Jenayah Pemerdagangan Manusia

Jenayah Pemerdagangan Manusia: Kenapa Malaysia menjadi negara destinasi serta transit?

Human-trafficking1

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kebanjiran aktiviti pemerdagangan orang ke negara ini antara lain termasuklah kemiskinan, kurang pendidikan (iliterasi), krisis ekonomi, konflik dalaman dan serantau dan ketidakstabilan politik.

1. Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, kaya dan makmur dengan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah ASEAN menjadinya tarikan utama kepada pendatang dari seluruh dunia. Kerancakan ekonomi negara yang bermula tahun 1970-an bukan sahaja menarik para pelabur ke Malaysia tetapi penghijrahan atau migrasi manusia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk sektor perusahaan, perladangan dan perkhidmatan. Keperluan tenaga kerja ini telah membuka peluang kepada aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

2. Masalah ekonomi dan ketidakstabilan politik beberapa buah negara di Asia Selatan turut mendorong mereka mengorbankan sejumlah wang simpanan atau harta pusaka untuk datang ke Malaysia mencari rezeki. Peraturan dan undang-undang imigrasi serta pekerjaan yang fleksibel membolehkan mereka datang bekerja di Malaysia dengan mudah. Dengan budaya rakyat Malaysia yang pelbagai dan sentiasa bertoleransi, memudahkan mereka mengasimilasi diri mereka dengan rakyat tempatan dengan mudah.

3. Semua yang indah ini merupakan tarikan yang disalahgunakan oleh sindiket pemerdagangan orang untuk menjerat individu yang akhirnya menjadi mangsa pemerdagangan orang.

ASPEK PERUNDANGAN
1. Sebagai negara yang disifatkan dunia sebagai salah satu negara yang menjadi destinasi, transit dan sumber pemerdagangan orang, Malaysia terpaksa mengakui dan akur akan cabaran serta ancaman akibat dari jenayah merentasi sempadan ini. Dalam konteks ini, Malaysia telah memanisfestasikan keseriusannya dalam menanganinya jenayah ini melalui pengubalan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670). Ini juga sejajar dengan persetujuan dan perjanjian yang telah Malaysia tandatangani di peringkat antarabangsa.

Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) ini mendapat sumbernya dari dua (2) protokol, iaitu:
I. Protokol Mencegah, Membendung dan Menghukum Pemerdagang Orang khususnya Wanita dan Kanak-kanak, dan
II. Protokol Menentang Penyeludupan Manusia Melalui Darat, Laut dan Udara.

Kedua-dua Protokol ini adalah tambahan kepada Konvensyen PBB menentang Jenayah Merentasi Sempadan atau United Nations Convention Against Transnational Organized Crime (UNTOC ) yang mana Malaysia bersetuju dan menandatanganinya.

TINDAKAN PENGUATKUASAAN OLEH PDRM
Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku agensi penguat kuasa yang terulung Negara sentiasa memandang serius terhadap jenayah pemerdagangan orang. Bagi memastikan tumpuan yang khusus diberikan kepada masalah ini, PDRM telah bertindak menubuhkan Unit Antipemerdagangan Orang ( Unit ATIP) yang berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Unit ATIP ini antara lain bertanggungjawab mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas kes-kes pemerdagangan orang, membanteras sindiket yang terlibat, mengumpul maklumat dan
risikan serta menjalankan penguatkuasaan di premis dan tempat yang berkaitan dengan kesalahan ini.

Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh PDRM memberi penekanan kepada jenis pengeksploitasian yang termaktub di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang merangkumi:
I. Eksploitasi seks;
II. Kerja atau perkhidmatan paksa (force labour);
III. Perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan
IV. dan pengabdian;
V. Pemindahan organ manusia; atau
VI. Apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Eksploitasi seks.
Tidak dapat dinafikan pelacuran yang merupakan aktiviti yang tertua di dunia, sukar dihapuskan malah ianya diwarisi dari generasi ke generasi. Kegiatan ini mempergunakan dan mengeksploitasi wanita dari seawal usia 10 tahun. Berpandukan kajian yang dijalankan oleh
PBB pada tahun 2006 bagi seluruh dunia, adalah dianggarkan daripada 800,000 orang telah diseludup masuk dan diperdagangkan, 80 peratus adalah merupakan wanita dan yang menyedihkan, daripada jumlah ini, 50 peratus terdiri daripada kanak-kanak. Angka ini tidak termasuk pemerdagangan di negara sendiri.

Di Malaysia, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 mula dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008. Walaupun Akta ini baru berusia (6) bulan ketika itu, Malaysia telah merekodkan sabitan pertamanya pada tahun 2008, apabila seorang wanita warganegara India telah berjaya disabitkan dengan kesalahan pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks. Bagi tempoh 28 Februari 2008 hingga 27 Jun 2010, sebanyak (165) kes pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks telah dicatatkan. Statistik juga menunjukkan bahawa dari sejumlah (808) mangsa pemerdagangan orang yang telah diselamatkan dari eksploitasi seks, kesemuanya (100 peratus) adalah dari kalangan warga asing. Dari sejumlah itu pula, seramai (42) adalah mangsa kanak-kanak.

Kejayaan mengesan mangsa-mangsa pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks adalah hasil dari tindakan proaktif PDRM, khasnya Jabatan Siasatan Jenayah ( JSJ) dengan menyelamatkan mangsa-mangsa pelacuran di pusat-pusat hiburan dan tempat-tempat kurungan tertentu. Dalam konteks ini, orang ramai telah memainkan peranan penting kerana tidak jemu-jemu menyalurkan maklumat tepat sehingga PDRM berjaya memberkas beberapa individu yang terlibat di samping berjaya melemahkan aktiviti-aktiviti sindiket-sindiket pelacuran. Untuk itu, PDRM ingin melahirkan rasa berterima kasih kepada masyarakat di atas keprihatinan dan kerjasama mereka.

Di arena antarabangsa pula, PDRM turut melakar sejarah dalam usaha menangani isu pemerdagangan orang apabila berjaya membongkar dan melumpuhkan banyak sindiket pemerdagangan orang dengan tertangkapnya individu kerana memperdagangkan perempuan-perempuan warganegara Malaysia dan warganegara China ke negara
Australia untuk tujuan pelacuran.

Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Manusia.
Apabila menyebut isu pemerdagangan orang, ramai orang keliru dan menyamakannya dengan masalah penyeludupan manusia. Kedua dua istilah ini merujuk kepada dua masalah yang berbeza. Namun demikian, penghujungnya sering berkait-rapat. Jika pemerdagangan
orang lebih merujuk kepada elemen paksaan, penyeludupan manusia pula lebih kepada elemen rela hati. Penyeludupan manusia merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada pengangkutan manusia merentasi sempadan antarabangsa ke pintu masuk bukan rasmi negara destinasi. Selalunya mereka yang diangkut tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau kebenaran untuk memasuki negara destinasi. Dianggarkan seramai 2.7 juta manusia diseludup di seluruh dunia setiap tahun dan 80% daripadanya membabitkan wanita dan kanak-kanak.

