Kata-Kata Bernas Obama, Presiden Amerika Syarikat di KL

Semangat ‘Malaysia Boleh’ Beri Inspirasi Kepada Yang Lain – Obama
Dalam sesi perjumpaan terbuka dengan kira-kira 400 pemimpin muda Asia Tenggara di Universiti Malaya, 27-4-2014, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata negara-negara di Asia Tenggara, begitu juga Amerika perlu menghayati semangat di sebalik slogan ‘Malaysia Boleh’, demi memupuk hubungan lebih rapat untuk masa depan lebih cerah.

27-4-2014 di UM

27-4-2014 di UM

Intipati mesej Obama kepada generasi muda:
1. Para presiden dan perdana menteri hanya boleh membantu meletakkan asas, tetapi generasi muda yang akan membina masa depan.
2. Hubungan antara negara bukan saja ditentukan oleh kerajaan tetapi juga rakyat, dan golongan muda mempunyai peranan dalam menentukan masa depan mereka sendiri.
3. Perkara yang menjadikan rantau ini menarik ialah kepelbagaiannya, dengan penduduk datang dari kumpulan etnik, budaya, dan latar belakang yang berlainan, demikian juga anutan agama dan kepercayaan politik mereka.
4. Malaysia menjadi lebih kuat dan lebih berjaya bila kita berusaha menegakkan hak asasi sivil, politik dan kemanusiaan.
5. Dalam isu kepelbagaian rakyat, tidak ada negara akan berjaya jika sebahagian daripada pendudukanya dipinggirkan. Layani orang sebagaimana anda mahu dilayan. Dan jika anda tidak lakukan itu dan masyarakat tidak menghormati prinsip asas itu, bererti kita mundur ke belakang dan bukan maju ke hadapan. Jadi, menerimalah, hormatilah dan menghargailah kepelbagaian ini yang sememangnya dicipta oleh Tuhan/Allah
6. Perkara paling penting untuk golongan muda ialah menyedari bahawa mereka boleh memberi impak terhadap dunia, dan untuk berbuat demikian, mereka tidak perlu fokus terlalu banyak kepada gelaran atau berapa banyak wang mereka akan perolehi. Fokus/matlamat hidup kita sepatutnya bertumpu kepada mendatangkan impak positif kepada komuniti, negara dan dunia.
Sesi itu melibatkan 103 peserta di bawah program anjuran Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) di samping kira-kira 300 tetamu undangan.

Teknologi Hijau

Teknologi Hijau

Definisi

Teknologi Hijau merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau merujuk produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut:
? Ia meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan;
? Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
? Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Empat Tunggak Dasar Teknologi Hijau Negara
• Tenaga – Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
• Alam sekitar – Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
• Ekonomi – Meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi; dan
• Sosial – Meningkatkan kualiti hidup untuk semua.

Objektif

• Untuk mengurangkan kadar peningkatan penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi;
• Untuk membantu pertumbuhan dalam industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara;
• Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan Teknologi Hijau dan meningkatkan daya saing dalam Teknologi Hijau di persana antarabangsa;
• Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan
• Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap Teknologi Hijau dan menggalakkan penggunaan meluas Teknologi Hijau.

Sektor Utama

Kemajuan yang signifikan dan peningkatan utama dalam empat sektor utama yang berikut:

i) Sektor Tenaga
• Sektor Bekalan Tenaga: Aplikasi Teknologi Hijau dalam penjanaan tenaga dan pengurusan bekalan tenaga, termasuk penjanaan bersama (co-generation) di sektor industri dan komersial; dan
• Sektor Penggunaan Tenaga Aplikasi Teknologi Hijau dalam semua sektor penggunaan tenaga dan dalam program pengurusan permintaan tenaga.

ii) Sektor Bangunan: Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pembinaan, pengurusan, pemuliharaan dan pemusnahan bangunan

iii) Sektor Air dan Pengurusan Sisa
• Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air, rawatan kumbahan, sisa pepejal dan kawasan pelupusan sampah; dan

iv) Sektor Pengangkutan
• Memasukkan elemen Teknologi Hijau dalam prasarana pengangkutan dan kenderaan, khususnya biobahan api dan pengangkutan jalan awam.
Matlamat

i. Matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10)
• Kesedaran masyarakat yang lebih tinggi melalui program-program sokongan dan komitmen untuk penerimaan dan penerapan Teknologi Hijau;
• Ketersediaan dan pengiktirafan meluas Teknologi Hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran tempatan melalui piawaian, perkadaran, pelabelan;
• Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Teknologi Hijau; dan
• Institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai Teknologi Hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai.

