Category Archives: SURUHANJAYA

Datuk Seri Najib Tun Razak Angkat Sumpah Sebagai Perdana Menteri Di Istana Negara

6-5-2013 Isnin 4.00 petang.

Datuk Seri Najib Razak (left) is sworn in as prime minister before Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah at Istana Negara in Kuala Lumpur, May 6, 2013.

Datuk Seri Najib Razak (left) is sworn in as prime minister before Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah at Istana Negara in Kuala Lumpur, May 6, 2013.

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Balai Rong Seri, Istana Negara pada 4.07 petang.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Najib, 59, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengulangi sejarah apabila mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong sama, seperti mana allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kedua Malaysia pada 1970.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah memberi perkenan selaras dengan Fasal (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Najib dilantik sebagai perdana menteri.

Pada pilihan raya umum ke-13 semalam, Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Turut hadir ke istiadat itu ialah bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta para pemimpin parti komponen BN.

Berikut ialah keputusan pilihanraya umum ke-13 Malaysia
PRU 13 Parlimen

PRU ke-13 Dun

Kenegaraan: Suruhajaya Siasatan Diraja

Ahli Panel Suruhanjaya Diraja yang dilantik YDPA

27-01-2011
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sudah berkenan dengan cadangan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian bekas pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock serta perjalanan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Pelantikan ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong, dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian bekas pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock serta perjalanan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Empat ahli lain ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T Selventhiranathan; Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shahrom

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim pula dilantik Setiausaha, manakala Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh; Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa turut dilantik selaku Pegawai Pengendali suruhanjaya berkenaan.

Kerajaan menetapkan terma rujukan suruhanjaya terbabit untuk menyiasat sama ada wujud apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan laporan Shah Alam nombor 0052/2009 oleh SPRM berhubung Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan mengesyorkan tindakan yang sesuai, jika perlu.

Suruhanjaya itu juga bertanggungjawab menyiasat kematian Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya. Suruhanjaya dikehendaki menyelesaikan siasatan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tauliah pelantikan dikeluarkan dan laporan harus diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Suruhanjaya berkenaan ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Anggota Panel Suruhanjaya menyerah laporan kepada YDPA

21 Julai 2011
Laporan Suruhanjaya Diraja: Teoh Beng Hock bunuh diri
Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock merumuskan bahawa Setiausaha Politik Exco Selangor itu membunuh diri dengan terjun dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 Plaza Masalam, Shah Alam.

Mengikut rumusan suruhanjaya itu dalam laporan setebal 124 muka surat yang didedahkan kepada media hari ini, tindakan itu didorong oleh soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan yang dikenakan ke atasnya oleh pegawai-pegawai SPRM pada malam 15 Julai 2009 dan awal pagi keesokan harinya.
Lima anggota panel yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong bersependapat dan bersetuju sepenuhnya bahawa Beng Hock, 30, jatuh dari tingkat 14 dalam keadaan sedar berdasarkan kecederaan yang dialaminya.
Mereka sebaliknya menolak pendapat pakar patologi forensik dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand bahawa Beng Hock dipukul dengan objek tumpul kerana lelaki itu tidak mungkin berjalan ke tingkap dalam keadaan sedar jika mengalami kecederaan yang teruk di kepala.
Begitu juga teori ditolak keluar dari tingkap kerana pergelutan pasti berlaku sedangkan tiada kecederaan mempertahankan diri selain tiada asid deoksiribonukleik (DNA) asing pada badan mahupun pakaian Beng Hock.
Keterangan Pornthip tentang kesan merah jambu cerah pada tengkuk Beng Hock akibat dicekik juga amat spekulatif dan tidak boleh diterima dan suruhanjaya berpendapat ia adalah disebabkan kesan bedah siasat pertama.
Ia disokong oleh keterangan pakar patologi forensik dari Britain, Profesor Peter Vanezis bahawa tiada pendarahan dalam mata akibat lemas serta tidak terdapat keretakan pada tulang tengkuk.
Suruhanjaya juga tidak mempercayai kesan koyakan pada tali pinggang disebabkan Beng Hock tergantung padanya, sebaliknya ia adalah perkara biasa dalam kes jatuh dari tempat tinggi akibat daya yang dikenakan kepadanya.
Daripada aspek psikiatri, suruhanjaya merumuskan cubaan untuk mengkhianati ketuanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Ean Yong Hian Wah memberikan tekanan kepada Beng Hock memandangkan hubungan mereka yang mesra dan saling menghormati.
Ini ditambah faktor penyumbang lain seperti dinafikan hak untuk tidur, persekitaran yang tidak selesa dan asing serta berada dalam tekanan bagi jangka masa panjang.
Ekoran itu, Beng Hock mengalami perubahan keadaan minda dalam beberapa jam daripada kumpulan berisiko rendah kepada kumpulan berisiko tinggi untuk membunuh diri.
Ia berikutan keraguan, konflik emosi keterlaluan, rasa bersalah yang mendalam dan tidak dapat ditanggung selain gagal menemui strategi untuk mengatasi tuduhan-tuduhan yang dilontarkan kepadanya.
Keadaan itu menyebabkan Beng Hock putus harapan, rasa terjebak dan tewas kepada kekecewaan selain beranggapan satu-satu cara untuk melepaskan diri dengan melompat keluar dari tingkap yang mudah diakses walaupun ia bermakna mengambil nyawanya sendiri.
Menyentuh nota selamat tinggal yang dijumpai di dalam beg sandang Beng Hock, suruhanjaya tidak mempercayai kesahihannya berikutan kegagalan pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Ahmad Nazri Zainal untuk segera mengemukakannya kepada Mahkamah Koroner.
Ia ditambah dengan kelemahan pandangan oleh pakar pemeriksa dokumen, Wong Kong Yong selain perbandingan tidak dibuat dengan tulisan asal Beng Hock.
Berdasarkan keterangan saksi-saksi, suruhanjaya percaya bahawa bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim terlibat secara aktif dalam soal siasat dengan membiarkan pegawainya melaksanakan arahannya bagi mendapatkan hasil pada malam tersebut walau apa pun halangan.
Malah, beliau ialah individu bertanggungjawab atas perkara yang berlaku di SPRM sepanjang tempoh Beng Hock disoal siasat serta berada di situ.

