24-11-2011 Sumber: Berita Harian
Dewan Rakyat lulus batalkan 3 Proklamasi Darurat

Fasa kedua Program Transformasi Politik: PM

PM bentang usul beliau di Dewan rakyat
Dewan Rakyat meluluskan usul Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan tiga Proklamasi Darurat kerana keadaan darurat yang berleluasa dan mengancam keselamatan atau kehidupan ekonomi serta ketenteraman awam sudah tidak lagi wujud.
Ketika membentangkan usul berkenaan, Najib berkata, kesan pembatalan Proklamasi Darurat 1966, Proklamasi Darurat 1969 dan Proklamasi Darurat 1977 ini menurut Fasal (7) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan turut menyaksikan beberapa ordinan dan undang-undang berkaitan akan terhenti berkuat kuasa selepas habis tempoh enam bulan dari tarikh Proklamasi Darurat berkenaan dibatalkan.
Katanya, berikutan itu, langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan tidak timbul sebarang kesukaran dan halangan kepada kerajaan mengawal jenayah dan perkara yang boleh menyebabkan ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.
“Dengan pembatalan Proklamasi Darurat, kerajaan tidak lagi mempunyai kuasa membuat undang-undang di bawah Perkara 150 Perlembagaan dan memulangkan kembali kuasa berkenaan kepada Parlimen kecuali dalam aspek undang-undang syarak dan adat istiadat Melayu, serta undang-undang adat anak negeri bagi Sabah dan Sarawak.
“Ia membuktikan kerajaan sentiasa bersedia untuk melakukan pembaharuan dalam undang-undang negara supaya ia selaras dengan kehendak semasa dan mengukuhkan lagi usaha kerajaan memastikan negara sentiasa maju,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Najib berkata, langkah kerajaan membatalkan Proklamasi Darurat yang masih berkuat kuasa di seluruh negara dan dua proklamasi darurat khusus yang berkuat kuasa di Sarawak dan Kelantan, adalah fasa kedua terhadap Program Transformasi Politik (PTP) Malaysia.
“Ia adalah fasa kedua terhadap PTP yang diumumkan ketika ucapan saya pada malam Hari Malaysia, 15 September lalu.
“Fasa pertama sudah dilaksanakan melalui pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta pembebasan semua tahanan perintah kediaman terhad selain pembatalan waran-waran yang belum disampaikan.
“Maka pada hari ini dan detik ini, kerajaan membentangkan pula fasa kedua PTP itu menerusi pembatalan proklamasi terbabit,” katanya.
Menjelaskan usul berkenaan, beliau berkata, pembatalan ini akan kekal mempersada prinsip ketinggian Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan selain memansuhkan secara langsung kuasa luar biasa seperti terkandung dalam ordinan dan akta yang dibuat di bawah Perkara 150.
“Ini juga bererti semua ordinan yang sudah digubal ketika darurat, perlu digubal semula oleh Parlimen jika perlu. Berikutan itu, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang yang perlu pada Mac 2012.
“Pembatalan ini juga akan menyegarkan semula falsafah persekutuan dan meletakkan hubungan dengan kerajaan negeri di trek yang lebih kukuh tanpa dibayang Fasal (4) Perkara 150,” katanya.
Najib juga berkata, kerajaan mengambil keputusan membatalkan proklamasi berkenaan berasaskan bahawa punca atau sebab mengapa ia diisytiharkan sudah lapuk ditelan zaman.
“Sememangnya tindakan yang diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) ini amat penting lagi monumental kerana ia dilakukan secara sukarela dan mengembalikan kuasa luar biasa yang dimiliki tanpa sebarang paksaan.
“Hendaklah diingat, langkah ini adalah sama beraninya dengan tindakan bapa-bapa kita apabila mengisytiharkan darurat, walau apa pun tohmahan melanda ketika itu.
“Tindakan ini kita ambil kerana yakin dengan kebijaksanaan serta percaya terhadap kematangan rakyat demi masa depan negara ketika berusaha menjadikan Malaysia negara maju dan mempunyai amalan demokrasi yang matang, bugar dan bertanggungjawab.
“Ringkasnya sebuah demokrasi yang berfungsi, yang mana hak untuk berbeza pendapat dan berlainan pandangan sebagai satu rahmat, bagi mencari jalan terbaik, demi Pertiwi dan kepentingan kebangsaan, bukannya atas alasan hendak melabel atau menyisih mana-mana pihak,” katanya.
FAKTA:
Proklamasi Darurat 1966, : Proklamasi Darurat yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 14 September 1966 di Sarawak, bertujuan membolehkan kerajaan selesaikan pertikaian politik di Sarawak.
Proklamasi Darurat 1969 : Proklamasi Darurat yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 1969 berikutan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Proklamasi Darurat 1977 : Proklamasi Darurat yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 8 November 1977 di Kelantan bertujuan menyelesaikan pertikaian politik di Kelantan.

HISHAMMUDDIN Tun Hussein ketika mengadakan sidang akhbar yang turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar di lobi Parlimen,
Kesan Kemansuhan Akta Darurat dan Akta ISA
Utusan Malaysia 24 Nov 2011. – Tidak kurang daripada 36 tahanan di bawah Ordinan Darurat akan dibebaskan dalam masa terdekat ini melalui pemansuhan tiga proklamasi darurat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pembebasan itu selaras dengan kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan Program Transformasi Politik (PTP) fasa kedua melalui pembatalan tiga proklamasi darurat itu.
Ia adalah Proklamasi Darurat 1966, Proklamasi Darurat 1969 dan Proklamasi Darurat 1977.
“Polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membebaskan tidak kurang daripada 36 orang tahanan di bawah Ordinan Darurat dalam sehari dua lagi.
“Ini merupakan proses yang berjalan secara berterusan walaupun pada dasarnya ia (proses itu) mengambil masa selama enam bulan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini membentangkan usul bagi memansuhkan tiga proklamasi darurat yang diisytiharkan sejak 1966 dan dianggap masih berkuat kuasa hingga kini.
Jelas Hishammuddin, tugas kementerian bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah untuk memastikan kepentingan nasional dan keselamatan rakyat serta hak asasi menjadi pertimbangan bersama.
“Saya percaya tugas kementerian dan PDRM menerusi PTP akan memberi jaminan bahawa pihak polis dapat memastikan keamanan dan keselamatan rakyat tidak akan terjejas,” tambahnya.
Katanya, melalui konteks transformasi itu segala perhimpunan aman perlu mengambil kira pandangan pihak berkuasa supaya tidak menjejaskan keharmonian serta keselamatan rakyat dan negara.
“Sebab itu dalam kita meniti perubahan sama ada dalam konteks akta-akta keselamatan atau perhimpunan aman, ia perlu mengambil kira pandangan pihak berkuasa supaya negara selamat dan tidak huru-hara.
“Saya percaya rakyat dapat menilai keseriusan Perdana Menteri membuat transformasi ini,” ujarnya.
Berhubung 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata beliau, siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan.