Category Archives: PARLIMEN

Kenegaraan: Pilihanraya Kecil Parlimen Kawasan Sibu, Sarawak

Pegawai Pengurus PRK, Wong See Meng mengumumkan calon DAP, Wong Ho Leng sebagai Ahli Parlimen Sibu dengan kemenangan majoriti 398 undipada Pilihanraya Kecil P.212 Sibu di Pusat Perjumlahan Undi Dewan Suarah, Sibu .

SIBU: 17-05-2010
DAP memenangi pilihan raya kecil Parlimen Sibu apabila calonnya, Wong Ho Leng menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew dan seorang calon Bebas dengan majoriti kecil 398 undi.

Wong memperoleh 18,845 undi berbanding Lau, 18,447 undi, manakala calon Bebas, Narawi Haron, 232 undi dan hilang wang pertaruhan apabila hanya mendapat undi. Undi rosak ialah 395. Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus pilihan raya kecil berkenaan, Wong See Meng, di pusat penjumlahan undi, di Dewan Suarah Sibu, pada jam 11 malam tadi. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu yang menyandang kerusi berkenaan lima penggal berturut-turut.

Pada pilihan raya umum 2008, mendiang Lau yang meraih 19,138 undi, menang dengan majoriti 3,235 undi, mengalahkan Wong yang mendapat 15,903 undi serta calon PKR, Lim Chun Chuang.

Parlimen Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos. Daripada jumlah itu 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

DAP pernah memenangi kerusi itu pada 1982, dengan majoriti kecil apabila calonnya Ling Sie Ming menewaskan Wong Soon Kai (kini Tan Sri) tetapi selepas itu, BN menerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kembali menguasainya sehingga kematian Lau.
Kemenangan DAP semalam membolehkan parti itu menambah kerusi Parlimennya di Sarawak kepada dua, selepas menang di Parlimen Bandar Kuching pada pilihan raya umum lalu.

Berikutan keputusan itu, pakatan pembangkang kini mempunyai 77 kerusi di Parlimen dengan DAP 29 kerusi, PKR (24), Pas (23) dan Parti Sosialis Malaysia (satu). BN pula mempunyai 137 kerusi dan Bebas (lapan).

Kenegaraan: Pelantikan Speaker Dewan Negara

Abu Zahar angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Negara ke-16
NAJIB menyampaikan cenderahati replika cokmar kepada Bekas Speaker Dewan Rakyat Dato Wong pada majlis Makan Malam Jasamu Dikenang di Kuala Lumpur, malam tadi.

2010/04/26
Bekas Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-16 menggantikan Datuk Wong Foon Meng yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 12 April 2010.

Usul pelantikan Abu Zahar yang dibentangkan di persidangan Dewan Negara hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan disokong oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mendapat persetujuan sebulat suara anggota Dewan Negara termasuk wakil daripada Pas, DAP dan PKR. Abu Zahar, 66, yang dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dan pernah menjadi seorang Anggota Dewan Undangan Negeri dari 1986 sehingga 1995 sebelum menjadi Ahli Parlimen sehingga 1999, berikrar akan menjalankan tanggungjawabnya dengan amanah dan saksama. Sebelum menceburi politik, beliau bertugas dengan Polis Diraja Malaysia dengan jawatan terakhir adalah sebagai Timbalan Penguasa di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979. Beliau dan isteri Puan Sri Rugayah Syed Jaffar mempunyai tiga anak.

Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln”s Inn, London, dan pernah menjadi Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia.

Dalam bidang politik pula, kariernya bermula pada 1979 selepas menganggotai Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Kuala Pilah sebelum menjadi Ketua Umno Bahagian Kuala Piliah selama 14 tahun iaitu dari 1987.

Abu Zahar yang juga ahli Lembaga Disiplin Umno sejak 13 Mei 2004 dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Pengerusi Risda, Pengerusi Tribunal Hakcipta Malaysia dan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia.
Dalam satu lagi upacara, bekas Pengurus Besar Public Islamic Bank Berhad Datuk Mohammed Najeeb Abdullah mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara yang baru.

Mohammed Najeeb, 56, yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rasah dan ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, dicalonkan oleh Dewan Undangan Negeri Sembilan.

Beliau berkelulusan sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti Charles Darwin, Australia dan mempunyai pengalaman 35 tahun dalam bidang perbankan konvensional serta perbankan Islam di pelbagai peringkat.

Kenegaraan: Pilihanraya Kecil Ulu Selangor April 2010

HULU SELANGOR, 25 April 2010 — Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya, P. Kamalanathan menewaskan peguam terkenal dan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi dalam pilihan raya kecil paling sengit sejak pilihan raya umum 2008.

Ketua Penerangan MIC yang juga seorang pegawai perhubungan awam itu memperoleh 24,997 undi menewaskan Zaid, yang dipecat daripada Umno pada Disember 2008 kerana menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Bekas Anggota Parlimen Kota Baharu yang kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerima 23,272 undi.

Sejumlah 731 undi rosak pada pilihan raya kecil yang menyaksikan sejumlah 48,935 pengundi atau 75.87 peratus pemilih keluar mengundi pada Ahad. Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pengundi.

Pada pilihan raya umum 2008 yang merupakan “tsunami politik” bagi BN, Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, yang juga merupakan Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal, gagal mempertahankan kerusi apabila tewas dengan majoriti 198 undi kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR. Dr Zainal Abidin meninggal dunia pada 25 Mac.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN bersama-sama pemimpin parti komponen BN berada di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah di Kuala Kubu Bharu untuk meraikan kejayaan BN bersama-sama ribuan penyokong BN.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas dan para pemimpin parti.

Sejak pilihan raya umum 2008, sebanyak 10 pilihan raya kecil diadakan, dengan BN memenangi tiga daripadanya, termasuk kemenangan kerusi Parlimen Hulu Selangor malam ini yang sangat penting bagi mendapatkan kembali keyakinan dan sokongan rakyat.

Ia merupakan kemenangan bermakna bagi BN, terutamanya kepada Najib yang semasa berkempen menyatakan bahawa pilihan raya kecil itu bukan sahaja untuk memilih seorang Anggota Parlimen tetapi merupakan pungutan suara bagi hala tuju baru negara.

Najib sendiri turut turun berkempen sebaik sahaja kembali ke tanah air selepas melakukan lawatan luar negara, pergi ke kampung-kampung, bandar, kawasan rancangan Felda, bersama timbalannya Muhyidin yang saban hari berada di Hulu Selangor sejak penamaan calon pada 17 April.

Bulan Mei 2010, satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan, iaitu kerusi Parlimen Sibu, ekoran kematian penyandangnya Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew.

Ia bukanlah satu laluan mudah bagi BN kerana pada awalnya terpaksa menempuh keadaan sukar memilih calon apabila MIC bertegas mencadangkan Palanivel menjadi calon BN manakala pucuk pimpinan BN mahukan muka baru seperti yang dikehendaki peringkat akar umbi.

Akhirnya, mereka bersetuju dengan pemilihan Kamalanathan atas dasar kompromi.

BN juga berhadapan dengan pakatan PKR-DAP-PAS yang diketuai Ketua Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat sambutan dan menarik minat orang ramai namun ia tidak berupaya mengatasi parti pemerintah yang berusaha menyelesaikan banyak masalah rakyat setempat, termasuk isu-isu kebajikan dan kehendak pengundi.

Kenegaraan: Fungsi Suruhanjaya Pilihanraya dan Undi Pos

Keputusan Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor Diketahui Pukul 11 Malam 25 April 2010, Kata SPR

HULU SELANGOR, 21 April 2010 — Keputusan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dijangka diketahui pada pukul 11 malam, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kesemua 136 peti undi tiba di pusat pengiraan mengikut jadual iaitu pada pukul 9 malam.

“Sekiranya kesemua 136 peti undi tiba di pusat pengiraan pada pukul 9 malam maka kita jangka dapat umumkan keputusan pada pukul 11 malam. Tetapi kita tak dapat pastikan sebab mungkin akan berlaku pengiraan semula undi di pusat pengiraan undi,” katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Wan Omar berkata undi pos untuk pilihan raya kecil itu juga telah diagihkan kepada pasukan polis dan tentera dan mereka yang terlibat akan mengundi pada esok dan Jumaat ini.

Proses membuang undi pos akan dijalankan di ibu pejabat polis daerah dan kem tentera di Kuala Kubu Bahru, katanya.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional P. Kamalanathan dan Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat.

Wan Omar turut merayu kepada semua pihak agar menghormati pihak penguatkuasa SPR memandangkan banyak aduan diterima melibatkan pekerja-pekerja pilihan raya daripada parti yang bertanding tidak mendengar arahan SPR.

“Ini sebenarnya satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya yang menasihatkan kesemua pihak agar mematuhi peraturan pilihan raya.

Kenegaraan: Proses Penggubalan Undang-undang di Parlimen

Kerajaan Tarik Balik Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010

21 April 2010
Kerajaan menarik balik Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lepas bagi menggugurkan tiga daripada 51 fasal yang dicadangkan pindaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata tindakan itu dibuat selepas menerima maklumbalas daripada Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) yang tidak bersetuju dengan beberapa pindaan tersebut.

