Category Archives: Ekonomi Malaysia dan antarabangsa

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

KEJAYAAN peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat perihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah terbukti berjaya.

Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba ‘menjual’ peranan diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi ‘perunding damai’ di antara Hamas dan Fatah di Palestin. Sesungguhnya, penglibatan Malaysia pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status sebagai sebuah ‘negara kuasa pertengahan’ (middle power state), cabaran yang bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar dan berliku.

‘Negara kuasa pertengahan’ ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang bukan ‘besar’ dan bukan ‘kecil’ tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah ‘negara kuasa pertengahan’.

Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah ‘negara kuasa pertengahan’.

Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris dengan ‘negara-negara kuasa pertengahan’ yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan usaha yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini?

Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada ‘misi campur tangan ketenteraan’ (military intervention).

(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang ‘taring’nya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah ‘diswastakan’ kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan ‘multilateralismenya’. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.

Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan berlarutan.

Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada ‘ancaman’ negara atau pihak yang berkepentingan ini.

PM Dato Sri Najib: Berikrar Minimumkan Kesan Kenaikan Kos Sara Hidup Pada Tahun Baharu 2014

Penyataan PM Dato Sri Najib melalui blog beliau: Berikrar Minimumkan Kesan Kenaikan Kos Sara Hidup Pada Tahun Baharu 2014
Kerajaan akan menambah baik program-program kerajaan supaya kesan terhadap pendapatan isi rumah tidak terlalu ketara.

Kerajaan akan melaksanakan beberapa mekanisme untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik dan bayaran tol dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) akan mengemukakan idea baharu untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Setelah mengumumkan 11 langkah untuk mengurangkan perbelanjaan sektor awam, kerajaan akan cuba memastikan kadar kenaikan adalah adil.

Sebagai contoh, kenaikan harga petrol dan tarif elektrik akan memberi kesan kepada kuasa membeli rakyat, namun, walaupun ada peningkatan, kerajaan masih memberi subsidi petrol dan bil elektrik.

Mengenai cadangan kenaikan cukai taksiran di Kuala Lumpur, setelah mendengar keluhan rakyat, kadar cukai dikurangkan sehingga dua peratus dan rebat tambahan diberi kepada pemilik hartanah yang tidak berkeupayaan, pesara serta pemilik-penghuni. Kerajaan tidak akan melaksanakan kenaikan kos tanpa memberi bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

Seramai 7.9 juta isi rumah yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan, layak memohon BR1M baharu (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Kerajaan juga akan membuka Kedai-Kedai 1Malaysia baharu untuk membantu mengurangkan kenaikan harga barangan harian serta Klinik 1Malaysia baharu untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan pada kos berpatutan.

Pada tahun 2014, kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM42 bilion untuk subsidi – hampir sama dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pembangunan.

Mengenai langkah merasionalkan subsidi, kerajaan memperkenalkan langkah pemotongan kos untuk mengurangkan perbelanjaan.

Kerajaan juga mengulangi komitmen untuk menangani rasuah, mengurangkan pembaziran kerajaan dan meningkatkan perolehan; meletakkan semua tender kerajaan di atas talian agar ia menjadi lebih telus, dan berusaha untuk lebih merealisasi nilai aset kerajaan.

Perdana Menteri bertekad untuk melakukan perkara yang tepat untuk negara dan rakyat kerana hanya dengan bertindak secara bertanggungjawab mulai sekarang, kerajaan akan dapat mengukuhkan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang agar manfaatnya dapat dirasai dengan lebih meluas.

Dengan merasionalisasikan subsidi, negara akan dapat mengukuhkan kedudukan fiskalnya serta membolehkan kerajaan memberi fokus terhadap perbelanjaan bagi projek pembangunan, termasuk kesihatan dan pendidikan, di samping bergerak ke arah mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020.

Dengan mengambil langkah yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih kukuh, Kerajaan bukan sahaja melindungi negara daripada krisis kewangan, tetapi juga mewujudkan peluang dan pekerjaan baharu.

Banyak pihak akan lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat-syarikat Malaysia, membina kilang-kilang di Malaysia dan memulakan perniagaan-perniagaan baharu. Ini seterusnya akan memacu pembangunan ekonomi, membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang.

Najib berkata apabila bermulanya tahun 2014, kerajaan perlu terus membina asas bagi kejayaan berterusan Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi lebih kukuh dan sebuah negara lebih bersatu-padu.

Untuk menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, kadangkala kerajaan perlu mengambil keputusan sukar, lagi tidak popular. Kepimpinan bermaksud melihat sesuatu dalam jangka masa panjang, melakukan apa yang betul dan bukan apa yang popular.

Kerajaan tidak akan mempersetujui sebarang pemotongan subsidi atau kenaikan kadar dengan sewenang-wenangnya kerana program subsidi telah memberi banyak manfaat kepada rakyat sejak sekian lama. Tetapi, seiring dengan pertumbuhan populasi dan pembangunan negara, program subsidi tidak lagi mapan dan kini, tiba masanya untuk kita melangkah ke hadapan.

