Category Archives: Dasar Dalam Negara

Dasar Ekonomi: Program Transformasi Ekonomi

BAJET 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2010 menggariskan empat strategi utama untuk memacu ekonomi negara. Empat strategi terbabit ialah merancakkan pertumbuhan swasta; mempergiat pembangunan modal insan; menambah baik kualiti hidup; dan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Strategi yang digariskan itu adalah bertujuan memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berlaku secara mapan dan konsisten, iaitu pada kadar enam peratus. Strategi merancakkan pertumbuhan swasta membuktikan bahawa penglibatan sektor swasta sangat penting dalam menjana dan memacu ekonomi negara.

Kerajaan telah menetapkan sasaran pelaburan swasta perlu berkembang pada kadar 12.2 peratus (RM115 bilion) setahun. Justeru, menurut laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP): Hala Tuju Untuk Malaysia yang dikeluarkan pada 25 Oktober lalu mengiktiraf peranan sektor swasta dalam memudah pertumbuhan ekonomi menerusi ETP.

Menurut laporan ETP itu, risiko paling nyata ialah jika pertumbuhan 12.2 peratus dalam pelaburan swasta setiap tahun gagal dicapai. Jika ini berlaku ia akan turut menjejaskan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

RMK-10 adalah penentu atau kayu pengukur bagi negara mencapai misi nasional, iaitu Wawasan 2020. Pertumbuhan enam peratus ekonomi negara dalam tempoh RMK-10 tidak akan tercapai sekiranya sektor swasta gagal memainkan peranannya sebagai enjin utama menjana dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebelum berlakunya krisis ekonomi pada 1997/1998, sektor swasta dianggap sebagai “lokomotif ” utama menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang 30 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hari ini, kerajaan mahu memastikan peranan tersebut dipikul semula oleh sektor swasta. Sektor swasta penting untuk menjayakan ETP dan RMK-10 yang berhasrat menjadi negara sebagai negara berpendapatan tinggi.

Penekanan kerajaan terhadap pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dilihat mampu mendorong pelaburan sektor swasta yang menggalakkan. 12 bidang utama NKEA itu termasuklah: pertanian; perkhidmatan perniagaan; pendidikan; elektrik dan elektronik; perkhidmatan kewangan; penjagaan kesihatan; Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang; minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; kandungan komunikasi dan infrastruktur; pelancongan; dan, pemborongan dan peruncitan.

Sektor perkhidmatan kewangan dilihat antara bidang teras NKEA kerana peranannya yang penting bagi memperkukuh dan memastikan kesemua aspek industri atau perusahaan dapat kekal bertenaga dan maju serta dapat menyokong keperluan perniagaan dan pengguna dengan cekap dan berkesan.

NKEA adalah sebahagian daripada ETP yang akan menjadi jentera pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan lebih 3.3 juta peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Dijangkakan NKEA akan menjana pelaburan sebanyak RM1.3 trilion (AS$444 bilion) sepanjang tempoh RMK-10 . Daripada jumlah itu, 73 peratus pelaburan NKEA dijangka menerusi pelaburan langsung domestik dan selebihnya daripada pelaburan asing.

Dana sektor awam dijangka hanya menyumbang empat peratus untuk membantu menjayakan bidang NKEA terbabit. Kerajaan menyediakan beberapa mekanisme bagi membantu penglibatan aktif sektor swasta dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Misalnya, kerajaan mewujud dan melaksanakan perkongsian awam-swasta (PPP). PPP adalah pendekatan bagi menjayakan RMK-10.

Beberapa projek PPP telah pun di kenal pasti yang antaranya membabitkan projek pembinaan lebuh raya, projek pembangunan kesihatan, projek pembinaan pusat akademik perubatan, projek pembinaan loji jana kuasa kira padu gas 300 megawatt di Kimanis, Sabah, projek pembinaan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL dan projek pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buluh.

Selain itu, Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) diwujudkan di bawah RMK-10 yang berjumlah RM15 bilion akan dapat mengurangkan beban kerajaan dalam membiayai projek infrastruktur dan pembangunan ekonomi yang menelan kos yang besar. Untuk itu, sebuah dana khas diwujudkan di bawah Pasukan Petugas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah).

Ia bertujuan mempermudah PFI dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-10. Mana-mana projek swasta (projek PFI) yang tidak berdaya maju akan diubah menjadi lebih kompetitif dan berdaya maju dengan bantuan dana tersebut.

Langkah mewujudkan Pemudah adalah bertepatan dengan strategi keempat Bajet 2011, iaitu memantapkan sistem penyampaian awam sejajar dengan prinsip gagasan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Salah satu indeks atau petunjuk utama sesebuah negara maju ialah pembangunan modal insan. Justeru, strategi mempergiat pembangunan modal insan di bawah Bajet 2011 amat penting untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Peruntukan besar sebanyak RM29.3 bilion kepada sektor pendidikan negara membuktikan bahawa kerajaan amat mengutamakan pembangunan modal insan. Peruntukan itu adalah peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding peruntukan pendidikan di bawah Bajet 2010 iaitu RM25.5 bilion.

Keperluan terhadap modal insan yang berkualiti tinggi adalah selari dengan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah. Untuk menjayakan MBE maka kita memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta kreatif dan inovatif. Pelabur hari ini bukan sahaja melihat kepada faktor kos yang dapat dijimatkan tetapi juga melihat keupayaan dan kemahiran pekerja memacu operasi perniagaan mereka.

Justeru, mereka memerlukan pekerja yang berilmu, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif. Kemahiran komunikasi yang tinggi juga merupakan nilai tambah yang perlu ada pada modal insan kita, terutamanya yang melibatkan bidang-bidang profesional. Kita masih kekurangan dalam aspek ini.