Kenegaraan: Pilihanraya Kecil

Kekosongan DUN luar jangka

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia


PUTRAJAYA: 20-1-2010
Mesyuarat bagi membincangkan sama ada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang perlu diadakan atau sebaliknya, hanya diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima surat rasmi mengenai kekosongan kerusi itu daripada Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata setakat ini pihaknya belum menerima makluman berkenaan, sebaliknya berita kekosongan kerusi DUN itu hanya diketahuinya menerusi media massa. Sebarang keputusan hanya boleh dibuat selepas SPR meneliti surat rasmi daripada Speaker DUN negeri.

Speaker DUN Selagor mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Badrul Hisham Abdullah hadir persidangan enam bulan. Chang Kim mengisytiharkan demikian mengikut Fasal 69 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Badrul Hisham memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 4,407 undi.
Beliau keluar PKR pada Oktober 2009 bagi menyertai UMNO. Pilihan raya kecil bagi DUN dan Parlimen yang terbentuk menerusi PRU12 pada Mac 2008 tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum penggalnya berakhir.

Tempoh dua tahun itu berakhir Mac ini dan bermakna, sebarang kekosongan kerusi Parlimen dan DUN (kecuali di Sarawak) selepas Mac tahun ini, tiada lagi pilihan raya kecil diadakan.

Perkiraan itu berdasarkan peruntukan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kekosongan di luar jangka di Dewan Rakyat yang berlaku dalam tempoh kurang dua tahun dari tempoh lima tahun penggal Parlimen berakhir, perlu diisi.

Kenegaraan: Pilihanraya Kecil Parlimen Kawasan Sibu, Sarawak

Pegawai Pengurus PRK, Wong See Meng mengumumkan calon DAP, Wong Ho Leng sebagai Ahli Parlimen Sibu dengan kemenangan majoriti 398 undipada Pilihanraya Kecil P.212 Sibu di Pusat Perjumlahan Undi Dewan Suarah, Sibu .

SIBU: 17-05-2010
DAP memenangi pilihan raya kecil Parlimen Sibu apabila calonnya, Wong Ho Leng menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew dan seorang calon Bebas dengan majoriti kecil 398 undi.

Wong memperoleh 18,845 undi berbanding Lau, 18,447 undi, manakala calon Bebas, Narawi Haron, 232 undi dan hilang wang pertaruhan apabila hanya mendapat undi. Undi rosak ialah 395. Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus pilihan raya kecil berkenaan, Wong See Meng, di pusat penjumlahan undi, di Dewan Suarah Sibu, pada jam 11 malam tadi. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu yang menyandang kerusi berkenaan lima penggal berturut-turut.

Pada pilihan raya umum 2008, mendiang Lau yang meraih 19,138 undi, menang dengan majoriti 3,235 undi, mengalahkan Wong yang mendapat 15,903 undi serta calon PKR, Lim Chun Chuang.

Parlimen Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos. Daripada jumlah itu 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

DAP pernah memenangi kerusi itu pada 1982, dengan majoriti kecil apabila calonnya Ling Sie Ming menewaskan Wong Soon Kai (kini Tan Sri) tetapi selepas itu, BN menerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kembali menguasainya sehingga kematian Lau.
Kemenangan DAP semalam membolehkan parti itu menambah kerusi Parlimennya di Sarawak kepada dua, selepas menang di Parlimen Bandar Kuching pada pilihan raya umum lalu.