Kerajaan perlu merasionalkan subsidi dan menyasarkan pemberian kepada golongan yang benar-benar memerlukannya. Komitmen kerajaan terhadap perbelanjaan pembangunan juga telah berkembang, dan kerajaan perlu mengurus kedudukan fiskal untuk menjamin kestabilan ekonomi negara.

Krisis kewangan baru-baru ini menunjukkan betapa seriusnya kesan dan akibatnya kepada negara yang kewangan mereka tidak dibina berdasarkan asas yang kukuh dan apabila pelabur serta agensi mendapati negara berkenaan tidak mampu membayar hutang mereka, kos pinjaman akan naik mendadak sehingga berada di luar kawalan.

Tanpa wujudnya akses kepada kredit, sesebuah negara dan rakyatnya akan menanggung implikasi besar. Sebagai contohnya lebih separuh daripada golongan muda di beberapa negara Eropah kini tidak mempunyai pekerjaan.

Di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN), Malaysia telah berkembang dengan pesat; pendapatan per kapita meningkat sehingga 49 peratus dalam tempoh empat tahun lepas. Kerajaan terpaksa mengambil keputusan yang sukar agar kos pinjaman kekal rendah dan keyakinan pelabur terus kukuh. Kedua-dua faktor ini genting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus kukuh dan berkembang.

Rakyat harus menerima hakikat bahawa kita perlu melaksanakan perubahan demi memastikan kewangan kita kekal terkawal.

Malaysia perlu meneguhkan lagi komitmennya terhadap kewujudan bersama secara aman dan perlu berusaha lebih aktif untuk mengukuhkan perpaduan kerana kestabilan dan kemajuan negara bergantung padanya. Malaysia sudah cukup matang untuk mengharungi debat-debat yang getir. Perpecahan antara kita akan berakhir dengan masa, di mana kita boleh sama-sama melihat negara kita terus membangun dan menjadi dewasa, kita juga akan melihat bahawa mereka yang tidak sependapat dengan kita kekal menjadi jiran-jiran, rakan-rakan sekerja dan sahabat-sahabat kita.

Sebab itulah, Majlis Perundingan Perpaduan Negara diwujudkan. Majlis ini akan melaporkan kepada Jemaah Menteri segala cadangan yang boleh dilakukan untuk merapatkan lagi rakyat Malaysia. Keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan wujudnya keamanan, kestabilan dan kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung pada faktor-faktor ini.

Membina semula perpaduan negara dan menggalakkan debat umum yang berlandaskan rasa hormat, menjadi sebahagian besar daripada rancangan ini.

Najib percaya 2014 akan membawa lebih banyak peluang, manakala ekonomi Malaysia, yang telah mengharungi ribut krisis kewangan dunia, diramal berkembang sebanyak 5.5 peratus.
Dengan pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia, akan menyaksikan usaha lebih bersepadu untuk menarik pelancong-pelancong asing ke negara kita yang indah ini. Perniagaan baharu akan dibuka dan pelaburan baharu akan direalisasikan.

Namun, di sebalik angka-angka ini, kerajaan sedar bahawa ada ramai yang bimbang tentang 2014, bimbang dalam usaha kami untuk mengimbangi belanjawan negara, belanjawan isi rumah akan menghadapi tekanan.

Kerajaan faham dan bersimpati dengan kebimbangan ini. Rakyat yang rajin bekerja akan merasakan kesan kenaikan kos. Dan ketika media kita dipenuhi angka-angka defisit dan peningkatan harga, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa 2014 hanya bakal membawa keperitan semata.

11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Jan 2014.

Tindakan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun 2014. Keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
11 langkah jimat belanja
1. Kerajaan akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

2. Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred Jusa juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus.

3. Kerajaan meminda kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam iaitu kelayakan penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

4. Kerajaan mengurangkan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
5. Membekukan permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.

6. Mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada bagi mengurangkan sewaan premis pejabat.

7. Mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
8. Cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

9. Kerajaan mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau ‘event management’ serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

10. Kerajaan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman serta mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

11. Kerajaan mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel.

Pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik

Laporan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi oleh PM Malaysia, 19-3-2013

index

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 tahun 2012, menyaksikan peningkatan sebanyak 7.2 peratus setahun.
Peningkatan pendapatan isi rumah bandar meningkat pada kadar 6.6 peratus setahun daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 tahun lepas manakala bagi kawasan luar bandar, bertambah pada kadar 6.4 peratus iaitu daripada RM2,545 kepada RM3,080.