ii. Matlamat Jangka Sederhana (Rancangan Malaysia ke-11)
• Teknologi Hijau menjadi pilihan utama dalam memilih produk dan perkhidmatan;
• Teknologi Hijau mempunyai pasaran tempatan yang lebih besar berbanding dengan teknologi lain, dan menyumbang kepada penerimaan Teknologi Hijau dalam pasaran serantau;
• Peningkatan pengeluaran produk Teknologi Hijau tempatan;
• Peningkatan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi Teknologi Hijau oleh universiti tempatan dan institusi penyelidikan yang dikomersialkan melalui kerjasama dengan industri tempatan dan syarikat multinasional;
• Peningkatan perniagaan SME dan SMI tempatan dalam Teknologi Hijau ke pasaran global; dan
• Peningkatan aplikasi Teknologi Hijau dalam kebanyakan sektor ekonomi.

iii. Matlamat Jangka Panjang (Rancangan Malaysia Ke-12 dan Tempoh Seterusnya)
• Penerapan Teknologi Hijau dalam budaya Malaysia;
• Penggunaan meluas Teknologi Hijau mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan, di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara;
• Mengurangkan signifikan dalam penggunaan tenaga negara;
• Membaiki kedudukan Malaysia dalam peningkatan persekitaran;
• Malaysia menjadi pengeluar utama Teknologi Hijau dalam pasaran global; dan
• Peningkatan kerjasama peringkat antarabangsa dengan universiti tempatan dan institusi penyelidikan dengan industri Teknologi Hijau.

Risiko nanoteknologi boleh diluaskan kepada tiga bahagian:
• risiko kepada kesihatan dan persekitaran yang berpunca daripada zarah dan jirim nano
• risiko yang disebabkan oleh pengilangan atau penghasilan molekul (atau teknologi nano lain)
• risiko yang datangnya daripada masyarakat sendiri.

Teras Strategik

i) Teras Strategik 1

Mengukuhkan kerangka institusi

Dalam memupuk penerimaan dan pembangunan Teknologi Hijau, penyusunan institusi yang kukuh adalah kritikal untuk mempromosikan aplikasi Teknologi Hijau melalui:

Penubuhan Majlis Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri untuk menyelaraskan peringkat tinggi antara Kementerian, agensi, sektor swasta dan pihak berkepentingan utama untuk melaksanakan Teknologi Hijau yang efektif;
Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri;
Penubuhan Agensi Teknologi Hijau Malaysia untuk menyelaraskan dan melaksanakan usaha dan program Teknologi Hijau yang efektif;
Pengenalan dan penguatkuasaan mekanisme perundangan untuk mempercepat pembangunan Teknologi Hijau, selaras dengan objektif dan matlamatnya; dan
Peyelarasan fungsi setiap institusi supaya semua agensi mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing.

ii) Teras Strategik 2

Menyediakan Persekitaran Pembangunan Teknologi Hijau yang Kondusif

Pembangunan industri Teknologi Hijau, sama ada dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan, adalah kritikal bagi memenuhi objektif Dasar Teknologi Hijau. Industri ini menyediakan Teknologi Hijau bagi pasaran setempat dan global, menyediakan peluang pekerjaan, dan meningkatkan ekonomi Negara. Ini boleh dicapai melalui:

Pengenalan dan pelaksanaan instrumen ekonomi yang inovatif dengan disokong oleh langkah-langkah kewangan dan fiskal bagi menbantu peningkatan pertumbuhan Teknologi Hijau selaras dengan objektif dan matlamatnya;
Memperkukuh pemahaman masyarakat tempatan terhadap industri Teknologi Hijau dan rantaian nilai termasuk industri sokongan melalui pelbagai program peningkatan industri;
Mempromosikan pelaburan langsung asing (FDIs) terhadap Teknologi Hijau yang membantu perkembangan pelaburan langsung tempatan (DDIs) serta penglibatan dan pembangunan industri tempatan;
Menubuhkan hab Teknologi Hijau yeng straregik di seluruh Malaysia, yang dikembangkan daripada rantaian nilai utama kepada industri utama; dan
Menubuhkan mekanisme pembiayaan untuk Teknologi Hijau.

iii) Teras Strategik 3

Memperkukuh Pembangunan

Modal Insan dalam Teknologi Hijau

Sumber manusia yang mahir, berkelayakan, cekap dan produktif sangat penting untuk pembangunan Teknologi Hijau. Ini boleh dicapai melalui;

Reka bentuk dan pengukuhan program latihan dan pendidikan bagi meningkatkan kapasiti sumber manusia yang berkaitan dengan Teknologi Hijau;

