Karangan: PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL (PKRS)

PENTINGNYA PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL (PKRS)
Berbanding kebanyakan negara terutamanya di Barat, sebahagian besar masyarakat di negara ini masih menganggap ungkapan ‘pendidikan seks’ semata-mata sebagai hubungan seksual lelaki dan wanita. Lantaran andaian negatif ini, ura-ura memperkenal pendidikan seks di sekolah-sekolah mendapat tentangan hebat terutama daripada ibu bapa. Rata-rata mereka khuatir anak mereka akan terdorong untuk melakukan hubungan seks jika didedahkan dengan pendidikan itu!

STATISTIK SALAH LAKU SEKSUAL DI MALAYSIA
Namun apa yang berlaku hari ini, tanpa pendidikan seks pun, semakin ramai pelajar baik di sekolah atau institusi pengajian tinggi sudah terjebak dengan zina sehingga melahirkan anak tak sah taraf. Kajian 1999/2000 Majlis Aids Malaysia mendapati umur melakukan hubungan seks pertama paling muda di negara ini ialah sembilan tahun! Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menjalankan kajian media pada 2004 mendapati sekitar 130,000 remaja dipercayai telah melakukan hubungan seks luar nikah.
LPPKN dalam satu lagi kajian pada 2008 mendapati seramai 20.3 peratus responden mengaku pernah melakukan hubungan seks. Menurut kajian itu, umur paling muda melakukan hubungan seks pertama ialah pada usia 16 tahun.

Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melaporkan 1,456 kes rogol setahun. Perangkaan itu bagaimanapun dianggarkan hanya 10 peratus daripada kejadian yang sebenarnya berlaku. Lebih daripada separuh mangsa rogol ialah di bawah 18 tahun dan 84 peratus pemangsa adalah orang yang dikenali oleh mangsa. Dua puluh peratus daripada pemangsa mempunyai pertalian saudara dengan mangsa terdiri daripada bapa, bapa tiri, datuk, abang termasuk teman lelaki yang baru dikenali. Tambahnya, 67 peratus lokasi rogol ialah di rumah dan bangunan iaitu tempat yang dianggap selamat oleh mangsa. Selain itu satu kes pembuangan bayi berlaku dalam tempoh lima hari. Ada juga yang terdesak sehingga tergamak membunuh bayi tak sah taraf ini seperti yang dipaparkan media semata-mata mahu menutup aib sendiri dan keluarga
MATLAMAT PKRS
1. PKRS merangkumi aspek biologi, sosio-budaya, psikologikal (emosi dan mental) dan kerohanian.
2. PKRS akan digunakan untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial. PKRS dilihat sebagai satu daripada jalan penyelesaian untuk membendung gejala sosial termasuk salah laku seksual yang semakin memporak-perandakan kehidupan anak remaja di negara ini. PKRS dilihat sebagai asas kukuh kepada perkembangan serta pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling hormat menghormati.

3. PKRS juga diharap dapat mengurangkan sensitiviti dan salah tanggapan mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial. Ini akan dibuat melalui penyediaan program sokongan khusus kepada ibu bapa, ahli keluarga, penjaga, guru, anggota kesihatan, pengasuh dan masyarakat.

4. Di bawah pelan tindakan PKRS, di samping LPPKN, banyak lagi pihak yang terbabit untuk melaksanakan program termasuk Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan di samping pertubuhan bukan kerajaan.

ISI KANDUNGAN PKRS

PKRS menekankan
1.tentang perlakuan hubungan antara lelaki dan perempuan. PKRS menekankan tiada unsur keganasan atau paksaan sama ada daripada pihak lelaki atau perempuan sekiranya mereka tidak mahu.
2. batas-batas pergaulan yang diterima masyarakat di negara ini sebagai masyarakat timur.

3. hak remaja merangkumi hak untuk mendapat pendidikan kesihatan reproduksi, maklumat dan penjagaan termasuk mekanisme sokongan untuk pendidikan dan kaunseling dalam bidang hubungan gender dan kesaksamaan, keganasan terhadap remaja, tingkah laku seksual yang bertanggungjawab.

4. bimbingan diberi sebelum seseorang kanak-kanak itu mencapai usia baligh dan bukan hanya untuk kumpulan berisiko tinggi supaya mereka sedar apa dia organ sulit dan tidak boleh disentuh sebarang orang untuk mengelakkan berlakunya sumbang mahram dan pelbagai lagi gejala penderaan seksual ke atas kanak-kanak.

KENALI REMAJA

Definisi remaja mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah mereka yang dalam lingkungan usia antara 10-19 tahun. Remaja adalah tempoh peralihan dari zaman kanak-kanak kepada zaman dewasa dan membabitkan perubahan fizikal, intelektual, emosi dan sosial.Statistik populasi remaja di negara ini pada 2008 ialah 19 peratus atau 5.3 juta daripada keseluruhan penduduk negara. Menjelang 2020, populasi remaja Malaysia dianggarkan berjumlah 6.3 juta atau 18.2 peratus daripada jumlah penduduk. Remaja masa kini juga mencapai usia baligh yang awal iaitu antara 9 hingga 10 tahun bagi perempuan dan 12 tahun bagi lelaki berbanding 12 tahun bagi perempuan dan 14 tahun bagi lelaki sebelumnya.

Secara biologinya, lelaki dan perempuan mengeluarkan hormon, dan ia semakin hebat ketika meningkat usia remaja. Apabila sudah ada hormon dalam tubuh badan, remaja akan mula tertarik kepada gender yang berlainan dan ada yang beranggapan jika mereka menyukai seseorang, mereka boleh melakukan apa sahaja, boleh menyerahkan diri mereka, melakukan hubungan seks. Itu sebabnya di peringkat universiti ramai yang sudah melakukan hubungan seks. Mereka mungkin pandai dari segi akademik tetapi kurang dari segi pengawalan emosi dan perasaan.

Ledakan teknologi baru turut mendedahkan remaja kepada lambakan bahan lucah yang mempengaruhi mereka untuk melakukan hubungan seksual. Sehubungan dengan itu, remaja perlu diberi bimbingan dan kemahiran untuk mengendalikan perubahan yang berlaku dalam diri mereka supaya boleh membuat keputusan yang betul. Ini termasuk tidak melakukan hubungan seks luar nikah.

Kekurangan kematangan dalam diri remaja menyebabkan keputusan yang dibuat kurang tepat. Dari segi perkembangan, memang mereka menuju kedewasaan dan cuba berdikari termasuk dalam membuat keputusan tetapi sebenarnya mereka masih belum matang. Itu sebabnya kita sebagai orang dewasa, komuniti, ibu bapa perlu memberi bimbingan yang betul.

PKRS juga menekankan aspek kerohanian dengan penerapan nilai-nilai agama demi menimbulkan kesedaran dalam diri remaja itu sendiri.

SOKONGAN IBU BAPA

Natijahnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam perkembangan diri anak mereka.

Ibu bapa jangan berpendirian terbuka sehingga tindakan mereka seolah-olah “memberi restu” untuk anak-anak melakukan hubungan yang terlarang.

Remaja adalah modal insan negara dan perlu dijaga supaya tidak terjebak dengan gejala sosial. Mereka sebenarnya memerlukan bimbingan dan bersedia dibimbing. Kita berharap pelaksanaan PKRS jika pun tidak dapat mencapai sifar gejala sosial, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan gejala itu.

One response to “Karangan: PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL (PKRS)

  1. bodo

Leave a comment