Kenegaraan: Program Transformasi Ekonomi (ETP)

1-12-2010 PM bergambar dengan wakil industri dari pelbagai sektor selepas membentangkan Program Transformasi Ekonomi. Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Sembilan Projek Permulaan (EPP) baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mampu menyumbang RM33 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan mewujudkan lebih 71,500 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Semua projek membabitkan pelaburan RM9 bilion itu akan memacu industri minyak dan gas, tenaga, elektronik, pelancongan serta pendidikan. Ini membabitkan tiga projek memajukan industri minyak dan gas serta tenaga, dua projek bagi memacu sektor elektronik, tiga projek meningkatkan nilai sektor pelancongan dan satu projek khusus bagi mengembangkan sistem pendidikan prasekolah.

Pelaburan yang besar ini penting bagi menyokong ekonomi Malaysia memandangkan ia terus berkembang. Kapasiti yang meningkat penting untuk menyediakan tenaga kepada perniagaan dan jumlah penduduk yang semakin berkembang dalam negara.

Insentif cukai baru diberi bagi menggalakkan pembangunan sumber minyak dan gas baru membabitkan pengurangan kadar cukai bagi pembangunan medan minyak baru. Walaupun akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM8.1 bilion dalam bentuk elaun percukaian, tetapi berpotensi membawa hasil petroleum tambahan RM50 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Projek EPP baru itu membabitkan pembangunan Taman Perindustrian Minyak & Gas dan Logistik Tanjong Agas di tapak seluas 1,704 hektar di Pekan, Pahang yang akan dibangunkan Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd membabitkan pelaburan RM3 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2012. Projek ini dijangka menyumbang RM30 bilion kepada GNI sepanjang 10 tahun akan datang dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula akan melabur RM4 bilion tahun depan bagi membangunkan dua loji jana kuasa hidro baru, iaitu projek Hidroelektrik Ulu Jelai di Pahang dan Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu dengan kemampuan menjana 600 MW tenaga elektrik. Projek ini penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi memandangkan kapasiti tenaga tambahan diperlukan bagi membekal tenaga mencukupi kepada perniagaan dan penduduk yang semakin meningkat.

Pembangunan Kelompok Kejuruteraan, Sains dan Inovasi Lanjutan diterajui Taman Teknologi Malaysia (TPM) pula meningkatkan pengkomersialan penyelidikan akademik di Malaysia membabitkan pelaburan RM374 juta sehingga 2020. Pelaksanaan projek itu dijangka menyumbang RM636 juta kepada GNI dan mewujudkan 20,900 peluang kerja baru.

RANCANGAN MALAYSIA KE-10(2011-2015)

Peruntukan Pembangunan RM Ke-9 dan RM ke-10

Perdana Menteri membentangkan RM Ke-10(2011-2015)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentang Rancangan Malaysia kesepuluh (RMK10) di Dewan Rakyat mulai jam 11.40 pagi 10-6-2010.

RMK10 memperuntukkan sejumlah RM290 bilion, yang dibahagikan mengikut nisbah 60/40 untuk pembangunan fizikal dan bukan fizikal.

Tema pembentangan hari ini ialah Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial.

RMK10 (2011-2015) amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Intipati RMK10:

* RMK9 (2006-2010): 4.2 peratus setahun perkembangan ekonomi; Pendapatan negara kasar per kapita RM26,420 (US$8,260) tahun 2010; Inflasi 3.6 peratus tahun 2010; Defisit fiskal kerajaan pusat mengecil kepada 5.3 peratus tahun 2010 berbanding 7 peratus kepada KDNK 2009.

* Kadar kemiskinan turun kepada 3.8 peratus tahun 2009 berbanding 5.7 peratus tahun 2005. Peratusan miskin tegar turun daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus.

* Anggaran pertumbuhan ekonomi 6 peratus tahun 2010.

* RMK10 sasar pendapatan negara kasar per kapita meningkat kepada RM38,850 (US$12,140) pada tahun 2015; memerlukan KDNK 6 peratus setahun.

*Pertumbuhan diterajui sektor perkhidmatan dan pembuatan, menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi dan penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan.

* Cabaran besar memangkin pelaburan swasta berkembang 12.8 peratus atau RM115 bilion setahun.

* Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus KDNK dalam tahun 2010 kepada kurang daripada 3 peratus pada tahun 2015.
* RMK10: 10 PREMIS UTAMA

Pertama:- Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara.

Kedua: Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa.

Ketiga: Mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan.

Keempat: Menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti dan inovasi.

Kelima: Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul.

Keenam: Memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas.

Ketujuh: Pertumbuhan bertumpu, pembangunan inklusif.

Kelapan: Menyokong perkongsian pintar yang efektif.

Kesembilan: Menghargai khazanah alam sekitar.

Kesepuluh: Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.

*RMK10: 5 TERAS STRATEGIK

Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA.

Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

Ketiga: Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif.

Keempat: Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.

Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup.
* Peruntukan RMK10 bagi infrastruktur bukan fizikal meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK9, tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka.

* Sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk meningkatkan kompetensi penjawat awam.

* Tumpuan kepada 12 bidang ekonomi utama negara (NKEA) akan diumumkan Oktober nanti:

(i) Minyak dan gas
(ii) Minyak sawit dan produk berkaitan
(iii) Perkhidmatan kewangan
(iv) Pemborongan dan peruncitan
(v) Pelancongan
(vi) Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
(vii) Perkhidmatan Pendidikan
(viii) Elektrik dan elektronik
(ix) Perkhidmatan perniagaan
(x) Penjagaan kesihatan swasta
(xi) Pertanian
(xii) Greater Kuala Lumpur

* Satu unit khas, iaitu Unit Transformasi Ekonomi, akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA.

* Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan.

* Kerajaan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik negara paling kompetitif di dunia.

*Dana berjumlah RM20 bilion akan disediakan melalui Dana Mudahcara atau “Facilitation Fund“ bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek perkongsian awam-swasta.