Bantuan kewangan dan biasiswa untuk pelajar yang mengikuti jurusan Teknologi Hijau di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan pasca ijazah;
Program melatih semula dan skim pelapis untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia yang separa terlatih bagi memenuhi keperluan industri Teknologi Hijau;
Penyediaan mekanisme penggredan dan pensijilan bagi pekerja yang cekap dalam bidang Teknologi Hijau; dan
Pengekploitasian program brain gain bagi mengukuhkan kepakaran tempatan dalam sektor Teknologi Hijau.

iv) Teras Strategik 4
Penggiatan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Hijau
Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi dan Pengkomersialan (RDIC) amat penting dalam penghasilan teknologi baru, teknik dan implikasi yang dapat mengurangkan kos Teknologi Hijau dan mempromosikan penggunaannya. Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (RDI) akan ditingkatkan melalui:

Dana kewangan atau bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam RDIC;
Keperluan Teknologi Hijau pada masa hadapan;
Penubuhan badan penyelaras yang efektif untuk RDI dan pusat kecemerlangan atau institut penyelidikan yang baru untuk perkembangan Teknologi Hijau;
Perkongsian pintar antara kerajaan, industri, dan pusat penyelidikan;dan,
Penubuhan rangkaian yang kukuh dengan institusi penyelidikan tempatan dan serantau dan pusat kecemerlangan antarabangsa dalam RDI Teknologi Hijau.

v) Teras Strategik 5

Promosi dan Kesedaran Awam

Promosi yang efektif dan kesedaran awam merupakan dua faktor utama yang mempengaruhi kejayaan pembangunan Teknologi Hijau. Hal ini penting kerana perkara tersebut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat melalui pelbagai pendekatan termasuklah:

Promosi berterusan yang efektif, pendidikan dan penyebaran maklumat melalui program yang komprehensif untuk meningkatkan kesedaran awam dalam Teknologi Hijau;
Penglibatan media, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan yang efektif untuk mempromosikan Teknologi Hijau;
Memupuk budaya menghayati Teknologi Hijau dalam kalangan pelajar pada setiap peringkat melalui pembangunan sistem sukatan pelajaran yang efektif;
Program demonstrasi secara efektif dalam implikasi Teknologi Hijau; dan
Menerima pakai Teknologi Hijau dalam semua kemudahan kerajaan dan entiti yang berhubung dengan kerajaan

Lima langkah strategik jayakan Dasar Teknologi Hijau Negara

BANGI: Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan lima langkah strategik bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara.

Perdana Menteri berkata, langkah pertama adalah mengukuhkan rangka kerja institusi terutama di kalangan Menteri manakala langkah kedua mensasarkan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi Pembangunan Teknologi Hijau.

Katanya, langkah ketiga pula akan menggiatkan lagi pembangunan modal insan menerusi pemberian latihan dan program pendidikan.

“Langkah keempat adalah akan menggalakkan penyelidikan dan inovasi Tekologi Hijau menerusi pengkomersialan.

“Langkah terakhir adalah memantapkan usaha mempromosi dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap Teknologi Hijau,” katanya berucap melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Temubual Galeri@1, RTM 1
Y. Bhg. Dato’ Dr Halim Bin Man
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

1. Apakah maksud ‘teknologi hijau’?

Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa-apa teknologi yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada peringkat permulaannya dan selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau kualiti yang lebih baik dari sekarang.

2. Mengapakah teknologi hijau diberi penekanan dalam pentadbiran negara?

Pada 9 April lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembentukan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi menggantikan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Saya percaya penekanan terhadap “teknologi hijau” adalah pendekatan yang tepat dalam menangani masalah alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga selaras dengan agenda utama Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi prioriti kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.

Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ’hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita. Mengikut unjuran kami, menjelang tahun 2020, industri PV dapat menyumbang sebanyak 4 peratus pendapatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Kerajaan akan menyediakan dasar yang sesuai untuk mempromosikan teknologi hijau. Pihak swasta, para profesional serta penyelidik harus bekerjasama untuk mencipta dan mengkomersilkan teknologi hijau.

3. Apakah kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hijau dalam kehidupan kita sebagai orang awam?

Seperti yang telah saya katakan tadi, secara amnya, Teknologi Hijau merupakan satu teknologi yang mesra alam dan merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan antara lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa kini ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan, kenaikan paras dan suhu air laut, kepupusan spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.

Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap tenaga, penggunaan kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air merupakan antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan pada sebahagian daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan dapat menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita juga harus sedar bahawa pilihan-pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan datang. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar mula mendekati amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap tenaga, mengamalkan penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.

4. Boleh Y.Bhg Dato’ berikan sedikit saranan dan harapan Datuk kepada masyarakat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengutamakan teknologi hijau?

