Category Archives: PERTUBUHAN ANTARABANGSA

Komanwel CHOGM 2009

Komanwel Mahu Triti Perubahan Iklim Terikat Daripada Segi Undang – Undang

PORT OF SPAIN (Trinidad and Tobago), Nov 28 2009 — Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 bermula pada Jumaat dengan isyarat jelas akan keinginan kuat perkumpulan itu untuk melihat persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menghasilkan satu triti, yang terikat daripada segi undang-undang.

Mereka berpendapat bahawa jika sekadar pakatan iklim yang berasaskan ikatan politik, ia tidak memadai kerana adalah sukar untuk menentukan tahap kesungguhan di kalangan negara-negara maju.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin Komanwel lain bersama-sama menyertai Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, Perdana Menteri Denmark Lars Rasmussen dan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon pada satu sesi perbincangan mengenai perubahan iklim.

“Banyak negara anggota Komanwel, terutamanya negara-negara membangun pulau kecil menjadi mangsa perubahan iklim. Dalam pencelahan mereka, sebilangan mereka menyatakan bahawa jika pemanasan global berterusan, rangkaian kepulauan mereka pasti akan terbenam.

“Bagi mereka, ia bukan hanya sekadar masalah, ia adalah soal hidup dan mati,” kata Najib kepada wartawan Malaysia pada akhir hari pertama sidang kemuncak yang dirasmikan oleh Ratu England, Ratu Elizabeth II.

Beliau berkata sama ada triti itu terikat daripada segi undang-undang dapat dicapai atau tidak, ia bergantung kepada perkembangan di Copenhagen.

“Tetapi adalah penting bagi CHOGM untuk mengeluarkan satu kenyataan tegas mengenai perkara ini,” katanya.

Dijadualkan bermula pada 7 Dis, persidangan perubahan iklim di ibu kota Denmark itu bertujuan mencapai persetujuan menggantikan Protokol Kyoto 1997. Ia akan berakhir dengan perhimpunan peringkat sidang kemuncak pada 17 dan 18 Dis.

Sarkozy telah bercakap tentang keperluan untuk mewujudkan satu badan baru, Pertubuhan Alam Sekitar Dunia, dan mempersoalkan tentang kelemahan Protokol Kyoto iaitu antaranya, ketiadaan badan pemantau bagi memastikan semua perjanjian di bawah protokol itu dilaksanakan.

Najib berkata mereka yang mengambil bahagian dalam perbahasan hari ini berpendapat negara-negara membangun, terutamanya negara-negara kepulauan kecil, seharusnya mendapat peruntukan lebih besar daripada dana yang baklamenyediakan peruntukan US$10 bilion setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu negara-negara miskin memerangi pemanasan global.

Semasa perbahasan itu, pemimpin utama Malaysia berkata beliau menegaskan akan keperluan Komanwel mengambil pendirian tegas mengenai kepentingan bagi mengadakan penjanjian mengenai perubahan iklim, yang terikat daripada segi undang-undang, di Copenhagen.

“Saya juga memberitahu sesi itu bahawa negara-negara tidak harus mengenepikan komitmen mereka di bawah Protokol Kyoto kerana jika mereka berbuat demikian, akan berlakulah perlanggaran prinsip-prinsip asas,” kata Najib.

Merujuk kepada dana yang dicadangkan bagi menangani pemanasan global, Perdana Menteri berkata para pentadbir dana seharusnya tidak mengenakan terlalu banyak syarat bagi negara-negara yang berminat untuk menggunakannya.

“Syarat-syarat yang dikenakan hendaklah ditetapkan pada tahap minimum. Jika tidak, ia tidak akan dapat merealisasikan tujuan untuk membantu negara kepulauan kecil serta negara-negara membangun lain,” katanya.

Najib mendapati mereka yang mengambil bahagian dalam perbahasasn itu berpendapat bahawa perubahan iklim terus menimbulkan ancaman kepada negara-negara membangun terutamanya negara kepulauan kecil, yang tidak menyumbang kepada pemanasan global.

“Namun, negara kepulauan kecil inilah yang paling teruk terjejas,” katanya.

Ketika merasmikan CHOGM 2009, Ratu Elizabeth II bertitah ancaman kepada alam sekitar kini merupakan cabaran global yang akan terus menjejaskan keselamatan dan kestabilan berjuta penduduk dunia dalam tahun-tahun mendatang.

Baginda bertitah mereka yang terlibat merupakan golongan yang amat mudah terjejas dengan kebanyakan mereka tiada berkeupayaan untuk menghadapi kesan buruk perubahan iklim menetap di negara-negara Komanwel.

“Komanwel boleh berasa bangga dengan hakikat dalam setiap enam dekad (penubuhannya), ia telah membentuk maklum balas antarabangsa terhadap cabaran-cabaran global yang muncul.

“Dan menjelang Sidang Kemuncak Mengenai Perubahan Iklim PBB di Copenhagen, Komanwel mempunyai peluang untuk menjadi peneraju sekali lagi,” titah baginda.

Dianggotai 53 negara-negara bekas jajahan British, Komanwel menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-60 tahun ini.