Di Malaysia, rekod 2010 menunjukkan terdapat sebanyak (21) kes penyeludupan manusia yang disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Seramai (521) mangsa terlibat di dalam kes-kes ini yang terdiri daripada warga Asia Selatan termasuklah Sri Lanka, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh, Iraq dan Nepal. Hasil daripada siasatan dan risikan
yang dijalankan, jelas menunjukkan bahawa negara Malaysia digunakan sebagai transit bagi mangsa penyeludupan ini untuk ke negara ketiga. Dalam kes-kes ini, destinasi mereka adalah negara Australia.

Penjualan Bayi.
Masalah penjualan bayi di Malaysia masih belum serius. Sebaliknya, Negara kita lebih berdepan dengan masalah atau isu pembuangan bayi yang agak membimbangkan. Walau demikian, di sebalik semua ini, terdapat mereka yang mengambil kesempatan dan mengeksploitasi keadaan. Sebelum ia berjaya berkembang, aktiviti penjualan bayi oleh kumpulan dan sindiket-sindiket penjualan bayi tersebut berjaya dikesan oleh pihak Polis.

Operasi menangani aktiviti penjualan bayi atau lebih dikenali dengan ”OPS KASIH” , telah berjaya mengesan sehingga tertangkapnya seramai (10) individu yang terlibat. Seramai (16) bayi dapat dikesan dan diselamatkan. Ketiga-tiga individu yang terlibat telah dihadapkan
ke Mahkamah dan kini menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 14
Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Perhambaan (Slavery).
Isu perhambaan berkait rapat dengan pemerdagangan orang kerana konsepnya adalah seiras dengan ciri-ciri perhambaan moden. Perhambaan adalah satu bentuk guna tenaga yang tidak adil. Sungguhpun dunia mengharamkan perhambaan namun realitinya ia masih wujud
di beberapa negara. Walaupun Negara kita tiada rekod menunjukkan berlakunya perhambaan dalam erti kata sebenarnya (slavery per se), namun statistik menunjukkan terdapat sebanyak (44) kes yang diklasifikasi sebagai perkhidmatan paksa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Dalam kategori ini, mangsanya termasuklah dari kedua-dua jantina (both gender).

Bagi jenis eksploitasi ini, PDRM juga telah berjaya menumpaskan satu sindiket di sempadan Malaysia – Thailand dengan tertangkapnya seramai (4) individu. Kesemua mereka telah pun dihadapkan ke Mahkamah dan kini sedang menghadapi perbicaraan.

MAJLIS DAN JAWATANKUASA ANTIPEMERDAGANGAN ORANG
Bagi memperkemaskan tindakan menangani aktiviti pemerdagangan orang, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 penubuhan sebuah badan yang dikenali dengan ’ Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO) ’ telah diujudkan oleh Kerajaan.
PELAN TINDAKAN NASIONAL 2010-2015
Kedudukan Malaysia yang begitu strategik menjadikan negara ini amat menarik untuk dijadikan pangkalan (base) sindiket pemerdagangan orang. Jika sesuatu yang drastik tidak diambil, negara akan dilabel tidak serius di mata dunia dan kemungkinan terus berada
di Tier 3. Untuk itu, Pelan Tindakan Nasional 2010-2015 telah dirumuskan sebagai menunjukkan komitmen dan aspirasi negara dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang.

Pelan Tindakan ini menggariskan hala tuju dan pendekatan yang akan diambil oleh Malaysia bagi tempoh (5) tahun dalam usaha negara ini menangani jenayah pemerdagangan orang ini. Dengan visi “ 1Malaysia , Collectively Committed To Combating Trafficking In Persons ” , Pelan Tindakan ini menggariskan (9) program dan (9) pencapaian strategik.

CABARAN DAN KEBERKESANAN TINDAKAN
Kewujudan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 tidak bermakna isu pemerdagangan orang ini dapat diatasi dengan sempurna. Terdapat cabaran yang dikenalpasti berkemungkinan akan menggugat tindakan-tindakan yang akan diambil bagi membanteras gejala ini termasuk:
a. masalah kekurangan maklumat dan data;
b. menentukan sama ada mangsa benar-benar angkara pemerdagangan;
c. taktik pedagang yang berubah-ubah;
d. masalah kekurangan pengalaman bagi pihak penguatkuasa menangani kes-kes terlibat;
e. wujud mangsa yang terus mahu kembali ke tempat asal tanpa memikirkan kepentingan pendakwaan;
f. kurang sambutan atau tindak balas masyarakat umum;
g. keengganan mangsa atau saksi untuk tampil ke hadapan; risiko diusir balik;
h. keperluan untuk mengadakan sistem kerjasama antara badan-badan penguat kuasa.

KESIMPULAN
Pemerdagangan Orang adalah jenayah yang kompleks melibatkan sindiket dan organisasi yang terancang dengan jaringan kerjasama yang mantap. Justeru, satu pendekatan yang selaras dan komprehensif adalah amat diperlukan dalam usaha kita menangani jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.

Selain itu kerjasama dan kolaborasi di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa adalah penting dalam menjamin kejayaan ini. Dengan tindakan-tindakan proaktif yang diambil oleh Kerajaan melalui MAPO dan agensi-agensi penguat kuasa negara, khususnya PDRM, telah memperlihatkan suatu perubahan yang positif ke arah membendung dan mencegah kegiatan global ini.

Apa yang perlu dilakukan adalah bagi semua Badan Penguatkuasa dan mereka yang terlibat untuk terus memberikan komitmen, kesefahaman dan kerjasama yang tinggi dan bersepadu dalam melaksanakan tindakan-tindakan berpandukan teras undang-undang ini serta lain-lain peruntukan undang-undang yang sedia ada di samping mencetuskan tindakan sampingan yang proaktif.

Kesedaran awam dan komitmen masyarakat keseluruhannya juga dilihat memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Pelan Tindakan Negara ke arah “1Malaysia – Bersama dan Komited Dalam Membanteras Pemerdagangan Orang ”.
images

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

KEJAYAAN peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat perihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah terbukti berjaya.

Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba ‘menjual’ peranan diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi ‘perunding damai’ di antara Hamas dan Fatah di Palestin. Sesungguhnya, penglibatan Malaysia pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status sebagai sebuah ‘negara kuasa pertengahan’ (middle power state), cabaran yang bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar dan berliku.

‘Negara kuasa pertengahan’ ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang bukan ‘besar’ dan bukan ‘kecil’ tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah ‘negara kuasa pertengahan’.

Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah ‘negara kuasa pertengahan’.

Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris dengan ‘negara-negara kuasa pertengahan’ yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan usaha yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini?

Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada ‘misi campur tangan ketenteraan’ (military intervention).

(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang ‘taring’nya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah ‘diswastakan’ kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan ‘multilateralismenya’. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.

Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan berlarutan.

Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada ‘ancaman’ negara atau pihak yang berkepentingan ini.

Malaysia Negaraku.

MALAYSIA

Sidanga Khas Dewan Rakyat mengenai tragedi malang MH17

RIP

RIP

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2014 – Ketika membentangkan usul mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat, Perdana Menteri mengatakan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun, tidak berperikemanusiaan dan ganas oleh pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 di timur Ukraine, minggu lepas.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak dan terhempas di wilayah Donetsk pada 17-7-2014.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia kecewa dan marah apabila kawasan tragedi itu tidak dihormati sebagai kawasan larangan, selain kelewatan mengendalikan mayat mangsa kejadian itu. Namun demikian, buat masa ini Malaysia tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sehinggalah bukti benar-benar sahih diperoleh.

Najib berkata Malaysia juga menggesa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selaku penjaga keselamatan penerbangan awam sedunia supaya mengeluarkan resolusi mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas pesawat MH17, sebagaimana yang telah dibuat dalam kes-kes seumpama itu sebelum ini. Tambahan pula, menembak jatuh pesawat komersial MH17 ini suatu tindakan sangat zalim dan merupakan jenayah yang sangat kejam dan sangat ganas.

Selain mengalu-alukan siasatan oleh badan bebas antarabangsa, Malaysia juga mendesak semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan siasatan mengenai punca tragedi yang menimpa pesawat MH17 dapat diselesaikan. Malaysia menuntut dan menyokong siasatan antarabangsa yang bebas dalam tragedi ini. Pihak yang bertanggungjawab terhadap berlakunya tragedi ini perlu dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Perdana Menteri menegaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah menerima secara sebulat suara resolusi bagi mendesak puak pemisah memberi akses tanpa halangan ke kawasan kejadian, selain menghentikan serta-merta semua kegiatan ketenteraan di kawasan itu.

Najib juga telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji tragedi itu dengan teliti, bagi memastikan sebarang tindakan yang akan Malaysia ambil kelak adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Beliau bagaimanapun turut menarik perhatian bahawa persetujuan yang dicapai dengan Alexander Borodai, ketua wilayah lokasi MH17 terhempas, mengenai akses pasukan penyiasat bebas antarabangsa ke kawasan nahas dan jaminan keselamatan mereka, masih belum tercapai sepenuhnya.

Dalam pada itu, Najib turut menggariskan beberapa persoalan yang memerlukan jawapan segera mengenai insiden itu termasuk sama ada ia benar-benar ditembak dengan peluru berpandu, dalang di sebaliknya dan motif yang sebenarnya.

Najib mengulangi pendiriannya bahawa pergolakan geopolitik tidak menguntungkan sesiapa, malah hanya menyebabkan manusia semakin menderita kerana kehilangan orang tersayang.

Perdana Menteri memberi jaminan kepada keluarga mangsa tragedi MH17 bahawa kerajaan akan terus menuntut keadilan dan tidak akan berhenti mencari kebenaran walaupun berdepan kesukaran dan kepayahan.

“Sesungguhnya jua, let us walk through this difficult time together. Marilah kita jalani tempoh-tempoh dan waktu-waktu yang payah ini bersama-sama, bersatu dalam kesedihan.

“Moga-moga yang Maha Berkuasa memberi bantuan dan pencerahannya agar ada cahaya penyelesaian di hujung,” katanya.

Najib menyifatkan tragedi MH17 seumpama pembunuhan beramai-ramai dan menuntut pembunuhnya dibawa ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang serta ketua-ketua parti yang lain, kerana turut mengutuk insiden itu.

PM mengutuk keganasan ke atas MH17

PM mengutuk keganasan ke atas MH17

We Are One. Satu bangsa satu negara

We Are One. Satu bangsa satu negara

MH17.4MH17.5MH17.6

Masalah gelandangan di Kota-Kota Besar

1

2

49-7-2014
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebuah tempat khas untuk menempatkan golongan gelandangan di ibu kota dijangka siap dalam tempoh enam bulan akan datang.

PM berkata sedemikian selepas melakukan tinjauan secara mengejut aktiviti dapur jalanan di sekitar Jalan Tun Perak malam 8-7-2014.

Selain menyediakan tempat tidur pada waktu malam buat gelandangan, tempat khas itu juga akan dilengkapi kemudahan bilik mandi serta lokar untuk menyimpan barangan golongan kurang bernasib baik itu. Golongan ini boleh tidur di pusat sedemikian supaya tidak tidur di tepi jalan.

Najib turut melahirkan penghargaan kerajaan terhadap peranan yang dimainkan sukarelawan khususnya yang terlibat dalam menyediakan makanan dan minuman serta bantuan kesihatan kepada golongan gelandangan di ibu kota. Perdana menteri meluangkan masa kira-kira sejam melihat sendiri aktiviti pengagihan makanan dan minuman oleh sukarelawan Dapur Jalanan, selain turut berjalan kaki melihat keadaan di sekitar Bangunan Cahaya Suria.

Najib, yang turut ditemani Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, meluangkan masa untuk beramah mesra dengan beberapa gelandangan yang tidur di tepi jalan, termasuk di perhentian bas.

Isu gelandangan di ibu kota menjadi topik hangat kebelakangan ini termasuk apabila Kementerian Wilayah Persekutuan membuat keputusan melarang Dapur Jalanan daripada beroperasi dalam lingkungan 2km dari pusat beli belah terkemuka Lot 10 di Jalan Bukit Bintang minggu lepas.

Namun, Tengku Adnan menarik balik arahan tersebut dan memberi peluang kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti dapur jalanan untuk beroperasi di kawasan itu sehingga 16 Ogos ini, iaitu selepas sambutan Aidilfitri.

Perdana menteri telah meninjau aktiviti sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen yang mengedarkan nasi berlauk ayam bersama buah epal, kopi O panas, sirap, roti bun, biskut wafer dan minuman kotak kepada gelandangan, kebanyakannya warga emas di kawasan tersebut.

Najib turut diberi penerangan mengenai aktiviti Pertiwi Soup Kitchen oleh pengasasnya Munirah Abdul Hamid.

Ketika mengadakan tinjauan di sekitar Bangunan Cahaya Suria, Najib turut menegur seorang lelaki warga emas yang sedang tidur di sebuah perhentian bas dan beliau terkejut apabila menyedari Perdana Menteri berdiri di sebelahnya.

Najib turut meluangkan masa hampir 10 minit bertanya khabar kepada bekas pemandu teksi Lim Kim Hua, 63, yang terpaksa hidup bergelandangan kerana tiada keluarga untuk menjaganya.

Perdana menteri juga sempat menjenguk seorang ayah dan anak lelakinya yang berusia kira-kira du

DATUK Seri Najib Razak melihat Lim Kim Hua, 63, yang tidur di pondok hentian bas, Kuala Lumpur.

DATUK Seri Najib Razak melihat Lim Kim Hua, 63, yang tidur di pondok hentian bas, Kuala Lumpur.

Makanan diagihkan kepada gelandangan, tengah malam oleh PERTIWI Soup Kitchen

Makanan diagihkan kepada gelandangan, tengah malam oleh PERTIWI Soup Kitchen

3a tahun yang sedang nyenyak tidur beralaskan plastik di siar kaki Jalan Silang.

Najib turut bertanya khabar dengan satu-satunya wanita yang ditemui tidur di tepi Jalan Silang itu iaitu Norliza Mat Zain, 42, yang berasal dari Teluk Intan dan datang ke Kuala Lumpur untuk menemani suaminya mendapatkan pekerjaan. Bagaimanapun suaminya kini berada dalam penjara dan bakal dibebaskan sebelum Aidilfitri ini.

Najib juga turut mendengar luahan hati bekas penjual kereta Tan Yap Heng, 70-an yang mendakwa sudah 20 tahun hidup bergelandangan berikutan tidak mampu untuk mendapatkan pekerjaan kerana faktor usia dan pernah dirompak. Tan memberitahu perdana menteri bahawa setiap kali beliau memohon bantuan dari agensi kebajikan kerajaan, permohonan beliau sering ditolak kerana beliau tidak mempunyai alamat tempat tinggal tetap.

Esscom menjamin kedaulatan Malaysia di Sabah

Pasukan keselamatan mengawal resort pelancongan

Pasukan keselamatan mengawal resort pelancongan


Esscom tekad pastikan kawasan Pantai Timur Sabah selamat
Insiden penculikan di Singamata Adventures and Reef Resort Semporna bulan Mei 2014 memberi mesej jelas kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bahawa masih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Ancaman keselamatan berikutan pencerobohan pengganas Sulu dan kes penculikan menuntut Esscom mengambil tindakan drastik dan langkah proaktif bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur Sabah ekoran krisis di Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013.
Jenayah rentas sempadan di perairan timur Sabah, yang tujuh daripada 362 pulau di kawasan itu menempatkan pusat peranginan dan aktiviti marin, boleh mencemarkan imej Malaysia dan memberi kesan kepada industri pelancongan negara serta aktiviti ekonomi.
Menyedari impak negatif ancaman keselamatan di kawasan sepanjang 1,733.7 kilometer itu, Esscom mengambil beberapa langkah drastik bagi memastikan keadaan di kawasan pantai timur Sabah adalah selamat dan terkawal kepada penduduk dan pelancong.
Esscom kini melarang pergerakan keluar masuk ke kawasan resort selepas pukul 6 petang bagi mengelakkan insiden penculikan yang modus operandinya dilakukan pada waktu malam dan awal pagi daripada berulang.
Esscom memutuskan tiada sebarang aktiviti di laut dan sungai selepas matahari terbenam (semua aktiviti hanya dilakukan pada waktu siang). Pengusaha resort yang mempunyai aktiviti unik pada waktu malam hendaklah memohon kebenaran daripada Esscom terlebih dahulu.
Selain itu, pasukan keselamatan akan mengadakan rondaan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa di setiap resort dan pengusaha yang gagal mematuhi arahan berkenaan akan dirujuk kepada Kementerian Pelancongan dan pihak berkuasa tempatan untuk tujuan digantung lesen perniagaannya.
TAMBAH ASET KESELAMATAN
Insiden penculikan seorang pelancong China dan seorang pekerja resort berasal dari Filipina mengejutkan banyak pihak kerana ia berlaku selang hanya empat bulan daripada insiden pembunuhan dan penculikan pelancong di Pulau Pom-Pom.
Insiden penculikan itu adalah kes jenayah rentas sempadan atau kes penculikan dan bukan kejadian yang pertama kerana beberapa penculikan sedemikian pernah berlaku di kawasan Semporna dan Lahad Datu.
Esscom tidak menolak kegiatan penculikan yang dilakukan oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina sejak tahun 2000 itu bertujuan mendapatkan sumber kewangan.
Bagi membanteras kegiatan penculikan berleluasa khususnya di kawasan perairan Semporna dan Lahad Datu yang terletak hampir dengan sempadan Filipina, pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menambah 30 peratus bilangan aset seperti bot dan kapal di kawasan perairan Semporna tanpa menjejaskan kawalan rondaan di kawasan lain.
PERBAIKI KELEMAHAN
Tidak menafikan masih banyak penambahbaikkan yang perlu dilakukan Esscom untuk memastikan sektor pelancongan tidak terjejas akibat aspek keselamatan. Esscom mampu memperbaikinya dan berupaya membentuk persefahaman lebih mantap pada masa akan datang.
Memang agak sukar untuk Esscom memberi jaminan bahawa penculikan tidak akan berlaku di ESSZONE memandangkan beberapa faktor dikenal pasti mendorong berlakunya kes penculikan.
Dari awal, Esscom tidak dapat disamakan dengan Rascom (Rajang Area Security Command). Rascom diwujudkan untuk memerangi komunis di Sarawak pada awal tahun 70an sehingga 90an sementara Esscom berperanan menjaga dan mengawal kawasan yang jauh lebih luas meliputi laut dan daratan.
Tambahan lagi pantai yang panjang sejauh 1,733.7km dari Kudat sehingga ke Tawau membuatkan tentera kita sukar mengenal pasti musuh memandangkan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penduduk negeri ini di samping mengamalkan budaya hidup yang sama dengan penduduk Sabah. Ada di antara mereka yang terlibat dengan jenayah penculikan sudah tinggal di Sabah bertahun-tahun lamanya dan hal itu adalah satu cabaran besar Esscom untuk mengatasinya.
KERJASAMA ESSCOM DAN PENGUSAHA PELANCONGAN
Justeru, bagi tujuan menjaga keselamatan pelancong dan pelanggan, Esscom menetapkan beberapa syarat penting untuk dipatuhi semua pengusaha pusat peranginan di ESSZONE.
Antara inisiatif itu ialah menggaji pengawal keselamatan terlatih yang akan mengawal premis perniagaan 24 jam sehari selain menugaskan seorang pegawai bertanggungjawab untuk melapor terus kepada polis atau Esscom sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang mendatangkan ancaman terhadap keselamatan pelanggan resort.
Langkah itu membolehkan tindakan segera diambil kerana sebelum ini pekerja resort terlebih dahulu memaklumkan kejadian kepada pengurus resort dan kemudian barulah pengurus melaporkannya kepada polis. Setiap resort di ESSZONE hendaklah memasang peralatan keselamatan seperti CCTV (kamera litar tertutup), menara tinjau, lampu sorot dan peralatan komunikasi. Semua pengusaha resort juga dikehendaki memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dengan membenarkan anggota keselamatan membuat rondaan di kawasan resort. Mereka juga boleh melaporkan kepada Esscom sekiranya ada anggota keselamatan yang tidak serius ketika menjalankan tugas di resort.
Pada masa ini terdapat 362 buah pulau di ESSZONE. Daripada jumlah itu, tujuh pulau mempunyai pusat peranginan iaitu Kapalai, Mabul, Pulau Bum-Bum, Pom-Pom, Mataking, Langkayan dan Billean.
HUBUNGAN KERJASAMA ANTARA AGENSI
Esscom, sebagai agensi penyelaras, menempatkan pasukan keselamatan dan aset pertahanan di kawasan-kawasan strategik yang menjadi laluan masuk di kawasan perairan melibatkan semua komponen keselamatan dan tugas-tugas pertahanan secara holistik dan bersepadu.
Arahan penugasan masih terletak di bawah ketua perkhidmatan dan agensi masing-masing. Bagi mencapai matlamat penubuhannya, Esscom dari semasa ke semasa meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan agensi Persekutuan dan negeri yang berkaitan. Persefahaman itu menjadi asas kekuatan Esscom untuk menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan atau jenayah penculikan.
Esscom merupakan entiti yang berjaya merealisasikan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan hasil penggabungan komponen pertahanan, keselamatan dan awam.
Esscom turut mengukuhkan pelaksanaan program peningkatan semangat patriotisme masyarakat di ESSZONE serta menyelaras dan memantapkan program pembangunan sosial ekonomi berteraskan keselamatan kepada kumpulan sasar di ESSZONE.
Esscom ditubuhkan pada 1 April 2013 di bawah Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduao, Lahad Datu Sabah pada awal Mac 2013.
Dianggotai empat komponen utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pegawai Awam, asas penubuhannya ialah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah susulan pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu.
Matlamat Esscom antaranya memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, memastikan kesejahteraan hidup, kesihatan awam dan kewujudan bersama, memastikan, memelihara dan memudahkan penjalanan secara bebas serta melaksanakan tindakan yang sewajarnya untuk menempatkan semula orang atau kumpulan orang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
ESSZONE meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Pitas, Kota Marudu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau

Pantai Timur Sabah sentiasa jadi sasaran kumpulan pengganas dari selatan Filipina yang gemar melakukan penculikan.

Pantai Timur Sabah sentiasa jadi sasaran kumpulan pengganas dari selatan Filipina yang gemar melakukan penculikan.

pom 3

Laporan Program Transformasi Kerajaan 2013

12 Mei 2014
Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan pada tahun lalu dengan keberhasilan ketara dalam mengupayakan ekonomi rakyat. Beliau berkata ketika melancarkan Laporan Tahunan GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Pencapaian itu berdasarkan pengesahan oleh para pakar termasuk pihak berkecuali.
GTP

“Walaupun begitu, masih banyak usaha yang perlu dilakukan dan digemblengkan dalam kita memasuki fasa GTP 2.0 dengan semangat yang lebih membara, komitmen yang lebih tinggi serta iltizam lebih kukuh. Piawaian tinggi telah diletakkan kepada inisiatif GTP 2.0 yang telah mencabar pasukan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berbanding pencapaian GTP 1.0. Dengan meletakkan sasaran yang di luar kelaziman itu, kerajaan akan terus mencipta kejayaan di samping mengekalkan momentum transformasi.
GTP merangkumi tujuh NKRA iaitu menangani kos sara hidup rakyat; mempertingkatkan pembangunan luar bandar; mempertingkatkan pengangkutan awam bandar; mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah; memastikan pendidikan berkualiti; mengurangkan jenayah dan membanteras rasuah.
GTP juga menerajui inisiatif transformasi sosial yang penting untuk mengubah perkhidmatan awam kepada semua pentadbiran yang dinamik, inovatif dan berfokuskan masyarakat.
Semua bidang GTP dan ETP telah melalui proses yang diteliti, dihalusi dan merundingi rakyat pelbagai lapisan dan sektor serta melalui lapan langkah proses transformasi iaitu hala tuju yang strategik, makmal, hari terbuka, pelan hala tuju, sasaran bagi penunjuk prestasi utama atau KPI, pelaksanaan, tatacara yang dipersetujui dan laporan tahunan.
Fakta kejayaan GTP termasuk ETP boleh dilihat melalui pelbagai manfaat besar yang dinikmati rakyat termasuk pemberian tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang telah berjaya memberi manfaat kepada lebih 4.8 juta isi rumah berpendapatan rendah selain hampir dua juta individu bujang berusia 21 tahun menerima manfaat apabila kerajaan memperluaskan skop pemberian BR1M kepada golongan itu dengan peruntukan RM500 juta.
“Fasa kedua GTP 2.0 juga menyaksikan seramai 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta 5.2 juta orang pelajar sekolah menengah dan rendah dibantu melalui pemberian Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 dan RM100 setiap seorang. Bagi mengurangkan beban golongan individu dan para peniaga, kerajaan telah menambah sejumlah 40 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), menjadikan keseluruhan 125 buah yang diyakini boleh membantu kumpulan rakyat terbanyak.

Selain itu tambahnya, kewujudan 254 Klinik 1Malaysia telah meningkatkan akses rawatan perubatan asas kepada masyarakat, dan dengan kos RM1 setiap pesakit, ini telah berjaya menangani lebih 10 juta kes kesihatan sejak dilancarkan pada 2010.

Kerajaan dalam fasa ini turut menitik berat soal perumahan dengan sebanyak RM2.1 bilion telah diperuntukkan tahun ini bagi membina 133,000 unit rumah mampu milik yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Jabatan Perumahan Negara dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Kejayaan itu membuka mata banyak pihak sehingga ada di antara mereka meramalkan berdasarkan prestasi semasa tidak mustahil Malaysia mungkin muncul negara maju lebih awal daripada 2020. Kejayaan ini adalah sesuatu yang membanggakan kerana melebihi sasaran awal. Ia juga bukti jelas bahawa Malaysia kini berada di landasan yang tepat dan fokus kita selepas ini adalah mahu mencapai kejayaan lebih besar.Justeru, kerajaan akan menambah baik beberapa aspek terutama sistem penyampaian dan begitu juga dalam soal penerimaan rakyat.

Kata-Kata Bernas Obama, Presiden Amerika Syarikat di KL

Semangat ‘Malaysia Boleh’ Beri Inspirasi Kepada Yang Lain – Obama
Dalam sesi perjumpaan terbuka dengan kira-kira 400 pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya, 27-4-2014, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata negara-negara di Asia Tenggara, begitu juga Amerika perlu menghayati semangat di sebalik slogan ‘Malaysia Boleh’, demi memupuk hubungan lebih rapat untuk masa depan lebih cerah.

