Category Archives: STPM Penggal 3(Bhg A) Malaysia dan Negara Luar

Malaysia tuan rumah APEC 2020

9-9-2012 VLADIVOSTOK Rusia: Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020, demikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PM Malaysia bertemu Presiden Rusia


Mengikut turutan, Malaysia dijadual menganjurkan acara itu pada 2020, iaitu tahun yang bertuah dan penting bagi negara ini.
“Perkara ini dalam perancangan dan (Malaysia) akan menjadi tuan rumah acara itu,” katanya ketika memberi taklimat kepada wartawan Malaysia mengenai hasil Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 yang berakhir 9-9-2012

Datuk Seri Najib Razak menyertai 20 ketua-ketua ekonomi lain dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC 2012 bagi membincangkan perkembangan di rantau Asia Pasifik dan hala tuju masa depan bersama

PM kita mengadakan mesyuarat dua hala dengan presiden negara tuan rumah, Russia, Vladimir Putin. Beliau juga bertemu dengan tiga ketua ekonomi lain, iaitu Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard.

Beliau juga bertemu dengan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, Presiden Filipina Benigno Aquino dan Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda.

Ketua-Ketua Negara APEC 2012, Rusia


Meskipun kedudukan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ialah sebagai platform bagi menetapkan hala tuju dan kerjasama perdagangan di kalangan anggotanya bagi pembangunan dan kemajuan ekonomi bersama, dalam persekitaran tidak terikat, acara tahunan ini sama seperti sebelumnya, akan terus melihat isu bukan perdagangan lain dibincangkan di luar dari sidang kemuncak itu.

Menteri Luar dan Menteri Ekonomi APEC bertemu

Deklarasi Kazan
Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 berakhir pada 9-9-2012 Ahad, dengan 21 ekonomi anggota bersetuju untuk bertindak menyelesaikan banyak isu dan tindakan yang dicadangkan yang telah dibincangkan selama setahun bagi mencapai matlamat bersama mereka meneruskan perpaduan dan kemakmuran serantau.

Jaminan makanan diberikan perhatian serius dalam mesyuarat itu, dengan Deklarasi Kazan bagi Jaminan Makanan APEC disokong oleh semua pemimpin. Deklarasi Kazan ialah pelan hala tuju bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan mengukuhkan pengedarannya dalam persekitaran perdagangan bebas dan menangani isu-isu seperti manipulasi harga makanan manakala pada masa yang sama menggalakkan faktor-faktor pengeluaran makanan.

Satu bilion daripada tujuh bilion penduduk dunia sekarang berdepan isu kekurangan makanan, dan ketika penduduk pada 2050 dijangka meningkat kepada 9.3 bilion, jaminan makanan menjadi satu isu kritikal yang boleh membawa impak kepada masa depan. Perlu ada galakan bagi pengeluaran dan langkah-langkah untuk memastikan petani yang mengeluarkan makanan mendapat keuntungan seimbang daripada pengeluaran mereka.

Kaedah-kaedah dikenal pasti untuk mengedarkan makanan dengan cekap sambil menambah pengurangan pembaziran dan penyediaan tempat penyimpanan dan logistik yang lebih baik demi memastikan peningkatan keuntungan bagi petani dan nelayan. Dengan keuntungan yang lebih baik, akan ada lebih banyak pengeluaran makanan. Selain itu, manipulasi harga makanan perlu ditangani.
Inovasi juga diberi tumpuan pada mesyuarat itu walaupun masa agak terhad. Ini merupakan bahagian penting kerana ia akan menjana sumber pendapatan baharu bagi ekonomi.

Mengenai kerjasama pendidikan, idea mobiliti dibincangkan bagi memastikan pindahan kredit dalam universiti di rantau ini dapat dilaksanakan.

Dasar Luar Malaysia: NAM dan Isu Palestin

KENYATAAN KERAJAAN MALAYSIA


YB MENTERI LUAR NEGERI MENGHADIRI MESYUARAT PERINGKAT

MENTERI JAWATANKUASA GERAKAN NEGARA-NEGARA

BERKECUALI (NAM) MENGENAI PALESTIN,

DI TEHRAN, REPUBLIK ISLAM IRAN,

28 OGOS 2012

________________________________________________________________________

YB Dato’ Sri Anifah Aman, Menteri Luar Negeri Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin pada 28 Ogos 2012 sempena Mesyuarat Persediaan Menteri Sidang Kemuncak NAM ke-16. Mesyuarat itu dihadiri oleh Algeria, Bangladesh, Colombia, Cuba, Mesir, India, Indonesia, Malaysia, Palestin, Senegal, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Zambia. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Iran.

Persidangan NAM, Iran Ogos 2012


Semasa mesyuarat itu, YB Dato’ Sri Anifah Aman telah sekali lagi menyuarakan sokongan Malaysia untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestine dari penindasan rejim Israel. Beliau juga mengkritik tindakan Israel menyekat cadangan mengadakan Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin di Ramallah, Palestin dari 5 – 6 Ogos 2012.

YB Dato’ Sri Anifah Aman menggesa supaya Jawatankuasa ini berusaha dengan lebih kuat lagi untuk membantu dalam perjuangan rakyat Palestin selain daripada hanya mengeluarkan kenyataan dan kritikan. Jawatankuasa berkenaan telah bersetuju untuk menubuhkan satu Pasukan Petugas Tindakan Khas yang terdiri daripada Wakil Tetap yang berkenaan di New York dengan mandat untuk menggubal tindakan-tindakan dan langkah-langkah yang kukuh bagi menyelesaikan isu-isu Palestin.

Kementerian Luar Negeri

31 Ogos 2012

Kenegaraan: APEC 2011

12-11-2011 Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di sini untuk menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Pemimpin Anggota APEC

OBAMA bersama isteri Michele, bergambar selepas menyambut ketibaan Najib dan Rosmah pada majlis makan malam rasmi untuk ketua-ketua kerajaan bersempena APEC di Honolulu, Hawaii.


Diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Perdana Menteri yang menaiki pesawat khas, tiba di Pangkalan Tentera Udara Hickam berhampiran Pearl Harbour pada pukul 3.45 petang waktu tempatan.
Ketibaan beliau dan isteri disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Datuk Seri Jamaludin Jarjis serta isteri masing-masing.
Najib juga dijadualkan menghadiri mesyuarat sulung para pemimpin Pakatan Trans-Pasifik sembilan anggota hari ini, yang akan dihoskan Presiden Amerika Barack Obama. https://goaypastpm.wordpress.com/wp-admin/media-upload.php?post_id=1203&type=image&TB_iframe=1
Sidang kemuncak Apec akan bermula 13-11-2011 dengan para pemimpin terbabit dijangka memberi fokus terhadap usaha ke arah memperkukuh integrasi serta pertumbuhan ekonomi dan pembangunan serantau.
Sebahagian daripada jadual asal Perdana Menteri, termasuk pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Mexico Feliope Calderon hari ini, dibatalkan apabila pemimpin Mexico itu membatalkan kedatangannya ke Hawaii berikutan kematian Menteri Dalam Negeri Jose Francisco Blake Mora dalam nahas helikopter awal hari ini.

12-11-2011 APEC Berita Harian

PM Malaysia bersama Presiden Amerika di APEC Hawaii 2011


INISIATIF Malaysia menjadikan konsep kesederhanaan sebagai amalan antarabangsa melangkah setapak lagi dengan pelancaran secara rasmi Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global, Januari tahun 2012.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, penubuhan yayasan itu kena pada masanya ketika kesedaran terhadap pentingnya amalan kesederhanaan dalam menghadapi ancaman puak ekstremis di seluruh dunia, semakin meningkat. Beliau berkata, yayasan itu akan dilancarkan pada Persidangan Antarabangsa mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang pertama di Kuala Lumpur dari 17 hingga 19 Januari 2012.

“Sudah tiba masanya, golongan majoriti yang cintakan perdamaian dan kesederhanaan, menuntut semula hak mereka. Kita tidak boleh lagi sekadar menunggu dan berdiam diri dalam menghadapi ekstremis dan keganasan.

“Kita perlu memastikan suara kita didengar, bukan saja suara umat Islam yang berpendirian sederhana, tetapi juga suara penganut Kristian, Hindu, Yahudi dan ateis yang mempunyai pendirian sama,” katanya ketika berucap di East-West Center (EWC) di sini.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ke-19 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dihoskan Presiden Barack Obama.

GMM yang pertama kali disarankan beliau pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) September tahun lalu, bertujuan menjadikan konsep kesederhanaan sebagai amalan antarabangsa, tanpa mengira agama dan warna kulit.
Sebelum ini, pelbagai pihak menyatakan sokongan terhadap inisiatif berkenaan, termasuk Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton.

Malah, Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, Australia baru-baru ini juga menerima cadangan itu dan menjadikannya sebahagian daripada Pernyataan Bersama 17 Perkara CHOGM.

Sambil menggesa masyarakat antarabangsa menyatakan dengan tegas pendirian mereka dalam menentang ekstremis, Najib berkata, puak itu mengambil kesempatan daripada kebebasan bersuara untuk memesong dan mengeksploitasi golongan yang jahil, lemah dan miskin.

“Oleh kerana kurangnya tindakan bersepadu golongan majoriti berpendirian sederhana, puak minoriti ekstremis ini berjaya menguasai pentas sehingga membenarkan perbincangan didominasi bukan oleh sesuatu yang wajar dan munasabah, sebaliknya siapa yang lebih lantang bersuara,” katanya.

Bagaimanapun, ketika menjawab satu soalan siapakah yang kini menang di antara golongan sederhana dan puak ekstremis, Najib berkata, golongan sederhana kini sudah bangun dan sedar mereka tidak boleh lagi sekadar menjadi penonton, tetapi perlu membabitkan diri.

Kira-kira 300 orang menghadiri syarahan itu termasuk ahli akademik, pelajar, alumni EWC dan pemimpin tempatan, termasuk Datuk Bandar Honolulu, Peter B Carlisle.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan Presiden EWC, Dr Charles E Morrison.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, inisiatif kesederhanaan itu akan gagal jika pihak berkenaan seperti pemimpin kerajaan, masjid, gereja dan universiti hanya melihatnya sebagai latihan akademik semata-mata.

“Kita tidak boleh hanya duduk di menara gading dan berbincang, sebaliknya perlu bertindak sewajarnya, melakukan perubahan sebenar dan mengambil kira kehendak majoriti.

“Kerajaan pula mesti menunjukkan teladan. Kita tidak boleh hanya mengharapkan kesederhanaan daripada orang lain jika tindakan kita sendiri membawa kita jauh daripada jalan yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pentadbir EWC, Puongpun Sananikone ketika ditanya mengenai konsep kesederhanaan itu berkata, sudah tiba masanya masyarakat dunia menyokong inisiatif berkenaan.

“Inisiatif seperti ini amat baik dan memang kita perlukan dalam menghadapi puak ekstremis sekarang. Ia juga sejajar dengan apa yang kami lakukan di sini pada masa ini,” katanya.

Kenegaraan: Komanwel (CHOGM)

54 negara anggota nyata komitmen mewujudkan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM)

MESYUARAT Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang berakhir semalam menerima cadangan Malaysia agar badan 54 negara anggota itu menyokong usaha ke arah mewujudkan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).
Sokongan itu dimuatkan dalam pernyataan bersama CHOGM yang dibaca Perdana Menteri Australia, Julia Gillard di sini selepas berakhirnya mesyuarat tiga hari itu yang mengumpulkan pemimpin kerajaan negara bekas jajahan British itu.
Antara lain pernyataan itu menyatakan komitmennya untuk memupuk kesederhanaan sebagai nilai penting badan itu.

Nilai kesederhanaan itu, kata Gillard perlu untuk menangani sebarang bentuk ekstremisme.

Pernyataan itu berkata, nilai ini boleh dipupuk menerusi GMM seperti dicadangkan Malaysia.

Pada sidang akhbar kepada wartawan Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, berkata sokongan berkenaan akan disusuli dengan aktiviti dan inisiatif yang bertujuan meningkatkan kesedaran bagi mengukuhkan komitmen terhadap konsep pergerakan itu.
“Bagi pihak Malaysia, kita akan menganjurkan satu seminar antarabangsa untuk meningkatkan kesedaran terhadap konsep GMM ini.