index 2
Peningkatan ketara ini dicapai hasil usaha kerajaan Persekutuan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil secara berterusan. Impaknya adalah ketara melalui peningkatan peluang ekonomi secara meluas yang berupaya bukan saja menjana peluang pekerjaan bahkan pembangunan perniagaan dan perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi.
Semua negeri mencatat peningkatan pendapatan isi rumah purata dengan Kuala Lumpur pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.9 peratus (daripada RM5,488 kepada RM8,586) diikuti Labuan 12 peratus (RM4,407 kepada RM6,317), Perlis 10.1 peratus (RM2,617 kepada RM3,538), Terengganu 9.1 peratus (RM3,017 kepada RM3,967) serta Negeri Sembilan (RM3,540 kepada RM4,540) dan Sabah (RM3,102 kepada RM4,013) yang masing-masing mencatat 8.6 peratus.
Dari segi etnik, kaum India mencatat peningkatan tertinggi iaitu 9 peratus (daripada RM3,999 kepada RM5,233) diikuti Cina 8 peratus (RM5,011 kepada RM6,366) dan bumiputera 6.9 peratus (RM3,624 kepada RM4,457).
PPIR 2012 juga menunjukkan pengagihan pendapatan dalam kalangan isi rumah keseluruhan bertambah baik dengan pengurangan Pekali Gini daripada 0.441 bagi 2009 kepada 0.431 pada tahun lepas, yang menyaksikan pengurangan di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing daripada 0.423 kepada 0.417 dan 0.407 kepada 0.382.
Insiden kemiskinan keseluruhan juga berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus tahun lepas dengan jumlah isi rumah miskin berkurangan sebanyak 52.7 peratus, iaitu daripada 228,400 kepada 108,000 dalam tempoh sama.
Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia ke-10 untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2 peratus pada 2015 telahpun tercapai tiga tahun lebih awal. Ini adalah hasil pertumbuhan pesat ekonomi negara serta keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan.
indeks 3

Pengurangan insiden kemiskinan adalah menyeluruh yang menyaksikan di kawasan bandar merosot daripada 1.7 peratus kepada 1 peratus manakala di luar bandar berkurangan daripada 8.4 peratus kepada 3.4 peratus.
Kadar kemiskinan bumiputera turun daripada 5.3 peratus kepada 2.2 peratus, Cina daripada 0.6 peratus kepada 0.3 peratus dan India daripada 2.5 peratus kepada 1.8 peratus.

Syarat Bantuan 1Malaysia BRIM1 dan BRIM2   (Bantuan Rakyat 1Malaysia)

Syarat Bantuan 1Malaysia BRIM1 dan BRIM2 (Bantuan Rakyat 1Malaysia)


Sabah mencatat pengurangan yang ketara daripada 19.7 peratus kepada 8.1 peratus diikuti Perlis daripada 6 peratus kepada 1.9 peratus dan Terengganu daripada 4 peratus kepada 1.7 peratus. Putrajaya telah mencapai status kemiskinan sifar pada 2012.

Malaysia tuan rumah APEC 2020

9-9-2012 VLADIVOSTOK Rusia: Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020, demikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

PM Malaysia bertemu Presiden Rusia


Mengikut turutan, Malaysia dijadual menganjurkan acara itu pada 2020, iaitu tahun yang bertuah dan penting bagi negara ini.
“Perkara ini dalam perancangan dan (Malaysia) akan menjadi tuan rumah acara itu,” katanya ketika memberi taklimat kepada wartawan Malaysia mengenai hasil Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 yang berakhir 9-9-2012

Datuk Seri Najib Razak menyertai 20 ketua-ketua ekonomi lain dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin APEC 2012 bagi membincangkan perkembangan di rantau Asia Pasifik dan hala tuju masa depan bersama

PM kita mengadakan mesyuarat dua hala dengan presiden negara tuan rumah, Russia, Vladimir Putin. Beliau juga bertemu dengan tiga ketua ekonomi lain, iaitu Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard.

Beliau juga bertemu dengan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, Presiden Filipina Benigno Aquino dan Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda.

Ketua-Ketua Negara APEC 2012, Rusia


Meskipun kedudukan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ialah sebagai platform bagi menetapkan hala tuju dan kerjasama perdagangan di kalangan anggotanya bagi pembangunan dan kemajuan ekonomi bersama, dalam persekitaran tidak terikat, acara tahunan ini sama seperti sebelumnya, akan terus melihat isu bukan perdagangan lain dibincangkan di luar dari sidang kemuncak itu.

Menteri Luar dan Menteri Ekonomi APEC bertemu

Deklarasi Kazan
Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-20 berakhir pada 9-9-2012 Ahad, dengan 21 ekonomi anggota bersetuju untuk bertindak menyelesaikan banyak isu dan tindakan yang dicadangkan yang telah dibincangkan selama setahun bagi mencapai matlamat bersama mereka meneruskan perpaduan dan kemakmuran serantau.

Jaminan makanan diberikan perhatian serius dalam mesyuarat itu, dengan Deklarasi Kazan bagi Jaminan Makanan APEC disokong oleh semua pemimpin. Deklarasi Kazan ialah pelan hala tuju bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan mengukuhkan pengedarannya dalam persekitaran perdagangan bebas dan menangani isu-isu seperti manipulasi harga makanan manakala pada masa yang sama menggalakkan faktor-faktor pengeluaran makanan.

