Category Archives: KARANGAN TAJUK SAINS DAN TEKNOLOGI

Teknologi Hijau

Teknologi Hijau

Definisi

Teknologi Hijau merujuk pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau merujuk produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut:
? Ia meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan;
? Menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan
? Menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Empat Tunggak Dasar Teknologi Hijau Negara
• Tenaga – Mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
• Alam sekitar – Memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
• Ekonomi – Meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi; dan
• Sosial – Meningkatkan kualiti hidup untuk semua.

Objektif

• Untuk mengurangkan kadar peningkatan penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi;
• Untuk membantu pertumbuhan dalam industri Teknologi Hijau dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negara;
• Untuk meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan Teknologi Hijau dan meningkatkan daya saing dalam Teknologi Hijau di persana antarabangsa;
• Untuk memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang; dan
• Untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap Teknologi Hijau dan menggalakkan penggunaan meluas Teknologi Hijau.

Sektor Utama

Kemajuan yang signifikan dan peningkatan utama dalam empat sektor utama yang berikut:

i) Sektor Tenaga
• Sektor Bekalan Tenaga: Aplikasi Teknologi Hijau dalam penjanaan tenaga dan pengurusan bekalan tenaga, termasuk penjanaan bersama (co-generation) di sektor industri dan komersial; dan
• Sektor Penggunaan Tenaga Aplikasi Teknologi Hijau dalam semua sektor penggunaan tenaga dan dalam program pengurusan permintaan tenaga.

ii) Sektor Bangunan: Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pembinaan, pengurusan, pemuliharaan dan pemusnahan bangunan

iii) Sektor Air dan Pengurusan Sisa
• Menerima pakai Teknologi Hijau dalam pengurusan dan penggunaan sumber air, rawatan kumbahan, sisa pepejal dan kawasan pelupusan sampah; dan

iv) Sektor Pengangkutan
• Memasukkan elemen Teknologi Hijau dalam prasarana pengangkutan dan kenderaan, khususnya biobahan api dan pengangkutan jalan awam.
Matlamat

i. Matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia ke-10)
• Kesedaran masyarakat yang lebih tinggi melalui program-program sokongan dan komitmen untuk penerimaan dan penerapan Teknologi Hijau;
• Ketersediaan dan pengiktirafan meluas Teknologi Hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran tempatan melalui piawaian, perkadaran, pelabelan;
• Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Teknologi Hijau; dan
• Institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai Teknologi Hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai.

ii. Matlamat Jangka Sederhana (Rancangan Malaysia ke-11)
• Teknologi Hijau menjadi pilihan utama dalam memilih produk dan perkhidmatan;
• Teknologi Hijau mempunyai pasaran tempatan yang lebih besar berbanding dengan teknologi lain, dan menyumbang kepada penerimaan Teknologi Hijau dalam pasaran serantau;
• Peningkatan pengeluaran produk Teknologi Hijau tempatan;
• Peningkatan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi Teknologi Hijau oleh universiti tempatan dan institusi penyelidikan yang dikomersialkan melalui kerjasama dengan industri tempatan dan syarikat multinasional;
• Peningkatan perniagaan SME dan SMI tempatan dalam Teknologi Hijau ke pasaran global; dan
• Peningkatan aplikasi Teknologi Hijau dalam kebanyakan sektor ekonomi.

iii. Matlamat Jangka Panjang (Rancangan Malaysia Ke-12 dan Tempoh Seterusnya)
• Penerapan Teknologi Hijau dalam budaya Malaysia;
• Penggunaan meluas Teknologi Hijau mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan, di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara;
• Mengurangkan signifikan dalam penggunaan tenaga negara;
• Membaiki kedudukan Malaysia dalam peningkatan persekitaran;
• Malaysia menjadi pengeluar utama Teknologi Hijau dalam pasaran global; dan
• Peningkatan kerjasama peringkat antarabangsa dengan universiti tempatan dan institusi penyelidikan dengan industri Teknologi Hijau.

Risiko nanoteknologi boleh diluaskan kepada tiga bahagian:
• risiko kepada kesihatan dan persekitaran yang berpunca daripada zarah dan jirim nano
• risiko yang disebabkan oleh pengilangan atau penghasilan molekul (atau teknologi nano lain)
• risiko yang datangnya daripada masyarakat sendiri.

Teras Strategik

i) Teras Strategik 1

Mengukuhkan kerangka institusi

Dalam memupuk penerimaan dan pembangunan Teknologi Hijau, penyusunan institusi yang kukuh adalah kritikal untuk mempromosikan aplikasi Teknologi Hijau melalui:

Penubuhan Majlis Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri untuk menyelaraskan peringkat tinggi antara Kementerian, agensi, sektor swasta dan pihak berkepentingan utama untuk melaksanakan Teknologi Hijau yang efektif;
Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri;
Penubuhan Agensi Teknologi Hijau Malaysia untuk menyelaraskan dan melaksanakan usaha dan program Teknologi Hijau yang efektif;
Pengenalan dan penguatkuasaan mekanisme perundangan untuk mempercepat pembangunan Teknologi Hijau, selaras dengan objektif dan matlamatnya; dan
Peyelarasan fungsi setiap institusi supaya semua agensi mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing.

ii) Teras Strategik 2

Menyediakan Persekitaran Pembangunan Teknologi Hijau yang Kondusif

Pembangunan industri Teknologi Hijau, sama ada dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan, adalah kritikal bagi memenuhi objektif Dasar Teknologi Hijau. Industri ini menyediakan Teknologi Hijau bagi pasaran setempat dan global, menyediakan peluang pekerjaan, dan meningkatkan ekonomi Negara. Ini boleh dicapai melalui:

Pengenalan dan pelaksanaan instrumen ekonomi yang inovatif dengan disokong oleh langkah-langkah kewangan dan fiskal bagi menbantu peningkatan pertumbuhan Teknologi Hijau selaras dengan objektif dan matlamatnya;
Memperkukuh pemahaman masyarakat tempatan terhadap industri Teknologi Hijau dan rantaian nilai termasuk industri sokongan melalui pelbagai program peningkatan industri;
Mempromosikan pelaburan langsung asing (FDIs) terhadap Teknologi Hijau yang membantu perkembangan pelaburan langsung tempatan (DDIs) serta penglibatan dan pembangunan industri tempatan;
Menubuhkan hab Teknologi Hijau yeng straregik di seluruh Malaysia, yang dikembangkan daripada rantaian nilai utama kepada industri utama; dan
Menubuhkan mekanisme pembiayaan untuk Teknologi Hijau.

iii) Teras Strategik 3

Memperkukuh Pembangunan

Modal Insan dalam Teknologi Hijau

Sumber manusia yang mahir, berkelayakan, cekap dan produktif sangat penting untuk pembangunan Teknologi Hijau. Ini boleh dicapai melalui;

Reka bentuk dan pengukuhan program latihan dan pendidikan bagi meningkatkan kapasiti sumber manusia yang berkaitan dengan Teknologi Hijau;

Bantuan kewangan dan biasiswa untuk pelajar yang mengikuti jurusan Teknologi Hijau di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan pasca ijazah;
Program melatih semula dan skim pelapis untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia yang separa terlatih bagi memenuhi keperluan industri Teknologi Hijau;
Penyediaan mekanisme penggredan dan pensijilan bagi pekerja yang cekap dalam bidang Teknologi Hijau; dan
Pengekploitasian program brain gain bagi mengukuhkan kepakaran tempatan dalam sektor Teknologi Hijau.

iv) Teras Strategik 4
Penggiatan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Hijau
Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi dan Pengkomersialan (RDIC) amat penting dalam penghasilan teknologi baru, teknik dan implikasi yang dapat mengurangkan kos Teknologi Hijau dan mempromosikan penggunaannya. Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (RDI) akan ditingkatkan melalui:

Dana kewangan atau bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam RDIC;
Keperluan Teknologi Hijau pada masa hadapan;
Penubuhan badan penyelaras yang efektif untuk RDI dan pusat kecemerlangan atau institut penyelidikan yang baru untuk perkembangan Teknologi Hijau;
Perkongsian pintar antara kerajaan, industri, dan pusat penyelidikan;dan,
Penubuhan rangkaian yang kukuh dengan institusi penyelidikan tempatan dan serantau dan pusat kecemerlangan antarabangsa dalam RDI Teknologi Hijau.

v) Teras Strategik 5

Promosi dan Kesedaran Awam

Promosi yang efektif dan kesedaran awam merupakan dua faktor utama yang mempengaruhi kejayaan pembangunan Teknologi Hijau. Hal ini penting kerana perkara tersebut memerlukan perubahan pemikiran masyarakat melalui pelbagai pendekatan termasuklah:

Promosi berterusan yang efektif, pendidikan dan penyebaran maklumat melalui program yang komprehensif untuk meningkatkan kesedaran awam dalam Teknologi Hijau;
Penglibatan media, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan yang efektif untuk mempromosikan Teknologi Hijau;
Memupuk budaya menghayati Teknologi Hijau dalam kalangan pelajar pada setiap peringkat melalui pembangunan sistem sukatan pelajaran yang efektif;
Program demonstrasi secara efektif dalam implikasi Teknologi Hijau; dan
Menerima pakai Teknologi Hijau dalam semua kemudahan kerajaan dan entiti yang berhubung dengan kerajaan

Lima langkah strategik jayakan Dasar Teknologi Hijau Negara

BANGI: Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan lima langkah strategik bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara.

Perdana Menteri berkata, langkah pertama adalah mengukuhkan rangka kerja institusi terutama di kalangan Menteri manakala langkah kedua mensasarkan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi Pembangunan Teknologi Hijau.

Katanya, langkah ketiga pula akan menggiatkan lagi pembangunan modal insan menerusi pemberian latihan dan program pendidikan.

“Langkah keempat adalah akan menggalakkan penyelidikan dan inovasi Tekologi Hijau menerusi pengkomersialan.

“Langkah terakhir adalah memantapkan usaha mempromosi dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap Teknologi Hijau,” katanya berucap melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian

Temubual Galeri@1, RTM 1
Y. Bhg. Dato’ Dr Halim Bin Man
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

1. Apakah maksud ‘teknologi hijau’?

Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia. Teknologi Hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian, apa-apa teknologi yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau atau digunakan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan pelepasan Gas Rumah Hijau yang tinggi perlu dikurangkan melalui kesedaran pada peringkat permulaannya dan selanjutnya melalui penguatkuasaan. Aplikasi Teknologi Hijau juga adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita perolehi sekarang atau kualiti yang lebih baik dari sekarang.