“Seminar ini yang dianjurkan dengan kerjasama Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Januari tahun depan akan dihadiri pemimpin antarabangsa tertentu,” kata Perdana Menteri.

Kegiatan seperti ini, katanya mampu mengukuhkan nilai yang dibawa oleh GMM, di samping meningkatkan fahaman terhadapnya.

Malaysia pada beberapa forum sebelum ini termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) mencadangkan inisiatif penubuhan GMM dalam usaha menangani isu keganasan antarabangsa dan golongan pelampau, sekali gus mewujudkan keamanan sejagat.

Pendirian Malaysia ialah bagi mencapai keamanan dan kesejahteraan dunia, semua pihak mesti bersatu menghadapi cabaran golongan pelampau.

Najib telah membawa GMM untuk perhatian dunia buat pertama kali di Perhimpunan Agung PBB pada September tahun lalu ketika Islamfobia kian meningkat.

Dalam ucaptamanya kepada PBB, beliau berkata antara lain isu sebenar bukanlah antara Muslim dan bukan Muslim tetapi antara kesederhanaan dan ekstremis semua agama, baik Islam, Kristian atau Yahudi.

Perdana Menteri juga membawa isu ini di acara-acara antarabangsa seperti Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Asia-Eropah (ASEM 8) di Brussels, Belgium.

Pada satu perhimpunan di Oxford University, Mei lalu, mengenai topik yang sama, Najib menyatakan bahawa beliau membantah keganasan politik dalam sebarang bentuk dan menegaskan pada kesederhanaan yang dibawa oleh semua agama.

Beliau berkata, mereka yang mengambil jalan keganasan dan terbabit dengan tindakan seperti pengeboman berani mati tidak mencerminkan kepercayaan mereka.
Komen Anda

PM Najib menghadiri CHOGM 2011 di Perth, Australia

Kenegaraan: Isu Kepulauan Spratly

Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan akibat ZEE

Nota:
Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)
• ZEE bermakna hak pengurusan dan eksploitasi kekayaan di kawasan
perairan(200 batu).
• Melalui ZEE kita dapat mengeksploitasi petroleum di kawasan
perairan Malaysia.
• Rebutan kepulauan Spratly oleh Cina, Filipina, Vietnam, dan
Malaysia.( Pulau Natuna Anambas )
• (timbul masalah rebutan Pulau Batu Putih dengan Singapura).
Sipadan-Ligitan(Indonesia)

22 Jun 2011 – China hari ini menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya membiarkan pertikaian wilayah di Laut China Selatan diselesaikan sendiri oleh negara-negara yang mempunyai tuntutan. Dalam amaran paling berterus-terang kepada Washington, Beijing berkata, pembabitan AS dalam pertikaian itu boleh memburukkan lagi keadaan.

Ketegangan di Laut China Selatan meningkat sejak sebulan lalu disebabkan kebimbangan bahawa China semakin agresif dalam mengukuhkan tuntutannya terhadap perairan yang dipercayai kaya dengan minyak dan gas.
China berpendirian AS tidak perlu campur tangan dalam pertikaian itu dan sekiranya AS tetap mahu memainkan peranan, Washington perlu menasihatkan negara-negara yang melakukan provokasi supaya bertindak secara lebih bertanggungjawab. AS bukan negara yang mempunyai tuntutan dalam pertikaian di Laut China Selatan, dengan itu adalah lebih baik jika AS membiarkan pertikaian diselesaikan antara negara-negara yang menuntut.
China sangat bimbang dengan provokasi yang kerap dilakukan oleh negara lain di Laut China Selatan. Sementara itu di Manila, pegawai Filipina berkata, tentera Amerika Syarikat (AS) berkewajipan membantu mempertahankan askar, kapal atau pesawat udara negara ini jika mereka diserang di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan. Jabatan Luar Filipina dalam satu kertas dasarnya berkata, Perjanjian Pertahanan Bersama 1951 menghendaki Washington membantu tentera Filipina jika mereka diserang di kepulauan tersebut.

Sebahagian perairan di Laut China Selatan turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.Tuntutan China adalah yang paling besar, dengan kawasan perairan yang dituntut berbentuk U meliputi sebahagian besar daripada Laut China Selatan yang seluas 1.7 juta kilometer persegi, termasuk Kepulauan Spratly dan Paracel.
Di Washington kelmarin, anggota kanan Parti Republikan, Senator John McCain menggesa kerajaan AS meningkatkan sokongan ketenteraan dan politik kepada negara anggota ASEAN untuk menghadapi China dalam pertikaian semakin meningkat di Laut China Selatan.Menurutnya, AS perlu membantu anggota ASEAN untuk membangunkan dan menempatkan sistem amaran awal serta bot peronda perairan pantai di kawasan yang menimbulkan pertikaian.

Kenegaraan: Dialog Antarabangsa Langkawi

LID

Dasar Ekonomi: Program Transformasi Ekonomi

BAJET 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2010 menggariskan empat strategi utama untuk memacu ekonomi negara. Empat strategi terbabit ialah merancakkan pertumbuhan swasta; mempergiat pembangunan modal insan; menambah baik kualiti hidup; dan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Strategi yang digariskan itu adalah bertujuan memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berlaku secara mapan dan konsisten, iaitu pada kadar enam peratus. Strategi merancakkan pertumbuhan swasta membuktikan bahawa penglibatan sektor swasta sangat penting dalam menjana dan memacu ekonomi negara.

Kerajaan telah menetapkan sasaran pelaburan swasta perlu berkembang pada kadar 12.2 peratus (RM115 bilion) setahun. Justeru, menurut laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP): Hala Tuju Untuk Malaysia yang dikeluarkan pada 25 Oktober lalu mengiktiraf peranan sektor swasta dalam memudah pertumbuhan ekonomi menerusi ETP.

Menurut laporan ETP itu, risiko paling nyata ialah jika pertumbuhan 12.2 peratus dalam pelaburan swasta setiap tahun gagal dicapai. Jika ini berlaku ia akan turut menjejaskan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

RMK-10 adalah penentu atau kayu pengukur bagi negara mencapai misi nasional, iaitu Wawasan 2020. Pertumbuhan enam peratus ekonomi negara dalam tempoh RMK-10 tidak akan tercapai sekiranya sektor swasta gagal memainkan peranannya sebagai enjin utama menjana dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebelum berlakunya krisis ekonomi pada 1997/1998, sektor swasta dianggap sebagai “lokomotif ” utama menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang 30 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hari ini, kerajaan mahu memastikan peranan tersebut dipikul semula oleh sektor swasta. Sektor swasta penting untuk menjayakan ETP dan RMK-10 yang berhasrat menjadi negara sebagai negara berpendapatan tinggi.

Penekanan kerajaan terhadap pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dilihat mampu mendorong pelaburan sektor swasta yang menggalakkan. 12 bidang utama NKEA itu termasuklah: pertanian; perkhidmatan perniagaan; pendidikan; elektrik dan elektronik; perkhidmatan kewangan; penjagaan kesihatan; Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang; minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; kandungan komunikasi dan infrastruktur; pelancongan; dan, pemborongan dan peruncitan.

Sektor perkhidmatan kewangan dilihat antara bidang teras NKEA kerana peranannya yang penting bagi memperkukuh dan memastikan kesemua aspek industri atau perusahaan dapat kekal bertenaga dan maju serta dapat menyokong keperluan perniagaan dan pengguna dengan cekap dan berkesan.

NKEA adalah sebahagian daripada ETP yang akan menjadi jentera pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan lebih 3.3 juta peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Dijangkakan NKEA akan menjana pelaburan sebanyak RM1.3 trilion (AS$444 bilion) sepanjang tempoh RMK-10 . Daripada jumlah itu, 73 peratus pelaburan NKEA dijangka menerusi pelaburan langsung domestik dan selebihnya daripada pelaburan asing.

Dana sektor awam dijangka hanya menyumbang empat peratus untuk membantu menjayakan bidang NKEA terbabit. Kerajaan menyediakan beberapa mekanisme bagi membantu penglibatan aktif sektor swasta dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Misalnya, kerajaan mewujud dan melaksanakan perkongsian awam-swasta (PPP). PPP adalah pendekatan bagi menjayakan RMK-10.

Beberapa projek PPP telah pun di kenal pasti yang antaranya membabitkan projek pembinaan lebuh raya, projek pembangunan kesihatan, projek pembinaan pusat akademik perubatan, projek pembinaan loji jana kuasa kira padu gas 300 megawatt di Kimanis, Sabah, projek pembinaan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL dan projek pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buluh.

Selain itu, Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) diwujudkan di bawah RMK-10 yang berjumlah RM15 bilion akan dapat mengurangkan beban kerajaan dalam membiayai projek infrastruktur dan pembangunan ekonomi yang menelan kos yang besar. Untuk itu, sebuah dana khas diwujudkan di bawah Pasukan Petugas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah).

Ia bertujuan mempermudah PFI dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-10. Mana-mana projek swasta (projek PFI) yang tidak berdaya maju akan diubah menjadi lebih kompetitif dan berdaya maju dengan bantuan dana tersebut.

Langkah mewujudkan Pemudah adalah bertepatan dengan strategi keempat Bajet 2011, iaitu memantapkan sistem penyampaian awam sejajar dengan prinsip gagasan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Salah satu indeks atau petunjuk utama sesebuah negara maju ialah pembangunan modal insan. Justeru, strategi mempergiat pembangunan modal insan di bawah Bajet 2011 amat penting untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Peruntukan besar sebanyak RM29.3 bilion kepada sektor pendidikan negara membuktikan bahawa kerajaan amat mengutamakan pembangunan modal insan. Peruntukan itu adalah peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding peruntukan pendidikan di bawah Bajet 2010 iaitu RM25.5 bilion.

Keperluan terhadap modal insan yang berkualiti tinggi adalah selari dengan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah. Untuk menjayakan MBE maka kita memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta kreatif dan inovatif. Pelabur hari ini bukan sahaja melihat kepada faktor kos yang dapat dijimatkan tetapi juga melihat keupayaan dan kemahiran pekerja memacu operasi perniagaan mereka.

Justeru, mereka memerlukan pekerja yang berilmu, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif. Kemahiran komunikasi yang tinggi juga merupakan nilai tambah yang perlu ada pada modal insan kita, terutamanya yang melibatkan bidang-bidang profesional. Kita masih kekurangan dalam aspek ini.

Kenegaraan: Program Transformasi Ekonomi (ETP)

1-12-2010 PM bergambar dengan wakil industri dari pelbagai sektor selepas membentangkan Program Transformasi Ekonomi. Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Sembilan Projek Permulaan (EPP) baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mampu menyumbang RM33 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan mewujudkan lebih 71,500 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Semua projek membabitkan pelaburan RM9 bilion itu akan memacu industri minyak dan gas, tenaga, elektronik, pelancongan serta pendidikan. Ini membabitkan tiga projek memajukan industri minyak dan gas serta tenaga, dua projek bagi memacu sektor elektronik, tiga projek meningkatkan nilai sektor pelancongan dan satu projek khusus bagi mengembangkan sistem pendidikan prasekolah.

Pelaburan yang besar ini penting bagi menyokong ekonomi Malaysia memandangkan ia terus berkembang. Kapasiti yang meningkat penting untuk menyediakan tenaga kepada perniagaan dan jumlah penduduk yang semakin berkembang dalam negara.

Insentif cukai baru diberi bagi menggalakkan pembangunan sumber minyak dan gas baru membabitkan pengurangan kadar cukai bagi pembangunan medan minyak baru. Walaupun akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM8.1 bilion dalam bentuk elaun percukaian, tetapi berpotensi membawa hasil petroleum tambahan RM50 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Projek EPP baru itu membabitkan pembangunan Taman Perindustrian Minyak & Gas dan Logistik Tanjong Agas di tapak seluas 1,704 hektar di Pekan, Pahang yang akan dibangunkan Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd membabitkan pelaburan RM3 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2012. Projek ini dijangka menyumbang RM30 bilion kepada GNI sepanjang 10 tahun akan datang dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula akan melabur RM4 bilion tahun depan bagi membangunkan dua loji jana kuasa hidro baru, iaitu projek Hidroelektrik Ulu Jelai di Pahang dan Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu dengan kemampuan menjana 600 MW tenaga elektrik. Projek ini penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi memandangkan kapasiti tenaga tambahan diperlukan bagi membekal tenaga mencukupi kepada perniagaan dan penduduk yang semakin meningkat.

