Membawa Warga Malaysia Menyertai Jejak Inovasi

20 Oct 2011
“Inovasi membezakan antara seorang pemimpin dan pengikut,” demikian yang pernah diucapkan oleh mendiang Steve Jobs, antara inovator yang disegani dunia sehingga kini, yang juga pengasas Apple Inc.

Persidangan sehari anjuran Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) bertema “Melampaui Inovasi: Mengubah Idea kepada Tindakan” telah diadakan.

Cara-cara mewujudkan minda inovatif dan bagaimana untuk berada ke hadapan dalam dunia innovasi telah dikupas dalam persidangan ini. Persidangan ini menampilkan para penceramah yang tidak asing dengan subjek ini termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang meletakkan asas bagi sebuah negara inovatif semasa kepimpinannya selama 22 tahun serta eksekutif syarikat yang menerajui inovasi – antaranya Google Malaysia, Nestle (Malaysia) Berhad, GE Malaysia dan Microsoft Malaysia.

Inovasi adalah ciri semulajadi sebuah masyarakat dan negara yang dinamik, dan bagi Malaysia untuk muncul dengan inovator ‘blockbuster’ seperti Jobs dan Bill Gates dari Microsoft, kesedaran dan penerapan budaya inovasi menjadi antara pra-syarat.

Rakyat Malaysia perlu mengetahui bahawa kreativiti dan inovasi adalah fenomena budaya yang tidak boleh diketepikan.

Ketangkasan, satu tujuan, stamina dan disiplin yang ditunjukkan oleh para inovator blockbuster ini sesuatu yang warga Malaysia harus ambil perhatian.

MENCABAR STATUS QUO

Dr Mahathir membuka bicara dengan menekankan kepada pemikiran inovatif daripada segala segi kehidupan yang adalah cara terbaik untuk melangkah ke hadapan dan beliau kritikal terhadap rakyat Malaysia yang mahu kekal di zon selesa masing-masing.

Beliau berfikiran jauh ke hadapan apabila mengilhamkan Koridor Raya Multimedia (MSC), Cyberjaya dan projek kereta nasional Proton yang sebenarnya menempatkan negara di jejak inovasi.

“Anda perlu bertanya akan segala yang anda buat dan lihat sama ada ia boleh dibuat mengikut cara lain yang boleh membuahkan hasil yang lebih baik,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjelaskan juga bagaimana sebuah pentadbiran inovatif yang keluar daripada kepompong undang-undang serta dasar-dasar yang lapuk mampu membawa perubahan ketara dan mempercepatkan pembangunan sesebuah negara.

Beliau berkata Malaysia perlu mencontohi Korea Selatan, yang kini berada jauh di hadapan daripada segi inovasi.

INOVATOR MALAYSIA

Walaupun belum lagi ada mereka seperti Steve Jobs dan Bill Gates di Malaysia, ini tidak bermakna negara ketandusan inovator ataupun inovasi.

Warga Malaysia sudahpun sedia maklum akan inovator tempatan seperti Tan Sri Tony Fernandez dari AirAsia tetapi terdapat ramai lagi mereka di luar sana yang masih belum menerima pengiktirafan.

Bagaimanapun, pengiktirafan bagi inovator tidak datang dengan mudah walaupun penekanan meluas diberikan terhadap inovasi seperti yang ditunjukkan oleh seorang peserta persidangan yang bertanya mengapa jurutera rekabentuk, yang lazimnya berada di barisan hadapan inovasi, mendapati sukar untuk mendapatkan pekerjaan selepas pulang dari luar negara.

Untuk ini, Dr Mahathir berkata inovator perlu rajin dalam mencari ceruk yang sesuai untuk mereka di samping mewujudkan platform sendiri di sebalik bergantung kepada yang lain .

“Minda-minda inovatif pastinya tidak menghadapi kesukaran dalam mencari jalan dan mereka sendiri yang perlu merintis jalan”, kata beliau.

SYARIKAT-SYARIKAT INOVASI

Bercakap mengenai syarikat inovatif, inovasi adalah ciri semulajadi mereka yang membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup. Dalam pasaran global yang menyaksikan citarasa pelanggan dan permintaan pasaran berubah dengan cepat, inovasi yang menentukan kelangsungan hidup syarikat-syarikat.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mementingkan inovasi terutama apabila ia membabitkan pelaburan modal.

Bagi syarikat-syarikat, contohnya Google, seperti yang dijelaskan oleh ketua wilayahnya Sajith Sivanandan, inovasi menjadi sebahagian daripada DNA syarikat itu dan inilah yang membolehkannya berada di hadapan persaingan.

Malaysia bernasib baik kerana mempunyai syarikat-syarikat inovatif sendiri seperti yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir, termasuk pengeluar kereta nasional Proton.

Dr Mahathir, selaku penasihat Proton, juga menjelaskan bagaimana Proton menyahut cabaran untuk muncul dengan kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik – Range Extended Electric Vehicle (REEV).

“Proton tidak mengeluarkan hibrid konvensional seperti yang dilakukan oleh banyak pesaing-pesaingnya. Ia muncul dengan versinya sendiri yang mempunyai janakuasa bahan api yang mengecas semula bateri”.

Ini adalah contoh baik produk yang berdasarkan teknologi inovatif.

USAHA MENJANA LEBIH RAMAI INOVATOR

Memandangkan inovasi adalah kunci bagi kemajuan Malaysia, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah sejak dua dekad yang lepas termasuk mewujudkan Agensi Inovasi Malaysia yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

Belanjawan 2012 yang dianggap sebagai Belanjawan Inovasi memperuntukan RM100 juta bagi kreativiti dan inovasi, yang daripada jumlah itu RM30 juta akan digunakan untuk mewujudkan ‘Market Validation Fund’ yang akan diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia bersama Agensi Inovasi Malaysia.

Satu lagi inisiatif ialah untuk meneruskan dengan program Jejak Inovasi (Innovation Trail) yang diusahakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk menggalakkan pembangunan idea-idea baru serta pengkomersilan produk-produk inovatif, khasnya dari kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, seperti yang ditekankan oleh Dr Mahathir dan penceramah lain, sementara kerajaan menerajui usaha menggalakkan inovasi, masyarakat dan perniagaan perlu menerimanya secara terbuka dan menyeluruh.

Leave a comment