Category Archives: KENEGARAAN: ISU SEMASA

Pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik

Laporan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi oleh PM Malaysia, 19-3-2013

index

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 tahun 2012, menyaksikan peningkatan sebanyak 7.2 peratus setahun.
Peningkatan pendapatan isi rumah bandar meningkat pada kadar 6.6 peratus setahun daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 tahun lepas manakala bagi kawasan luar bandar, bertambah pada kadar 6.4 peratus iaitu daripada RM2,545 kepada RM3,080.

index 2
Peningkatan ketara ini dicapai hasil usaha kerajaan Persekutuan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil secara berterusan. Impaknya adalah ketara melalui peningkatan peluang ekonomi secara meluas yang berupaya bukan saja menjana peluang pekerjaan bahkan pembangunan perniagaan dan perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi.
Semua negeri mencatat peningkatan pendapatan isi rumah purata dengan Kuala Lumpur pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.9 peratus (daripada RM5,488 kepada RM8,586) diikuti Labuan 12 peratus (RM4,407 kepada RM6,317), Perlis 10.1 peratus (RM2,617 kepada RM3,538), Terengganu 9.1 peratus (RM3,017 kepada RM3,967) serta Negeri Sembilan (RM3,540 kepada RM4,540) dan Sabah (RM3,102 kepada RM4,013) yang masing-masing mencatat 8.6 peratus.
Dari segi etnik, kaum India mencatat peningkatan tertinggi iaitu 9 peratus (daripada RM3,999 kepada RM5,233) diikuti Cina 8 peratus (RM5,011 kepada RM6,366) dan bumiputera 6.9 peratus (RM3,624 kepada RM4,457).
PPIR 2012 juga menunjukkan pengagihan pendapatan dalam kalangan isi rumah keseluruhan bertambah baik dengan pengurangan Pekali Gini daripada 0.441 bagi 2009 kepada 0.431 pada tahun lepas, yang menyaksikan pengurangan di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing daripada 0.423 kepada 0.417 dan 0.407 kepada 0.382.
Insiden kemiskinan keseluruhan juga berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus tahun lepas dengan jumlah isi rumah miskin berkurangan sebanyak 52.7 peratus, iaitu daripada 228,400 kepada 108,000 dalam tempoh sama.
Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia ke-10 untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2 peratus pada 2015 telahpun tercapai tiga tahun lebih awal. Ini adalah hasil pertumbuhan pesat ekonomi negara serta keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan.
indeks 3

Pengurangan insiden kemiskinan adalah menyeluruh yang menyaksikan di kawasan bandar merosot daripada 1.7 peratus kepada 1 peratus manakala di luar bandar berkurangan daripada 8.4 peratus kepada 3.4 peratus.
Kadar kemiskinan bumiputera turun daripada 5.3 peratus kepada 2.2 peratus, Cina daripada 0.6 peratus kepada 0.3 peratus dan India daripada 2.5 peratus kepada 1.8 peratus.

Syarat Bantuan 1Malaysia BRIM1 dan BRIM2   (Bantuan Rakyat 1Malaysia)

Syarat Bantuan 1Malaysia BRIM1 dan BRIM2 (Bantuan Rakyat 1Malaysia)


Sabah mencatat pengurangan yang ketara daripada 19.7 peratus kepada 8.1 peratus diikuti Perlis daripada 6 peratus kepada 1.9 peratus dan Terengganu daripada 4 peratus kepada 1.7 peratus. Putrajaya telah mencapai status kemiskinan sifar pada 2012.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Anjakan sistem pendidikan Malaysia
11 Sept 2012. Majlis Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025


Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 dengan menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.

Antara perkara yang boleh dijangka dalam Gelombang Pertama pelaksanaan pelan tersebut mulai 2013 hingga 2015 adalah peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.
Gelombang Kedua mulai tahun 2016 hingga 2020 akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baru. Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.
Dalam Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Pelan itu juga menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.
Dalam pelan ini, sebanyak sembilan bidang keutamaan yang dikenal pasti. Sembilan bidang keutamaan tersebut adalah:

1. Memartabatkan profesion perguruan;
2. Meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;
3. Meningkatkan kualiti sekolah;
4. Memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;
5. Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;
6. Mengukuhkan penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;
7. Meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;
8. Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber dan
9. Membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Berdasarkan sembilan bidang keutamaan tersebut, kementerian mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh rakyat.

Sebelas anjakan tersebut adalah:
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa;
2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris;
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai;
4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah;
6. Mengupaya jabatan pelajaran negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia;
8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas;
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan
11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.

Pandangan panel penilai bebas tempatan dan antarabangsa diperolehi dalam penyediaan laporan awal pelan tersebut.Kementerian juga turut mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

Malaysia tuan rumah APEC 2020

9-9-2012 VLADIVOSTOK Rusia: Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020, demikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PM Malaysia bertemu Presiden Rusia


Mengikut turutan, Malaysia dijadual menganjurkan acara itu pada 2020, iaitu tahun yang bertuah dan penting bagi negara ini.
“Perkara ini dalam perancangan dan (Malaysia) akan menjadi tuan rumah acara itu,” katanya ketika memberi taklimat kepada wartawan Malaysia mengenai hasil Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 yang berakhir 9-9-2012

Datuk Seri Najib Razak menyertai 20 ketua-ketua ekonomi lain dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC 2012 bagi membincangkan perkembangan di rantau Asia Pasifik dan hala tuju masa depan bersama

PM kita mengadakan mesyuarat dua hala dengan presiden negara tuan rumah, Russia, Vladimir Putin. Beliau juga bertemu dengan tiga ketua ekonomi lain, iaitu Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard.

Beliau juga bertemu dengan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, Presiden Filipina Benigno Aquino dan Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda.

Ketua-Ketua Negara APEC 2012, Rusia


Meskipun kedudukan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ialah sebagai platform bagi menetapkan hala tuju dan kerjasama perdagangan di kalangan anggotanya bagi pembangunan dan kemajuan ekonomi bersama, dalam persekitaran tidak terikat, acara tahunan ini sama seperti sebelumnya, akan terus melihat isu bukan perdagangan lain dibincangkan di luar dari sidang kemuncak itu.

Menteri Luar dan Menteri Ekonomi APEC bertemu

Deklarasi Kazan
Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 berakhir pada 9-9-2012 Ahad, dengan 21 ekonomi anggota bersetuju untuk bertindak menyelesaikan banyak isu dan tindakan yang dicadangkan yang telah dibincangkan selama setahun bagi mencapai matlamat bersama mereka meneruskan perpaduan dan kemakmuran serantau.

Jaminan makanan diberikan perhatian serius dalam mesyuarat itu, dengan Deklarasi Kazan bagi Jaminan Makanan APEC disokong oleh semua pemimpin. Deklarasi Kazan ialah pelan hala tuju bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan mengukuhkan pengedarannya dalam persekitaran perdagangan bebas dan menangani isu-isu seperti manipulasi harga makanan manakala pada masa yang sama menggalakkan faktor-faktor pengeluaran makanan.

Satu bilion daripada tujuh bilion penduduk dunia sekarang berdepan isu kekurangan makanan, dan ketika penduduk pada 2050 dijangka meningkat kepada 9.3 bilion, jaminan makanan menjadi satu isu kritikal yang boleh membawa impak kepada masa depan. Perlu ada galakan bagi pengeluaran dan langkah-langkah untuk memastikan petani yang mengeluarkan makanan mendapat keuntungan seimbang daripada pengeluaran mereka.

Kaedah-kaedah dikenal pasti untuk mengedarkan makanan dengan cekap sambil menambah pengurangan pembaziran dan penyediaan tempat penyimpanan dan logistik yang lebih baik demi memastikan peningkatan keuntungan bagi petani dan nelayan. Dengan keuntungan yang lebih baik, akan ada lebih banyak pengeluaran makanan. Selain itu, manipulasi harga makanan perlu ditangani.
Inovasi juga diberi tumpuan pada mesyuarat itu walaupun masa agak terhad. Ini merupakan bahagian penting kerana ia akan menjana sumber pendapatan baharu bagi ekonomi.