2. Mengapakah teknologi hijau diberi penekanan dalam pentadbiran negara?

Pada 9 April lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pembentukan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi menggantikan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Saya percaya penekanan terhadap “teknologi hijau” adalah pendekatan yang tepat dalam menangani masalah alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi. Ia juga selaras dengan agenda utama Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi prioriti kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.

Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ’hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita. Mengikut unjuran kami, menjelang tahun 2020, industri PV dapat menyumbang sebanyak 4 peratus pendapatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Kerajaan akan menyediakan dasar yang sesuai untuk mempromosikan teknologi hijau. Pihak swasta, para profesional serta penyelidik harus bekerjasama untuk mencipta dan mengkomersilkan teknologi hijau.

3. Apakah kepentingan aplikasi teknologi dan amalan hijau dalam kehidupan kita sebagai orang awam?

Seperti yang telah saya katakan tadi, secara amnya, Teknologi Hijau merupakan satu teknologi yang mesra alam dan merupakan teknologi yang rendah karbon bagi mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan antara lainnya fenomena perubahan cuaca dunia. Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai pada masa kini ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan, kenaikan paras dan suhu air laut, kepupusan spesis flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses ini. Oleh yang demikian, aplikasi Teknologi Hijau merupakan salah satu langkah yang diambil bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian dan pilihan yang kita buat sebagai contohnya penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.

Sehubungan itu, aplikasi teknologi dan amalan hijau seperti penggunaan alat-alat elektrik cekap tenaga, penggunaan kenderaan awam atau bahan api alternatif, penjimatan penggunaan air merupakan antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan dalam melaksanakan aktiviti harian kita. Walaupun amalan-amalan hijau bukan merupakan satu kebiasaan pada sebahagian daripada kita pada masa kini, kita perlu mengubah minda kita bagi memastikan kita masih akan dapat menikmati kehidupan yang kita nikmati pada hari ini dalam jangka masa panjang. Kita juga harus sedar bahawa pilihan-pilihan yang dibuat oleh kita pada hari ini akan menentukan masa depan yang akan dilalui oleh anak-anak kita di masa akan datang. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar mula mendekati amalan-amalan hijau yang kecil seperti mengitar semula sampah, menggunakan peralatan cekap tenaga, mengamalkan penjimatan tenaga dan air dan sebagainya.

4. Boleh Y.Bhg Dato’ berikan sedikit saranan dan harapan Datuk kepada masyarakat ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengutamakan teknologi hijau?

Usaha Kerajaan untuk menerapkan teknologi hijau perlu dilihat dari dua aspek. Pertama ialah aspek inovasi, iaitu usaha mencipta atau membangunkan teknologi hijau. Kita tidak semestinya mencipta sesuatu yang komplikated atau kompleks. Produk mudah yang mesra alam serta praktikal untuk negara kita boleh dihasilkan. Adalah penting supaya pelajar-pelajar digalakkan dari peringkat sekolah lagi untuk mencipta sesuatu. Pada peringkat yang lebih tinggi pula, para penyelidik kita boleh menghasilkan teknologi yang dapat menghasilkan sesuatu produk tanpa membazir sumber-sumber seperti tenaga dan air. Rekaan baru haruslah rekaan praktikal yang boleh dikomersilkan untuk penggunaan tempatan dan untuk tujuan eksport.

Keduanya ialah penggunaan atau aplikasi teknologi hijau sama ada dalam melaksanakan proses kerja atau amalan hidup seharian. Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.

Pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.

Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

5. Adakah sebarang galakan disediakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan teknologi hijau?

Untuk bidang kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharu, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif fiskal sejak tahun 2003 bagi syarikat-syarikat yang menjana elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Diperbaharu atau Renewable Energy (RE) dan syarikat-syarikat mengamalkan aktiviti-aktiviti penjimatan tenaga Energy Efficiency (EE) dimana mereka layak diberi Pengecualian Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) dan Status Perintis (Pioneer Status).

Syarikat-syarikat ini juga boleh memohon untuk mendapatkan pengecualian duti import dan cukai jualan untuk tempoh setahun bagi mesin, peralatan, material dan alat ganti import yang digunakan secara terus dalam penjanaan tenaga elektrik daripada sumber RE dan dan aktiviti EE. Insentif-insentif ini telah ditambah baik di bawah Bajet 2009 dimana pengecualian boleh diberikan bagi:

i- duti import dan cukai jualan untuk peralatan sistem solar untuk kegunaan pihak ketiga diberi kepada pengimport termasuk penyedia perkhidmatan photovoltaic yang diluluskan oleh ST;
ii- pengecualian cukai jualan untuk pembelian peralatan sistem pemanas solar daripada pengilang tempatan;
iii- Pengecualian duti import dan cukai jualan diberi ke atas peralatan EE seperti motor cekap tenaga (high efficiency motors) dan bahan penebat (insulation material) diberi kepada pengimport termasuk agen yang diluluskan oleh ST.
iv- Pengecualian cukai jualan diberi kepada pembelian EE consumer goods yang diluluskan oleh ST seperti bahan penebat, peti sejuk domestik, Ballast untuk lampu fluorescent, kipas domestic, lampu dan penyaman udara.

6. Boleh Y.Bhg Dato’ terangkan langkah-langkah yang diambil atau contoh-contoh program yang dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat?

Kementerian telah mula menjalankan program-program kesedaran mengenai Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharu yang merupakan salah satu daripada cabang Teknologi Hijau sejak tahun 2000 lagi melalui penubuhan Centre for Education, Training and Research in Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE) oleh Universiti Sains Malaysia. Program-program ini disasarkan kepada golongan profesional, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang awam di Malaysia. Antara program yang telah dilaksanakan oleh CETREE ialah Pameran program Kempen Penjimatan Tenaga & Alam Sekitar dan Kempen Cekap Tenaga di USM, Pertandingan Eureka, Kereta Solar dan Dapur Suria, Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi Kebangsaan dan sebagainya. Selain daripada itu, CETREE juga telah membangunkan Modul Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga Merentasi Kurikulum Sekolah Rendah di seluruh Malaysia bagi menimbulkan kesedaran murid sekolah di peringkat awal dalam Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga.

Selain itu, Kementerian juga telah melaksanakan program Energy Month peringkat Kebangsaan secara tahunan bagi meningkatkan kesedaran mengenai Tenaga Boleh Diperbaharu dan mempromosikan amalan Kecekapan Tenaga di kalangan orang awam dan sektor swasta. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa program Energy Month adalah mengadakan ceramah-ceramah berkaitan Kecekapan Tenaga, menerbitkan buku panduan Kecekapan Tenaga Di Rumah, menerbitkan siri artikel di surat khabar dan menggunakan media massa untuk menggalakkan amalan Kecekapan Tenaga.

Di masa akan datang, Kementerian akan melaksanakan kempen Teknologi Hijau yang akan melibatkan stake-holders yang berkaitan termasuk orang awam dan Kementerian/ Jabatan Kerajaan, badan bukan Kerajaan dan lain-lain agensi yang berkaitan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan semua pihak mengenai kepentingan Teknologi Hijau dalam kehidupan kita. Ini bagi memastikan program-program lain yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan dalam mempromosi dan membangunkan Teknologi Hijau tempatan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat.

Sumber: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju
Angkasa 1
Angkasa 2

angkasawan 3

Selain pertambahan infrastruktur berkaitan angkasa yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) seperti Observatori Negara Langkawi (ONL) tahun 2011, pembangunan sektor angkasa negara mengorak langkah ke hadapan dengan Dasar Angkasa Negara.
Dasar Angkasa menjadi pemangkin bagi pembangunan sektor angkasa negara masa hadapan, termasuk pembangunan sektor industri angkasa, yang mana Angkasa akan bertindak sebagai agensi penggerak utama.
Dasar itu penting sebagai memenuhi keperluan rangka kerja dan hala tuju dalam membangunkan sektor angkasa yang strategik dan penting bagi negara. Dasar ini merupakan kerangka dan garis panduan untuk memandu industri angkasa negara dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu sehingga 2020.
Dengan adanya dasar baru itu, sektor angkasa akan diiktiraf sebagai sektor baru yang strategik yang boleh menjana ekonomi baru bagi negara di samping meningkatkan keupayaan negara di dalam teknologi tinggi bagi tujuan keselamatan.
Dasar ini meliputi bidang satelit komunikasi, satelit navigasi, remote sensing (penderiaan jauh atau pencerapan bumi), undang-undang angkasa, sumber manusia, pendidikan dan kesedaran awam, penyelidikan dan pembangunan (R&D), industri angkasa dan teknologi angkasa.
Dengan adanya dasar angkasa itu, pembangunan sektor angkasa akan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti hiliran seperti aplikasi bagi satelit telekomunikasi, satelit navigasi dan satelit atau remote sensing, yang dijangka menjadi industri penting bagi penjanaan ekonomi baru negara. Sebagai contoh, penggunaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) begitu meluas kerana ada pihak yang bersedia menjualnya secara komersial untuk pengguna.
Jawatankuasa Angkasa Negara (Jangka) itu dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili. Ia turut dianggotai oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komuniti (KPPK), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
Turut terlibat ialah Kementerian Luar, Kementerian Pelajaran (KPM), Kementerian Kewangan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Jabatan Penerbangan Awam dan wakil Industri – Aeronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), dan MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd.
Jangka yang akan membincang dan mencadangkan program berkaitan angkasa bagi negara akan melaporkan kepada hasil perbincangan kepada Majlis Aeroangkasa Malaysia ( MAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Akta Angkasa untuk mengawal selia aktiviti dan operasi berkaitan sektor angkasa seperti pelancaran dan pengoperasian satelit, pendaftaran objek yang dilancarkan ke angkasa lepas, pengoperasian stesen Bumi dan aktiviti lain yang berkaitan juga digubal. Setiap pelancaran dan pengoperasian satelit yang dimiliki oleh rakyat ataupun syarikat Malaysia perlu diberi lesen dan Angkasa bertanggungjawab pengeluaran lesen pada masa akan datang selepas akta tersebut diwartakan.Ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merupakan badan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk kebenaran menggunakan julat frekuensi gelombang sahaja.
Dalam pada itu, program kesedaran dan pendidikan juga terus dilaksanakan untuk pelbagai peringkat lapisan kumpulan sasar termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar universiti.

Kebebasan Dan Hak Asasi Manusia mesti ada batasnya

Pada masa kini terdapat sesetengah kumpulan di Malaysia bangkit mempersoalkan kebebasan dan hak asasi manusia tanpa menyedari kesan kepada pembangunan negara dan rakyat keseluruhannya.

Persepsi mereka mengenai kebebasan dan hak asasi manusia telah berubah. Kalau dahulu kebebasan dimaksudkan bebas daripada cengkaman penjajah tetapi kini ia lebih kepada kebebasan mutlak dalam konteks asas hak asasi manusia. Jadi kebebasan dalam bersuara dan ekspresi, beragama, berkumpul dan seumpamanya kini dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia. Inilah antara yang menjadi cabaran negara dalam proses pembangunan negara di samping mengisi dan mengekalkan semangat kemerdekaan yang telah dicapai sejak 56 tahun yang lepas.

images 1

Anarki  di banyak negara yang tiada batasan undang-undang dan hak asasi

Anarki di banyak negara yang tiada batasan undang-undang dan hak asasi


Kebangkitan Arab Spring yang meghancurkan negara sendiri

Kebangkitan Arab Spring yang meghancurkan negara sendiri

PENGARUH BARAT

Dakyah dan ideologi yang dimainkan barat itu, kini menjadi topik di mana-mana negara dan kini menjadikan isu kebebasan sebagai isu sejagat. Masyarakat dunia termasuk di Malaysia semakin menerima norma-norma kehidupan di barat yang lebih mengutamakan hak individu dan kumpulan kecil tertentu berbanding kepentingan umum.

Kerana itu di barat, mereka tidak peduli jika segelintir individu atau kumpulan kecil memilih gaya hidup yang bercanggah dengan norma kehidupan masyarakatnya kerana mereka bebas untuk melakukan apa sahaja atas nama demokrasi. Contohnya isu hubungan seks luar nikah, perkahwinan sejenis dan seumpamanya.

Ini jugalah yang pernah diperjuangkan golongan aktivis sosial di Malaysia dalam Program Seksualiti Merdeka dua tahun lepas yang secara terbuka menuntut hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Pemikiran liberalisme dan pluralisme juga semakin menular dalam masyarakat hari ini terutama dalam isu kebebasan beragama. Bagi mereka agama menjadi satu kongkongan dan untuk menuju kemajuan caranya ialah dengan membebaskan diri daripada kongkongan agama dengan membawa prinsip semua ideologi dan fahaman dianggap setara, sama benar dan sah.

Kebebasan bersuara yang diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19 Pengistiharan Hak Asasi Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPP) turut mengundang konflik kepada masyarakat.

Penggunaan media sosial sebagai medan kebebasan bersuara hingga melangkaui sempadan terutama menyentuh nilai-nilai berkaitan budaya, agama, institusi raja jelas memberi impak yang buruk kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini. Hal ini kerana, walaupun ada golongan liberal dan terbuka untuk membicarakan soal tersebut, namun majoriti masyarakat Malaysia masih lagi teguh dengan adat dan budaya serta berpegang kepada agama.

Kebebasan di alam maya yang sukar dikawal ini jugalah menjadi ancaman pengisian kemerdekaan dan tamadun yang dibina.

HAK ASASI PERLU SEKATAN

Kemerdekaan memberi ruang sesebuah negara membina tamadun dan peradabannya. Untuk mengisi kemerdekaan, rakyat dan pemimpin harus memahami nilai kemerdekaan itu sendiri. Namun apa yang berlaku hari ini, terdapat segelintir pihak dalam masyarakat yang terlalu terikut-ikut dengan globalisasi terutama isu berkaitan hak asasi yang boleh memberi kesan baik dan buruk.

Konsep hak asasi harus difahami dengan menggunakan neraca yang tepat sekiranya kita mahu menjaga dan mengekalkan serta mengisi kemerdekaan yang ada. Ia harus menggunakan piawaian dan standard pembangunan serta perkembangannya mengikut acuan kita sendiri dan bukan mengikut peradaban lain. Walau apapun perubahan falsafah, ideologi hak asasi itu, namun tidak boleh meninggalkan perkara-perkara yang boleh menjamin dan menjaga kelangsungan peradaban dan tamadun yang dibina. Selama mana kita mahu menjaga kemerdekaan ini, selama itu jugalah adanya sekatan-sekatan tertentu terhadap hak asasi. Had ini harus diletakkan dalam budaya dan adat sopan kita seperti hormat menghormati antara satu sama lain serta menghormati agama yang menjadi ciri-ciri terpenting.

KEMATANGAN DAN JATI DIRI

Jati diri harus dibina atas warna dan cat yang kita berikan kepada demokrasi dengan mengambil keadaan diri kita sendiri. Jika mahu mengambil hak asasi dari negara lain, ia harus dilihat bagaimana ia boleh disesuaikan dengan keadaan di negara ini. British sendiri tidak pernah memaksa Malaysia menggunakan undang-undang mereka. Ketika itu British meletakkan syarat, undang-undang itu hanya diterima sekiranya ia bersesuaian dengan keadaan masyarakat di negara ini. Jelas di sini walaupun British itu penjajah, namun mereka menghormati pandangan dan keadaan masyarakat di Tanah Melayu ketika itu. Sekarang ramai yang berhujah perlu ikut arus permodenan hak asasi dengan mengikut apa yang ada di barat. Kita tanya semula… adakah ia bersesuaian dengan keadaan budaya dan masyarakat di sini?

Di sinilah perlunya kekentalan jiwa masyarakat Malaysia untuk menghadapi dan memerangi apa yang tidak sesuai kerana sedia maklum, perkembangan di luar tidak dapat dihindari kerana ia adalah lumrah alam. Kematangan dan jati diri penting kerana dapat menjaga maruah, harga diri negara dan bangsa supaya tidak mudah dipengaruhi elemen-elemen luar. Dalam peperangan memerlukan senjata sebagai benteng dan perisai. Ia boleh diumpamakan jati diri kita. Jika kita tidak mampu menyediakan perisai itu, hanya undang-undang sahaja yang boleh membantu memastikan keselamatan terus terjamin.

PENTINGNYA AGAMA

Hakikat yang terpaksa diterima, setelah 56 tahun merdeka, kita masih lagi dalam persimpangan dan tercari-cari untuk membentuk jati diri. Kekuatan agama dan bangsa sebenarnya telah menjadi asas jati diri yang dipegang sejak dulu. Bangsa Malaysia akan lemah dan lumpuh jika tidak berpegang kepada kedua-dua ini. Jika paksi ini tidak dituruti dan mahu mengambil nilai orang lain kerana tuntutan globalisasi, pasti kita tidak akan berjaya mengisi kemerdekaan itu.

Pentingnya agama kerana tidak ada agama di dunia ini mengajar ke arah keburukan dan perpecahan. Malah kejayaan Malaysia, sebagai sebuah negara yang kecil menjadi maju dan makmur seperti hari ini adalah kerana pegangan agama yang masih kukuh yang menjadi benteng keutuhan bangsa. Tempoh lebih 50 tahun merdeka, bukanlah tempoh yang terlalu panjang. Jika kita bandingkan dengan Amerika yang mencapai kemerdekaan lebih 200 tahun. Kita kini baru sampai suku atau 1/4 dan jika dibandingkan kemajuan yang kita capai kini, mungkin kita lebih cepat lagi daripada Amerika. Semuanya kerana kita mempunyai asas agama yang mengajak kita untuk hormat menghormati. Malah jika semua rakyat tidak kira agama menghayati agama masing-masing, walau 10 bangsa sekalipun hidup di dalam negara ini, kita tidak akan bersengketa. Hal ini kerana emosi dan perasaan dikawal oleh agama yang boleh meredakan persengketaan serta menifestasikan cinta dan kasih kepada negara dengan menjaga kemerdekaan yang ada.

UNDANG-UNDANG SEBAGAI PERISAI

Rakyat sesebuah negara yang masih belum matang dari segi jati diri, emosi dan pemikirannya hanya akan menggunakan sentimen apabila membangkitkan soal demokrasi, kebebasan bersuara atau hak asasi. Ini menyebabkan kadangkala kebebasan dan hak asasi disalahgunakan secara emosi hingga menimbulkan kegelisahan dan ketegangan rakyat yang boleh membawa kehancuran kepada sesebuah negara. Apabila perisai dalam kalangan rakyat masih belum kukuh, hanya sistem perundangan yang mantap sahaja dapat menjaga rakyat dan menjadi mekanisme untuk mengekalkan dan mengisi kemerdekaan.

Mengambil contoh Akta Hasutan yang diperkenalkan bagi mengekang kegiatan komunis yang mengancam keselamatan negara pada tahun 1948. Sumbangan Akta Hasutan sangat jelas bagi menjaga keharmonian kaum, agama, insitusi raja-raja yang membolehkan kita hidup dalam keadaan aman damai seperti hari ini, katanya yang berharap penelitian rapi dilakukan kerajaan sebelum menggantikannya. Setiap individu itu harus menjaga diri mereka melalui agama, nilai-nilai budaya yang ada. Namun jika rakyat tidak mampu menjaganya, maka undang-undang dan penguatkuasaan sahaja yang boleh mengekang kebebasan melampau. Janganlah bangsa Malaysia menunggu sehingga berlaku detik sukar untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat kerana cabaran berterusan terus berlaku terutama penghinaan rakyat, liberalisasi, tuntutan kesamarataan yang boleh mencabar hubungan kaum dan agama di negara ini.

Tegasnya, Malaysia masih belum mampu untuk membuang semua undang-undang yang boleh menjaga keharmonian kaum yang dikatakan menyekat hak asasi manusia. Sentimen bangsa yang ada di Malaysia berbeza dengan apa yang ada di barat. Bangsa barat sudah berkurangan nilai dari segi moral, namun kita di sini lagi kekal dan kukuh. Lantaran itu, undang-undang yang ketat perlu bagi menjadi semangat dan roh yang boleh menjaga keamanan kita di dunia dan akhirat.

Dipetik dan disesuaikan daripada BERNAMA

Jerebu Melanda Malaysia lagi akibat pembakaran hutan Indonesia

Putrajaya mengalami jerebu tebal 21-6-2013 IPU 387 mata

Putrajaya mengalami jerebu tebal 21-6-2013
IPU 387 mata

IPU 400 mata, 22 Jun 2013 Muar Johor

IPU 400 mata, 22 Jun 2013 Muar Johor


23-6-2013
Jakarta: Indonesia semalam menggunakan pesawat tentera untuk memadam api di Sumatera berpunca daripada pembakaran haram yang menyebabkan jerebu teruk di negara itu, Singapura dan Malaysia. Indonesia menggunakan dua pesawat untuk melakukan pembenihan awam semalam.

