daripada 2.5 peratus kepada 1.8 peratus.

Syarat Bantuan 1Malaysia BRIM1 dan BRIM2   (Bantuan Rakyat 1Malaysia)

Syarat Bantuan 1Malaysia BRIM1 dan BRIM2 (Bantuan Rakyat 1Malaysia)


Sabah mencatat pengurangan yang ketara daripada 19.7 peratus kepada 8.1 peratus diikuti Perlis daripada 6 peratus kepada 1.9 peratus dan Terengganu daripada 4 peratus kepada 1.7 peratus. Putrajaya telah mencapai status kemiskinan sifar pada 2012.

ORANG KURANG UPAYA/ORANG KELAINAN UPAYA (OKU)

Orang Kurang Upaya /Orang Kelainan Upaya (OKU)

Pelbagai bantuan JKM kpd OKU

Pelbagai bantuan JKM kpd OKU

Orang Kelainan Upaya(OKU)

Orang Kelainan Upaya(OKU)

Perkhidmatan Bahagian Orang Kurang Upaya
Kemudahan dan pengesanan awal disediakan bagi mereka untuk menerima rawatan, pemulihan, pendidikan dan latihan. Usaha untuk mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat digalakkan agar mereka bersedia menghadapi cabaran keadaan sosial mereka.

Sempena Dekad Bangsa-bangsa Bersatu bagi Orang Kurang Upaya di Rantau Asia dan Pasifik 1993-2002, negara kita telah mendatangani Proklamasi Penyertaan Penuh dan Penyamaan Peluang bagi Orang Kurang Upaya di Rantau Asia dan Pasifik pada 16 Mei 1994. Agenda Tindakan Dekad ini memberi penekanan kepada kesedaran masyarakat dan penyediaan kemudahan-kemudahan ke arah peningkatan kesejahteraan hidup orang kurang upaya.

Definisi
Seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuh atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu dan tidak dapat hidup bermasyarakat sepenuhnya disebabkan sesuatu kekurangan samasa dari segi fizikal atau mental dan samada ia berlaku semenjak lahir atau kemudian dari itu.
Kategori Orang Kurang Upaya
Terdapat 7 kategori kurang upaya yang didaftarkan iaitu
Kurang Upaya Penglihatan
Kurang Upaya Pendengaran. Termasuk pekak dan bisu:
Minima (Mild) – (20 – < 30 db)
Sederhana (Moderate) – (30 – < 60 db)
Teruk (Severe) – (60 – 90 db)

Kurang Upaya Penglihatan
Buta (blind) – Penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata yang lebih baik walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan (cermin mata)

Penglihatan terhad (Low Vision/Partially Sighted) – Penglihatan lebih teruk dari 6/18 tapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 dalam mata yang lebih baik penglihatannya walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan (cermin mata).

Kurang Upaya Fizikal
Kecacatan anggota badan misalnya – Penyakit Polio, Kudung, Muscular Dystrophy, Myopathy, Neuropathy, Osteogenesis Imperfecta dll

Cerebral Palsy
• Hemiplegia – Cerebral Palsy yang melibatkan sebelah bahagian badan
• Diplegia – Cerebral Palsy yang melibatkan kedua-dua belah kaki
• Quadriplegia – Cerebral Palsy yang melibatkan kedua-dua belah tangan dan kaki

Masalah Pembelajaran
Dignosa perubatan di bawah kategori ini merangkumi:
• Lewat Perkembangan (Global Development Delay) (bagi kanak-kanak berumur 3 tahun)
• Masalah pembelajaran spesifik seperti dyslexia, dysgraphia, dyscalculia dll

Lain-Lain
Diagnosa perubatan di bawah kategori ini merangkumi semua masalah kurang upaya yang tidak dinyatakan dalam format.
Bantuan Alat Tiruan
Alat-alat tiruan seperti anggota tiruan, tongkat, kalipers, kerusi roda, alat pendengaran, cermin mata khas dan alat-alat lain diberi supaya orang kurang upaya yang miskin dan berkeperluan dapat bergerak serta memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

Elaun Pekerja Kurang Upaya
Elaun insentif kepada orang kurang upaya yang berkerja dan berpendapatan kurang daripada RM750.00 sebulan bagi individu. Ini adalah untuk menggalakkan mereka berminat untuk bekerja dan mengekalkan dalam sesuatu pekerjaan

Skim Bantuan Pelancaran
Membantu orang kurang upaya yang ada pengetahuan dan kemahiran tetapi ketiadaan modal dan peralatan untuk menjalankan perniagaan kecil.

