Category Archives: STPM Penggal 3(Bhg A) Malaysia dan Negara Luar

Jenayah rentas sempadan

Majlis pembukaan Persidangan Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan kali ke-10, 29-9-2015.

Jenayah rentas sempadan merupakan satu jenayah baru yang harus diatasi sejajar dengan saranan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata jenayah itu kini sudah menjadi satu fenomena yang boleh menggugat keamanan, keselamatan individu dan juga negara. Bahkan, Jenayah rentas sempadan turut melibatkan transaksi kewangan yang juga membabitkan sindiket jenayah.
Antara jenayah rentas sempadan yang disenaraikan adalah perdagangan haram alam semulajadi dan budaya, perdagangan haram hidupan liar, perdagangan haram bagi produk berasaskan kayu. Selain itu, jenayah ini merangkumi perdagangan haram untuk sisa elektrik dan elektronik, perdagangan haram untuk bahan-bahan yang menipiskan ozon, barang-barang tiruan dan perdagangan ubat-ubat tiruan.
Jenayah itu sering melibatkan pergerakan individu yang merentasi sempadan negara. Isu ini menjadi salah satu ancaman utama di rantau ASEAN untuk satu jangka masa yang lama. Masalah ini juga telah mencecah ke paras yang kritikal pada pertengahan tahun ini dan turut melibatkan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia ekoran penghijrahan mengejut yang tidak terkawal.
ASEAN harus membuat satu keputusan ekoran jenayah transtanational baru seperti yang disarankan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai dadah dan jenayah.

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

KEJAYAAN peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat perihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah terbukti berjaya.

Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba ‘menjual’ peranan diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi ‘perunding damai’ di antara Hamas dan Fatah di Palestin. Sesungguhnya, penglibatan Malaysia pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status sebagai sebuah ‘negara kuasa pertengahan’ (middle power state), cabaran yang bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar dan berliku.

‘Negara kuasa pertengahan’ ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang bukan ‘besar’ dan bukan ‘kecil’ tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah ‘negara kuasa pertengahan’.

Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah ‘negara kuasa pertengahan’.

Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris dengan ‘negara-negara kuasa pertengahan’ yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan usaha yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini?

Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada ‘misi campur tangan ketenteraan’ (military intervention).

(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang ‘taring’nya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah ‘diswastakan’ kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan ‘multilateralismenya’. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.

Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan berlarutan.

Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada ‘ancaman’ negara atau pihak yang berkepentingan ini.