Tujuh pesawat tentera dan tiga helikopter untuk membawa bom air ke lokasi kebakaran. Sebanyak 60 titik panas dikesan di Riau, Sumatera dengan 80 peratus daripadanya berada di kawasan perladangan dan 20 peratus lagi di kawasan hutan.
Indeks pencemaran Singapura kembali ke paras bahaya dengan paras bacaan berada pada tahap 300, manakala kualiti udara di ibu negara Malaysia juga semakin merosot semalam, ketika Jakarta menerima tekanan hebat untuk memulihkan keadaan.
Pada 22 Jun 2013, indeks pencemaran Muar Johor berada pada tahap 401, paras yang boleh mengancam nyawa mereka yang sakit atau warga tua.
Bau kayu terbakar memenuhi udara dan jarak pandangan merosot, manakala bangunan dilitupi asap kelabu. Jalan raya yang biasanya sibuk, bertukar lengang, apabila penduduk mengelak keluar rumah, bertemu kawasan atau membeli belah.

Sementara itu Singapura akan mengambil tindakan keras ke atas syarikat tempatan yang didapati terbabit dengan pembakaran hutan secara haram di Indonesia, sehingga menyebabkan negara itu mengalami pencemaran paling buruk pernah direkodkan. Kerajaan Singapura tidak akan bertolak ansur dengan syarikat terbabit kerana menjejaskan keadaan di republik itu.
(disesuaikan daripada Berita Harian dan STAR, 22-6-2013)

VARIETI BAHARU PADI MR269 LEBIH BERDAYA TAHAN PENYAKIT

PM LANCAR VARIETI BAHARU PADI MR269 LEBIH BERDAYA TAHAN PENYAKIT 20-11-2012

Baka baharu padi itu dapat meningkatkan pengeluaran padi negara, dilancarkan sempena perasmian Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur & Agro Pelancongan Malaysia (MAHA International 2012) dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2012 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Varieti baharu padi MR269 merupakan varieti inbred biasa yang mempunyai ketahanan lebih baik terhadap penyakit karah daun dan perosak.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman.
Varieti MR269 merupakan baka baharu yang dibangunkan Mardi yang sesuai ditanam di pelbagai kawasan jelapang. Ia merupakan kacukan dua baka P347 dan Y1362 yang dilakukan pada musim utama 2000/2001 yang mempunyai umur matang sekitar 104 hingga 113 hari selepas tabur dan ketinggian pokok sekitar 76 hingga 88 cm.
MR269 mempunyai rintangan yang lebih baik terhadap penyakit karah daun, sederhana rintang kepada bena perang dan hawa daun bakteria serta penyakit merah virus. Purata hasil MR269 menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding MR219.
Hasil tertinggi yang dicatat MR269 adalah 9.9 tan sehektar berbanding 7.5 tan sehektar yang dicatat oleh MR219. Para petani dicadangkan menggunakan MR269 secara meluas agar pengeluaran padi dan beras negara dapat dipertingkatkan untuk mencapai sasaran tahap sara diri negara serta keperluan penggunaan dalam negara.
Sementara itu, Kilang Khusus Padi Wangi yang dibina khas untuk pengeluaran padi/beras wangi yang merupakan salah satu usaha Mardi melalui Entry Point Projek 9 (EPP9) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk mencapai sasaran pengeluaran beras wangi sebanyak 73,000 metrik tan setahun menjelang tahun 2020.

Karangan: Teknologi Hijau: Minyak BioPro dari minyak kelapa sawit

Minyak diesel BioPro yang dihasilkan daripada sisa kelapa sawit oleh sekumpulan penyelidik tempatan mempunyai potensi besar dalam menyumbangkan kepada tenaga hijau masa hadapan.
Diesel BioPro yang menepati standard wasap EURO, adalah hasil daripada penyelidikan selama 12 tahun yang dilakukan oleh sekumpulan saintis daripada Jabatan Kejuruteraan Kimia Universiti Malaya (UM). Selain menawarkan bahan api alternatif, Diesel Biopro juga mampu menyelesaikan satu masalah besar yang dihadapi industri kelapa sawit – bagaimana melupuskan sisa buangan daripada kilang pemproses minyak sawit.

SATU PENEMUAN BERPOTENSI

Minyak diesel daripada sisa kelapa sawit ini dihasilkan melalui bioproses tanpa penggunaan bahan kimia. Ia dihasilkan melalui penggunaan enzim dan proses yang melibatkan tekanan dan suhu yang rendah. Oleh itu Diesel Biopro boleh dianggap sebagai tenaga hijau lestari dan ia mampu menggantikan diesel konvensional tanpa penggunanya perlu mengubahsuai enjin kenderaan. BioPro boleh diisi terus ke dalam tangki minyak kereta, lori, traktor, bas, lokomotif, bot nelayan, janakuasa dan kilang-kilang.

Proses ini agak ringkas dan murah. Kilang perintis untuk memproses diesel jenis BioPro terdapat di Fakulti Kejuruteraan UM. Selain itu, diesel BioPro sebenarnya menawarkan satu penyelesaian yang menarik untuk pengendali kilang minyak sawit dalam melupuskan sisa kelapa sawit. Sekarang ini sisa kelapa sawit dibuang ke dalam kolam buatan manusia di ladang dan apabila ia penuh, ia akan dikambus dan kolam baru pula akan digali. Cara pelupusan ini tidak mesra alam malah boleh membawa mudarat kepada tanah di sekitar ladang.

PELBAGAI KELEBIHAN DIESEL BIOPRO

Para pengkaji ini memaparkan pelbagai kelebihan diesel BioPro. Diesel ini dikelaskan sebagai yang terbaik bila dibandingkan dengan diesel komersial yang menepati standard wasap Euro 2M dan Euro 4M. Antara kelebihan BioPro adalah ia tidak menyebabkan tembaga terhakis sedangkan persaing-pesaingnya mencatatkan ciri hakisan tembaga. Selain itu, diesel ini mencatatkan bacaan sifar bagi mendapan mikro karbon berbanding dengan diesel biasa yang menepati Euro 2M dan Euro 4M.
Kandungan asid turut diperhatikan lebih rendah bagi BioPro iaitu 0.2 mg/KOH/g sedangkan diesel lain merekodkan nilai maksimum 0.25.

SUPRA-BERSIH

Diesel BioPro ini didapati kurang mengeluarkan jelaga ketika ia melalui ujian asap dan ini satu-satunya ciri yang harus dibanggakan kerana akan membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam ertikata lain ia bahan api supra bersih. Kajian bandingan antara diesel BioPro dan diesel konvensional yang dilakukan menggunakan kenderaan Mitsubishi ‘pickup’ berusia 10 tahun menunjukkan kos untuk perjalanan sejauh 100 kilometer dengan diesel biasa ialah RM28 (USD9) manakala penggunaan BioPro menyaksikan penjimatan sebanyak RM12 (USD4) bagi jarak yang sama.

BioPro berjaya menyelesaikan masalah melupuskan sisa kilang sawit. Ternyata menguntungkan kerana minyak supra-bersih ditemui daripada sisa kilang sawit yang tidak dikehendaki lagi.

Selain itu, RPM atau putaran seminit enjin kenderaan menunjukkan RPM yang dicapai oleh BioPro adalah 500 RPM lebih rendah semasa bergerak pada kelajuan 100 kilometer sejam berbanding menggunakan diesel konvensional.

CEKAP

Sumber tenaga yang lebih cekap sentiasa menjadi pilihan malah ia terus menerus dicari dan dikaji.
Kandungannya yang 100 peratus sisa kilang sawit membezakan diesel jenis BioPro daripada Biodiesel yang mengandungi 80 peratus diesel dan 20 peratus minyak kelapa sawit. Satu lagi kelebihan BioPro adalah proses ini menghasilkan produk sampingan iaitu air dan sisa yang boleh digunakan sebagai baja. Inilah yang dipanggil inovasi mentransformasi sisa kepada kekayaan. Baja dan air ini boleh digunakan semula oleh syarikat yang terlibat dalam industri ini.

Dianggarkan jika kesemua 420 buah kilang sawit di negara ini menghantar sisa sawit mereka untuk diproses menjadi diesel BioPro, pendapatan tahunan daripada BioPro akan mencecah hampir RM40 bilion setahun. Untuk menghasilkan 25 tan diesel BioPro ini setiap hari, kilang pemprosesan sisa sawit ini memerlukan pelaburan sehingga RM12 juta. Walaupun begitu, pulangan daripada pelaburan itu dapat dinikmati dalam jangka panjang dan ia merupakan satu pelaburan yang pasti tidak sia-sia. Oleh kerana diesel ini tidak pula memerlukan pengubahsuaian pada enjin kenderaan, ini akan memudahkan proses peralihan kepada diesel jenis BioPro.

Bolehkah BioPro menggantikan diesel konvensional pada satu hari nanti? Tidak mustahil tetapi ia pasti akan mengambil masa untuk menghalusi lagi diesel BioPro dan meyakinkan pengguna dan pengeluar akan potensi diesel ini.

Fahaman teks/karangan: Kesihatan mental

Masalah keresahan melampau atau ‘Obsessive Compulsive Disorder’ (OCD) boleh memberi impak negatif yang besar terhadap mereka yang mengalaminya.
disesuaikan daripada Bernama Jan 2012

SIMPTOM, PERASAAN, GELAGAT pesakit yang menghidapi masalah obsesif kompulsif (OCD) atau perasaan was-was ekstrem.

Simptom penyakit ini ialah melakukan gerakan berulang kali ketika membersih dan memeriksa, selain daripada keterlaluan atau ekstrem dalam memikirkan aspek seksual, keganasan atau aspek keagamaan.

Pesakit kerap merasakan dirinya tidak bersih sehinggakan mengambil masa berjam-jam lamanya bila berada di bilik mandi. Pesakit akan membasuh kedua-dua tangannya dan mandi berulang kali. Bukan itu sahaja, pesakit akan jalan mengundur bila mahu keluar dari bilik mandi. Lebih teruk lagi apabila keluar dari biliknya, pesakit akan memeriksa pintu biliknya sama ada telah berkunci dengan membuka serta menutup pintu dan memusingkan tombol pintu berulang kali. Banyak kali juga dia akan berpatah balik setelah melangkah hanya beberapa meter untuk memastikan pintu itu betul-betul dikunci. Tegasnya pesakit mempunyai perasaan serta kelakuan dan gelagat yang ekstrem.
Kelakuan yang berulang kali seperti membuka dan menutup pintu sebanyak 20 kali sebelum meninggalkan bilik adalah untuk melegakan keresahan serta pemikiran yang mengatakan pintu bilik itu mungkin belum dikunci. Tetapi ini membuang masa dan mendatangkan stres yang hebat. Kesan paranoid sebegini boleh membuat individu itu psikotik. Masalah ini memberi kesan terhadap rutin hidup seharian. OCD merupakan masalah berpunca dari otak, seperti keresahan serta ketakutan melampau atau juga kombinasi kedua-duanya sekali.