Satu bilion daripada tujuh bilion penduduk dunia sekarang berdepan isu kekurangan makanan, dan ketika penduduk pada 2050 dijangka meningkat kepada 9.3 bilion, jaminan makanan menjadi satu isu kritikal yang boleh membawa impak kepada masa depan. Perlu ada galakan bagi pengeluaran dan langkah-langkah untuk memastikan petani yang mengeluarkan makanan mendapat keuntungan seimbang daripada pengeluaran mereka.

Kaedah-kaedah dikenal pasti untuk mengedarkan makanan dengan cekap sambil menambah pengurangan pembaziran dan penyediaan tempat penyimpanan dan logistik yang lebih baik demi memastikan peningkatan keuntungan bagi petani dan nelayan. Dengan keuntungan yang lebih baik, akan ada lebih banyak pengeluaran makanan. Selain itu, manipulasi harga makanan perlu ditangani.
Inovasi juga diberi tumpuan pada mesyuarat itu walaupun masa agak terhad. Ini merupakan bahagian penting kerana ia akan menjana sumber pendapatan baharu bagi ekonomi.

Mengenai kerjasama pendidikan, idea mobiliti dibincangkan bagi memastikan pindahan kredit dalam universiti di rantau ini dapat dilaksanakan.

Kenegaraan: APEC 2011

12-11-2011 Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di sini untuk menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Pemimpin Anggota APEC

OBAMA bersama isteri Michele, bergambar selepas menyambut ketibaan Najib dan Rosmah pada majlis makan malam rasmi untuk ketua-ketua kerajaan bersempena APEC di Honolulu, Hawaii.


Diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Perdana Menteri yang menaiki pesawat khas, tiba di Pangkalan Tentera Udara Hickam berhampiran Pearl Harbour pada pukul 3.45 petang waktu tempatan.
Ketibaan beliau dan isteri disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Datuk Seri Jamaludin Jarjis serta isteri masing-masing.
Najib juga dijadualkan menghadiri mesyuarat sulung para pemimpin Pakatan Trans-Pasifik sembilan anggota hari ini, yang akan dihoskan Presiden Amerika Barack Obama. https://goaypastpm.wordpress.com/wp-admin/media-upload.php?post_id=1203&type=image&TB_iframe=1
Sidang kemuncak Apec akan bermula 13-11-2011 dengan para pemimpin terbabit dijangka memberi fokus terhadap usaha ke arah memperkukuh integrasi serta pertumbuhan ekonomi dan pembangunan serantau.
Sebahagian daripada jadual asal Perdana Menteri, termasuk pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Mexico Feliope Calderon hari ini, dibatalkan apabila pemimpin Mexico itu membatalkan kedatangannya ke Hawaii berikutan kematian Menteri Dalam Negeri Jose Francisco Blake Mora dalam nahas helikopter awal hari ini.

12-11-2011 APEC Berita Harian

PM Malaysia bersama Presiden Amerika di APEC Hawaii 2011


INISIATIF Malaysia menjadikan konsep kesederhanaan sebagai amalan antarabangsa melangkah setapak lagi dengan pelancaran secara rasmi Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global, Januari tahun 2012.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, penubuhan yayasan itu kena pada masanya ketika kesedaran terhadap pentingnya amalan kesederhanaan dalam menghadapi ancaman puak ekstremis di seluruh dunia, semakin meningkat. Beliau berkata, yayasan itu akan dilancarkan pada Persidangan Antarabangsa mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang pertama di Kuala Lumpur dari 17 hingga 19 Januari 2012.

“Sudah tiba masanya, golongan majoriti yang cintakan perdamaian dan kesederhanaan, menuntut semula hak mereka. Kita tidak boleh lagi sekadar menunggu dan berdiam diri dalam menghadapi ekstremis dan keganasan.

“Kita perlu memastikan suara kita didengar, bukan saja suara umat Islam yang berpendirian sederhana, tetapi juga suara penganut Kristian, Hindu, Yahudi dan ateis yang mempunyai pendirian sama,” katanya ketika berucap di East-West Center (EWC) di sini.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ke-19 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dihoskan Presiden Barack Obama.

GMM yang pertama kali disarankan beliau pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) September tahun lalu, bertujuan menjadikan konsep kesederhanaan sebagai amalan antarabangsa, tanpa mengira agama dan warna kulit.
Sebelum ini, pelbagai pihak menyatakan sokongan terhadap inisiatif berkenaan, termasuk Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton.

Malah, Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, Australia baru-baru ini juga menerima cadangan itu dan menjadikannya sebahagian daripada Pernyataan Bersama 17 Perkara CHOGM.

Sambil menggesa masyarakat antarabangsa menyatakan dengan tegas pendirian mereka dalam menentang ekstremis, Najib berkata, puak itu mengambil kesempatan daripada kebebasan bersuara untuk memesong dan mengeksploitasi golongan yang jahil, lemah dan miskin.

