
KM Sarawak dan TPM merayakan kemenangan BN

KUALA LUMPUR 16 April 2011 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua dari kanan), Datin Seri Rosmah Mansor (kiri), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien (kanan) mengikuti keputusan rasmi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 secara lintas langsung di Menara Dato Onn. Pic Sairien Nafis
16-4-2011 Keputusan Pilihanraya DUN Sarawak
Kejayaan BN membentuk kerajaan negeri diketahui seawal jam 8.59 malam selepas memperoleh majoriti mudah 36 kerusi melalui kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, manakala majoriti dua pertiga 48 kerusi diperoleh jam 9.43 malam dengan kemenangan di DUN Tamin.
Kira-kira 45 minit selepas mendapat mandat dua pertiga, Abdul Taib mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal ketujuh. Abdul Taib, 75, yang memakai baju Melayu warna ungu, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu majlis ringkas. Ini adalah penggal kelapan Abdul Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak memegang tampuk pemerintahan negeri sejak dilantik Ketua Menteri Sarawak pada Mac 1981.
Keputusan penuh yang diumum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada jam 10.55 malam menyaksikan
BN menang 55 kerusi,
DAP (12),
Parti Keadilan Rakyat (tiga), manakala Bebas menang satu kerusi.
Kemenangan BN disambut dengan nada gembira oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang mengikuti keputusan pilihan raya negeri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pemimpin BN lain.
Sebaik kemenangan mudah diperoleh, Najib mengadakan sidang video dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Abdul Taib Mahmud di kediaman rasmi Ketua Menteri Sarawak di Demak Jaya di sini untuk mengucapkan tahniah kepada kepimpinan BN Sarawak dan rakyat negeri itu.
KEHILANGAN WANG PERTARUHAN
Hampir Semua 26 calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) hilang wang pertaruhan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, kecuali calonnya, Toh Heng San yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas.
Mereka adalah antara 71 calon, termasuk 36 calon Bebas yang hilang wang pertaruhan berjumlah RM355,000 iaitu RM5,000 seorang. Selain itu, enam calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan empat calon Parti Cinta Malaysia (PCM) turut hilang wang pertaruhan. Kesemua mereka kehilangan wang pertaruhan itu setelah mendapat undi kurang daripada satu perlapan atau kurang 12.5 peratus daripada keseluruhan undi dalam kerusi DUN yang ditandingi mereka.
Daripada 41 calon Bebas yang bertanding, hanya lima orang yang berjaya mendapat balik wang pertaruhan termasuk George ak Lagong.
Beliau memenangi kerusi DUN Pelagus dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Stanley Nyitar @ Unja ak Malang daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Edward Sumbang ak Asun dengan majoriti 2,837 undi.
Calon Bebas yang mendapat undi paling sedikit ialah Mathew Munan yang hanya memperoleh 27 undi bagi kerusi DUN Belaga daripada jumlah pengundi seramai 5,913 orang.
Penyandang kerusi DUN Pandungan, Dominique Ng Kim Ho yang bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya kali ini turut kehilangan wang pertaruhannya dengan mendapat 439 undi.
Piliharaya Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-10
2011-04-07

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi Ketua Menteri Sarawak yang juga calon Barisan Nasional bagi DUN Balingian, Tan Sri Abdul Taib Mahmud (tengah) bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman ke tempat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra Mukah, 6-4-2011.
Nota: Apabila Parlimen khususnya Dewan Rakyat bubar, DUN tidak semestinya bubar serentak.
Buat pertama kali semua kerusi DUN ditandingi
6-4-2011 KUCHING: Sebanyak 213 calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada 16 April ini, paling ramai dalam sejarah pilihan raya negeri ini dengan Barisan Nasional (BN) dijangka menerima tentangan hebat daripada pembangkang untuk mendapatkan mandat baru daripada pengundi.
BN mempertaruhkan calon di semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah lawan tertinggi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding 49 kerusi, diikuti Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), 26 kerusi; DAP (15), Parti Cinta Malaysia (PCM) (enam) dan PAS (lima).
Penyertaan calon Bebas dan calon wanita juga paling ramai dalam sejarah pilihan raya negeri, masing-masing 41 dan 16 orang, selain tiada lagi kemenangan tanpa bertanding untuk BN seperti yang kerap berlaku pada pilihan raya sebelum ini, termasuk dua pada 2006.
Jumlah calon lelaki mendominasi dengan 197 calon, tetapi setiap parti kecuali SNAP tidak mengetepikan calon wanita dengan BN, PKR dan DAP masing-masing memberi kepercayaan kepada empat wanita.
PAS juga tidak ketinggalan apabila menamakan dua calon wanita yang disifatkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaras dengan usaha parti meningkatkan martabat wanita. Seorang lagi calon wanita bertanding atas tiket Bebas.
Daripada keseluruhan 71 kawasan pilihan raya, masing-masing dua kerusi menyaksikan pertembungan enam dan lima penjuru, empat penjuru (17), tiga penjuru (23) dan dua penjuru (27).
Sepanjang tempoh 10 hari kempen bermula semalam, BN dijangka memberi lebih tumpuan untuk meraih sokongan di lapan DUN milik DAP, PKR dan PCM serta memastikan kawasan majoriti pengundi Cina dan dilabel kelabu tidak jatuh ke tangan pembangkang.
Kerusi yang mahu dirampas BN ialah Pending, Padungan, Batu Lintang, Kidurong, Meradong, Kota Sentosa, Bukit Assek dan Ngemah, selain mengetepikan saingan pembangkang yang bertumpu di Samariang, Batu Kawah, Lingga, Engkelili, Saribas, Belawai, Bawang Assan, Nangka, Balingian, Pelagus, Bekenu, Bukit Kota, Ba’kelalan, Telang Usan, Batang Ai, Kedup, Simunjan dan Bukit Begunan.
Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka mempertahankan kerusi Balingian menentang dua pupunya yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin dan peniaga, Suriati Abdullah, 50.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika ditemui di Mukah, menasihatkan pengundi supaya tidak terpengaruh dengan pihak tertentu, termasuk calon Bebas yang mendakwa kononnya mendapat sokongan pimpinan kerajaan atau BN Pusat.
PAS yang mempertaruhkan lima calon, sekadar berharap penyertaan calon Bebas di kawasan yang ditandinginya mampu memecahkan undi BN dan memberi kemenangan mengejut kepada parti itu yang hanya bertanding di Beting Maro pada pilihan raya negeri 2006.
Saingan di kawasan majoriti pengundi kaum Melanau seperti DUN Jepak, Semop, Jemoreng, Daro, Belawai, Balingian, Dalat dan Nangka juga diramal sengit dengan saingan daripada pembangkang dan Bebas.