Mengenai kerjasama pendidikan, idea mobiliti dibincangkan bagi memastikan pindahan kredit dalam universiti di rantau ini dapat dilaksanakan.

Dasar Luar Malaysia: NAM dan Isu Palestin

KENYATAAN KERAJAAN MALAYSIA


YB MENTERI LUAR NEGERI MENGHADIRI MESYUARAT PERINGKAT

MENTERI JAWATANKUASA GERAKAN NEGARA-NEGARA

BERKECUALI (NAM) MENGENAI PALESTIN,

DI TEHRAN, REPUBLIK ISLAM IRAN,

28 OGOS 2012

________________________________________________________________________

YB Dato’ Sri Anifah Aman, Menteri Luar Negeri Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin pada 28 Ogos 2012 sempena Mesyuarat Persediaan Menteri Sidang Kemuncak NAM ke-16. Mesyuarat itu dihadiri oleh Algeria, Bangladesh, Colombia, Cuba, Mesir, India, Indonesia, Malaysia, Palestin, Senegal, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Zambia. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Iran.

Persidangan NAM, Iran Ogos 2012


Semasa mesyuarat itu, YB Dato’ Sri Anifah Aman telah sekali lagi menyuarakan sokongan Malaysia untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestine dari penindasan rejim Israel. Beliau juga mengkritik tindakan Israel menyekat cadangan mengadakan Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin di Ramallah, Palestin dari 5 – 6 Ogos 2012.

YB Dato’ Sri Anifah Aman menggesa supaya Jawatankuasa ini berusaha dengan lebih kuat lagi untuk membantu dalam perjuangan rakyat Palestin selain daripada hanya mengeluarkan kenyataan dan kritikan. Jawatankuasa berkenaan telah bersetuju untuk menubuhkan satu Pasukan Petugas Tindakan Khas yang terdiri daripada Wakil Tetap yang berkenaan di New York dengan mandat untuk menggubal tindakan-tindakan dan langkah-langkah yang kukuh bagi menyelesaikan isu-isu Palestin.

Kementerian Luar Negeri

31 Ogos 2012

Malaysia berdaulat: Suruhanjaya Siasatan Diraja

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah

Dipetik dan disesuaikan daripada Bernama 12 Ogos 2012

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perincian dan terma rujukan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing (RCI). Suruhanjaya itu diberi masa enam bulan untuk menyiapkan siasatan mengenai masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah. Tempoh enam bulan itu bermula dari tarikh tauliah pelantikan pengerusi dan anggota RCI dikeluarkan dan laporan siasatan itu perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Hakim Besar Sabah Dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong


Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong manakala Ketua Setiusaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai setiausahanya.

RCI akan dianggotai empat pesuruhjaya iaitu bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman Luping, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk K.Y Mustafa dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, katanya.

Cadangan kerajaan persekutuan bagi penubuhan suruhanjaya itu mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Perdana Menteri turut mengumumkan terma rujukan suruhanjaya itu yang bermatlamat untuk menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang diberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan. Siasatan akan menjurus kepada sama ada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah adalah menurut peruntukan undang-undang.

Suruhanjaya juga akan menyiasat sama ada pendatang asing di Sabah yang memegang kad pengenalan biru, resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang telah didaftarkan dalam daftar pemilih. Selain itu, RCI juga akan menyiasat sama ada pihak berkuasa yang berkenaan telah mengambil apa-apa tindakan atau membuat apa-apa penambahbaikan kepada prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan bagi mengelakkan apa-apa ketidakteraturan daripada segi undang-undang.

Siasatan lebih lanjut juga perlu berhubung prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berhubung dengan pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dengan mengambil kira standard dan norma antarabangsa yang terpakai bagi Malaysia. RCI akan mengesyorkan apa-apa pindaan atau perubahan untuk memantapkan dan menambah baik prosedur amalan standard, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan itu.