“Oleh kerana kurangnya tindakan bersepadu golongan majoriti berpendirian sederhana, puak minoriti ekstremis ini berjaya menguasai pentas sehingga membenarkan perbincangan didominasi bukan oleh sesuatu yang wajar dan munasabah, sebaliknya siapa yang lebih lantang bersuara,” katanya.

Bagaimanapun, ketika menjawab satu soalan siapakah yang kini menang di antara golongan sederhana dan puak ekstremis, Najib berkata, golongan sederhana kini sudah bangun dan sedar mereka tidak boleh lagi sekadar menjadi penonton, tetapi perlu membabitkan diri.

Kira-kira 300 orang menghadiri syarahan itu termasuk ahli akademik, pelajar, alumni EWC dan pemimpin tempatan, termasuk Datuk Bandar Honolulu, Peter B Carlisle.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan Presiden EWC, Dr Charles E Morrison.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, inisiatif kesederhanaan itu akan gagal jika pihak berkenaan seperti pemimpin kerajaan, masjid, gereja dan universiti hanya melihatnya sebagai latihan akademik semata-mata.

“Kita tidak boleh hanya duduk di menara gading dan berbincang, sebaliknya perlu bertindak sewajarnya, melakukan perubahan sebenar dan mengambil kira kehendak majoriti.

“Kerajaan pula mesti menunjukkan teladan. Kita tidak boleh hanya mengharapkan kesederhanaan daripada orang lain jika tindakan kita sendiri membawa kita jauh daripada jalan yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pentadbir EWC, Puongpun Sananikone ketika ditanya mengenai konsep kesederhanaan itu berkata, sudah tiba masanya masyarakat dunia menyokong inisiatif berkenaan.

“Inisiatif seperti ini amat baik dan memang kita perlukan dalam menghadapi puak ekstremis sekarang. Ia juga sejajar dengan apa yang kami lakukan di sini pada masa ini,” katanya.

Kenegaraan: Dialog Antarabangsa Langkawi

LID

Dasar Ekonomi: Program Transformasi Ekonomi

BAJET 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2010 menggariskan empat strategi utama untuk memacu ekonomi negara. Empat strategi terbabit ialah merancakkan pertumbuhan swasta; mempergiat pembangunan modal insan; menambah baik kualiti hidup; dan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Strategi yang digariskan itu adalah bertujuan memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berlaku secara mapan dan konsisten, iaitu pada kadar enam peratus. Strategi merancakkan pertumbuhan swasta membuktikan bahawa penglibatan sektor swasta sangat penting dalam menjana dan memacu ekonomi negara.

Kerajaan telah menetapkan sasaran pelaburan swasta perlu berkembang pada kadar 12.2 peratus (RM115 bilion) setahun. Justeru, menurut laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP): Hala Tuju Untuk Malaysia yang dikeluarkan pada 25 Oktober lalu mengiktiraf peranan sektor swasta dalam memudah pertumbuhan ekonomi menerusi ETP.

Menurut laporan ETP itu, risiko paling nyata ialah jika pertumbuhan 12.2 peratus dalam pelaburan swasta setiap tahun gagal dicapai. Jika ini berlaku ia akan turut menjejaskan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

RMK-10 adalah penentu atau kayu pengukur bagi negara mencapai misi nasional, iaitu Wawasan 2020. Pertumbuhan enam peratus ekonomi negara dalam tempoh RMK-10 tidak akan tercapai sekiranya sektor swasta gagal memainkan peranannya sebagai enjin utama menjana dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebelum berlakunya krisis ekonomi pada 1997/1998, sektor swasta dianggap sebagai “lokomotif ” utama menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang 30 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hari ini, kerajaan mahu memastikan peranan tersebut dipikul semula oleh sektor swasta. Sektor swasta penting untuk menjayakan ETP dan RMK-10 yang berhasrat menjadi negara sebagai negara berpendapatan tinggi.

Penekanan kerajaan terhadap pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dilihat mampu mendorong pelaburan sektor swasta yang menggalakkan. 12 bidang utama NKEA itu termasuklah: pertanian; perkhidmatan perniagaan; pendidikan; elektrik dan elektronik; perkhidmatan kewangan; penjagaan kesihatan; Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang; minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; kandungan komunikasi dan infrastruktur; pelancongan; dan, pemborongan dan peruncitan.

Sektor perkhidmatan kewangan dilihat antara bidang teras NKEA kerana peranannya yang penting bagi memperkukuh dan memastikan kesemua aspek industri atau perusahaan dapat kekal bertenaga dan maju serta dapat menyokong keperluan perniagaan dan pengguna dengan cekap dan berkesan.