27-4-2014 di UM

27-4-2014 di UM

Intipati mesej Obama kepada generasi muda:
1. Para presiden dan perdana menteri hanya boleh membantu meletakkan asas, tetapi generasi muda yang akan membina masa depan.
2. Hubungan antara negara bukan saja ditentukan oleh kerajaan tetapi juga rakyat, dan golongan muda mempunyai peranan dalam menentukan masa depan mereka sendiri.
3. Perkara yang menjadikan rantau ini menarik ialah kepelbagaiannya, dengan penduduk datang dari kumpulan etnik, budaya, dan latar belakang yang berlainan, demikian juga anutan agama dan kepercayaan politik mereka.
4. Malaysia menjadi lebih kuat dan lebih berjaya bila kita berusaha menegakkan hak asasi sivil, politik dan kemanusiaan.
5. Dalam isu kepelbagaian rakyat, tidak ada negara akan berjaya jika sebahagian daripada pendudukanya dipinggirkan. Layani orang sebagaimana anda mahu dilayan. Dan jika anda tidak lakukan itu dan masyarakat tidak menghormati prinsip asas itu, bererti kita mundur ke belakang dan bukan maju ke hadapan. Jadi, menerimalah, hormatilah dan menghargailah kepelbagaian ini yang sememangnya dicipta oleh Tuhan/Allah
6. Perkara paling penting untuk golongan muda ialah menyedari bahawa mereka boleh memberi impak terhadap dunia, dan untuk berbuat demikian, mereka tidak perlu fokus terlalu banyak kepada gelaran atau berapa banyak wang mereka akan perolehi. Fokus/matlamat hidup kita sepatutnya bertumpu kepada mendatangkan impak positif kepada komuniti, negara dan dunia.
Sesi itu melibatkan 103 peserta di bawah program anjuran Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) di samping kira-kira 300 tetamu undangan.

Teknologi Hijau

Teknologi Hijau

Definisi

Teknologi Hijau merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau merujuk produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut:
? Ia meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan;
? Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
? Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Empat Tunggak Dasar Teknologi Hijau Negara
• Tenaga – Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
• Alam sekitar – Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
• Ekonomi – Meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi; dan
• Sosial – Meningkatkan kualiti hidup untuk semua.

Objektif

• Untuk mengurangkan kadar peningkatan penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi;
• Untuk membantu pertumbuhan dalam industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara;
• Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan Teknologi Hijau dan meningkatkan daya saing dalam Teknologi Hijau di persana antarabangsa;
• Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan
• Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap Teknologi Hijau dan menggalakkan penggunaan meluas Teknologi Hijau.

Sektor Utama

Kemajuan yang signifikan dan peningkatan utama dalam empat sektor utama yang berikut:

i) Sektor Tenaga
• Sektor Bekalan Tenaga: Aplikasi Teknologi Hijau dalam penjanaan tenaga dan pengurusan bekalan tenaga, termasuk penjanaan bersama (co-generation) di sektor industri dan komersial; dan
• Sektor Penggunaan Tenaga Aplikasi Teknologi Hijau dalam semua sektor penggunaan tenaga dan dalam program pengurusan permintaan tenaga.

ii) Sektor Bangunan: Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pembinaan, pengurusan, pemuliharaan dan pemusnahan bangunan

iii) Sektor Air dan Pengurusan Sisa
• Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air, rawatan kumbahan, sisa pepejal dan kawasan pelupusan sampah; dan

iv) Sektor Pengangkutan
• Memasukkan elemen Teknologi Hijau dalam prasarana pengangkutan dan kenderaan, khususnya biobahan api dan pengangkutan jalan awam.
Matlamat

i. Matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10)
• Kesedaran masyarakat yang lebih tinggi melalui program-program sokongan dan komitmen untuk penerimaan dan penerapan Teknologi Hijau;
• Ketersediaan dan pengiktirafan meluas Teknologi Hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran tempatan melalui piawaian, perkadaran, pelabelan;
• Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Teknologi Hijau; dan
• Institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai Teknologi Hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai.

ii. Matlamat Jangka Sederhana (Rancangan Malaysia ke-11)
• Teknologi Hijau menjadi pilihan utama dalam memilih produk dan perkhidmatan;
• Teknologi Hijau mempunyai pasaran tempatan yang lebih besar berbanding dengan teknologi lain, dan menyumbang kepada penerimaan Teknologi Hijau dalam pasaran serantau;
• Peningkatan pengeluaran produk Teknologi Hijau tempatan;
• Peningkatan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi Teknologi Hijau oleh universiti tempatan dan institusi penyelidikan yang dikomersialkan melalui kerjasama dengan industri tempatan dan syarikat multinasional;
• Peningkatan perniagaan SME dan SMI tempatan dalam Teknologi Hijau ke pasaran global; dan
• Peningkatan aplikasi Teknologi Hijau dalam kebanyakan sektor ekonomi.

iii. Matlamat Jangka Panjang (Rancangan Malaysia Ke-12 dan Tempoh Seterusnya)
• Penerapan Teknologi Hijau dalam budaya Malaysia;
• Penggunaan meluas Teknologi Hijau mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan, di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara;
• Mengurangkan signifikan dalam penggunaan tenaga negara;
• Membaiki kedudukan Malaysia dalam peningkatan persekitaran;
• Malaysia menjadi pengeluar utama Teknologi Hijau dalam pasaran global; dan
• Peningkatan kerjasama peringkat antarabangsa dengan universiti tempatan dan institusi penyelidikan dengan industri Teknologi Hijau.

Risiko nanoteknologi boleh diluaskan kepada tiga bahagian:
• risiko kepada kesihatan dan persekitaran yang berpunca daripada zarah dan jirim nano
• risiko yang disebabkan oleh pengilangan atau penghasilan molekul (atau teknologi nano lain)
• risiko yang datangnya daripada masyarakat sendiri.