Esscom menjamin kedaulatan Malaysia di Sabah

Pasukan keselamatan mengawal resort pelancongan

Pasukan keselamatan mengawal resort pelancongan


Esscom tekad pastikan kawasan Pantai Timur Sabah selamat
Insiden penculikan di Singamata Adventures and Reef Resort Semporna bulan Mei 2014 memberi mesej jelas kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bahawa masih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Ancaman keselamatan berikutan pencerobohan pengganas Sulu dan kes penculikan menuntut Esscom mengambil tindakan drastik dan langkah proaktif bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur Sabah ekoran krisis di Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013.
Jenayah rentas sempadan di perairan timur Sabah, yang tujuh daripada 362 pulau di kawasan itu menempatkan pusat peranginan dan aktiviti marin, boleh mencemarkan imej Malaysia dan memberi kesan kepada industri pelancongan negara serta aktiviti ekonomi.
Menyedari impak negatif ancaman keselamatan di kawasan sepanjang 1,733.7 kilometer itu, Esscom mengambil beberapa langkah drastik bagi memastikan keadaan di kawasan pantai timur Sabah adalah selamat dan terkawal kepada penduduk dan pelancong.
Esscom kini melarang pergerakan keluar masuk ke kawasan resort selepas pukul 6 petang bagi mengelakkan insiden penculikan yang modus operandinya dilakukan pada waktu malam dan awal pagi daripada berulang.
Esscom memutuskan tiada sebarang aktiviti di laut dan sungai selepas matahari terbenam (semua aktiviti hanya dilakukan pada waktu siang). Pengusaha resort yang mempunyai aktiviti unik pada waktu malam hendaklah memohon kebenaran daripada Esscom terlebih dahulu.
Selain itu, pasukan keselamatan akan mengadakan rondaan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa di setiap resort dan pengusaha yang gagal mematuhi arahan berkenaan akan dirujuk kepada Kementerian Pelancongan dan pihak berkuasa tempatan untuk tujuan digantung lesen perniagaannya.
TAMBAH ASET KESELAMATAN
Insiden penculikan seorang pelancong China dan seorang pekerja resort berasal dari Filipina mengejutkan banyak pihak kerana ia berlaku selang hanya empat bulan daripada insiden pembunuhan dan penculikan pelancong di Pulau Pom-Pom.
Insiden penculikan itu adalah kes jenayah rentas sempadan atau kes penculikan dan bukan kejadian yang pertama kerana beberapa penculikan sedemikian pernah berlaku di kawasan Semporna dan Lahad Datu.
Esscom tidak menolak kegiatan penculikan yang dilakukan oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina sejak tahun 2000 itu bertujuan mendapatkan sumber kewangan.
Bagi membanteras kegiatan penculikan berleluasa khususnya di kawasan perairan Semporna dan Lahad Datu yang terletak hampir dengan sempadan Filipina, pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menambah 30 peratus bilangan aset seperti bot dan kapal di kawasan perairan Semporna tanpa menjejaskan kawalan rondaan di kawasan lain.
PERBAIKI KELEMAHAN
Tidak menafikan masih banyak penambahbaikkan yang perlu dilakukan Esscom untuk memastikan sektor pelancongan tidak terjejas akibat aspek keselamatan. Esscom mampu memperbaikinya dan berupaya membentuk persefahaman lebih mantap pada masa akan datang.
Memang agak sukar untuk Esscom memberi jaminan bahawa penculikan tidak akan berlaku di ESSZONE memandangkan beberapa faktor dikenal pasti mendorong berlakunya kes penculikan.
Dari awal, Esscom tidak dapat disamakan dengan Rascom (Rajang Area Security Command). Rascom diwujudkan untuk memerangi komunis di Sarawak pada awal tahun 70an sehingga 90an sementara Esscom berperanan menjaga dan mengawal kawasan yang jauh lebih luas meliputi laut dan daratan.
Tambahan lagi pantai yang panjang sejauh 1,733.7km dari Kudat sehingga ke Tawau membuatkan tentera kita sukar mengenal pasti musuh memandangkan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penduduk negeri ini di samping mengamalkan budaya hidup yang sama dengan penduduk Sabah. Ada di antara mereka yang terlibat dengan jenayah penculikan sudah tinggal di Sabah bertahun-tahun lamanya dan hal itu adalah satu cabaran besar Esscom untuk mengatasinya.
KERJASAMA ESSCOM DAN PENGUSAHA PELANCONGAN
Justeru, bagi tujuan menjaga keselamatan pelancong dan pelanggan, Esscom menetapkan beberapa syarat penting untuk dipatuhi semua pengusaha pusat peranginan di ESSZONE.
Antara inisiatif itu ialah menggaji pengawal keselamatan terlatih yang akan mengawal premis perniagaan 24 jam sehari selain menugaskan seorang pegawai bertanggungjawab untuk melapor terus kepada polis atau Esscom sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang mendatangkan ancaman terhadap keselamatan pelanggan resort.
Langkah itu membolehkan tindakan segera diambil kerana sebelum ini pekerja resort terlebih dahulu memaklumkan kejadian kepada pengurus resort dan kemudian barulah pengurus melaporkannya kepada polis. Setiap resort di ESSZONE hendaklah memasang peralatan keselamatan seperti CCTV (kamera litar tertutup), menara tinjau, lampu sorot dan peralatan komunikasi. Semua pengusaha resort juga dikehendaki memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dengan membenarkan anggota keselamatan membuat rondaan di kawasan resort. Mereka juga boleh melaporkan kepada Esscom sekiranya ada anggota keselamatan yang tidak serius ketika menjalankan tugas di resort.
Pada masa ini terdapat 362 buah pulau di ESSZONE. Daripada jumlah itu, tujuh pulau mempunyai pusat peranginan iaitu Kapalai, Mabul, Pulau Bum-Bum, Pom-Pom, Mataking, Langkayan dan Billean.
HUBUNGAN KERJASAMA ANTARA AGENSI
Esscom, sebagai agensi penyelaras, menempatkan pasukan keselamatan dan aset pertahanan di kawasan-kawasan strategik yang menjadi laluan masuk di kawasan perairan melibatkan semua komponen keselamatan dan tugas-tugas pertahanan secara holistik dan bersepadu.
Arahan penugasan masih terletak di bawah ketua perkhidmatan dan agensi masing-masing. Bagi mencapai matlamat penubuhannya, Esscom dari semasa ke semasa meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan agensi Persekutuan dan negeri yang berkaitan. Persefahaman itu menjadi asas kekuatan Esscom untuk menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan atau jenayah penculikan.
Esscom merupakan entiti yang berjaya merealisasikan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan hasil penggabungan komponen pertahanan, keselamatan dan awam.
Esscom turut mengukuhkan pelaksanaan program peningkatan semangat patriotisme masyarakat di ESSZONE serta menyelaras dan memantapkan program pembangunan sosial ekonomi berteraskan keselamatan kepada kumpulan sasar di ESSZONE.
Esscom ditubuhkan pada 1 April 2013 di bawah Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduao, Lahad Datu Sabah pada awal Mac 2013.
Dianggotai empat komponen utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pegawai Awam, asas penubuhannya ialah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah susulan pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu.
Matlamat Esscom antaranya memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, memastikan kesejahteraan hidup, kesihatan awam dan kewujudan bersama, memastikan, memelihara dan memudahkan penjalanan secara bebas serta melaksanakan tindakan yang sewajarnya untuk menempatkan semula orang atau kumpulan orang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
ESSZONE meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Pitas, Kota Marudu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau

Pantai Timur Sabah sentiasa jadi sasaran kumpulan pengganas dari selatan Filipina yang gemar melakukan penculikan.

Pantai Timur Sabah sentiasa jadi sasaran kumpulan pengganas dari selatan Filipina yang gemar melakukan penculikan.

pom 3

PM Dato Sri Najib: Berikrar Minimumkan Kesan Kenaikan Kos Sara Hidup Pada Tahun Baharu 2014

Penyataan PM Dato Sri Najib melalui blog beliau: Berikrar Minimumkan Kesan Kenaikan Kos Sara Hidup Pada Tahun Baharu 2014
Kerajaan akan menambah baik program-program kerajaan supaya kesan terhadap pendapatan isi rumah tidak terlalu ketara.

Kerajaan akan melaksanakan beberapa mekanisme untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik dan bayaran tol dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) akan mengemukakan idea baharu untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Setelah mengumumkan 11 langkah untuk mengurangkan perbelanjaan sektor awam, kerajaan akan cuba memastikan kadar kenaikan adalah adil.

Sebagai contoh, kenaikan harga petrol dan tarif elektrik akan memberi kesan kepada kuasa membeli rakyat, namun, walaupun ada peningkatan, kerajaan masih memberi subsidi petrol dan bil elektrik.

Mengenai cadangan kenaikan cukai taksiran di Kuala Lumpur, setelah mendengar keluhan rakyat, kadar cukai dikurangkan sehingga dua peratus dan rebat tambahan diberi kepada pemilik hartanah yang tidak berkeupayaan, pesara serta pemilik-penghuni. Kerajaan tidak akan melaksanakan kenaikan kos tanpa memberi bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

Seramai 7.9 juta isi rumah yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan, layak memohon BR1M baharu (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Kerajaan juga akan membuka Kedai-Kedai 1Malaysia baharu untuk membantu mengurangkan kenaikan harga barangan harian serta Klinik 1Malaysia baharu untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan pada kos berpatutan.

Pada tahun 2014, kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM42 bilion untuk subsidi – hampir sama dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pembangunan.

Mengenai langkah merasionalkan subsidi, kerajaan memperkenalkan langkah pemotongan kos untuk mengurangkan perbelanjaan.

Kerajaan juga mengulangi komitmen untuk menangani rasuah, mengurangkan pembaziran kerajaan dan meningkatkan perolehan; meletakkan semua tender kerajaan di atas talian agar ia menjadi lebih telus, dan berusaha untuk lebih merealisasi nilai aset kerajaan.

Perdana Menteri bertekad untuk melakukan perkara yang tepat untuk negara dan rakyat kerana hanya dengan bertindak secara bertanggungjawab mulai sekarang, kerajaan akan dapat mengukuhkan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang agar manfaatnya dapat dirasai dengan lebih meluas.

Dengan merasionalisasikan subsidi, negara akan dapat mengukuhkan kedudukan fiskalnya serta membolehkan kerajaan memberi fokus terhadap perbelanjaan bagi projek pembangunan, termasuk kesihatan dan pendidikan, di samping bergerak ke arah mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020.

Dengan mengambil langkah yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih kukuh, Kerajaan bukan sahaja melindungi negara daripada krisis kewangan, tetapi juga mewujudkan peluang dan pekerjaan baharu.

Banyak pihak akan lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat-syarikat Malaysia, membina kilang-kilang di Malaysia dan memulakan perniagaan-perniagaan baharu. Ini seterusnya akan memacu pembangunan ekonomi, membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang.

Najib berkata apabila bermulanya tahun 2014, kerajaan perlu terus membina asas bagi kejayaan berterusan Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi lebih kukuh dan sebuah negara lebih bersatu-padu.

Untuk menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, kadangkala kerajaan perlu mengambil keputusan sukar, lagi tidak popular. Kepimpinan bermaksud melihat sesuatu dalam jangka masa panjang, melakukan apa yang betul dan bukan apa yang popular.

Kerajaan tidak akan mempersetujui sebarang pemotongan subsidi atau kenaikan kadar dengan sewenang-wenangnya kerana program subsidi telah memberi banyak manfaat kepada rakyat sejak sekian lama. Tetapi, seiring dengan pertumbuhan populasi dan pembangunan negara, program subsidi tidak lagi mapan dan kini, tiba masanya untuk kita melangkah ke hadapan.

Kerajaan perlu merasionalkan subsidi dan menyasarkan pemberian kepada golongan yang benar-benar memerlukannya. Komitmen kerajaan terhadap perbelanjaan pembangunan juga telah berkembang, dan kerajaan perlu mengurus kedudukan fiskal untuk menjamin kestabilan ekonomi negara.

Krisis kewangan baru-baru ini menunjukkan betapa seriusnya kesan dan akibatnya kepada negara yang kewangan mereka tidak dibina berdasarkan asas yang kukuh dan apabila pelabur serta agensi mendapati negara berkenaan tidak mampu membayar hutang mereka, kos pinjaman akan naik mendadak sehingga berada di luar kawalan.

Tanpa wujudnya akses kepada kredit, sesebuah negara dan rakyatnya akan menanggung implikasi besar. Sebagai contohnya lebih separuh daripada golongan muda di beberapa negara Eropah kini tidak mempunyai pekerjaan.

Di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN), Malaysia telah berkembang dengan pesat; pendapatan per kapita meningkat sehingga 49 peratus dalam tempoh empat tahun lepas. Kerajaan terpaksa mengambil keputusan yang sukar agar kos pinjaman kekal rendah dan keyakinan pelabur terus kukuh. Kedua-dua faktor ini genting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus kukuh dan berkembang.

Rakyat harus menerima hakikat bahawa kita perlu melaksanakan perubahan demi memastikan kewangan kita kekal terkawal.

Malaysia perlu meneguhkan lagi komitmennya terhadap kewujudan bersama secara aman dan perlu berusaha lebih aktif untuk mengukuhkan perpaduan kerana kestabilan dan kemajuan negara bergantung padanya. Malaysia sudah cukup matang untuk mengharungi debat-debat yang getir. Perpecahan antara kita akan berakhir dengan masa, di mana kita boleh sama-sama melihat negara kita terus membangun dan menjadi dewasa, kita juga akan melihat bahawa mereka yang tidak sependapat dengan kita kekal menjadi jiran-jiran, rakan-rakan sekerja dan sahabat-sahabat kita.

Sebab itulah, Majlis Perundingan Perpaduan Negara diwujudkan. Majlis ini akan melaporkan kepada Jemaah Menteri segala cadangan yang boleh dilakukan untuk merapatkan lagi rakyat Malaysia. Keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan wujudnya keamanan, kestabilan dan kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung pada faktor-faktor ini.

Membina semula perpaduan negara dan menggalakkan debat umum yang berlandaskan rasa hormat, menjadi sebahagian besar daripada rancangan ini.

Najib percaya 2014 akan membawa lebih banyak peluang, manakala ekonomi Malaysia, yang telah mengharungi ribut krisis kewangan dunia, diramal berkembang sebanyak 5.5 peratus.
Dengan pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia, akan menyaksikan usaha lebih bersepadu untuk menarik pelancong-pelancong asing ke negara kita yang indah ini. Perniagaan baharu akan dibuka dan pelaburan baharu akan direalisasikan.

Namun, di sebalik angka-angka ini, kerajaan sedar bahawa ada ramai yang bimbang tentang 2014, bimbang dalam usaha kami untuk mengimbangi belanjawan negara, belanjawan isi rumah akan menghadapi tekanan.

Kerajaan faham dan bersimpati dengan kebimbangan ini. Rakyat yang rajin bekerja akan merasakan kesan kenaikan kos. Dan ketika media kita dipenuhi angka-angka defisit dan peningkatan harga, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa 2014 hanya bakal membawa keperitan semata.

11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Jan 2014.

Tindakan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun 2014. Keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
11 langkah jimat belanja
1. Kerajaan akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

2. Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred Jusa juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus.

3. Kerajaan meminda kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam iaitu kelayakan penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

4. Kerajaan mengurangkan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
5. Membekukan permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.

6. Mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada bagi mengurangkan sewaan premis pejabat.

7. Mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
8. Cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

9. Kerajaan mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau ‘event management’ serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

10. Kerajaan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman serta mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

11. Kerajaan mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel.

Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global(GMM)

Yayasan Pergerakan Kesederhaan Global (GMM) akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi pihak berkepentingannya pada 7 Nov sempena meraikan Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2013 yang jatuh pada 24 Okt.

Persidangan meja bulat bertemakan ‘Towards a Common Agenda for peace and Prosperity’ mencerminkan semangat PBB dengan pelbagai pihak di peringkat global, bekerjasama ke arah tujuan serupa untuk memastikan keamanan dan kestabilan.

“Pihak berkepentingan GMM boleh menyumbang ke arah pembentukan agenda serupa yang berpusat pada prinsip dan nilai kesederhanaan bagi keamanan dan kemakmuran,” menurut Pengerusi GMM Tan Sri Razali Ismail dalam kenyataan, Rabu.

Persidangan meja bulat itu dijangka menghimpunkan 200 peserta terdiri daripada tiga kategori pihak berkepentingan – wanita dan belia, media dan masyarakat sivil.

Persidangan meja bulat itu juga diadakan sebagai tindak balas kepada ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung PBB ke-68 di New York.

Najib antara lain memperbaharui seruannya yang dibuat tiga tahun lalu kepada semua negara untuk bersatu dan menolak trend ke arah keganasan yang merugikan.

Bertemakan ‘Partnerships for Global Progress’ sambutan Hari PBB bertujuan mengiktiraf dan menghormati kerjasama yang amat bernilai antara kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan rakyat.

Datuk Othman Hashim Dilantik Ketua Setiauasha (KSU) Kementerian Luar Yang Baharu

30 Ogos 2013
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Othman Hashim dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar yang baharu berkuat kuasa 1 September 2013.