NKEA adalah sebahagian daripada ETP yang akan menjadi jentera pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan lebih 3.3 juta peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Dijangkakan NKEA akan menjana pelaburan sebanyak RM1.3 trilion (AS$444 bilion) sepanjang tempoh RMK-10 . Daripada jumlah itu, 73 peratus pelaburan NKEA dijangka menerusi pelaburan langsung domestik dan selebihnya daripada pelaburan asing.

Dana sektor awam dijangka hanya menyumbang empat peratus untuk membantu menjayakan bidang NKEA terbabit. Kerajaan menyediakan beberapa mekanisme bagi membantu penglibatan aktif sektor swasta dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Misalnya, kerajaan mewujud dan melaksanakan perkongsian awam-swasta (PPP). PPP adalah pendekatan bagi menjayakan RMK-10.

Beberapa projek PPP telah pun di kenal pasti yang antaranya membabitkan projek pembinaan lebuh raya, projek pembangunan kesihatan, projek pembinaan pusat akademik perubatan, projek pembinaan loji jana kuasa kira padu gas 300 megawatt di Kimanis, Sabah, projek pembinaan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL dan projek pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buluh.

Selain itu, Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) diwujudkan di bawah RMK-10 yang berjumlah RM15 bilion akan dapat mengurangkan beban kerajaan dalam membiayai projek infrastruktur dan pembangunan ekonomi yang menelan kos yang besar. Untuk itu, sebuah dana khas diwujudkan di bawah Pasukan Petugas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah).

Ia bertujuan mempermudah PFI dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-10. Mana-mana projek swasta (projek PFI) yang tidak berdaya maju akan diubah menjadi lebih kompetitif dan berdaya maju dengan bantuan dana tersebut.

Langkah mewujudkan Pemudah adalah bertepatan dengan strategi keempat Bajet 2011, iaitu memantapkan sistem penyampaian awam sejajar dengan prinsip gagasan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Salah satu indeks atau petunjuk utama sesebuah negara maju ialah pembangunan modal insan. Justeru, strategi mempergiat pembangunan modal insan di bawah Bajet 2011 amat penting untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Peruntukan besar sebanyak RM29.3 bilion kepada sektor pendidikan negara membuktikan bahawa kerajaan amat mengutamakan pembangunan modal insan. Peruntukan itu adalah peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding peruntukan pendidikan di bawah Bajet 2010 iaitu RM25.5 bilion.

Keperluan terhadap modal insan yang berkualiti tinggi adalah selari dengan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah. Untuk menjayakan MBE maka kita memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta kreatif dan inovatif. Pelabur hari ini bukan sahaja melihat kepada faktor kos yang dapat dijimatkan tetapi juga melihat keupayaan dan kemahiran pekerja memacu operasi perniagaan mereka.

Justeru, mereka memerlukan pekerja yang berilmu, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif. Kemahiran komunikasi yang tinggi juga merupakan nilai tambah yang perlu ada pada modal insan kita, terutamanya yang melibatkan bidang-bidang profesional. Kita masih kekurangan dalam aspek ini.

Kenegaraan: Program Transformasi Ekonomi (ETP)

1-12-2010 PM bergambar dengan wakil industri dari pelbagai sektor selepas membentangkan Program Transformasi Ekonomi. Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Sembilan Projek Permulaan (EPP) baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mampu menyumbang RM33 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan mewujudkan lebih 71,500 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Semua projek membabitkan pelaburan RM9 bilion itu akan memacu industri minyak dan gas, tenaga, elektronik, pelancongan serta pendidikan. Ini membabitkan tiga projek memajukan industri minyak dan gas serta tenaga, dua projek bagi memacu sektor elektronik, tiga projek meningkatkan nilai sektor pelancongan dan satu projek khusus bagi mengembangkan sistem pendidikan prasekolah.

Pelaburan yang besar ini penting bagi menyokong ekonomi Malaysia memandangkan ia terus berkembang. Kapasiti yang meningkat penting untuk menyediakan tenaga kepada perniagaan dan jumlah penduduk yang semakin berkembang dalam negara.

Insentif cukai baru diberi bagi menggalakkan pembangunan sumber minyak dan gas baru membabitkan pengurangan kadar cukai bagi pembangunan medan minyak baru. Walaupun akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM8.1 bilion dalam bentuk elaun percukaian, tetapi berpotensi membawa hasil petroleum tambahan RM50 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Projek EPP baru itu membabitkan pembangunan Taman Perindustrian Minyak & Gas dan Logistik Tanjong Agas di tapak seluas 1,704 hektar di Pekan, Pahang yang akan dibangunkan Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd membabitkan pelaburan RM3 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2012. Projek ini dijangka menyumbang RM30 bilion kepada GNI sepanjang 10 tahun akan datang dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula akan melabur RM4 bilion tahun depan bagi membangunkan dua loji jana kuasa hidro baru, iaitu projek Hidroelektrik Ulu Jelai di Pahang dan Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu dengan kemampuan menjana 600 MW tenaga elektrik. Projek ini penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi memandangkan kapasiti tenaga tambahan diperlukan bagi membekal tenaga mencukupi kepada perniagaan dan penduduk yang semakin meningkat.

Pembangunan Kelompok Kejuruteraan, Sains dan Inovasi Lanjutan diterajui Taman Teknologi Malaysia (TPM) pula meningkatkan pengkomersialan penyelidikan akademik di Malaysia membabitkan pelaburan RM374 juta sehingga 2020. Pelaksanaan projek itu dijangka menyumbang RM636 juta kepada GNI dan mewujudkan 20,900 peluang kerja baru.

Cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

GST untuk kebaikan semuaBAYARAN makanan termasuk cukai perkhidmatan yang dikenakan di restoran mungkin dapat dikurangkan melalui pengenalan GST.

——————————————————————————–

JIKA mengikut perancangan awal kerajaan, cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sepatutnya sudah dilaksanakan dua tahun lalu iaitu pada 2007. Bagaimanapun, pelaksanaannya yang diperkenalkan pada 2005 ditangguhkan kerana dilihat agak tergesa-gesa selain negara memerlukan sebuah penstrukturan semula cukai yang lebih sistematik.

Selepas empat tahun, kajian mekanisme GST menerusi Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan ketika ini sudah berada pada fasa terakhir dan akan dibentangkan pada akhir sidang Dewan Rakyat. Pelaksanaannya pula dijangka pada 2011.

Tidak dinafikan, pelaksanaan GST memberi kelebihan terutamanya kepada kerajaan dalam meningkatkan aliran pendapatan yang kemudiannya boleh digunakan bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat seluruh rakyat.

Asas percukaian yang lebih meluas serta yang dikenakan pada satu kadar akan memudahkan kerajaan mengurus dan mentadbir sistem tersebut. Ia juga mudah difahami oleh rakyat berbanding cukai yang dikenakan pada kadar berbeza bagi perkhidmatan dan barangan yang berlainan.

Ia juga dapat mengurangkan beban pembayar cukai kerana jumlah yang membayar cukai pendapatan hanya beberapa peratus berbanding keseluruhan rakyat Malaysia.

Itu antara kelebihan yang dinikmati oleh rakyat di negara yang sudah lama melaksanakan GST seperti di New Zealand, Australia dan Singapura.

Di rantau Asia Tenggara ini pula, hampir seluruh negara sudah melaksanakan sistem cukai itu melainkan tiga buah negara sahaja iaitu Malaysia, Brunei dan Myanmar.

Namun kita perlu realistik dalam membuat perbandingan kerana tidak semua pelaksanaan GST memberi kelebihan kepada negara-negara tertentu.

Di Kanada misalnya, kerajaan Parti Progresif Konservatif pimpinan Perdana Menteri Brian Mulroney tumbang pada 1993 apabila memperkenalkan GST pada 1989. Hong Kong juga ketika ini dikatakan sedang mengkaji semula pelaksanaan GST.

Ini secara tidak langsung menunjukkan pelaksanaan GST bukan mudah untuk diterima lebih-lebih lagi di kalangan rakyat.

Terdapat beberapa perkara daripada pelaksanaannya yang jika tidak diperhalusi boleh membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin. Apatah lagi dalam suasana ekonomi yang agak perlahan ketika ini serta kos kehidupan yang agak tinggi, pelaksanaan GST mungkin dilihat tidak kena pada masanya.

Dalam sistem percukaian yang digunakan ketika ini misalnya, golongan berpendapatan rendah tidak dikenakan cukai. Tetapi selepas pelaksanaan GST, mereka bakal dikenakan cukai secara tidak langsung yang dipindahkan kepada perkhidmatan dan barangan.

Bagi rakyat berpendapatan rendah, hakikat itu mungkin satu bebanan berbanding dengan golongan kaya yang mendapat kelebihan kerana tidak lagi perlu membayar cukai yang tinggi serta beberapa cukai yang dikecualikan.

Rakyat juga bimbang pelaksanaan GST akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang melambung tinggi. Ini sememangnya berlaku di negara-negara yang mula melaksanakan dasar tersebut.

Gambaran-gambaran sebeginilah yang berlegar-legar di kalangan rakyat kebanyakan menyebabkan ramai yang masih belum faham mengenai GST. Lebih malang, ia dimanipulasi pula oleh sesetengah pihak untuk menghentam kerajaan meskipun mereka mengetahui pelaksanaannya mampu memberi kelebihan kepada semua pihak.

Hakikatnya, GST mengecualikan beberapa perkhidmatan dan barangan asas yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk disediakan kepada rakyat kebanyakan, lebih-lebih lagi kepada golongan miskin.

Antaranya yang dijangkakan bebas GST ialah makanan, pendidikan, kesihatan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kebajikan dan keagamaan. Perlu juga untuk difahami bahawa cukai GST adalah cukai yang dikenakan ke atas pengguna dengan asas yang lebih meluas. Bukannya cukai perniagaan yang membolehkan kumpulan peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati.

