Category Archives: Karangan Pengajian Am STPM Penggal 3

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

KEJAYAAN peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat perihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah terbukti berjaya.

Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba ‘menjual’ peranan diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi ‘perunding damai’ di antara Hamas dan Fatah di Palestin. Sesungguhnya, penglibatan Malaysia pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status sebagai sebuah ‘negara kuasa pertengahan’ (middle power state), cabaran yang bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar dan berliku.

‘Negara kuasa pertengahan’ ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang bukan ‘besar’ dan bukan ‘kecil’ tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah ‘negara kuasa pertengahan’.

Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah ‘negara kuasa pertengahan’.

Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris dengan ‘negara-negara kuasa pertengahan’ yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan usaha yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini?

Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada ‘misi campur tangan ketenteraan’ (military intervention).

(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang ‘taring’nya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah ‘diswastakan’ kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan ‘multilateralismenya’. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.

Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan berlarutan.

Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada ‘ancaman’ negara atau pihak yang berkepentingan ini.

Sidanga Khas Dewan Rakyat mengenai tragedi malang MH17

RIP

RIP

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2014 – Ketika membentangkan usul mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat, Perdana Menteri mengatakan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun, tidak berperikemanusiaan dan ganas oleh pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 di timur Ukraine, minggu lepas.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak dan terhempas di wilayah Donetsk pada 17-7-2014.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia kecewa dan marah apabila kawasan tragedi itu tidak dihormati sebagai kawasan larangan, selain kelewatan mengendalikan mayat mangsa kejadian itu. Namun demikian, buat masa ini Malaysia tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sehinggalah bukti benar-benar sahih diperoleh.

Najib berkata Malaysia juga menggesa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selaku penjaga keselamatan penerbangan awam sedunia supaya mengeluarkan resolusi mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas pesawat MH17, sebagaimana yang telah dibuat dalam kes-kes seumpama itu sebelum ini. Tambahan pula, menembak jatuh pesawat komersial MH17 ini suatu tindakan sangat zalim dan merupakan jenayah yang sangat kejam dan sangat ganas.

Selain mengalu-alukan siasatan oleh badan bebas antarabangsa, Malaysia juga mendesak semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan siasatan mengenai punca tragedi yang menimpa pesawat MH17 dapat diselesaikan. Malaysia menuntut dan menyokong siasatan antarabangsa yang bebas dalam tragedi ini. Pihak yang bertanggungjawab terhadap berlakunya tragedi ini perlu dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Perdana Menteri menegaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah menerima secara sebulat suara resolusi bagi mendesak puak pemisah memberi akses tanpa halangan ke kawasan kejadian, selain menghentikan serta-merta semua kegiatan ketenteraan di kawasan itu.

Najib juga telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji tragedi itu dengan teliti, bagi memastikan sebarang tindakan yang akan Malaysia ambil kelak adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Beliau bagaimanapun turut menarik perhatian bahawa persetujuan yang dicapai dengan Alexander Borodai, ketua wilayah lokasi MH17 terhempas, mengenai akses pasukan penyiasat bebas antarabangsa ke kawasan nahas dan jaminan keselamatan mereka, masih belum tercapai sepenuhnya.

Dalam pada itu, Najib turut menggariskan beberapa persoalan yang memerlukan jawapan segera mengenai insiden itu termasuk sama ada ia benar-benar ditembak dengan peluru berpandu, dalang di sebaliknya dan motif yang sebenarnya.

Najib mengulangi pendiriannya bahawa pergolakan geopolitik tidak menguntungkan sesiapa, malah hanya menyebabkan manusia semakin menderita kerana kehilangan orang tersayang.

Perdana Menteri memberi jaminan kepada keluarga mangsa tragedi MH17 bahawa kerajaan akan terus menuntut keadilan dan tidak akan berhenti mencari kebenaran walaupun berdepan kesukaran dan kepayahan.

“Sesungguhnya jua, let us walk through this difficult time together. Marilah kita jalani tempoh-tempoh dan waktu-waktu yang payah ini bersama-sama, bersatu dalam kesedihan.

“Moga-moga yang Maha Berkuasa memberi bantuan dan pencerahannya agar ada cahaya penyelesaian di hujung,” katanya.

Najib menyifatkan tragedi MH17 seumpama pembunuhan beramai-ramai dan menuntut pembunuhnya dibawa ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang serta ketua-ketua parti yang lain, kerana turut mengutuk insiden itu.

PM mengutuk keganasan ke atas MH17

PM mengutuk keganasan ke atas MH17

We Are One. Satu bangsa satu negara

We Are One. Satu bangsa satu negara

MH17.4MH17.5MH17.6

Ancaman Terhadap Keselamatan dan Kedaulatan Negara

Dipetik dan disesuaikan daripada Bernama 15-11-2013

Pulau Pom Pom di Sipadan, Sabah

Pulau Pom Pom di Sipadan, Sabah


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan laporan kejadian culik dan bunuh membabitkan dua pelancong China, dipercayai suami isteri, di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah awal pagi ini.