*Melalui Dana Mudahcara, kerajaan anggar menarik pelaburan swasta sekurang-kurangnya RM200 bilion; Antara projek yang dipertimbangkan ialah penambakan tanah di Westport, Pelabuhan Klang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor.

*Sebuah unit khas ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada.

*Pembiayaan kerajaan kepada syarikat modal teroka awam akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman.

*Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka kerajaan.

*Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM150 juta akan ditubuhkan bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersilan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk berteknologi tinggi.

*Undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.

*Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri, liputan jalur lebar ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar dan prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan bagi penduduk di luar bandar.

*Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu akan disiapkan dalam tempoh RMK10 kos RM3.7 bilion dan akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf.

*Projek membina landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Baharu, dengan kos anggaran RM8 bilion akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang Besar di utara ke Johor Baharu di selatan.

*Loji rawatan kumbahan yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, akan diperluaskan ke seluruh negara.

*Bekalan tenaga akan terus diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat.

*Beberapa bandar raya akan dijadikan destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan berpengetahuan.

*Kerajaan akan tambah RM3 bilion lagi menjadikan jumlah Skim Jaminan Modal Kerja kepada RM10 bilion bagi enterpris kecil dan sederhana (SME) mendapat akses kemudahan pembiayaan.

*Kerajaan sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan SME dan Agro Bank.

*Sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro kekal.

*Lima inisiatif strategik memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera:

Pertama: Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian.
Kedua: Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera.
Ketiga: Menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera.
Keempat: Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas.
Kelima: Menubuhkan satu majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

* Fokus kepada meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah di mana Bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini.

* Subsidi dirasionalkan secara berperingkat, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan.

* Pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia.

* Peruntukan RM109 juta untuk sambungan bekalan air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1,000 ekar (400 hektar) atau kurang dan terletak tidak melebihi lima kilometer dari paip utama.

* Kemudahan pinjaman AIM dan TEKUN akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar dan akan dipakej bersama dengan latihan keusahawanan.

* Dana RM100 juta untuk pinjaman mudah bagi 280,000 isirumah kampung baru Cina membayar premium tanah bagi perlanjutan tempoh pajakan melalui Bank Simpanan Nasional.

Karangan/Kenegaraan: Pengurangan Subsidi oleh Kerajaan Malaysia: Kewajarannya dan Kesan tindakan ini.

Pengurangan Subsidi oleh Kerajaan Malaysia: Kewajarannya dan Kesan tindakan ini.
30 MEI 2010
Perbahasan isu subsidi di mana-mana pun panas dan emosional. Tidak kira di negara kaya seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah atau negara miskin seperti Mesir. Di Mesir berlaku rusuhan apabila subsidi roti dikurangkan menyebabkan harga roti melambung tinggi. Di Eropah petani merusuh dengan membinasakan hasil keluaran seperti tomato, susu lembu dan sebagainya.
Kerajaan Malaysia telah mengadakan mekanisme khas dipanggil Makmal Rasionalisasi Subsidi untuk tujuan perbahasan dan mengadakan hari terbuka makmal pada 27 Mei 2010 di Ibu Negara untuk menjelaskan tindakan kerajaan ini.
Rasional Penghapusan Subsidi:
1. Malaysia akan bankrup jika subsidi terlalu besar jumlahnya.
Menteri di Jabatabn Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), mengumukan bahawa kerajaan tidak mampu lagi menampung kadar subsidi seperti yang ada sekarang. Malah negara akan muflis/bankrup dalam masa lima tahun kalau kadar perbelanjaan negara tidak dikurangkan. Beliau juga membandingkan negara kita dengan Greece yang kini mengalami krisis kewangan yang teruk dan hampir muflis.
Salah satu cara menjimatkan perbelanjaan adalah dengan mengurangkan atau menghapuskan langsung subsidi. Subsidi, tak kira subsidi tol, bahan api, elektrik, gula, tepung atau minyak masak dikurangkan atau dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun ini. Matlamatnya adalah untuk kurangkan perbelanjaan sehingga RM103 bilion dalam tempoh lima tahun.
Sebenarnya Malaysia adalah negara yang paling tinggi subsidi di dunia, subsidi berjumlah RM74 bilion tahun lalu memanglah besar. Daripada jumlah itu, subsidi sosial sebanyak RM42.4 bilion, bahan api dan elektrik (RM23.5 bilion), prasarana (RM4.8 bilion) dan makanan (RM3.4 bilion). Purata subsidi itu bersamaan RM12,900 bagi setiap isi rumah.

2. Golongan kaya juga menikmati subsidi dan menyebabkan pembaziran.
Subsidi menyebabkan kemudaratan apabila harga yang murah menyebabkan penggunaan berlebihan, misalnya gula dan minyak masak yang memudaratkan kesihatan. Di Malaysia pengilang dan pelabur mendapat subsidi berbilion-bilion ringgit. Antaranya subsidi diesel (untuk pengangkutan) dan subsidi gas asli cecair (untuk penjanaan elektrik oleh IPP dan kilang pembuatan). Golongan kaya yang pakai kereta mewah seperti Mercedes Benz dan BMW dapat subsidi minyak petrol yang berkali-kali ganda lebih banyak daripada orang biasa yang guna Kancil atau Proton. Mereka akan membazir petrol kerana mereka kaya dan harga petrol rendah. Misalnya mereka membiarkan enjin kereta berjalan sungguhpun sedang menunggu atau memakai kereta untuk membeli sebungkus rokok di kedai.
Kilang yang dapat subsidi sepatutnya menjual barang dengan harga yang lebih murah kepada pengguna. Mungkin ini tidak benar. Harga lebih tinggi dikenakan terhadap pengguna jika penguatkuasaan lemah menyebakan pengawasan harga dan bekalan sangat lemah. Bukan semua subsidi dalam bentuk cross (lintang) di mana pengguna membayar harga yang tinggi sedikit untuk membantu pengeluar, macam subsidi harga padi.