PERLU BANTUAN, PEMAHAMAN

Mula-mula pesakit OCD perlu memahami isu itu. Mereka perlu tahu masalah itu merupakan perasaan yang tidak boleh dikawal seolah-olah terpaksa mereka lakukan dan tidak dapat melepaskan diri dari perasaan ini dan melakukannya. Ini semua tanpa kawalan, seperti imej dan impuls otak yang berlaku tanpa henti berulang kali.

JENIS WAS-WAS

Terdapat beberapa kategori bagi mereka yang mempunyai masalah ini. Kategori pertama ialah mereka yang takut kotor dan akan membersih tangan dan badan berulang-kali.

Kumpulan kedua rasa terpaksa memeriksa pintu, dapur gas berulang kali bagi memastikan keselamatan dan menjauhi bahaya. Ada yang rasa bersalah atau berdosa dan merasakan mereka perlu lakukan sesuatu untuk mengelak daripada didenda atau dihukum. Ada juga yang rasa obsesi dengan cara mengatur barang atas meja dan rak atau mengatur perabot dan dekorasi di dalam rumah. Ada juga yang punya kepercayaan karut tentang sesuatu nombor, warna atau corak dan aturan.

Langkah:
Terapi terbaik bagi mereka yang mengalami OCD ialah terapi ‘kognitif-tingkahlaku’.
Terdapat juga ubat bagi menghilangkan kemurungan tetapi ubat sahaja jarang sekali berkesan mengurangkan simptom masalah ini.

PENDEDAHAN, RESPONS

Pendedahan serta menghalang respons berkisar kepada sumber yang menyebabkan obsesi itu. Individu itu akan dihalang daripada melakukan aktiviti kompulsif bagi meredakan keresahannya.
Contohnya, bagi seseorang yang kompulsif dalam membasuh tangan. Beliau akan disuruh menyentuh tombol atau pemegang pintu tandas awam dan kemudian dihalang daripada membasuh tangannya. Semasa orang itu dalam keresahan, desakan untuk membasuh tangan secara ‘ritual’ (berulang kali) akan beransur hilang. Melalui cara ini, individu itu akan belajar bahawa beliau tidak perlu melakukan ritual itu dan belajar mengawal perasaan obsesif dan tingkahlaku kompulsif.

Terapi kognitif pula memberi fokus terhadap pemikiran yang bahaya dan rasa tanggungjawab besar individu berkenaan. Ia mengajar cara memberi respons yang sihat dan efektif terhadap pemikiran obsesif tanpa perlu melakukan tingkah laku kompulsif.

LANGKAH MENGATASI SIMPTOM

Pesakit disedarkan bahawa pemikiran sebegitu adalah disebabkan OCD dan katakan pada dirinya bahawa ‘ia bukan sebenarnya saya, tetapi hanya OCD’ bagi mengingatkan tingkah laku itu adalah mesej-mesej palsu dan tidak bermakna yang dihantar otak”. Pesakit harus memberi fokus terhadap perkara lain walaupun hanya beberapa minit. Pesakit perlu berkata “saya mengalami gejala OCD dan perlu melakukan sesuatu yang lain.”

BANTUAN KELUARGA

OCD boleh mengganggu hidup sosial dan keluarga mereka yang mengalaminya.
Keluarga boleh membantu dalam memahaminya serta mengelakkan konflik daripada berlaku. Ahli keluarga boleh memberi motivasi serta sokongan terhadap individu yang menghidapi OCD.

Aktiviti riadah seperti melakukan joging, jalan kaki, mendengar muzik dan melayari Internet semata-mata untuk mengelakkan diri daripada tingkah laku kompulsif dan pemikiran obsesif.

Pesakit perlu melengah-lengahkan respons, lagi lama dilengahkan, semakin hilang desakan melakukan gerak kompulsif itu.

ELAK STRES
Sesuatu yang mendatangkan stres boleh mencetuskan atau memburukkan lagi episod OCD.
Pesakit dinasihatkan mengamalkan gaya hidup tanpa stres serta aktiviti yang mendatangkan relaks selain daripada mengamalkan senaman serta pemakanan yang secukupnya. Masa tidur dan rehat harus secukupnya, di samping menjauhi rokok, nikotin dan alkohol.

ELAK DARIPADA BERSENDIRIAN
Pesakit jangan bersendirian dalam mengalami masalah itu. Mereka perlu meminta bantuan, bercerita masalah kepada orang lain. Ada baiknya jika melibatkan diri dengan kumpulan sokongan dan berkongsi pengalaman. Elakkan daripada memberi komen-komen yang negatif. Mereka harus berinteraksi secara positif dalam lingkungan sosial dan anggap semuanya itu adalah satu perkara yang lucu, selanjutnya menceriakan diri sendiri.

Karangan: Rokok

Fakta Rokok Global
• Jumlah perokok seluruh dunia dianggarkan sekitar 1.15 bilion orang.
• Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus perokok adalah di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
• Lebih kurang 15 bilion rokok dijual setiap hari atau 10 juta setiap minit.
• Dalam kalangan remaja di seluruh dunia yang berumur antara 13 dan 15 tahun, dianggarkan seorang daripada lima orang adalah perokok.
• Secara kasar, 60,000 hingga 100,000 kanak-kanak di seluruh dunia mula merokok setiap hari dan separuh daripada jumlah itu di negara-negara Asia.
• Di Amerika Syarikat mendapati kecenderungan kanak-kanak yang merokok untuk menjadi penagih dadah adalah 13 kali ganda berbanding kanak-kanak yang tidak kerap merokok!

FAKTA PEROKOK MALAYSIA

• Fakta “Info Sihat” Kementerian Kesihatan mengenai senario dan tabiat merokok di Malaysia menunjukkan hampir separuh daripada lelaki Malaysia merokok.
• Setiap hari sekitar 45 hingga 50 remaja bawah umur 18 tahun mula merokok. Statistik bilangan remaja perempuan yang merokok meningkat 8 peratus dari tahun 2005 hingga 2010.
• Tahun 2004: secara keseluruhannya hampir seorang daripada lima remaja adalah perokok.
• Kes kanser paru-paru dalam negara bertambah dengan kadar 17 peratus setahun dan tabiat merokok juga dipercayai akan menyebabkan hampir setengah juta kes penyakit koronari (jantung).
• Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2010: tabiat merokok menyebabkan kematian kira-kira 18,000 orang setahun.
• Lebih lima juta perokok tegar negara ini membelanjakan sekitar RM15 juta sehari untuk membeli rokok.
• Ini bermakna RM5.8bilion setahun.

Asap rokok toksik! Ramai yang tahu tetapi buat tidak tahu dan masih mahu. Malah ada yang tegar merokok meskipun nyawa sudah seperti telur di hujung tanduk! Amalan merokok semakin menjadi budaya melibatkan bukan sahaja golongan dewasa tetapi juga remaja, baik lelaki mahu pun perempuan. Pun bagi mereka yang mungkin tersasar jauh, merokok berpuluh-puluh tahun, berhenti merokok bukan suatu yang mustahil!

Punca-Punca Seseorang Terjerat Dengan Rokok
1. Pengaruh rakan sebaya
• Lazimnya tabiat ini bermula secara suka-suka.
• Lihat kawan hisap rokok, seseorang cenderung mahu mencuba.
• Ramai terpengaruh dengan ajakan kawan untuk mencuba merokok.
• Mereka bermula dengan suka-suka akhirnya ketagih.
• Kalau pun ada yang tidak mahu, pengaruh kuat rakan sebaya akhirnya menjeratnya kepada perangkap rokok.
• Ada juga yang merokok pada awal usia belasan tahun.
• Lazimnya mereka yang mencuba sekali, meskipun ada yang terbatuk-batuk menyedut asap rokok, tidak akan berhenti dengan hembusan asap rokok yang pertama.
• Kaki baru melangkah ke sekolah menengah rendah, sudah mula suka bau wangi asap rokok.

.

2. Kekeliruan identiti remaja mendorong mereka terlibat dalam tabiat merokok.
• Pada usia yang muda, para remaja hendak menonjolkan diri dengan identiti tertentu untuk dikenali.
• Ramai remaja menganggap amalan ini sebagai fesyen sezaman
• Amalan ini melambangkan kedewasaan mereka.
• Dengan menghisap rokok, mereka nampaknya lebih matang dan dewasa.
• Ada pula menganggap mereka lebih bergaya dan berstatus.
• Ada pula kaum wanita mahukan badan langsing dan percaya amalan ini dapat mengekalkan kelangsingan badan mereka.

KESAN NEGATIF ROKOK

1. Merokok boleh menyebabkan ketagihan.
• Hal ini kerana tembakau mengandungi bahan penyebab ketagihan dipanggil nikotin.
• Ini merupakan bahan psikokimia yang mempengaruhi sistem saraf dan mental seseorang.
• Nikotin dilaporkan menghasilkan tindak balas kimia dalam badan yang sama dengan yang dihasilkan oleh dadah kokain dan heroin.
• Penagih akan gian.
• Seluruh badan tidak selesa dan hilang semangat jika terputus bekalan rokok.

2. Merokok mencetuskan masalah disiplin remaja

• Bagi remaja yang terperangkap dengan ketagihan, bukan sahaja wang saku dihabiskan malah ada juga yang berani ponteng sekolah untuk melepas gian.
• Hal ini kerana mereka tidak boleh merokok di sekolah.
• Mereka menjadi liar dan kerap ponteng sekolah kerana ketagih merokok.
Tidak cukup dengan wang saku sekolah, ada juga yang mula menjadi pandai mengebas duit ibu bapa sendiri.
• Selepads itu mereka mungkin bergelumang dengan tabiat buruk mencuri untuk menampung belanja membeli rokok.
• Malah tidak kurang juga perokok-perokok ini terlibat dengan jenayah juvana dan penyalahgunaan dadah!