Bantuan-Bantuan Lain
Orang kurang upaya yang berkeperluan boleh menikmati bantuan-bantuan lain di bawah Jabatan jika berkelayakan seperti:
• Bantuan kanak-kanak
• Bantuan orang tua
• Bantuan kepada belia/beliawanis dan latihan aprentis
• Bantuan Am

Penempatan kerja
Jabatan membantu mendapatkan kerja di sektor perkilangan, firma dan agensi Kerajaan serta dalam rancangan khas seperti bengkel terlindung, rancangan tanah dan lain-lain.
Bengkel Terlindung
Bagi orang kurang upaya yang tidak dapat memasuki sektor perkhidmatan Kerajaan atau swasta, latihan dan kemudahan tertentu disediakan melalui kerjasama agensi Kerajaan, swasta dan badan berkanun di bengkel-bengkel terlindung yang menyediakan peluang pekerjaan

Perkhidmatan di Dalam Institusi
Membantu memulihkan dan mempertingkatkan kualiti dan taraf hidup orang kurang upaya supaya meraka dapat hidup berdikari dengan memberi pemulihan dan latihan kemahiran yang sesuai. Perkhidmatan di Institusi
• Memberi jagaan, perlindungan dan pemulihan
• Menyediakan kemudahan bagi memenuhi keperluan dari segi fizikal, sosial dan rohaniah
• Menjaga kesihatan dan keselamatan penghuni
• Memberi pendidikan, bimbingan serta latihan vokasional
• Penempatan semula dalam masyarakat
• Mengadakan aktiviti pengeluaran hasil dan aktiviti yang berkaitan dengan masyarakat setempat
• Memberi kaunseling

Institusi berkaitan Orang Kurang Upaya
• Taman Sinar Harapan (TSH)
• Pusat Latihan Perinsustrian dan Pemulihan Bangi (PPLPP)
• Bengkel Daya
• Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
• Rumah Kelompok

Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi

Pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk memberi latihan vokasional dan pemulihan perubatan.
Kursus Vokasional

Syarat-syarat:
• Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai orang kurang upaya anggota/fizikal
• Berkelulusan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ Sijil Rendah Pelajaran (SRP)/ Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) mengikut jenis kursus
• Berumur 18 hingga 40 tahun
• Boleh dilatih dengan kemahiran dan boleh mengurus diri

Jenis-jenis Kursus
Bil Jenis Kursus Tempoh
1. IT Komputer 8 Bulan
2. Pembantu Tadbir Sistem Maklumat 10 Bulan
3. Juruelektrik 10 Bulan
4. Elektronik 18 Bulan
5. Protestik dan Orthotik 18 Bul

Kursus Pra Vokasional

Syarat-syarat:
• Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai orang kurang upaya anggota/fizikal
• Berumur 14 hingga 25 tahun
• Boleh dilatih dengan kemahiran dan boleh mengurus diri

Jenis-jenis Kursus
Bil Jenis Kursus Tempoh
1. IT Komputer 24 bulan
2. Membaiki Radio dan TV (Elektronik) 24 bulan
3. Jahitan 24 bulan
4. Lukisan 24 bul

Taman Sinar Harapn (TSH)

Institusi ini memberi latihan kepada individu kurang upaya masalah pembelajaran sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing dan juga memberi perlindungan dan jagaan kepada yang mengalami kecacatan akal yang teruk. Antara program dan aktiviti yang disediakan ialah:
• Kelas akademik asas (3M).