Usaha Kerajaan untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah aspek inovasi, iaitu usaha mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks. Produk mudah yang mesra alam serta praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar digalakkan dari peringkat sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para penyelidik kita boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa membazir sumber-sumber seperti tenaga dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan eksport.

Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses kerja atau amalan hidup seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.

Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.

Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

5. Adakah sebarang galakan disediakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan teknologi hijau?

Untuk bidang kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharu, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif fiskal sejak tahun 2003 bagi syarikat-syarikat yang menjana elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Diperbaharu atau Renewable Energy (RE) dan syarikat-syarikat mengamalkan aktiviti-aktiviti penjimatan tenaga Energy Efficiency (EE) dimana mereka layak diberi Pengecualian Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) dan Status Perintis (Pioneer Status).

Syarikat-syarikat ini juga boleh memohon untuk mendapatkan pengecualian duti import dan cukai jualan untuk tempoh setahun bagi mesin, peralatan, material dan alat ganti import yang digunakan secara terus dalam penjanaan tenaga elektrik daripada sumber RE dan dan aktiviti EE. Insentif-insentif ini telah ditambah baik di bawah Bajet 2009 dimana pengecualian boleh diberikan bagi:

i- duti import dan cukai jualan untuk peralatan sistem solar untuk kegunaan pihak ketiga diberi kepada pengimport termasuk penyedia perkhidmatan photovoltaic yang diluluskan oleh ST;
ii- pengecualian cukai jualan untuk pembelian peralatan sistem pemanas solar daripada pengilang tempatan;
iii- Pengecualian duti import dan cukai jualan diberi ke atas peralatan EE seperti motor cekap tenaga (high efficiency motors) dan bahan penebat (insulation material) diberi kepada pengimport termasuk agen yang diluluskan oleh ST.
iv- Pengecualian cukai jualan diberi kepada pembelian EE consumer goods yang diluluskan oleh ST seperti bahan penebat, peti sejuk domestik, Ballast untuk lampu fluorescent, kipas domestic, lampu dan penyaman udara.

6. Boleh Y.Bhg Dato’ terangkan langkah-langkah yang diambil atau contoh-contoh program yang dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat?

Kementerian telah mula menjalankan program-program kesedaran mengenai Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharu yang merupakan salah satu daripada cabang Teknologi Hijau sejak tahun 2000 lagi melalui penubuhan Centre for Education, Training and Research in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) oleh Universiti Sains Malaysia. Program-program ini disasarkan kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang awam di Malaysia. Antara program yang telah dilaksanakan oleh CETREE ialah Pameran program Kempen Penjimatan Tenaga & Alam Sekitar dan Kempen Cekap Tenaga di USM, Pertandingan Eureka, Kereta Solar dan Dapur Suria, Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi Kebangsaan dan sebagainya. Selain daripada itu, CETREE juga telah membangunkan Modul Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga Merentasi Kurikulum Sekolah Rendah di seluruh Malaysia bagi menimbulkan kesedaran murid sekolah di peringkat awal dalam Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga.

Selain itu, Kementerian juga telah melaksanakan program Energy Month peringkat Kebangsaan secara tahunan bagi meningkatkan kesedaran mengenai Tenaga Boleh Diperbaharu dan mempromosikan amalan Kecekapan Tenaga di kalangan orang awam dan sektor swasta. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa program Energy Month adalah mengadakan ceramah-ceramah berkaitan Kecekapan Tenaga, menerbitkan buku panduan Kecekapan Tenaga Di Rumah, menerbitkan siri artikel di surat khabar dan menggunakan media massa untuk menggalakkan amalan Kecekapan Tenaga.

Di masa akan datang, Kementerian akan melaksanakan kempen Teknologi Hijau yang akan melibatkan stake-holders yang berkaitan termasuk orang awam dan Kementerian/ Jabatan Kerajaan, badan bukan Kerajaan dan lain-lain agensi yang berkaitan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan semua pihak mengenai kepentingan Teknologi Hijau dalam kehidupan kita. Ini bagi memastikan program-program lain yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan dalam mempromosi dan membangunkan Teknologi Hijau tempatan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat.