Dalam situasi ini, peranan peniaga hanyalah sebagai ejen cukai kepada kerajaan. Kenaikan harga barang dalam satu-satu masa pula lebih kepada barangan mewah.

Bagi pemerhati ekonomi, Nassrul Hakim Md Jani, beliau berpandangan GST memberi kelebihan dari dua sudut iaitu memudahkan kerajaan mengutip cukai dengan jaminan ia berjalan lebih cekap.

Dalam masa yang sama jelas pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan di Kolej Profesional Mara, Melaka ini, pelaksanaannya juga dapat mengurangkan bebanan pembayar cukai pendapatan yang sebenarnya minoriti.

Bagaimanapun katanya, GST wajar bermula pada kadar yang rendah sebelum dinaikkan beransur-ansur supaya tidak membebankan rakyat.

Beliau mengambil contoh Singapura yang mula memperkenalkan GST pada 1994 pada kadar sebanyak tiga peratus dan menaikkan kepada lima peratus selepas itu.

Kadar itu tidak jauh berbeza dengan kadar yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu berkisar antara tiga hingga empat peratus yang relevan dengan situasi semasa.

Kadar yang rendah itu juga adalah komitmen kerajaan dalam mengimbangkan dengan kebajikan rakyat.

“Rakyat sebenarnya mengharapkan agar kerajaan menjadikan matlamat mendapatkan pendapatan kerajaan yang lebih baik sebagai keutamaan dalam pelaksanaan GST ini. Bukan semata-mata untuk meringankan beban golongan minoriti pembayar cukai walaupun kedua-dua faedah ini berlaku serentak,” katanya.

Dalam hal ini, kerajaan perlu menggiatkan lagi aktiviti kebajikan untuk rakyat bagi mengimbangi beban cukai yang bakal mereka tanggung.

Contohnya menaikan jumlah biasiswa kecil persekutuan untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan atau menambah peruntukan. Ini bagi membolehkan lebih ramai dapat menikmatinya memandangkan cukai ini ditanggung oleh semua individu yang berbelanja termasuk pelajar-pelajar sekolah.

Selain itu tambah Nassrul Hakim, perlu juga ada keseimbangan antara faedah kepada golongan berpendapatan tinggi dengan golongan berpendapatan rendah. Ini kerana tambah ‘definisi’ pengurangan pendapatan kepada golongan kaya dan miskin amat berbeza.

Bagi golongan berpendapatan tinggi katanya, pengurangan pendapatan bermaksud mereka kini hanya boleh melancong dalam negeri berbanding luar negara seperti sebelum ini.

“Tetapi ‘definisi’ pengurangan pendapatan kepada golongan miskin bermakna jika dahulu mereka makan dua kali sehari, sekarang mereka terpaksa makan sekali sehari,” ujar beliau.

10 Dis 2009 KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta semua rakyat supaya tidak mempolitikkan langkah kerajaan melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

Perdana Menteri menegaskan pelaksanaan GST bertujuan membantu mengukuhkan kedudukan negara dan mengatasi kejatuhan perolehan cukai yang dipengaruhi kekurangan rizab minyak.

“Matlamat kita bukan mengenakan cukai terhadap barangan keperluan asas dan perkhidmatan tetapi untuk memperluaskan asas perolehan bagi membolehkan kita tidak terlalu bergantung kepada satu sektor saja (minyak) untuk menjana pertumbuhan masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persekutuan Pembuatan Malaysia (FMM) di sini, malam tadi.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa berusaha mencari langkah baru bagi meningkatkan daya saing dan amalan pengurusan kewangan yang sihat.

“Kebenarannya ialah hampir semua pendapatan dan pertumbuhan negara banyak bergantung kepada perolehan hasil minyak yang akhirnya punca pendapatan ini akan hilang perlahan-lahan apabila sumber petroleum habis,” katanya.

Sementara itu kata Perdana Menteri, beliau percaya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan pulih pada 2010 dan menjadi testimoni kepada kekuatan negara.

“Pertumbuhan tahun depan ternyata sekali adalah cita-cita, terutama ketika bajet defisit. Saya percaya kita mampu meningkatkan satu atau dua peratus tambahan daripada sektor swasta.

“Walaupun ia tidak mudah, saya berpendapat kita mampu mencapai sasaran itu,” katanya

Najib juga berkata, beliau gembira langkah dilaksanakan bagi melindungi Malaysia daripada kejatuhan ekonomi dan pada masa sama mampu pulih dengan pantas.

“Suka saya mengatakan kejayaan mencapai matlamat itu (melindungi dan memulihkan ekonomi) adalah melalui suntikan pakej rangsangan ekonomi serta dasar liberalisasi perdagangan diperkenalkan kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan dan pembangunan sektor pembuatan begitu kritikal kepada kejayaan dan pembangunan masa depan Malaysia.

Katanya, semua pihak dalam sektor pembuatan perlu bekerjasama dan meneruskan langkah melabur serta menyokong dasar kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi.