Category Archives: Dasar Luar Malaysia

Kenegaraan: Hubungan Malaysia-Amerika Syarikat

13-04-2010
Hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat maju setapak lagi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama pertama kali mengadakan pertemuan dua hala di sini pada Isnin.

Permulaan perbincangan berkisar kepada perkara-perkara ringan sebelum kedua-dua pemimpin itu menyentuh beberapa isu besar melibatkan perdagangan dan ketakcambahan nuklear, kata pemangku Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim kepada Bernama.

“Pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan meyakinkan. Saya rasa perbincangan ini membawa hubungan dua hala ke satu tahap kesungguhan yang lebih tinggi,” kata Rais yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Malahan semasa delegasi Malaysia hendak beredar, Obama mengajak Najib berbual dengan beliau untuk beberapa minit lagi.

Semasa perbincangan selama 40 minit antara kedua-dua pemimpin itu, mereka menyentuh mengenai kerjasama ekonomi, dan Obama tahu tentang Model Ekonomi Baru yang Najib umumkan dua minggu lepas bertujuan antara lainnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Presiden Obama memuji Perdana Menteri kerana memperkenalkan satu model ekonomi yang mantap, dan Setiausaha Negara Hillary Clinton bercakap mengenai peluang yang boleh dinikmati syarikat-syarikat Amerika di Malaysia di masa depan.

“Jadi, dalam bidang ekonomi, ia amat memberangsangkan,” kata Rais.

Najib turut memberi jaminan bahawa Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam Perkongsian Trans-Pasifik yang diperkenalkan oleh pentadbiran Obama untuk menggerakkan integrasi ekonomi di rantau Asia-Pasisik yang menguasai 40 peratus daripada perdagangan dunia.

Mengenai isu antarabangsa pula, Obama meminta sokongan Malaysia dalam membantu membina semula Afghanistan dan berhubung kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap peningkatan kuasa nuklear Iran.

Najib memberi jaminan mengenai kesediaan Malaysia membantu program perubatan dan pembangunan di Afghanistan, dan Obama mencadangkan agar perkara itu dibincangkan lagi dalam pertemuan Perdana Menteri dengan Wakil Khas Amerika Syarikat Richard Holbrooke pada Khamis.

Mengenai Iran, Rais berkata kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Iran perlu berpegang kepada janjinya untuk menggunakan tenaga nuklear hanya untuk tujuan keamanan.

“Mereka bersependapat bahawa setiap negara mempunyai hak kepada tenaga nuklear untuk tujuan yang baik dan dalam soal ini setiap negara harus dilihat berniat murni dan telus,” katanya.

Obama juga menyambut baik langkah Malaysia memperkenalkan undang-undang bagi membanteras urusan penjualan senjata secara haram bagi mengelak percambahan senjata.

Najib mengulangi pendirian tegas Malaysia untuk terus menentang percambahan senjata.

Perdana Menteri juga menjelaskan kepada pemimpin Amerika itu mengenai Asean, keadaan di selatan Filipina dan Thailand, dan kejayaan Malaysia menyekat hubungan pertubuhan militan, Jemaah Islamiah, dengan al-Qaeda.

Beliau turut mengundang Obama untuk melawat Malaysia.

“Ini turut membuat kedua-dua pihak ketawa apabila Perdana Menteri menyatakan bahawa kali terakhir seorang Presiden Amerika Syarikat melawat Malaysia ialah oleh Lyndon Johnson pada tahun 60an,” kata Rais.

Malaysia, APEC, ASEAN dengan Obama(Presiden Amerika Syarikat)

APEC meeting Nov 2009 di SingapuraObama mahu hubungan lebih rapat dengan ASEAN
16-11-2009

NAJIB Tun Razak (kiri) berganding tangan dengan para pemimpin ASEAN dan AS semasa sesi bergambar pada Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN-AS di Singapura, semalam. Dari kanan, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva; Presiden AS, Barack Obama; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo ; dan Perdana Menteri Myanmar, Jeneral Thein Sein. – AFP

——————————————————————————–

SINGAPURA 15 Nov 2009. – Presiden Barack Obama berhasrat meningkatkan hubungan dengan ASEAN secara lebih rapat dan mendalam, kata Perdana Menteri selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat di sini hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pertemuan di antara Presiden Amerika Syarikat itu dengan pemimpin ASEAN sebagai amat bersejarah dan bermakna.

“Obama menyatakan hubungan ini akan terus ditingkatkan melibatkan pelbagai kerjasama dalam bidang integrasi ekonomi, perdagangan, teknologi dan pendidikan,” jelas beliau.

Ada cadangan khusus kerjasama seperti mengadakan program Peace Corps dengan menyediakan guru bagi pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat itu diadakan selepas mesyuarat pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang turut disertai oleh Obama dan enam daripada 10 anggota ASEAN iaitu Singapura, Malaysia, Thailand, Brunei, Filipina dan Indonesia.

Menurut Najib, isi perbincangan dan nada Obama berhubung ASEAN adalah positif dan sehubungan itu Vietnam mencadangkan supaya sidang kemuncak antara kedua belah pihak dijadikan acara tahunan.

Perdana Menteri berkata, Vietnam, yang akan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan, turut menyuarakan hasratnya supaya mesyuarat para pemimpin ASEAN dengan Presiden AS itu dijadikan sebagai acara tahunan.

Kata Najib lagi, Obama hendak berhubungan rapat dengan ASEAN dan mahukan ASEAN menjadi satu rantau ekonomi yang terbuka.

Tambahnya, Obama juga mengiktiraf penglibatan Malaysia dalam soal keselamatan dan perdamaian serantau termasuk menangani isu keganasan, peranan sebagai orang tengah dalam konflik Filipina Selatan serta memastikan laluan Selat Melaka bebas daripada kegiatan lanun.

“Obama juga maklum usaha Malaysia menangani kegiatan penyeludupan manusia khususnya untuk tidak menjadikan Malaysia sebagai pusat persinggahan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib memberitahu Amerika Syarikat mahu Malaysia sebagai negara Islam memainkan peranan lebih besar dalam dialog antara agama.

“Malaysia mengambil maklum perkara ini dan berharap ia akan membawa permulaan baru dalam hubungan Amerika dengan dunia Islam khususnya ke arah proses damai di Asia Barat.

“Walau sukar sekalipun usaha mencapai perdamaian tetapi ia perlu dilakukan sehingga penyelesaian dapat dicapai,” ujar beliau.

Mengenai Myanmar, Perdana Menteri memberitahu Obama berharap proses demokrasi seperti pilihan raya di Amerika dapat dilaksanakan di negara itu.

Menurutnya, isu pembebasan Aung San Suu Kyi turut dibangkitkan namun tidak ada jawapan rasmi daripada pihak Myanmar.