Sumber: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju
Angkasa 1
Angkasa 2

angkasawan 3

Selain pertambahan infrastruktur berkaitan angkasa yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) seperti Observatori Negara Langkawi (ONL) tahun 2011, pembangunan sektor angkasa negara mengorak langkah ke hadapan dengan Dasar Angkasa Negara.
Dasar Angkasa menjadi pemangkin bagi pembangunan sektor angkasa negara masa hadapan, termasuk pembangunan sektor industri angkasa, yang mana Angkasa akan bertindak sebagai agensi penggerak utama.
Dasar itu penting sebagai memenuhi keperluan rangka kerja dan hala tuju dalam membangunkan sektor angkasa yang strategik dan penting bagi negara. Dasar ini merupakan kerangka dan garis panduan untuk memandu industri angkasa negara dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu sehingga 2020.
Dengan adanya dasar baru itu, sektor angkasa akan diiktiraf sebagai sektor baru yang strategik yang boleh menjana ekonomi baru bagi negara di samping meningkatkan keupayaan negara di dalam teknologi tinggi bagi tujuan keselamatan.
Dasar ini meliputi bidang satelit komunikasi, satelit navigasi, remote sensing (penderiaan jauh atau pencerapan bumi), undang-undang angkasa, sumber manusia, pendidikan dan kesedaran awam, penyelidikan dan pembangunan (R&D), industri angkasa dan teknologi angkasa.
Dengan adanya dasar angkasa itu, pembangunan sektor angkasa akan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti hiliran seperti aplikasi bagi satelit telekomunikasi, satelit navigasi dan satelit atau remote sensing, yang dijangka menjadi industri penting bagi penjanaan ekonomi baru negara. Sebagai contoh, penggunaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) begitu meluas kerana ada pihak yang bersedia menjualnya secara komersial untuk pengguna.
Jawatankuasa Angkasa Negara (Jangka) itu dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili. Ia turut dianggotai oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komuniti (KPPK), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
Turut terlibat ialah Kementerian Luar, Kementerian Pelajaran (KPM), Kementerian Kewangan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Jabatan Penerbangan Awam dan wakil Industri – Aeronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), dan MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd.
Jangka yang akan membincang dan mencadangkan program berkaitan angkasa bagi negara akan melaporkan kepada hasil perbincangan kepada Majlis Aeroangkasa Malaysia ( MAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Akta Angkasa untuk mengawal selia aktiviti dan operasi berkaitan sektor angkasa seperti pelancaran dan pengoperasian satelit, pendaftaran objek yang dilancarkan ke angkasa lepas, pengoperasian stesen Bumi dan aktiviti lain yang berkaitan juga digubal. Setiap pelancaran dan pengoperasian satelit yang dimiliki oleh rakyat ataupun syarikat Malaysia perlu diberi lesen dan Angkasa bertanggungjawab pengeluaran lesen pada masa akan datang selepas akta tersebut diwartakan.Ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merupakan badan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk kebenaran menggunakan julat frekuensi gelombang sahaja.
Dalam pada itu, program kesedaran dan pendidikan juga terus dilaksanakan untuk pelbagai peringkat lapisan kumpulan sasar termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar universiti.

Pelantikan YDPN Sarawak

28-2-2014

Tuanku Abdul Halim berkenan menyampaikan surat cara pelantikan kepada Abdul Taib di Istana Negara

Tuanku Abdul Halim berkenan menyampaikan surat cara pelantikan kepada Abdul Taib di Istana Negara


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara di sini.

Istiadat itu, yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak yang baharu Tan Sri Adenan Satem.
Selepas hampir 33 tahun menabur jasa sebagai Ketua Menteri, Taib secara rasmi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang tamat perkhidmatan semalam.

Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak keempat pada 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Ya’akub.

Adenan angkat sumpah

Di Petra Jaya, Menteri Tugas Tugas Khas, Tan Sri Adenan Satem semalam turut mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Abang Muhammad Salahuddin dalam majlis penuh istiadat di Astana Negeri.

Adenan yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70 bulan lalu, mengangkat sumpah jawatan baharunya tepat jam 9.40 pagi berikutan persaraan Abdul Taib, 78, yang menyandang jawatan itu selama 33 tahun, berkuatkuasa semalam.

Kecuali Abdul Taib, majlis penuh bersejarah disaksikan semua menteri Kabinet Sarawak dan pegawai kanan kerajaan negeri, termasuk Setiauaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abd Ghani.

Sejurus tamat majlis angkat sumpah jawatan Ketua Menteri, majlis istiadat perpisahan Abang Muhammad Salahuddin, 92, yang secara rasmi menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke-6 semalam, turut diadakan di pekarangan Astana Negeri.

Anugerah Merdeka 2013

6-02-2014
Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama membuat komitmen demi pembangunan negara secara berterusan dengan mengetepikan perbezaan dan sebaliknya melihat kepada apa yang dikongsikan mereka.