Polis sedang giat memburu kumpulan lelaki bersenjata yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu. Kejadian melibatkan seorang pelancong lelaki warga China yang ditembak mati, manakala seorang lagi pelancong wanita yang kita percayai isteri mangsa telah dilarikan oleh kumpulan lelaki berkenaan. Kedua-dua mangsa menginap di resort di pulau berkenaan bermula Selasa lepas dan dijangka mendaftar keluar Rabu depan.

Dipetik dan disesuaikan daripada Bernama 19-11-2013

Pasukan keselamatan mengawal resort pelancongan

Pasukan keselamatan mengawal resort pelancongan

pom 3
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta pihak media tidak mendedahkan identiti mangsa culik warga Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah pada Jumaat lepas demi keselamatan mangsa. Setiap laporan yang mendedahkan identiti mangsa boleh mengancam nyawanya kerana mangsa diculik pengganas dari Selatan Filipina yang terkenal dengan kekejamannya. Justeru, media tempatan perlu mengutamakan keselamatan mangsa dalam membuat laporan berita.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, pelancong lelaki berusia 57 tahun terbabit ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan, sementara rakan wanitanya yang berusia 58 tahun hilang, dipercayai diculik oleh sekumpulan pengganas lelaki yang menggunakan senjata berat dari Selatan Filipina.

Polis menjalin kerjasama erat dengan Polis Filipina dan Aseanapol untuk membebaskan mangsa culik itu.

IPSOM dizahirkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 20 Mei lepas dan ia adalah sebuah institusi yang berfungsi memberikan cadangan kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri melalui kajian-kajian berkaitan keselamatan awam.

Katanya, IPSOM dipengerusikan Ahmad Zahid dan terdapat empat pusat utama dalam institusi itu yang diketuai seorang pengarah iaitu Pusat Penyelidikan Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Pusat Strategi Lautan Biru Kebangsaan, Pusat Latihan dan Pembangunan Modal Insan dan Unit Pentadbiran dan Kewangan

Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global(GMM)

Yayasan Pergerakan Kesederhaan Global (GMM) akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi pihak berkepentingannya pada 7 Nov sempena meraikan Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2013 yang jatuh pada 24 Okt.

Persidangan meja bulat bertemakan ‘Towards a Common Agenda for peace and Prosperity’ mencerminkan semangat PBB dengan pelbagai pihak di peringkat global, bekerjasama ke arah tujuan serupa untuk memastikan keamanan dan kestabilan.

“Pihak berkepentingan GMM boleh menyumbang ke arah pembentukan agenda serupa yang berpusat pada prinsip dan nilai kesederhanaan bagi keamanan dan kemakmuran,” menurut Pengerusi GMM Tan Sri Razali Ismail dalam kenyataan, Rabu.

Persidangan meja bulat itu dijangka menghimpunkan 200 peserta terdiri daripada tiga kategori pihak berkepentingan – wanita dan belia, media dan masyarakat sivil.

Persidangan meja bulat itu juga diadakan sebagai tindak balas kepada ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung PBB ke-68 di New York.

Najib antara lain memperbaharui seruannya yang dibuat tiga tahun lalu kepada semua negara untuk bersatu dan menolak trend ke arah keganasan yang merugikan.

Bertemakan ‘Partnerships for Global Progress’ sambutan Hari PBB bertujuan mengiktiraf dan menghormati kerjasama yang amat bernilai antara kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan rakyat.

Senjata Pemusnah Besar-Besaran

Malaysia Gesa PBB Siasat Penggunaan Senjata Kimia Di Syria
25 Ogos 2013
Media antarabangsa melaporkan satu serangan yang menggunakan senjata kimia berlaku di daerah Ghouta berdekatan Damsyik pada Rabu lepas, yang menyebabkan kematian beratus rakyat Syria serta mencederakan ramai lagi penduduk.

Kanak-kanak yang terkorban akibat serangan gas saraf/senjata kimia

Kanak-kanak yang terkorban akibat serangan gas saraf/senjata kimia

Keganasan akibat pergolakan politik

Keganasan akibat pergolakan politik

Ada kemajuan tamadun manusia?????

Ada kemajuan tamadun manusia?????

Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat laporan yang mendakwa wujud penggunaan senjata kimia, yang menyebabkan kematian dan kecederaan di Syria.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia juga menyeru pihak yang terbabit agar memberi akses serta pelindungan keselamatan kepada pasukan pakar kimia PBB untuk menjalankan tugas mereka.
Malaysia amat prihatin terhadap laporan itu dan mengutuk tindakan berkenaan, sekiranya dibuktikan benar. Hal ini kerana kekejaman itu jelas melanggari undang-undang antarabangsa dan mendesak agar mereka yang bertanggungjawab ke atas tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan ini dibawa ke muka pengadilan.

Maklumat tambahan:

Penggunaan senjata pemusnah besar-besaran (Weapon of mass destruction-WMD) seperti senjata kimia (gas saraf), biologi (virus anthrax), radioaktif dan nuklear (CBRN) dalam peperangan serta serangan-serangan keganasan sudah berkembang menjadi ancaman global yang terbaru kepada dunia sejagat. Penggunaan senjata pemusnah besar-besaran ini akan menyebabkan kemusnahan paling maksimum terhadap sasaran.

Kebebasan Dan Hak Asasi Manusia mesti ada batasnya

Pada masa kini terdapat sesetengah kumpulan di Malaysia bangkit mempersoalkan kebebasan dan hak asasi manusia tanpa menyedari kesan kepada pembangunan negara dan rakyat keseluruhannya.

Persepsi mereka mengenai kebebasan dan hak asasi manusia telah berubah. Kalau dahulu kebebasan dimaksudkan bebas daripada cengkaman penjajah tetapi kini ia lebih kepada kebebasan mutlak dalam konteks asas hak asasi manusia. Jadi kebebasan dalam bersuara dan ekspresi, beragama, berkumpul dan seumpamanya kini dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia. Inilah antara yang menjadi cabaran negara dalam proses pembangunan negara di samping mengisi dan mengekalkan semangat kemerdekaan yang telah dicapai sejak 56 tahun yang lepas.

images 1

Anarki  di banyak negara yang tiada batasan undang-undang dan hak asasi

Anarki di banyak negara yang tiada batasan undang-undang dan hak asasi


Kebangkitan Arab Spring yang meghancurkan negara sendiri

Kebangkitan Arab Spring yang meghancurkan negara sendiri

PENGARUH BARAT

Dakyah dan ideologi yang dimainkan barat itu, kini menjadi topik di mana-mana negara dan kini menjadikan isu kebebasan sebagai isu sejagat. Masyarakat dunia termasuk di Malaysia semakin menerima norma-norma kehidupan di barat yang lebih mengutamakan hak individu dan kumpulan kecil tertentu berbanding kepentingan umum.

Kerana itu di barat, mereka tidak peduli jika segelintir individu atau kumpulan kecil memilih gaya hidup yang bercanggah dengan norma kehidupan masyarakatnya kerana mereka bebas untuk melakukan apa sahaja atas nama demokrasi. Contohnya isu hubungan seks luar nikah, perkahwinan sejenis dan seumpamanya.

Ini jugalah yang pernah diperjuangkan golongan aktivis sosial di Malaysia dalam Program Seksualiti Merdeka dua tahun lepas yang secara terbuka menuntut hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Pemikiran liberalisme dan pluralisme juga semakin menular dalam masyarakat hari ini terutama dalam isu kebebasan beragama. Bagi mereka agama menjadi satu kongkongan dan untuk menuju kemajuan caranya ialah dengan membebaskan diri daripada kongkongan agama dengan membawa prinsip semua ideologi dan fahaman dianggap setara, sama benar dan sah.

Kebebasan bersuara yang diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Pengistiharan Hak Asasi Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPP) turut mengundang konflik kepada masyarakat.

Penggunaan media sosial sebagai medan kebebasan bersuara hingga melangkaui sempadan terutama menyentuh nilai-nilai berkaitan budaya, agama, institusi raja jelas memberi impak yang buruk kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini. Hal ini kerana, walaupun ada golongan liberal dan terbuka untuk membicarakan soal tersebut, namun majoriti masyarakat Malaysia masih lagi teguh dengan adat dan budaya serta berpegang kepada agama.

Kebebasan di alam maya yang sukar dikawal ini jugalah menjadi ancaman pengisian kemerdekaan dan tamadun yang dibina.

HAK ASASI PERLU SEKATAN

Kemerdekaan memberi ruang sesebuah negara membina tamadun dan peradabannya. Untuk mengisi kemerdekaan, rakyat dan pemimpin harus memahami nilai kemerdekaan itu sendiri. Namun apa yang berlaku hari ini, terdapat segelintir pihak dalam masyarakat yang terlalu terikut-ikut dengan globalisasi terutama isu berkaitan hak asasi yang boleh memberi kesan baik dan buruk.

Konsep hak asasi harus difahami dengan menggunakan neraca yang tepat sekiranya kita mahu menjaga dan mengekalkan serta mengisi kemerdekaan yang ada. Ia harus menggunakan piawaian dan standard pembangunan serta perkembangannya mengikut acuan kita sendiri dan bukan mengikut peradaban lain. Walau apapun perubahan falsafah, ideologi hak asasi itu, namun tidak boleh meninggalkan perkara-perkara yang boleh menjamin dan menjaga kelangsungan peradaban dan tamadun yang dibina. Selama mana kita mahu menjaga kemerdekaan ini, selama itu jugalah adanya sekatan-sekatan tertentu terhadap hak asasi. Had ini harus diletakkan dalam budaya dan adat sopan kita seperti hormat menghormati antara satu sama lain serta menghormati agama yang menjadi ciri-ciri terpenting.