Teras Strategik

i) Teras Strategik 1

Mengukuhkan kerangka institusi

Dalam memupuk penerimaan dan pembangunan Teknologi Hijau, penyusunan institusi yang kukuh adalah kritikal untuk mempromosikan aplikasi Teknologi Hijau melalui:

Penubuhan Majlis Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri untuk menyelaraskan peringkat tinggi antara Kementerian, agensi, sektor swasta dan pihak berkepentingan utama untuk melaksanakan Teknologi Hijau yang efektif;
Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri;
Penubuhan Agensi Teknologi Hijau Malaysia untuk menyelaraskan dan melaksanakan usaha dan program Teknologi Hijau yang efektif;
Pengenalan dan penguatkuasaan mekanisme perundangan untuk mempercepat pembangunan Teknologi Hijau, selaras dengan objektif dan matlamatnya; dan
Peyelarasan fungsi setiap institusi supaya semua agensi mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing.

ii) Teras Strategik 2

Menyediakan Persekitaran Pembangunan Teknologi Hijau yang Kondusif

Pembangunan industri Teknologi Hijau, sama ada dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan, adalah kritikal bagi memenuhi objektif Dasar Teknologi Hijau. Industri ini menyediakan Teknologi Hijau bagi pasaran setempat dan global, menyediakan peluang pekerjaan, dan meningkatkan ekonomi Negara. Ini boleh dicapai melalui:

Pengenalan dan pelaksanaan instrumen ekonomi yang inovatif dengan disokong oleh langkah-langkah kewangan dan fiskal bagi menbantu peningkatan pertumbuhan Teknologi Hijau selaras dengan objektif dan matlamatnya;
Memperkukuh pemahaman masyarakat tempatan terhadap industri Teknologi Hijau dan rantaian nilai termasuk industri sokongan melalui pelbagai program peningkatan industri;
Mempromosikan pelaburan langsung asing (FDIs) terhadap Teknologi Hijau yang membantu perkembangan pelaburan langsung tempatan (DDIs) serta penglibatan dan pembangunan industri tempatan;
Menubuhkan hab Teknologi Hijau yeng straregik di seluruh Malaysia, yang dikembangkan daripada rantaian nilai utama kepada industri utama; dan
Menubuhkan mekanisme pembiayaan untuk Teknologi Hijau.

iii) Teras Strategik 3

Memperkukuh Pembangunan

Modal Insan dalam Teknologi Hijau

Sumber manusia yang mahir, berkelayakan, cekap dan produktif sangat penting untuk pembangunan Teknologi Hijau. Ini boleh dicapai melalui;

Reka bentuk dan pengukuhan program latihan dan pendidikan bagi meningkatkan kapasiti sumber manusia yang berkaitan dengan Teknologi Hijau;

Bantuan kewangan dan biasiswa untuk pelajar yang mengikuti jurusan Teknologi Hijau di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan pasca ijazah;
Program melatih semula dan skim pelapis untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia yang separa terlatih bagi memenuhi keperluan industri Teknologi Hijau;
Penyediaan mekanisme penggredan dan pensijilan bagi pekerja yang cekap dalam bidang Teknologi Hijau; dan
Pengekploitasian program brain gain bagi mengukuhkan kepakaran tempatan dalam sektor Teknologi Hijau.

iv) Teras Strategik 4
Penggiatan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Hijau
Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi dan Pengkomersialan (RDIC) amat penting dalam penghasilan teknologi baru, teknik dan implikasi yang dapat mengurangkan kos Teknologi Hijau dan mempromosikan penggunaannya. Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (RDI) akan ditingkatkan melalui:

Dana kewangan atau bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam RDIC;
Keperluan Teknologi Hijau pada masa hadapan;
Penubuhan badan penyelaras yang efektif untuk RDI dan pusat kecemerlangan atau institut penyelidikan yang baru untuk perkembangan Teknologi Hijau;
Perkongsian pintar antara kerajaan, industri, dan pusat penyelidikan;dan,
Penubuhan rangkaian yang kukuh dengan institusi penyelidikan tempatan dan serantau dan pusat kecemerlangan antarabangsa dalam RDI Teknologi Hijau.

v) Teras Strategik 5

Promosi dan Kesedaran Awam

Promosi yang efektif dan kesedaran awam merupakan dua faktor utama yang mempengaruhi kejayaan pembangunan Teknologi Hijau. Hal ini penting kerana perkara tersebut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat melalui pelbagai pendekatan termasuklah:

Promosi berterusan yang efektif, pendidikan dan penyebaran maklumat melalui program yang komprehensif untuk meningkatkan kesedaran awam dalam Teknologi Hijau;
Penglibatan media, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan yang efektif untuk mempromosikan Teknologi Hijau;
Memupuk budaya menghayati Teknologi Hijau dalam kalangan pelajar pada setiap peringkat melalui pembangunan sistem sukatan pelajaran yang efektif;
Program demonstrasi secara efektif dalam implikasi Teknologi Hijau; dan
Menerima pakai Teknologi Hijau dalam semua kemudahan kerajaan dan entiti yang berhubung dengan kerajaan

Lima langkah strategik jayakan Dasar Teknologi Hijau Negara

BANGI: Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan lima langkah strategik bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara.

Perdana Menteri berkata, langkah pertama adalah mengukuhkan rangka kerja institusi terutama di kalangan Menteri manakala langkah kedua mensasarkan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi Pembangunan Teknologi Hijau.

Katanya, langkah ketiga pula akan menggiatkan lagi pembangunan modal insan menerusi pemberian latihan dan program pendidikan.

“Langkah keempat adalah akan menggalakkan penyelidikan dan inovasi Tekologi Hijau menerusi pengkomersialan.

“Langkah terakhir adalah memantapkan usaha mempromosi dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap Teknologi Hijau,” katanya berucap melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Temubual Galeri@1, RTM 1
Y. Bhg. Dato’ Dr Halim Bin Man
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

1. Apakah maksud ‘teknologi hijau’?

Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa-apa teknologi yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada peringkat permulaannya dan selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau kualiti yang lebih baik dari sekarang.

2. Mengapakah teknologi hijau diberi penekanan dalam pentadbiran negara?

Pada 9 April lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembentukan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi menggantikan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Saya percaya penekanan terhadap “teknologi hijau” adalah pendekatan yang tepat dalam menangani masalah alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga selaras dengan agenda utama Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi prioriti kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.

Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ’hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita. Mengikut unjuran kami, menjelang tahun 2020, industri PV dapat menyumbang sebanyak 4 peratus pendapatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Kerajaan akan menyediakan dasar yang sesuai untuk mempromosikan teknologi hijau. Pihak swasta, para profesional serta penyelidik harus bekerjasama untuk mencipta dan mengkomersilkan teknologi hijau.

3. Apakah kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hijau dalam kehidupan kita sebagai orang awam?

Seperti yang telah saya katakan tadi, secara amnya, Teknologi Hijau merupakan satu teknologi yang mesra alam dan merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan antara lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa kini ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan, kenaikan paras dan suhu air laut, kepupusan spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.

Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap tenaga, penggunaan kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air merupakan antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan pada sebahagian daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan dapat menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita juga harus sedar bahawa pilihan-pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan datang. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar mula mendekati amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap tenaga, mengamalkan penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.

4. Boleh Y.Bhg Dato’ berikan sedikit saranan dan harapan Datuk kepada masyarakat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengutamakan teknologi hijau?

Usaha Kerajaan untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah aspek inovasi, iaitu usaha mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks. Produk mudah yang mesra alam serta praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar digalakkan dari peringkat sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para penyelidik kita boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa membazir sumber-sumber seperti tenaga dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan eksport.

Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses kerja atau amalan hidup seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.

Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.

Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

5. Adakah sebarang galakan disediakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan teknologi hijau?

Untuk bidang kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharu, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif fiskal sejak tahun 2003 bagi syarikat-syarikat yang menjana elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Diperbaharu atau Renewable Energy (RE) dan syarikat-syarikat mengamalkan aktiviti-aktiviti penjimatan tenaga Energy Efficiency (EE) dimana mereka layak diberi Pengecualian Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) dan Status Perintis (Pioneer Status).

Syarikat-syarikat ini juga boleh memohon untuk mendapatkan pengecualian duti import dan cukai jualan untuk tempoh setahun bagi mesin, peralatan, material dan alat ganti import yang digunakan secara terus dalam penjanaan tenaga elektrik daripada sumber RE dan dan aktiviti EE. Insentif-insentif ini telah ditambah baik di bawah Bajet 2009 dimana pengecualian boleh diberikan bagi:

i- duti import dan cukai jualan untuk peralatan sistem solar untuk kegunaan pihak ketiga diberi kepada pengimport termasuk penyedia perkhidmatan photovoltaic yang diluluskan oleh ST;
ii- pengecualian cukai jualan untuk pembelian peralatan sistem pemanas solar daripada pengilang tempatan;
iii- Pengecualian duti import dan cukai jualan diberi ke atas peralatan EE seperti motor cekap tenaga (high efficiency motors) dan bahan penebat (insulation material) diberi kepada pengimport termasuk agen yang diluluskan oleh ST.
iv- Pengecualian cukai jualan diberi kepada pembelian EE consumer goods yang diluluskan oleh ST seperti bahan penebat, peti sejuk domestik, Ballast untuk lampu fluorescent, kipas domestic, lampu dan penyaman udara.

6. Boleh Y.Bhg Dato’ terangkan langkah-langkah yang diambil atau contoh-contoh program yang dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat?

Kementerian telah mula menjalankan program-program kesedaran mengenai Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharu yang merupakan salah satu daripada cabang Teknologi Hijau sejak tahun 2000 lagi melalui penubuhan Centre for Education, Training and Research in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) oleh Universiti Sains Malaysia. Program-program ini disasarkan kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang awam di Malaysia. Antara program yang telah dilaksanakan oleh CETREE ialah Pameran program Kempen Penjimatan Tenaga & Alam Sekitar dan Kempen Cekap Tenaga di USM, Pertandingan Eureka, Kereta Solar dan Dapur Suria, Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi Kebangsaan dan sebagainya. Selain daripada itu, CETREE juga telah membangunkan Modul Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga Merentasi Kurikulum Sekolah Rendah di seluruh Malaysia bagi menimbulkan kesedaran murid sekolah di peringkat awal dalam Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga.

Selain itu, Kementerian juga telah melaksanakan program Energy Month peringkat Kebangsaan secara tahunan bagi meningkatkan kesedaran mengenai Tenaga Boleh Diperbaharu dan mempromosikan amalan Kecekapan Tenaga di kalangan orang awam dan sektor swasta. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa program Energy Month adalah mengadakan ceramah-ceramah berkaitan Kecekapan Tenaga, menerbitkan buku panduan Kecekapan Tenaga Di Rumah, menerbitkan siri artikel di surat khabar dan menggunakan media massa untuk menggalakkan amalan Kecekapan Tenaga.

Di masa akan datang, Kementerian akan melaksanakan kempen Teknologi Hijau yang akan melibatkan stake-holders yang berkaitan termasuk orang awam dan Kementerian/ Jabatan Kerajaan, badan bukan Kerajaan dan lain-lain agensi yang berkaitan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan semua pihak mengenai kepentingan Teknologi Hijau dalam kehidupan kita. Ini bagi memastikan program-program lain yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan dalam mempromosi dan membangunkan Teknologi Hijau tempatan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat.

Sumber: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju
Angkasa 1
Angkasa 2

angkasawan 3

Selain pertambahan infrastruktur berkaitan angkasa yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) seperti Observatori Negara Langkawi (ONL) tahun 2011, pembangunan sektor angkasa negara mengorak langkah ke hadapan dengan Dasar Angkasa Negara.
Dasar Angkasa menjadi pemangkin bagi pembangunan sektor angkasa negara masa hadapan, termasuk pembangunan sektor industri angkasa, yang mana Angkasa akan bertindak sebagai agensi penggerak utama.
Dasar itu penting sebagai memenuhi keperluan rangka kerja dan hala tuju dalam membangunkan sektor angkasa yang strategik dan penting bagi negara. Dasar ini merupakan kerangka dan garis panduan untuk memandu industri angkasa negara dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu sehingga 2020.
Dengan adanya dasar baru itu, sektor angkasa akan diiktiraf sebagai sektor baru yang strategik yang boleh menjana ekonomi baru bagi negara di samping meningkatkan keupayaan negara di dalam teknologi tinggi bagi tujuan keselamatan.
Dasar ini meliputi bidang satelit komunikasi, satelit navigasi, remote sensing (penderiaan jauh atau pencerapan bumi), undang-undang angkasa, sumber manusia, pendidikan dan kesedaran awam, penyelidikan dan pembangunan (R&D), industri angkasa dan teknologi angkasa.
Dengan adanya dasar angkasa itu, pembangunan sektor angkasa akan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti hiliran seperti aplikasi bagi satelit telekomunikasi, satelit navigasi dan satelit atau remote sensing, yang dijangka menjadi industri penting bagi penjanaan ekonomi baru negara. Sebagai contoh, penggunaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) begitu meluas kerana ada pihak yang bersedia menjualnya secara komersial untuk pengguna.
Jawatankuasa Angkasa Negara (Jangka) itu dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili. Ia turut dianggotai oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komuniti (KPPK), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
Turut terlibat ialah Kementerian Luar, Kementerian Pelajaran (KPM), Kementerian Kewangan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Jabatan Penerbangan Awam dan wakil Industri – Aeronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), dan MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd.
Jangka yang akan membincang dan mencadangkan program berkaitan angkasa bagi negara akan melaporkan kepada hasil perbincangan kepada Majlis Aeroangkasa Malaysia ( MAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Akta Angkasa untuk mengawal selia aktiviti dan operasi berkaitan sektor angkasa seperti pelancaran dan pengoperasian satelit, pendaftaran objek yang dilancarkan ke angkasa lepas, pengoperasian stesen Bumi dan aktiviti lain yang berkaitan juga digubal. Setiap pelancaran dan pengoperasian satelit yang dimiliki oleh rakyat ataupun syarikat Malaysia perlu diberi lesen dan Angkasa bertanggungjawab pengeluaran lesen pada masa akan datang selepas akta tersebut diwartakan.Ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merupakan badan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk kebenaran menggunakan julat frekuensi gelombang sahaja.
Dalam pada itu, program kesedaran dan pendidikan juga terus dilaksanakan untuk pelbagai peringkat lapisan kumpulan sasar termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar universiti.