RCI juga ditubuhkan bagi tujuan menyiasat sebab-sebab peningkatan populasi di Sabah mengikut pelbagai kategori iaitu warga Sabah yang menetap di Sabah, termasuk mereka yang diberikan kad pengenalan biru dan kewarganegaraan melalui sijil kelahiran (pendaftaran lewat), pekerja asing (termasuk ahli keluarga), pendatang asing tanpa izin (termasuk ahli keluarga) dan pelarian serta meneliti kesannya terhadap bilangan yang mendaftar dalam daftar pemilih.

Siasatan juga melibatkan implikasi sosial ke atas masyarakat di Sabah yang berbangkit daripada pemberian kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dan menyiasat bilangan pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan biru atau kewarganegaraan dengan mengambil kira status mereka sebagai orang yang tidak bernegara.

Penubuhan suruhanjaya siasatan itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan Persekutuan untuk menyiasat isu-isu yang dibangkitkan berhubung pendatang asing di Sabah. Kerajaan berharap rakyat Sabah akan mendapat manfaat daripada penubuhan suruhanjaya siasatan berkenaan dan bersama-sama menyokong kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah yang berkaitan.

Sebelum ini, pelbagai pihak di Sabah termasuk parti komponen BN negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) begitu lantang menyuarakan masalah pendatang tanpa izin yang tidak berkesudahan dan berharap kerajaan BN melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan.

Berdasarkan jawapan di Parlimen tahun lepas, penduduk Sabah yang berjumlah 651,304 pada 1970 meningkat kepada 929,299 sedekad kemudian. Bagaimanapun bagi tempoh dua dekad selepas itu, populasi Sabah meningkat secara ketara kepada 1.5 juta dan dicatat pada 2,468,246 orang menjelang 2000.

Kenegaraan: Isu Kepulauan Spratly

Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan akibat ZEE

Nota:
Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)
• ZEE bermakna hak pengurusan dan eksploitasi kekayaan di kawasan
perairan(200 batu).
• Melalui ZEE kita dapat mengeksploitasi petroleum di kawasan
perairan Malaysia.
• Rebutan kepulauan Spratly oleh Cina, Filipina, Vietnam, dan
Malaysia.( Pulau Natuna Anambas )
• (timbul masalah rebutan Pulau Batu Putih dengan Singapura).
Sipadan-Ligitan(Indonesia)

22 Jun 2011 – China hari ini menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya membiarkan pertikaian wilayah di Laut China Selatan diselesaikan sendiri oleh negara-negara yang mempunyai tuntutan. Dalam amaran paling berterus-terang kepada Washington, Beijing berkata, pembabitan AS dalam pertikaian itu boleh memburukkan lagi keadaan.

Ketegangan di Laut China Selatan meningkat sejak sebulan lalu disebabkan kebimbangan bahawa China semakin agresif dalam mengukuhkan tuntutannya terhadap perairan yang dipercayai kaya dengan minyak dan gas.
China berpendirian AS tidak perlu campur tangan dalam pertikaian itu dan sekiranya AS tetap mahu memainkan peranan, Washington perlu menasihatkan negara-negara yang melakukan provokasi supaya bertindak secara lebih bertanggungjawab. AS bukan negara yang mempunyai tuntutan dalam pertikaian di Laut China Selatan, dengan itu adalah lebih baik jika AS membiarkan pertikaian diselesaikan antara negara-negara yang menuntut.
China sangat bimbang dengan provokasi yang kerap dilakukan oleh negara lain di Laut China Selatan. Sementara itu di Manila, pegawai Filipina berkata, tentera Amerika Syarikat (AS) berkewajipan membantu mempertahankan askar, kapal atau pesawat udara negara ini jika mereka diserang di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan. Jabatan Luar Filipina dalam satu kertas dasarnya berkata, Perjanjian Pertahanan Bersama 1951 menghendaki Washington membantu tentera Filipina jika mereka diserang di kepulauan tersebut.