KEMATANGAN DAN JATI DIRI

Jati diri harus dibina atas warna dan cat yang kita berikan kepada demokrasi dengan mengambil keadaan diri kita sendiri. Jika mahu mengambil hak asasi dari negara lain, ia harus dilihat bagaimana ia boleh disesuaikan dengan keadaan di negara ini. British sendiri tidak pernah memaksa Malaysia menggunakan undang-undang mereka. Ketika itu British meletakkan syarat, undang-undang itu hanya diterima sekiranya ia bersesuaian dengan keadaan masyarakat di negara ini. Jelas di sini walaupun British itu penjajah, namun mereka menghormati pandangan dan keadaan masyarakat di Tanah Melayu ketika itu. Sekarang ramai yang berhujah perlu ikut arus permodenan hak asasi dengan mengikut apa yang ada di barat. Kita tanya semula… adakah ia bersesuaian dengan keadaan budaya dan masyarakat di sini?

Di sinilah perlunya kekentalan jiwa masyarakat Malaysia untuk menghadapi dan memerangi apa yang tidak sesuai kerana sedia maklum, perkembangan di luar tidak dapat dihindari kerana ia adalah lumrah alam. Kematangan dan jati diri penting kerana dapat menjaga maruah, harga diri negara dan bangsa supaya tidak mudah dipengaruhi elemen-elemen luar. Dalam peperangan memerlukan senjata sebagai benteng dan perisai. Ia boleh diumpamakan jati diri kita. Jika kita tidak mampu menyediakan perisai itu, hanya undang-undang sahaja yang boleh membantu memastikan keselamatan terus terjamin.

PENTINGNYA AGAMA

Hakikat yang terpaksa diterima, setelah 56 tahun merdeka, kita masih lagi dalam persimpangan dan tercari-cari untuk membentuk jati diri. Kekuatan agama dan bangsa sebenarnya telah menjadi asas jati diri yang dipegang sejak dulu. Bangsa Malaysia akan lemah dan lumpuh jika tidak berpegang kepada kedua-dua ini. Jika paksi ini tidak dituruti dan mahu mengambil nilai orang lain kerana tuntutan globalisasi, pasti kita tidak akan berjaya mengisi kemerdekaan itu.

Pentingnya agama kerana tidak ada agama di dunia ini mengajar ke arah keburukan dan perpecahan. Malah kejayaan Malaysia, sebagai sebuah negara yang kecil menjadi maju dan makmur seperti hari ini adalah kerana pegangan agama yang masih kukuh yang menjadi benteng keutuhan bangsa. Tempoh lebih 50 tahun merdeka, bukanlah tempoh yang terlalu panjang. Jika kita bandingkan dengan Amerika yang mencapai kemerdekaan lebih 200 tahun. Kita kini baru sampai suku atau 1/4 dan jika dibandingkan kemajuan yang kita capai kini, mungkin kita lebih cepat lagi daripada Amerika. Semuanya kerana kita mempunyai asas agama yang mengajak kita untuk hormat menghormati. Malah jika semua rakyat tidak kira agama menghayati agama masing-masing, walau 10 bangsa sekalipun hidup di dalam negara ini, kita tidak akan bersengketa. Hal ini kerana emosi dan perasaan dikawal oleh agama yang boleh meredakan persengketaan serta menifestasikan cinta dan kasih kepada negara dengan menjaga kemerdekaan yang ada.

UNDANG-UNDANG SEBAGAI PERISAI

Rakyat sesebuah negara yang masih belum matang dari segi jati diri, emosi dan pemikirannya hanya akan menggunakan sentimen apabila membangkitkan soal demokrasi, kebebasan bersuara atau hak asasi. Ini menyebabkan kadangkala kebebasan dan hak asasi disalahgunakan secara emosi hingga menimbulkan kegelisahan dan ketegangan rakyat yang boleh membawa kehancuran kepada sesebuah negara. Apabila perisai dalam kalangan rakyat masih belum kukuh, hanya sistem perundangan yang mantap sahaja dapat menjaga rakyat dan menjadi mekanisme untuk mengekalkan dan mengisi kemerdekaan.

Mengambil contoh Akta Hasutan yang diperkenalkan bagi mengekang kegiatan komunis yang mengancam keselamatan negara pada tahun 1948. Sumbangan Akta Hasutan sangat jelas bagi menjaga keharmonian kaum, agama, insitusi raja-raja yang membolehkan kita hidup dalam keadaan aman damai seperti hari ini, katanya yang berharap penelitian rapi dilakukan kerajaan sebelum menggantikannya. Setiap individu itu harus menjaga diri mereka melalui agama, nilai-nilai budaya yang ada. Namun jika rakyat tidak mampu menjaganya, maka undang-undang dan penguatkuasaan sahaja yang boleh mengekang kebebasan melampau. Janganlah bangsa Malaysia menunggu sehingga berlaku detik sukar untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat kerana cabaran berterusan terus berlaku terutama penghinaan rakyat, liberalisasi, tuntutan kesamarataan yang boleh mencabar hubungan kaum dan agama di negara ini.