DATUK OTHMAN HASHIM KSU Kementrian Luar Malaysia

DATUK OTHMAN HASHIM
KSU Kementrian Luar Malaysia


Pelantikan Othman, 58, ialah bagi menggantikan Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Ogos.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan Othman khususnya dalam hubungan luar negara semasa memegang jawatan berkaitan dalam kementerian itu. Pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki beliau akan membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Kementerian Luar Negeri dalam memastikan kepentingan hubungan luar dan kedaulatan Malaysia sentiasa terpelihara. Selain itu, melalui pendekatan diplomasi yang proaktif, Diyakini beliau akan dapat melaksanakan strategi pemasaran dan penjenamaan Malaysia di luar negara dengan lebih efektif selain dapat menyatakan pandangan Malaysia dalam isu-isu di peringkat antarabangsa dengan jelas.
Datuk Othman Hashim (biodata)
kelulusan Ijazah Sarjana Muda ekonomi Universiti Malaya
1979 menyertai perkhimatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik
Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada tahun 2009
Duta Besar Malaysia ke Republik Czech
Timbalan Ketua Setiauasaha (TKSU) di bahagian (Hubungan Dua Hala)
TKSU di bahagian (Khidmat Pengurusan), Kementerian Luar
Setiausaha Bahagian (Perancangan Dasar) Kementerian Luar
2012 Duta Besar Malaysia ke Amerika.
telah berkhidmat selama 33 tahun dalam perkhimatan awam.

Perbezaan Jawatan Politik dengan Jawatan Perkhidmatan Awam Continue reading

Pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik

Laporan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi oleh PM Malaysia, 19-3-2013

index

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 tahun 2012, menyaksikan peningkatan sebanyak 7.2 peratus setahun.
Peningkatan pendapatan isi rumah bandar meningkat pada kadar 6.6 peratus setahun daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 tahun lepas manakala bagi kawasan luar bandar, bertambah pada kadar 6.4 peratus iaitu daripada RM2,545 kepada RM3,080.

index 2
Peningkatan ketara ini dicapai hasil usaha kerajaan Persekutuan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil secara berterusan. Impaknya adalah ketara melalui peningkatan peluang ekonomi secara meluas yang berupaya bukan saja menjana peluang pekerjaan bahkan pembangunan perniagaan dan perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi.
Semua negeri mencatat peningkatan pendapatan isi rumah purata dengan Kuala Lumpur pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.9 peratus (daripada RM5,488 kepada RM8,586) diikuti Labuan 12 peratus (RM4,407 kepada RM6,317), Perlis 10.1 peratus (RM2,617 kepada RM3,538), Terengganu 9.1 peratus (RM3,017 kepada RM3,967) serta Negeri Sembilan (RM3,540 kepada RM4,540) dan Sabah (RM3,102 kepada RM4,013) yang masing-masing mencatat 8.6 peratus.
Dari segi etnik, kaum India mencatat peningkatan tertinggi iaitu 9 peratus (daripada RM3,999 kepada RM5,233) diikuti Cina 8 peratus (RM5,011 kepada RM6,366) dan bumiputera 6.9 peratus (RM3,624 kepada RM4,457).
PPIR 2012 juga menunjukkan pengagihan pendapatan dalam kalangan isi rumah keseluruhan bertambah baik dengan pengurangan Pekali Gini daripada 0.441 bagi 2009 kepada 0.431 pada tahun lepas, yang menyaksikan pengurangan di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing daripada 0.423 kepada 0.417 dan 0.407 kepada 0.382.
Insiden kemiskinan keseluruhan juga berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus tahun lepas dengan jumlah isi rumah miskin berkurangan sebanyak 52.7 peratus, iaitu daripada 228,400 kepada 108,000 dalam tempoh sama.
Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia ke-10 untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2 peratus pada 2015 telahpun tercapai tiga tahun lebih awal. Ini adalah hasil pertumbuhan pesat ekonomi negara serta keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan.
indeks 3

Pengurangan insiden kemiskinan adalah menyeluruh yang menyaksikan di kawasan bandar merosot daripada 1.7 peratus kepada 1 peratus manakala di luar bandar berkurangan daripada 8.4 peratus kepada 3.4 peratus.
Kadar kemiskinan bumiputera turun daripada 5.3 peratus kepada 2.2 peratus, Cina daripada 0.6 peratus kepada 0.3 peratus dan India daripada 2.5 peratus kepada 1.8 peratus.

Syarat Bantuan 1Malaysia BRIM1 dan BRIM2   (Bantuan Rakyat 1Malaysia)

Syarat Bantuan 1Malaysia BRIM1 dan BRIM2 (Bantuan Rakyat 1Malaysia)


Sabah mencatat pengurangan yang ketara daripada 19.7 peratus kepada 8.1 peratus diikuti Perlis daripada 6 peratus kepada 1.9 peratus dan Terengganu daripada 4 peratus kepada 1.7 peratus. Putrajaya telah mencapai status kemiskinan sifar pada 2012.

Pencerobohan pegganas Sulu terhadap Sabah 2013

Kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia mesti dipertahankan.
Lahad 4
Berikut ialah kronologi peristiwa:

16-2-2013 Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat ‘Kesultanan Sulu’ dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.
lahad_

Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai ‘Askar Diraja Kesultanan Sulu’ antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.

18-2-2013 Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
Lahad 3
24-2-2013 – Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
Berikut adalah kronologi selepas 17 hari Operasi Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu, Sabah:

26-2-2013 Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.

28-2-2013 Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.

Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 ‘tentera diraja’ meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.

1-3-2013 – Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.

2-3-2013
KEMELUT tuntutan ‘Sultan Sulu’ semakin meruncing ekoran tindakan serangan terbaru di Semporna malam semalam yang melibatkan lima orang anggota polis terbunuh, seorang inspektor wanita dan seorang Datuk ditawan dalam rumah.

16-3-2013 – Polis dalam peringkat akhir bagi menyiapkan kertas siasatan terhadap 27 suspek yang ditahan di daerah Semporna, dipercayai terlibat dalam insiden serangan hendap di Kampung Simunul pada 2 Mac lepas.

17-3-2013 – Pasukan keselamatan mencadangkan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) penempatan haram di beberapa perkampungan air di daerah Semporna dibersihkan bagi memastikan kawasan itu bebas daripada anasir keganasan serta aktiviti haram seperti penyeludupan senjata api dan dadah.

17-3-2013 – Pasukan keselamatan Operasi Daulat menembak mati seorang pengganas Sulu dari selatan Filipina dalam operasi di Kampung Tanjung Batu.

– Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib memberitahu 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan Operasi Daulat telah selesai dibedah siasat.
lahat 6
– Pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur negeri itu, bermula di gugusan Felda Sahabat dengan menaik taraf struktur logistik.

– Jamalul Kiram III berkata tindakan berundur dari Sabah bukanlah satu pilihan untuk para tenteranya dan tidak akan berganjak dari Sabah.

18-3-2013
Lahad Datu: Anggota keluarga Jamalul Kiram III antara 104 pengganas yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu.

19-3-2013 – Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu, tiada kecederaan dilapor dalam pertempuran itu.

20-3-2013 – Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, atas pertuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan Seksyen 121 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

21-3-2013 – Sehingga kini, 268 orang ditahan kerana memasuki zon merah kawasan operasi dan pelbagai kesalahan manakala 108 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

– Lapan warga Filipina berdepan hukuman mati dan penjara seumur hidup selepas didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.

23-3-2013
Kerajaan Malaysia menyangkal tuduhan kononnya anggota komando Angkatan Tentera Malaysia diarah memasuki Filipina untuk membunuh Jamalul Kiram.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu anak perempuan Jamalul Kiram, Jacel Kiram, berhenti daripada membuat tuduhan seperti itu kerana ia berniat jahat.

statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut SOSMA.

Imej Malaysia Di PBB ‘Melonjak’ Dengan Pelantikan Dan Anugerah Pada 2012

Imej Malaysia Di PBB ‘Melonjak’ Dengan Pelantikan Dan Anugerah Pada 2012

Dipetik dan disesuaikan daripada Bernama, 19-12-2013

Tahun 2012 membawa sinar gemilang kepada Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) apabila imejnya melonjak dengan begitu ketara di badan dunia ini.