Sebahagian perairan di Laut China Selatan turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.Tuntutan China adalah yang paling besar, dengan kawasan perairan yang dituntut berbentuk U meliputi sebahagian besar daripada Laut China Selatan yang seluas 1.7 juta kilometer persegi, termasuk Kepulauan Spratly dan Paracel.
Di Washington kelmarin, anggota kanan Parti Republikan, Senator John McCain menggesa kerajaan AS meningkatkan sokongan ketenteraan dan politik kepada negara anggota ASEAN untuk menghadapi China dalam pertikaian semakin meningkat di Laut China Selatan.Menurutnya, AS perlu membantu anggota ASEAN untuk membangunkan dan menempatkan sistem amaran awal serta bot peronda perairan pantai di kawasan yang menimbulkan pertikaian.

Karangan:Malaysia Bertungkus Lumus Hapuskan Pemerdagangan Manusia

Malaysia Bertungkus Lumus Hapuskan Pemerdagangan Manusia

Mangsa dijanjikan pekerjaan dengan gaji yang lumayan di luar negara tetapi sebaik tiba di destinasi mereka dipaksa untuk melakukan aktiviti seks atau buruh paksa yang kini dianggap sebagai satu bentuk perhambaan moden. Mereka adalah mangsa satu jenayah terancang dikenali sebagai pemerdagangan manusia, yang kini adalah ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api.

Pemerdagangan manusia adalah masalah global yang kian meningkat jumlah kesnya sejak seabad lepas. Mengikut laporan Amnesty International; pada tahun 2004 sahaja dianggarkan 700;000 orang diperdagang setiap tahun bagi tujuan seks. Bagaimanapun, amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktMti mereka.

REKOD MALAYSIA DALAM PEMERDAGANGAN MANUSIA
Ini telah menjejaskan reputasi negara dan usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk menjaga imej negara. Langkah serius kerajaan menangani isu pemerdagangan manusia telah menaikkan taraf Malaysia ke Tahap (Tier) 2 daripada Tahap 3 dalam Laporan Senarai Pemerhatian Pemerdagangan Malaysia (TIP) 2010. Laporan TIP adalah senarai kedudukan negara-negara dunia berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan manusia. Pada tahun 2009; kedudukan Malaysia merosot dari Tahap 2 pada 2008 ke Tahap 3 pada 2009.

Pencapaian TIP adalah berdasarkan kepatuhan negara menerusi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA) Amerika Syarikat. Menurut klasifikasi antarabangsa, Tahap Satu merujuk kepada negara yang melakukan pematuhan sepenuhnya dan Tahap Dua bagi usaha signifikan untuk mematuhi TVPA. Manakala Tahap Tiga pula bermaksud sebagai negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.

MUDAH TERDEDAH
Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia dan ini membuka peluang kepada kerancakkan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Kedatangan pelancong dan pekerja asing di Malaysia menambahkan lagi sindiket pelacuran yang membawa masuk secara sah ataupun haram gadis seperti dari China, Indonesia, Thailand, negara-negara Balkan dan India untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Tidak ketinggalan juga di bandar kecil yang terdapat ramai buruh asing di sektor perladangan, perindustrian dan pembinaan juga terdapat aktiviti kurang sihat ini yang melibatkan pemerdagangan manusia.

Pada masa yang sama, lambakan sarang pelacuran, pusat hiburan dan rumah urut di seluruh negara memberi gambaran permintaan yang tinggi terhadap perniagaan tersebut hingga meningkatkan juga permintaan dan kemasukan wanita muda oleh sindiket pemerdagangan manusia yang sama.

Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean, menjadikannya antara lokasi stategik sama ada sebagai negara destinasi atau transit bagi penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Menyedari masalah itu, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan namun ia masih belum cukup kuat untuk menghalang kemasukan sindiket yang membawa wanita dan gadis muda bagi tujuan pelacuran dan buruh domestik. Lagipun, modus operandi sindiket membawa masuk mangsa adalah sukar dikesan pihak berkuasa disebabkan mereka ini memasukki negara secara
sukar dikesan pihak berkuasa disebabkan mereka ini memasukki negara ini menggunakan pas lawatan sosial atau pun pas pelajar.