Tegasnya, Malaysia masih belum mampu untuk membuang semua undang-undang yang boleh menjaga keharmonian kaum yang dikatakan menyekat hak asasi manusia. Sentimen bangsa yang ada di Malaysia berbeza dengan apa yang ada di barat. Bangsa barat sudah berkurangan nilai dari segi moral, namun kita di sini lagi kekal dan kukuh. Lantaran itu, undang-undang yang ketat perlu bagi menjadi semangat dan roh yang boleh menjaga keamanan kita di dunia dan akhirat.

Dipetik dan disesuaikan daripada BERNAMA

Jerebu Melanda Malaysia lagi akibat pembakaran hutan Indonesia


Putrajaya mengalami jerebu tebal 21-6-2013 IPU 387 mata

Putrajaya mengalami jerebu tebal 21-6-2013
IPU 387 mata

IPU 400 mata, 22 Jun 2013 Muar Johor

IPU 400 mata, 22 Jun 2013 Muar Johor


23-6-2013
Jakarta: Indonesia semalam menggunakan pesawat tentera untuk memadam api di Sumatera berpunca daripada pembakaran haram yang menyebabkan jerebu teruk di negara itu, Singapura dan Malaysia. Indonesia menggunakan dua pesawat untuk melakukan pembenihan awam semalam.

Tujuh pesawat tentera dan tiga helikopter untuk membawa bom air ke lokasi kebakaran. Sebanyak 60 titik panas dikesan di Riau, Sumatera dengan 80 peratus daripadanya berada di kawasan perladangan dan 20 peratus lagi di kawasan hutan.
Indeks pencemaran Singapura kembali ke paras bahaya dengan paras bacaan berada pada tahap 300, manakala kualiti udara di ibu negara Malaysia juga semakin merosot semalam, ketika Jakarta menerima tekanan hebat untuk memulihkan keadaan.
Pada 22 Jun 2013, indeks pencemaran Muar Johor berada pada tahap 401, paras yang boleh mengancam nyawa mereka yang sakit atau warga tua.
Bau kayu terbakar memenuhi udara dan jarak pandangan merosot, manakala bangunan dilitupi asap kelabu. Jalan raya yang biasanya sibuk, bertukar lengang, apabila penduduk mengelak keluar rumah, bertemu kawasan atau membeli belah.

Sementara itu Singapura akan mengambil tindakan keras ke atas syarikat tempatan yang didapati terbabit dengan pembakaran hutan secara haram di Indonesia, sehingga menyebabkan negara itu mengalami pencemaran paling buruk pernah direkodkan. Kerajaan Singapura tidak akan bertolak ansur dengan syarikat terbabit kerana menjejaskan keadaan di republik itu.
(disesuaikan daripada Berita Harian dan STAR, 22-6-2013)

Pencerobohan pegganas Sulu terhadap Sabah 2013

Kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia mesti dipertahankan.
Lahad 4
Berikut ialah kronologi peristiwa:

16-2-2013 Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat ‘Kesultanan Sulu’ dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.
lahad_

Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan Sulu’ antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.

18-2-2013 Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
Lahad 3
24-2-2013 – Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
Berikut adalah kronologi selepas 17 hari Operasi Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu, Sabah:

26-2-2013 Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.

28-2-2013 Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.

Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 ‘tentera diraja’ meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.

1-3-2013 – Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.

2-3-2013
KEMELUT tuntutan ‘Sultan Sulu’ semakin meruncing ekoran tindakan serangan terbaru di Semporna malam semalam yang melibatkan lima orang anggota polis terbunuh, seorang inspektor wanita dan seorang Datuk ditawan dalam rumah.

16-3-2013 – Polis dalam peringkat akhir bagi menyiapkan kertas siasatan terhadap 27 suspek yang ditahan di daerah Semporna, dipercayai terlibat dalam insiden serangan hendap di Kampung Simunul pada 2 Mac lepas.

17-3-2013 – Pasukan keselamatan mencadangkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) penempatan haram di beberapa perkampungan air di daerah Semporna dibersihkan bagi memastikan kawasan itu bebas daripada anasir keganasan serta aktiviti haram seperti penyeludupan senjata api dan dadah.

17-3-2013 – Pasukan keselamatan Operasi Daulat menembak mati seorang pengganas Sulu dari selatan Filipina dalam operasi di Kampung Tanjung Batu.

– Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib memberitahu 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan Operasi Daulat telah selesai dibedah siasat.
lahat 6
– Pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur negeri itu, bermula di gugusan Felda Sahabat dengan menaik taraf struktur logistik.

– Jamalul Kiram III berkata tindakan berundur dari Sabah bukanlah satu pilihan untuk para tenteranya dan tidak akan berganjak dari Sabah.

18-3-2013
Lahad Datu: Anggota keluarga Jamalul Kiram III antara 104 pengganas yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu.

19-3-2013 – Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu, tiada kecederaan dilapor dalam pertempuran itu.

20-3-2013 – Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, atas pertuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan Seksyen 121 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

21-3-2013 – Sehingga kini, 268 orang ditahan kerana memasuki zon merah kawasan operasi dan pelbagai kesalahan manakala 108 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

– Lapan warga Filipina berdepan hukuman mati dan penjara seumur hidup selepas didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.

23-3-2013
Kerajaan Malaysia menyangkal tuduhan kononnya anggota komando Angkatan Tentera Malaysia diarah memasuki Filipina untuk membunuh Jamalul Kiram.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu anak perempuan Jamalul Kiram, Jacel Kiram, berhenti daripada membuat tuduhan seperti itu kerana ia berniat jahat.

statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut SOSMA.

Dasar Luar Malaysia: NAM dan Isu Palestin

KENYATAAN KERAJAAN MALAYSIA


YB MENTERI LUAR NEGERI MENGHADIRI MESYUARAT PERINGKAT

MENTERI JAWATANKUASA GERAKAN NEGARA-NEGARA

BERKECUALI (NAM) MENGENAI PALESTIN,

DI TEHRAN, REPUBLIK ISLAM IRAN,

28 OGOS 2012

________________________________________________________________________

YB Dato’ Sri Anifah Aman, Menteri Luar Negeri Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin pada 28 Ogos 2012 sempena Mesyuarat Persediaan Menteri Sidang Kemuncak NAM ke-16. Mesyuarat itu dihadiri oleh Algeria, Bangladesh, Colombia, Cuba, Mesir, India, Indonesia, Malaysia, Palestin, Senegal, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Zambia. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Iran.

Persidangan NAM, Iran Ogos 2012


Semasa mesyuarat itu, YB Dato’ Sri Anifah Aman telah sekali lagi menyuarakan sokongan Malaysia untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestine dari penindasan rejim Israel. Beliau juga mengkritik tindakan Israel menyekat cadangan mengadakan Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri Jawatankuasa NAM mengenai Palestin di Ramallah, Palestin dari 5 – 6 Ogos 2012.

YB Dato’ Sri Anifah Aman menggesa supaya Jawatankuasa ini berusaha dengan lebih kuat lagi untuk membantu dalam perjuangan rakyat Palestin selain daripada hanya mengeluarkan kenyataan dan kritikan. Jawatankuasa berkenaan telah bersetuju untuk menubuhkan satu Pasukan Petugas Tindakan Khas yang terdiri daripada Wakil Tetap yang berkenaan di New York dengan mandat untuk menggubal tindakan-tindakan dan langkah-langkah yang kukuh bagi menyelesaikan isu-isu Palestin.

Kementerian Luar Negeri

31 Ogos 2012

Karangan: Biodiversiti/ekologi alam sekitar

Biodiversiti merupakan sistem sokongan hidupan antara satu sama lain. Ia merangkumi semua hidupan termasuklah tumbuh-tumbuhan, haiwan (invertebrata dan vertebrata), bakteria, kulat dan serangga.
Kepelbagaian biologi atau “biodiversity” didefinisikan sebagai keanekaan antara organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk di dalam kelompok spesis dan antara sepsis dan ekosistemnya. Dianggarkan jumlah bilangan spesies yang hidup di muka bumi ini melebihi 100 juta.


KEPENTINGAN
1. Pengekalan kitar hidrologi

Hidupan semula jadi berfungsi sebagai penyerapan air. Tumbuhan hijau menyerap air dari tanah dan membebaskannya melalui proses transpirasi. Hutan, padang rumput dan tanah lembab akan menyerap air apabila jumlahnya banyak dan membebaskannya sedikit demi sedikit bila air bertakung. Ini sekaligus mengawal banjir.

2.Modifikasi iklim
Biodiversiti juga memberi khidmat ekosistem seperti mengatur perjalanan cuaca dan iklim.
Ia juga menyerap radiasi daripada cahaya matahari dan membebaskan wap. Ia akan mempengaruhi keadaan iklim dan menyederhanakan suhu. Kestabilan iklim akan berlaku dengan adanya fungsi oleh kepelbagaian biologi biodiversiti ini.

3.Kawal hakisan tanah
Daun dan sampah hutan boleh menyerap dan mengurangkan impak air hujan. Ini sekaligus menghalang tanah menjadi pecah. Selain itu,akar berfungsi “mengikat tanah”dan membantu menghalang berlakunya hakisan terutamanya di kawasan tanah tinggi. Manakala tumbuhan, haiwan kecil dan mikroorganisma menyumbang kepada pembentukan tanah. Di kawasan yang berombak,paya bakau berfungsi mengurangkan kesan pukulan ketika rebut. Ini bukan sahaja menjaga kontur pantai malah dapat menyelamatkan harta benda dan nyawa.