Soalan Lazim Berkenaan Perkhidmatan Orang Kurang Upaya

1. Mengapa Orang Kurang Upaya (OKU) digalakkan mendaftar dengan JKM?
Sebab utama adalah seperti berikut:-

1. Supaya kerajaan dapat mengetahui bilangan sebenar dan taburan OKU di negara ini bagi maksud perancangan perkhidmatan, program pemulihan, intervensi awal, pencegahan, latihan dan pendidikan;
2. Supaya kerajaan dapat merancang kesesuaian program-program latihan, pendidikan dan pemulihan bagi golongan kurang upaya;
3. Supaya kerajaan dapat menyediakan kemudahan yang bertepatan dengan OKU;
4. Supaya kerajaan dapat mengenalpasti OKU mengikut jenis-jenis kecacatan atau sebagai kad pengenalan diri bagi mereka berurusan dengan pihak-pihak berkenaan;
5. Supaya OKU dapat menggunakan kemudahan dan keistimewaan oleh kerajaan;
6. Supaya OKU mendapat maklumat program-program latihan, pendidikan dan pemulihan bagi golongan kurang upaya.

2. Apakah cara-cara untuk memohon kad OKU?
Cara-cara untuk memohon adalah seperti berikut:-

1. OKU boleh memohon samada melalui surat, email atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berdekatan dengan tempat tinggal;
2. Pemohon akan diminta mengisi borang permohonan pendaftaran (diisi oleh Pegawai Kebajikan sekiranya pemohon buta huruf) dan membuat pemeriksaan doktor sebagai pengesahan kecacatannya samada di hospital/ klinik kerajaan atau klinik pakar swasta;
3. Pemohon juga mestilah menyediakan 3 keping gambar;
4. Sekiranya OKU yang memohon mempunyai kecacatan yang teruk atau terlantar, dia boleh meminta pertolongan Pegawai Kebajikan Daerah untuk menguruskan pendaftaran.

Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada OKU

1. Bantuan Alat Tiruan / Alat Sokongan (BAT/S)
o Bantuan ini bertujuan membantu orang kurang upaya yang tidak berkemampuan untuk membeli seperti kaki palsu, tangan palsu, kaliper, tongkat tangan/ketiak, kerusi roda. alat pendengaran, cermin mata khas, kasut khas dan lain-lain peralatan yang disyorkan oleh doktor atau pakar perubatan.
Bagi menimbang permohonan, faktor berikut diambil kira:-
OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
Disyorkan oleh doktor atau pakar perubatan; dan
Mereka yang tidak mampu untuk membekalkan sendiri alat tiruan / alat sokongan yang diperlukan.

2. Geran Pelancaran (GP)
o Bertujuan memberi bantuan kewangan kepada kumpulan sasar Jabatan yang mempunyai minat dan potensi untuk maju bagi menceburi bidang perusahaan atau perniagaan kecil dan memberi galakan kepada penerima bantuan JKM untuk berdikari dan meningkatkantaraf hidup mereka tanpa bergantung lagi kepada bantuan kerajaan. Geran ini membolehkan orang kurang upaya melancarkan rancangan jayadiri mereka agar dapat berdikari dengan usaha sendiri. Had maksimum geran pelancaran ialah RM2,700.00 sekaligus dengan tempoh kaji semula iaitu seliaan dibuat setiap tiga (3) bulan.

Kelayakan :
Penerima bantuan bulanan atau ahli keluarga;
Orang Kurang Upaya (OKU) yang sedang mendapat perkhidmatan dari Jabatan;
Bekas pelatih dari Institusi Kebajikan; dan
Kes-kes selian akhlak.

3. Elaun Pekerja Cacat (EPC)
Skim ini bertujuan menggalakkan orang kurang upaya bekerja dan terus berdikari tanpa bergantung kepada ahli keluarga atau orang lain. Skim ini mempunyai beberapa tujuan:
Sebagai penyenggaraan pendapatan (income maintenance) untuk memenuhi keperluan asas kehidupan Orang Kurang Upaya (OKU)
Sebagai insentif untuk menggalakkan OKU bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif
Untuk meningkatkan taraf hidup OKU di dalam masyarakat.
Kelayakan :
Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai orang kurang upaya
Bekerja sendiri atau dengan majikan
Pendapatan bulanan pemohon tidak melebihi RM1,200 sebulan tidak termasuk pendapatan keluarga
Berumur 16 tahun ke atas
Tidak tinggal di institusi yang telah disediakan kemudahan tempat tinggal, makan/minum dan pakaian percuma.

5. Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB)
Skim ini bertujuan untuk membantu menyara kehidupan golongan OKU yang tidak berupaya untuk bekerja. Skim ini juga akan dapat mempertingkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan golongan OKU khususnya yang tidak berupaya bekerja dan mengelak atau mengurangkan kemasukan kumpulan sasar yang berkenaan ke Institusi Kebajikan. Kadar bantuan ini adalah sebanyak RM150 sebulan dan tempoh kaji semula adalah selama 12 bulan.
Kelayakan :
Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia
Sumber pendapatan individu tidak melebihi PGK semasa. Sumber pendapatan adalah merujuk kepada semua sumber pendapatan yang diterima oleh individu termasuk Pencen Ilat, pencen terbitan, pencen bulanan, PERKESO, bantuan bulanan, insurans dan lain-lain
OKU berdaftar dengan JKM
Disahkan oleh pegawai perubatan bagi kes-kes yang meragukan
Berumur antara 18-59 tahun
Bukan penerima skim Bantuan Bulanan JKM sedia ada
Bukan perserta Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kelolaan JKM dan program penjagaan / pemulihan kelolaan
agensi Kerajaan dan NGO Kebajikan
Bagi keluarga yang menerima bantuan bulanan termasuk Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT) yang berpendapatan di bawah PGK semasa, bantuan ini boleh dipertimbangkan kepada pemohon.

6. Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar (BPT)
Skim bantuan ini adalah bertujuan untuk :
Membantu meringankan bebanan perbelanjaan penjagaan yang dihadapi oleh keluarga penjaga
Menggalakkan penjagaan yang lebih sempurna kepada kumpulan sasar OKU dan pesakit Kronik terlantar
Mempertingkatkan kualiti hidup kumpulan sasar yang terlibat
Mengelak atau mengurangkan kemasukan kumpulan sasar yang berkenaan ke Institusi Kebajikan
Mempertingkatkan kesejahteraan keluarga.
Kadar bagi skim bantuan ini adalah sebanyak RM300 sebulan seorang dengan tempoh kaji semula selama 12 bulan.
Kelayakan :
Pemohon adalah penjaga yang merupakan ahli keluarga OKU / pesakit Kronik Terlantar
Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia
Sedang memberi jagaan ahli keluarga yang OKU /Pesakit Kronik Terlantar sepenuh masa
Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan
Keluarga yang berkeperluan dan tidak berkemampuan.

Lantikan Ketua Audit Nagera

4-2-2013

Ketua audit negara
Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan semula Tan Sri Ambrin Buang sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh dua tahun lagi mulai 23 Feb ini.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan itu adalah untuk tempoh sehingga 22 Feb 2015.

Pelantikan semula itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Pelantikan semula itu adalah memandangkan perkhidmatan Ambrin sebagai Ketua Audit Negara masih diperlukan, katanya.

Ambrin dilantik sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh dua tahun mulai 23 Feb 2006 dan seterusnya perkhidmatan beliau disambung sehingga pelantikan semula yang baharu ini.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Anjakan sistem pendidikan Malaysia
11 Sept 2012. Majlis Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025


Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dengan menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.

Antara perkara yang boleh dijangka dalam Gelombang Pertama pelaksanaan pelan tersebut mulai 2013 hingga 2015 adalah peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.
Gelombang Kedua mulai tahun 2016 hingga 2020 akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baru. Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.
Dalam Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Pelan itu juga menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Dalam pelan ini, sebanyak sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti. Sembilan bidang keutamaan tersebut adalah:

1. Memartabatkan profesion perguruan;
2. Meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;
3. Meningkatkan kualiti sekolah;
4. Memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;
5. Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;
6. Mengukuhkan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;
7. Meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;
8. Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber dan
9. Membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Berdasarkan sembilan bidang keutamaan tersebut, kementerian mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh rakyat.