LELAKI DAN KANAK-KANAK TIDAK TERKECUALI
Bukan hanya wanita, lelaki dewasa turut diperdagangkan terutama untuk pengeksploitasian buruh atau dijadikan buruh paksa. Kebanyakan mereka yang datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam menjadi mangsa selepas dijanjikan pekerjaan dengan bayaran lumayan sedangkan semuanya palsu. Malah lebih menyedihkan mereka turut dipaksa bekerja untuk tempoh panjang sehingga lebih 18 jam sehari tanpa dibayar upah.
Kanak-kanak dan bayi juga mendapat permintaan yang tinggi untuk diperdagangkan terutama bagi aktiviti meminta sedekah atau dijadikan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat sendiri. Menurut statistik Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), sejak 28 Feb 2008 hingga 21 Dis 2010, sebanyak 304 kes dilaporkan membabitkan pelbagai jenis eksploitasi dan 434 orang ditahan kerana terbabit dalam jenayah berkenaan.
Daripada jumlah itu, 1,930 mangsa mendapat perintah perlindungan sementara (IPO) manakala 708 lagi perintah perlindungan yang mana kebanyakan mangsa terbabit terlibat dalam eksploitasi seks (189 mangsa), perkhidmatan paksa (58), penyeludupan manusia (24)dan penjualan bayi (11).

MASIH KURANG KESEDARAN
Kesedaran masyarakat Malaysia tentang isu pemerdagangan manusia masih lagi rendah malah masih ramai yang tidak memahami definisi sebenar yang dimaksudkan dengan pemerdagangan orang. Selain skopnya yang luas, aktiviti pemerdagangan orang adalah lanskap jenayah yang masih dianggap baru yang menyebabkan pemahamannya masih kurang.

Kurang pemahaman itu bukan sahaja di kalangan orang ramai, malah ia berlaku di kalangan penguatkuasa sendiri. Istilah penyeludupan dan pemerdagangan manusia juga membawa dua maksud yang berbeza walaupun kedua-duanya kelihatan sama. Pemerdagangan orang membawa maksud merekrut, pengangkutan, pemindahan, perlindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi di mana modus operandinya termasuk penggunaan ancaman atau penggunaan bentuk tekanan lain, penculikan, penipuan, kecurangan, penyalahgunaan kuasa, kedudukan berisiko atau rawan dan memberi atau menerima pembayaran. Ia digunakan untuk tujuan mengeksploitasi pelacuran, eksploitasi seksual, buruh paksaan atau khidmat layanan paksa dan perhambaan.

Manakala penyeludupan membawa maksud mengatur, memudahkan atau merancang secara langsung atau tidak langsung, kemasukan seseorang secara tidak sah ke dalam atau melalui atau pengeluaran seseorang secara tidak sah dari mana-mana negara yang orang itu bukan warga negara atau pemastautin tetap sama ada dengan mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kemasukan atau pengeluaran orang itu tidak sah. Ini juga membawa maksud mengangkut, memindahkan, menyembunyikan, melindungi atau menyediakan apa-apa bantuan atau perkhidmatan bagi tujuan melaksanakan perkara di atas.

Namun begitu tidak dinafikan aktiviti penyeludupan orang menjadi punca kepada akiviti pemerdagangan manusia kerana kebiasaannya penyeludupan orang berpotensi menjadi sebahagian aktiviti pemerdagangan orang.

Berikutan itu, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah dipinda bagi memasukkan kesalahan penyeludupan migran untuk dijadikan akta baru yang kini dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 yang dikuatkuasakan pada MAC 2011 lepas.

Pindaan itu bagi menangani sindiket antarabangsa yang menjadikan negara ini sebagai negara transit pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk membawa mangsa ke negara ketiga terutama Australia.Kebanyakan mangsa adalah dari Afganistan, Pakistan dan Myanmar yag dibawa masuk ke Malaysia terlebih dahulu sebelum ke Indonesia dan seterusnya ke Australia.
Pengarah Jabatan siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin memberi jaminan polis akan mengambil langkah berterusan memerangi pemerdagangan manusia dengan mengadakan lebih banyak operasi dalam usaha menyelamatkan mangsa sindiket.

Lebih ramai anggota polis akan ditempatkan di kawasan panas sindiket itu seperti di perairan negara di Selat Melaka dan Laut China Selatan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk utama sindiket itu sebelum mangsa diperdagangkan ke negara destinasi.
Kerajaan juga turut mengambil tindakan yang lebih teratur melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang yang menetapkan hala tuju dan fokus dalam usaha mencegah dan membanteras gejala pemerdagangan orang.Pelan yang dirangka bagi tempoh lima tahun (2010-2015) itu adalah antara usaha dan komitmen kerajaan dalam membanteras masalah pemerdagangan orang. Aktiviti jenayah ini yang mempunyai jaringan dan sindiket profesional harus dilihat secara menyeluruh dan jika tidak dibanteras secepat mungkin boleh menjejaskan imej; prestasi dan nama baik negara di mata dunia terutama imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.

Kenegaraan: Program Transformasi Ekonomi (ETP)

1-12-2010 PM bergambar dengan wakil industri dari pelbagai sektor selepas membentangkan Program Transformasi Ekonomi. Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Sembilan Projek Permulaan (EPP) baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mampu menyumbang RM33 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan mewujudkan lebih 71,500 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Semua projek membabitkan pelaburan RM9 bilion itu akan memacu industri minyak dan gas, tenaga, elektronik, pelancongan serta pendidikan. Ini membabitkan tiga projek memajukan industri minyak dan gas serta tenaga, dua projek bagi memacu sektor elektronik, tiga projek meningkatkan nilai sektor pelancongan dan satu projek khusus bagi mengembangkan sistem pendidikan prasekolah.

Pelaburan yang besar ini penting bagi menyokong ekonomi Malaysia memandangkan ia terus berkembang. Kapasiti yang meningkat penting untuk menyediakan tenaga kepada perniagaan dan jumlah penduduk yang semakin berkembang dalam negara.

Insentif cukai baru diberi bagi menggalakkan pembangunan sumber minyak dan gas baru membabitkan pengurangan kadar cukai bagi pembangunan medan minyak baru. Walaupun akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM8.1 bilion dalam bentuk elaun percukaian, tetapi berpotensi membawa hasil petroleum tambahan RM50 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Projek EPP baru itu membabitkan pembangunan Taman Perindustrian Minyak & Gas dan Logistik Tanjong Agas di tapak seluas 1,704 hektar di Pekan, Pahang yang akan dibangunkan Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd membabitkan pelaburan RM3 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2012. Projek ini dijangka menyumbang RM30 bilion kepada GNI sepanjang 10 tahun akan datang dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula akan melabur RM4 bilion tahun depan bagi membangunkan dua loji jana kuasa hidro baru, iaitu projek Hidroelektrik Ulu Jelai di Pahang dan Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu dengan kemampuan menjana 600 MW tenaga elektrik. Projek ini penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi memandangkan kapasiti tenaga tambahan diperlukan bagi membekal tenaga mencukupi kepada perniagaan dan penduduk yang semakin meningkat.

Pembangunan Kelompok Kejuruteraan, Sains dan Inovasi Lanjutan diterajui Taman Teknologi Malaysia (TPM) pula meningkatkan pengkomersialan penyelidikan akademik di Malaysia membabitkan pelaburan RM374 juta sehingga 2020. Pelaksanaan projek itu dijangka menyumbang RM636 juta kepada GNI dan mewujudkan 20,900 peluang kerja baru.

Isu: Perang Dunia Kedua dan Tenaga Nuklear

Kenangan Guguran Bom Atom 65 tahun dahulu, Perang Dunia Kedua


RATUSAN burung merpati melintasi rangka Bangunan Kubah Bom Atom (Atomic Bom Dome), di Taman Memorial Keamanan Hiroshima bagi memperingati genap 65 tahun serangan bom atom oleh Amerika Syarikat pada 5-8-1945.