4. Selenggara kitar oksigen dan nitrogen
Tumbuhan menghasilkan oksigen untuk pernafasan. Manakala mikrob pula membantu menambah kesuburan tanah serta penetapan kandungan nitrogen dalam tanah. Kepelbagaian biodiversity juga boleh menghalang tompokan sebatian nitrogen seperti unsur-unsur Ammonium dan Nitrat yang boleh mengganggu kesuburan tanah.

B.KEPENTINGAN KEPADA MANUSIA

1. NILAI PERUBATAN
Sebanyak 3000 spesis tumbuhan di dunia ini dikenal pasti berfungsi sebagai anti-kanser.
Kekayaan kepelbagaian biodiversiti menyumbangkan US$8 bilion setahun untuk menghasilkan ubat-ubatan seperti tumbuhan herba dan gamat. Penyaringan dan pemprosesan flaura dan fauna menghasilkan pelbagai produk komersial, seperti tongkat ali (eurycoma longifolia), misai kucing (orthosiphon staminues) dan kacip fatimah (labisia pumila). Ini dapat memperbaiki tahap kesihatan masyarakat dan meningkatkan jangka hayat manusia.

2. BEKALKAN BAHAN MENTAH KEPADA MANUSIA
Pemeliharaan biodiversiti membekalkan makanan dan minuman kepada manusia. Misalnya laut yang terpelihara membekalkan makanan laut yang secukupnya kepada manusia. Glasier membekalkan air mineral kepada penduduk di sekitarnya. Turut dibekalkan ialah bahan mentah untuk kegunaan industri seperti minyak, petrol, getah, fiber, resin, gris, aluminium dan sebagainya.

3. BIODIVERSITI JUGA MENJADI TEMPAT RIADAH.
Seisi keluarga boleh mengadakan aktiviti seperti bersenam dan melihat spesis burung. Hutan hijau tenpat rekreasi untuk menjamin kesihatan manusia. Keindahan pantai dan dasar laut mendatangkan ketenangan mental.

4. NILAI INTRINSIK
Kepelbagaian biodiversiti ini juga mempunyai “NILAI TERSENDIRI” dan “HAK UNTUK HIDUP”. Setiap benda hidup tidak kira haiwan,tumbuhan dan manusia mempunyai “hak asasi” masing-masing. Benda hidup mempunyai ingatan, emosi dan kesakitan.

MASALAH KEMUSNAHAN BIODOVERSITI

1.Kegiatan manusia yang mengubah dan menghapuskan tempat kediaman mereka.
Banyak aktiviti manusia merosakkan biodiversiti. Akibatnya,banyak spesis yang belum lagi dikenalpasti telah pupus. Ada antara sepsis ini telah disenaraikan dalam ketegori spesis terancam. Jika tidak ditangani awal dari sekarang, biodiversiti yang ada sekarang akan terjejas teruk dan mungkin hilang buat selama-lamanya.

2. Pengeksploitasian hutan tropika.
Contohnya kemunculan pelancong berasaskan alam semula jadi atau eko-pelancongan mendatangkan hasil kepada negara membangun. Namun jika tidak dilaksanakan dengan teratur boleh menyebabkan kerosakan biodiversity. Kemusnahan habitat akibat penukaran tanah untuk pertanian, perlombongan, penempatan, pembinaan dan sebagainya untuk tujuan pembangunan juga bakal memusnahkan kekayaan biodiversiti dunia.

3. Perubahan iklim dan bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, kemarau, tsunami (2004) dan sebagainya menyebabkan kemusnahan kepada kepelbagaian biologi daratan dan akuatik dunia. Kecairan glasier menyebabkan banyak kawasan rendah ditenggelami air dan banjir lebih kerap berlaku.

4. Penggunaan sumber biologi secara tidak lestari dan berlebihan.
Aktiviti pembalakan dan pemburuan yang tidak terkawal menjadi satu agenda kepada kepupusan kepelbagaian biologi. Tangkapan ikan dengan teknologi canggih menyebabkan bekalan ikan pupus.

LANGKAH SELAMATKAN BIODIVERSITI

1. Persidangan pengurusan biodiversiti.
Bengkel mengenai biodiversity, bioprospek, pengurusan dan pengawasan eko-pelancongan dan perlindungan spesis terancam. Tahun Biodiversiti Sedunia 2010 memberikan peluang kepada masyarakat dunia untuk memahami kepentingan peranan biodiversiti dalam mewujudkan suatu suasana kehidupan yang mampan. Aktiviti yang terancang lebih tertumpu kepada aspek galakan kepada orang awam untuk mengurangkan kemusnahan biodiversiti, di samping meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan biodiversiti kepada manusia.
120 negara tentang menandatangani KONVENSION KEPELBAGAIAN BIOLOGIKAL (CBD). memberikan mekanisma global untuk memastikan pemuliharaan dan penggunaan mapan bioddiversiti bagi generasi sekarang dan akan datang. Dalam perjanjian tersebut,Malaysia menjanjikan 50% litupan muka bumi dengan hutan dan pokok selama-lamanya.