3. Rokok menjejaskan kesihatan perokok.
• Asap rokok yang tampak seakan-akan berwarna putih sebenarnya tidaklah sebersih sebagaimana yang lazimnya dikaitkan dengan warna putih.
• Hakikatnya asap rokok bukan sahaja membahayakan kesihatan malah boleh membunuh.
• Tembakau adalah penyebab paling utama kematian di seluruh dunia di mana tabiat merokok dilaporkan boleh membunuh satu bilion orang dalam abad ini.
• Terdapat lebih 4,000 bahan kimia dalam asap tembakau di mana 2,000 daripadanya adalah toksik dan 63 karsinogenik.
• Separuh daripada perokok jangka masa panjang diuar-uarkan akan mati akibat penggunaan tembakau yang antaranya menyebabkan kanser paru-paru, penyakit paru-paru yang kronik serta penyakit jantung.
• Secara puratanya juga, hayat seseorang itu akan menjadi pendek lima minit bagi setiap batang rokok yang dihisap!
• 30 peratus daripada semua kematian berkaitan kanser berpunca daripada tabiat merokok.
• 90 peratus daripada semua kematian akibat kanser paru-paru adalah juga kerana tabiat merokok!

4. Asap rokok mencetuskan penyakit kanser:
• Tar dan nikotin dalam asap rokok menyebabkan barah paru-paru dan mulut.
• Asap rokok bertoksid menyaluti tisu paru-paru, dan menjadinya kendur.
• Jadi, gas-gas oksigen sukar meresap masuk menyebabkan penyakit emfisema.
• Masalah sesak nafas atau batuk berpanjangan mencetuskan bronkitis.
• Pada tahap serius, kahak perokok bertukar menjadi seakan warna hitam tar jalan.
Sel-sel paru-paru mengalami tumbesaran yang abnormal menyebabkan kanser paru-paru.

5. Rokok mencetuskan sakit jantung.
• Urat-urat darah menjadi tegang, menyebabkan penyakit jantung.
• Jika ketiga-tiga saluran darah ke jantung tersumbat, pembedahan pintasan jantung terpaksa dijalankan.
• Perokok menghadapi risiko serangan jantung yang teruk.
• Perokok yang merokok sehingga 40 batang sehari mudah menderita serangan sakit ahmar.

6. Rokok mengancam tumbesaran bayi dalam kandungan ibu
• Racun asap rokok meresap ke embrio.
• Janin dalam kandungan kekurangan oksigen.
• Kemungkinan besar bayi itu mengalami keguguran awal.
• Ada pula dilahirkan lebih awal dan dalam keadaan kurang berat badan.
• Maka bayi mudah dijangkiti penyakit.
• Kecerdasan otak bayi juga terjejas.

HALANGAN-HALANGAN YANG MENGGAGALKAN USAHA MEMBUANG TABIAT MEROKOK.
• Bilangan perokok pelbagai peringkat umur di Malaysia kian meningkat.(Wanita)
• Merokok bukan sahaja membazirkan wang, malah mengancam kesihatan kita.
• Usaha demi usaha telah dijalankan untuk membendung tabiat merokok.
• Namun banyak halangan yang menyekat usaha kita.

1. Ibu bapa yang merokok membantutkan usaha ini.
• Pendidikan mencegah anak daripada merokok perlu bermula dari rumah.
• Malangnya Ibu bapa yang merokok akan menunjukkan teladan yang tidak baik.
• Akibatnya, anak-anaknya akan terikut-ikut dengan telatah orang tua mereka.
• Pasti ibu bapa tidak dapat menasihati anak menjauhi amalan merokok.
• Usaha mereka tidak ubah seperti “ketam mengajar anaknya berjalan betul” .
• Jadi, mereka tidak dapat menghalang anak-anaknya daripada merokok.
• Dengan ini, tabiat buruk masih berlarutan.

2. Kelemahan diri perokok juga menghalang mereka mengkikis tabiat ini.
• Ramai perokok sedar tentang kesan buruk tabiat ini tetapi sengaja tidak mengambil peduli
• Mereka kurang mengambil iktibar daripada bukti sahih perubatan.
• Ramai yang ketagih kerana gagal mengatasi masalah hidupnya.
• Mereka cuba mengatasi tekanan hidup dengan merokok.
• Kesunyian hidup mendorong mereka terus merokok
• Ada yang tidak berupaya mengawal nafsu dan kurang berazam mengatasinya.
• Mereka terikut-ikut dengan ajakan kawan-kawan dalam amalan ini.

3. Usaha kerajaan membanteras tabiat buruk ini juga tidak menyeluruh.
• Kerajaan menyeru rakyat membuang tabiat buruk ini.
• Namun, usaha menanam tembakau digalakkkan di kawasan pantai Kelantan dan Trengganu.
• Selagi tembakau dimajukan, selagi itulah rokok akan membanjiri pasaran.
• Kerajaan juga membenarkan nama syarikat rokok menjadi penaja temasya sukan dan filem.
• Akibatnya ramai rakyat memberi alasan tanpa menghisap rokok, kita tidak dapat menikmati pelbagai rancangan sukan dan tayangan filem.

4. Penguatkuasaan undang-undang yang kurang berkesan juga merupakan halangan utama.
• Kini pengharaman mengisap rokok di kawasan awam sudah berkuatkuasa
• Remaja di bawah usia 18 tahun juga dilarang membeli dan menghisap rokok.
• Namun remaja masih melayan ketagihan mereka.
• Rokok dapat beli dengan mudah oleh sesiapa sahaja.
• Para ramaja melepak di kafe siber, warung, perhentian bas atau pusat membeli-belah.
• Remaja ini tidak segan silu menghembus asap rokok, sebatang lepas sebatang dalam masih berpakaian seragam sekolah!
• Tanpa tangkapan dan hukuman yang berat, pasti orang ramai tidak akan takut.

5. Pengaruh iklan rokok merupakan halangan utama usaha kita membasmi amalan merokok.
• Kerajaan telah mengharamkan iklan rokok dalam media massa.
• Namun syarikat rokok sepereti Dunhill menggunakan cara lain mempromosikan rokok.
• Syarikat-syarikat rokok secara agresif menjalankan kempen merokok terutama dalam kalangan golongan remaja.
• Ini dapat dilihat dengan penglibatan syarikat rokok dalam pelbagai pesta yang melibatkan golongan remaja
• Jenama rokok menjadi penaja rancangan televisyen dan temasya sukan antarabangsa dsn.
Dunhill juga mengiklankan barangan mewah.
• Dengan itu, mesej rokok sebagai simbol status, dan prestij yang tersirat di sebalik nama rokok tersebar.
• Selanjutnya ini menggalakkan orang ramai tertarik dengannya.
• Ini akan menghalang usaha kita membuang tabiat merokok.

LANGKAH MEMBANTERAS TABIAT MEROKOK

1. Kempen kesedaran
 Banyak wang sehingga ratusan juta ringgit setiap tahun dibelanjakan untuk menanam sikap benci kepada rokok, umpamanya menerusi Kempen ‘Tak Nak Merokok’.
 Pelbagai jenis media digunakan.
 Bermacam jenis strategi juga disusun termasuk memaparkan gambar-gambar yang ‘mengerikan’ di kotak-kotak rokok yang menunjukkan kesan buruk rokok kepada perokok.
 Program Hari Tanpa Merokok Sedunia anjuran IJN
 Langkah menghentikan tabiat ini disarankan kepada orang ramai.
 Kesan buruk rokok disiarkan melalui media massa.
 Orang ramai akan sedar Kesedaran untuk berhenti merokok timbul
 Mereka akan menjauhi amalan ini.
 Ibu bapa akan mengawal ketat anak-anak mereka.

2. Batuan NGO
• Klinik Berhenti Merokok (QSC) Institut Jantung Negara (IJN) memberikan pelbagai bimbingan kepada perokok tegar.
• Sesi Sokongan Berhenti Merokok diadakan di IJN.
• Perokok dijemput menyertai Klinik Berhenti Merokok IJN.
• khidmat kaunseling kaunselor dapat membantu perokok tegar berhenti merokok.
• Ubat diberi untuk merawat ketagihan merokoknya.
• Perjumpaan Sesi Sokongan Berhenti Merokok dianjurkan agar perokok berjaya menahan keinginan merokoknya.
• Selanjutnya menanam azam untuk memilih jalan hidup yang lurus

3. Dasar kerajaan
 Melalui dasar cukai, kerajaan boleh menaikkan cukai rokok.
 Dengan sedemikian, rokok akan menjadi mahal.
 Golongan yang kurang mampu akan mengurangkan amalan ini.
 Ini membantu perokok kuatkan azam mereka untuk henti merokok.
 Kementerian Kesihatan terus menguatkuasakan larangan merokok di zon-zon yang ditetapkan.
 Sehingga kini sebanyak 21 premis telah dikenal pasti sebagai zon larangan merokok.
 Antaranya ialah hospital/klinik, lapangan terbang, lif serta tandas awam, restoran berhawa dingin, pengangkutan awam, premis kerajaan, institut pendidikan, stesen petrol, kafe internet, pusat membeli-belah di samping ruangan pejabat swasta dengan sistem pendingin hawa yang berpusat.

PENGALAMAN SEORANG PEROKOK DALAM USAHA MEMBUANG TABIAT MEROKOK:
• Amaran doktor bahawa batuk yang serius tanda awal kanser paru-paru.
• Separuh sel paru-paru hampir mati.
• Kahaknya bertukar menjadi seakan warna hitam tar jalan.
• Merokok sehingga 40 batang sehari senang kena serangan sakit ahmar.
• Tiga saluran darah jantung sudah 80% tersumbat.
• Mula-mula mengurangkan bilangan rokok yang dihisap, secara perlahan-lahan.
• Hari pertama berhenti merokok, merasa keperitannya.
• Apabila bangun pagi, teringin sangat hendak merokok.
• Ingin menangkap dan menghiru asap rokok perokok lain.
• Terpaksa buat-buat sibuk, jangan biarkan diri kesenangan kerana idea hisap rokok akan muncul.
• Tidak menghampiri mereka yang merokok.
• Baru boleh menahan diri daripada ingin merokok apabila melihat orang merokok.
Setelah mengambil ubat untuk merawat ketagihannya, bau rokok sudah menjadi ‘tidak sedap’.
• Sokongan rakan dan sokongan moral kaunselor di Klinik Berhenti Merokok IJN mendorongnya lupa langsung tentang rokok.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

• Beban menyedarkan rakyat tentang bahaya merokok sewajarnya bukan sahaja digalas kerajaan.
• Pelbagai pihak perlu ‘turun padang’ dengan melaksanakan kempen kesedaran anti merokok.
Kita perlulah mendukung amalan gaya hidup sihat dalam setiap aktiviti yang dijalankan terutama bebas daripada amalan merokok yang memudaratkan kesihatan.
• Insaflah semua, bebaskan alam kita daripada pencemaran asap rokok.

Soalan STPM yang lepas

1988 Bhg A
Dalam laporannya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan bahawa
 sejuta orang meninggal dunia tiap-tiap tahun berpunca daripada tembakau,
 perbuatan merokok bertanggngjawab ke atas 90 % daripada semua kes barah paru-paru dan 75% daripada semua kes penyakit kerongkong yang tenat , dan
 perokok-perokok membelanjakan kira-kira 240 bilion ringgit tiap-tiap tahun untuk membeli 4,000 bilion batang rokok.
Merujuk kepada pernyataan di atas, jelaskan pendapat anda mengenai perbuatan merokok dari segi kesihatan dan ekonomi.

1991 Bhg B
Dengan berdasarkan maklumat di bawah, sejauh manakah amalan merokok merupakan punca utama yang mengancam kesihatan penduduk Malaysia?
* Seramai 3.1 juta penduduk Semenanjung Malaysia termasuk 330,000 orang wanita, adalah perokok.
* Penduduk Semenanjung Malaysia menghisap sebanyak 46.5 juta batang rokok sehari.
* Rokok yang dijual di Malaysia mempunyai kandungan tar dan nikotin sebanyak dua kali ganda melebihi kandungan tar dan nikotin dalam rokok yang dijual di Amerika Syarikat.
* Ibu yang merokok mungkin mengalami risiko melahirkan bayi yang kekurangan berat badan dan tidak sihat.
* Hampir 7,500 orang mati setiap tahun akibat barah; 90 peratus daripadanya perokok.

1995 Bhg B
Terdapat pelbagai jenis barang keperluan domestik dan makanan yang mengandungi bahan kimia berbahaya, seperti arsenik(dalam cat), alkohol, eter, gikoi(dalam kosmetik), kafein, gula tiruan, monosodium glutamat, dan bahan-bahan kimia lain yang seumpamanya. Bahan-bahan ini boleh mengancam kesihatan seseorang sekiranya tidak digunakan secara berhati-hati.
Jelaskan kesan penggunaan barang-barang tersebut terhadap kesihatan pengguna.

1996 Bhg B .
Amalan pemakanan dan gaya hidup baru merupakan punca utama munculnya pelbagai penyakit masa kini. Bincangkan penyataan ini.

2000 Bhg B.
Secara umum bahan kimia toksik boleh mengancam kesihatan dan keselesaan manusia sekiranya ia tidak diurus dengan baik. Jelaskan kesan bahan tersebut terhadap manusia.

2003 Bhg B
Obesiti merupakan satu masalah kesihatan yang berlaku di kalangan anggota masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya masalah tersebut dan kesannya terhadap kehidupan manusia.

2011 Bhg B
Tidur yang cukup amat penting untuk manusia. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil untuk mengatasi masalah kesukaran tidur.
Jelaskan penyataan ini.

Karangan: Biodiversiti/ekologi alam sekitar

Biodiversiti merupakan sistem sokongan hidupan antara satu sama lain. Ia merangkumi semua hidupan termasuklah tumbuh-tumbuhan, haiwan (invertebrata dan vertebrata), bakteria, kulat dan serangga.
Kepelbagaian biologi atau “biodiversity” didefinisikan sebagai keanekaan antara organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk di dalam kelompok spesis dan antara sepsis dan ekosistemnya. Dianggarkan jumlah bilangan spesies yang hidup di muka bumi ini melebihi 100 juta.


KEPENTINGAN
1. Pengekalan kitar hidrologi

Hidupan semula jadi berfungsi sebagai penyerapan air. Tumbuhan hijau menyerap air dari tanah dan membebaskannya melalui proses transpirasi. Hutan, padang rumput dan tanah lembab akan menyerap air apabila jumlahnya banyak dan membebaskannya sedikit demi sedikit bila air bertakung. Ini sekaligus mengawal banjir.

2.Modifikasi iklim
Biodiversiti juga memberi khidmat ekosistem seperti mengatur perjalanan cuaca dan iklim.
Ia juga menyerap radiasi daripada cahaya matahari dan membebaskan wap. Ia akan mempengaruhi keadaan iklim dan menyederhanakan suhu. Kestabilan iklim akan berlaku dengan adanya fungsi oleh kepelbagaian biologi biodiversiti ini.

3.Kawal hakisan tanah
Daun dan sampah hutan boleh menyerap dan mengurangkan impak air hujan. Ini sekaligus menghalang tanah menjadi pecah. Selain itu,akar berfungsi “mengikat tanah”dan membantu menghalang berlakunya hakisan terutamanya di kawasan tanah tinggi. Manakala tumbuhan, haiwan kecil dan mikroorganisma menyumbang kepada pembentukan tanah. Di kawasan yang berombak,paya bakau berfungsi mengurangkan kesan pukulan ketika rebut. Ini bukan sahaja menjaga kontur pantai malah dapat menyelamatkan harta benda dan nyawa.

4. Selenggara kitar oksigen dan nitrogen
Tumbuhan menghasilkan oksigen untuk pernafasan. Manakala mikrob pula membantu menambah kesuburan tanah serta penetapan kandungan nitrogen dalam tanah. Kepelbagaian biodiversity juga boleh menghalang tompokan sebatian nitrogen seperti unsur-unsur Ammonium dan Nitrat yang boleh mengganggu kesuburan tanah.

B.KEPENTINGAN KEPADA MANUSIA

1. NILAI PERUBATAN
Sebanyak 3000 spesis tumbuhan di dunia ini dikenal pasti berfungsi sebagai anti-kanser.
Kekayaan kepelbagaian biodiversiti menyumbangkan US$8 bilion setahun untuk menghasilkan ubat-ubatan seperti tumbuhan herba dan gamat. Penyaringan dan pemprosesan flaura dan fauna menghasilkan pelbagai produk komersial, seperti tongkat ali (eurycoma longifolia), misai kucing (orthosiphon staminues) dan kacip fatimah (labisia pumila). Ini dapat memperbaiki tahap kesihatan masyarakat dan meningkatkan jangka hayat manusia.

2. BEKALKAN BAHAN MENTAH KEPADA MANUSIA
Pemeliharaan biodiversiti membekalkan makanan dan minuman kepada manusia. Misalnya laut yang terpelihara membekalkan makanan laut yang secukupnya kepada manusia. Glasier membekalkan air mineral kepada penduduk di sekitarnya. Turut dibekalkan ialah bahan mentah untuk kegunaan industri seperti minyak, petrol, getah, fiber, resin, gris, aluminium dan sebagainya.

3. BIODIVERSITI JUGA MENJADI TEMPAT RIADAH.
Seisi keluarga boleh mengadakan aktiviti seperti bersenam dan melihat spesis burung. Hutan hijau tenpat rekreasi untuk menjamin kesihatan manusia. Keindahan pantai dan dasar laut mendatangkan ketenangan mental.

4. NILAI INTRINSIK
Kepelbagaian biodiversiti ini juga mempunyai “NILAI TERSENDIRI” dan “HAK UNTUK HIDUP”. Setiap benda hidup tidak kira haiwan,tumbuhan dan manusia mempunyai “hak asasi” masing-masing. Benda hidup mempunyai ingatan, emosi dan kesakitan.

MASALAH KEMUSNAHAN BIODOVERSITI

1.Kegiatan manusia yang mengubah dan menghapuskan tempat kediaman mereka.
Banyak aktiviti manusia merosakkan biodiversiti. Akibatnya,banyak spesis yang belum lagi dikenalpasti telah pupus. Ada antara sepsis ini telah disenaraikan dalam ketegori spesis terancam. Jika tidak ditangani awal dari sekarang, biodiversiti yang ada sekarang akan terjejas teruk dan mungkin hilang buat selama-lamanya.

2. Pengeksploitasian hutan tropika.
Contohnya kemunculan pelancong berasaskan alam semula jadi atau eko-pelancongan mendatangkan hasil kepada negara membangun. Namun jika tidak dilaksanakan dengan teratur boleh menyebabkan kerosakan biodiversity. Kemusnahan habitat akibat penukaran tanah untuk pertanian, perlombongan, penempatan, pembinaan dan sebagainya untuk tujuan pembangunan juga bakal memusnahkan kekayaan biodiversiti dunia.

3. Perubahan iklim dan bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, kemarau, tsunami (2004) dan sebagainya menyebabkan kemusnahan kepada kepelbagaian biologi daratan dan akuatik dunia. Kecairan glasier menyebabkan banyak kawasan rendah ditenggelami air dan banjir lebih kerap berlaku.

4. Penggunaan sumber biologi secara tidak lestari dan berlebihan.
Aktiviti pembalakan dan pemburuan yang tidak terkawal menjadi satu agenda kepada kepupusan kepelbagaian biologi. Tangkapan ikan dengan teknologi canggih menyebabkan bekalan ikan pupus.

LANGKAH SELAMATKAN BIODIVERSITI

1. Persidangan pengurusan biodiversiti.
Bengkel mengenai biodiversity, bioprospek, pengurusan dan pengawasan eko-pelancongan dan perlindungan spesis terancam. Tahun Biodiversiti Sedunia 2010 memberikan peluang kepada masyarakat dunia untuk memahami kepentingan peranan biodiversiti dalam mewujudkan suatu suasana kehidupan yang mampan. Aktiviti yang terancang lebih tertumpu kepada aspek galakan kepada orang awam untuk mengurangkan kemusnahan biodiversiti, di samping meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan biodiversiti kepada manusia.
120 negara tentang menandatangani KONVENSION KEPELBAGAIAN BIOLOGIKAL (CBD). memberikan mekanisma global untuk memastikan pemuliharaan dan penggunaan mapan bioddiversiti bagi generasi sekarang dan akan datang. Dalam perjanjian tersebut,Malaysia menjanjikan 50% litupan muka bumi dengan hutan dan pokok selama-lamanya.

2. Menggalakkan dan memperbanyakkan penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).Contohnya Taman Teknologi Malaysia(TPM) sedang giat menjalankan kajian terhadap potensi-potensi yang boleh digunakan daripada hasil khazanah alam Negara. Pusat-Pusat penyelidikan seperti Pusat Biodiversiti Raub menjalankan kerja-kerja mengutip, memelihara dan menjalankan kerja-kerja kajian farmakologi sampel, pemprosesan dan penghasilan benih. Pemuliharaan kepelbagaian biologi dapat dibantu dengan kaedah-kaedah bioteknologi seperti penyelamatan embrio, perlakuran protoplas, kriopengawetan dan perpustakaan DNA. Bioteknologi juga boleh digunakan untuk menilai variasi ginetik yang terpendam, iaitu melalui teknik RFLP dan elektroforesis gel.

3. Mengetatkan kawalan dan menjalankan pemantauan yang lebih telus.Antara teknologi konservasi biodiversiti yang paling praktikal dan digunakan secara meluas pada masa kini adalah secara penentuan dan pemantauan menerusi satelit. Aktiviti pembalakan dan pemburuan haram misalnya perlu dikawal lebih ketat. Begitu juga dengan biodiversiti akuatik Malaysia yang mempunyai nilai yang tinggi, pengawalan terhadap hidupannya termasuk terumbu karang perlulah dilakukan dengan lebih mantap supaya tidak merugikan Negara.
Kepelbagaian biologi yang meliputi keanekaan organisma di peringkat genetik, spesis dan ekosistem, wajar dianggap sebagai harta pusaka sesebuah negara berdaulat. Khanazah ini seharusnya dipulihara untuk generasi sekarang dan sebagai warisan generasi-generasi yang akan datang.

Pendidikan secara formal dan informal merupakan pendekatan yang terbaik dalam menyedarkan masyarakat betapa pentingnya memelihara kepelbagaian biodiversiti ini.

Pendidikan Formal
1. Mata pelajaran sains dan biologi
Pengenalan biodiversiti dalam mata pelajaran sains atau biologi, mengenalpasti spesis haiwan dan tumbuhan, peranannya dalam kehidupan seharian dan kebaikan sesuatu spesis tersebut kepada manusia.

2. Aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum
Melalui aktiviti seperti mencipta syair, pantun, berpidato, ceramah, kuiz, projek kelas, penyediaan buku skrap, lukisan, permainan alam sekitar, kajian biodiversiti dan sebagainya dapat mendekatkan para pelajar kepada kepentingan dan keperluan biodiversiti dalam bentuk karya, ilustrasi atau objek yang menarik. Ini dapat menggalakkan para pelajar mempelajari dan menghayati kekayaan biodiversiti di dunia ini dengan lebih berkesan.

3. Penulisan biodiversiti
Dengan memperbanyakkan pembacaan artikel, jurnal, majalah alam sekitar dan dokumentari berkaitan dengan biodiversiti mampu menambahkan ilmu pengetahuan kita dalam usaha memelihara biodiversiti di sekeliling kita. Selain itu dapat memupuk perasaan kasih sayang dan menghargai kepentingan kepelbagaian biodiversiti di dunia ini.

Pendidikan Tidak Formal
1. Lawatan luar
Dengan mengadakan sesi lawatan ke kawasan hutan simpan, taman negara, zoo negara, kawasan hutan bakau, taman burung dan taman herba dapat membantu para pelajar akan kepentingan fungsi biodiversiti dalam kehidupan seharian. Muzium biodiversiti seperti muzium siput, muzium hidupan akuatik, muzium spesis pokok dan muzium haiwan dapat menginsafkan diri kita betapa ruginya kita sekiranya kehilangan spesis-spesis yang berharga kepada negara akibat daripada kerakusan manusia dalam mengejar arus pemodenan dengan memusnahkan habitat asal spesis haiwan dan tumbuhan tersebut.

2. Aktiviti biodiversiti
Aktiviti seperti menanam pokok, penanaman semula pokok seperti pokok api-api dan perepat, pokok kayu jati, merbau dan sebagainya dapat mengembalikan semula kitaran biodiversiti.

3. Program kesedaran
Program-program kesedaran seperti aktiviti mengutip sampah sarap di kawasan persisiran pantai dan hutan simpan, mengitar semula barangan terpakai seperti botol plastik, kaca dan suratkhabar, menjalankan aktiviti pembersihan sungai dan pelbagai lagi aktiviti kesedaran mampu menarik masyarakat di negara ini untuk bersama-sama memelihara dan memulihara biodiversity dan alam sekitar dengan lebih berkesan.

Membawa Warga Malaysia Menyertai Jejak Inovasi

20 Oct 2011
“Inovasi membezakan antara seorang pemimpin dan pengikut,” demikian yang pernah diucapkan oleh mendiang Steve Jobs, antara inovator yang disegani dunia sehingga kini, yang juga pengasas Apple Inc.

Persidangan sehari anjuran Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) bertema “Melampaui Inovasi: Mengubah Idea kepada Tindakan” telah diadakan.

Cara-cara mewujudkan minda inovatif dan bagaimana untuk berada ke hadapan dalam dunia innovasi telah dikupas dalam persidangan ini. Persidangan ini menampilkan para penceramah yang tidak asing dengan subjek ini termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang meletakkan asas bagi sebuah negara inovatif semasa kepimpinannya selama 22 tahun serta eksekutif syarikat yang menerajui inovasi – antaranya Google Malaysia, Nestle (Malaysia) Berhad, GE Malaysia dan Microsoft Malaysia.

Inovasi adalah ciri semulajadi sebuah masyarakat dan negara yang dinamik, dan bagi Malaysia untuk muncul dengan inovator ‘blockbuster’ seperti Jobs dan Bill Gates dari Microsoft, kesedaran dan penerapan budaya inovasi menjadi antara pra-syarat.

Rakyat Malaysia perlu mengetahui bahawa kreativiti dan inovasi adalah fenomena budaya yang tidak boleh diketepikan.

Ketangkasan, satu tujuan, stamina dan disiplin yang ditunjukkan oleh para inovator blockbuster ini sesuatu yang warga Malaysia harus ambil perhatian.

MENCABAR STATUS QUO

Dr Mahathir membuka bicara dengan menekankan kepada pemikiran inovatif daripada segala segi kehidupan yang adalah cara terbaik untuk melangkah ke hadapan dan beliau kritikal terhadap rakyat Malaysia yang mahu kekal di zon selesa masing-masing.

Beliau berfikiran jauh ke hadapan apabila mengilhamkan Koridor Raya Multimedia (MSC), Cyberjaya dan projek kereta nasional Proton yang sebenarnya menempatkan negara di jejak inovasi.

“Anda perlu bertanya akan segala yang anda buat dan lihat sama ada ia boleh dibuat mengikut cara lain yang boleh membuahkan hasil yang lebih baik,” kata Dr Mahathir.

Beliau menjelaskan juga bagaimana sebuah pentadbiran inovatif yang keluar daripada kepompong undang-undang serta dasar-dasar yang lapuk mampu membawa perubahan ketara dan mempercepatkan pembangunan sesebuah negara.

Beliau berkata Malaysia perlu mencontohi Korea Selatan, yang kini berada jauh di hadapan daripada segi inovasi.

INOVATOR MALAYSIA

Walaupun belum lagi ada mereka seperti Steve Jobs dan Bill Gates di Malaysia, ini tidak bermakna negara ketandusan inovator ataupun inovasi.

Warga Malaysia sudahpun sedia maklum akan inovator tempatan seperti Tan Sri Tony Fernandez dari AirAsia tetapi terdapat ramai lagi mereka di luar sana yang masih belum menerima pengiktirafan.

Bagaimanapun, pengiktirafan bagi inovator tidak datang dengan mudah walaupun penekanan meluas diberikan terhadap inovasi seperti yang ditunjukkan oleh seorang peserta persidangan yang bertanya mengapa jurutera rekabentuk, yang lazimnya berada di barisan hadapan inovasi, mendapati sukar untuk mendapatkan pekerjaan selepas pulang dari luar negara.

Untuk ini, Dr Mahathir berkata inovator perlu rajin dalam mencari ceruk yang sesuai untuk mereka di samping mewujudkan platform sendiri di sebalik bergantung kepada yang lain .

“Minda-minda inovatif pastinya tidak menghadapi kesukaran dalam mencari jalan dan mereka sendiri yang perlu merintis jalan”, kata beliau.

SYARIKAT-SYARIKAT INOVASI

Bercakap mengenai syarikat inovatif, inovasi adalah ciri semulajadi mereka yang membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup. Dalam pasaran global yang menyaksikan citarasa pelanggan dan permintaan pasaran berubah dengan cepat, inovasi yang menentukan kelangsungan hidup syarikat-syarikat.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mementingkan inovasi terutama apabila ia membabitkan pelaburan modal.

Bagi syarikat-syarikat, contohnya Google, seperti yang dijelaskan oleh ketua wilayahnya Sajith Sivanandan, inovasi menjadi sebahagian daripada DNA syarikat itu dan inilah yang membolehkannya berada di hadapan persaingan.

Malaysia bernasib baik kerana mempunyai syarikat-syarikat inovatif sendiri seperti yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir, termasuk pengeluar kereta nasional Proton.

Dr Mahathir, selaku penasihat Proton, juga menjelaskan bagaimana Proton menyahut cabaran untuk muncul dengan kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik – Range Extended Electric Vehicle (REEV).

“Proton tidak mengeluarkan hibrid konvensional seperti yang dilakukan oleh banyak pesaing-pesaingnya. Ia muncul dengan versinya sendiri yang mempunyai janakuasa bahan api yang mengecas semula bateri”.

Ini adalah contoh baik produk yang berdasarkan teknologi inovatif.

USAHA MENJANA LEBIH RAMAI INOVATOR

Memandangkan inovasi adalah kunci bagi kemajuan Malaysia, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah sejak dua dekad yang lepas termasuk mewujudkan Agensi Inovasi Malaysia yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

Belanjawan 2012 yang dianggap sebagai Belanjawan Inovasi memperuntukan RM100 juta bagi kreativiti dan inovasi, yang daripada jumlah itu RM30 juta akan digunakan untuk mewujudkan ‘Market Validation Fund’ yang akan diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia bersama Agensi Inovasi Malaysia.

Satu lagi inisiatif ialah untuk meneruskan dengan program Jejak Inovasi (Innovation Trail) yang diusahakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk menggalakkan pembangunan idea-idea baru serta pengkomersilan produk-produk inovatif, khasnya dari kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, seperti yang ditekankan oleh Dr Mahathir dan penceramah lain, sementara kerajaan menerajui usaha menggalakkan inovasi, masyarakat dan perniagaan perlu menerimanya secara terbuka dan menyeluruh.