Tiga fasal yang akan digugurkan ialah Fasal 8 yang melarang mana-mana pihak kecuali Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membuat, mengeluar, mengedar, menjual atau memasang plat nombor pendaftaran; Fasal 22 bagi menaikkan had umur kelayakan memohon lesen memandu daripada 16 ke 17 tahun dan Fasal 46 yang menaikkan kadar kompaun maksimum daripada RM300 kepada RM1,000.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Mohamed Nazri berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan semula untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual Jun ini.

“Selepas berunding dengan pihak dewan dan mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Ketua Whip (Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka kita buat keputusan untuk menarik balik pindaan ini dan akan dibawa balik dalam persidangan akan datang,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi BNBBC Datuk Seri Bung Mokhtar Radin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memohon agar kerajaan menimbang semula dan memperhalusi pindaan akta tersebut bagi menepati aspirasi rakyat.

“Kita telah mengadakan perbincangan selama dua hari dengan JPJ, Kementerian Pengangkutan dan agensi lain dan kita dapati rang undang-undang yang dibentang Isnin lepas tidak begitu mesra rakyat,” katanya.

Bung Mokhtar berkata pihaknya akan terus berbincang dengan JPJ dan agensi-agensi berkaitan untuk memperhalusi pindaan ke atas akta tersebut supaya tidak dilihat sebagai membebankan rakyat.

BNBBC turut mencadangkan agar JPJ mengadakan rundingan dengan orang awam untuk mendengar pendapat dan cadangan rakyat sebelum dibentangkan semula di Parlimen.

Wakil pembangkang Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pada Rabu turut menggesa kerajaan meneliti semula pindaan akta tersebut dan berunding dengan semua pihak termasuk orang awam, pihak berkuasa dan pakar-pakar perundangan.

Bung Mokhtar dan Guan Eng turut bersetuju bahawa sebuah Jawatankuasa Pemilihan yang terdiri daripada pelbagai anggota diwujudkan bagi membincangkan perkara tersebut.

Kenegaraan: Parlimen, Wakil rakyat Bebas


KUALA LUMPUR 15 Mac 2010– Mengalahkan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang! Bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hadir pertama kali sebagai wakil rakyat Bebas untuk pembukaan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-12 hari ini, menjadi tumpuan media sama ada untuk ditemu bual atau dirakamkan aksi mereka oleh lensa jurugambar.

Sebaik sahaja sidang Dewan Rakyat ditangguhkan pada pukul 11.15 pagi selepas titah ucapan diraja, lebih 200 wakil media yang membuat liputan berpusu-pusu ke lobi Parlimen untuk mencuri peluang mendapatkan reaksi terkini mereka.

Berbeza dengan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri yang tidak nampak kelibatnya, dua wakil rakyat Bebas lain, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) dan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) bagaikan menyerah diri kepada media. Mereka berdua ditemui duduk santai di luar lounge Ahli Parlimen.

Walaupun awalnya nampak gugup, kedua-duanya mula ceria apabila dikerumuni pemberita dan tidak putus-putus menjadi sasaran lensa jurukamera.

Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyedari kehadiran mereka berdua turut mengambil kesempatan berjabat tangan mengucapkan tahniah.

Baik Zahrain mahupun Zulkifli, masing-masing menafikan akan menyertai parti lain buat masa ini, sebaliknya lebih selesa dengan status sebagai wakil rakyat Bebas.

“Rasanya saya akan lebih efektif sebab tidak ada sekatan untuk bersuara,” ulas Zulkifli mengenai kedudukannya.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang turut dikerumuni para wartawan juga meluahkan ungkapan sama untuk tidak menyertai mana-mana parti politik dalam waktu terdekat.

Menurutnya, beliau kini dalam proses membiasakan diri sebagai wakil rakyat tanpa parti.

Mungkin sebab itu, berbanding Zahrain dan Zulkifli yang selamba bergaul dan beramah mesra dengan ahli-ahli Parlimen BN, Tee Beng lebih banyak mundar-mandir di lobi Parlimen.

Cuma yang menimbulkan tanda tanya media, kehadiran Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne yang dilihat asyik ‘berkepit’ dengan bekas rakan separtinya itu.

Apatah lagi namanya antara yang disebut-sebut bakal menyusul tindakan Zahrain, Tee Beng dan Mohsin Fadzli.

Anak muda yang menggemparkan dengan video V.K.Lingam itu bagaimanapun hanya memberi isyarat tangan enggan mengulas ketika cuba dijolok pemberita.

Namun sidang Parlimen baru bermula. Tempoh sebulan masih panjang untuk membuat kejutan pada persidangan kali ini seperti dijanjikan oleh Zulkifli.

Kenegaraan: YDPA merasmikan Persidangan Parlimen

YDPA diiringi PM berangkat ke Dewan Rakyat

YB mesti beretika ketika berhujah dalam Dewan

KUALA LUMPUR:15-3-2010 Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin melahirkan rasa dukacita baginda terhadap tingkah laku dan tutur kata Ahli Parlimen yang tidak menggambarkan keperibadian mereka sebagai wakil rakyat. Berikutan itu, Tuanku Mizan mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya menjaga tingkah laku dan imej sebagai wakil rakyat kerana mereka sentiasa diperhatikan rakyat. “Ahli Yang Berhormat hendaklah berhujah dengan bernas dan tidak membangkitkan perkara remeh-temeh yang boleh menjelaskan imej dan maruah sendiri serta kemuliaan Dewan ini.

“Sejak dua penggal berturut-turut beta mengingatkan Ahli Parlimen supaya menunjukkan sifat dan perilaku terpuji di dalam Dewan Rakyat.

“Beta dukacita masih terdapat Ahli-Ahli Yang Berhormat mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat,” titah baginda merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat, semalam.

Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Baginda turut menegur media baru kerana menyiarkan banyak fitnah, pembohongan dan putar belit fakta yang boleh menggadaikan ketenteraman awam dan maruah negara.

“Semua pihak yang terbabit hendaklah sedar perbuatan itu tidak diterima mana-mana agama. Beta menyeru pihak terbabit menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Di samping itu, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit,” titah baginda.

Selain amaran kepada media baru, baginda juga meningkatkan semua pihak agar tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara.

“Kebebasan bersuara adalah ciri demokrasi dan masyarakat yang matang.
Bagaimanapun kebebasan itu bukan alasan bagi mana-mana pihak untuk memburukkan pihak yang lain sehingga mencetuskan api perbalahan dan sentimen perkauman.

“Beta amat dukacita kerana ada pihak di dalam dan luar negara mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh sehingga menggadaikan ketenteraman awam dan maruah negara.

“Beta menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada titik hitam dalam sejarah negara dan mengelak daripada mencetuskan isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian hidup rakyat,” katanya.

Ketua Audit Negara/Juruaudit Negara


-Ketua Audit Negara dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan MRR.
-Ketua Audit Negara seperti para Hakim, Pengerusi Suruhanjaya dan Peguam Negara boleh dipecat oleh YDPA
melalui satu Tribunal Diraja.
-Tugas utama adalah mengaudit perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
– Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Parlimen.
– Sebarang kelemahan atau penyelewengan didedahkan dan tindakan selanjutnya akan diambil oleh badan
eksekutif Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(MACC).

PUTRAJAYA, 22 Okt 2009 — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau kecewa dengan perbelanjaan melampau dan penyelewengan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan berjanji akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah.

“Apa yang penting daripada laporan itu ialah sama ada kita akan bertindak atau tidak. Mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan,” kata Perdana Menteri ketika menjawab soalan pada taklimat media mengenai bajet di Kementerian Kewangan.

Najib berkata sebagai sebahagian daripada amalan kerajaan yang baik, kerajaan perlu memberi penghargaan kepada mereka yang menunjukkan prestasi baik tetapi bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Katanya beliau yakin keadaan akan menjadi lebih baik dengan adanya Petunjuk Prestasi Utama dan Bidang Keberhasilan Utama yang diumumkan awal tahun ini untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Baru-baru ini, Najib melantik bekas pengarah urusan Penerbangan Malaysia Datuk Seri Idris Jala sebagai menteri yang mengetuai sebuah unit memantau Petunjuk Prestasi Utama.

Pembentangan Bajet 2010 oleh YAB PM di Parlimen

Bajet 2010 Batu Loncatan Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi – Najib

KUALA LUMPUR, 23 Okt 2009 — Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat membentangkan Bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Najib dalam bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri yang bertemakan 1Malaysia, Kemakmuran Bersama memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan 2010 ini merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan jumlah peruntukan belanjawan 2009 sebanyak RM215.7 bilion, katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat.

Najib berkata dalam strategi bagi memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta, mempergiat penyelidikan pembangunan dan pengkomersilan, memanfaatkan sepenuhnya bidang khusus, memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa industri kecil dan sederhana, membangunkan teknologi hijau dan menggalakkan industri kreatif.

Bagi strategi kedua iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Katanya dalam strategi ketiga pula, kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam.

Menurutnya dalam langkah pertama ke arah meningkatkan pelaburan swasta, kerajaan akan menyediakan persekitaran mesra pelanggan, meningkatkan pelaburan swasta, pelaksanaan inisiatif penswastaan, meningkatkan inisiatif projek awam-swasta dan mempergiatkan kemasukan pelaburan asing.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya pembangunan bidang khusus pula, kerajaan akan merancakkan industri pelancongan, memantapkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan mempergiatkan industri halal, tambahnya.

Juga di bawah strategi memacu ekonomi berpendapatan tinggi, Najib berkata kerajaan akan memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, pembangunan industri hijau yakni menggalakkan pembangunan bangunan hijau, dan menggalakkan industri kreatif.

Perdana Menteri berkata bagi mencapai strategi kedua iaitu pembangunan holistik dan mapan, langkah pertama membabitkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang akan ditingkatkan manakala akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan akan diperluaskan.

Seterusnya, kata Najib, kerajaan akan menjaga kebajikan golongan pelajar, menggilap kemahiran tenaga kerja, mempergiatkan program Permata, dan memperkasa institusi pengajian tinggi awam.

Bagi langkah kedua strategi itu , kerajaan juga akan memantapkan sistem perbankan dan kewangan dengan cara mencergaskan pasaran saham, memajukan lagi sistem kewangan Islam, memperluaskan program mikro kredit Ar Rahnu. Najib berkata di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM42.2 bilion adalah bagi emolumen dan RM20.8 bilion bagi Perkhidmatan dan Bekalan.

Sebanyak RM73.9 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap manakala sejumlah RM524 juta disediakan bagi pembelian aset dan baki RM800 juta untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak RM25.4 bilion disediakan bagi menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

Perdana Menteri berkata sejumlah RM20.3 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Sebanyak RM3.7 bilion diperuntukkan untuk pembangunan sektor keselamatan, RM1.8 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka. (133) Najib berkata kutipan hasil kerajaan Persekutuan bagi tahun 2010 dijangka berkurangan 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2009.

Bagaimanapun, katanya defisit kerajaan Persekutuan bagi tahun 2010 dijangka lebih baik pada paras 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 7.4 peratus pada tahun 2009.

Perdana Menteri berkata walaupun bajet 2010 merupakan bajet terakhir bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ia amat penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Najib berkata sejak menerajui kerajaan kira-kira enam bulan lepas, beliau telah mengambil langkah-langkah bagi merangsangkan ekonomi negara demi menjamin kesejahteraan rakyat.

Merujuk kepada Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau berkata ia adalah berteraskan nilai-nilai murni berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Maksudnya, dalam apa jua yang dilakukan, kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu setiap langkah diambil memerlukan pengorbanan dan kerjasama padu daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengambil pendekatan baru berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi bagi melonjakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

“Langkah ini akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Pada penghujung ucapannya yang mengambil masa lebih dua jam, Najib menggesa seluruh rakyat supaya bersama-sama dalam usaha membentuk satu cita untuk Malaysia tercinta.

“Bersama api semangat Bagan Pinang yang masih bergejolak dan membakar sukma, bersama harapan yang marak lagi menyala, marilah kita membuat satu transformasi besar-besaran seraya menjulang Malaysia tercinta ini ke persadanya,” katanya merujuk kepada kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kerusi negeri Bagan Pinang 11 Okt lepas.

“Sesungguhnya, inilah bajet yang menelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Sesungguhnya inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat.

“Bulatkanlah tekad, tetapkanlah hasrat, menjunjung gagasan 1Malaysia, segala yang mustahil kan pasti menjadi nyata. 1Malaysia, Kemakmuran Bersama,” kata beliau mengakhiri ucapan disambut gemuruh tepukan meja oleh penyokong-penyokong kerajaan di dalam dewan.

Penerangan:
– Parlimen yang berkuasa meluluskan bajet yang dibentang oleh Menteri Kewangan.
– Kelulusan bajet 2010 mesti melalui Bacaan Pertama, Kelulusan Bacaan Kedua dan Kelulusan Bacaan Ketiga
Dewan Rakyat.
– Dewan Negara tidak ada kuasa menyekat rang undang-undang kewangan. Jadi, Dewan Negara hanya boleh
menangguh kelulusan bajet 2010 selama tidak lebih daripada 30 hari.
– Bajet itu dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan Persekutuan.
– Juruaudit Negara akan mengaudit perbelanjaan bajet itu.

Keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 2008

http://www.bharian.com.my/klikkhas/pilihanraya