2. Menggalakkan dan memperbanyakkan penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).Contohnya Taman Teknologi Malaysia(TPM) sedang giat menjalankan kajian terhadap potensi-potensi yang boleh digunakan daripada hasil khazanah alam Negara. Pusat-Pusat penyelidikan seperti Pusat Biodiversiti Raub menjalankan kerja-kerja mengutip, memelihara dan menjalankan kerja-kerja kajian farmakologi sampel, pemprosesan dan penghasilan benih. Pemuliharaan kepelbagaian biologi dapat dibantu dengan kaedah-kaedah bioteknologi seperti penyelamatan embrio, perlakuran protoplas, kriopengawetan dan perpustakaan DNA. Bioteknologi juga boleh digunakan untuk menilai variasi ginetik yang terpendam, iaitu melalui teknik RFLP dan elektroforesis gel.

3. Mengetatkan kawalan dan menjalankan pemantauan yang lebih telus.Antara teknologi konservasi biodiversiti yang paling praktikal dan digunakan secara meluas pada masa kini adalah secara penentuan dan pemantauan menerusi satelit. Aktiviti pembalakan dan pemburuan haram misalnya perlu dikawal lebih ketat. Begitu juga dengan biodiversiti akuatik Malaysia yang mempunyai nilai yang tinggi, pengawalan terhadap hidupannya termasuk terumbu karang perlulah dilakukan dengan lebih mantap supaya tidak merugikan Negara.
Kepelbagaian biologi yang meliputi keanekaan organisma di peringkat genetik, spesis dan ekosistem, wajar dianggap sebagai harta pusaka sesebuah negara berdaulat. Khanazah ini seharusnya dipulihara untuk generasi sekarang dan sebagai warisan generasi-generasi yang akan datang.

Pendidikan secara formal dan informal merupakan pendekatan yang terbaik dalam menyedarkan masyarakat betapa pentingnya memelihara kepelbagaian biodiversiti ini.

Pendidikan Formal
1. Mata pelajaran sains dan biologi
Pengenalan biodiversiti dalam mata pelajaran sains atau biologi, mengenalpasti spesis haiwan dan tumbuhan, peranannya dalam kehidupan seharian dan kebaikan sesuatu spesis tersebut kepada manusia.

2. Aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum
Melalui aktiviti seperti mencipta syair, pantun, berpidato, ceramah, kuiz, projek kelas, penyediaan buku skrap, lukisan, permainan alam sekitar, kajian biodiversiti dan sebagainya dapat mendekatkan para pelajar kepada kepentingan dan keperluan biodiversiti dalam bentuk karya, ilustrasi atau objek yang menarik. Ini dapat menggalakkan para pelajar mempelajari dan menghayati kekayaan biodiversiti di dunia ini dengan lebih berkesan.

3. Penulisan biodiversiti
Dengan memperbanyakkan pembacaan artikel, jurnal, majalah alam sekitar dan dokumentari berkaitan dengan biodiversiti mampu menambahkan ilmu pengetahuan kita dalam usaha memelihara biodiversiti di sekeliling kita. Selain itu dapat memupuk perasaan kasih sayang dan menghargai kepentingan kepelbagaian biodiversiti di dunia ini.

Pendidikan Tidak Formal
1. Lawatan luar
Dengan mengadakan sesi lawatan ke kawasan hutan simpan, taman negara, zoo negara, kawasan hutan bakau, taman burung dan taman herba dapat membantu para pelajar akan kepentingan fungsi biodiversiti dalam kehidupan seharian. Muzium biodiversiti seperti muzium siput, muzium hidupan akuatik, muzium spesis pokok dan muzium haiwan dapat menginsafkan diri kita betapa ruginya kita sekiranya kehilangan spesis-spesis yang berharga kepada negara akibat daripada kerakusan manusia dalam mengejar arus pemodenan dengan memusnahkan habitat asal spesis haiwan dan tumbuhan tersebut.

2. Aktiviti biodiversiti
Aktiviti seperti menanam pokok, penanaman semula pokok seperti pokok api-api dan perepat, pokok kayu jati, merbau dan sebagainya dapat mengembalikan semula kitaran biodiversiti.

3. Program kesedaran
Program-program kesedaran seperti aktiviti mengutip sampah sarap di kawasan persisiran pantai dan hutan simpan, mengitar semula barangan terpakai seperti botol plastik, kaca dan suratkhabar, menjalankan aktiviti pembersihan sungai dan pelbagai lagi aktiviti kesedaran mampu menarik masyarakat di negara ini untuk bersama-sama memelihara dan memulihara biodiversity dan alam sekitar dengan lebih berkesan.