11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Jan 2014.

Tindakan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun 2014. Keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
11 langkah jimat belanja
1. Kerajaan akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

2. Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred Jusa juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus.

3. Kerajaan meminda kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam iaitu kelayakan penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

4. Kerajaan mengurangkan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
5. Membekukan permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.

6. Mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada bagi mengurangkan sewaan premis pejabat.

7. Mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
8. Cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

9. Kerajaan mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau ‘event management’ serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

10. Kerajaan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman serta mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

11. Kerajaan mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel.

Leave a comment