Sebelas anjakan tersebut adalah:
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa;
2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris;
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai;
4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah;
6. Mengupaya jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia;
8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas;
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan
11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

Pandangan panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa diperolehi dalam penyediaan laporan awal pelan tersebut.Kementerian juga turut mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

Malaysia tuan rumah APEC 2020

9-9-2012 VLADIVOSTOK Rusia: Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020, demikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PM Malaysia bertemu Presiden Rusia


Mengikut turutan, Malaysia dijadual menganjurkan acara itu pada 2020, iaitu tahun yang bertuah dan penting bagi negara ini.
“Perkara ini dalam perancangan dan (Malaysia) akan menjadi tuan rumah acara itu,” katanya ketika memberi taklimat kepada wartawan Malaysia mengenai hasil Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 yang berakhir 9-9-2012

Datuk Seri Najib Razak menyertai 20 ketua-ketua ekonomi lain dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC 2012 bagi membincangkan perkembangan di rantau Asia Pasifik dan hala tuju masa depan bersama

PM kita mengadakan mesyuarat dua hala dengan presiden negara tuan rumah, Russia, Vladimir Putin. Beliau juga bertemu dengan tiga ketua ekonomi lain, iaitu Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard.

Beliau juga bertemu dengan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, Presiden Filipina Benigno Aquino dan Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda.

Ketua-Ketua Negara APEC 2012, Rusia


Meskipun kedudukan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ialah sebagai platform bagi menetapkan hala tuju dan kerjasama perdagangan di kalangan anggotanya bagi pembangunan dan kemajuan ekonomi bersama, dalam persekitaran tidak terikat, acara tahunan ini sama seperti sebelumnya, akan terus melihat isu bukan perdagangan lain dibincangkan di luar dari sidang kemuncak itu.

Menteri Luar dan Menteri Ekonomi APEC bertemu

Deklarasi Kazan
Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 berakhir pada 9-9-2012 Ahad, dengan 21 ekonomi anggota bersetuju untuk bertindak menyelesaikan banyak isu dan tindakan yang dicadangkan yang telah dibincangkan selama setahun bagi mencapai matlamat bersama mereka meneruskan perpaduan dan kemakmuran serantau.

Jaminan makanan diberikan perhatian serius dalam mesyuarat itu, dengan Deklarasi Kazan bagi Jaminan Makanan APEC disokong oleh semua pemimpin. Deklarasi Kazan ialah pelan hala tuju bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan mengukuhkan pengedarannya dalam persekitaran perdagangan bebas dan menangani isu-isu seperti manipulasi harga makanan manakala pada masa yang sama menggalakkan faktor-faktor pengeluaran makanan.

Satu bilion daripada tujuh bilion penduduk dunia sekarang berdepan isu kekurangan makanan, dan ketika penduduk pada 2050 dijangka meningkat kepada 9.3 bilion, jaminan makanan menjadi satu isu kritikal yang boleh membawa impak kepada masa depan. Perlu ada galakan bagi pengeluaran dan langkah-langkah untuk memastikan petani yang mengeluarkan makanan mendapat keuntungan seimbang daripada pengeluaran mereka.

Kaedah-kaedah dikenal pasti untuk mengedarkan makanan dengan cekap sambil menambah pengurangan pembaziran dan penyediaan tempat penyimpanan dan logistik yang lebih baik demi memastikan peningkatan keuntungan bagi petani dan nelayan. Dengan keuntungan yang lebih baik, akan ada lebih banyak pengeluaran makanan. Selain itu, manipulasi harga makanan perlu ditangani.
Inovasi juga diberi tumpuan pada mesyuarat itu walaupun masa agak terhad. Ini merupakan bahagian penting kerana ia akan menjana sumber pendapatan baharu bagi ekonomi.

Mengenai kerjasama pendidikan, idea mobiliti dibincangkan bagi memastikan pindahan kredit dalam universiti di rantau ini dapat dilaksanakan.

Dasar Luar Malaysia: NAM dan Isu Palestin

KENYATAAN KERAJAAN MALAYSIA


YB MENTERI LUAR NEGERI MENGHADIRI MESYUARAT PERINGKAT

MENTERI JAWATANKUASA GERAKAN NEGARA-NEGARA

BERKECUALI (NAM) MENGENAI PALESTIN,

DI TEHRAN, REPUBLIK ISLAM IRAN,

28 OGOS 2012

________________________________________________________________________

YB Dato’ Sri Anifah Aman, Menteri Luar Negeri Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin pada 28 Ogos 2012 sempena Mesyuarat Persediaan Menteri Sidang Kemuncak NAM ke-16. Mesyuarat itu dihadiri oleh Algeria, Bangladesh, Colombia, Cuba, Mesir, India, Indonesia, Malaysia, Palestin, Senegal, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Zambia. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Iran.

Persidangan NAM, Iran Ogos 2012


Semasa mesyuarat itu, YB Dato’ Sri Anifah Aman telah sekali lagi menyuarakan sokongan Malaysia untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestine dari penindasan rejim Israel. Beliau juga mengkritik tindakan Israel menyekat cadangan mengadakan Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin di Ramallah, Palestin dari 5 – 6 Ogos 2012.

YB Dato’ Sri Anifah Aman menggesa supaya Jawatankuasa ini berusaha dengan lebih kuat lagi untuk membantu dalam perjuangan rakyat Palestin selain daripada hanya mengeluarkan kenyataan dan kritikan. Jawatankuasa berkenaan telah bersetuju untuk menubuhkan satu Pasukan Petugas Tindakan Khas yang terdiri daripada Wakil Tetap yang berkenaan di New York dengan mandat untuk menggubal tindakan-tindakan dan langkah-langkah yang kukuh bagi menyelesaikan isu-isu Palestin.

Kementerian Luar Negeri

31 Ogos 2012

MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA

Tarikh : 28/06/2012
Tajuk : MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA KE-229

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-229 di Istana Negara.

Mesyuarat tiga hari yang berakhir hari ini dipengerusikan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir.

Malaysia berdaulat: Suruhanjaya Siasatan Diraja

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah

Dipetik dan disesuaikan daripada Bernama 12 Ogos 2012

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perincian dan terma rujukan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing (RCI). Suruhanjaya itu diberi masa enam bulan untuk menyiapkan siasatan mengenai masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah. Tempoh enam bulan itu bermula dari tarikh tauliah pelantikan pengerusi dan anggota RCI dikeluarkan dan laporan siasatan itu perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Hakim Besar Sabah Dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong


Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong manakala Ketua Setiusaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai setiausahanya.

RCI akan dianggotai empat pesuruhjaya iaitu bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman Luping, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk K.Y Mustafa dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, katanya.

Cadangan kerajaan persekutuan bagi penubuhan suruhanjaya itu mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Perdana Menteri turut mengumumkan terma rujukan suruhanjaya itu yang bermatlamat untuk menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan. Siasatan akan menjurus kepada sama ada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah adalah menurut peruntukan undang-undang.

Suruhanjaya juga akan menyiasat sama ada pendatang asing di Sabah yang memegang kad pengenalan biru, resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang telah didaftarkan dalam daftar pemilih. Selain itu, RCI juga akan menyiasat sama ada pihak berkuasa yang berkenaan telah mengambil apa-apa tindakan atau membuat apa-apa penambahbaikan kepada prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan bagi mengelakkan apa-apa ketidakteraturan daripada segi undang-undang.

Siasatan lebih lanjut juga perlu berhubung prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berhubung dengan pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dengan mengambil kira standard dan norma antarabangsa yang terpakai bagi Malaysia. RCI akan mengesyorkan apa-apa pindaan atau perubahan untuk memantapkan dan menambah baik prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan itu.

RCI juga ditubuhkan bagi tujuan menyiasat sebab-sebab peningkatan populasi di Sabah mengikut pelbagai kategori iaitu warga Sabah yang menetap di Sabah, termasuk mereka yang diberikan kad pengenalan biru dan kewarganegaraan melalui sijil kelahiran (pendaftaran lewat), pekerja asing (termasuk ahli keluarga), pendatang asing tanpa izin (termasuk ahli keluarga) dan pelarian serta meneliti kesannya terhadap bilangan yang mendaftar dalam daftar pemilih.

Siasatan juga melibatkan implikasi sosial ke atas masyarakat di Sabah yang berbangkit daripada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dan menyiasat bilangan pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan dengan mengambil kira status mereka sebagai orang yang tidak bernegara.

Penubuhan suruhanjaya siasatan itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan Persekutuan untuk menyiasat isu-isu yang dibangkitkan berhubung pendatang asing di Sabah. Kerajaan berharap rakyat Sabah akan mendapat manfaat daripada penubuhan suruhanjaya siasatan berkenaan dan bersama-sama menyokong kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah yang berkaitan.

Sebelum ini, pelbagai pihak di Sabah termasuk parti komponen BN negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) begitu lantang menyuarakan masalah pendatang tanpa izin yang tidak berkesudahan dan berharap kerajaan BN melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan.

Berdasarkan jawapan di Parlimen tahun lepas, penduduk Sabah yang berjumlah 651,304 pada 1970 meningkat kepada 929,299 sedekad kemudian. Bagaimanapun bagi tempoh dua dekad selepas itu, populasi Sabah meningkat secara ketara kepada 1.5 juta dan dicatat pada 2,468,246 orang menjelang 2000.

Negara Berdaulat: Jawatan Ketua Setiausaha Negara

Ketua Setiausaha Negara/Setiausaha Kabinet/kakitangan awam tertinggi Malaysia

Najib Tun Razak menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd. Sidek Hassan sambil diperhatikan oleh Rosmah Mansor dan Wan Noorlina Wan Hussin pada Majlis Makan Malam dan Penghargaan di Hotel Shangrila.

Datuk Seri Dr. Ali Hamsa menjalankan tugas sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) bermula 24-6-2012 berharap seluruh kakitangan kerajaan dapat bersama-samanya meneruskan usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam selaras dengan usaha kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menerajui transformasi negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020. Usaha tersebut bersandarkan kepada Dasar Transformasi Nasional yang bermula dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) diikuti Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Beliau merafak sembah setinggi-tinggi junjungan kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik saya sebagai KSN berkuatkuasa 24 Jun 2012. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga dirakamkan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan keyakinan beliau dalam memberikan peluang kepada saya untuk menerajui perkhidmatan awam.
Beliau berjanji akan teruskan apa yang ada. Namun, pegawai kerajaan perlu meningkatkan pencapaian pelaksanaan semua dasar, program dan projek kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan surat cara pelantikan dan penyerahan nota serah tugas KSN oleh Perdana Menteri di bangunan Parlimen.

Beliau berkata, penjawat awam mempunyai tanggungjawab tinggi dan produktiviti mereka harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Ujarnya, di samping pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berhasrat untuk turun padang dan mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak bermula dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), media, industri, pertubuhan bukan kerajaan dan pegawai kerajaan pelbagai lapisan.

“Ini penting bagi memastikan pandangan mereka diperoleh dalam membantu saya untuk merancang dan melaksanakan usaha-usaha awal ke arah transformasi perkhidmatan awam sebagai KSN. Saya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam.
“Ini bagi memastikan transformasi kepimpinan perkhidmatan awam yang berupaya menyeimbangkan kepentingan politik dan pentadbiran, memperkasa modal insan perkhidmatan awam terutama kumpulan kakitangan sokongan dan profesional serta mengutamakan kebajikan penjawat awam,” katanya.

Najib Tun Razak menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd. Sidek Hassan sambil diperhatikan oleh Rosmah Mansor dan Wan Noorlina Wan Hussin pada Majlis Makan Malam dan Penghargaan di Hotel Shangrila.

Bekas Ketua Setiauasaha Negara dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Petronas(Badan Tidak Berkanun)
24 Jun 2012 – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sebagai Pengerusi Petronas yang baru.

Pengumuman tersebut dibuat Najib pada Majlis Makan Malam Penghargaan Mohd. Sidek yang akan tamat kontrak perkhidmatan KSN esok.
Menurut Najib, pelantikan Mohd. Sidek sebagai Pengerusi Petronas akan dibuat pada waktu terdekat ini selepas selesai beberapa urusan.
“Saya yakin Tan Sri Mohd. Sidek akan memberi sumbangan yang besar dan meningkatkan jalinan hubungan antara Petronas dan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini malam ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan isteri Mohd. Sidek, Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin.
Mohd. Sidek yang tamat kontrak perkhidmatannya pada 23 Jun akan digantikan oleh Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, 57, sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru berkuat kuasa mulai 24 Jun ini.
Pada masa ini , jawatan Pengerusi Petronas dipangku oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Menurut Najib, sumbangan Mohd. Sidek dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam terutamanya mengeratkan kerjasama antara kerajaan dan swasta amat dihargai.
Sementara itu, Mohd. Sidek dalam ucapannya melahirkan rasa terkejut di atas pengumuman Perdana Menteri melantik beliau sebagai Pengerusi Petronas yang baru.
“Saya amat terharu dan menghargai pelantikan ini,” katanya.