APEC: KERJASAMA EKONOMI ASIA PASIFIK

Persefahaman Apec bukan cakap kosongOleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my
Kerjasama ekonomi mampu makmurkan pertumbuhan serantau

16 Nov hingga 20 Nov 2009, tumpuan dunia sudah pasti ke Singapura yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2009. Kehadiran pemimpin daripada 21 negara anggota forum itu dilihat penting kerana laporan yang disiarkan kumpulan ekonomi itu kelmarin menyebut eksport anggota Apec adalah 2.8 kali ganda serta import 1.9 kali ganda antara negara anggota berbanding dengan negara bukan anggota Apec.

Menurut laporan itu juga, daripada 1989 hingga 2007, pertumbuhan ekonomi negara anggota Apec adalah sekitar 6.1 peratus, iaitu lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi dunia sekitar 5.8 peratus. Dalam tempoh sama itu juga, jumlah keseluruhan eksport Apec meningkat AS$6.2 trilion (RM21.7 trilion), iaitu purata peningkatan sebanyak 9.5 peratus setahun.

Dunia sudah pasti mengakui bahawa kerjasama ekonomi membabitkan negara anggota Apec yang turut dianggotai kuasa besar ekonomi dunia, jelas memberikan kemakmuran kepada rantau ini. Amerika Syarikat, China, Jepun, Taiwan, Korea Selatan, Singapura serta Hong Kong adalah antara kuasa besar ekonomi dunia dan sudah pasti ia jelas memberikan keuntungan kepada negara membangun yang turut menjadi anggota Apec.

Sudah pasti, Malaysia antara negara anggota asal kerjasama ini, yang ditubuhkan pada 1989 mendapat banyak manfaat bagi membangunkan ekonomi dan perdagangan negara dengan memperoleh pelbagai maklumat dan maklum balas daripada negara maju.

Bagaimanapun, ramai penganalisis ekonomi dan politik yang berhimpun di Pusat Konvensyen Suntec City, Singapura, turut berpendapat isu ekonomi bukan tumpuan utama pemimpin besar dunia, walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu.

Kehadiran julung kali Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Asia Tenggara dengan tujuh daripada 10 negara ahli Asean turut menjadi anggota Apec jelas mencuri perhatian. Obama pasti tahu bahawa betapa pentingnya kestabilan rantau Asia Tenggara kepada iklim ekonomi dunia kerana ia mampu mengubah senario ekonomi dunia, selain pelaburan besar syarikat negara itu ke rantau ini.

Justeru, walaupun masih belum ada pengumuman rasmi, Obama dijangka mengadakan pertemuan dengan semua tujuh pemimpin Asean termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Malah, Perdana Menteri yang tiba ke Singapura hari ini, mempunyai jadual ketat dengan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa Ketua Kerajaan anggota Apec.

Antara yang sudah mengesahkan pertemuan dengan Najib adalah Presiden Russia, Dmitry Medvedev; Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd; Presiden Chile, Michelle Bachelet Jeria serta Presiden Vietnam, Nguyen Minh Triet. Malaysia sememangnya dihormati dalam bidang ekonomi dunia walaupun, perdagangan serta ekonomi negara masih jauh jika dibandingkan dengan Hong Kong, Taiwan atau negara jiran, Singapura tetapi kesungguhan negara dalam membangunkan ekonomi amat dipuji masyarakat perniagaan dunia.

Ramai antara mereka yang masih tidak lupa bagaimana Malaysia mengambil pendekatan yang dilihat amat radikal bagi menghadapi krisis kewangan dunia antara tahun 1997 dan 1998 apabila menambat nilai ringgit kepada dolar Amerika. Pendekatan radikal dalam melindungi ekonomi negara diteruskan lagi tahun lalu, apabila Perdana Menteri mengumumkan dua Pakej Rangsangan Ekonomi yang membabitkan perbelanjaan hampir RM100 bilion.

Semua ini, membuktikan betapa Malaysia amat komited dalam melindungi ekonomi domestik selain meneruskan pelbagai pembaharuan dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI). Dasar liberalisasi beberapa sektor perniagaan dan perkhidmatan yang diumumkan baru-baru ini, jelas disambut baik masyarakat perniagaan antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak FDI mengalir masuk ke Malaysia.

Apa yang pasti, Apec 2009 bukan saja pentas untuk Malaysia mempelajari dan membangunkan ekonomi negara tetapi juga ruang terbaik bagi negara membangun seperti Peru, Filipina dan Mexico mempelajari pengalaman negara untuk meningkatkan perdagangan mereka walaupun pada saat tidak menentu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dipetik sebagai berkata, Malaysia akan menggunakan pentas Apec untuk menghuraikan penstrukturan semula ekonominya dalam transformasi pertumbuhan domestik. Beliau yang dijemput untuk membentangkan kertas kerja mengenai kejayaan Malaysia melaksanakan beberapa langkah ekonomi bukan konvensional bagi mengurangkan kemerosotan ekonomi global terhadap negara.

Apa yang pasti, Sidang Kemuncak Apec 2009 di Singapura ini, juga sebenarnya medan terbaik negara mempromosikan Koridor Pembangunan Ekonomi, Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada 2006. Iskandar Malaysia seluas 2,200 kilometer persegi, dua kali ganda luas daripada Singapura kini, sudah mampu menarik pelaburan asing dan domestik berjumlah hampir RM46 bilion.

Projek mega itu, yang mengambil masa 25 tahun untuk siap sepenuhnya, adalah impian Malaysia untuk mewujudkan satu kawasan pembangunan ekonomi metropolis setaraf yang ditawarkan di Hong Kong dan Shenzhen, China serta Singapura. Komitmen kerajaan memajukan Iskandar Malaysia terbukti apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama negara, Khazanah Nasional Bhd diberikan tanggungjawab untuk menarik FDI ke kawasan berkenaan.

Sebagai Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Najib sudah pasti akan menggunakan kesempatan itu, sebagai ‘jurujual’ utama negara bagi menarik pelabur asing atau lebih tepat masyarakat perniagaan dalam negara anggota Apec, melabur di Iskandar Malaysia.

Sudah pasti Apec 2009 akan menjadi wadah terbaik bagi ketua kerajaan dan masyarakat perniagaan dunia untuk meneroka peluang baru bagi meningkatkan tahap ekonomi dan perdagangan negara atau syarikat masing-masing.

Segala omongan dan dakwaan bahawa Apec adalah sidang untuk ‘bercakap kosong’ tanpa sebarang tindakan konkrit diambil bagi membantu mengurangkan jurang kekayaan antara negara maju dan membangun seharusnya ditangkis dengan satu deklarasi pemimpin negara anggota yang jitu, sejajar temanya tahun ini, ‘Mengekalkan Pertumbuhan, Menghubungkan Rantau’.

Sidang Kemuncak ASEAN, Thailand 2009

Komuniti Asean berorientasi rakyat menjelang 2015
cha-An, Thailand

ASEAN perlu menjadi sebuah pertubuhan serantau yang berorientasikan rakyat dan pelaksanaan jika ia mahu cita-cita mewujudkan Komuniti Asean menjelang 2015 menjadi kenyataan.

Perdana Menteri Thailand yang juga Pengerusi Asean, Abhisit Vejjajiva, ketika merasmikan Sidang Kemuncak Asean Ke-15 dan sidang kemuncak berkaitan di sini, semalam, berkata bagi melahirkan Komuniti Asean – iaitu berlandaskan komuniti pelaksanaan, komuniti berhubung kait dan komuniti untuk rakyat, semua negara anggota secara bersama perlu menggariskan wawasan dan matlamat yang jelas ke arah 2015 dan selanjutnya.

“Dengan mengambil kira cabaran dan perubahan yang berlaku di rantau ini dan sekitar, kita (ketua negara dan kerajaan Asean) perlu berusaha keras dengan semangat kerjasama dan kesatuan menjadikan Komuniti Asean satu realiti.

“Sebagai komuniti pelaksanaan, Asean mesti bersepakat menghadapi dan menentang sebarang bentuk ancaman terhadap rantau kita atau rakyat kita sama ada dari dalam dan luar negara.

“Kita tidak ada banyak masa, jadi untuk menghadapinya kita mesti memperkukuhkan struktur institusi, supaya sesuatu keputusan membabitkan kepentingan bersama dapat dibuat cepat dan serentak,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean Ke-15 dan semua sidang kemuncak berkaitan termasuk Asean+1, Asean+3, Sidang Asia Timur dirasmikan serentak di Hotel Dusit Thani di sini, tanpa sebarang gangguan keselamatan selepas kumpulan baju merah yang pro bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, malam kelmarin memutuskan tidak akan mengadakan tunjuk perasaan atau menghalang perjalanan persidangan itu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, tiba malam tadi.

Abhisit berkata, beliau mengimpikan, sebagai komuniti yang berhubung kait, Asean akan menjadi rantau di mana barang dan manusia, termasuk pelaburan boleh bergerak melepasi sempadan negara tanpa banyak halangan, selain hubungan darat, udara dan laut.

“Sebagai komuniti untuk rakyat, Asean akan menggalakkan capaian secara saksama bagi peluang pembangunan sumber manusia, selain kebebasan dan hak asasi manusia. Asean ditubuhkan untuk meningkatkan kehidupan rakyat, jadi marilah kita sama-sama bekerja ke arah itu.

“Sama ada Asean relevan atau tidak pada masa depan akan ditentukan berdasarkan keupayaan kita menyelesaikan semua masalah rakyat, dengan mempersiapkan mereka menghadapi dunia yang semakin mencabar. Asean mestilah menjadi simbol harapan dan nilai rakyat kita,” katanya.

Isu-isu libatkan Malaysia:
HUA HIN (Thailand): Sepuluh negara anggota Asean menyambung kembali rundingan tahunan dengan empat rakan dialog utamanya di sini hari ini, dengan memberi tumpuan kepada pelbagai mekanisma untuk meningkatkan hubungan, meningkatkan perdagangan serantau dan kerjasama kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyertai rakan sejawatannya dari lain-lain negara Asean untuk Retreat Pemimpin Asean di Hotel Dusit Thani.

Najib juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun yang baru Yukio Hatoyama dan Presiden Bank Pembangunan Asia Haruhiko Kuroda.

Perdana Menteri Thailand yang juga tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-15 Abhisit Vejjajiva mengetuai lain-lain pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak ke-12 Asean China, untuk berbincang dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao.

Menurut para pegawai yang berkaitan, fokus mesyuarat dengan negara yang memiliki pembangunan ekonomi terpantas dunia dan rakan dagang yang penting itu, bertumpu kepada penubuhan Dana Asean-China Untuk Kerjasama Pelaburan, dan Kredit Komersial; di mana China bersetuju untuk memberi sumbangan US$10 bilion (US$1 = RM3.38) dan US$15 bilion masing-masing kepada inisiatif itu.

Pemimpin itu juga akan menandatangani tiga Memorandum Persefahaman mengenai penubuhan Pusat Asean-China, MoU mengenai Pengukuhan Kerjasama dalam bidang Standard, Peraturan Teknikal dan Penilaian Penyesuaian, serta MoU mengenai Kerjasama Bidang Harta Intelek.

Pemimpin-pemimpin Asean itu kemudiannya akan berpeluang menemui Yukio yang menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Jepun buat pertama kali, di mana beliau dijangka memberi penerangan lebih lanjut mengenai rancangannya kepada negara-negara di Asia Timur untuk menubuhkan Komuniti Asia Timur.

Mesyuarat dengan Korea Selatan dijangka akan menyentuh mengenai kerjasama sserantau, antara lain berhubung inisiatif ”Low Carbon Green Growth”.

Sidang Kemuncak ke-tujuh Asia-India pula berlangsung dua bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Barang-barang Dagangan, yang membawa kepada semakan semula sasaran perdagangan dua hala kepada US$70 bilion pada tahun 2011.

PBB: UNESCO

YAB PM Berucap Pada Persidangan Agung UNESCO Ke 35 Di Paris

Teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UNESCO Ke-35 di Paris pada 6 Okt 2009.

 

Encik George Anastassopoulos, Presiden Sementara Persidangan Agung UNESCO, Encik Olabiyi Babalola Joseph Yai, Pengerusi Lembaga Eksekutif UNESCO, Encik Koichiro Matsuura, Ketua Pengarah UNESCO, Yang Berhormat Menteri-menteri, Anggota Perwakilan, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu, saya ingin menyampaikan salam mesra seluruh rakyat Malaysia kepada semua anggota perwakilan dan pemerhati pada Persidangan Agung UNESCO Ke-35 ini. Bagi pihak rakyat serta Kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UNESCO dan Ketua Pengarah Matsuura kerana memberi peluang dan penghormatan kepada saya berucap pada Persidangan Agung ini, sesuatu yang julung kali diberi kepada seorang Perdana Menteri Malaysia. Secara peribadi, dewan pertubuhan yang mulia ini telah menyingkap kembali kenangan lama, hubungan persahabatan dan semangat setiakawan yang telah terjalin sewaktu saya berkhidmat dalam Lembaga Eksekutif UNESCO sedekad lepas. Ia merupakan saat-saat yang sungguh manis dan penuh dengan nostalgia, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan bahawa Allahyarham ayahanda saya, Tun Abdul Razak, yang pernah menjadi Menteri Pelajaran pada era pra-kemerdekaan Malaysia dan perdana menteri kedua Malaysia, telah memainkan peranan penting dalam keputusan Malaysia menyertai UNESCO lebih lima dekad lepas.

Sukacita dimaklumkan bahawa persidangan ini bakal menyaksikan satu peristiwa yang penuh bersejarah. Ibarat kata, siling kaca yang telah wujud sejak sekian lama, akhirnya akan berderai di institusi ini, yang begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan persamaan hak bagi manusia, apabila ia akan secara rasminya memilih Puan Elrina Bokova sebagai wanita pertama yang menjadi Ketua Pengarahnya. Saya mendoakan kejayaan beliau dan amat yakin beliau mampu meneruskan tugas mulia mereka yang telah menyandang jawatan itu sebelum ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah sedia ada Encik Koichiro Matsuura, yang bakal meninggalkan jawatannya, atas kepimpinan cemerlang beliau selama ini.

Seperti yang kita semua sedia maklum, sepanjang perkhidmatan beliau, Encik Matsuura berjaya meningkatkan prestasi UNESCO dan meletakkan asas kukuh bagi usaha-usaha pembaharuan organisasi ini. Tuan Presiden, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Hari ini, ketika kita berdepan dengan jurang yang semakin melebar antara budaya dan pegangan agama, awan hitam kemelesetan ekonomi global, tragedi yang yang menusuk hati akibat perubahan iklim, kita tidak boleh lagi berdiam diri dalam zon selesa. Pilihan yang ada di hadapan kita bukanlah unilateralisme atau isolationisme. Perjalanan yang bakal kita lalui mestilah bersifat lebih imaginatif dan inklusif daripada segi kerjasama global.

Pada asasnya, terdapat tiga cabaran besar yang kini mendepani komuniti antarabangsa, yang perlu dihadapi dan diatasi secara bersama. Pertama, cabaran dalam memastikan wujudnya keamanan yang berkekalan, keamanan yang adil dan saksama, bukan keamanan untuk zaman kita saja, tetapi keamanan untuk setiap masa. Keamanan yang diwujudkan atas sikap kerelaan dan bukan yang dipaksakan secara hegemoni melalui ketakutan dan paksaan. Keamanan seperti ini hanya boleh dicapai jika kita bersedia untuk mendekatkan diri antara satu sama lain melalui dialog. Teringat saya kepada pandangan bernas ahli agama dan falsafah terkenal Jerman, Profesor Hans Kung, apabila beliau berkata: “Tidak akan wujud keamanan di dunia jika tidak wujud keharmonian dalam kalangan agama dan budaya yang menjurus ke arah itu; dan tidak akan wujud keharmonian antara agama jika tidak ada dialog sesama mereka”. Sesungguhnya, kejahilan, ketakutan, prejudis dan sikap ambil mudah yang tidak ditangani dengan sewajarnya, merupakan tempat yang subur untuk membiakkan kebencian, sikap melampau, sikap mudah menyerah pada nasib dan sikap fanatik, yang merupakan punca bagi semua penyakit yang melanda dunia hari ini. Malaysia bersedia memainkan peranannya dalam mengatur dialog antara budaya. Kedudukan geografi dan legasi sejarah yang dimilikinya, menjadikan Malaysia begitu strategik untuk bertindak sebagai jambatan bagi menghubungkan semua budaya utama di dunia. Tawaran ini dibuat bukan untuk sedap didengar saja, tetapi berdasarkan kepentingan dua hala dan kepentingan bersama kita. Lagi pun, adalah suatu hakikat bahawa suasana aman secara dalaman dan luaran merupakan pra syarat bagi pembangunan sesebuah negara. Sebenarnya, bagi rakyat Malaysia, dialog antara budaya merupakan suatu hakikat yang wujud dalam kehidupan harian mereka. Melalui kebijaksanaan mereka ketika mula-mula mencapai kemerdekaan, para pengasas negara kami telah menjadikan integrasi, bukannya assimilisasi sebagai dasar negara bagi menangani hubungan kaum dan membentuk sebuah negara baru. Pemilihan yang dibuat dengan penuh kesedaran ini, pada mulanya menerima keritikan hebat, sebelum kesudahannya, ia terbukti sebagai suatu langkah tepat oleh sejarah. Kami telah membuat perubahan daripada semata-mata menerima kepelbagaian kepada penerimaan, dan akhirnya, kini mercu set minda ini menerima kepelbagaian sebagai suatu sumber kekuatan negara, bukan sebagai suatu punca sengketa. Inilah yang menjadi tunjang falsafah 1Malaysia yang saya perkenalkan ketika mula-mula memegang jawatan April lepas. Kami yakin terhadap falsafah ini, yang berasaskan sikap saling mempercayai dan saling menghormati antara semua komuniti; harapan saya bagi Malaysia ialah 1impian, 1bangsa dan 1negara. Saya yakin ia merupakan formula yang betul, bukan saja bagi mewujudkan keharmonian nasional, tetapi juga sesuatu yang tepat ke arah meningkatkan keamanan serantau dan global. Justeru, adalah sesuatu yang logik, falsafah nasional ini diperluaskan sebagai konsep 1Rantau dan akhirnya, 1Dunia. Di peringkat serantau, empat puluh tahun lepas, Asia Tenggara merupakan rantau yang dilanda pelbagai sengketa. Hari ini, secara umumnya, ia merupakan rantau yang aman dan stabil. Jelas sekali, budaya keamanan yang meresap di seluruh rantau ini telah melahirkan peluang bagi negara anggotanya untuk memberi fokus terhadap agenda pembangunan nasional masing-masing. Budaya keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan terhasil daripada keunikan semangat serantau yang wujud dalam Asean, yang berasaskan dialog serta pembabitan secara konstruktif di dalam dan di luar rantau berkenaan.

 Cabaran kedua ialah dalam mewujudkan susun atur kewangan global yang baru. Tempoh lima puluh tahun lepas telah menyaksikan kemenangan besar bagi ekonomi pasaran melalui perancangan secara berpusat. Perubahan yang berlaku sekarang berpunca daripada kesan meluas dan merata, yang wujud daripada globlasasi yang berkembang dengan pesat, yang mengancam pelbagai sikap dan respons, daripada keghairahan yang tidak terkendalikan, hinggalah kepada penolakan secara total. Selain itu, penolakan terhadap globalisasi nampaknya diperkukuhkan lagi oleh implosi kewangan global semasa, yang berpunca daripada kelemahan ketara yang wujud dalam kedudukan kewangan global. Jelas sekali, ia merupakan cerminan daripada kejayaan dan kesan globalisasi, sementara gegaran daripada krisis kewangan Asia satu dekad lepas telah melanda seluruh rantau berkenaan, manakala kemelesatan kewangan semasa memberi kesan kepada semua negara, tanpa sebarang pengecualian. Di tengah-tengah keriuhan perbahasan di seluruh dunia sekarang, kita, sebagai pembuat dasar, tidak boleh lagi leka berhujah secara abstrak atau bermewah dengan masa. Kita perlu menghadapi realiti. Globalisasi tidak boleh diundur semula. Jarum jam tidak boleh diputar kembali dan kemajuan pula tidak boleh dihentikan. Namun demikian, peri perlunya menerima globalisasi tidak membawa bersamanya keperluan mutlak untuk menerimanya secara tanpa syarat. Kita perlu menolak kecenderungan semula jadi untuk berundur ke dalam kepompong sempit nasionalisme dan dasar perlindungan. Sebaliknya, kita perlu menghadapi cabaran ini secara bersemuka dengan berganding bahu untuk mengemudi proses ini ke arah mencapai hasil yang lebih lestari, saksama dan adil.

 

Tuan Presiden, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Bagi memastikan apa yang dihajati ini tercapai, semangat keusahawanan yang kental mestilah diiringi dengan kesedaran sosial. Ia juga perlu menganjurkan pertumbuhan secara saksama dan mengambil kira kepentingan semua pemegang kepentingan. Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan sistem kapitalis tidak terkawal yang dipacu oleh perasaan tamak haloba, kembali mengganas. Tanpa wujudnya rangka kerja kawal selia yang adil, dunia akan terjerumus ke lembah bencana dan malapetaka. Oleh itu, adalah penting susun atur kewangan global baru yang akan diwujudkan nanti, memastikan kemakmuran akan dikongsi secara sama rata. Mekanisme yang sewajarnya juga perlu diwujudkan bagi menangani perbuatan memanipulasi sistem berkenaan. Telah terbukti sebelum ini bahawa banyak pihak manjadi hamba kepada nafsu mengejar kekayaan, hingga sanggup melakukan apa saja, tanpa sebarang keinsafan.

 

Cabaran ketiga ialah mengurus perubahan iklim. Ia merupakan cabaran besar bukan saja bagi generasi akan datang, tetapi juga bagi kita hari ini. Ketika saya berucap ini, rantau saya dilanda bencana alam dan malapetaka yang amat dahsyat seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, Tsunami di Samoa Barat, taufan di Filipina dan banjir besar di selatan India. Saya ingin mengucapkan rasa simpati kepada penduduk Indonesia, Filipina, India dan Samoa Barat. Tragedi yang menyayat hati ini mengingatkan kita semua tentang betapa rapuhnya dunia yang kita diami ini dan betapa saling bergantungnya kita di dunia ini. Sidang kemuncak akan datang di Copenhagen Disember ini perlu mencerminkan komitmen dan tindakan kukuh global untuk memulihara beberapa tapak bersejarah sebagai sebahagian daripada warisan dunia. Bagaimanapun, warisan paling berharga yang boleh kita wariskan kepada generasi akan datang ialah bumi ini sendiri; sebuah planet yang menawarkan kehidupan berkualiti bagi manusia hingga ke akhir zaman kelak.

Tuan Presiden, Tun-tuan dan Puan-puan sekalian. Saya adalah orang pertama yang mengaku bahawa tugas yang ada di hadapan kita sebagai pembuat dasar dan pemimpin untuk memastikan semua cabaran itu dapat dicapai, adalah sesuatu yang bukan mudah untuk dilaksanakan. Bagaimanapun, kita tidak boleh berdiam diri. Kita perlu lakukan apa yang betul, walaupun ia sesuatu yang sukar. Ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi. Ia tidak boleh dibiarkan tidak kesampaian atau tidak diselesaikan. Ia perlu ditangani secara berdepan oleh masyarakat dunia dengan berbekalkan semangat kesepakatan yang jitu serta matlamat bersama yang lahir daripada hubungan muhibah, dengan berbekalkan pengalaman yang kita sama-sama miliki. Kita tidak boleh gagal kerana ia akan memberi kesan jangka panjang terhadap kelangsungan hidup kita. Generasi zaman lampau terpaksa membina semula order dunia daripada debu kehancuran sebelum melihatnya dimusnahkan semula oleh sikap tidak ambil peduli dalam kalangan kita yang berkemampuan, tetapi memilih untuk tidak mengambil kesempatan untuk membuat pembaharuan apabila wujud kesempatan. Akhir sekali, sebagai tanda komitmen ikhlas dan keyakinan mendalam kami terhadap gagasan yang terkandung dalam mandat yang diberi kepada UNESCO untuk membawa keamanan dan pembangunan melalui pendidikan, sains, budaya dan komunikasi, saya dengan sukacita mengumumkan hasrat kerajaan Malaysia untuk menubuhkan Dana Amanah Koperasi UNESCO-Malaysia. Dana ini akan digunakan bagi memperkukuhkan kerjasama Selatan-Selatan bagi pembinaan keupayaan dalam bidang pendidikan dan sains, demi faedah Negara-negara Paling Mundur, Negara-negara Kepulauan Kecil dan bagi menyokong agenda keutamaan Afrika. Kami yakin bahawa pendidikan yang berkualiti hanya dapat diberi oleh para guru yang berkualiti juga. Di Malaysia, kami percaya terhadap prinsip pendemokrasian pendidikan, iaitu akses secara adil kepada pendidikan yang berkualiti dan secara sepanjang hayat. Ideal yang diperjuangkan oleh UNESCO selama ini. Program terbaru kami ialah memberi penekanan terhadap pendidikan awal kanak-kanak (0 hingga 6 tahun), yang merupakan asas paling kukuh yang dapat kami berikan kepada seseorang kanak-kanak. Bagi menyumbang ke arah perkongsian ideal ini dengan negara lain, saya dengan sukacita mengumumkan bahawa tahun depan, Malaysia akan menyediakan geran permulaan USD 5 juta, diikuti sumbangan USD 1 juta setiap tahun. Program di bawah dana ini akan dilaksanakan melalui perundingan dengan pejabat Serantau UNESCO di Bangkok dan Jakarta, Jabatan Keutamaan Afrika dan Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia bagi UNESCO di Kementerian Pendidikan. Di bawah inisiatif ini, Malaysia akan menyediakan kemudahan latihan guru bagi peringkat pra perkhidmatan, dalam perkhidmatan, pentadbiran dan pengurusan sekolah. Sejajar dengan ini, kira-kira 300 tempat akan disediakan setiap tahun di semua peringkat. Tuan Presiden, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Ada satu pepatah Melayu lama yang membawa maksud, melalui kerjasama, kita mampu menawan semua puncak gunung, meredah semua lurah dan merentasi semua sungai. Tidak ada halangan yang terlalu tinggi, terlalu dalam atau terlalu luas untuk kita atasi sekiranya kita berganding bahu serta menggembleng fikiran dan tindakan sebagai 1Dunia. Sekian, terima kasih…

Organisasi Antarabangsa

Organisasi Antarabangsa

  • Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
    org_un1  

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PB) adalah sesuatu organisasi antarabangsa yang bermatlamat untuk mempermudahkan kerjasama dalam undang-undang antarabangsa, keselamatan antarabangsa, pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan isu-isu hak asasi manusia. Ketika ini terdapat 192 negara yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang merangkumi hampir kesemua Negara merdeka. [PAUTAN]

  • Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO)
    WTO1WTO1.gif  

    Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) merupakan sebuah pertubuhan antarabangsa yang ditubuhkan untuk meliberalkan perdagangan antarabangsa. WTO menetapkan peraturan perdagangan antarabangsa, bertanggungjawab untuk merunding dan melaksanakan perjanjian-perjanjian baru perdagangan dan memastikan Negara ahlinya memegang kepada perjanjian WTO yang dimeterai. [PAUTAN]

  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
    WHO  

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merupakan satu agensi khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (BPP) yang bertindak untuk mengkoordinasi kesihatan penduduk antarabangsa. Agensi ini ditubuhkan pada 7 April 1948 dan beribu Pejabat di Geneva, Switzerland. [PAUTAN]

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN SERANTAU

  • Dialog Kerjasama Asia (ACD)
    acd1  

    Dialog Kerjasama Asia (ACD) diperkenalkan pada Jun 2002 di Cha-Am Thailand, di mana 18 menteri Luar Negeri Asia pertemuan buat kali pertama. Ianya merupakan forum perbincangan yang pertama di Asia. [PAUTAN]

  • Bank Pembangunan Asia (ADB)
    adb  

    Bank Pembangunan Asia (ADB) ditubuhkan bertujuan untuk mengingkatkan kebajikan rakyat di Asia dan Pasifik, terutamanya 1.9 bilion orang yang mempunyai taraf hidup kurang daripada $2 sehari. [PAUTAN]

  • Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN)
    org_asean1  

    Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN) telah diwujudkan di Bangkok, Thailand, dengan menandatangani Deklarasi Bangkok pada 8hb Ogos 1967. Ahli-ahli ASEAN terdiri daripada Negara Brunei Darussalam, Kambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Sekretariat ASEAN terletak di Jakarta, Indonesia. [PAUTAN]

  • Kerjasama Ekonomi Asia-Pacific (APEC) 
    org_apec1  

    Kerjasama Ekonomi Asia-Pacific (APEC) ditubuhkan pada 1989 adalah disebabkan peningkatan ketidak bergantungan diantara ekonomi negara-negara Asia-Pasifik dan menggambarkan anggaran separuh daripada perdagangan dunia. Malaysia berperanan menjadi pengerusi kepada mesyuarat dan aktiviti APEC pada tahun 1998. Objektif APEC adalah untuk mengekal dan mengawal peningkatan ekonomi di rantau ini dan dunia; meningkatkan matlamat positif dengan mengalakkan pengairan barang, perkhidmatan, modal dan teknologi; membangunkan dan menguatkan sistem perdagangan terbuka pelbagaihala; mengurangkan sekatan; dan menyelaraskan perdagangan barang dan perkhidmatan dengan prinsip ‘General Agreement on Tariff and Trades (GATT)’. [PAUTAN]

  • Pertubuhan Perundingan Undang-undang Asia-Afrika(AALCO)
    AALCO1  

    Pertubuhan Perundingan Undang-undang Asia-Afrika(AALCO) adalah sebuah organisasi kerajaan antarabangsa ditubuhkan dalam 1956, yang berkhdimat sebagai suatu lembaga penasihat berkaitan dengan undang-undang antarabangsa untuk anggota-anggotanya. Ia dilahirkan semasa Persidangan Bandung di Indonesia pada April, 1955. [PAUTAN]

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN DENGAN KRITERIA PELBAGAI KEANGGOTAAN

  • Persidangan Negara-negara Islam (OIC)
    org_oic1  

    Persidangan Negara-negara Islam (OIC) adalah organisasi antarabangsa yang terdiri daripada 56 negara dimana telah bersetuju untuk mengumpul sumber, menggabung dan menyelamat kemajuan untuk kebaikan manusia dan masyarakat Islam sedunia. [PAUTAN]

  • Komanwel
    org_comm1  

    Malaysia berperanan aktif dan penting di dalam Komanwel. Penglibatan kita adalah pelbagai dan meluas. Ini adalah termasuk perkara-perkara berikut : aspek organisasi, Malaysia mempengerusikan Kumpulan Peringkat Tinggi Penilaian di dalam Komanwel pada sekitar tahun 1990an dan pada dasarnya menyemak semula peranan dan struktur Komanwel pada sekitar tahun 1990an, dan terdahulu kedua-dua pihak peringkat Ketua Kerajaan dan Pegawai Tinggi dalam tahun 1990. Malaysia juga mempengerusi mesyuarat pertama Jawatankuasa Pengerak Pegawai Tinggi (Steering Committee of Senior Officials – SCOSO) pada tahun 1993 di mana bertugas untuk menyediakan garis panduan polisi dan arahan strategik masa hadapan untuk Sekretariat Komanwel bagi membawa mandat yang telah diamanahkan. [PAUTAN]

  • Pergerakan Berkecuali (NAM)
    logonam1  

    Pergerakan Berkecuali(NAM) adalah sesuatu organisasi antarabangsa yang terdiri daripada Negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana blok kuasa. NAM ditubuhkan pada tahun 1950 dan kini mempunyai 118 ahli. [PAUTAN]

    Sepintas lalu kemuncak NAM 

    Persidangan Pertama – Belgrade , September 1-6, 1961
    Persidangan Kedua – Cairo , Oktober 5-10, 1964
    Persidangan Ketiga – Lusaka , September 8-10, 1970
    Persidangan Keempat- Algiers , September 5-9, 1973
    Persidangan Kelima- Colombo , Ogos 16-19, 1976
    Persidangan Keenam- Havana , September 3-9, 1979
    Persidangan Ketujuh- New Delhi , Mac 7-12, 1983
    Persidangan Kelapan- Harare , September 1-6, 1986
    Persidangan Kesembilan- Belgrade , September 4-7, 1989
    Persidangan Kesepuluh- Jakarta , September 1-7, 1992
    Persidangan Kesebelas- Cartagena de Indias , Oktober 18-20, 1995
    Persidangan Keduabelas- Durban , August 29 – September 3, 1998
    Persidangan Ketigabelas- Kuala Lumpur , Februari 20-25, 2003
    Persidangan Keempatbelas – Havana, September 11 – 15, 2006

Kumpulan Lima belas (G-15)

org_g151.gif  

Kumpulan Lima belas (G-15) ditubuhkan sebagai mesyuarat peringkat kumpulan negara membangun pada September 1989, berikutan daripada kesimpulan daripada mesyuarat Ninth Non-Aligned Summit di Belgrade, Yugoslavia. Ahli-ahli kumpulan adalah terdiri daripada Algeria, Argentina, Brazil, Chile, Egypt, India, Indonesia, Jamaica, Kenya, Malaysia, Mexico, Nigeria, Peru, Senegal, Sri Lanka, Venezuela dan Zimbabwe.

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)

MAJLIS KESELAMATAN PBB

 PBB

PERHIMPUNAN AGUNG 

MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA PBB         The Hague, Netherlands

 

PARA HAKIM MAHKAMAH JENAYAH PERANG PBB BERSAMA SETIAUSAHA AGUNBG PBB

 

 SETIAUSAHA AGUNG PBB MEMBERI UCAPAN

PASUKAN PENGAMAN PBB

Africa

  • UNAMID (African Union/United Nations Hybrid operation in Darfur)
  • UNMIS (United Nations Mission in the Sudan)
  • UNOCI (United Nations Operation in Côte d’Ivoire)
  • UNMIL (United Nations Mission in Liberia)
  • MONUC (UN Organization Mission in the Democratic Republic of the Congo)
  • MINURSO (United Nations Mission for the Referendum in Western Sahara)
  • MINURCAT (United Nations Mission in the Central African Republic and Chad)

Americas

  • MINUSTAH (United Nations Stabilization Mission in Haiti)

Asia and the Pacific

  • UNMIT (United Nations Integrated Mission in Timor-Leste)
  • UNMOGIP (United Nations Military Observer Group in India and Pakistan)

Europe

  • UNFICYP (United Nations Peacekeeping Force in Cyprus)
  • UNMIK (UN Interim Administration Mission in Kosovo)

Middle East

  • UNDOF (United Nations Disengagement Force)
  • UNIFIL (United Nations Interim Force in Lebanon)
  • UNTSO (United Nations Truce Supervision Organization)