Scienists have long dreamt of the ultimate source of energy that will power the world forever. This ultimate source is hydrogen. Hydrogen can be produced by the electrolysis of water from the sea dan when burned together with oxygen, produces only energy and water. The use of hydrogen as a fuel and energy carrier will require an infrastructure for safe and cost-effective hydrogen transport and storage. Hydrogen has an excellent safety record, and is as safe for transport, storage and use as many other fuels.

Soalan STPM yang berkaitan dengan tenaga nuklear

1988.3 “Sumber tenaga tradisional seperti arang batu dan petroleum kini menjadi semakin pupus. Harapan untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga terletak pada keupayaan manusia menjana dan menggunakan tenaga daripada sumber-sumber lain.”
Dengan memberi alasan, nyatakan pendirian anda tentang penggunaan tenaga daripada sumber-sumber lain sebagai gantian kepada sumber tenaga tradisional..

1990.4 Sejak penemuan kaedah penjanaan tenaga atom oleh Otto Hahn dan Fritz Strassman pada tahun 1939, harapan untuk mengatasi krisis tenaga yang dihadapi sekarang adalah sangat cerah.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat ini?

1992.3 Peranan tenaga nuklear dalam pembangunan negara.

2007.3 Nuklear biasanya dikaitkan dengan kemusnahan dan kecelakaan, namun hasil penyelidikan pakar-pakar dalam bidang ini telah mengubah persepsi terhadapnya. Bincangkan.

2007.4 Tanaman ubah suai genetik didapati berupaya meningkatkan sektor pertanian negara, namun pada masa sama tanaman ini turut menimbulkan pebagai kesan negatif. Bincangkan.

Isu semasa/Karangan: NGO dan peranannya

NAJIB bersama Rosmah, Dr Siti Hasmah, Dr Mahathir dan Anifah meraikan enam aktivis Rachel Corrie

PM sokong NGO teruskan misi kemanusiaan Gaza

2010/06/09
PM Dato Sri NAJIB bersama Rosmah, Dr Siti Hasmah, Tun Dr Mahathir dan Anifah meraikan enam aktivis Rachel Corrie di Langgak Duta,

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tetap menyokong program dan usaha organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Amat baik sekiranya NGO bersetuju terus menghantar bantuan kemanusiaan dengan menggunakan bot atau kapal tertentu atau dengan apa cara sekali pun. “Ini supaya masalah dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat Palestin di Gaza sentiasa dalam perhatian masyarakat dunia,” katanya selepas meraikan enam lagi sukarelawan Malaysia yang dibebaskan Israel Sabtu lalu pada jamuan makan tengah hari di kediamannya di Langgak Duta di sini, semalam. Mereka ialah Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu daripada Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria serta Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin daripada TV3.

Mereka menaiki kapal MV Rachel Corrie yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza, ditahan selepas tentera Israel mengiringi kapal itu ke Pelabuhan Ashdod tiga hari lalu dan dibebaskan pada Sabtu di Jambatan Raja Hussein di sempadan Israel-Jordan.

Mereka pulang ke tanah air malam kelmarin.

Najib berkata, misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin membuka mata masyarakat dunia mengenai kekejaman rejim Zionis yang menghalang misi bantuan di perairan antarabangsa.
“Kita lihat sekarang perubahan pendapat dunia yang sudah memihak kepada rakyat Palestin dan mengutuk kerajaan Israel,” katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Penasihat Perdana PGPO, Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Sementara itu, Mukhriz berkata, PGPO berusaha mendapatkan kapal misi kemanusiaan itu termasuk kapal MV Rachel Corrie yang mungkin boleh digunakan semula untuk misi bantuan pada masa depan.

“Sekarang, usahanya ialah untuk Kerajaan Turki dan Jordan membantu membebaskan kapal kita,” katanya.

Mengenai rancangan terbaru PGPO, Mukhriz berkata, pertubuhan itu cuba membantu rancangan bekas Ahli Parlimen Britain, George Galore yang ada hubungan rapat dengan Gaza untuk menghantar 60 kapal bantuan ke Gaza