Berikutan keputusan itu, pakatan pembangkang kini mempunyai 77 kerusi di Parlimen dengan DAP 29 kerusi, PKR (24), Pas (23) dan Parti Sosialis Malaysia (satu). BN pula mempunyai 137 kerusi dan Bebas (lapan).

Kenegaraan: Pilihanraya Kecil Ulu Selangor April 2010

HULU SELANGOR, 25 April 2010 — Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya, P. Kamalanathan menewaskan peguam terkenal dan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi dalam pilihan raya kecil paling sengit sejak pilihan raya umum 2008.

Ketua Penerangan MIC yang juga seorang pegawai perhubungan awam itu memperoleh 24,997 undi menewaskan Zaid, yang dipecat daripada Umno pada Disember 2008 kerana menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Bekas Anggota Parlimen Kota Baharu yang kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerima 23,272 undi.

Sejumlah 731 undi rosak pada pilihan raya kecil yang menyaksikan sejumlah 48,935 pengundi atau 75.87 peratus pemilih keluar mengundi pada Ahad. Kawasan Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pengundi.

Pada pilihan raya umum 2008 yang merupakan “tsunami politik” bagi BN, Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, yang juga merupakan Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal, gagal mempertahankan kerusi apabila tewas dengan majoriti 198 undi kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR. Dr Zainal Abidin meninggal dunia pada 25 Mac.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN bersama-sama pemimpin parti komponen BN berada di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah di Kuala Kubu Bharu untuk meraikan kejayaan BN bersama-sama ribuan penyokong BN.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas dan para pemimpin parti.

Sejak pilihan raya umum 2008, sebanyak 10 pilihan raya kecil diadakan, dengan BN memenangi tiga daripadanya, termasuk kemenangan kerusi Parlimen Hulu Selangor malam ini yang sangat penting bagi mendapatkan kembali keyakinan dan sokongan rakyat.

Ia merupakan kemenangan bermakna bagi BN, terutamanya kepada Najib yang semasa berkempen menyatakan bahawa pilihan raya kecil itu bukan sahaja untuk memilih seorang Anggota Parlimen tetapi merupakan pungutan suara bagi hala tuju baru negara.

Najib sendiri turut turun berkempen sebaik sahaja kembali ke tanah air selepas melakukan lawatan luar negara, pergi ke kampung-kampung, bandar, kawasan rancangan Felda, bersama timbalannya Muhyidin yang saban hari berada di Hulu Selangor sejak penamaan calon pada 17 April.

Bulan Mei 2010, satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan, iaitu kerusi Parlimen Sibu, ekoran kematian penyandangnya Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew.

Ia bukanlah satu laluan mudah bagi BN kerana pada awalnya terpaksa menempuh keadaan sukar memilih calon apabila MIC bertegas mencadangkan Palanivel menjadi calon BN manakala pucuk pimpinan BN mahukan muka baru seperti yang dikehendaki peringkat akar umbi.

Akhirnya, mereka bersetuju dengan pemilihan Kamalanathan atas dasar kompromi.

BN juga berhadapan dengan pakatan PKR-DAP-PAS yang diketuai Ketua Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat sambutan dan menarik minat orang ramai namun ia tidak berupaya mengatasi parti pemerintah yang berusaha menyelesaikan banyak masalah rakyat setempat, termasuk isu-isu kebajikan dan kehendak pengundi.

Kenegaraan: Fungsi Suruhanjaya Pilihanraya dan Undi Pos

Keputusan Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor Diketahui Pukul 11 Malam 25 April 2010, Kata SPR

HULU SELANGOR, 21 April 2010 — Keputusan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dijangka diketahui pada pukul 11 malam, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kesemua 136 peti undi tiba di pusat pengiraan mengikut jadual iaitu pada pukul 9 malam.

“Sekiranya kesemua 136 peti undi tiba di pusat pengiraan pada pukul 9 malam maka kita jangka dapat umumkan keputusan pada pukul 11 malam. Tetapi kita tak dapat pastikan sebab mungkin akan berlaku pengiraan semula undi di pusat pengiraan undi,” katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Wan Omar berkata undi pos untuk pilihan raya kecil itu juga telah diagihkan kepada pasukan polis dan tentera dan mereka yang terlibat akan mengundi pada esok dan Jumaat ini.

Proses membuang undi pos akan dijalankan di ibu pejabat polis daerah dan kem tentera di Kuala Kubu Bahru, katanya.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional P. Kamalanathan dan Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat.

Wan Omar turut merayu kepada semua pihak agar menghormati pihak penguatkuasa SPR memandangkan banyak aduan diterima melibatkan pekerja-pekerja pilihan raya daripada parti yang bertanding tidak mendengar arahan SPR.

“Ini sebenarnya satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya yang menasihatkan kesemua pihak agar mematuhi peraturan pilihan raya.