Kebaikan Subsidi
1. Subsidi memajukan ekonomi negara.
Orang yang beli beras bayar harga yang tinggi sedikit dan harga tambahan itu dipindahkan kepada penanam padi sebagai subsidi. Ambil contoh subsidi baja. Petani dapat baja dan pengilang dapat hasil membekalkan baja. Kalau tidak kerana skim subsidi baja, industri baja kita tidaklah sebesar sekarang. Subsidi menjana ekonomi. Seorang pengguna yang terima RM1 ringgit subsidi akan belanja duit itu. Pekedai dapat hasil. Pekedai pasti buat keuntungan kerana barang yang dijual dengar harga RM1 itu diperolehnya dengar harga lebih rendah daripada pembekal. Pembekal beli lebih rendah dari pengilang. Setiap kali duit RM1 itu bertukar tangan, ia menambah kepada nilai ekonomi.
Tegasnya subsidi adalah sebahagian daripada ekonomi. Ia menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi.

Kesan Negatif Penarikan Balik Subsidi:
Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tentu sedar kesan rasionalisasi subsidi ini. Ia mungkin membantu mengurangkan beban hutang negara yang mencecah RM362 bilion (54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi kesannya kepada ekonomi dan rakyat jelata juga besar.

1. Golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah kemiskinan.
Jika subsidi baja dan subsidi harga padi ditarik balik, ratusan ribu petani kita akan hidup dalam kemiskinan tegar dan hasil padi/beras negara merudum. Subsidi adalah sebahagian daripada ekonomi. Ia menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi. Sebaliknya jika subsidi ditarik balik, kos makanan akan meningkat kerana harga gula dan petrol meningkat. Golongan berpendapatan rendah akan menghadapi masalah kewangan.
Potongan subsidi akan jejaskan rakyat
Pengurangan subsidi pasti akan menjejaskan taraf hidup rakyat. Kuasa membeli mereka akan jatuh dan akan diburukkan lagi oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan.Pengilang, penyedia perkhidmatan, pengedar dan pekedai akan menaikkan harga bagi menampung pengurangan atau penghapusan subsidi. Setiap peringkat rangkaian pembekalan (supply chain) akan menaikkan harga. Lebih teruk daripada itu mereka akan mengambil kesempatan membuat keuntungan berlebihan (profiteering). Api infalsi akan menyemarak. Jika di luar kawalan, ekonomi Negara juga akan lumpuh.

Subsidi juga merupakan duit rakyat yang perlu dinikmati rakyat
Sebahagian besar subsidi adalah daripada sumber kewangan yang diamanahkan kepada kerajaan, sama ada hasil cukai atau keuntungan pelaburan. Duit yang digunakan untuk subsidi itu bukan duit kerajaan, tetapi duit pembayar cukai individu dan korporat. Kerajaan sekadar menguruskannya.
Apakah hutang negara yang besar ini kerana subsidi sahaja atau kerana pemborosan, ketirisan dan rasuah? Jika para pemimpin besar terus hidup dengan mewah, boros dan menunjuk-nunjuk, pengiring polis berkereta dan bermotosikal, pengawal peribadi, permaidani merah, kerusi tinggi, perbarisan pegawai dan makanan berlambak, ekonomi Negara juga akan lumpuh.
Kesimpulan:
Langkah mengurangkan subsidi pasti mendapat sokongan dan pujian hebat para “free marketeer”, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Tetapi sokongan mutakhir yang menentukan jatuh atau bangun pemerintah adalah rakyat jelata, khasnya golongan majoriti yang masih miskin, terpinggir dan memerlukan bantuan.

Dasar Kerajaan:Model Ekonomi Baru (MEB)

Model Ekonomi Baru (MEB) Lapan inisiatif diperkenal: PM

31-3-2010, MEB yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semalam, menggariskan lapan inisiatif pembaharuan strategik bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia ke arah melonjakkan kualiti hidup rakyat semua kaum.
Lapan inisiatif itu ialah:
• Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;
• Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;
• Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;
• Memperkukuhkan sektor awam;
• Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;
• Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;
• Meningkatkan sumber pertumbuhan, dan
• Memastikan pertumbuhan yang mapan.
Mengumumkan laporan MEB pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di sini, Perdana Menteri menjelaskan lapan inisiatif itu saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor untuk menjadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi, mampan dan terangkum.

Najib berkata, berdasarkan laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya berpendidikan setakat kelayakan SPM yang tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang dihasratkan kerajaan.

“Saya bukan saja mahu rakyat mendapat pendapatan lebih baik, mereka juga perlu turut menikmati kehidupan lebih baik.

“Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada pendapatan tahunan per kapita sebanyak AS$7,000 (RM22,931) kepada AS$15,000 (RM49,137) dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, memberi jaminan MEB menjanjikan manfaat kepada semua kaum tanpa mengetepikan kepentingan Bumiputera menerusi matlamat dan pendekatan pertumbuhan yang menyeluruh.

Beliau bagaimanapun berkata, di bawah MEB kerajaan tidak boleh lagi bertolak ansur dengan amalan yang menyokong aktiviti ‘rent-seeking’ dan ‘patronage’ yang sudah sekian lama menjejaskan matlamat murni Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Penyertaan menyeluruh diperlukan yang mana semua rakyat Malaysia dapat menyumbang dan mengambil manfaat daripada pertumbuhan ekonomi – perlu menjadi teras utama bagi sebarang pendekatan ekonomi baru.

“Objektif asalnya masih lagi relevan, namun sudah tiba masanya kita menilai kembali pelaksanaan DEB. Kita akan menyasarkan pencapaian matlamat sama, tetapi dengan mengubah cara kita melaksanakannya.

“Oleh itu, dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksanakan berdasarkan empat prinsip, ia perlu mesra pasaran, berdasarkan merit, telus dan berasaskan keperluan,” katanya.

Sebagai contoh, kata Perdana Menteri, antara pertimbangan penting adalah mewujudkan proses tender yang kompetitif dan telus dengan peraturan yang tetap dan jelas bagi seluruh komuniti Bumiputera terdiri daripada Melayu dan pribumi lain.

“Ini adalah pemantapan dasar kita bagi menghadapi keadaan ekonomi baru, di mana keterangkuman menjadi komponen penting di dalam MEB. Secara praktiknya, pendekatan ini bermakna sokongan kepada Bumiputera dipertingkatkan, yang mana ia berdasarkan kepada keperluan dan bukannya bangsa.

“Golongan Bumiputera masih menjadi majoriti dalam kumpulan yang mudah terjejas, walaupun dalam pelbagai pendekatan, sementara pendekatan baru kita akan membantu mereka yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah.

“Pendekatan ini sebahagian besarnya masih lagi akan memanfaatkan komuniti Bumiputera dan pada masa yang sama, memberi manfaat kepada komuniti lain yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

Untuk menilai pencapaiannya pula, Perdana Menteri berkata, pengagihan adil hendaklah merangkumi keseluruhan spektrum pengukuran kekayaan seperti pemilikan ekuiti, aset kewangan dan bukan kewangan lain serta akses kepada peluang menjana kekayaan seperti konsesi jangka panjang dan kontrak.

Malah, dari segi pengukuran pemilikan, ia perlu melangkaui aspek ekuiti termasuk harta benda lain, aset perniagaan seperti peruncitan, harta tanah, bangunan komersial, harta intelek dan perkhidmatan lain serta perjawatan dalam pengurusan.

Najib berkata, beliau sudah mengarahkan MPEN untuk menyediakan rangka kerja yang terperinci untuk melaksanakan model pemantapan baru berdasarkan mekanisme yang telus dan berasaskan pasaran untuk mencapai pengagihan yang saksama, manfaat daripada ekonomi berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata, MPEN juga mencadangkan supaya fokus diberikan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia dari segi individu dan wilayah.

“Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara,” katanya.

Bagaimanapun, laporan MEB yang diserahkan Pengerusi MPEN, Tan Sri Amirsham A Aziz kepada Perdana Menteri itu, bukanlah laporan muktamad.

Ia dibentangkan untuk mendapatkan maklum balas rakyat dan pemegang kepentingan sebelum disepadukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Minda Pengarang: Maklum balas rakyat mantapkan pelaksanaan MEB

2010/04/01
MODEL Ekonomi Baru (MEB) sudah dilancarkan kelmarin dan pelbagai reaksi serta komen kedengaran daripada orang ramai sehingga blog dan Facebook peribadi Datuk Seri Najib Razak dipenuhi dengan komentar pelbagai lapisan masyarakat, terutama rakan Facebook beliau. Ini sejajar dengan kemahuan Perdana Menteri sendiri yang mahu segala perancangan, termasuk MEB itu dilaksanakan secara telus serta menggalakkan interaksi dalam usaha memantapkan lagi program dilaksanakan kerajaan supaya memenuhi aspirasi dan kehendak semua. Najib sebelum ini pernah menyatakan bahawa kebiasaan ‘kerajaan mengetahui segala-galanya’ sudah berakhir dan kerajaan ini lebih prihatin sejajar pendekatan konsep 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’. Kita berharap orang ramai akan terus memberi maklum balas sama ada bersetuju atau tidak serta mengemukakan syor bernas bagi memperhalusi lagi MEB sebelum fasa keduanya dibentangkan nanti. Ia penting kerana ia menjadi teras agenda polisi jangka panjang yang akan disepadukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dengan visi jangka masa lebih panjang untuk dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11. Misi dan visi ini akan mengubah ekonomi negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan mempunyai pertumbuhan berkualiti pada masa akan datang. Oleh itu, MEB menjadi tunjang penting kepada negara.

Usaha Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) yang tampil dengan laporan konkrit mengenai apa perlu dilakukan bagi mencapai status sebuah negara berpendapatan tinggi juga dialu-alukan, seperti dinikmati Korea sekarang, yang pernah berada di belakang Malaysia. Bagaimanapun, laporan itu yang merangkumi pelan bagi MEB masih boleh diubahsuai selepas proses menerima maklum balas orang ramai selesai nanti. Seperti dinyatakan Najib, maklum balas seperti itu, bukan lagi cara lama debat politik kerana MEB mempunyai implikasi meluas untuk semua rakyat dan kerajaan tidak mampu mengabaikan pandangan mereka mengenai perkara ini. Berdasarkan hakikat ini, sama ada dalam bajet mahupun Program Transformasi Kerajaan (GTP), iaitu satu program penyampaian dalam enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), kerajaan menitikberatkan ketelusan yang tinggi hingga ribuan rakyat terbabit dalam proses itu apabila kandungan pelan berkenaan turut dipamerkan kepada awam bagi mendapat reaksi serta maklum balas.

Kenegaraan: Dasar Kerajaan “Program Transformasi Kerajaan (GTP)”

KUALA LUMPUR: 28-1-2010
Datuk Seri Najib Razak, semalam melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan tekad untuk terus melakukan perubahan melalui pelaksanaan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sehingga rakyat mengalami sendiri penambahbaikan dalam kehidupan mereka.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberikan keutamaan kepada rakyat, tanpa lari daripada prinsip kebertanggungjawaban dan sedia dinilai oleh mereka ke arah memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Kerajaan tidak akan berhenti sehingga rakyat boleh melihat, menyentuh dan mengalami penambahbaikan kehidupan mereka. Insya- Allah, dengan komitmen semua pihak dan dengan izin Allah, kita akan berjaya.

“Selaras dasar 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kerajaan sedar risiko yang bakal dihadapi jika gagal memenuhi janji kepada rakyat. Bagaimanapun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia reda dinilai oleh rakyat. Inilah komitmen ikhlas kita kepada rakyat,” katanya

Majlis itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, menteri Kabinet serta pegawai kerajaan.

Pelan Hala Tuju GTP itu didokumenkan dalam bentuk buku 261 halaman, 37 halaman dan 20 halaman, selain dalam bentuk cakera padat untuk tatapan dan penilaian rakyat.

Najib berkata, ketelusan kerajaan terbukti dengan kesediaan mendedahkan Laporan Tahunan Pelan Hala Tuju GTP yang boleh dilihat sendiri rakyat bagi menilai prestasi pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan GTP dan NKRA adalah metadologi baru diperkenalkan kerajaan seiring pertukaran persekitaran.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna kerajaan hari ini adalah kerajaan baru, sebaliknya program itu dirangka bagi memastikan kerajaan mampu mencapai matlamat nasional, sama ada yang baru atau yang diperkenalkan sebelum ini, termasuk Wawasan 2020 dan misi membasmi kemiskinan.

Beliau berkata pada tahun awal kemerdekaan, rakyat menyaksikan langkah berani, kreatif dan inovatif kerajaan sehingga berjaya mencapai kemajuan sosio ekonomi yang membanggakan.

“Namun, bagi memastikan kejayaan berterusan, kita harus perlu berada di depan kelok perubahan dan pembangunan. Jika berjaya dengan pelan ini, bermakna Malaysia sudah melakukan perubahan besar dan sekali lagi kita berada di hadapan kelok perubahan,” katanya.

Najib berkata, bagi memastikan semua pendekatan dalam transformasi kerajaan itu dapat direalisasikan sepenuhnya, kerjasama semua pihak, khususnya penjawat awam adalah prasyarat utama.

“Saya beri jaminan, daripada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Sidek Hassan) sehingga bawah, semuanya komited kepada program transformasi ini,” katanya.

“Buktinya apabila saya atau menteri turun ke makmal (NKRA), pegawai kerajaan yang bertugas menunjukkan semangat luar biasa. Ada yang beri penerangan panjang lebar, tak henti-henti dan ada yang kata mereka bermesyuarat hingga jam 5 pagi. Ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

GST untuk kebaikan semuaBAYARAN makanan termasuk cukai perkhidmatan yang dikenakan di restoran mungkin dapat dikurangkan melalui pengenalan GST.

——————————————————————————–

JIKA mengikut perancangan awal kerajaan, cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sepatutnya sudah dilaksanakan dua tahun lalu iaitu pada 2007. Bagaimanapun, pelaksanaannya yang diperkenalkan pada 2005 ditangguhkan kerana dilihat agak tergesa-gesa selain negara memerlukan sebuah penstrukturan semula cukai yang lebih sistematik.

Selepas empat tahun, kajian mekanisme GST menerusi Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan ketika ini sudah berada pada fasa terakhir dan akan dibentangkan pada akhir sidang Dewan Rakyat. Pelaksanaannya pula dijangka pada 2011.

Tidak dinafikan, pelaksanaan GST memberi kelebihan terutamanya kepada kerajaan dalam meningkatkan aliran pendapatan yang kemudiannya boleh digunakan bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat seluruh rakyat.

Asas percukaian yang lebih meluas serta yang dikenakan pada satu kadar akan memudahkan kerajaan mengurus dan mentadbir sistem tersebut. Ia juga mudah difahami oleh rakyat berbanding cukai yang dikenakan pada kadar berbeza bagi perkhidmatan dan barangan yang berlainan.

Ia juga dapat mengurangkan beban pembayar cukai kerana jumlah yang membayar cukai pendapatan hanya beberapa peratus berbanding keseluruhan rakyat Malaysia.

Itu antara kelebihan yang dinikmati oleh rakyat di negara yang sudah lama melaksanakan GST seperti di New Zealand, Australia dan Singapura.

Di rantau Asia Tenggara ini pula, hampir seluruh negara sudah melaksanakan sistem cukai itu melainkan tiga buah negara sahaja iaitu Malaysia, Brunei dan Myanmar.

Namun kita perlu realistik dalam membuat perbandingan kerana tidak semua pelaksanaan GST memberi kelebihan kepada negara-negara tertentu.

Di Kanada misalnya, kerajaan Parti Progresif Konservatif pimpinan Perdana Menteri Brian Mulroney tumbang pada 1993 apabila memperkenalkan GST pada 1989. Hong Kong juga ketika ini dikatakan sedang mengkaji semula pelaksanaan GST.

Ini secara tidak langsung menunjukkan pelaksanaan GST bukan mudah untuk diterima lebih-lebih lagi di kalangan rakyat.

Terdapat beberapa perkara daripada pelaksanaannya yang jika tidak diperhalusi boleh membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin. Apatah lagi dalam suasana ekonomi yang agak perlahan ketika ini serta kos kehidupan yang agak tinggi, pelaksanaan GST mungkin dilihat tidak kena pada masanya.

Dalam sistem percukaian yang digunakan ketika ini misalnya, golongan berpendapatan rendah tidak dikenakan cukai. Tetapi selepas pelaksanaan GST, mereka bakal dikenakan cukai secara tidak langsung yang dipindahkan kepada perkhidmatan dan barangan.

Bagi rakyat berpendapatan rendah, hakikat itu mungkin satu bebanan berbanding dengan golongan kaya yang mendapat kelebihan kerana tidak lagi perlu membayar cukai yang tinggi serta beberapa cukai yang dikecualikan.

Rakyat juga bimbang pelaksanaan GST akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang melambung tinggi. Ini sememangnya berlaku di negara-negara yang mula melaksanakan dasar tersebut.

Gambaran-gambaran sebeginilah yang berlegar-legar di kalangan rakyat kebanyakan menyebabkan ramai yang masih belum faham mengenai GST. Lebih malang, ia dimanipulasi pula oleh sesetengah pihak untuk menghentam kerajaan meskipun mereka mengetahui pelaksanaannya mampu memberi kelebihan kepada semua pihak.

Hakikatnya, GST mengecualikan beberapa perkhidmatan dan barangan asas yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk disediakan kepada rakyat kebanyakan, lebih-lebih lagi kepada golongan miskin.

Antaranya yang dijangkakan bebas GST ialah makanan, pendidikan, kesihatan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kebajikan dan keagamaan. Perlu juga untuk difahami bahawa cukai GST adalah cukai yang dikenakan ke atas pengguna dengan asas yang lebih meluas. Bukannya cukai perniagaan yang membolehkan kumpulan peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati.

Dalam situasi ini, peranan peniaga hanyalah sebagai ejen cukai kepada kerajaan. Kenaikan harga barang dalam satu-satu masa pula lebih kepada barangan mewah.

Bagi pemerhati ekonomi, Nassrul Hakim Md Jani, beliau berpandangan GST memberi kelebihan dari dua sudut iaitu memudahkan kerajaan mengutip cukai dengan jaminan ia berjalan lebih cekap.

Dalam masa yang sama jelas pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan di Kolej Profesional Mara, Melaka ini, pelaksanaannya juga dapat mengurangkan bebanan pembayar cukai pendapatan yang sebenarnya minoriti.

Bagaimanapun katanya, GST wajar bermula pada kadar yang rendah sebelum dinaikkan beransur-ansur supaya tidak membebankan rakyat.

Beliau mengambil contoh Singapura yang mula memperkenalkan GST pada 1994 pada kadar sebanyak tiga peratus dan menaikkan kepada lima peratus selepas itu.

Kadar itu tidak jauh berbeza dengan kadar yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu berkisar antara tiga hingga empat peratus yang relevan dengan situasi semasa.

Kadar yang rendah itu juga adalah komitmen kerajaan dalam mengimbangkan dengan kebajikan rakyat.

“Rakyat sebenarnya mengharapkan agar kerajaan menjadikan matlamat mendapatkan pendapatan kerajaan yang lebih baik sebagai keutamaan dalam pelaksanaan GST ini. Bukan semata-mata untuk meringankan beban golongan minoriti pembayar cukai walaupun kedua-dua faedah ini berlaku serentak,” katanya.

Dalam hal ini, kerajaan perlu menggiatkan lagi aktiviti kebajikan untuk rakyat bagi mengimbangi beban cukai yang bakal mereka tanggung.

Contohnya menaikan jumlah biasiswa kecil persekutuan untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan atau menambah peruntukan. Ini bagi membolehkan lebih ramai dapat menikmatinya memandangkan cukai ini ditanggung oleh semua individu yang berbelanja termasuk pelajar-pelajar sekolah.

Selain itu tambah Nassrul Hakim, perlu juga ada keseimbangan antara faedah kepada golongan berpendapatan tinggi dengan golongan berpendapatan rendah. Ini kerana tambah ‘definisi’ pengurangan pendapatan kepada golongan kaya dan miskin amat berbeza.

Bagi golongan berpendapatan tinggi katanya, pengurangan pendapatan bermaksud mereka kini hanya boleh melancong dalam negeri berbanding luar negara seperti sebelum ini.

“Tetapi ‘definisi’ pengurangan pendapatan kepada golongan miskin bermakna jika dahulu mereka makan dua kali sehari, sekarang mereka terpaksa makan sekali sehari,” ujar beliau.

10 Dis 2009 KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta semua rakyat supaya tidak mempolitikkan langkah kerajaan melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

Perdana Menteri menegaskan pelaksanaan GST bertujuan membantu mengukuhkan kedudukan negara dan mengatasi kejatuhan perolehan cukai yang dipengaruhi kekurangan rizab minyak.

“Matlamat kita bukan mengenakan cukai terhadap barangan keperluan asas dan perkhidmatan tetapi untuk memperluaskan asas perolehan bagi membolehkan kita tidak terlalu bergantung kepada satu sektor saja (minyak) untuk menjana pertumbuhan masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persekutuan Pembuatan Malaysia (FMM) di sini, malam tadi.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa berusaha mencari langkah baru bagi meningkatkan daya saing dan amalan pengurusan kewangan yang sihat.

“Kebenarannya ialah hampir semua pendapatan dan pertumbuhan negara banyak bergantung kepada perolehan hasil minyak yang akhirnya punca pendapatan ini akan hilang perlahan-lahan apabila sumber petroleum habis,” katanya.

Sementara itu kata Perdana Menteri, beliau percaya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan pulih pada 2010 dan menjadi testimoni kepada kekuatan negara.

“Pertumbuhan tahun depan ternyata sekali adalah cita-cita, terutama ketika bajet defisit. Saya percaya kita mampu meningkatkan satu atau dua peratus tambahan daripada sektor swasta.

“Walaupun ia tidak mudah, saya berpendapat kita mampu mencapai sasaran itu,” katanya

Najib juga berkata, beliau gembira langkah dilaksanakan bagi melindungi Malaysia daripada kejatuhan ekonomi dan pada masa sama mampu pulih dengan pantas.

“Suka saya mengatakan kejayaan mencapai matlamat itu (melindungi dan memulihkan ekonomi) adalah melalui suntikan pakej rangsangan ekonomi serta dasar liberalisasi perdagangan diperkenalkan kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan dan pembangunan sektor pembuatan begitu kritikal kepada kejayaan dan pembangunan masa depan Malaysia.

