Laporan Program Transformasi Kerajaan 2013

12 Mei 2014
Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan pada tahun lalu dengan keberhasilan ketara dalam mengupayakan ekonomi rakyat. Beliau berkata ketika melancarkan Laporan Tahunan GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Pencapaian itu berdasarkan pengesahan oleh para pakar termasuk pihak berkecuali.
GTP

“Walaupun begitu, masih banyak usaha yang perlu dilakukan dan digemblengkan dalam kita memasuki fasa GTP 2.0 dengan semangat yang lebih membara, komitmen yang lebih tinggi serta iltizam lebih kukuh. Piawaian tinggi telah diletakkan kepada inisiatif GTP 2.0 yang telah mencabar pasukan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berbanding pencapaian GTP 1.0. Dengan meletakkan sasaran yang di luar kelaziman itu, kerajaan akan terus mencipta kejayaan di samping mengekalkan momentum transformasi.
GTP merangkumi tujuh NKRA iaitu menangani kos sara hidup rakyat; mempertingkatkan pembangunan luar bandar; mempertingkatkan pengangkutan awam bandar; mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah; memastikan pendidikan berkualiti; mengurangkan jenayah dan membanteras rasuah.
GTP juga menerajui inisiatif transformasi sosial yang penting untuk mengubah perkhidmatan awam kepada semua pentadbiran yang dinamik, inovatif dan berfokuskan masyarakat.
Semua bidang GTP dan ETP telah melalui proses yang diteliti, dihalusi dan merundingi rakyat pelbagai lapisan dan sektor serta melalui lapan langkah proses transformasi iaitu hala tuju yang strategik, makmal, hari terbuka, pelan hala tuju, sasaran bagi penunjuk prestasi utama atau KPI, pelaksanaan, tatacara yang dipersetujui dan laporan tahunan.
Fakta kejayaan GTP termasuk ETP boleh dilihat melalui pelbagai manfaat besar yang dinikmati rakyat termasuk pemberian tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang telah berjaya memberi manfaat kepada lebih 4.8 juta isi rumah berpendapatan rendah selain hampir dua juta individu bujang berusia 21 tahun menerima manfaat apabila kerajaan memperluaskan skop pemberian BR1M kepada golongan itu dengan peruntukan RM500 juta.
“Fasa kedua GTP 2.0 juga menyaksikan seramai 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta 5.2 juta orang pelajar sekolah menengah dan rendah dibantu melalui pemberian Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 dan RM100 setiap seorang. Bagi mengurangkan beban golongan individu dan para peniaga, kerajaan telah menambah sejumlah 40 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), menjadikan keseluruhan 125 buah yang diyakini boleh membantu kumpulan rakyat terbanyak.

Selain itu tambahnya, kewujudan 254 Klinik 1Malaysia telah meningkatkan akses rawatan perubatan asas kepada masyarakat, dan dengan kos RM1 setiap pesakit, ini telah berjaya menangani lebih 10 juta kes kesihatan sejak dilancarkan pada 2010.

Kerajaan dalam fasa ini turut menitik berat soal perumahan dengan sebanyak RM2.1 bilion telah diperuntukkan tahun ini bagi membina 133,000 unit rumah mampu milik yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Jabatan Perumahan Negara dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Kejayaan itu membuka mata banyak pihak sehingga ada di antara mereka meramalkan berdasarkan prestasi semasa tidak mustahil Malaysia mungkin muncul negara maju lebih awal daripada 2020. Kejayaan ini adalah sesuatu yang membanggakan kerana melebihi sasaran awal. Ia juga bukti jelas bahawa Malaysia kini berada di landasan yang tepat dan fokus kita selepas ini adalah mahu mencapai kejayaan lebih besar.Justeru, kerajaan akan menambah baik beberapa aspek terutama sistem penyampaian dan begitu juga dalam soal penerimaan rakyat.

Leave a comment