Perdana Menteri meminta seluruh rakyat untuk bekerjasama dengan saling menghormati dan bertanggungjawab dan memberi tumpuan kepada matlamat yang sama. Apabila kita melihat melangkaui status negara maju, kita perlu memberi tumpuan tenaga kita bagi membina sumber bakat yang lestari, bagi mereka yang akan membawa ke hadapan momentum yang bermula lima dekad yang lalu di Dataran Merdeka

Najib berkata demikian dalam ucapan beliau yang bertemakan ‘Sumbangan Kepada Negara’ pada majlis penyampaian Anugerah Merdeka 2013 kepada lima penerima di sini.
merdeka award 2013
Tan Sri Arsyad Ayub dan Raja Tan Sri Muhammad Alias adalah penerima bersama di bawah kategori Pendidikan dan Komuniti, Dr Lim Boo Liat (Alam Sekitar), Tan Sri Dr Yahya Awang (Sains dan Teknologi) dan Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit (Pencapaian Cemerlang Akademik). –

Ahli Dewan Undangan Negeri: perletakan jawatan

Dipetik daripada Bernama 27-1-2014

Wakil Rakyat PKR Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kajang.

Surat peletakan jawatannya dihantar kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh Tseow Suan di pejabatnya Isnin

Yeoh dalam sidang media di sini berkata beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara bertulis mengenai peletakan jawatan Lee, 43, pagi esok.

Beliau berkata mengikut Perkara 68 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, seseorang anggota Dewan Undangan Negeri boleh meletakkan jawatan sebagai ahli Dewan dengan menulis surat yang ditandatanganinya dan ditujukan kepada Speaker.

“Selaras dengan Fasal 5 Perkara 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku. Dengan ini saya mengisytiharkan kerusi N25 Kajang telah dikosongkan pada hari ini,” katanya.

Ditanya mengenai alasan peletakan jawatan itu, beliau berkata: “Anda perlu bertanya kepada beliau. Saya tidak mahu bercakap bagi pihak dirinya. Peranan saya ialah memberitahu anda yang saya telah menerima surat peletakan jawatan itu dan kekosongan perlu diisi dalam tempoh 60 hari”.

PM Dato Sri Najib: Berikrar Minimumkan Kesan Kenaikan Kos Sara Hidup Pada Tahun Baharu 2014

Penyataan PM Dato Sri Najib melalui blog beliau: Berikrar Minimumkan Kesan Kenaikan Kos Sara Hidup Pada Tahun Baharu 2014
Kerajaan akan menambah baik program-program kerajaan supaya kesan terhadap pendapatan isi rumah tidak terlalu ketara.

Kerajaan akan melaksanakan beberapa mekanisme untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan tarif elektrik dan bayaran tol dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) akan mengemukakan idea baharu untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Setelah mengumumkan 11 langkah untuk mengurangkan perbelanjaan sektor awam, kerajaan akan cuba memastikan kadar kenaikan adalah adil.

Sebagai contoh, kenaikan harga petrol dan tarif elektrik akan memberi kesan kepada kuasa membeli rakyat, namun, walaupun ada peningkatan, kerajaan masih memberi subsidi petrol dan bil elektrik.

Mengenai cadangan kenaikan cukai taksiran di Kuala Lumpur, setelah mendengar keluhan rakyat, kadar cukai dikurangkan sehingga dua peratus dan rebat tambahan diberi kepada pemilik hartanah yang tidak berkeupayaan, pesara serta pemilik-penghuni. Kerajaan tidak akan melaksanakan kenaikan kos tanpa memberi bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

Seramai 7.9 juta isi rumah yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan, layak memohon BR1M baharu (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Kerajaan juga akan membuka Kedai-Kedai 1Malaysia baharu untuk membantu mengurangkan kenaikan harga barangan harian serta Klinik 1Malaysia baharu untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan pada kos berpatutan.

Pada tahun 2014, kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM42 bilion untuk subsidi – hampir sama dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pembangunan.

Mengenai langkah merasionalkan subsidi, kerajaan memperkenalkan langkah pemotongan kos untuk mengurangkan perbelanjaan.

Kerajaan juga mengulangi komitmen untuk menangani rasuah, mengurangkan pembaziran kerajaan dan meningkatkan perolehan; meletakkan semua tender kerajaan di atas talian agar ia menjadi lebih telus, dan berusaha untuk lebih merealisasi nilai aset kerajaan.

Perdana Menteri bertekad untuk melakukan perkara yang tepat untuk negara dan rakyat kerana hanya dengan bertindak secara bertanggungjawab mulai sekarang, kerajaan akan dapat mengukuhkan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang agar manfaatnya dapat dirasai dengan lebih meluas.

Dengan merasionalisasikan subsidi, negara akan dapat mengukuhkan kedudukan fiskalnya serta membolehkan kerajaan memberi fokus terhadap perbelanjaan bagi projek pembangunan, termasuk kesihatan dan pendidikan, di samping bergerak ke arah mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020.