Katanya, semua pihak dalam sektor pembuatan perlu bekerjasama dan meneruskan langkah melabur serta menyokong dasar kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi.

1MALAYSIA

kaum11SATU MALAYSIA

 

Setelah 52 Merdeka, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya, adat resam dan fahaman politik memerlukan satu misi bagi memajukan negara secara bersama. Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri adalah langkah yang amat bertepatan dengan suasana dan citarasa rakyat. Semua rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka adalah bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat. Ciri-ciri demografi seperti negeri, daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi menwujudkan satu bangsa Malaysia yang berfikiran terbuka serta ingin memajukan negara secara bersama. Perpaduan kaum yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan menganggap kita adalah rakyat Malaysia dan bangsa Malaysia. Keadaan ini akan dapat menwujudkan suasana negara yang aman, harmoni, selesa, keselamatan yang terjamin dan memberi kemakmuran kepada negara.

 

Rakyat perlu memahami bahawa negara yang mempunyai kestabilan politik dan keselamatan yang terjamin akan memberi perkembangan ekonomi yang pesat. Oleh itu rakyat akan dapat menikmati limpahan daripada kerancakan ekonomi negara. Kini rakyat Malaysia perlu keluar daripada kepongpong yang telah lama membelenggu fikiran dan tindakan yang berunsul perkauman. Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib mengajak rakyat berkerja secara bersama untuk membina, memaju serta memantapkan negara tanpa mengira kaum. Negara perlu diutamakan mengatasi segala kepentingan peribadi dan kumpulan masing-masing. Kerajaan akan bersikap adil dan saksama kepada rakyat di negara ini tanpa memingirkan mana-mana kaum berdasarkan kepentingan dan mereka yang layak akan diberi bantuan. Kepentingan bumiputera juga akan dijaga sebagaimana yang terjamin dalam perlembagaan berasaskan kepentingan dan kelayakan.

 

Nilai-nilai murni seperti hormat menghormati dan saling mempercayai perlu wujud di kalangan rakyat negara ini. Setiap kaum perlu menghindari perasan curiga dan syak wasangka kerana setiap kaum akan mendapat hak dan peluang yang sama. Setiap kaum bebas mengamal dan menganuti agama, budaya dan adat resam masing-masing di samping kaum yang lain perlu menghormati. Fikiran dan tindakan perlu mengatakan bahawa kita adalah rakyat Malaysia, bangsa Malaysia dan bertekad untuk bersama membangun dan memajukan negara di samping sedia mempertahankan negara daripada sebarang ancaman.

Kenegaraan: Permohonan Kewarganegaraan

17-9-2009

KDN Selesai Proses 70 Peratus Permohonan Kewarganegaraan

 mainpix

HISHAMMUDDIN bersama dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop (kanan) dan Jelaing Mersat, bergambar bersama penerima surat kelulusan Penganugerahan taraf warganegara Malaysia sempena menyambut Hari Perayaan Malaysia di Jabatan Pendaftaran Malaysia, 16 Sept 2009

PUTRAJAYA, 16 Sept 2009 (Bernama) — Kerajaan telah pun selesai memproses kira-kira 70 peratus permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan pendaftaran lewat sijil kelahiran sehingga hari ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kementeriannya yakin dapat mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memproses baki 30 peratus lagi menjelang akhir tahun ini.

Katanya 32,927 permohonan kewarganegaraan masih belum diproses manakala 16,812 permit masuk dan 90,360 pendaftaran lewat sijil kelahiran juga perlu diproses.

“Tarikh tamat bagi permohonan yang tertunggak adalah pada 1 Jan 2008. Pada masa yang sama terdapat juga permohonan baru yang sedang diproses. Namun begitu kita harus pastikan bahawa sekurang-kurangnya pemohon akan menerima jawapan daripada pihak kita.

“Sama ada mereka berjaya atau tidak bergantung kepada kedudukan masing-masing dan sekiranya mereka tidak berjaya, mereka masih boleh memohon lagi sekali,” katanya.

Hishammuddin turut mengingatkan kalangan yang baru memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia supaya tidak mengambil mudah taraf kewarganegaraan itu dan berusaha menerapkan ke dalam sanubari mereka prinsip Rukun Negara.

“Terdapat orang yang mahu memohon untuk menjadi warganegara Malaysia. Oleh itu, Malaysia tentunya mempunyai sesuatu yang bernilai, ada perkara tertentu yang istimewa tentang Malaysia.

“Tentu ada sesuatu yang begitu berharga untuk diperjuangkan dan dikekalkan sekiranya mereka sanggup menunggu 20 hingga 30 tahun untuk menjadi warganegara,” katanya.

Pemohon ucap terima kasih

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Malaysia semalam memberi erti besar kepada 92 pemohon status kewarganegaraan Malaysia, apabila menerima surat kelulusan permohonan mereka daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Penantian mereka, ada yang sehingga 30 tahun untuk menjadi warga negara Malaysia dijawab semalam dalam satu majlis khas yang diadakan di Ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini.

Safniwati Birin, 47, yang berasal dari Minang di Padang, Indonesia berkata, beliau memohon menjadi warga negara ini sejak 20 tahun lalu.

 

“Saya datang ke Malaysia pada 1978 mengikut datuk dan berkahwin dengan lelaki tempatan pada 1987 dan mula memohon kerakyatan dua tahun kemudian ketika memegang taraf penduduk tetap (PR),” katanya yang mempunyai tiga anak.

Hishammuddin turut menyampaikan surat ucapan tahniah kepada warga negara baru itu pada majlis Ucapan Tahniah dan Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang pertama kali diadakan membabitkan menteri.

Beliau juga mendengar bacaan ikrar taat setia kepada Malaysia daripada warga negara baru pelbagai kaum itu.