Pembangunan Kelompok Kejuruteraan, Sains dan Inovasi Lanjutan diterajui Taman Teknologi Malaysia (TPM) pula meningkatkan pengkomersialan penyelidikan akademik di Malaysia membabitkan pelaburan RM374 juta sehingga 2020. Pelaksanaan projek itu dijangka menyumbang RM636 juta kepada GNI dan mewujudkan 20,900 peluang kerja baru.

Karangan: Isu Orang Pelarian

Contoh tajuk karangan:
Bincangkan punca tercetusnya masalah orang pelarian di sesebuah negara dan sarankan langkah-langkah mengatasi masalah ini.

Orang Pelarian: Kehidupan Penuh Ketidaktentuan
Baru-baru ini wakil Bernama Melati Mohd Ariff menemu bual Alan Vernon, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia di mana beliau menyentuh beberapa isu berhubung pelarian dan mereka yang ingin mendapatkan suaka politik
Berikut ialah rencananya:

Malaysia sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang dalam soal pelarian.

Siapa yang dapat melupakan isu pelarian Vietnam ‘orang bot’ yang mendarat dengan begitu ramainya di negara ini, mencari perlindungan daripada pemerintahan Komunis sebaik berakhirnya Perang Vietnam pada April 1975.

Kira-kira 250,000 pelarian Vietnam diproses di khemah pelarian di Pulau Bidong (sebuah pulau kecil di Terengganu) sebelum kebanyakan mereka diterima negara ketiga termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis, New Zealand, Sweden, Finland, Denmark dan Norway.

Kira-kira 9,000 pelarian Vietnam kembali ke Vietnam dengan bantuan UNHCR.

Malahan selepas khemah Pulau Bidong ditutup pada Oktober 1991, Malaysia masih menjadi tumpuan serta tempat perlindungan untuk pelarian daripada beberapa negara lain sehingga ke hari ini.

“Pelarian ialah masalah sejagat. Berdasarkan statistik, hampir setiap negara terjejas dengan pelarian dan Malaysia tidak terkecuali.

“Ia akan berterusan sebagai satu masalah tetapi lebih mudah menanganinya jika semua negara bekerjasama.

“Negara terbesar yang menghasilkan pelarian yang memberi kesan kepada Malaysia pada masa ini ialah Myanmar dan fenomena ini berlarutan lebih 10 hingga 15 tahun,” Alan Vernon, 56, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bukit Petaling di sini baru-baru ini.

UNHCR memulakan operasi di Malaysia pada 1975 di mana pada peringkat awalnya untuk menangani masalah pelarian Vietnam. Ia juga membantu kerajaan Malaysia dalam menerima dan menempatkan semula lebih 50,000 orang Islam Filipina yang lari dari Mindanao ke Sabah pada 1970-an dan 1980-an.

UNHCR juga membantu kerajaan dalam menempatkan semula beberapa ribu orang Islam Cham dari Kampuchea pada tahun 1980-an dan beberapa ratus pelarian Bosnia pada 1990-an.

STATISTIK PELARIAN

Menurut Vernon, terdapat kira-kira 50 juta pelarian di seluruh dunia.

Di Malaysia, terdapat sekitar 88,100 pelarian dan mereka yang ingin mendapatkan suaka politik berdaftar dengan pejabat UNHCR sehingga penghujung Mei 2010. Mereka ini diberi kad UNHCR sebagai tanda pengenalan diri.

Daripada jumlah itu, 81,600 ialah dari Myanmar terdiri daripada kira-kira 38,900 suku kaum Chin, 18,900 Rohingya, 6,400 orang Muslim Myanmar, 3,800 Mon, 3,600 Kachin dan selebihnya minoriti etnik lain dari Myanmar.

“Lebih ramai lagi pergi ke Thailand dan negara itu berkemungkinan mempunyai empat hingga lima juta pelarian dari Myanmar memandangkan kedua-dua negara berkongsi sempadan.

“Untuk datang ke Malaysia, mereka perlu mengharungi pelbagai pahit getir. Mereka juga datang ke negara ini kerana mereka tahu mereka boleh hidup di sini, jika tidak, sudah tentu mereka tidak akan berbuat demikian.

“Jadi saya fikir Malaysia adalah mangsa kepada kejayaannya. Jika ekonomi negara ini teruk, mungkin rakyat negara ini juga akan menjadi pelarian,” kata Vernon.

Seramai 6,600 pelarian dan mereka yang mencari suaka politik lain ialah dari negara seperti Sri Lanka (3,500 pelarian), Somali (930), Iraq (580) Afghanistan (530) dan Palestin (200).

Dari segi jantina, 70 peratus pelarian dan mereka yang mencari suaka politik ialah lelaki sementara 30 peratus perempuan.

Terdapat juga pelarian dan pencari suaka politik yang tidak berdaftar dan jumlah mereka dianggarkan sekitar 10,000 orang.

Untuk rekod, pelarian ialah mereka yang diiktiraf sebagai pelarian sementara pencari suaka politik ialah mereka yang datang ke pejabat UNHCR untuk menuntut taraf pelarian.

Pencari suaka politik akan ditemu bual dan kes mereka dikaji berdasarkan maklumat UNHCR mengenai negara mereka sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada mereka boleh diiktiraf sebagai pelarian.

TIDAK DI KHEMAH

Satu perkara yang elok tentang pelarian di Malaysia, seperti yang disuarakan Vernon ialah mereka tidak tinggal di dalam khemah.

Komuniti pelarian tinggal di kawasan perumahan kos rendah di seluruh negara, dan sering kali bilangan yang besar terpaksa berkongsi tinggal di dalam ruang yang sempit.

“Kadang kala orang berfikir khemah adalah penyelesaian yang baik untuk pelarian tetapi pada dasarnya tinggal di khemah pelarian akan menambahkan lebih banyak penderitaan.

“Lagi pun banyak isu jika diletakkan mereka di khemah, ramai nanti bergantung kepada bantuan, kebajikan dan penjagaan.

“Sering kali juga apabila khemah pelarian diwujudkan, ia akan berpanjangan berbanding situasi lain kerana khemah mempunyai kehidupan yang tersendiri,” jelas Vernon yang menyandang jawatan wakil UNHCR di Malaysia sejak November 2008.

Pembabitan Vernon dalam isu pelarian sebenarnya bermula sejak 1978 lagi ketika beliau mengajar di Amerika Syarikat.

Beliau menyertai UNHCR pada 1987 dan menyandang jawatan Pegawai Penempatan Semula Bersekutu di pejabat lapangan UNHCR, Kuala Terengganu (1987-1991). Sepanjang kariernya dengan UNHCR, beliau juga pernah ditempatkan di Sri Lanka dan Geneva.

Menurut Vernon, kerajaan Malaysia mengambil langkah positif dengan tidak menyekat pergerakan pelarian yang bererti mereka boleh berusaha untuk mencari nafkah bagi menyara keperluan kehidupan mereka.

PELARIAN DAN PENDATANG

Bagaimanapun, Vernon mahu rakyat Malaysia memahami bahawa pelarian bukan pendatang dan terdapat perbezaan yang amat ketara antara keduanya.

Pelarian, jelas beliau tidak memilih untuk meninggalkan tanah air mereka tetapi sebaliknya dipaksa berbuat demikian.

Menurut definisi UNHCR, pelarian ialah orang yang mempunyai ketakutan yang berasas akan ditindas atas sebab pendapat politik, etnik, agama atau keahlian dalam sesebuah kumpulan tertentu.

“Malaysia amat bertuah kerana tidak mempunyai situasi yang sedemikian. Malaysia belum menghasilkan pelarian. Pihak kami amat gembira dengan keadaan itu tetapi berharap rakyat negara ini mempunyai toleransi terhadap hakikat bahawa pelarian tidak membuat pilihan untuk datang ke negara ini.

“Mereka dipaksa meninggalkan kampung halaman mereka dan tidak boleh kembali sehingga keadaan di negara mereka pulih dan mereka tidak lagi berdepan dengan risiko dipenjara dan kemungkinan dibunuh.

“Ini berbanding pendatang yang membuat pilihan untuk meninggalkan negara mereka untuk peluang ekonomi atau pendidikan yang lebih baik,” tegas Vernon.

Sesetengah pihak menganggarkan terdapat tiga hingga empat juta pendatang di Malaysia dengan 50 peratusnya berada di negara ini secara sah.

CABARAN UMUM

Memandangkan masalah pelarian mungkin tidak selesai dalam masa terdekat, cabaran umum ialah untuk mencari jalan bagi memenuhi keperluan pelarian dan dalam masa yang sama melindungi kepentingan tuan rumah secara keseluruhan.

Sebagai rekod, Malaysia tidak memeterai Konvensyen 1951 berhubung kedudukan pelarian.

“Memang penting untuk menandatangani Konvensyen Pelarian tetapi jika sesebuah kerajaan itu tidak bersedia untuk berbuat demikian kita masih boleh mengadakan dasar serta prosedur dalam menangani isu pelarian.

“Perkara ini belum ada lagi buat masa ini, dan ia adalah kesulitan besar bagi kami kerana tanpa dasar dan prosedur, semua perlu dibuat berdasarkan budi bicara. Ia juga tidak memberi panduan kepada semua peringkat kerajaan.

“Untuk itu perlu ada rangka kerja perundangan. Ini amat penting untuk memastikan pelarian dilindungi dan selamat sehingga sampai masanya mereka boleh pulang ke negara mereka. Sesetengah daripada mereka boleh ditempatkan semula di negara lain tetapi ia bukan penyelesaian untuk setiap pelarian,” tambahnya.

Vernon memberitahu Bernama bahawa jumlah tempat penempatan semula adalah kurang daripada bilangan pelarian yang ada di Malaysia.

Menurut beliau, pihaknya mengemukakan lebih daripada 10,000 pelarian untuk penempatan semula tahun lalu, tetapi mengulangi bahawa “ia bukan penyelesaian untuk semua orang. Penyelesaian terbaik untuk pelarian ialah pulang ke negara asal.”

MENGURUS ISU

Bercakap seterusnya mengenai pelarian, Vernon melahirkan rasa optimisnya bahawa kejayaan yang dicapai dengan orang bot Vietnam serta pelarian Acheh akan dapat diraih juga akhirnya.

“Ketika bot-bot Vietnam mula mendarat di Malaysia pada 1975 dan meningkat pada 1979, rasanya macam isu pelarian ini akan berterusan selama-lamanya. Namun pada 1991 ia selesai. Satu lagi contoh ialah pelarian Acheh dan selepas tsunami mereka semua pulang ke negara mereka,” katanya.

Menurut beliau, Myanmar ialah sebuah negara yang berkemungkinan mengeluarkan pelarian untuk beberapa ketika mendatang.

“Tahun ini ada proses pilihan raya dan masih banyak masalah di negara itu tetapi kami amat berharap secara berperingkat keadaan akan menjadi lebih baik,” tambahnya.

Secara realitinya, kata beliau, Malaysia perlu berfikir cara untuk menangani keadaan di Myanmar kerana Malaysia ialah sebahagian daripada Asean dan perlu mengambil kira perkara itu dalam dasar luarnya.

“Satu daripada cabaran untuk Malaysia dalam aspirasinya untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya menjelang 2020 ialah ia perlu mendukung tanggungjawab global dan satu daripadanya ialah membantu keadaan pelarian.

“Cara untuk melakukannya ialah secara rakan kongsi. UNHCR ada di sini. NGO dan komuniti antarabangsa yang lain boleh juga membantu dan saya rasa banyak ruang untuk menguruskan isu ini dengan cara yang lebih baik.

“Berdasarkan pengalaman saya, sekiranya kita menangani sesuatu masalah itu dan menguruskannya dengan cara yang bijak, kita tidak akan tertekan dengan angka,” kata Vernon.

Pelarian: Isu Sejagat Dan Kemanusiaan
Berada jauh di negara asing dan berdepan dengan masa depan yang tidak menentu, pelarian di Malaysia terpaksa bergelut dengan pelbagai cabaran untuk kelangsungan hidup.

“Mereka amat rajin, buat pelbagai jenis kerja dan mengambil apa sahaja peluang kerja yang datang kepada mereka. Ini menjadikan mereka calon terbaik untuk program penempatan semula,” Alan Vernon, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bukit Petaling, di sini baru-baru ini.

“Idea yang baik untuk membenarkan mereka bekerja secara sah. Ini menjimatkan wang memandangkan mereka sudah ada di negara ini. Pelarian mahu memberi sumbangan kepada negara ini dan membantu masyarakat di sini kerana mereka mempunyai tempat untuk tinggal.

“Bagaimanapun, mereka tidak mendapat peluang itu kerana mereka tidak boleh bekerja secara sah dan buat masa ini mereka tidak boleh mendapat permit kerja,” katanya mengulas sesetengah cadangan supaya membenarkan pelarian di Malaysia bekerja.

PELUANG EKONOMI

Dasar yang lebih baik, jelas Vernon, ialah dengan memindahkan pelarian di negara ini ke tempat lain supaya tidak bertumpu di satu-satu tempat sahaja.

“Sebahagian besar pelarian berada di Kuala Lumpur. Kami mahu sekali memindahkan mereka dan cara terbaik ialah peluang bekerja secara sah. Mereka boleh bekerja di sektor perladangan, pengilangan dan pembinaan.

Menurut beliau, sesetengah pelarian mempunyai kemahiran yang amat baik serta jitu, dan begitu berguna sekali untuk majikan Malaysia.

Kawalan serta peraturan yang lebih baik terhadap keadaan pelarian, katanya terutama sekali dalam isu penggajian, akan mengelakkan berlakunya eksploitasi.

“Kita perlu bermula hari ini. Kita lihat sama ada kita boleh mencari jalan untuk menjadikan pelarian lebih berdikari dari segi pekerjaan supaya mereka tidak menjadi beban di mana ini akan hanya mencetuskan masalah sosial.

“Sekiranya ada pekerjaan mereka tidak akan terlibat dalam kegiatan haram. Pelarian telah menjejaskan Malaysia di masa lampau dan ia masih berlaku sehingga ke hari ini. Jumlah pelarian mungkin bertambah dan berkurangan tetapi lebih elok jika ada dasar dan sistem untuk menangani isu ini secara yang boleh dijangkakan dan menguruskannya dengan lebih teratur,” kata Vernon.

ANAK-ANAK DIUTAMAKAN

Terdapat kira-kira 19,000-pelarian kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang berdaftar dengan UNHCR.

Seramai 10,600 daripada kanak-kanak itu dalam usia bersekolah. Bagaimanapun dianggarkan kurang daripada separuh kanak-kanak pelarian yang sepatutnya menghadiri sekolah tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan sebarang bentuk pendidikan.

“Kanak-kanak perlu diberi pendidikan. Sekiranya mereka tidak mendapat pendidikan, ini akan merosakkan masa depan mereka dan boleh mencetuskan masalah sosial di kemudian hari.

“Kerajaan Malaysia telah menyatakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu untuk menyediakan pendidikan bagi anak-anak pelarian . Ini satu perkara yang baik,” kata Vernon.

Bagaimanapun, beliau memberitahu Bernama pihak NGO berkenaan menghadapi kesulitan kewangan serta sumber lain dalam menyediakan pendidikan yang diperlukan bagi anak-anak pelarian.

Oleh yang demikian, katanya komuniti pelarian sendiri mengambil daya usaha untuk mengatur program pendidikan untuk anak-anak mereka.

“Usaha kami lebih terarah untuk anak-anak berusia bagi sekolah rendah.

“Anak-anak yang tidak mendapat peluang pendidikan nescaya akan bergelut dengan masa depan yang lebih sukar dan akan menjadi masalah sosial.

“Jadi kami lebih suka mereka dididik supaya boleh menyumbang kepada komuniti mereka dan apabila mereka pulang ke negara mereka, bolehlah mereka menyumbang kepada masyarakat mereka. Ini juga sumbangan positif Malaysia kepada Myanmar, sebagai contoh,” jelas Vernon.

BUAT BANYAK LAGI

UNHCR berharap dapat bekerja lebih rapat lagi dengan kerajaan, NGO serta orang awam untuk memperbaiki kualiti dan peluang pendidikan bagi komuniti pelarian di negara ini.

“Memang ramai yang melakukan banyak perkara dan saya berpendapat dalam keadaan sekarang saya rasa setiap orang akan bersetuju bahawa dalam apa juga keadaan, kanak-kanak tidak harus menjadi mangsa.

“Mereka tidak memilih untuk datang ke Malaysia. Memang benar ibu bapa mereka yang membuat pilihan itu bukan anak-anak mereka, jadi saya kira kita perlu bekerjasama untuk memperbaiki keadaan untuk mereka.

“Dalam hal ini, semua ada peranan, baik kerajaan, NGO, sukarelawan dan juga Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Vernon dengan menambah, pelarian juga mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya.

INISIATIF UNHCR

Dari segi pendidikan untuk anak-anak, UNHCR telah membuat kemajuan dengan menarik lebih ramai kanak-kanak menghadiri sekolah. Daripada kira-kira 2,500 orang pada 2008, angka itu kini meningkat kepada sekitar 4,700.

UNHCR juga bekerja dengan rakan kongsi NGOnya untuk melatih tenaga pendidik dan sehingga kini berjaya melatih lebih 120 orang guru.

Agensi PBB ini juga menyediakan buku dan alat tulis serta bekalan sekolah yang lain di samping mendapatkan sokongan sukarelawan untuk sekolah.

“Semua ini adalah usaha untuk mewujudkan satu bentuk sistem sekolah bagi komuniti pelarian.

“Mereka tidak boleh pergi ke sekolah kerajaan dan kalau pun dibenarkan di mana saya fikir sesetengahnya mungkin mahu pergi, ramai yang lain mungkin tidak kerana masalah bahasa serta isu anak-anak yang sudah tercicir sekian lama,” jelas Vernon seraya berkata cabaran yang masih perlu diatasi ialah mencari satu program pendidikan yang sesuai untuk komuniti pelarian yang pelbagai etnik.

SEKOLAH KECIL

Terdapat kira-kira 60 buah sekolah komuniti pelarian yang diusahakan beberapa kumpulan pelarian di samping yang diuruskan UNHCR dan NGO.

Majoriti sekolah ini terletak bertaburan di sekitar Kuala Lumpur di mana terdapat komuniti pelarian.

Pelarian ini, menurut Vernon, enggan berpindah ke tempat lain kerana pelbagai halangan termasuk masalah kewangan dan pengangkutan.

“Sekolah pun bukanlah sekolah dalam erti yang sebenarnya. Sering kali ia hanyalah ruang pangsapuri, tetapi sekurang-kurangnya ada aktiviti pembelajaran.

“Mengenai sukatan pelajaran, kita cuba menggunakan sukatan pelajaran Malaysia tetapi mereka juga diajar pengajian kebudayaan dalam jangkaan mereka akan pulang ke negara asal.

“Pelajar juga belajar bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Subjek lain yang diajar ialah matematik, sains, sejarah dan pengajian sosial,” katanya.

BANTU UNTUK MENOLONG DIRI SENDIRI

UNHCR mempunyai pasukan untuk memperkasa komuniti pelarian supaya mereka mempunyai jawatankuasa kepimpinan yang boleh menjaga kebaikan komuniti masing-masing.

“Kita cuba bekerja dengan semua dan cuba menggalakkan mereka sebanyak mungkin tetapi saya perlu realistik dalam hal ini. Ada kumpulan yang lebih baik dari kumpulan yang lain.

“Ada kumpulan yang mudah membentuk kumpulan dan menjaga kepentingan mereka sementara yang lainnya terpaksa berhempas-pulas untuk berbuat demikian. Ada kumpulan yang memberi ruang untuk kaum wanita menyertai kepimpinan, ada yang tidak berapa bersetuju,” kata Vernon.

Beliau turut mengulas publisiti negatif mengenai pelarian yang disifatkan jumlahnya sebagai kecil.

“Kumpulan pelarian ini tidak mahu mencari susah kerana mereka tahu keadaan mereka yang serba-serbi payah dan mereka tidak boleh mendapat bantuan kerajaan mereka.

“Mereka juga tahu mereka hanya boleh mengadu kepada UNHCR dan pihak berkuasa Malaysia. Hidup mereka sudahlah susah dan mereka tahu risiko jika terlibat dalam kegiatan yang bukan-bukan.

“Jadi memang tidak ramai pelarian yang membuat kesalahan dan di negara ini ramai kaum pendatang dan ini sudah pasti mengundang banyak masalah sosial,” katanya.

TIDAK KEBAL UNDANG-UNDANG

Menurut Vernon UNHCR sentiasa berusaha untuk memastikan pelarian tidak terlibat dalam apa juga kesalahan.

Pekerja pembangunan komuniti UNHCR serta yang lain sering kali keluar untuk bercakap dengan pelarian dan menggalakkan mereka supaya mematuhi undang-undang.

“Pelarian tidak kebal undang-undang. Jika mereka melanggar undang-undang mereka boleh ditangkap dan dibicarakan seperti orang lain.

“Mempunyai kad UNHCR bukan boleh melindungi mereka. Pelarian mesti patuh kepada undang-undang dan perlu sedar kehadiran mereka di negara ini tidak boleh diambil ringan.

“Mereka seakan tetamu di negara ini dan perlu berkelakuan sebagai tetamu. Jangan bertindak yang boleh menyebabkan rakyat Malaysia merasa terancam dan tidak gembira dengan kehadiran mereka,” kata Vernon.

Kenegaraan: Malaysia Kutuk Keganasan Israel

12 rakyat Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza selamat. Syabas!

Tanah Palestin telah dipecahkan kepada Tebing Barat(West Bank) dan Gaza

Nota:
Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel.
Malaysia menuntut hak rakyat Palestin mendapat balik tanah air mereka dilaksanakan.
Malaysia mengutuk keganasan Israel menzalimi rakyat Palestin.

Malaysia Kecewa Dengan Sikap Majlis Keselamatan PBB

1 Jun 2010
Malaysia berasa kecewa terhadap tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) yang tidak bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan presiden yang lebih keras mengutuk serangan Israel ke atas konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“UNSC hanya meluahkan rasa sangat kesal dan tidak mengecam tindakan Israel itu. Kita kecewa kecaman itu tidak dikeluarkan oleh majlis tersebut,” kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Kuala Lumpur di sini hari Selasa sejurus tiba dari Singapura selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara-Negara Asean-GCC, Anifah berkata Malaysia berasakan “UNSC patut lakukan lebih daripada itu.”

“Apa yang berlaku, UNSC tidak begitu bersedia untuk mengutuk apa yang telah dilakukan oleh Israel,” katanya.

Anifah berkata Malaysia “tentu sekali” akan mengemukakan bantahan kepada UNSC.

Malaysia, katanya, lebih suka jika satu siasatan penuh yang bebas dilakukan terhadap serangan ke atas aktivis kemanusiaan di perairan antarabangsa itu yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Malaysia juga menggesa agar kapal dan orang awam yang ditahan oleh Israel dibebaskan segera, katanya.

Anifah berkata wujud unsur pilih kasih dalam insiden itu memandangkan Israel dilihat seolah-olah tidak terikat dengan undang-undang antarabangsa.

“Ini bukan medan peperangan. Ini adalah bantuan kemanusiaan bagi rakyat Palestin yang yang layak dibantu,” katanya.

Walau bagaimanapun beliau yakin akan ada usaha pihak antarabangsa untuk membebaskan aktivis dan juga kapal-kapal yang ditahan.

“Pada kalangan mereka ada penerima anugerah Nobel Kesusasteraan dan bekas pembantu kepada setiausaha agung di PBB. Mereka ini tidak boleh dilihat sebagai pengganas.

“Apa yang berlaku di perairan antarabangsa itu sendiri boleh disifatkan sebagai tindakan keganasan, tindakan oleh tentera Israel yang naik ke atas kapal itu di perairan antarabangsa,” katanya.