Dengan mengambil langkah yang diperlukan untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih kukuh, Kerajaan bukan sahaja melindungi negara daripada krisis kewangan, tetapi juga mewujudkan peluang dan pekerjaan baharu.

Banyak pihak akan lebih cenderung untuk melabur dalam syarikat-syarikat Malaysia, membina kilang-kilang di Malaysia dan memulakan perniagaan-perniagaan baharu. Ini seterusnya akan memacu pembangunan ekonomi, membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang.

Najib berkata apabila bermulanya tahun 2014, kerajaan perlu terus membina asas bagi kejayaan berterusan Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi lebih kukuh dan sebuah negara lebih bersatu-padu.

Untuk menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, kadangkala kerajaan perlu mengambil keputusan sukar, lagi tidak popular. Kepimpinan bermaksud melihat sesuatu dalam jangka masa panjang, melakukan apa yang betul dan bukan apa yang popular.

Kerajaan tidak akan mempersetujui sebarang pemotongan subsidi atau kenaikan kadar dengan sewenang-wenangnya kerana program subsidi telah memberi banyak manfaat kepada rakyat sejak sekian lama. Tetapi, seiring dengan pertumbuhan populasi dan pembangunan negara, program subsidi tidak lagi mapan dan kini, tiba masanya untuk kita melangkah ke hadapan.

Kerajaan perlu merasionalkan subsidi dan menyasarkan pemberian kepada golongan yang benar-benar memerlukannya. Komitmen kerajaan terhadap perbelanjaan pembangunan juga telah berkembang, dan kerajaan perlu mengurus kedudukan fiskal untuk menjamin kestabilan ekonomi negara.

Krisis kewangan baru-baru ini menunjukkan betapa seriusnya kesan dan akibatnya kepada negara yang kewangan mereka tidak dibina berdasarkan asas yang kukuh dan apabila pelabur serta agensi mendapati negara berkenaan tidak mampu membayar hutang mereka, kos pinjaman akan naik mendadak sehingga berada di luar kawalan.

Tanpa wujudnya akses kepada kredit, sesebuah negara dan rakyatnya akan menanggung implikasi besar. Sebagai contohnya lebih separuh daripada golongan muda di beberapa negara Eropah kini tidak mempunyai pekerjaan.

Di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN), Malaysia telah berkembang dengan pesat; pendapatan per kapita meningkat sehingga 49 peratus dalam tempoh empat tahun lepas. Kerajaan terpaksa mengambil keputusan yang sukar agar kos pinjaman kekal rendah dan keyakinan pelabur terus kukuh. Kedua-dua faktor ini genting untuk memastikan ekonomi Malaysia terus kukuh dan berkembang.

Rakyat harus menerima hakikat bahawa kita perlu melaksanakan perubahan demi memastikan kewangan kita kekal terkawal.

Malaysia perlu meneguhkan lagi komitmennya terhadap kewujudan bersama secara aman dan perlu berusaha lebih aktif untuk mengukuhkan perpaduan kerana kestabilan dan kemajuan negara bergantung padanya. Malaysia sudah cukup matang untuk mengharungi debat-debat yang getir. Perpecahan antara kita akan berakhir dengan masa, di mana kita boleh sama-sama melihat negara kita terus membangun dan menjadi dewasa, kita juga akan melihat bahawa mereka yang tidak sependapat dengan kita kekal menjadi jiran-jiran, rakan-rakan sekerja dan sahabat-sahabat kita.

Sebab itulah, Majlis Perundingan Perpaduan Negara diwujudkan. Majlis ini akan melaporkan kepada Jemaah Menteri segala cadangan yang boleh dilakukan untuk merapatkan lagi rakyat Malaysia. Keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan wujudnya keamanan, kestabilan dan kemajuan berterusan kerana masa depan negara bergantung pada faktor-faktor ini.

Membina semula perpaduan negara dan menggalakkan debat umum yang berlandaskan rasa hormat, menjadi sebahagian besar daripada rancangan ini.

Najib percaya 2014 akan membawa lebih banyak peluang, manakala ekonomi Malaysia, yang telah mengharungi ribut krisis kewangan dunia, diramal berkembang sebanyak 5.5 peratus.
Dengan pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia, akan menyaksikan usaha lebih bersepadu untuk menarik pelancong-pelancong asing ke negara kita yang indah ini. Perniagaan baharu akan dibuka dan pelaburan baharu akan direalisasikan.

Namun, di sebalik angka-angka ini, kerajaan sedar bahawa ada ramai yang bimbang tentang 2014, bimbang dalam usaha kami untuk mengimbangi belanjawan negara, belanjawan isi rumah akan menghadapi tekanan.

Kerajaan faham dan bersimpati dengan kebimbangan ini. Rakyat yang rajin bekerja akan merasakan kesan kenaikan kos. Dan ketika media kita dipenuhi angka-angka defisit dan peningkatan harga, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa 2014 hanya bakal membawa keperitan semata.

11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Jan 2014.

Tindakan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun 2014. Keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
11 langkah jimat belanja
1. Kerajaan akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

2. Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred Jusa juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus.

3. Kerajaan meminda kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam iaitu kelayakan penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

4. Kerajaan mengurangkan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
5. Membekukan permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.

6. Mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada bagi mengurangkan sewaan premis pejabat.

7. Mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
8. Cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

9. Kerajaan mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau ‘event management’ serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

10. Kerajaan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman serta mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

11. Kerajaan mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel.

Ancaman Terhadap Keselamatan dan Kedaulatan Negara

Dipetik dan disesuaikan daripada Bernama 15-11-2013

Pulau Pom Pom di Sipadan, Sabah

Pulau Pom Pom di Sipadan, Sabah


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan laporan kejadian culik dan bunuh membabitkan dua pelancong China, dipercayai suami isteri, di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah awal pagi ini.

Polis sedang giat memburu kumpulan lelaki bersenjata yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu. Kejadian melibatkan seorang pelancong lelaki warga China yang ditembak mati, manakala seorang lagi pelancong wanita yang kita percayai isteri mangsa telah dilarikan oleh kumpulan lelaki berkenaan. Kedua-dua mangsa menginap di resort di pulau berkenaan bermula Selasa lepas dan dijangka mendaftar keluar Rabu depan.

Dipetik dan disesuaikan daripada Bernama 19-11-2013

Pasukan keselamatan mengawal resort pelancongan

Pasukan keselamatan mengawal resort pelancongan

pom 3
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta pihak media tidak mendedahkan identiti mangsa culik warga Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah pada Jumaat lepas demi keselamatan mangsa. Setiap laporan yang mendedahkan identiti mangsa boleh mengancam nyawanya kerana mangsa diculik pengganas dari Selatan Filipina yang terkenal dengan kekejamannya. Justeru, media tempatan perlu mengutamakan keselamatan mangsa dalam membuat laporan berita.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, pelancong lelaki berusia 57 tahun terbabit ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan, sementara rakan wanitanya yang berusia 58 tahun hilang, dipercayai diculik oleh sekumpulan pengganas lelaki yang menggunakan senjata berat dari Selatan Filipina.

Polis menjalin kerjasama erat dengan Polis Filipina dan Aseanapol untuk membebaskan mangsa culik itu.

IPSOM dizahirkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 20 Mei lepas dan ia adalah sebuah institusi yang berfungsi memberikan cadangan kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri melalui kajian-kajian berkaitan keselamatan awam.

Katanya, IPSOM dipengerusikan Ahmad Zahid dan terdapat empat pusat utama dalam institusi itu yang diketuai seorang pengarah iaitu Pusat Penyelidikan Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Pusat Strategi Lautan Biru Kebangsaan, Pusat Latihan dan Pembangunan Modal Insan dan Unit Pentadbiran dan Kewangan

Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global(GMM)

Yayasan Pergerakan Kesederhaan Global (GMM) akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi pihak berkepentingannya pada 7 Nov sempena meraikan Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2013 yang jatuh pada 24 Okt.

Persidangan meja bulat bertemakan ‘Towards a Common Agenda for peace and Prosperity’ mencerminkan semangat PBB dengan pelbagai pihak di peringkat global, bekerjasama ke arah tujuan serupa untuk memastikan keamanan dan kestabilan.

“Pihak berkepentingan GMM boleh menyumbang ke arah pembentukan agenda serupa yang berpusat pada prinsip dan nilai kesederhanaan bagi keamanan dan kemakmuran,” menurut Pengerusi GMM Tan Sri Razali Ismail dalam kenyataan, Rabu.

Persidangan meja bulat itu dijangka menghimpunkan 200 peserta terdiri daripada tiga kategori pihak berkepentingan – wanita dan belia, media dan masyarakat sivil.

Persidangan meja bulat itu juga diadakan sebagai tindak balas kepada ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung PBB ke-68 di New York.

Najib antara lain memperbaharui seruannya yang dibuat tiga tahun lalu kepada semua negara untuk bersatu dan menolak trend ke arah keganasan yang merugikan.

Bertemakan ‘Partnerships for Global Progress’ sambutan Hari PBB bertujuan mengiktiraf dan menghormati kerjasama yang amat bernilai antara kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan rakyat.