1. Pelantikan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Haniff sebagai pengerusi Jawatankuasa Sosial, Kemanusiaan dan Kebudayaan PBB, yang juga dikenali sebagai ‘Jawatankuaa Ketiga’.

2. Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) menerima Anugerah Kependudukan PBB 2012 (Kategori Institusi).

FRHAM dipilih bagi mengiktiraf pencapaiannya dalam menganjurkan kesihatan reproduktif, meningkatkan kesihatan dan status wanita dan kanak-kanak di Malaysia melalui program perancangan keluarga.

3. ‘sistem eKasih’, yang merupakan produk inovasi Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri, menerima hadiah utama Anugerah Perkhidmatan Awam PBB (UNPSA) 2012 bagi kategori Memajukan Ilmu Pengurusan Dalam Kerajaan bagi rantau Asia Tenggara.

4. Malaysia dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Mengenai Had Pelantar Benua PBB (CLCS).
Malaysia, yang diwakili ketua pakar geosains Petronas Dr Mazlan Madon, dipilih menganggotai suruhanjaya itu pada mesyuarat Negara-negara Yang Menandatangani Konvensyen Mengenai Undang-undang Laut PBB (SPLOS).

5. Malaysia dipilih menganggotai Majlis Pentadbiran Operasi Pos, Kesatuan Perkhidmatan Pos Universal (UPU) pada kongres kesatuan itu di Doha, Qatar.
Program kerja POC menjurus ke arah membantu memodenkan perkhidmatan pos dan menaik taraf produk serta perkhidmatannya, sambil mengawasi aspek operasi, ekonomi dan komersial perniagaan perkhidmatan pos.

6. Malaysia menjadi anggota Jawatankuasa Penganjuran Jawatankuasa Pembinaan Keamanan (PBC) bagi penggal 2013-2014.

7. Malaysia:satu daripada tujuh negara anggota yang akan mewakili rantau Asia Pasifik dalam Suruhanjaya Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), bagi penggal 2013-2019.

NEGARAWAN, ANUGERAH

8. Kemuncak kepada pencapaian Malaysia pada 2012 ialah pemilihan bekas perdana menteri dan negarawan paling ulungnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai penerima Anugerah Yayasan Habitat-Rafik Hariri PBB 2012, pada satu majlis di sini pada 28 Sept.

Anugerah yang diperkenal pada 2011 ini diberi kepada individu, organisasi atau institusi dari seluruh dunia yang melakar pencapaian cemerlang dalam bidang kepimpinan, kenegarawan dan tadbir urus serta pembinaan dan pembinaan semula penempatan dan komuniti, pembangunan sumber manusia dan kegiatan kebajikan dalam memerangi kemiskinan bandar.

Dr Mahathir adalah penerima kedua anugerah itu, selepas Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan pada 2011.

Nazek Hariri, balu Allahyarham Rafik Hariri, bekas perdana menteri Lubnan, dalam ucapannya berkata Dr Mahathir boleh dijadikan model peranan serta inspirasi oleh semua pihak, manakala ketekunan dan wawasan beliau menjadi bukti betapa impian boleh diterjemah menjadi kenyataan dan sesebuah negara boleh menikmati masa depan yang gemilang melalui keyakinan diri dan ketekunan usaha.

PERGERAKAN KESEDERHANAAN GLOBAL

1. Kunjungan setiausaha agung badan dunia itu, Ban Ki-moon, ke Malaysia pada Mac.

Dalam kunjungannya, Ban memberi pengiktirafan terhadap Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang dianjurkan penubuhannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung PBB pada September 2010.

Anugerah yang diterima Malaysia daripada PBB merupakan pencapaian yang sungguh bermakna kerana ia mencerminkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadapnya kerana melaksanakan pelbagai langkah yang memberi manfaat besar serta boleh dijadikan sebuah negara contoh.

Ia juga merupakan pengktirafan bahawa segala langkah yang dilaksanakan Malaysia sekarang dalam membangunkan ekonominya adalah pendekatan betul serta merupakan model kejayaan.